ASSALAMUALAIKUM

Monday, March 29, 2010

E CLASS VS IKHLAS

Bismillahirrahmanirrahim

Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Muhamad s.a.w

Inilah trend kehidupan zaman serba cyber dewasa ini. Rata-rata bila kita sebut E class semua akan mudah nampak dan kenal sangat apabila ianya begitu banyak menjalar di jalan-jalan raya di Kota metropolitan khususnya. Inilah kereta mewah yang menjadi kebanggaan dunia Melayu khususnya dewasa ini.Kalau dahulu kereta mewah ini hanya mampu dimiliki oleh golongan elit yang berbangsa Cina. Tetapi sekarang tidak hairan lagi kerana ianya juga telah mampu dimiliki oleh pelbagai bangsa termasuklah orang Melayu kita. Megah….tentulah megah apabila kita melihat bangsa kita menyandar di dalam kereta mewah bernama E class ini berdesup ke sana ke sini.

Bagaimana pula dengan perkataan Ikhlas ? Sering juga kita mendengar perkataan ini. Tapi ianya bukan seperti sebuah benda yang boleh dipamirkankan tetapi ianya merupakan satu sifat yang akan terpamir melalui perbuatan dan tingkah laku. Kalau diikutkan bunyi perkataannya, sememangnya tidak dapat dinafikan senantiasa menjadi sebutan sepertimana yang disebut tentang sebuah kereta yang berjenama E class ini. Hakikatnya adakah perkataan ikhlas ini perlu disebut? Jawapannya tentulah tidak. Kata pepatah Inggeris Action speaks laouder than words.

Amat menyedihkan lagi apabila kita berada di dalam dunia perniagaan mahupun politik. Pandangan orang sebelum menilai hati mereka akan memandang apa yang kita ada. Seperti dialog yang sering berkumandang apabila lama kita tidak bertemu rakan taulan “U naik kereta apa sekarang?”. Nampak sahaja kita tidak membawa so called E class, dengan mencebek muka “business u ok ke sekarang, nampaknya u masih macam tu juga”. Itulah penilaian rata-rata pandangan orang Melayu ke atas kita. “Kalau nak jadi rakan kongsi kurang-kurang kenalah ada E class barulah kita senang nak lobi projek, orang pandang kita mantap.” Tapi di dalam kocek dan akaun bank syarikat Tuhan sahaja yang mengetahui bercelaru dengan hutang piutang di sana sini. Buka company, buat pinjaman, belum mula perniagaaan sudah mula memikirkan prestige dan style. Beli E class dulu ini imej syarikat kononnya.

Tak kurang juga bagi sesetengah pelobi projek yang rata-ratanya meletakkan syarat yang sama kalau hendak menyuruh mereka melobi satu-satu projek. Syaratnya “u kena kasi I E class dulu sekurang-kurangnya, barulah I nampak bergaya, untuk nak mengikut Menteri-Menteri bagi melobi projek.” Akhirnya projek tak dapat bergaya saja yang lebih. Mungkin kebanyakkan orang zaman sekarang sudah lupa bahawasanya penyangak sekarang yang lebih dikategorikan sebagai white colar crime pun dah pandai bergaya. Mereka pun tak kalah juga memandu E class ke sana-ke sini untuk mencari mangsa. Bagi peniaga-peniaga yang senang terpedaya dengan “halua mata” ini, senang-senanglah memasuk perangkap mereka.

Apa yang nak saya tekankan di sini adalah tentang betapa rendahnya pemikiran sesetengah orang terhadap first impression . Mereka langsung tidak berminat untuk menilai seseorang itu samada ianya ikhlas atau tidak dalam memegang sesuatu amanah. Tidak kiralah samada sebagai seorang rakan kongsi di dalam perniagaan mahupun sebagai seorang pemimpin. Apa yang dilihat dari luaran itulah penilaian pertama mereka. Keikhlasan sudah jatuh nombor dua. Belum melihat hati dan keikhlasan seseorang sudah mula mencebek bibir, sebab tak ada E class.

Dunia sekarang memang sudah banyak berubah. Amat sukar untuk membuktikan keikhlasan dari menjadi penyangak yang ber E class. Ini adalah kerana keikhlasan juga sering beserta dengan keberanian. Bukan mudah mempunyai sekeping hati yang ikhlas, sebab ianya juga akan melahirkan perkataan-perkataan yang sukar untuk ditelan. Seseorang teman yang ikhlas contohnya akan terus menerus menegur perkara yang tidak baik yang dilakukan oleh temannya. Tetapi persoalannya apakah orang lain boleh menerima teguran? Oleh itu satu sahaja nasihat dan pendapat untuk mengkaji apakah benar-benar seseorang itu ikhlas? Bagaimana untuk melihat keikhlasan hatinya? Jawapannya adalah kajilah latar belakang kelakuannya. Adakah ia meminta sebarang balasan setelah sesebuah bantuan dihulurkan? Sekali namanya orang itu benar-benar ikhlas menolong. Kali ke dua minta tolong lagi, masih orang yang ikhlas itu masih belum meminta sebarang balasan….Kali ke tiga minta tolong lagi. Bagimana pendapat anda adakah orang yang meminta tolong itu harus sedar bahawa beliau benar-benar mempunyai sahabat yang ikhlas atau seorang sahabat yang bodoh yang boleh diambil kesempatan sewenang-wenangnya? Jawapannya “ anak cina makan pengatlah,sendiri mau ingat ”. Biar hilang seribu kawan jangan hilang seorang kawan ikhlas beb! Kalau dah tiga empat kali asyik cangkul bantuan mau pandang-pandanglah sikit untuk menghulurkan bantuan pula, walaupun tak diminta.

Itu berlaku di dunia persahabatan dan perniagaan. Bagaimana pula dengan dunia politik? Kita sering mendengar dialog ini bukan “……dengan ini saya bagi pihak rumah anak yatim ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB si polan dan si polan kerana dengan ikhlasnya menyumbang derma sebanyak RM10,000.00 kepada anak-anak yatim kami….” Ada juga ceritanya pula apabila kita sibuk mengutip derma untuk bencana tsunami baru-baru ini, saya telah diberitahu bahawa, ada seorang ahli perniagaan yang ingin menyumbang secara ikhlas sekiranya majlis penyampaian derma tersebut dihadiri oleh pemimpin kenamaan, ada stesen TV untuk ambil gambar dan pelbagai lagi syaratnya. Apakah namanya tu E class atau Ikhlas? Pelik tapi benar itulah yang berlaku di dunia dewasa ini. Lucu sungguh lucu kadang-kadang apabila melihatkan satu-satu majlis kutipan derma itu diadakan, pengacara menyebut-nyebut perkataan “….inilah sumbangan ikhlas dari si polan dan si polan…” prap sana prap sini ambil gambar.

Tak kurang juga yang menggunakan anak-anak yatim untuk bergambar ke sana dan ke sini semata-mata untuk mempamirkan kepada masyarakat betapa ikhlasnya mereka bertungkus lumus memelihara, berkorban serta macam macam ada…untuk mempamirkan keikhlasan di semua corong media cetak dan elektronik. Tetapi sekiranya kita melihat kebajikan seseorang itu telah begitu lama, kemudian menjadi terkenal dengan sumbangan dan kebajikanya, saya menganggap inilah yang dikatakan The Miracle Of Sincerity . Buatlah kebajikan dan kerja amal itu bermula dengan keikhlasan dahulu lama kelamaan orang akan tahu juga. Sebab setiap perbuatan yang baik ianya adalah seperti benih yang baik, tersorok di dalam tanah lama kelamaan akan terkeluar juga tunasnya menjadi pokok dan kemudian berbunga sudah tentu akan berbau juga.

Saya amat suka mengaitkan keikhlasan ini dengan kerja-kerja amal di dalam pertubuhan-pertubuhan. Pada pandangan saya pertubuhan atau dengan perkataan lain NGO kata kawan saya No gaji Organisation ini merupakan sebuah gelanggang untuk kita membuktikan betapa kuat ataupun tidak daya ketahanan keikhlasan kita. Tak perlulah orang tahu, nama pun kerja amal. Gelanggang ini sering kita gunakan untuk mempertahankan hak masyarakat, beramanah dengan kewangannya dan ikhlas dalam memberikan sumbangannya. Bagi saya ianya merupakan sebuah universiti yang baik bagi bakal-bakal pemimpin, untuk kita menilai keikhlasan seseorang itu memperjuangkan nasib rakan-rakan mereka di dalam pimpinan mereka di dalam sebuah gabungan yang sepatutnya tidak boleh disertakan dengan sebarang kepentingan diri. Begitu banyak pertubuhan dewasa ini yang begitu aktif mengadakan acara-acara mengumpul dana dan sebagainya. Tetapi berapa kerat dari mereka yang senang untuk hanya membuat kerja tanpa sebarang populairiti

Sedih apabila kita melihat dewasa ini masyarakat yang menggunakan pertubuhan untuk mencari popularity dan isi perut sendiri. Kononya ikhlas tapi kalau nak melantik Presiden E class juga menjadi keraterianya. Saya pernah melihat tak kurang juga beberapa pertubuhan anak-anak yatim khususnya yang telah bergiat hampir 30 tahun tidak pernah dikenali tetapi telah mengeluarkan ramai graduan dan anak-anak yatim yang berjaya dibawah pemeliharaannya. Malahan Presidennya tetap membawa kancil dan langsung tidak pernah ditonjolkan di dalam masyarakat sebagai seorang insan yang ikhlas di dalam sumbangannya. Beliau tetap bertungkus lumus menjaga ratusan anak yatim tanpa sebarang populariti bagi beliau mendapat sumbangan dan dana dari orang ramai. Malahan kebanyakkan penderma juga hanya menamakan diri mereka sebagai “hamba Allah” setiap kali menghulurkan derma kepada beliau.

Lain pula dengan sesetengah pertubuhan. Kata mereka “kalau tak glamour….susahlah nak cari duit…..orang tak kenal kita.” Sedih apabila kita melihat pertubuhan-pertubuhan kebajikan khususnya dijadikan medan politik, apabila tak kurang juga yang menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden, semata-mata kerana melihatkan pertubuhan tersebut telah mantap dan teguh keewangannya. Jasa pengasas pertubuhan diketepikan. Jawatan-jawatan penting di dalam sesebuah pertubuhan kebajikan direbut, seolah-olah bertanding untuk satu kerusi kuasa yang penting. Apabila menang jawatan, menggunakan jawatan tersebut untuk kepentingan diri sendiri, sebagai laluan mudah untuk berdamping dengan pemimpin-pemimpin bagi mengisi tembolok sendiri. Satu minta untuk pertubuhan sepuluh untuk syarikat sendiri. Akhirnya terpakailah perkataan ikhlas untuk mendapat E class.

Begitu jugalah yang terjadi di dalam dunia lobi melobi. Tak kiralah untuk melobi pangkat atau kedudukan mahupun projek. Banyak dialog yang sering kita dengar lebih-lebih kalau di musim pemilihan “u ambillah duit ni….i ikhlas tau….mmm tapi kalau nak pangkah esok ingat-ingatlah muka I.” Tu lah sebab mula-mula ikhlas last-last melepas, jangan sampai ada yang tuntut di Padang Mahsyar sudah…..akan pemberian yang kononnya ikhlas. Macam tu juga dengan projek. Sama dengan juga. Setelah mendapat projek, dengan ikhlasnya pelobi menawarkan sumbangan ikhlas beberapa persen sekiranya berjaya mendapat projek tersebut. Macamana tu ikhlas kerana Allah ke? Atau Ikhlas memberi projek untuk mendapat E class?

Marilah kita mengambil iktibal dari nasihat tokoh pemimpin Islam kita terdahulu yang boleh dikaitkan dengan kedudukan ikhlas. Bergantung kepada anda pembaca budiman untuk menilaikan nasihat SAHL BIN ABDULLAH ATTUSTURI RH.A , kata beliau:

Ilmu, Amal, Ikhlas

“Seluruh manusia akan mati, kecuali para ahli ilmuan. Para ahli ilmuan itu akan mabuk, kecuali yang beramal. Seluruh yang beramal itu tertipu, selain yang ikhlas. Orang yang ikhlas itu berada dalam ketakutan, sebelum diketahuinya kesudahan amalnya itu.”

Memang panjang kalau kita nak menceritakan bab keihklasan ni. Amat sukar untuk mendefinasikannya sekira ianya diucapka. Akan tetapi mudah untuk kita mengenal keikhlasan itu sekiranya ia ditunjukkan dengan perbuatan. Jadi ingat-ingatlah kalau benar-benar nak membuat sesuatu pekerjaan tu dengan ikhlas tak payahlah disebut. Buat saja, anda akan melihat hasilnya. Seperti pepatah saya The Miracle Of sincerity .


Monday, March 22, 2010

PEMIMPIN PATRIOTIK VS PEMIMPIN KOSMETIK

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Semua tahu apa maknanya patriotik, tentulah semangat cintakan Alif, Bad an Ta (Agama, Bangsa dan Tanahair). Manakala pemimpin kosmetik pula akan kelihatan seperti Alif, Ba

dan Ta semangatnya tetapi hanya sekadar pakaian luar sahaja. Macam pakai alat kosmetik. Bila buang alat kosmetik Nauzubillah silap-silap kening pun tak ada. Bayangkan manusia tanpa bulu kening!! Muka yang putih melepak bersalut bedak tiba-tiba bersopak sana-sini. Begitulah gambaran kepada perkara yang dibuat-buat dengan perkara yang semulajadi.

Sedih dan menyedihkan apabila kita semakin hari semakin banyak pula makhluk jadian ini iaitu pemimpin kosmetik. Rentetan dari tajuk yang terhasil di atas adalah dari pengalaman peribadi bercampur gaul dengan pelbagai pemimpin dari pelbagai parti. Jangan hairan mengapa rakyat semakin benci dan loya dengan segala ceramah dan syarahan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin. Inilah yang dikatakan oleh peribahasa Jepun yang telah diberitahu oleh Ibu Julie Sudiro rakan seperjuangan saya di dalam KARYAWAN Malaysia. Kata beliau” manusia ini sering sahaja seperti pepatah Jepun menyatakan bahawa takala tercabut satu paku di ladam kuda sahaja sudah mampu mencacatkan larian seekor kuda. Lagi banyak paku di cabut dari kuda lagi mengurangkan kelajuan kuda tersebut”. Semua orang tahu bahawa kuda senantiasa dikaitkan dengan peperangan, bayangkan sebuah parti politik seperti paku di ladam kuda, bila banyak yang tercabut, maka kalahlah kuda tersebut dalam membawa pahlawannya berperang. Itulah gambaran yang sedang berlaku di dalam dunia politik, takala banyak yang digugurkan hanya kerana perbuatan pemimpin kosmetik lama kelamaan kita akan kehilangan pemimpin yang benar-benar patriotic. Pemimpin patriotic sering akan dihambat oleh musuh mereka untuk ditaburkan fitnah dan dianiyai, kerana potensi mereka yang terserlah. Jangan hairan kalau ada yang menghambat mereka untuk melontarkan fitnah terdiri dari rakan-rakan seperjuangan sendiri. Betapa bodohnya manusia, tanpa melihat risiko yang bakal di hadapi oleh parti.

Apabila berbincang dan bersembang sumbang bersama beberapa tokoh politik mereka sering menyuarakan kepada saya bahawa kita harus memerangi pihak lawan atau pihak parti pembangkang habis-habisan. Saya hanya tersenyum kerana dalam masa yang sama masing-masing mula memakai kosmetik dengan mengumpat dan mengata sesame sendiri di atas satu pentas perjuangan. Mereka ingin menjatuhkan sesame sendiri, bagi memastikan kedudukan politik mereka tidak tergugat. Mana yang lebih anda takuti musuh di depan matakah atau musuh di dalam selimut sendiri. Inilah yang dikatakan tidur satu bantal mimpi berlainan kepada sesetengah pemimpin kosmetik. Anak Cina Makan Pengat sendiri mahu ingat!!

Sifat pemimpin kosmetik ini bila berhadapan dengan parti lawan mereka akan membuat muka muncung dan masam di hadapan khalayak ramai tetapi bila di belakang berpeluk bercium pipi berbaik dan malahan ada yang secara senyap minta tolong untuk menjatuhkan rakan sendiri di dalam pentas politik yang sama demi mempertahankan kedudukan mereka dari di gugat oleh rakan seperjuangan mereka. Oleh itu jangan hairan kalau kita lihat sesetengah pemimpin parti pembangkang yang kaya raya, kononnya mendapat hasil dari luar Negara rupa-rupanya rezeki datang dari dalam kerana banyak dibantu pemimpin kosmetik.

Banyak perkara yang dapat dinilaikan dari pemimpin yang kosmetik ini. Iman bukan diwarisi begitu juga dengan patriotisme. Ia akan lahir samada dari kesedaran sendiri mempelajari dari kehidupan dan suasana masyarakat semasa. Pemimpin itu tak semestinya miskin atau tidak berharta untuk menjadi pemimpin patriotik tetapi lihatlah pendirian dan pegangan hidupnya. Ternyata beliau akan lebih bersikap terbuka dan lantang bila bersuara atau akan diam tetapi tegas ketika membuat sebarang keputusan. Tidak mempunyai pengikut yang ramai tetapi mempunyai ramai pengikut yang setia. Yang pasti pengikutnya bukan pengikut ayam, bila tabor dedak baru datang. Beliau mempunyai pengikut yang percaya pada karismanya, iaitu karisma memperjuangakan hak dan kebenaran.

Kita harus belajar dari sejarah bagaimana Hang Tuah yang begitu hebat bertempur dengan musuhnya di sana- sini akhirnya kecundang dengan Raja hanya kerana orang dalaman atau pemimpin kosmetik yang berjuang di dalam rumah yang sama tetapi menjatuhkan rakan seperjuangan sendiri. Moral dari cerita ini adalah ternyata betapa besarpun musuh di luar atau banyaknya parti pembangkang di luar tak mustahil utnuk kita mengalahkannya tetapi sekiranya musuh itu berada sesame kita dan tidur sebantal dengan kita itu lebih merbahaya. Pemimpin kosmetik ini tak perlu ramai utnuk menumbangkan parti kerana kerja dalaman beliau akan lebih berkesan dari kerja luar parti pembangksang. Tak susah menghadapi musuh di depan mata dari menghadapi musuh sesame kita.

Baru-baru ini juga cerita 300, juga telah menunjukkan kepada kita disebalik cerita tersebut seorang pemimpin Sparta hanya membawa 300 askarnya yang patriotic ingin menghadapi musuh yang beribu jauh lebih banyak dari askarnya. Beliau pemimpin Sparta akhirnya dapat mengalahkan beribu tentera Persia dengan hanya 300 askar beliau. Di akhir cerita ternyata pemimpin Sparta tersebut akhirnya kalah kerana hanya pemimpin Persia dapat membeli orang dalam atau pengkhianat Sparta. Banyak lagi cerita kalau kita nak buat contoh bagaimana besarnya sumbangan seseorang pemimpin kosmetik untuk menjatuhkan Agama, Bangsa dan Negara.

Bagi pemimpin atasan ingin saya nasihatkan agar lebih membuat kerja dalaman dari luaran dalam menghadapi pilihanraya akan datang kerana dari sejarah dan cerita yang telah dipaparkan ternyata adalah lebih membahayakan sekiranya kita tidak menumpaskan atau melucutkan jawatan-jawatan pemimpin kosmetik ini sebelum kita menghadapi pemimpin parti pembangkang. Berhati-hati ketika memilih calon-calon pilihanraya kerana penyakit hasad dengki akan muncul takala antara mereka yang tidak terpilih akan menikam calon dari parti sendiri dengan menjadi pengkhianat kepada parti semata-mata kerana dendam kepada calon yang dipilih.

Berbeza perjuangan pemimpin kosmetik dengan pemimpin patriotik takala kita melihat semangat yang dipupuk dan nilai-nilai yang ada di kalangan mereka. Kalau pemimpin kosmetik mereka akan banyak bekerja semata-mata untuk jawatan dan hasil kekayaan yang mereka perolehi dari jawatan yang di sandang. Sedangkan pemimpin patriotik ini akan lebih bekerja atas nama Agama, Bangsa dan Negara. Saya percaya bahawa pemimpin patriotik akan lebih kekal kerana keikhlasan dalam perjuangan mereka. Kita janganlah terlalu yakin bahawa kajatuhan sesuatu parti hanya disebabkan oleh factor luaran tanpa mengambil kira tentang faktor dalaman.

Pemimpin atasan harus lebih muhasabah di masa akan datang mengapa setiap perkara yang berlaku adakah berpunca dari dalam atau luar. Kemarahan rakyat adalah seperti lilin. Kecil menjadi kawan bila besar menjadi lawan. Terkadang-kadang terfikir juga oleh saya antara ramai-ramai manusia yang membuat demonstrasi di sana-sini apakah kita perhatikan setiap seorang yang menghadirinya ada atau tidak di kalangan parti kita yang sanggup keluar berdiri di tengah kekalutan demonstrasi tersebut untuk menenagkan keadaan rakyat? Mana pejuang-pejuang kita? Apakah takala kita yang memerintah sebaliknya apabila muncul kemarahan rakyat kita menghantar golongan pekerja seperti polis dan FRU. Mana perginya pemimpin yang harus bertanggungjawab menenangkan hati rakyat. Rakyat adalah tanggungjawab pemimpin. Fikirkanlah!!Jangan sekadar bercakap di belakang tabir, itu semua boleh buat kalau berani hadapilah kenyataan dan keadaan yang sebenar. Turun padang dan lihat sendiri dan bukan sekadar melihat dan bercakap di kaca TV.

Inilah yang dikatakan fitnah. Kalau kita mengambil pendekatan untuk tidak mahu menyaksikan sesuatu masalah dengan mata kepala kita sendiri maka mudahlah fitnah mengambil tempat untuk menghancurkan sesama sendiri. Di atas segalanya apa yang penting seseorang pemimpin itu seharusnya mempunyai senjata yang paling tajam dan utama iaitu beriman. Koran dengan imam sahaja maka tidak akan wujud sikap pemimpin kosmetik. Kata Harun Yahya :

“ Kebencian dan kemarahan adalah sumber utamakejahatan dan kecenderungan untuk menghalang manusia daripada menbuat keputusan yang adil, berfikir dengan baik dan mengawal diri dengan waras, Sesetengah orang dengan mudah mengenakan setiap jenis ketidak adilan ke atas orang yang dibencikannya. Mereka boleh menuduh seseorang perbuatan yang tidak pernah dilakukkannya atau memberikankesaksian palsu terhadap mereka walaupun si penuduh itu tahu kemurnian sikap tertuduh.

Atas sikap permusuhan itu ramai yang menghadapi penindasan yang tidak tertanggung. Sesetengah orang mengalak memberikan kesaksian, memihak kepada orang yang tidak bersetuju dengannya walaupun mereka tahu yang mereka tidak beersalah dan tidak memberikan bukti bagi menyembunyikan keadaan tidak bersalah itu.

Atas sebab-sebab ini adalah sukar bagi manusia dalam masyarakat yang korup atau rosak untuk saling mempercayai. Manusia akan senantiasa dibimbangi akan terjatuh menjadi mangsa seseorang. Oleh kerana hilang nilai saling percaya mempercayai mereka akan turut kehilangan perasaan kemanusiaan seperti sikap toleransi, belas kasihan, persaudaraan dan kerjasama dan mula membenci antara satu sama lain.”

Inilah yang paling di khuatiri dan inlah punca-punca yang akan mewujudkan pemimpin kosmetik. Tak kala di lihat dari luar slaing kerjasama antara sesama parti tetapi di belakang merekalah yang bertanggungjawab menjatuhkan pemimpin-pemimpin patriotic di kalangan parti sendiri. Akhirnya jadilah seperti pepatah Jepun tadi tercabutnya satu persatu paku di ladam kuda. Muhasabahlah!!

Saturday, March 20, 2010

KHALIFAH VS PEMIMPIN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Sekali pandang perkataan di atas tentulah istilah tersebut membawa erti yang sama. Namun sejauh manakah manusia memandang dua perkataan yang membawa erti yang sama tetapi pengertian yang jauh berbeza. Secara sedar atau tidak penulisan ini akan lebih di khususkan kepada sekelompok manusia yang bergelar Islam terutamanya yang telah membawa satu pengertian yang berbeza ke atas dua perkataan yang sama, lalu diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Pelik bukan? Kalau orang Melayu maka perkataan pemimpin begitu sinonim dengan mereka. Manakala orang yang mendalami Islam serta memahami Islam dengan sedalam-dalamnya akan tentu mengerti bahawa mereka tidak mungkin akan mengutuk pemimpin sesebuah Negara terutamanya beragama Islam sekiranya mereka mengerti istilah sebenarnya perkataan tersebut dan dari mana pangkat dan jawatan sebagai khalifah itu datang. Bila sampai di bumi dan jatuh ke tangan Melayu maka jadilah pemimpin bukan perkataan sahaja berbeza tetapi juga mereka telah membawa pengertian yang berbeza di dalam kehidupan seharian mereka.

Perkataan tersebut sama dengan perkataan “mungkir janji”, tetapi istilah tersebut adalah membawa pengertian yang sama dengan “munafik”. Jadi mana yang lebih di sukai apabila kita menggelarkan seseorang itu antara “mungkir janji” dengan “munafik”. Kerana ringannya penukaran sesebuah perkataan tersebut maka ringan jugalah penerimaan seseorang ke atas perbuatan mereka. Walau apa pun istilahnya tetap sama, Cuma aplikasinya sahaja berbeza. Akhirnya mungkir jamji jadi “tidak apa”.

Rata-rata kita tidak boleh lari dari penggunaan istilah dan ayat-ayat yang akan membawa semangat sehingga diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Sehingga beberapa moto atau tema telah pun dianggap begitu penting dalam mengubahkan karekter seseorang. Seperti contoh ketika kita menyahut “Malaysia gemilang” berulangkali terasa satu semangat yang mendadak di dalam dada kita terhadap cintakan Agama, bangsa dan Tanahair. Di situlah manusia akan mencari dan mula mengaplikasikan ke dalam diri mereka beberapa ayat ataupun perkataan yang boleh memberikan satu pemahaman terhadap hala tuju perjuangan seharian.

Berbalik kepada 2 perkataan di atas mengapakah ianya di vs kan sedangkan perkataan tersebut langsung tidak berlawanan. Apa yang ingin di kupaskan di dalam penulisan ini adalah bukan perkataannya tetapi pengertiannya ke atas sesetengah sekelompok masyarakat.

Sebagai seorang Islam kita semua tentu mengetahui bahawa terdapat di dalam Al Quran tentang Firman Allah yang menyatakan kita manusia itu di jadikan Allah adalah khalifah di bumi. Maka secara pembacaan spiritual itulah yang kita pegang dan genggam ketika baru dilahirkan iaitu sebuah amanah dan perjanjian dengan Allah untuk menjadi pemimpin di bumi ini. Maka setelah kita meninggal semua jari-jari kita terlepas, menunjukkan bahawa kita tidak lagi membawa jawatan atau apa sekali pun yang telah Allah berikan kepada kita dengan penuh Rahman dan Rahim untuk mengadapNya.

Itulah jawatan khalifah yang sebenarnya yang harus kita manusia fahami. Bukan dengan menggunakan perkataan pemimpin maka kita akan hanya melihat kesalahan orang-orang atasan kita sahaja tidak kiralah di pejabat ataupun di dalam dunia politik. Sibuknya kita mencari kesalahan pemimpin sehingga kita lupa bahawa kita juga telah di lahirkan sebagai pemimpin di atas perlantikan Allah itu sendiri. Oleh sebab itu tidak hairanlah sekiranya menjadi pemimpin yang di akui manusia itu lebih dikehendaki dari menerima hakikat perlantikan dari Allah. Cuba bayangkan kita menolak perlantikan Allah dan menerima perlantikan dari manusia. Sekiranya sampai begitulah tahap pemahaman seseorang Islam khususnya, maka tak mungkin kita akan kejar pangkat dan kedudukan sebagai pemimpin masyarakat sekiranya tugas kita yang diberikan Allah sendiri pun tidak kita laksanakan.

Secara fitrah dari Allah sekiranya seseorang manusia itu begitu banyak membantu dan menolong masyarakat kerana Allah maka sudah tentu akan dipilih di kalangan kelompok masyarakat tersebut sebagai pemimpin. Jadi mengapa kita harus menunggu untuk dilantik menjadi pemimpin oleh parti contohnya untuk menyalurkan sumbangan kepada masyarakat. Apa yang melucukan apabila saya bertanya seseorang hamba Allah ini “mengapa kamu tak mahu menyumbangkan tenaga di dalam NGO contohnya”. Kata beliau “ kerana aku bukan pemimpin, kalau aku pemimpin tahulah macamana aku nak tolong orang”. Inilah yang dikata konflik pemahaman ke atas dua perkataan berbeza yang membawa erti sama tetapi pemahaman yang berbeza. Kerana kejahilan pengertian inilah maka manusia menunggukan pangkat dan jawatan serta anugerah dari manusia lain sebelum melaksanakan tugasnya sebagai khalifah atau pemimpin yang sebenar.

Maksud lain dari pemimpin itu ialah pimpin kalau istilah yang kita tahu di dalam bahasa pimpin itu ialah menolong atau membantu. Maka sekarang tentu anda faham bahawa Allah menghantar kita ke bumi sebagai khalifah bukanlah untuk merebut jawatan dan pangkat buatan manusia tetapi menjalankan tanggungjawab memimpin anak, isteri dan yang paling penting memimpin diri sendiri supaya berada di dalam “jalan yang lurus dan benar” 17 kali sehari semalam tak termasuk yang sunat kita pohonkan dari Allah. Anak Cina makan pengat jadi ingat sendiri mahu ingat. Kehidupan, udara dari Allah, jalan di bumi Allah tetapi sombong tolak pangkat dan jawatan yang sedia di beri Allah bergolak-berperang untuk jawatan buatan manusia.

Allah akan menaik dan menurunkan siapa yang Dia kehendaki jadi untuk apa kita sesama sendiri bertikaman, menganiayai satu dengan lain semata-mata merebut jawatan buatan manusia sehingga meninggalkan jawatan yang telah di anugerahkan Allah. Maka tidak hairanlah sekiranya terdapat ramai bohsia dan mat rempit, pelacuran dan black metal di kalangan orang Islam kerana telah ramai ibubapa sebagai pucuk pimpinan mengejarkan jawatan pemimpin dunia dengan membelakangkan tanggungjawab kekhalifahan sedia ada yang seharusnya mereka laksanakan.

Junjungan kita Muhamad juga pernah bersabda bahawa akan muncul khalifah di kalangan kamu, yang dipilih oleh Allah. Apakah kita tidak fahami berbezanya sekiranya ketika “mahu kita” dan “mahu Allah”.

Inilah yang dikatakan manusia semakin lama semakin bodoh. Menjaga pemimpin seperti Tuhan yang mampu menawarkan pangkat dan jawatan yang belum tentu dapat menjanjikan apa-apa. Tidak ada Al ghoni (Maha Memberi Kekayaan) kepada manusia. Tidak ada Al Aliy ( Maha Meninggikan ) kapada manusia namun masih tetap mereka cari dan ampu sesama manusia. Bertaburan wang rasuah di sana-sini untuk melobi manusia mendapatkan pangkat dan kedudukan. Bukankah sekiranya kita menjaga Allah sesen wang pun tak perlu kita belanjakan. Allah lebih mengetahui apa yang baik dan buruk untuk kita. Kalau Allah mahu kita menjadi pemimpin Negara atau masyarakat dengan sekelip mata “Kun fa ya Kun”.

Pengajaran dari apa yang diterangkan di atas adalah supaya kita melihat tanggungjawab kepimpinan kita terlebih dahulu sebelum kita menilai kepimpinan orang lain. Janganlah kita menuding jari kepada pemimpin masyarakat apabila kepimpinan kita di dalam rumahtangga dan terutama diri kita sendiri pun masih tidak berada di dalam jalan yang lurus dan benar. Hayatilah salah satu dari nasihat Rub’iy Bin Amir r.a ( panglima yang di utuskan ke Parsi) :

Diucapkan kepada Rustum (Panglima Parsi):

“Allah membangkitkan kami untuk mengajak sesiapa yang mahu daripada kamu memerdekakan diri dari penyembahan sesama manusia kepada pengabdian kepada Allah ‘Azza Wajjala, daripada ajaran-ajaran yang sesat dan kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Daripada dunia yang sempit kepada dunia yang luas (dunia dan akhirat)

Inilah manusia ketika Allah menawarkan kepadakita dua dunia kita tetap memilih satu. Semua yang hanya nampak oleh mata kepala. Inilah yang sering di Firmankan Allah “Bukan matamu yang buta, tapi hatimu di dalam dada”. Tolak jawatan anugerah Allah untuk menafaat satu dunia. Muhasabahlah!!

Thursday, March 18, 2010

POLITIK ULU VS POLITIK PARANG

BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM

SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA NABI MUHAMAD S.A.W

Kata pepatah orang tua-tua “lain ulu lain parang…lain dahulu lain pula sekarang”.Memanglah zaman telah berubah, cara berpolitik tidak semestinya berubah apabila perjuangan dahulu membuktikan keberkesanannya. Pemikiran memang benar harus bersesuian dengan zaman, namun semangat dahulu haruslah dikekalkan. Apakah hebatnya semangat orang dahulu? Alhamdullillah diberikan pengalaman oleh Allah menjadi seorang anak bekas ahli politik tentulah turut terlibat dengan ranjau, onak dan duri yang dilalui oleh aruah ayah dahulu. Hebatnya politik orang dahulu tentulah semangat perjuangannya. Kalau sekarang seseorang yang menjadi anak ahli politik tentunya merasa bangga dan hidup dengan penuh kemewahan, namun berlainan dengan dahulu, kalau bapa seorang ahli politik anak dan keluarga dahulu yang terpaksa dikorbankan demi untuk kepentingan rakyat. Kepentingan masyarakat didahulukan dan kemudian keluarga. Mengambil kesempatan dari kuasa yang ada jauh pangang dari api.

Kalau dahulu sebut sahaja nama pemimpin meremang bulu roma, macam ada daulatnya. Namun sekarang sebut sahaja nama pemimpin ada yang mencebeh mulut, macam tak hairan. Hormat kepada pemimpin semakin lama semakin menurun. Faktor yang memainkan peranan hasil dari keadaan ini tak lain dan tak bukan adalah kerana pemimpin itu sendiri. Mereka menganggap cukup dengan ada pangkat dan jawatan kehormatan akan datang bergolek. Banyak ciri pemimpin dahulu yang harus di ambil iktibar. Hormat tak datang bergolek tetapi kehormatan datangnya adalah apabila seseorang pemimpin itu tidak sekadar menabur janji atau dengan perkataan lain ”retorik”. Kalau disuruh masyarakat hidup dengan berjimat cermat tetapi sebaliknya pula yang berlaku ke atas ahli keluarga mereka . Menyuruh masyarakat menagungkan jenam negara tetapi pemimpin sendiri serta keluarga mereka memilih jenama luar negara macamana? Anak Cina makan pengatlah jawabnya.

Itu tak termasuk lagi bab sekolah. Dan pusat pengajian tempatan. Boleh dihitung dengan jari apabila kebanyakkan anak pemimpin belajar di sekolah dan pusat pengajian tinggi tempatan selainnya dari anak sampai ke cucu semuanya ke sekolah luar negara. Kalau di dalam Malaysia pula tak mainlah sekolah kebangsaan setidak-tidaknya sekolah antarabangsa. Kalau bab bahasa. Tak tau nak cakap agungkan bahasa kebangsaan tetapi anak-anak tak kira tempat dan masa ”speaking” memanjang. Bukanlah semua tetapi segelintirlah. ”Bahasa mengenal bangsa” itulah kata P.Ramlee.

Mungkin pemimpin sekarang telah lupa bahawa di era siber ini dah banyak mata, telinga dan suara terbuka begitu juga minda. Masyarakat dah cerdik pandai. Maka janganlah ”retorik lagi. Kalau cakap lain buat lain,tak tahulah. Otak masyarakat yang cerdik pandai ini senantiasa memikir. Kalau dahulu berfikir sendiri tetapi di zaman globalisasi ini orang luar juga turut memikirkan tentang baik buruk kepimpinan kita. Lebih ramai masyarakat sekarang yang senang duduk diam tetapi memikir macam-macam. Tiba-tiba meletup sana-sini, jadi hati-hati. Tunggu masa nak tepuk sorak kalau melihat mana-mana pemimpin jatuh. Kalau dahulu pemimpin yang jatuh atau pencen senantiasa akan dihormati dan dijadikan tempat rujukan dan penasihat. Tetapi sekarang kalau pemimpin dah jatuh atau pencen bukan sahaja tak dihiraukan ada pula yang kalau boleh nak tanam hidup-hidup. Ingatlah bahawa dunia ini mempunyai putarannya sendiri. Itulah kebesaran Allah. Apa yang kita buat hari ini belum tentu kita akan terlepas kifarahnya. Makanlah pengat banyak-banyak agar sendiri mahu ingat!!!

Menjadi pemimpin bolehlah saya istilahkan sebagai seseorang yang telah dianugerahkan oleh Allah sebidang tanah. Inilah masanya bagi mereka untuk membajak dan menuai bersama rakyat dan mengambil hasilnya juga bersama rakyat bukan sewa tanah jadi macam ceti. Untung tanah dapat bunga, buah dan daun semua makan sendiri. Bukan semua di dunia ini bertuah untuk dianugerahkan tanah, jadi pandai-pandailah bercucuk tanam dan membahagikan hasil bersama. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Tapi nama yang ditinggalkan itu biarlah harum supaya tidak terpalit kepada keluarga. Tak pasal-pasal nanti jadi gajah yang masuk lumpur, habis terpalit pada keluarga.

Kalau kita menghayati Islam yang sebenar, maka kita akan mengkaji dan mengkaji zaman sahabat-sahabat Rasulullah dan Rasulullah itu sendiri. Tak pernah dengar pula di zaman Baginda ditinggalkan pelbagai harta dunia untuk keluarga melainkan Qarun dan Firaun. Sampai sekarang kita dapat melihat kemegahan harta Firaun dan kalau digali semuanya disebut harta Qarun. Janganlah jadi Qarun dan Firaun. Kalau Anbia di zaman Rasullullah kita hanya mendapat banyak peninggalan kitab-kitab dan ilmu. Masih lagi orang tidak mahu menghiraukannya. Masih lagi orang sibuk mencari dan menimbunkan harta. Sedangkan harta belum tentu dapat menjaga kita, tetapi ilmu sudah pasti dapat menjaga kita dan harta. Berilmulah, supaya kita akan terjaga dunia dan akhirat. Kebanyakkan pemimpin yang dihormati bukanlah kerana hartanya tetapi adalah kerana ilmu yang dimilikinya. Apabila harta yang ditaburkan kepada kroni dan sahabat handai habis harta lupalah nama. Namun sekiranya ilmu yang dicurahkan maka selamanya orang akan mengenang guru yang menumpahkan ilmu tersebut, selagi ianya dapat dimenafaatkan.

Pemimpin adalah pendakwah, bukan hanya sebagai pemimpin. Berdakwah bukan hanya bermaksud mengajar Islam tetapi keseluruhanya iaitu kebaikan. Kerana Islam itu sendiri membawa kepada kebaikan. Marilah kita hayati nasihat Al Syaikh Mustafa Masyur :

Hidup yang sebenarnya ialah hidupnya hati dengan iman. Berapa ramai orang yang nampak pada zahirnya hidup akan tetapi mereka pada hakikatnya mati dan berapa ramai pula orang yang pada zahirnya mati akan tetapi mereka pada hakikatnya masih hidup. Hendaklah kita mengorbankan segala apa yang kita miliki sama ada ia berbentuk kekuatan atau qudrat, mahupun dalam bentuk ni’mat yang Allah berikan kepada kita seperti waktu, fikiran, kesihatan, harta dan jiwa bahkan segala-galanya.

Iman akan melahirkan dalm hati kita segala perasaan dan pengertian ketinggian (’izzah) keketuaan dan kepimpinan terhadap manusia yang sedang lena dilanda arus kezaliman, kekufuran dan kekusutan. Tidak dapat tidak kita mesti merasakan akan ni’mat Kubra (ni’mat besar) yang dikurniakan kepada kita oleh Allah. Ni’mat ini ialah Islam sebagai satu cara hidup yang benar dan diterima Allah.

Kami mahukan kamu (pemuda-pemuda) sebagai rijal aqidah bukan rijal kalam (percakapan) atau rijal (pertengkaran). Rijal-rijal jihad dengan harta dan nyawa dan bukan di atas lembaran-lembaran buku sahaja atau kamu setakat mengajarkan apa yang kamu pelajari sahaja dengan fasik, kufur atau syirik. Kami mahukan kamu menjadi du’at bukannya sebagai penghukum. Kami mahukan kamu sebagai orang-orang yang senantiasa beramal dengan penuh keikhlasan yang sanggup berkorban dan senantiasa tabah dan tetap hati. Ketahuilah bahawa sesungguhnya kita ini hanya akan bernilai bila mana kita bangkit beramal untuk da’wah ini dan tanpanya (da’wah itu) maka tidak akan bernilai langsunglah kita”.

Itulah kata-kata tokoh Islam kita suatu masa dahulu. Bukan hartanya yang kita mendapat menafaatkan tetapi ilmunya yang akan kita menafaatkan sehingga hari ini. Jadi sebagai pemimpin fikirkanlah!! Jaga Allah, maka Allah akan menyempurnakan kehidupan kita, menjaga harta belum tentu kesempurnaan itu milik kita.

Wassalam

Monday, March 15, 2010

RAKYAT MERAPEK VS AHLI MENGAMPU & MENYAPU

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Bila dekat dengan tarikh pemilihan, perkara yang paling menyeronokkan apabila kita membuka internet dan membaca pelbagai komen dari pelbagai kelompok masyarakat. Dari pemimpin sampailah rakyat. Banyak pandangan yang telah diluahkan di dalam blog-blog. Apa yang amat menyedihkan adalah kebanyakkan yang meluahkan kemarahan adalah di kalangan mereka yang tidak terlibat langsung di dalam parti politik. Inilah yang saya katagorikan sebagai suara-suara rakyat yang merapek. Mereka ini tak ubah seperti anjing-anjing yang menyalak bukit. Suara akan hilang suatu hari tetapi bukit tetap tegak berdiri. Macam busut jantan. Naik makin tinggi. Lagi tinggi busut jantan maka akan ada lagi ramai pasang lilin atas busut tersebut untuk jadikan busut tu keramat minta apa yang patut. Selalunya nombor ekor lah. Kebanyakkan pemimpin telah menjadi seperti busut jantan kebelakangan ini. manakala ahlinya pula akan menjadi seperti peminta yang mengadakan upacara ritual pada busut jantan. Bezanya Cuma tak minta nombor ekor lah tetapi minta projek. Niat tu sama Cuma cara sahaja yang berbeza. Jadi anak cina makan pengat sendirilah mahu ingat.

Banyak betul idea dan perasaan yang dicurahkan oleh rakyat. Kalau penulis lebih lagi lah. Kalau penulis ditakdirkan menggunakan air liur untuk buat dakwat dah lama kering kontang,. Namun perubahan “from bad to good” masih tidak nampak sebaliknya menjadi “ from bad to worst”. Letih saya tengok rakyat dok merapek sana-sini. Mengapa saya katakan merapek sebab antara mereka yang suka memberi komen di kaki lima, kedai kopi, pusat pengajian tinggi, kakitangan kerajaan sama sahaja, “no action talk only”.

Sedangkan ahli yang mempunyai kuasa buat tak tahu. Orang cakap depa cakap bila berhadapan dengan pemilihan orang bercakap mereka mengampu, pemimpin hulur mereka menyapu. Sampai masa dan ketika pemilihan dah kenyang menyapu kena baliklah mengampu bagi undi calon yang mengampu dan menipu, rakyat jelata. Walau bagaimana ahli parti kena tipu sekalipun tak sama dengan rakyat yang tertipu menerima pemimpin yang kaki mengampu dan menipu ni. Kerana rakyat tak dapat pun untuk menyapu lagi teruk kena tipu pula. Dah jatuh ditimpa tahi kerbau namanya.

Kesian dan amat menyedihkan. Pilihanraya baru-baru ini telah membuktikan bahawa rakyat yang selama ini merapek telah bangun untuk menunjukkan bahawa mereka sudah mulai menunjukkan kesan merapek menjadi menyampah dan akhirnya kalah. Bagaimana pula dengan era pemilihan kali ini. Apakah ada antara rakyat yang menjadi ahlli parti sekaligus menjadi perwakilan? Kalau ada nampaknya bukan sekadar lima negeri hilang silap haribulan setengah pemimpin di kabinet pula melayang. Apakah keadaan ini akan berlaku? Makan pengat banyak-banyak.

Rakyat sekarang harus tahu membezakan antara masa untuk merepek dan masa untuk diam. Biarlah saya nasihatkan di sini cukup-cukuplah menghentam para pemimpin. Kalau benar ada pemimpin yang mengampu dan menipu, maka ramai-ramailah kita masuk ke dalam parti dan jadi ahli. Sebab saya mulai merasa keliru antara ahli parti dan rakyat. Siapa yang harus dibela oleh pemimpin. Siapa yang boleh naik business class dan siapa yang naik ekonomi? Apa yang kita tahu setelah kita dilantik menjadi seorang pemimpin maka adalah wajar kita membantu semua golongan rakyat tak kiralah dari parti mana sekali pun atau sekadar ahli parti tupperware. Pokoknya semua adalah menjadi satu tanggungjawab bagi seorang pemimpin parti harus dan wajib membantu. Kalau asyik memilih geng yang sekufu sahaja maka pendek umurlah jawabnya.

Sebagai seorang rakyat yang sekadar memegang ahli parti tupperware diharap berhentilah menghentam sesama seagama, sebangsa dan senegara. Kalau nak cakap masuk gelanggang, barulah tak jadi anjing menyalak busut jantan. Busut jantan makin tinggi, anai-anai makin gemuk makan dan menimbun makanannya, akhirnya anjing mati kelaparan.

Dalam pemilihan akan datang kita akan tunggu dan lihat, apakah selama ini yang turut merapek sana-sini terdiri dari ahli parti atau rakyat marhain. Kalau benar banyak yang merapek sana-sini ahli parti maka tunggulah satu tsunami pemilihan yang besar-besaran akan berlaku. Tentu kita akan lihat semua pemimpin yang seperti tembikar bersalut emas akan pecah berkecai jadi lumpur semula. Tetapi kalau yang terpilih di kalangan mereka benar-benar “solid gold” maka ternyata satu hadiah harijadi untuk rakyat merasa terbela di masa akan datang.

Perkara pemimpin tembikar bersalut emas ni setiap kali pemilihan akan kekal sudah tidak menghairankan. Tetapi doa dan harapan saya kali ini, biarlah ahli parti menjadi cerdik sedikit, “rezeki jangan ditolak, janji maut sebagi ganti” kata pepatah saya. Kalau orang nak menghulur tak salah mengambil , seperti teman saya kata” terima hadiah tanpa balasan”. Kalau selama ini banyak pemimpin yang kita panggil sebagai “lips service” ( tanam tebu dibibir mulut ) Inilah pula masa kita nak “lips service” dengan mereka,batu mereka rasa. Banyak andaian mereka mengatakan wang adalah segalanya. Memang benar tetapi kalau wang yang diberi boleh dimakan sekali sedangkan yang bakal dipilih boleh kaut lagi berlori-lori, jadi apakah untungnya ahli kita membalas budi. Ingat!!! Jangan lupa pada sejarah. Setiap kali selepas pemilihan kita akan dengar dialog-dialog seperti ini,” dulu akulah yang kempen untuk dia menang, bila menang jangankan kata batang hidung tak nampak, talipon pun dah out of coverage”. Jangan sesekali anda lupa dialog ini, kerana ini sudah menjadi tradisi, asam garam balaci politik. Kalau tak mahu menjadi balaci dan kemudian yang dikempen cabut lari bila menang nanti, maka gunalah kuasa yang diberi buat pertama kali untuk benar-benar memilih pemimpin yang layak dan berakhlak. Ingat , makan pengat nanti sendiri mahu ingat!!

Banyak yang menyatakan di sana-sini bahawa setiap kali pemilihan parti wang turun macam hujan tetapi bila pemilihan sudah selesai wang jadi macam embun pagi, sampai tengahari kering-kontang. Banyak yang mengatakan bahawa wang sedemikian dapat berkekalan, mustahil, kerana itulah wang segera. Macam juga mee segera. Boleh makan tapi sekejap nanti lapar balik. Belum setengah tahun dah selesai wang suapan yang diberikan oleh calon kepada perwakilan tetapi bayangkan berapa lama pula mereka akan memimpin dan menyapu bila sudah berjawatan nanti. Jangan salah faham ini ditujukan kepada calon-calon pemimpin tembikar bersalut emas sahaja, Masih ramai yang solid gold tapi kena chemicle test dulu lah.

Apabila kita mendengar betapa hebatnya politik wang dalam pemilihan kali ini, mulalah hati sekali lagi tertanya-tanya, apakah ahli perwakilan kali ini terdiri dari mereka yang buta mata, buta hati? Apakah mereka-mereka ini akan terdiri dari mereka yang kosong minda dari pengalaman lalu? Itulah kata Tun Mahathir “ Melayu memang mudah lupa”. Tapi harap-harap kali ni mereka tak kan lupa kalau mereka masih sayangkan parti. Saya ingin mencadangkan agar pemimpin peringkat tertinggi parti, supaya mengambil nama setiap perwakilan dan menyemak akaun simpanan mereka,selepas pemilihan nanti. Kadang-kadang kalau kita asyik kenakan yang memberi tetapi tidak kenakan yang menerima tak adil namanya. Seperti seorang wanita membuang bayi, bila ditangkap hanya ibu yang melahirkan sedangkan nak cari bapa yang ada DNA bukannya susah tetapi tak pernah kita dengar bapanya turut ditangkap semuanya terlepas begitu sahaja. Pak Lah seharusnya mengumumkan supaya yang memberi dan menerima seharusnya kedua-dua sekali akan dikenakan tindakan disiplin parti dan seharusnya kedua-duannya dipecat baru adil namanya. Inilah dikatakan kalau orang yang nak menipu pasti tak ada yang akan menyapu.

Sebagai seorang calon bukankah lebih baik wang yang diberikan kepada perwakilan itu digunakan untuk kebajikan atau mengadakan majlis tahlil, hajat ataupun kesyukuran dan diinfakkan kepada anak yatim. Itukan lebih mulia. Apakah kita sudah tidak percayakan Allah. Sehinggakan kita lupa bahawa yang memegang hati manusia itu hanya Allah. Syaitan hanya akan memberikan gambaran dan kehidupan yang sementara sahaja kepada kita. Daripada keluar memberi rasuah mencari pengaruh secara merasuah lebih baik duduk sahaja dirumah dan cubalah untuk mempengaruhi Allah untuk mengasihi kita, kerana Dialah sahaja yang tahu apakah yang terbaik untuk kita. Biarlah apa sahaja orang nak kata, kedekut ka ataupun apa sekali pun kita sahaja yang tahu kemampuan diri kita serta harga diri kita tak perlu kita beli kalau kita mampu dan orang mahu. Kalau ada yang meminta suruh sahaja mereka minta pada bakal calon yang suka mengampu, menipu dan menyapu. Seperti kata P Ramlee “ kena dah meyamun jual penyangak”.

Bukan susah hendak mencari pemimpin yang layak, baik dan beriman. Syaratnya hanya satu, iaitu perwakilan sendiri kenalah mempunyai sifat yang sedemikian barulah terang lagi bersuluh ke atas pemimpin yang mempunyai ciri-ciri sedemikian. Sudah menjadi lumrah dunia apabila kita hendak mengenali seseorang maka kita harus kenal diri kita sendiri. Kalau kita penyangak, penipu dan penyapu maka begitu juga pemimpin dambaan yang kita mahu. Tak ramai yang mahukan pemimpin yang baik sekarang ini. Kalau tak menghulur untuk kita menyapu pasti ada saja yang tak kena dipandang kepada pemimpin tersebut. Kata AL IMAM AL GHAZALI R.A :

Mengenai kepentingan pemerintahan Islam.

“Ketahuilah bahawa syariat itu adalah asal pemerintah merupakan penjaganya. Setiap yang tiada asalnya akan runtuh, begitu juga demean setiap yang tiada penjaganya akan hilang.

“Barang siapa yang mengenal segala sesuatu tetapi tidak mengenal Allah Azza Wajalla seolah-olah ia tidak tahu apa-apa,”

“Jarang sekali keimanan itu memberikankemanafaatan apabila hatinya busuk, sedang akhlaknya rosak dan budi pekertinya cacat,”

“Hati adalah sebagai tanah sedangkankeimanansebagai benih yang ditanam disitu. Ketaatan adalah berjalan menurut arah dan arusnya hati, serta kesuciannya sebagai penggaliansungai dan aliran air yang disalurkan di situ. Adapun hati yang sudah terjerumus dalam kelazatan duniawiah dan sudah berkecimpung dalam segala kemaksiatannya, dapatlah diumpamakan sebagaitanah yang tandus yang tidak mungkin lagi dapat ditanami benih, sebab sudah tidak subur lagi untuk itu Benih yang ditanam di situ pasti tidak akan tumbuh.”

Inilah akibat yang akan berlaku seandainya kita tersalah pilih calon pemimpin kita yang akan datang. Janganlah kita sesudah tahu busuknya hati mereka janganlah kita nak cuba nasib nak menanam jawatan lagi kepada mereka kerana pemimpin yang spesis begini sudah rosak hati dan akhlaknya. Mahukah kita menyerahkan masa depan anak-anak kita kepada pemimpin yang mempunyai sebidang hati yang sudah tidak boleh disuburkan demean imam dan takwa untuk membela agama, bangsa dan negara. Iqraq!!

Sunday, March 14, 2010

RAKYAT YANG BUAT BODOH VS RAKYAT YANG DIPERBODOHKAN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Bila dekat pilihanraya banyak perkara akan timbul. Macam-macam cerita akan menular itu sudah menjadi perkara biasa. Namun apa yang seharusnya dirisaukan oleh para pemimpin adalah kalangan rakyat yang dikatagorikan seperti “rakyat yang buat bodoh”. Setelah sekian lama ada sesetengah pemimpin yang gemar memperbodohkan rakyat dengan janji-janji manis pilihanraya. Mereka akan ditaburkan dengan pelbagai rancangan yang akan dilaksanakan di sana-sini. Bagi rakyat-rakyat yang telah diperbodohkan saya pasti keadaan ini tidak akan berkekalan. Tahun demi tahun berlalu setiap janji yang telah diungkapkan seharusnya dilaksanakan. Rakyat sekarang bukanlah seperti dahulu lagi. Semakin ramai bijak pandai sehinggakan apabila kita melihat keputusan UPSR pun kita sudah boleh menilai betapa ramainya cerdik pandai di Negara kita hari ini. Kalau seseorang mahasiswa yang telah di dedahkan dengan teknik kajian thesis, maka secara tidak langsung mereka akan berfikiran kritikal dan senang mengkaji sesuatu perkara walaupun diluar bidang pengajian mereka.

Para pengkaji ini khususnya, akan mempunyai keinginan untuk mengetahui, dan menyelidiki setiap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh sebab itu tidak hairanlah dan wajar saya katakan dari hasil soal jawab beberapa orang yang di pusat-pusat pengajian tinggi khususnya bila di tanya tentang mengundi, mereka dengan selambanya menjawab buat bodoh sajalah.

Saya ingin mencabar supaya pihak kerajaan membuat bancian ke atas semua tenaga pengajar khususnya di semua pusat-pusat pengajian tinggi berapa ramaikah di antara mereka yang telah mendaftar sebagai pengundi. Inilah golongan bijak pandai yang boleh saya anggapkan sekarang tergolong sebagai rakyat yang buat bodoh.

Tidak sukar untuk kita memperbodohkan rakyat tetapi bukan mudah untuk mengetahui mereka-mereka yang pada dasarnya bekerja dengan kerajaan memakan hasil dari kerajaan tetapi bila tiba mengundi mereka akan buat bodoh. Anak Cina makan pengat jadi sendirilah mau ingat!!

Mungkin juga antara mereka telah mendaftar sebagai pengundi namun tidak ramai yang akan keluar mengundi kerana mereka merasakan bahawa lebih baik duduk buat bodoh dari diperbodohkan. Inilah kebanyakkan dan bukanlah semuanya para cerdik pandailah. Kalau dilihat dari kewujudan blog yang meningkat hari demi hari, kita seharusnya merasa risau bagaimana keadaan ini boleh berlaku. Mustahil blog-blog ini dibuat oleh makcik-makcik dan pakcik-pakcik di kampong. Banyangkan sebanyak mana blog yang dinaikkan sebanyak itu juga peratusan yang kebanyakkannya anti kerajaan wujud. Itu kalau hanya diambil kira di dalam blog belum lagi penulis-penulis surat layang. Saya pasti yang menjadi dalang adalah di kalangan mereka yang cerdik pandai. Tak kiralah penuntut, bekas penuntut, pengajar atau bekas pengajar.

Negara kita bernasib baik kerana hampir ke semua dan hanya bilangan kecil sahaja yang buta huruf. Selebihnya semuanya pandai membaca dan bertambah pula sekarang apabila melihatkan peratusan pelajar yang mula menunjukkan kenaikan di dalam pencapaian keputusan peperiksaan. Kalau dahulu orang berlumba-lumba untuk memasuki asrama penuh yang tidak penuh. Namun sekarang ada juga antara mereka yang mempunyai keputusan cemerlang juga belum tentu dapat memasuki asrama penuh atau pusat pengajian tinggi. Kita bahagia dan gembira melihat pencapian rakyat Malaysia yang begitu meningkat dan mengagumkan. Namun pernah tak kita terfikir bahawa hari demi hari rakyat-rakyat sedemikian bukanlah satu golongan yang mudah lagi diperbodohkan. Mereka lebih melihat kepada kejadian sesuatu perkara dan bukan janjinya sesuatu perkara itu untuk berlaku. “Action speaks louder than words”. Memandangkan kita hanya satu-satu Negara yang mempunyai Internal security Act (ISA), maka ianya akan hanya memperbanyakkan rakyat-rakyat yang buat bodoh di kalangan kita, namun secara dalaman mereka akan mengatur pelbagai strategi untuk menjatuhkan kerajaan.

Kadang-kadang terasa hairan melihat di mana banyakkan wang yang diperolehi oleh pihak pembangkang. Dari mana datangnya wang yang begitu banyak sehinggakan boleh dan mampu mengaturkan pelbagai acara sini sana. Bila sesuatu demonstrasi di adakan penuh. Ada di antara muka-muka mereka yang saya kenali kelihatan seperti orang yang bodoh tetapi akhirnya mereka adalah orang yang buat-buat bodoh selama ini. Bila sampai waktu dan harinya kecerdikan mereka mula terserlah. Apakah keadaan ini akan berlaku ketika pilihanraya nanti? Apabila yang selama ini kita anggap telah diperbodohkan oleh wang ringgit tiba-tiba tergolong dari mereka yang hanya berbuat bodoh menantikan untuk merejam kita semasa pilihanraya.

Pesanan buat para cerdik pandai kalau benar-benar cerdik dan pandai maka janganlah berbuat bodoh dengan mengenepikan kepentingan mengundi semata-mata merasakan diri itu lebih pandai untuk menentukan siapa pemimpin. Mana ada orang gagah yang duduk dalam rumah tapi menang perlawanan. Jadi keluarlah dari kepompong buat bodoh selama ini untuk memilih pemimpin yang dirasakan bijak di kalangan yang bijaksana. Bukanlah mencari pemimpin yang hanya bijak memperbodohkan rakyat. Pemimpin yang petah dan sekadar pandai bercakap harus di simpan sahaja dari senarai wakil rakyat kerana inilah di kalangan pemimpin yang hanya pandai memperbodohkan rakyat. Carilah di kalangan mereka yang terbukti dapat dan telah melaksanakan sesuatu kepada rakyat, kerana rakyat semakin bijak dan pandai. Rakyat semakin kritikal dan bukan sekadar mendengar tetapi telah menggunakan hampir ke semua pancainderanya untuk mengkaji dan menyaksi apakah klangkah yang telah dijanjikan itu telah pun dilaksanakan.

Tidak hairanlah sekarang banyak role model yang harus diwujudkan. Pakar motivasi lebih diminati dan sanggup rakyat bayar beribu ringgit hanya untuk mendengar kata dan nasihat mereka. Mana ada di zaman dahulu pakar-pakar motivasi seperti ini. Kalau zaman dahulu yang diminta nasihat tak lain hanyalah dari para pemimpin. Para pemimpin zaman dahulu tak ubah seperti khutub khanah seperti sebuah library untuk rakyat merujuk. Berlainan sungguh dengan zaman sekarang, sesetengah rakyat hanya memandang pemimpin sebagai “ibu duit” sahaja tempat untuk memperolehi kekayaan dan kesenangan. Maka dari itulah bila terlucutnya jawatan seseorang pemimpin tak ubah macam “kupang tembaga” kata orang Kedah iaitu singkatan kepada “dah tak berguna”. Kalau pemimpin dahulu akan terus di cari walaupun sudah tidak berjawatan kerana orang dahulu dan pemimpin muda dahulu senantiasa dahagakan ilmu untuk menjadi seorang pemimpin hebat tetapi pemimpin muda sekarang hanya ambil bahagian tertentu sahaja di dalam buku untuk membuat modal memperbodohkan rakyat. Hakikat sebenarnya ilmu secara peribadi tak ramai di kalangan mereka yang lalui atau mereka perolehi dari pemimpin lama. Bila seseorang pemimpin sudah tidak berjawatan mereka pun lari tak bertangga. Nak bercakap dan berpolitik hanya main selak buku sahaja dan megah menyebut penulis-penulis barat berkata itu dan ini dan kita harus menuntut di Harvard contohnya untuk menjadi bijaksana dan pemimpin hebat. Hakikatnya nak menuai padi pun tak pandai apa lagi turun menoreh getah, macamana nak menjiwai rakyat menjadi wakil rakyat yang hebat. Macamana nak tahu kesusahan rakyat kalau hampir 90% jadual kehidupan dihabiskan samada di luar Negara ataupun di bangunan koperat.

Sememang jarang sekali kita lihat sekarang pemimpin-pemimpin yang duduk lepak di kampung-kampung dan kedai kopi kalau bukan musim pilihanraya. Rakyat sudah jelak dengan perangai sedemikian, rakyat sudah bosan diperbodohkan. Kita harus ingat bahawa di kampong-kampung juga telah ramai para graduan yang bercucuk tanam dan membela lembu dan kambing. Jadi mereka inilah yang akan menjadi para pemikir untuk orang kampong, oleh itu para bakal pemimpin budiman jangan lah lupa. Zaman memperbodohkan rakyat sudah berlalu. Apa yang harus kita bendung jangan sampai rakyat membuat bodoh malas memikirkan tentang siapa bakal pemimpin, dan malas keluar rumah untuk mengundi. Golongan rakyat seperti ini yang harus kita risaukan.

Walau bagaimanapun dinasihati kepada rakyat namun terletaklah kepada mereka sendiri samada mahu diperbodohkan atau buat-buat bodoh namun bagi mereka yang enggan tertipu lagi maka kita dengarlah sedikit nasihat LUQMANUL HAKIM r.a:

“ Hai anakku!! Orang yang tertipu adalah orang yang berpegang kepada tiga perkara:

  1. Orang-orang yang membenarkan kepada sesuatu yang tidak dilihat.
  2. Orang yang suka kepada orang yang tidak mempercayai dirinya.
  3. Orang yang tamak terhadap apa yang tidak diperolehi dirinya sendiri”.

Jadi bagi mana-mana rakyat yang tidak mahu diperbodohkan maka ianya seperti juga ditipu oleh pemimpin maka dengar-dengarlah nasihat tersebut. Bagi yang nak berbuat bodoh, maka sebenarnya anda memang bodoh kalau tidak keluar mengundi, kerana dari situlah akan dinilai kecerdikan anda menggunakan hak memilih pemimpin yang anda rasa bakal tidak memperbodohkan rakyat.

Saturday, March 13, 2010

SURVIVAL MELAYU VS MELAYU YANG SURVIVE

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Apabila Melayu berkumpul tidak kiralah samada di coffee house, kedai kopi, kedai mamak ataupun di dalam mesyuarat-mesyuarat pertubuhan, tidak dapat tidak pasti mereka akan membincangkan tentang survival Melayu. Bagaimana untuk mempertahankan hak Melayu, bagaimana untuk menambahkan keistimewaan orang Melayu dan berbagai-bagai lagi. Perkataan membantu dan menyumbang atau subsidi sudah menjadi darah daging dan kehidupan Melayu. Ada yang bangga dengan perkataan-perkataan sedemikian untuk menunjukan pertuanan Melayu gagah di bumi Malaysia dan tidak kurang juga antara bangsa Melayu yang merasa terhina dengan perkataan subsidi, bantuan dan keistimewaan Melayu ini. Bila kita mula memperkatakan atau memeberi komen tentang Melayu akan timbullah beberapa pendapat yang akan mengatakan bahawa kita anti Melayu. Apa yang cuba saya nyatakan di sini adalah sebagai anak Melayu saya ingin kita sama-sama menyuluh muka dicermin terlebih, sebelum kita menegakkan hak kita. Melayu berhak, benar tetapi beramaikah antara kita yang akan bersedia untuk menghadapi suatu keadaan apabila semuanya telah hilang dihadapan mata. Anak Cina makan pengat sendiri mahu ingat.

Pernah saya menyatakan suatu masa dahulu bahawa sesiapa yang ingin survive di dalam menghadapi zaman globalisasi yang kian mencabar dewasa ini maka kita harus segera keluar dari “comfort zone”. Jangan sampai kita biarkan kerajaan sahaja berhempas pulas untuk memikirkan pelbagai program, usaha, sumbangan, subsidi dan hak orang Melayu. Persoalannya sekarang dengan situasi politik ini mampukah mereka sendiri mempertahankan kerajaan? Apakah persiapan orang Melayu itu sendiri apabila apa yang diperkatakan oleh Tun Mahathir baru-baru ini bahawa bangsa apa pun boleh menjadi Perdana Menteri di Malaysia dan keadaan ini boleh berlaku bila-bila sahaja. Apa yang paling menakutkan lagi apabila kita melihat wang berterbangan di dalam musim pemilihan parti akan datang, apakah kita belum sedar bakal pemimpin apa yang bakal dipilih oleh ahli parti untuk memimpin masyarakat keseluruhannya? Dimana kita yang tidak menjadi ahli parti? Orang lain memilih orang lain yang akan menanggung akibatnya?

Semua orang berkempen dan berucap untuk memilih mereka bagi memastikan “survival Melayu”? Apakah benar? Apa akan jadi kalau pemimpin yang rasuah ini sahaja yang survive? Bagaimana dengan nasib orang Melayu yang tidak mampu survive tanpa bantuan dari pemimpin sedemikian. Pada pandangan saya secara peribadi seseorang pemimpin yang terpaksa berasuah ke sana-ke sini semata-mata adalah untuk memastikan mereka sahaja yang survive dan bukan Melayu secara keseluruhannya. Survival Melayu bergantung tinggi kepada maruah dan martabat orang Melayu. Bagaimana kita ingin mempertahankan hak atau maruah Melayu kalau pemimpin yang bakal dipilih sendiri tidak mampu mempertahankan maruah mereka?

Cuba kita fikirkan sejenak, apabila seseorang pemimpin itu terpaksa merasuah bagi mendapatkan pencalunan dan dipilih? Belum lagi memimpin sudah menggadaikan maruah bangsa sendiri dengan melakukan gelaja rasuah yang sepatutnya mereka membendung dan bukan mendukung gejala ini. Pada pandangan saya secara peribadi apabila dalam pilihanraya lalu masyarakat terpaksa memilih parti alternatif sebagai pemimpin ternyata perkara pertama yang rakyat tolak adalah gejala rasuah . Semua masyarakat sudah merasa muak dengan melihat pemimpin yang datang dengan menghulur ikan sana-sini dan bukan menghulur kail.

Fikirkanlah berapa banyak wang yang dimiliki oleh pemimpin pembangkang namun dengan hanya menggunakan air liur sahaja mereka sudah mampu menawan 5 negeri. Apakah masih kita tidak mahu mempelajari kesilapan kita. Bagaimana Melayu dapat survive kalau antara pemimpin melayu sendiri sudah menggadai maruah dengan berasuah sebelum sempat dipilih sebagai pemimpin lagi. Ternyata pemimpin yang terpaksa berasuah ini sudah hilang jatidiri dan kepercayaan terhadap kemampuan diri untuk membantu survival Melayu maka mereka pun terpaksa hanya memastikan mereka sahaja yang survive.

Mereka ingin mempertahankan hak orang Melayu tetapi berapa keratkah dari kalangan orang Melayu ini yang benar-benar mendapat haknya. Dalam pengalaman berniaga saya sendiri telah melalui berbagai masalah untuk mendapatkan pinjaman dan geran perniagaan yang berhak Melayu terima. Sebaliknya bila disiasat rupanya yang mendapat kononnya pertolongan untuk bumiputera ini hanya mereka-mereka kroni dari kalangan pemimpin sahaja. Ternyata apa yang mereka ciptakan, dasar yang mereka laksanakan hanya untuk kepentingan diri sendiri dan bukan Melayu secara keseluruhannya. Pelik dan ajaib sekali apabila kita melihat bangsa lain yang juga turut berniaga seperti orang Melayu tanpa mempunyai sebarang hak dan keistimewaan lebih mampu menyaingi kita berbanding dengan orang Melayu yang mempunyai hak melebihi mereka bangsa lain. Apa yang lagi menyedihkan apabila bangsa lain mula mempersoalkan tentang hak equiti 30%, kita sudah melenting tetapi apabila diberitakan oleh Tan Sri Ahmad Sarji tentang kita selama ini belum lagi pernah mencapai hak equiti 30% semuanya terdiam dan senyap. Bagi saya itulah sebenarnya perangai orang Melayu yang suka berdebat sana- sini tetapi akhirnya termalu diri sendiri apabila mengetahui pencapaian orang Melayu apabila mereka sendiri telah memperjuangkannya tetapi tidak mencapai perlaksanaannya.

Secara realitinya pemimpin Melayu memang suka sangat berdebat. Tak salah kata pepatah orang tua-tua bahawa “menang sorak kampung tergadai”. Malu sungguh memalukan melihat Melayu yang masih belum mampu survive setelah ramai pemimpin Melayu yang mendabik dada melaungkan survival Melayu. Hak sana dan hak sini akhirnya beri hak melopong lagi.

Janganlah kita terlalu beretorik untuk memperjuangkan hak orang Melayu kalau pemimpin masih mengamalkan sikap kronisme dan nepotisme. Orang Melayu yang benar-benar berhak dan mampu menjanakan ekonomi negara akhirnya terpinggir, macamana nak mencapai equiti 30% kalau keistimewaan tersebut masih belum mampu diangkat. Puncanya tak lain kerana pemimpin sendiri yang memberikan hak tersebut dikalangan Melayu yang tidak berhak dan tak hairan juga ada yang akan memberikannya hak tersebut dibelakang kepada bangsa lain.

Sebelum Melayu hendak menegakkan survival Melayu maka pemimpin harus mengkaji dan mengaji sikap orang Melayu itu sendiri mampukah mereka survive di dalam keadaan dunia yang mencabar ini. Janganlah kita buat kajian yang jauh, minta sahaja beberapa orang untuk membuat bancian berapa ramai Melayu yang terjebak dengan skim cepat kaya. Dari bancian itu kita sudah boleh menilai berapa ramai Melayu yang survive dalam skim tersebut dan berapa ramai Melayu yang terjebak dan berminat dengan skim tersebut. Tepuk dada tanya imam. Inilah masalahnya kalau Melayu hanya pandai menuntut hak tetapi tidak mempunyai daya kekuatan mempertahankan hak mereka dengan menunjukkan kemampuan bersaing dengan bangsa lain. Itulah rata-rata perangai orang Melayu memang tertarik dan suka dengan skim cepat kaya kerana mereka tergolong dalam orang yang malas berusaha orang yang tidak boleh survive dalam perniagaan. Semuanya mereka mahukan cepat. Sebab itulah untuk memastikan semuanya cepat maka jalan yang paling baik minta rasuah dan masuk skim cepat kaya. Kita lihat sahaja selepas pemilihan ini berapa ramai yang akan mengutip modal untuk masuk skim cepat kaya yang diberikan oleh pemimpin itu sendiri. Oleh itu mengapakah kita harus melaungkan tentang survival Melayu kalau pemimpin itu sendiri yang mengajar rakyatnya untuk survive hanya dengan mengambil rasuah dan memilih mereka.

Ramai antara mereka yang menerima rasuah menyatakan ada juga terdapat kalam-kalam yang mengatakan bahawa “ kalau tak pilih mereka susahlah nanti nak survive dalam business”. Tak faham-faham lagi perangai orang-orang kita? Baik yang memberi dan menerima rasuah inilah petualang-petualang negara sebenar merekalah orang-orang yang hendak survive sendiri dan bukan untuk mempertahankan survival Melayu secara keseluruhan.

Apabila kita melihat senario sedemikian saya ingin mengajak orang Melayu agar belajarlah untuk berniaga dengan sesungguhnya tanpa memperdulikan kenyataan-kenyataan tentang hak orang Melayu kerana sudah ada segelintir pemimpin Melayu yang telah menjual maruah dengan berasuah jadi jangan haraplah pemimpin seperti ini akan berjuang untuk survival Melayu tetapi hanya ingin memastikan survival diri sendiri dan kroni sahaja. Setelah mereka terlantik dengan hak yang diberikan walaupun equiti 50% Melayu tetap tidak dapat survive kalau tidak digolongkan di dalam kroni mereka. Jangan harap projek akan diberikan kepada Melayu yang mampu tetapi akan tetap jatuh ke dalam tangan Melayu yang mengampu walaupun tidak tahu apa-apa tentang projek tersebut. Akhirnya mengalir juga projek yang beridentiti Melayu kepada bangsa lain. Kita berniaga dan berusaha dengan bangsa lain, mereka pula akan menjual projek kepada bangsa lain janji cepat kaya.

Apabila kita menulis dengan menggunakan nasihat-nasihat agama, maka pasti orang akan berkata bahwa kita hendak menunjukkan bahwa kita itu adalah seorang yang baik dan soleh. Tetapi kalau kita menulis tanpa mengaitkan dengan agama meraka akan suka. Sama juga dengan apabila orang yang kaya-raya dan pangkat menasihati mereka pasti semuanya akan dengar. Maka oleh itulah masyarakat Melayu mulai menilai manusia dan kepimpinan berdasarkan kedudukan dan kekayaan tanpa menyedari bahawa itu hanya perhiasan kosmetik untuk mereka memperolehi kuasa kepimpinan. Silaplah bagi kita untuk memilih pemimpin yang sedemikian. Mereka pasti di kalangan Melayu yang hanya berjuang untuk survival sendiri. Inilah pemimpin yang mempunyai hati seperti yang digambarkan oleh Imam AL GHAZALI. R.A:

“ Jarang sekali keimanan itu memberikan kemanfaatan apabila hatinya busuk, sedang akhlaknya rosak dan budi pekertinya cacat.”

“ Hati adalah sebagai tanah sedangkan keimanan adalah sebagai benih yang ditanam disitu. Ketaatan adalah berjalan menurut arah dan arusnya hati, serta kesuciannya sebagai penggalian sungai dan aliran air yang disalurkan di duniawiah dan sudah berkecimpung dalam segala kemaksiatannya, dapatlah diumpamakan sebagai tanah yang tandus yang tidak mungkin lagi dapat ditanami benih, sebab sudah tidak subur lagi untuk itu. Benih yang ditanam disitu pasti tidak akan tumbuh.”

Oleh itu sebagai rakyat yang telah dipinjamkan kuasa oleh Allah sebagai penentu, maka kita harus iqraq dan muhasabah untuk memilih pemimpin yang mempunyai hati yang subur dan bukan dari kalangan mereka yang sudah kering kontang hatinya. Survival Melayu terletak sebenarnya ditangan mereka yang menerima rasuah disaat ini. Samada penerima mereka berniat sama dengan kepentingan mereka atau tidak tergantung kepada iman mereka. Bagi saya siapa yang memberi ataupun menerima adalah dari kalangan yang sama. Kita harus mencari siapa penerima dan berapa ramai yang menerima rasuah dan bukan yang memberi kerana yang menerima inilah yang bakal menetukan kepimpinan dan survival Melayu masa akan datang. Iqraq!!

Thursday, March 11, 2010

PENULIS BERWIBAWA VS PENULIS TERBAWA-BAWA

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANISELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA RASULULLA

Kebelakangan ini bila sibuk dengan bloggers, ramai yang telah banyak menggunakan blog masing-masing bukan lagi sebagai satu pentas lapuran atau penulisan yang berwibawa tetapi lebih kepada agenda terbawa-bawa. Kalau dalam istilah lain kira “agenda personal”. Inilah yang dikatakan perang siber telah bermula. Sedih dan sayu bila kita yang masih boleh mewakili generasi muda membaca tulisan-tulisan yang kononnya penulis veteran dan berpengalaman tetapi menggunaklan pena dan ilham anugerah Ilahi sebagai tempat mencari makan dan membalas dendam.

Kalau zaman dahulu Zaa’ba begitu terkenal sebagai seorang penulis yang berwibawa yang banyak menghasilkan penulisan untuk berjuang kepada Agama, Bangsa dan Tanahair. Malahan penulis zaman dahulu juga telah memberi sumber inspirasi kepada saya untuk menggunakan mata pena sebagai mata pedang tidak lain adalah untuk berjihad demi kepentingan Alif, Ba dan Ta (Agama, Bangsa dan Tanahair). Sedih dan menyedihkan apabila kita dizaman ini yang tidak menggunakan mata pena tetapi menggunakan jari untuk menekan butang-butang komputer semata-mata untuk melepaskan dendam dan geram. Tak kurang juga yang menggunakan hujung-hujung jari tersebut bukan untuk menekan ayat-ayat kebenaran yang dilihat di dalam dunia politik dan pemimpin khususnya tetapi digunakan juga untuk mengilas tangan para pemimpin bagi mencari makan. Kalau tak dapat projek dari para pemimpin kehebatan pedang mula digunakan untuk mengilas tangan pemimpin tersebut. Siaplah habis mereka akan dimandikan di dalam pentas-pentas penulisan.

Kadang-kadang terfikir dibenak fikiran. Setiap hari penulis-penulis menulis tenatng perjuangan bagi memastikan pemimpin berada di atas baris orbit yang benar dan mereka juga senantiasa mengharapkan pemimpin bukan sekadar pemimpin tetapi juga ditulis agar pemimpin menjadi ikon dan contoh yang baik kepada generasi muda. Sekarang persoalannya bagaimana pula dengan penulis? Tidakkah mereka mahu menjadi ikon dan teladan kepada penulis generasi baru agar lebih berwibawa dan bukan terbawa-bawa? Anak Cina Makan Pengat jadi Sendirilah Mahu Ingat.

Penulis umpama tetamu kepada ahli politik. Bila di ajak makan kita makan tetapi bagi yang bijaksana harus memilih makanan apa yang di makan. Bukan telan semua yang dijamu akhirnya tetamu yang jamu begitu banyak dan penulis yang makan begitu lahap mula tak nampak jalan pulang. Badan berat perut kenyang maka tunggu saja tuan rumah yang menjamu. Mulalah jari menulis yang baik-baik sahaja, kemungkaran mula ditutup agar tuan rumah terus menghidangkan makanan. Oleh itu sebagai penulis janganlah makan banyak-banyak di dalam satu rumah nanti kenyang susah nak balik. Bagi yang faham-faham lah bagi yang tidak makan saja pengat agar sendiri mahu ingat.

Kalau dah yang tua-tua dan berpengalaman di dalam bidang penulisan ini dah bebal dan tak boleh menasihati dan menunjukkan teladan kepada penulis generasi baru ini, maka biarlah yang dikatakan penulis berhingus ini memberikan sedikit nasihat. Kita sebagai penulis lebih-lebih lagi sebagai seorang wartawan seharusnya tugas kita hanya melaporkan sesuatu peristiwa tersebut dengan benar dan bukan terbawa-bawa dengan emosi dan perasaan. Bukankah seseorang penulis itu seharusnya mempunyai etika kewartawanannya sendiri bukan terbawa-bawa dengan emosi peribadi. Kalau penulis mula terbawa-bawa dengan isu peribadi maka jadilah seperti memberikan talak kepada orang perempuan. Silap-silap haribulan hari-hari minta cerai. Sebab itulah Allah telah memilih hanya segelintir sahaja manusia di muka bumi untuk menulis dan bukan semua diberikan bakat di dalam penulisan. Ada sebabnya dan ada asbabnya, macam talak diberikan kepada kaum lelaki.

Kadang-kadang terfikir juga selalunya yang beremosi kaum perempuan sebab faham-fahamlah apa yang mereka terpaksa lalui setiap bulan. Ini nampaknya dah terbalik penulis lelaki pula yang menjadi seperti perempuan datang bulan beremosi tak menentu. Ingat padang ragut kita ialah dunia penulisan. Kalau nak pahala pun di situ kalau nak bala pun di situ. Kalau tidak ada spiritual komitmen susahlah. Semua orang nak kita kerjakan. Ingat hari ini kita kerjakan orang lain kali Tuhan kerjakan kita pula.

Sebagai generasi muda, nampaknya kami lebih beretika untuk tidak mengenengahkan isu peribadi berbanding dengan yang terdahulu. Contoh paling ketara apabila kebelakangan ini mereka penulis terbawa-bawa ini begitu gemar melaga-lagakan pemimpin dahulu dan sekarang. Kita yang muda ni pun faham, demi Alif, Ba dan Ta, dalam jangka masa panjang siapa yang bahagia kalau kita menggunakan penulisan kita untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin hebat kita dulu dan sekarang? Pada pendapat saya secara peribadi. Contohnya Tun Mahathir merupakan seorang bekas Perdana Menteri kita yang hebat semua dunia tahu tentang kehebatan beliau, dan kalau difikirkan tentang faktor umur dan pengalaman jangan sekali dipertikaikan. Seharusnya kita apabila berhadapan dengan beliau sekadar menjadi pendengar yang baik. Beliau boleh berkata apa sahaja kerana beliau berhak. Tetapi kita sebagai penulis mengapa harus mengutip ucapan-ucapan yang tidak menafaat untuk mencetuskan kemarahan orang laijn. Banyak lagi teks ucapan beliau yang mengatakan kebimbangan beliau terhadap parti dan Negara yang harus kita lihat, bagi menyemarakkan semangat pembaca berganding bahu membantu pemimpin kita yang sekarang.

Saya pernah di ajar oleh penulis-penulis senior tentang sudut penulisan. Dan pernah saya nyatakan seorang penulis itu boleh membaikkan dan memburukkan satu-satu keadaan bukan dengan mendengar seluruh ucapan tetapi hanya dengan satu perkataan yang buruk boleh dijadikan baik. Tetapi hairan sekarang ini penulis lebih gemar memilih satu perkataan dan mengolahnya dari keupayaan membaikkan kepada memburukkan sesuatu suasana.

Seharusnya isu Mahathir dan Pak Lah ini di tangani dengan baik oleh penulis. Apa yang menghairankan orang yang dikata duduk diam tak berkata apa-apa yang menulis pula terbawa-bawa. Tak pernah saya mendengar Pak Lah mengeluarkan sebarang komen. Penulis pula lebih kuah dari sudu. Suka melihat sesama bangsa dan agama bertelagah. Bangsa lain apa lagi tepuk tangan.Seseorang penulis seringkali dikatakan orang yang berilmu jadi dengarlah nasihat Tokoh hebat ini FUDHAIL BIN IYADH

“Satu daripada tanda nifaq ialah seseorang bergembira dengan cacian terhadap sahabatnya sendiri”.

“Saya menaruh belas kasihan kepada tiga orang, iaitu orang mulia yang menghina diri, orang kaya yang memiskinkan diri dan orang berilmu yang dipermainkan oleh dunia.”

“Sampai kepadaku bahawa orang berilmu yang fasiq didahulukan penyikasaannya pada hari kiamat daripada penyembah berhala.”

Oleh sebab itu sudah-sudahlah menggunakan pentas penulisan untuk melepaskan dendam mahupun mencari makan. Jadilah penulis yang berwibawa dan bukan penulis yang terbawa-bawa.

Tuesday, March 9, 2010

HALAL VS TAK ADA HAL

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA RASULULLAH

Dalam keghairahan kita memperkenalkan barangan makanan halal, maka besar harapan kita semua umat Islam untuk melihat setiap barangan yang diperkenalkan itu benar-benar halal. Barangan makanan halal merupakan satu jihad ekonomi Islam tanpa kita sedar akan membawa banyak keuntungan kepada orang Islam. Pak Lah telah membuat satu perkara yang sebenarnya telah menggugatkan dunia. Tetapi seperti yang pernah saya nyatakan, kalau kita tidak merantau ke Negara luar, maka kita akan kurang merasa bersyukur mempunyai seorang Perdana Menteri yang secara tidak sedar oleh kebanyakkan rakyat telah melakukan satu jihad yang amat besar dan bermakna dalam menyelamatkan iman orang Islam.

Saya buka ustazah tetapi sejak dari kecil lagi aruah ayah Sulaiman Palestin selalu mengingatkan saya bahawa inilah satu cara yang paling berkesan untuk Yahudi melemahkan orang Islam, iaitu melalui makanan. Kita ambil contoh yang paling umum bagi kita, iaitu tak kala seseorang anak yang kita hantar ke Mahat Tahfiz, pertama sekali sebelum menghafaz Al Quran mereka akan diberi beberapa pantangan perihal makan. Anak-anak yang hendak menghafal Al Quran dipastikan tidak memakan makanan yang sembarangan, seperti fastfood ataupun makanan dalaman. Kalau kita kaji dan mengaji mengapa makanan dititik beratkan? Jawapannya ringkas untuk memastikan ayat-ayat suci yang masuk ke minda akan masuk ke hati dan keberkahan serta rahmat adalah sesuatu yang tidak dapat kita lihat apa lagi kesucian hati. Bila makanan yang dimakan bersih dan halal, maka hati dan minda akan suci dan memudahkan ayat-ayat suci bersemadi di dalam minda dan jiwa.

Sebagai orang Islam kita harus memandang serius perihal makanan halal, dan ianya menjadikan sesuatu yang wajib bagi seseorang Islam terutama pemimpin mengambil inisiatif untuk memastikan rakyat dibawah kepimpinannya memakan sesuatu benda yang halal dan suci. Inilah pendekatan Pak Lah dan besar terlalu besar tindakan yang telah diambil beliau bagi mereka yang memahaminya secara spiritual. Akan tetapi mungkin ianya satu tindakan yang tidak dapat dibuktikan dengan keindahan mata seperti bangunan yang mencakar awan, tetapi sesungguhnya ia merupakan satu tindakan yang membolehkan umat Islam mencapai ketinggian iman. Persoalannya apakah kita rakyat Malaysia terutamanya orang Islam turut berjihad bersama pemimpin kita untuk memastikan ianya berjaya ataupun kita mengambil langkah tidak ada hal atau sambil lewa. Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat.

Setelah menziarah Eropah, saya baru sedar bagaimana orang Islam di sana bertungkus lumus untuk memperjuangkan makanan halal ini. Pada peringkat permulaan mereka hanya berkumpul sesama mereka dalam kelompok yang kecil, berbincang dan bermuafakat untuk memastikan antara mereka mampu menyediakan makanan sesama mereka sahaja di kalangan orang Islam dari pelbagai Negara. Akhirnya tanpa disedari kelompok Islam yang berhijrah dari sebuah Negara ke sebuah Negara semakin berkembang dan akhirnya mereka menjadikan makanan halal sebagai satu perniagaan. Dengan banyaknya penghijarahan orang Islam ke Negara Eropah akhirnya jihad untuk memastikan makanan halal masuk ke perut orang Islam berkembang menjadi satu jihad ekonomi yang begitu luas jaringan perniagaannya, membuatkan saya terkejut dan terpegun dengan usaha dan keberhasilan mereka.

Oleh sebab itulah di sini ingin saya berpesan seandainya kta mendengar sebarang cerita tentang mengaibkan Agama mahupun Rausulullah sewajarnya kita hanya membantah dan menghantar memorandum atau apa sahaja jenis surat bantahan, kepada Negara tersebut, tetapi janganlah sesekali kita memboikot semua barangan yang dikeluarkan dari mana-mana Negara Eropah. Kita harus periksa dahulu, samada barangan yang ingin kita boikotkan itu hasil dari orang Islam ataupun orang bukan Islam. Teraniaya namanya pada sesetengah usahawan Islam yang membuat trading dari Eropah ke seluruh dunia termasuk Negara kita. Sesuatu tindakan yang kita buat haruslah dengan usul periksa, menangis dibuatnya apabila sesetengah usahawan Melayu dan Islam yang berada di Negara Barat apabila kita mengambil keputusan untuk memboikot semua jenis barangan dari sana. Banyak perkara yang seharusnya kita pertimbangkan. Kalau kita marah, maka kita harus bersaing dan bukan menyuruh orang kafir tutup kedai tetapi kita tidak buka kedai untuk menyelamatkan para pekerja dan pengusaha. Fikirkanlah, kalau nak marah pun, janganlah kemarahan kita kononnya hendak menyelamatkan airmuka Islam tetapi kita menganiayai kehidupan orang Islam lain.

Sebelum kita memboikot makanan segera seperti Mc Donald, Ketucky atau apa sahaja, pastikan tidak ada anak Melayu atau orang Islam menumpang mencari pendapatan di situ barulah boikot. Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar. Jangan sampai kita tidak ambil hal dengan perkara lain, terutamanya ekonomi masyarakat seagama dan sebangsa kita.

Tentang jihad makanan halal ini, kita harus sedar bahawa kita juga mampu berjaya sepertimana orang-orang Islam yang hidup di Eropah menjadi jutawan dengan menjual barangan halal ini termasuk mengimpot dan mengekspotkannya. Akan tetapi keadaan ini hanya boleh direalisasikan sekiranya semua orang Islam di Malaysia diberikan penerangan seperti iklan setiap hari di dalam semua media cetak dan media elektronik tentang harus dan wajibnya seseorang Islam itu menjaga makanan yang masuk ke perut mereka. Apa yang berlaku di dalam generasi hari ini amat menyedihkan apabila sesetengah remaja yang semakin terdedah dengan makanan segera di Negara kita, mula membawa tabiat mereka ke luar Negara. Jangan terkejut kalau kita melihat orang Islam yang tidak berpengetahuan ini akan makan apa sahaja di atas penerbangan yang tidak menyediakan sebarang makanan halal sekiranya tidak dimohon untuk disediakan. Ada juga yang terlalu biasa makan Mc Donanld sehinggakan berada di luar Negara yang mempunyai francais makanan ini akan turut makan seperti biasa tanpa memastikan samada ianya halal atau tidak. Kita lihat sahaja Negara jiran kita Indonesia, kebanyakkan makanan segera serta restoren mereka menyediakan makanan tidak halal. Akhirnya orang Islam di sana menjadi tidak ada hal bila hendak makan. Apa yang memeranjatkan saya apabila rakan baik saya dari Negara seberang berziarah ke China, apabila ditanya makan apa di sana, dengan selamba mereka berkata susah cari makanan jadi makan saja apa yang ada. Nauzubillah.

Kita harus bersyukur ke hadrat Ilahi bahawa kebanyakkan orang Islam di Malaysia telah di didik untuk memastikan makan makanan halal, sekiranya ke luar Negara pun kita telah dilatih biarlah makan roti berbulan asalkan tidak makan makanan yang tidak disembelih. Namun seandainya semua umat Islam menyokong tindakan yang dibuat oleh Perdana Menteri kita Pak Lah maka sudah tentu suatu hari nanti jihad makanan halal akan menjadi satu titik permulaan bagi jihad ekonomi orang Islam. Hanya Islam sahaja yang boleh membantu orang Islam dalam perihal ini dan kenyataan serta penerangan kerajaan haruslah bertungkus lumus memastikan semua umat Islam tak kira bangsa benar-benar memahami kewajiban dan hukum Al Quran dalam perihal makanan halal. Kerajaan tidak harus mengandaikan atau mengambil langkah tidak ada hal dalam memastikan makanan halal ini berjaya. Kerajaan dan pemimpin harus sedar bahawa dalam peredaraan waktu serta pendedahan kepada pelbagai gejala sosial maka mereka terutama generasi muda harus didedahkan kepada kepentingan menjaga dan memakan makanan halal. Kalau dosa sebesar zina sudah berleluasa apatah lagi hanya makanan yang tidak disembelih atau bercampur dengan bahan haram tentulah sudah tidak menjadi hal, bagi mereka. Ingat dan jangan tak ingat.

Apabila difikirkan semula, kerajaan dan pemimpin begitu serius untuk memperkenalkan makanan halal, dalam masa yang sama kita lihat orang bukan Islam juga turut mendapat lesen halal di sana sini. Sungguh menghairankan, apakah cara menyediakan makanan halal ini turut difahami oleh orang bukan Islam??? JAKIM haruslah menjawab soalan ini, mungkin ilmu saya kurang dalam perihal ini. Pada pandangan bodoh saya kalau saya yang menjaga lesen halal tersebut, maka sudah tentulah saya hanya akan meluluskan kepada orang Islam semata. Sekiranya perkara ini benar-benar dilakukan maka akan berkembang hebatlah jihad ekonomi orang Islam di Malaysia.

Persoalan ini ditanya kerana ketika berada di Eropah saya langsung tidak melihat mana-mana mini market orang bukan Islam menjual barangan orang Islam. Mungkin saya terlepas pandang tak tahu lah. Tetapi apabila mereka orang Eropah beragama Islam ke Malaysia, mereka agak terkejut dan keliru, bagaimana orang bukan Islam menghasilkan makanan halal dan menjualkannya lagi kepada orang Islam. Kata mereka kalau benar-benar halal “its ok, tapi kalau syubhat bagaimana?? Wallahualam!!

Inilah tentang syubhat yang diriwayatkan di dalam hadith Muslim oleh Baginda Nabi Muhamad s.a.w :

Dari abi Abdillah Annu’man Bin Basyir r.a. berkata : “ aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

‘Sesungguhnya sesuatu yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang samar-samar yang kebanyakkan manusia tidak tahu. Maka barang siapa yang menjaga dirinya daripada barang-barang (perkara) yang samar maka ia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya. Dan barang siapa yang jatuh dalam perkara yang samar itu, maka ia telah jatuh dalam perkara yang haram seperti penggembala di sekeliling tanah larangan (halaman orang), lambat laun ia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah bahawa tiap-tiap Raja ada larangannya. Ingatlah bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamNya. Ingatlah bahawa dalam jasad ada sekerat daging, jika ia baik, baiklah jasad keseluruhannya, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruhnya. Ingatlah itu adalah hati”.

Begitulah pentingnya makanan yang halal kepada kita sehinggakan andaikata makanan syubhat itu kita jamah setiap hari akan terjatuh juga ke lembah haram. Cuba kita bayangkan seandainya kita makan makanan halal yang disediakan oleh orang bukan Islam kepada kita dan kaitlah dengan hadith Rasulullah, apakah mereka akan pasti dan terus memastikan kesucian makanan tersebut disediakan secara halal dan lama kelamaan mereka akan terus tidak ambil hal lagi. Nau’zubillah. Semua pesanan ini adalah untuk diri saya juga dan kepada pemimpin Islam yang mempunyai kuasa, maka gunakanlah sewajarnya dan bagi rakyat Malaysia yang berugama Islam sama-samalah menyokong dagangan makanan sesama Islam supaya jihad makanan akan berkembang menjadi jihad ekonomi yang memberangsangkan. Semoga perjuangan Pak Lah ini akan diberkahi Allah dan diberikan ganjaran pahala yang melimpah. Amin.