ASSALAMUALAIKUM

Saturday, November 27, 2010

KEPENTINGAN BANGSA SEBAGAI GALANG GANTI KEPENTINGAN SUAMI

“A scorpion behinds a turtle neck”….Itulah ungkapan yang seharusnya diberikan kepada Anuar Ibrahim dan Wan Azizah sekeluarga. Apabila dendam ke atas apa yang berlaku terhadap suaminya, beliau turut menjadi kalajengking yang sanggup membunuh kura-kura yang membawanya menyeberang. Kerana tidak percayakan kura-kura lalu kalajengking lebih rela mati dan tenggelam bersama kura-kura.

Kali ini “Hak Orang Melayu” pula dipertikaikan. Beliau sanggup menenggelamkan sebuah bangsa hanya kerana dendam kesumat yang masih membara terhadap apa yang berlaku ke atas beliau sekeluarga.

Pancet, penat dan menunggu masa untuk tenggelam, itulah PKR. Sudah terang lagi bersuluh bahawa PKR sudah berada diambang maut. Maka semuanya akan ditarik waima seurat rambut sekali pun semata-mata untuk meraih sokongan bangsa bukan Melayu. Inilah buah “epal beracun” yang ditawarkan untuk memulihkan sokongan rakyat bukan Melayu terutamanya bagi menongkat kembali PKR yang sudah lumpuh dan bakal jatuh.

Usul yang dibawa oleh Wan Azizah seperti mahu mencabar setiap bangsa Melayu untuk bangun dan bertikam lidah dengan beliau. Inilah yang dinamakan semangat kepentingan suami mendahului kepentingan bangsa.

Sungguh malu dan mengaibkan apabila bangsa Melayu sendiri bangun dan menentang hak dan kepentingan bangsanya dibumi sendiri. Seperti Tuan Tanah menggadai Tanah. Mungkin beliau masih belum arif atau sengaja melupakan sejarah, bahawa Hak kepentingan Melayu bukan semata-mata ekonomi yang hendak dimonopoli tetapi itu merupakan mercu tanda yang membezakan antara Tuan rumah dan tetamu, yang sudah termaktub berkurun-kurun di dalam sejarah Tanah Melayu.

Andainya tiada lagi Hak Keistimewaan Melayu, di mana mercu tanda bahawa negara ini masih bertuankan Melayu? Jelaslah sekarang bahawa apa yang diidam dan dicita-citakan oleh Anuar Ibrahim untuk menjadikan Negara ini sebagai Negara Republik sudah nyata. Segala perlakuan dan kenyataan dari beliau, mahupun Anuar Ibrahim sedang menuju ke arah tersebut.

Mereka merasakan bahawa Melayu sudah berpecah dan sebilangan besar antara bangsa Melayu sudah mulai sedar dan mulai membelakangi PKR, maka inilah jalan dan tindakan yang harus mereka ambil untuk memperkuatkan parti dengan mengajak semua bangsa bukan Melayu untuk turut serta melukis sebuah gambaran pentadbiran Malaysia ala Republik ini apabila hasrat PKR mentadbir negara ini dimaterialisasikan. ( Angan-angan Mat Jenin )

Sebagai Ketua Wiranita PERKASA kami tidak akan mendiamkan diri apabila Wan Azizah sudah mula melanggar sempadan perjuangan kami dan juga Pertubuhan dan Persatuan gabungan Melayu lain. Ini merupakan satu pencemaran bangsa yang tidak boleh dilupakan di dalam sejarah bangsa Melayu.

Kita sebagai bangsa Melayu tidak harus mendengar mahupun mengambil peduli akan kenyataan beliau apabila beliau menghamparkan berapa banyak yang dimiliki oleh orang Melayu. Apa yang penting setiap bangsa Melayu sudah mulai sedar dan banyak juga yang telah disedarkan oleh PERKASA bagaimana peluang untuk meraih kekayaan ekonomi negara terhampar luas hanya dengan wujudnya “Hak Keistimewaan orang-orang Melayu”. Di atas kesedaran inilah maka kita tidak boleh nafikan bahawa sudah bangun bagai cendawan yang tubuh selepas hujan jutawan-jutawan Melayu di negara ini.

Jutawan-jutawan Melayu yang ramai bukanlah dari golongan ahli politik seperti Tan Sri Syed Mokhtar, Dato’Seri Rahman Maidin dan Tan Sri Naza (Allahyarham). Ini hanya sebilangan kecil yang kita ketahui, malahan lebih ramai lagi termasuk bumiputera-bumiputera yang terlibat dalam sektor penjualan langsung dan rangkaian juga telah ramai yang menjadi “a silence millionair” di kalangan bangsa Melayu. Apakah ini kurang memberi bukti bahwa dengan geran dan perlaksanaan hak Melayulah maka ramai di antara bangsa Melayu sudah berjaya di dalam bidang ekonomi.

Melayu sudah mulai sedar akan kepentingan hak mereka, maka mereka secara beransur-ansur mulai bangkit untuk meraih peluang dan ruang dibumi yang suatu ketika dahulu disebut Tanah Melayu, maka ianya harus diteruskan bukan sahaja sebagai faktor ekonomi tetapi sebagai sandaran bahawa bumi Malaysia ini masih bertuankan Melayu dari dulu, kini dan selamanya.

Saya menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Azizah adalah hanya sebagai tawaran yang tidak realistik kepada bangsa lain. Kalau beliau benar-benar jujur dalam apa yang telah dinyatakan maka “BUKTIKAN KEPADA RAKYAT SELURUH MALAYSIA AGAR PRESIDEN PARTI PKR DIBUKA DAN DIALU-ALUKAN KEPADA BANGSA BUKAN MELAYU”. Contoh melalui teladan……KAMI CABAR!!

DAP telah jelas membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia apabila menggabungkan semua bangsa sebagai ahli dan diterajui oleh bangsa Cina, namun apakah hasil perjuangan mereka di Pulau Pinang? Berapa ramai ahli jawatankuasa tertinggi bukan Melayu di dalam DAP? Di mana suara-suara ahli DAP Melayu untuk bangun dan menentang pentadbiran yang berat sebelah DAP membela bangsa Cina melebihi bangsa Melayu? Malahan baru-baru ini juga suatu yang memalukan telah berlaku apabila komponen parti mereka sendiri PAS terpaksa meletak kain rentang membantah keputusan mereka (DAP) atas pengeluaran lesen urut dan judi yang melampau di Pulau Pinang. Hak orang Islam lagi dilanggar bayangkan bangsa Melayu

Kami harap Wan Azizah jangan hanya melihat angka ekonomi semata dalam mempertikaikan hak Melayu, bacalah perlembagaan, tela’ah dan hafal supaya faham akan keutamaan mempertahankan Hak Melayu di Tanah Melayu bumi Malaysia.

Thursday, November 18, 2010

APABILA ORANG BEKERJA DAN ORANG BIASA MEMANDANG HINA PADA AHLI POLITIK

Terpanggil saya untuk menulis tajuk ini adalah kerana sudah muak mendengar dan melihat sana-sini manusia hipokrit yang tergolong dalam dua golongan di atas mencebek muka apabila melihat orang politik. Malahan saya yang bukan di dalam pentas politik juga turut dianggap oleh teman-teman sebagai orang politik. Kalau mereka melihat saya dengan muka yang mencebek berkata" alah...tu lah perangai orang politik".

Di sini biarlah saya terangkan siapa sebenarnya manusia-manusia yang bermain politik lebih dahsyat dari orang politik itu sendiri. Ini adalah ungkapan hasil dari pengalaman yang dilalui sendiri bergaul dengan orang makan gaji tak kiralah di dalam jabatan kerajaan ataupun swasta, mahupun orang biasa.

Apa yang paling tidak disangka kebanyakkan teman-teman saya menceritakan bagaimana teruknya politik di jabatan-jabatan ini. Ada yang sanggup membodek, cium bontot, mengumpat, mengata dan memfitnah serta lebih teruk lagi menaruh pasir di dalam periuk nasi rakan sekerja sendiri. Apakah ini semua bukan perkara-perkara yang dibenci dan dituduh orang politik melakukannya?? Semuanya ini dilakukan oleh pekerja-pekerja di dalam jabatan semata-mata untuk naik pangkat, tak kurang juga ada yang sanggup berbuat demikian adalah untuk menjaga kroni vendor mereka yang terdiri dari orang meniaga yang mendapat perniagaan dari jabatan mereka. Kalau ada antara rakan sekerja mereka cuba menghalang rakan niaga mereka maka pasti akan diusahakan rakan sekerja tersebut samada ditukar ke jabatan lain atau dibuang kerja. Apakah itu bukan politik kotor?

Ada juga di antara yang berkuasa di dalam jabatan tertentu akan menghalang orang lain untuk mendapatkan perniagaan dijabatan mereka sehingga akhirnya difitnah peniaga tersebut. Apakah sekali lagi bukankah itu yang sering dikatakan orang politik lakukan??

Walaupun saya yang tidak berada di dalam pentas politik tetapi digelar juga orang politik dengan pandangan jijik dan kotor maka di sini saya ingin nyatakan bahawa kami orang politik sebenarnya adalah lebih mulia dari orang-orang jabatan atau orang biasa yang bermain politik!! Cuba lihat mereka yang bekerja ketika bermain politik menjatuhkan kawan dan lawan semuanya semata-mata untuk memuaskan tembolok mereka sendiri. Sedangkan walaupun orang politik dituduh berbagai-bagai perbuatan yang buruk sekurang-kurangnya orang politik bukan saja mengisi perut mereka tetapi juga mengisi perut orang lain lebih ramai dari orang-orang jabatan yang bekerja mahupun orang biasa. Nah!! sekarang siapa lebih mulia??

Ramai antara teman-teman saya menghina ahli politik tanpa mereka sedari bahwa mereka juga turut serta bermain politik dalam jabatan dan kelompok mereka sendiri. Mereka sanggup hipokrit, membaling batu sembunyi tangan untuk mengainiayai orang lain. Sedangkan setiap program yang dibuat oleh mereka berbentuk kebajikan kononnya semuanya dibayar, dipaksa untuk memenuhi markah kenaikan pangkat atau jabatan.

Apa yang dapat saya lihat di sini hanyalah penyakit mazmumah iaitu hasad, dengki dan irihati apabila melihat orang-orang politik menjadi kawan dan taulan kepada menteri dan PM. Sedangkan mereka hanya pekerja yang harus bekerja "9 to 5", jauh sekali untuk berkawan dan bersahabat dengan menteri ataupun PM kerana sudah tentu terpaksa akur dengan "Tuan" yang memberi gaji kepada mereka.

Perkara ini bukanlah berlaku kepada semua orang yang bekerja mahupun orang kebanyakkan, namun kebanyakkan begitulah...mereka menolak politik kerana dikatakan politik kotor. Sedangkan hampir setiap hari mereka yang bekerja ini bermain politik untuk menyelamatkan kerusi dan tembolok mereka. Malah ada yang harus munafik kepada sahabat sendiri, semata-mata untuk memastikan sahabat mereka tidak dimasukkan di dalam jabatan mereka, takut peluang mereka untuk naik pangkat terjejas.

Subhanallah!! Inilah yang dikatakan sekiranya seseorang manusia itu ingin menuding jari menghala ke orang lain ingat hanya satu jari sahaja yang ditunjuk sedangkan yang 4 lagi Allah halakan ke kita. Maka oleh itu pesanan saya jangan terlalu menghina orang politik, ingat tanpa orang-orang politik ini siapa yang akan memastikan pentadbiran negara aman dan stabil. Kalau benci, maka nasihatilah tapi jangan sampai memandang orang politik seperti sampah atau najis seolah-olah diri kita tak pernah berpolitik menjatuhkan kawan dan lawan di dalam jabatan.

Setiap manusia dititipkan ALlah rezeki masing-masing termasuk pangkat, harta dan jawatan, bekerjalah dengan ikhlas dan usahakan segalanya dengan jalan yang halal dan bukan jalan yang di murkai ALlah. Ingat bahawa dimana sahaja kita berada antara kita dan politik tidak dapat dipisahkan, cuma keadaan keliling sahaja yang memisahkan antara orang politik dan orang yang bekerja atau orang kebanyakkan yang tidak terlibat dengan politik. Jatuh bangun orang politik, ternyata bukan semua jasa mereka dibayar...kalau kekayaan mereka dicemburui maka samalah kita menolak rezeki yang Allah tetapkan kepada setiap manusia. Kalau orang politik dikatakan rasuah begitu juga orang lain juga turut berbuat yang sama.

Selagi kita bernama insan atau manusia, maka hanya ada dua perkara sahaja yang menetapkan samada kita mulia atau hina iaitu berbuatan kita bukan pekerjaan yang kita sandang. Pangkat dan jawatan tidak kira samada di pentas politik atau jabatan, tetap sahaja Allah akan muliakan sekiranya kita bertakwa dan akan Allah hinakan sekiranya kita kufur dan engkar dari jalan dan suruhan Allah. Janganlah kita menghina pekerjaan seseorang tetapi hinalah tingkah aku dan berbuatan yang berpenyakit mazmumah yang mereka bawa. Setiap manusia tidak akan terlepas dari dihisab jadi janganlah kita pula hendak menghisab seseorang sebelum sampai masa dan ketika Allah jalankan tanggungjawab tersebut. Buatlah kerja masing-masing dengan amanah tak kira di mana kita berada dan senantiasa bersangka baik dengan Allah kerana dengan bersangka baik dengan Allah maka secara tidak langsung kita akan bersangka baik dengan manusia. Baik fikiran maka baiklah perbuatan.

Semoga kita diberikan Allah peluang untuk bertaubat sebelum kita dipanggil pulang ke daerah kematian, di sana barulah kita akan tahu selama ini apakah pekerjaan kita yang membawa kemuliaan atau pun perbuatan kita, sama-samalah kita bermuhasabah sebelum mengeluarkan perkataan-perkataan hina kepada orang lain. Iqraq!!

Sunday, November 14, 2010

PUKUL-PUKUL SAYANG VS PUKUL-PUKUL TERBENAM

BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA NABI MUHAMAD S.A.W

Wahai pembaca yang budiman, diharap anda tidak akan terperanjat dengan perubahan baru mukaddimah yang saya letakkan di dalam penulisan saya kali ini. Ini merupakan salah satu mogok yang saya akan tunjukkan kepada sesiapa sahaja yang cuba untuk menghina Pemimpin Umat kita Nabi Muhamad S.A.W. Supaya dengan pembukaan sedemikian InsyaAllah akan kekal di dalam setiap penulisan saya ini akan senantiasa memberi peringatan kepada saudara sidang pembaca dan juga diri saya sendiri, untuk senantiasa mengingati Allah yang Maha Pengasih dan KekasihNya Baginda Rasulullah. Apa yang nyata mukaddimah tersebut bukanlah satu wajah Islamic, yang ingin saya paparkan melainkan sebenarnya ia adalah satu tanggungjawab dan satu amanah yang diberikan oleh Allah kepada kita semasa dilahirkan. Saya mungkin terlupa tentang amanah ini iaitu untuk memuliakan Allah dan Rasullullah setelah dianugerahkan kepada saya kemampuan untuk menulis, sehingga diperingatkan oleh sahabat saya baru-baru ini. Sudah menjadi kewajipan kita memulakan sebarang kerja mahupun kalam dengan memuliakan Allah dan Kekasihnya. Saya mohon maaf kepada semua umat Islam dan terima kasih kepada sahabat yang telah Allah wakilkan untuk menegur kelalaian saya. Semoga Allah merahmati beliau.

Permulaan baru saya ini adalah bertepatan dengan tajuk yang akan saya bincangkan pada hari ini untuk memberi sedikit panduan dan pengetahuan kepada sidang pembaca agar menilai seseorang penulis itu apakah maksud sesebuah penulisan itu apabila beberapa teguran diberikan. Apakah ianya bertujuan menegur atau membenam. Itulah yang dinamakan pukul-pukul sayang sekiranya teguran dan kritikan dinyatakan bukanlah satu kesalahan walaupun kepada pemimpin mahupun bangsa kita. Tetapi sekiranya segala aib dikeluarkan dan segala caci maki mula dikalamkan maka sama-samalah kita makan pengat…..dan sendiri mahu ingat bahawa tak lain dan tak bukan semata-mata penulis itu mahu membenamkan individu tersebut. Bermaksud samada menenggelamkan karier politik pemimpin, menjahanamkan perniagaan seseorang atau menjatuhkan maruah untuk kepentingan diri sendiri.

Pada pandangan saya tidak ada satu menafaat pun yang kita akan dapat sekiranya kita menggunakan bakat penulisan kita semata-mata untuk menjatuh, menjahanam dan mengaibkan seseorang itu melainkan seseorang itu melakukan perbuatan zalim kepada Agama, Bangsa dan Negara atau untuk menganiayai umat lain. Pemegang pena penulis adalah seperti pemegang sebilah pisau. Pelbagai kebaikan dan menafaat yang boleh kita guna untuk kebaikan kita dan orang lain. Tak ada pisau susahlah nak buat kenduri korban. Bila guna pisau, sembelih dengan pisau yang tajam pahala untuk orang menikmati daging korban tersebut secara halal satu pahala. Tetapi kalau kita nak menganiayai orang maka rodokkan sahaja pisau ke perut lembu, janji mati, maka dosa pun dapat dan penyakit pun dapat. Saya terbaca di dalam majalah MILENIA baru-baru ini di mana kajian menunjukkan binatang yang mati secara perlahan dengan tidak menggunakan kaedah sembelih Islam merupakan punca penyakit seperti lembu gila yang akan tersebar kepada manusia. Bukanlah di sini nak saya panjangkan tentang lembu, tetapi penulis pun kadang-kadang macam lembu juga bila tak digunakan pena dengan baik macamlah juga lembu tak disembelih dengan baik. Akhirnya wabak lembu gila akan berjangkit kepada orang lain. Bagi yang faham makanlah pengat banyak-banyak.

Semua orang nak menulis, semua orang kata tahu menulis tetapi bila betul-betul melibatkan diri di dalam penulisan barulah anda akan tahu betapa penatnya bila kita memaksa diri menulis dengan dateline dekat, ilham Allah tak beri, orang yang pernah membaca penulisan kita tertanya-tanya apa pasal tak tukar-tukar tajuk ni dan lebih memenatkan lagi apabila buat penulisan pun dijadikan kebajikan macam NGO (No Gaji Organization). Apa yang lebih meletihkan dari segala keletihan adalah apabila orang jangankan nak baca nak pandang pun tak mahu, menolong menggajikan jauh sekali. Inilah nasib penulis pukul-pukul sayang. Bila ditegur orang merajuk kata kita meluat dan benci, langsung tak mau layan, kata kita suka kritik. Tapi yang pukul-pukul terbenam disogok dengan pelbagai kemewahan semata-mata tahu penulis tersebut memang pandai membenam orang, takut kena benam. Maklumlah kebanyakkan penulis yang pukul sayang ni tak pandai mengugut, tak pandai nak guna pisau merodok perut orang dan tak pandai nak bawa wabak lembu gila, sebab itulah tak diperdulikan.

Sebab itulah sidang pembaca harus sedar bahawa kalau dinamakan penulis kemampuannya tetap sama. Penulis tersebut tetap dianugerahkan Allah sebilah pisau dan sedikit sebanyak penulis bebas ini tidak boleh dinafikan bermula dengan semangat cintakan Agama, Bangsa dan Negara. Sebab itulah mereka sanggup membongkang mata, memerahkan kepala tanpa dibayar untuk tetap menulis dan memberikan kesedaran kepada manusia. Namun penulis tetap manusia bila teguran demi teguran tak diterima. Pendapat demi pendapat tak dihiraukan lama-lama jadilah penulis bebas kepada gelaran penulis nyamuk. Jangan lupa nyamuk pembawa aedes (penyakit demam tak kebah, silap haribulan boleh meninggal)

Maka itulah jangan sampai penulis pukul-pukul sayang ini beralih arah menjadi penulis pukul2 terbenam. Sebelum membawa wabak baik dicari ubatnya.(Prevention is better than cure). Jangan disangaka air tenang tak ada buaya. Kalau sudah nasib pemegang pisau sudah kelaparan habis nanti diamok satu kampong.

Saya amat berharap agar pemimpin, penyanyi, pelakon, tokoh koperat tak kiralah siapa sahaja yang sukakan dunia glamour atau yang berada di dalam dunia tersebut secara sengaja ataupun tidak pandai-pandailah mengambil hati golongan-golongan yang dianggap nyamuk ini. Memberi ganjaran sahaja tidak mencukupi tetapi apa yang penting adalah mengajak mereka bermesyuwarah selalu, agar setiap penulisan lebih tepat dan memberi menafaat kepada orang ramai. Jangan dibiarkan penulis nyamuk ini berjalan di dalam kegelapan. Penulis pentas perdana lain lah, tak payah cari bahan secara otomatik dibuat kenyataan akhbar dan difaxkan terus ke meja mereka. Buat tajuk terus tulis punya senangnya. Kita penulis nyamuk pula jangan katakan fax dijemput ke sidang akhbar pun belum tentu. Teraba-rabalah penulis ini mencari bahan di kaki lima.Akibatnya sendiri mahu ingat, berita sepatutnya nyata mula mengikut rasa.

Apabila berpeluang duduk bersama-sama penulis nyamuk ini, banyak input yang diberikan kepada saya mengapa mereka dari menjadi penulis pukul2 sayang kepada pukul2 terbenam antara lainnya adalah kerana tidak langsung diberi peluang untuk bermesyuwarah. Perkara ini banyak berlaku di kalangan penulis politik nyamuk. Saya telah cuba untuk membuat jambatan antara beberapa pemimpin dengan penulis nyamuk dengan mengajak mereka bermesyuwarah demi kebaikan masing-masing nyata sekali kebanyakkan pemimpin kita H2TA (hangat-hangat tahi ayam).Buat satu perjumpaan sekali dan kali-kali lain dah tak ada. Apakah begitu ketatkah masa seorang pemimpin sehingga tidak dapat meletakkan satu hari dalam satu bulan di dalam diari mereka untuk satu mesyuwarah untuk menjaga kepentingan Agama, Bangsa dan Negara? Bila penulis nyamuk mengamuk mulalah kelam-kabut tercari-cari siapa penulis nyamuk yang hendak membenamkan si polan dan si polan. Bila hati penulis pukul2 terbenam ini dah jadi kematu (keras macam batu) ajak diheret pula ke mahkamah. Masa tu dari aedes dah jadi taun, beribu ringgit dikeluarkan nak cari penawar dalam mahkamah.

Ingat!! kalau bagaimana cikai dan hampeh (bahasa anak muda bagi perkataan teruk) seseorang penulis nyamuk itu tetap ada pembacanya. Kalau tidak bungkuslah semua syarikat berita nyamuk dan tak laris atau buku yang dijual tak akan pulang modalnya kalau tak ada pembacanya.Tak ada permintaan masakan ada penawarannya. Apa yang pasti semangat penulis nyamuk yang saya temui kebanyakkan mereka begitu kental semangat juangnya, walaupun tidak memberi pulangan yang hebat kepada mereka. Malahan api sanggup diredahi dan lautan sanggup direnangi semata-mata untuk hidup dan mereruskan perjuangan minda mereka. Bukan askar sahaja motonya “agi idup agi ngelaban” penulis nyamuk pun bersahut moto yang sama.

Pesanan saya kepada pemimpin, kalau nyamuk sudah terngiang-ngiang ditelinga, jangan lupa cepat-cepat cari ubat. Sifat nyamuk kena faham lagi dihalau lagi mendatang. Kalau nyamuk gigit tak kena wabak dia akan cari geng nyamuk pembawa aedes pula untuk menyengat. Bila disengat masalah tu. Nyamuk tetap akan berkawan sesama nyamuk tak mungkin dia berkawan dengan gajah dan hanya nyamuk sahaja yang kenal mana satu nyamuk yang boleh membunuh untuk dipanggil, tarzan pun belum tentu boleh panggil nyamuk aedes. Ubatnya senangnya sahaja bagi penulis politik nyamuk untuk berdamai dengan pemimpin hanya bermesyuwarah sekerap mungkin untuk mendapatkan fakta yang sahih. Jangan ingat penulis nyamuk sahaja yang berhutang dengan Allah kalau menyebarkan berita palsu pemimpin juga turut berhutang kerana menyembunyikan kebenaran dan melihat orang lain membuat kesilapan. Itu namanya tidak menggalakkan saudara seIslam mencari kebenaran malahan bangga kononnya dapat pahala fitnah. Belum tentu dapat pahala kalau membiarkan orang lain sesat. Apa lagi dosa fitnah itu dibiarkan ditanggung sesama Islam. Bermesyuwarahlah!!! Bagi yang berilmu bersedekahlah dengan ilmunya!!!Marilah kita sama-sama mendengar nasihat Saidina ‘Ali Bin Abi Thalib (Karramallahu Wajhah) tentang mesyuwarah dan ilmu ;

Kepentingan mesyuwarah
“Tiada kekayaan melebihi ‘aqal, tiada kemiskinan melebihi jahil, tiada pusaka melebihi adab, tiada pembantu melebihi mesyuwarah”.

“Siapa yang bersikap diktator akan binasa siapa yang bermesyuwarah dengan orang lain akan mendapat faedah dari fikiran mereka.”

Ilmu; Saidina Ali Karramalluhu wajhah menerangkan kepada Kumail bin Ziad.
“Hai Kumail”. Ilmu adalah lebih baik daripada harta benda, ilmu akan menjaga dirimu sedangkan harta benda akan selalu engkau menjaganya. Ilmu adalah pemutus hukum sedangkan harta benda adalah yang dijatuhi hukum. Harta benda akan berkurangan sebab dibelanjakan, sedangkan ilmu akan bertambah sebab didermakan.”

Setiap pemimpin harus tahu tentang hukum dan pentingnya bermesyuwarah dan setiap penulis sudah tentu berilmu dan harus tahu juga tanggungjawabnya pada Agama, Bangsa dan Negara. Hanya dengan satu hari sahaja perpaduan boleh dihancurkan dan berpuluh tahun pula untuk kita membentuk sesebuah perpaduan itu. Ingatlah selagi kita bernama rakyat Malaysia baik dan buruk tetap ditanggung bersama. Jangan kerana setitik nila habis susu sebelanga. Janganlah kerana penulis pukul2 terbenam membuat angkara penulis pukul2 sayang pula yang teraniaya. Akhir kata antara penulis dan pemimpin hanya jauhari mengenal manikam.

Alhamdulillah
Sesungguhnya yang buruk itu datangnya dari saya dan yang baik itu sesungguhnya dari Allah S.W.T.

28 Mac 2006 (28 Safar 1427) : 05.15am - 7.25am

Friday, November 12, 2010

WAKIL RAKYAT VS MEWAKILI RAKYAT

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Semua orang sibuk memperkatakan tentang HINDRAF, BERSIH dan pelbagai lagi demonstrasi jalanan. Sedih dan menyedihkan apabila keadaaan sedemikian berlaku seolah-olah rakyat sudah tidak mempunyai seorang pun wakil rakyat di Malaysia sehinggakan mereka terpaksa melantik sesama mereka untuk mewakili rakyat dan menyampaikan hasrat, kehendak dan tuntutan mereka kepada kerajaan dengan mengadakan parlimen jalanan seperti sedemikian. Apa sudah jadi dengan Negara ini?? Siapa yang seharusnya bertanggungjawab sekarang? Perdana Menteri atau Wakil Rakyat??

Banyak suara-suara terutamanya di dalam laman Web rata-rata menyalahkan Perdana Menteri. Sewajarnya kita tahu bahawa Perdana Menteri, seharusnya tidak memikirkan persoalan-persoalan dan tuntutan-tuntutan yang saya anggap terlalu kecil, remeh dan tidak masuk akal langsung. Ianya seperti menggali kubur-kubur pra sejarah sahaja. Semua tuntutan tidak kira HINDRAF ataupun BERSIH sebenarnya hanya mengadakan satu pakatan untuk membicarakan persoalan yang telah basi yang sepatutnya di buat 56 tahun yang lalu. Kita sudah 56 tahun merdeka, amat memalukan apabila kita menuntut sesuatu yang telah pun mempunyai ketetapannya dan keberhasilannya di Negara ini. Apakah tanpa HINDRAF kaum India di Malaysia tak makan?, Apakah tanpa BERSIH semua pilihanraya di Malaysia ini di monopolikan oleh kerajaan? Ni yang dikatakan ada mata buta ada akai tak mau pakai!! Anak Cina makan pengat sendiri mahu ingat.

Kita harus merasa bangga bahawa Malaysia merupakan satu-satunya Negara yang jarang sekali kita dengar tentang demonstrasi jalanan yang begitu liar sepertimana yang berlaku di luar Negara sehinggakan ada tembak-menembak. Sekiranya kita terus menerus menyalahkan Pak Lah, bagaimana pula dengan wakil-wakil rakyat yang berada di bawah kepimpinan beliau? Inilah yang dikatakan, “Now we can see who is the real sleeping beauty in the country”.

Rata-rata di laman web mahupun di kedai-kedai kopi tidak dapat dinafikan itulah gelaran yang sering diberikan kepada Perdana Menteri kita. Namun apakah sebenarnya mereka tahu membezakan antara “tidur dalam bekerja dengan bekerja dalam tidur”. Kalau nak tahu biarlah saya kupaskan di sini. Semua orang pasti dengar ketika bekerja di mana-mana dalam sector swasta atau kerajaan, apabila prestasi pekerjaan seseorang tidak meningkat maka bos mereka pasti menjerit “apa u all tidor ke!!! Pasti ayat-ayat ini sering kedengaran. Maka terbuktilah sekarang siapa yang menjadikan “the real sleeping beauty in the country”.

Bukanlah tujuan saya untuk menyalahkan mana-mana wakil rakyat tetapi inilah yang dikatakan “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”. Secara nyatanya carta organisasi kerajaan sememangnya saya anggap sudah baik. Kalau tidak masakan Pertuanan melayu di Negara ini masih kuat. Kita ada pelbagai kaum yang mewakili kaumnya, kita juga ada pelbagai NGO yang mewakili bidang masing-masing. Sebagai contoh Majlis Peguam Negara, mustahil kalau tidak ada seorang pun wakil rakyat yang di lantik untuk memantau Majlis ini. Malahan kewujudan mereka adalah untuk menjadi jambatan antara wakil mereka dan kerajaan. Begitu juga dengan pemimpin kaum masing-m,asing, Masakan semua talian harus diletakkan di dalam pejabat PM sehinggakan setiap penjuru Malaysia boleh menghubungi PM sebagai Perdana Menteri, untuk menyelesaikan masalah mereka.

Terang lagi bersuluh, maka mulai hari ini PM mempunyai satu tanggungjawab yang besar dan satu message dari Allah telah di hantar melalui kejadian-kejadian dan peristiwa yang sedang berlaku. Iqraq!! Pilihanraya juga sudah menjelang, maka inilah masanya PM membuat banyak sembahyang Istigharah dalam memastikan pucuk pimpinan akan datang yang akan mewakili rakyat tidak lagi menjadi Tuan rakyat setelah perlantikan mereka. Apabila dikatakkan wakil rakyat, maka mereka harus sedar bahawa mereka sebenarnya harus “serve the people and not the other way round”. Apabila sudah terlantik maka secara otomatik lahirlah macai-macai yang tak berportfolio untuk menjalankan aktiviti penambahan nilai diri dan poket mereka. Makan pengat walaupun bukan semualah. Tapi saya berani jamin sebilangan besarnya begitu. Akhirnya wakil rakyat menjadi Tuan dan rakyat menjadi hamba.

Peristiwa-peristiwa yang boleh mengaibkan Agama, Bangsa dan Tanahair ini pada pandangan saya secara peribadi adalah kesan dari kemarahan-kemarahan rakyat yang tidak terbela nasibnya. Saya masih ingat kata-kata dari salah seorang pemimpin di dalam kerajaan yang dengan penuh bangga menyatakan bahawa “kita parti pemerintah sudah kuat dan akan selalu kuat. Jadi jangan dirisaukan tentang salah laku beberapa orang di dalam parti ini, kerana ia tak mungkin menjejaskan parti”. Sekarang bagaimana? Sememangnya yang kecil tidak mungkin dapat melawan yang besar kalau dari segi kaedah dan praktikal kehidupan tapi jangan lupa nyamuk pun kecil namun boleh menjejaskan tidur kita sepanjang malam. Inilah yang nak diibaratkan. Sememang benar mereka kelompok yang kecil ini tidak boleh mengapa-apakan kelompok yang majority tetapi kita harus ingat bahawa wawasan dan perancangan kita untuk gemilangkan Negara ini sedikit sebanyak akan mengambil masa sekiranya keadaan ini berterusan. Kalau kita boleh mencapai wawasan 2020 dalam 11 tahun dengan melayani kerenah rakyat yang segelintir ini boleh jadi melambatkan perjalanan kita menuju wawasan tersebut. Jadi fikirkanlah!! Kalau seorang wakil rakyat yang salah laku boleh terlepas maka tak hairan yang lain juga akan mencontohi salah laku tersebut. “ kalau u buat boleh tak kan I buat tak boleh”. Bayangkan sekiranya mentality yang hanya pada mulanya datang dari seorang wakil rakyat akhirnya sudah tentu akan merebak. Maka belajarlah dari kejadian virus dan bacteria.

Walau apapun punca ke atas peristiwa yang telah berlaku di dalam mana-mana perhimpunan sudah pasti ada yang bertanggungjawab untuk mewujudkan ketidak tenteraman ini di dalam Negara kita. Pasti ada yang mewakili setiap perhimpunan yang dihadiri oleh kelompok kecil rakyat, Sekiranya yang meletakkan jari-jemari mereka itu ada di antara orang Islam maka amat menyedihkan, kerana tidak langsung Islam mengajar selain dari perdamaian, ukhwah dan musyuwarah. Mungkin kita boleh mempelajari sesuatu dari nasihat salah seorang cendiakiawan Islam ini iaiatu Dr.Nurcholish Madjid , kata beliau :

“dalam berinteraksi ‘ideologi” sesame Muslim, kita harus menyimpan di dalam hati kita sikap ‘keraguan yang sihat’(healthy skepticism), iaitu sikap cadangan dalam pikiran dan siap sedia mengakui kebenaran orang lain jika memang ternyata benar, serta mengakui kesalahan sendiri jika memang ternyata salah. Adanya perbezaaan (ikhtilaf) diantara kita, harus diterima sebagai kenyataan yang selama-lamanya tidak akan mungkin dihapuskan. Maka perlu I’tilaf (serasi dan harmoni) maka akan wujudlah satu pola sesame kita di atas satu struktur pandangan yang penuh pengertian dan teggang-menegang. Al Quran sendiri mengisyaratkan sebagai beikut “ Dan janganlah kamu termasuk yang musyrik, yang terdiri dari orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka, kemudian mereka menjadi kelompok-kelompok, setiap kelompok membanggakan apa yang ada pada diri mereka”(Ar-Ruum : 32)”

Kepada wakil rakyat bekerja keraslah dengan penuh keihklasan dan tanggungjawab sebelum ada pula demonstrasi yang akan mewakili rakyat. Belajarlah dari setiap kejadian, dan alam. Api yang kecil menjadi kawan bila besar menjadi lawan itulah istilah yang sebenarnya yang harus di pandang serius oleh kerajaan terhadap kelompok-kelompok yang dianggap minority ini. Anggaplah setiap apa yang berlaku itu besar supaya akan besarlah lagi pemikiran kita untuk menyelesaikan setiap masalah. Tak mungkin seseorang pemimpin dapat memuaskan hati semua rakyat tetapi janganlah kita sampai tidak memuaskan hati sekurang-kurangnya majority rakyat di bawah kepimpinan kita. Muhasabahlah!!


12/12/07
2.15-3.10