ASSALAMUALAIKUM

Sunday, June 9, 2013

Melayu Yang Keliru?

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMMAD S.A.W BANGSA MELAYU SEMAKIN KELIRU? Sesiapapun manusia tiada mempunyai pilihan untuk menjadi bangsa yang diingininya. Semuanya ketentuan Allah. Adalah satu pembohongan sekiranya kita mengatakan bahawa tidak akan terasa sedih apabila melihat bangsanya semakin lemah dan dihina. Setiap kali kita menegur bangsa sendiri pasti akan dicop sebagai manusia yang ingin menjatuhkan bangsanya . Siapa yang sebenarnya saling menjatuhkan bangsa Melayu sendiri? Persoalan inilah yang harus ditanya oleh kita. Adakah segala masalah kita akan selesai dengan menuduh “rasist” pada bangsa lain? Adakah benar bangsa Cina semuanya “rasist”? Senario yang sedang berlaku sekarang sebenarnya, bukanlah masalah bangsa yang bercakaran dengan bangsa lain tetapi, hakikatnya adalah kemarahan antara rakyat dan pemimpin yang lebih kepada bersifat dendam pribadi. Apa yang nyata rakyat sedang marah kepada pemimpin. Rakyat tidak kira bangsa Melayu, India dan Cina sebenarnya sedang bersatu hati untuk menentang kepimpinan yang juga terdiri dari berbilang bangsa. Tiada rasist dikalangan rakyat tetapi ada rasist yang dinyanyikan dikalangan pemimpin. Itulah kebenaran dan itulah hakikat. Tindakan yang dibuat oleh pemimpinlah yang mengalirkan satu tindakan drastik dari rakyat. Pemimpin seolah-olah menciptakan satu keadaan yang ingin dilihat oleh rakyat. Bukan apa yang seharusnya dipertimbangkan oleh rakyat. Satu perkara dicetuskan oleh pemimpin dan rakyat terus mengambil tindakan. Sedangkan lain pula tindakan yang dilakukan oleh pemimpin. Akhirnya timbul satu persoalan apakah benar pemimpin Melayu sedang merapatkan hubungan antara bangsanya atau cuba menjarakkan perhunbungan tersebut dengan mencuba mengambil langkah menjaga hati bangsa lain. Sepanjang 5 tahun pemerintahan Dato’Seri Najib apa yang dapat dilihat dari kacamata rakyat adalah usaha beliau untuk menawan hati bangsa lain daripada bangsa sendiri. Melayu amat keliru dengan kempen “Satu Malaysia” dan “Love PM”? Apakah bangsa Melayu yang begitu gagah dahulu sehingga bangsa lain terpaksa berbuat baik dengan kita untuk saling berniaga sudah dikelirukan dengan Slogan tersebut? Apakah kita patut menjadi Satu dalam 3 kelompok bangsa dan mencintai Perdana Menteri sebagai bukti cinta kepada Agama, bangsa dan Negara? Semua kita akur bahawa kepimpinan tidak boleh bersifat individu. Rakyat tidak suka apabila disogokkan dengan slogan yang memaksa mereka untuk menurutinya bagi mencapai satu perpaduan. Perpaduan bangsa hanya akan wujud apabila rakyat memahami hala tuju pemimpin. Terdapat satu insiden apabila saya ditanya oleh seorang belia Cina, kenapa kita mesti cinta PM untuk membuktikan kecintaan kita kepada Negara? Apakah slogan yang sedang dilaungkan, sedangkan lain pula yang disebut oleh PM sendiri. Apabila PM berkata semuanya untuk rakyat tetapi slogan menunjukkan bahawa semuanya untuk PM. Sambung beliau lagi , apabila dikatakan satu Malaysia, dimana salahnya kalau kami menuntut semua hak orang Melayu bangsa lain juga mau maaa….. Kalau PM mahu kita sokong BN kenapa mesti sokong PM maaa…..kita sudah pandai maa….kalau sokong BN automatically sokong PM la …haiyaaa..Kelu lidah saya hingga tak terkata apa-apa. Persoalannya sekarang dimana silapnya? Kalau benar PM mempunyai pakar penasihat yang bijak pandai, tak mungkin mereka terlepas pandang dari perkara-perkara ini. Apakah yang sedang penasihat itu lakukan? Kerja mengampu PM atau sedang memikirkan untuk menaikkan kehebatan seorang Perdana Menteri yang akan digelar “walk the talk”. Satu lagi slogan “Janji ditepati” Bukankah slogan tersebut bakal menjerat leher kerajaan sendiri. Mungkin PM mampu dan boleh menepati semua janjinya, namun bagaimana dengan Menteri, Timbalan Menteri, wakil rakyat? Apakah cukup jentera, mekanisme dan keewangan bagi mereka menepati janji? Bagaimana kalau yang berjanji PM dan harus dilaksanakan oleh mereka sedangkan semua tahu antara sesama pemimpin bercakaran sesama sendiri. Ada yang sekadar diberikan jawatan dan bukan pengisian kepada nilai jawatan tersebut. Untuk apa memegang jawatan kalau sekadar menjadi “harimau sarkas”. Untuk apa Perdana Menteri ke sana-sini berceramah mengatakan bahawa Malaysia sebuah Negara Islam kalau tidak dapat menegakkan satu slogan berupa Islam tetapi diterima semua bangsa. Saya amat sokong dengan slogan “WASSATIYAH” (dalam penjelasan ringkas ialah kesederhanaan). Semua bangsa akan suka dengan slogan tersebut kerana mampu diterapkan kepada semua golongan masyarakat. Slogan “In Sya Allah janji akan ditepati” bukankah slogan ini lebih menunjukkan bahawa kita tidak sombong dan mendahului Allah? I love PM ditukar menjadi “I LOVE MY COUNTRY”. Apa yang lebih mencorotkan lagi keadaan apabila Decade’s largest women conference telah dilancarkan di Malaysia. Perdana Menteri telah menyatakan di dalam ucapan beliau bahawa betapa pentingnya penglibatan wanita di dalam masyarakat. Sedangkan baru sahaja beliau mengenepikan peranan wanita di dalam politik , Satu sejarah Malaysia buat pertama kalinya tiada penglibatan wanita yang membanggakan di dalam PRU13 yang lalu. Subhanallah sekali lagi kontranya perbuatan dan percakapan PM. Saya rasa satu sejarah di dalam wanita UMNO apabila Naib Ketua Wanitanya dimalukan dengan tidak diberikan pengiktirafan ke atas jawatannya. Bagaimana mungkin seorang Presiden parti terlepas pandang menawar jawatan setimpal dengan kedudukan beliau. Ia seperti menawar kedudukan pegawai kepada seorang bekas Menteri. Ini bukanlah satu kenyataan memihat tetapi satu hakikat yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Satu kenyataan pahit yang harus ditelan oleh pemerhati politik wanita UMNO. Mungkin penulisan ini bakal dikritik oleh mereka yang hanya mahu PM mendengar kata-kata indah diluar kebenaran yang harus ditelan oleh seorang Perdana Menteri. Sebagai penasihat yang bijak laksana mereka tidak harus memperdengar dan memperlihatkan kepada PM apa yang disukai oleh beliau tetapi mereka harus menyampaikan satu kebenaran yang pahit yang harus ditelan oleh beliau bagi mengubati penyakit yang sedang melanda rakyatnya. Barulah kehebatan seorang PM akan terserlah. Tun Dr Mahathir hebat dengan “unpopular statement”. Walaupun pedih tetapi itulah hakikat yang harus diperbaiki. Kalau semua khabar indah apa lagi yang hendak diperbaiki oleh seorang Perdana Menteri. Dalam keadaan ini saya sebagai bangsa Melayu amat keliru. Apa yang dikatakan dan apa yang sedang berlaku dibawah langsung tidak seiring. Kita dikatakan sedang berhadapan dengan suasana perkauman tetapi hakikatnya berbilang kaum sedang memperjuangkan nasib seorang Melayu. Malahan ada juga Melayu yang bangkit memperjuangkan seorang bangsa Cina dan India. Apakah yang sebenarnya sedang berlaku pada bangsaku? Akhir kata muhasabahlah wahai pemimpin Melayu. Di mana sebenarnya silap bangsamu. Iqraq!! “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).