ASSALAMUALAIKUM

Friday, May 25, 2012

POLITIK LORONG HAJI TAIB

Semakin tinggi ilmu manusia ternyata semakin mereka sudah tidak boleh berfikir. Sia-sia sahaja pusat pengajian Tinggi yang telah dibina dan disumbatkan dengan jutaan penuntut tetapi akhirnya jurubina itu sendiri yang mencemarkannya. Siapa lagi jurubina tersebut kalau bukan para pemimpin. Tidak kira samada pemimpin kerajaan atau pembangkang seperti sudah tidak ada kuasa untuk menghalang sebuah ucapan di atas pentas politik yang semakin hari semakin menjadi lucah. Apakah bezanya sekarang perkataan yang wujud di Lorong Haji Taib dengan yang ada di pentas-pentas politik? Apa pula bezanya dengan perlakuan mereka yang mencari habuan di pentas politik dengan mereka yang berada di Lorong haji Taib? Sampai bila budaya ini hendak diketengahkan? Sebagai seorang pemimpin kita bertanggungjawab untuk menghalang mahupun mengutuk sekeras-kerasnya budaya mengaibkan sesama sendiri. Kebanyakkan mereka yang mengaibkan satu sama lain, lebih kurang sama sahaja moralnya. Orang yang tidak bermoral akan tahu bagaimana untuk mengutuk orang yang tidak bermoral. Hanya pencuri yang kenal seorang pencuri. Itulah yang pernah dikatakan oleh bekas seorang Menteri kepada saya. Seorang yang bermaruah pertama sekali mereka akan cuba mengelakkan diri dari menjadi seorang pelacur. Apakah hanya dengan menggadaikan tubuh badan kita digelar sebagai seorang pelacur? Bagaimana pula jika, maki hamun, carut mencarut serta saling menelanjangkan orang lain dengan perkataan bukankah layak dinamakan pelacur? Sekurang-kurangnya seorang pelacur itu lebih mulia kerana mereka tidak pernah membuka aib pelanggan mereka atau merakam video teman-teman mereka untuk dipertontotnkan secara percuma dikhalayak ramai. Bagaimana dengan orang politik yang membuka aib sesamanya? Apakah perlu belajar dengan seorang pelacur? Sungguh rendah akhlak manusia lebih lagi akhlak seorang Islam apabila sanggup menelanjangkan musuh politik mereka bukan sahaja melalui media sesawang tetapi juga melalui perkataan. Ramai masyarakat diluar sana hanya gemar menonton dan mendengar segala aib yang ditelanjangkan oleh seorang ahli politik, tetapi ketika mereka pulang ke rumah kebanyakkan mereka mulai mencemuh apa yang telah diperkatakan serta dipertontonkan oleh orang poltiki tersebut kepada mereka. Di dalam dunia melinium perkataan dan perbuatan maksiat telah menjadi lumrah di kalangan semua manusia termasuk orang Islam mahupun pemimpin. Bukan kita tidak tahu beberapa pemimpin yang telah terlibat dengan penzinaan ataupun hubungan diluar tabi’i. Hanya Allah masih memberi masa, ruang dan peluang menutup aib-aib mereka yang telah mereka lakukan. Tetapi ingat janji Allah itu benar dan pasti akan berlaku perkara yang sama ke atas mereka yang melondeh dan menelanjangkan aib orang lain ke pengetahuan umum. Inilah senjata politik paling dayus yang digunakan untuk menjatuhkan karier politik seseorang. Masyarakat makin keliru tentang wajah pemimpin akan datang. Apakah kita akan dipimpin oleh bakal-bakal pemimpin yang ditangan mereka penuh dengan cerita porno? Atau pemimpin yang ditangan mereka penuh dengan Al Quran dan Hadith serta wawasan membangunkan Agama,Bangsa dan Negara? Apakah kemenangan yang bakal kita capai ini akan dihormati setelah kita menggunakan kaedah politik Lorong Haji Taib? Apa yang hendak kita ajarkan kepada anak cucu kita di masa hadapan. Tak kala generasi X dan Y ingin memimpin Negara, apakah mereka hanya perlu menyimpan sebanyak mungkin gambar porno dan aib orang ataupun mereka perlu menimba lebih banyak ilmu dan pengetahuan dunia dan akhirat ? Kalau begini mudah seseorang itu dilantik menjadi pemimpin hanya dengan mempunyai satu gedung aib dan gambar porno musuh politik mereka, maka tidak perlulah kita bersusah payah untuk melatih generasi X dan Y untuk dihantar ke Pusat Khidmat Negara (PLKN) ataupun BTN. Cukuplah kita menghantar generasi akan datang yang hendak menjadi pemimpin mahir dalam memasang kamera litar tertutup ataupun menggunakan kamera menjebak mangsa-mangsa tertentu. Lebih baik kita wujudkan sebuah Universiti “paparadzi”. Bagi yang ingin mencarut dan memaki hamun cukuplah sekadar kita menghantar generasi Y dan X bakal pemimpin ke lorong-lorong Haji Taib bagi memperelokkan bahasa carutan dan maki hamun mereka dengan seorang pelacur. Cukuplah, sudahlah, dan ingatlah bahawa Allah sedang memerhatikan kita wahai semua pemimpin. Jangan kita membela lagi kambing-kambing hitam yang bakal bertukar menjadi kambing gurun dan menanduk kita pula di kemudian hari. Negara yang sudah beralih kepada sebuah Negara Islam tidak wajar terlepas pandang dengan budaya politik Lorong haji taib ini. Tidak cukup kita paparkan di laman sesawang kita angkat pula ke media cetak dan elektronik. Kasihanilah pada warga masyarakat yang begitu gigih mendidik anak-anak mereka dengan Al Quran dan As Sunnah akhirnya dicemarkan dengan perbuatan sesetengah kambing hitam para pemimpin dengan hidangan politik dari Lorong Haji Taib. Akhirnya padi yang ditanam, tumbuh pula jutaan lalang. Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Hindarilah oleh kamu sekalian berburuk sangka karena buruk sangka adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kamu sekalian saling memata-matai yang lain, janganlah saling mencari-cari aib yang lain, janganlah kamu saling bersaing (kemegahan dunia), janganlah kamu saling mendengki dan janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling bermusuhan tetapi jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. (Shahih Muslim No.4646) Segalanya akan bermula dari diri kita sendiri. Maka pada hari ini kita janganlah hidup dalam sangkaan semata. Melihat orang yang begitu ramai menonton filem porno dan mendengar cerita politik lucah kita, maka kita merasakan itulah manusia yang member sokongan kepada apa yang aku perkatakan. Sedangkan tanpa kita ketahui orang ramai itu jugalah yang Allah hantar untuk melihat dan mendengar tetapi juga untuk berfikir akan apa yang mereka dengar dan lihat itu baik atau salah. Maka berpolitiklah jangan sampai Allah mendatangkan bala atas perbuatan kita sesama Islam. Iqraq!!