ASSALAMUALAIKUM

Wednesday, December 25, 2013

MANGSA BANJIR : PERSOALAN KHALIFAH DAN UMAT BUKAN HANYA PEMIMPIN DAN RAKYAT

Bismillahirahmanirahim Selawat Dan Salam Buat Junjungan Kita Nabi Muhammad s.a.w Tanggal 11/12/13, adalah satu sejarah dalam kehidupan saya bersama suami anak-anak dan sahabat handai yang amat saya kasihi. Inilah pengalaman pertama kami menyaksikan dengan mata kepala sendiri rakyat Malaysia yang hidup dalam kesusahan dan kelaparan.Walaupun sebelum ini pernah terlibat namun kali ini suasana berlainan sekali. Suasana tempat mangsa banjir yang kami sampai tidak ubah seperti satu perkampungan peperangan sepertimana yang kita lihat di Palestin dan kawasan mangsa musibah di Afrika dan India. Mungkin ayat ini agak keterlaluan, tetapi itulah kenyataan. Terlalu banyak gambar yang kami ambil tetapi tidak sampai hati untuk memaparkannya, kerana memandangkan mereka bukanlah dikalangan yang merempat dan susah tetapi setelah musibah banjir melanda keadaan mereka serta tempat tinggal mereka berubah menjadi 360%. Sedih, sayu dan hiba. Apa yang hendak saya perkatakan kerana itulah hakikat kehidupan manusia yang tidak pernah mahu muhasabah. Pandai bercakap pasal orang lain dan pemimpin tetapi bila Allah memerlukan khalifahnya untuk menolong sesama umat semuanya angkat kaki. Saya pernah berada di dalam dua suasana ketika manusia berkumpul besama masyarakat. Pertama di dalam Pilihanraya Umum dan Kecil. Kedua di tempat mangsa menerima musibah seperti banjir dan kebakaran . Muka-muka yang kelihatan di dalam dua situasi ini sungguh berbeza. Kalau di dalam PRK/PRU kita akan melihat lebih ramai muka manusia yang hipokrit, ada juga muka yang cukup pentingkan diri sendiri, mereka ke sana semata-mata untuk mendapat habuan, samada wang atau cerita yang akan difitnah pada pemimpin dan sesama mereka. Kebanyakkan yang berada di dalam situasi pilihanraya, hadir semata untuk mencari kesalahan pemimpin dan orang lain. Mereka sanggup bersusah payah merentas perjalanan semata untuk mendapatkan habuan buat mereka. Sekiranya ianya memberikan menafaat untuk diri mereka semua ok, tetapi jika ianya mendatangkan menafaat untuk orang lain jawabnya kirim salam. Lain situasi ketika bersama dengan mereka yang ditimpa musibah. Semua sahabat yang datang terasa begitu banyak kasih sayang diantara satu sama lain. Semua datang sibuk menguruskan orang yang ditimpa musibah dengan penuh senyuman. Setiap mereka, jauh sekali memandang satu sama lain dengan peransangka tetapi hanya senyuman melihat wajah-wajah yang sedang membantu agama Allah. Setelah selesai jelas Nampak begitu banyak kepuasan diwajah mereka. Semua sibuk berkata, betapa syukurnya kita, tak mungkin kita akan tahu bersyukur kalau tidak melihat dengan mata sendiri akan musibah orang lain. Lain sungguh lain situasinya. Hanya linangan airmata sahaja yang mampu terlihat ,Subhanallah. Setelah melalui sendiri pengalaman melihat mangsa banjir serta menghulurkan bantuan, mulut mulai terdiam, mata sudah tidak boleh berkelip dan hati terlalu banyak beristighfar. Ramai yang akan marah kepada pemimpin apabila melihat situasi sedemikian. Tentu akan menyumpah seranah melihatkan satu kawasan mangsa banjir yang seharian tidak makan, tiada sebarang bantuan dan ada beberapa rumah OKU dan orang tua yang pengsan kerana kelaparan dan tidak mampu membawa diri ke kawasan penempatan banjir. Namun ketika kita sebagai umat Islam terutamanya bermuhasabah ternyata musibah sedemikian berlaku, bantuan yang harus diberikan bukanlah hanya terletak kepada pemimpin, kerana hakikat sebenarnya ia adalah persoalan antara khalifah yakni kita yang dilantik Allah dan umat Nabi Muhamad . Inilah yang dinamakan Hablumminnannas. Tidak mungkin seorang pemimpin mampu mengapai tangan bantuannya kesetiap rakyat. Maka kitalah yang di datangkan Allah tentang perkhabaran tersebut turun ke bawah serta turut membantu sesama kita apa yang terdaya. Allah tidak melihat berapa ramai yang dibantu tetapi Allah melihat bagaimana ikhlasnya kita membantu. Sebagai seorang Islam janganlah kita mempersoalkan siapa yang kita bantu, adakah ianya berparti A, B atau C. Tetapi lihatlah ia sebagai satu bantuan kemanusiaan. Maka fikirkanlah ayat ini. “Ih fazillah, yahfazka”. Kita bantu Agama Allah, pasti Allah akan membantu kita. Kita tidak mengewakan orang lain maka Allah tidak akan mengecewakan kita. Jangan kita menyangka bahawa kesenangan hidup yang Allah berikan kepada kita adalah sebagai satu kesejahteraan dan keberkatan. Sedangkan ketika Allah tidak mahu langsung mengizinkan kita membantu orang lain maka muhasabahlah kerana Allah sedang mengenepikan kita untuk memberi pahala sesama umat buat kita. Kesejahteraan dan kebahagiaan yang hakiki bukanlah sebenarnya terletak kepada perhubungan kekeluargaan semata tetapi terletak perhubungan kita sesama manusia. Silakan berbahagia sesama keluarga tetapi ingat , ketika kita meninggal dunia, ketika ribuan masyarakat yang kita bantu berdoa buat kita, maka ketika itulah baru kita akan sedar di alam barzah, bahawa kehidupan yang Allah keruniakan buat kita bukanlah hanya untuk kita dan keluarga tetapi ianya sebenar untuk kita, keluarga dan sesama insan. Namun semuanya bergantung kepada kita yang benar-benar memahami agama, bahawa setiap perbuatan dan harta yang kita miliki akan dipersoalkan akan khairatnya. Perkara yang membuat saya terharu adalah ketika meihat sahabat handai yang turut bertungkus lumus membantu. Antara mereka adalah para artis, yang senantiasa dicemuh masyarakat. Tetapi apabila mereka turun padang untuk menghulurkan bantuan Subhanallah amat mengejutkan. Mereka sanggup bersama rombongan kami walaupun tiada wartawan dan TV yang akan menuruti rombongan tersebut. Tiada sesen pun wang yang diberikan untuk mengikuti rombongan kami. Semuanya fisabilillah. Banyak pengalaman dan kesedaran diperolehi semasa membantu mangsa banjir. Kita harus sedar, bahawa ternyata untuk menilai sesuatu perkara maka mata adalah penyaksian utama, yang boleh membenarkan telinga. Tetapi dengan telinga, tanpa mata mungkin akan hanya membawa kita ke kancah fitnah, yang telah dinilai sebagai dosa membunuh oleh sesetengah ahli kitab. Apabila sesuatu musibah seperti banjir ini berlaku kita akan sering menuding jari mencari kesalahan orang lain terutamanya pemimpin. Tetapi kalau kita menyaksikan sendiri dan membayangkan bahawa kita adalah seorang pemimpin kawasan tersebut, kemungkinan kita juga tidak mampu membantu semua orang. Oleh itu sebagai insan dan khalifah marilah kita bermuhasabah bahawa kita ini sudah dijadikan Allah sebagai khalifah, maka jalankanlah tanggungjawab kita untuk berjawab dihadapan Allah, apakah kita hanya menjaga kepentingan diri dan keluarga atau turut menjaga kepentingan umat manusia sebagai khalifah Allah dan umat Nabi Muhamad. Ingat bahawa Allah mampu lakukan apa sahaja bagi memberikan peringatan kepada umatnya. Mungkin satu hari kita akan berada di dalam situasi sedemikian dan ketika itu nasi sudah menjadi bubur. Apa yang harus kita ingat sebagai hakikat insan. Bagi yang kasihkan Allah dan dikasihi Allah tiada ayat keselesaan di dunia yang penuh penipuan ini. Demi masa dalam mengejar akhirat janganlah dibuangkan terlalu banyak masa mencari makan mengisi tembolok sendiri, luangkanlah masa untuk menanam bekalan akhirat, sesungguhnya halblumminnallah sahaja tidak cukup sekiranya tidak dijaga hubungan dengan manusia yakni hablumminannas. Mungkin bagi yang tidak berpengalaman di dalam dunia kebajikan tidak mungkin akan memahami masa orang yang membuat kebajikan. Mereka kan lebih memahami masa yang diperuntukkan kepada yang cari makan. Sesungguhnya memahami dan membantu sahabat yang suka berkebajikan samalah seperti seorang insan berkawan dengan penjual minyak atar. Tetapi sebaliknya kalau kita membantu seorang sahabat tukang besi, sedikit demi sedikit akan terkena percikan api besinya dan akhirnya hanya akan membakar nur keimanannya. Wallahualam. Saya ingin menggunakan kolum saya untuk mengucapkan jutaan terima kasih buat suami dan anak-anak,ternyata inilah percutian terindah kami, serta sahabat-sahabat saya yang sanggup mengorbankan masa bersama keluarga, masa bekerja dan ada juga yang sanggup turun meninggalkan urusan perniagaan, menderma berbagai jenis makanan dan alatan termasuk pengankutan semata-mata untuk menolong agama Allah. Ternyata dalam masa 3 hari Allah permudahkan buat kita segalanya. Terima kasih ustaz kerana mengingatkan saya bahawa “ketika saat Allah membenci kita akan dibuatkan kita sibuk dengan urusan cari makan, dan memenuhi nafsu sendiri, tetapi ketika Allah menyanyangi kita disibukkan pula kita mencari kebajikan untuk membantu sesama insan, disempitka rezeki buat kita hanya sekadar mencukupi dan dijaga semua urusan cari makan, tanpa kita perlu bersusah seperti hamba dunia lain.” Ternyata benar ustaz. Sesungguhnya kalian adalah teman akhirat sebenar. Semoga Allah memberkahi dan merahmati keluarga kalian sehingga ke akhir hayat. Amin. Kepada semua rakyat Malaysia yang cukup prihatin turut membantu magsa banjir ternyata Allah merahmatimu. Terlalu amat bersyukur menjadi warga Malaysia bersama rakyatnya yang sungguh beriman dalam membantu sesama insan. Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim, lihat juga Kumpulan Hadits Arba’in An Nawawi hadits ke 36). Pada suatu hari Rasululah SAW ditanya oleh sahabat beliau : “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai oleh Allah ? Rasulullah SAW menjawab : “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia yang lain;sedangkan perbuatan yang paling dicintai Allah adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapuskan kesusahan orang lain, atau melunasi hutang orang yang tidak mampu untuk membayarnya, atau memberi makan kepada mereka yang sedang kelaparan dan jika seseorang itu berjalan untuk menolong orang yang sedang kesusahan itu lebih aku sukai daripada beri’tikaf di masjidku ini selama satu bulan ” ( Hadits riwayat Thabrani ).

Sunday, December 1, 2013

KELUAR PARTI, LOMPAT, BUKA PARTI BARU ATAU TERUS SETIA PADA PARTI ?

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIN SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMAD S.A.W Inilah soalan yang sering diajukan kepada ahli parti tidak kira waima parti mana sekali pun sebaik sahaja selepas Pemilihan atau Pilihanraya Umum kepada mana-mana ahli yang tidak terpilih sebagai calun atau kalah dalam pemilihan. Saya menggelarkannya soalan lazim parti. Semua ahli parti mempunyai pandangan dan pendapatnya masing-masing apabila soalan ini ditanya. Ada juga yang tidak pernah ditanya oleh sesiapa tetapi masih bermain-main diminda dan kepala setelah melalui perjalanan Pemilihan atau bekerja semasa Pilihanraya umum. Tetapi dewasa ini soalan keluar, lompat atau setia pada parti sudah kurang diperkatakan. Selalunya ia berlaku dikalangan ahli parti yang Melayu/Islam. Apa yang menjadi buah mulut dikalangan ahli parti sekarang adalah cubaan untuk membuka sebuah parti baru. Alasannya kerana parti yang ada sekarang sudah tidak relevan. Parti yang banyak diperkatakan sudah tentulah UMNO. Saya merasa amat bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana masih diberikan kekuatan untuk tetap memegang prinsip setia kepada parti. Walaupun parti bagi saya adalah umpama sehelai pakaian yang boleh dilucut bila masa sahaja dengan izin Allah. Kesetiaan kepada parti tidaklah menghalalkan kita untuk melanggar segala hukum hakam Agama. Ia bukanlah seperti kesetiaan kita kepada Agama dan ketetapan hati kita kepada Aqidah. Walaupun sekarang secara tidak langsung kesetiaan kepada parti umpama membawa kepada satu perlakuan Assobiyah (yakni sanggup melakukan apa sahaja untuk parti, umpama menutup kemungkaran sesama ahli parti, menghalalkan berbagai cara untuk survival parti malahan kalau terpaksa menggadaikan maruah diri dan agama semata-mata ingin dikatakan setia pada parti. Nauzubillah). Kesetiaan kepada parti sudah kurang berbanding dengan kesetiaan kepada pemimpin. Kebanyakkan ahli sudah mengubah kiblat mereka dari sayangkan parti kepada sayangkan pemimpin. Itulah punca mengapa perlakuan lompat, tukar dan buka parti baru ini berlaku. Sudah hampir 56 tahun UMNO ditubuhkan dan bertujuan untuk membela nasib Melayu/Islam. Ramai yang bertanya apakah masih perjuangannya relevan atau masih berada digarisan niat yang sama semasa ianya mula ditubuhkan? Tepuk dada Tanya iman. Tujuan saya memilih tajuk ini adalah untuk berdiskusi sesama pembaca dimana asalnya perkara keluar , lompat, atau buka parti baru ini berlaku? Apakah puncanya dan mengapa ?Dari peninjauan dan pengalaman bergelumang dengan ahli parti yang terlibat dengan perlakuan lompat, keluar dan buka parti baru, saya dapati hampIr 90% berlaku kerana merasa tidak puas hati dengan tindak tanduk dan perlakuan pemimpin parti. Maaf kalau saya katakan tindakan tindakan memilih untuk keluar, lompat dan buka parti baru adalah satu pilihan yang salah dan silap sekiranya kita ingin meneruskan legasi asal perjuangan pemimpin terdahulu yang telah bersusah payah mendirikan umno untuk memperjuangankan Agama, Bangsa dan negaranya SEHINGGA NIKMATNYA KITA KECAPI SEHINGGA HARI INI. Perlakuan tersebut sebenarnya bukanlah menunjukkan bahawa mereka setia dan sayangkan perjuangan asal UMNO. Tetapi apabila keputusan sedemikian dibuat tidak kiralah keluar, lompat atau buka parti baru hanyalah semata-mata tidak mendapat apa yang diri mereka dan nafsu mereka hajati. Ini ternyata jelas bahawa ahli parti tersebut selama ini hanya sayangkan pemimpinnya dan bukan parti yang hendak diperjuangkan. Mereka hanya ingin menumpang laba dari kesenangan yang dikecapi oleh pemimpin yang dibela dan disayanginya. Apabila hajat pribadi ini tidak tercapai, pangkat, jawatan dan wang berjuta yang dijanjikan oleh pemimpin mereka terdahulu tidak dikabul akhirnya jadilah ahli keluar. Lompat dan buka parti baru ini. Tidak perlu banyak alasan menuding jari menyalahkan pemimpin sekiranya maruah diri sendiri dilacurkan kepada pemimpin yang mereka berhajat. Pandangan saya mudah yang merosakkan parti bukanlah orang lain tetapi pemimpin dan ahlinya. Pemimpin dan ahli adalah cerminan diri mereka. Kalau pemimpin tidak bermaruah maka begitu juga ahli dan begitulah sebaliknya. Hubungan ahli dan pemimpin adalah seperti cermin. Pemimpin yang dipilih itulah gambaran mereka yang sebenar. Sama juga dengan PRU. Andaikata tidak dicalunkan sepertimana yang dijanjikan maka 3 perkara tersebut mula akan diambil. Akhirnya siapa yang rugi. Ramai yang berkata parti sudah rosak maka kita patut buat parti baru. Percayalah cakap saya waima diganti dengan parti apa sekali pun perkara yang sama tetap akan berlaku. Kerana dari sejarah telah membuktikan bahawa antara parti PAS dan PKR hampir kesemua mereka adalah dari serpihan UMNO belaka. Apa jadi? Perlakuan tidak bermoral, rasuah dan kepincangan agama tetap saja ada di mana-mana parti yang ditubuhkan dan kerugian tetap kepada orang Melayu/Islam. Iqraq!! Bagaimana untuk menyelesaikan masalah pemimpin parti dan ahli parti agar UMNO kembali gemilangan dengan maruah dan perjuangan asalnya? Jawapan saya mudah terus setia kepada parti, terus menegur sesama sendiri, terus menyucikan segala kemungkaran sesama sendiri dan terus membuka pintu kepada mana-mana individu yang dirasakan berilmu dan bermaruah masuk ke dalam parti dan yang paling penting terus benar dan berani ketika menegur pemimpin parti dan ahli. Bukan dengan cara terbuka tetapi dengan cara bermuzakarah sesama sendiri. Kalau tidak menerima, maka bagi saya mudah akhirnya serahkan mereka yang mungkar di dalam parti ini kepada Allah untuk diuruskannya. Kalau UMNO runtuh, maka kita bangunkan semula dengan nama yang sama kerana UMNO masih relevan dan perjuangan asalnya amat suci dan mulia sebelum ianya dicemarkan dengan pelbagai isu dan masalah. Jadi siapa yang salah parti? Ahli? Atau Pemimpin? Kenapa nama UMNO itu harus kita kuburkan. Budaya salah, dipersalahkan, memepersalahkan orang lain dan diboikot ketika cuba menegur parti harus disisihkan, budaya pujian dan ampu sana ampu sini harus dikikiskan terus sesama ahli, maka barulah martabat dan maruah UMNO dahulu mudah dikembalikan kegemilangannya. Apa yang menyedihkan ialah lain pula tindakan kita. Bila marah dan segala hajat di dalam parti tak tercapai mulalah kita keluar, lompat dan buka parti baru. Kalau benar kita ikhlas dan tidak berhajat selain dari membela Agama dan dan bangsa kita maka kenapa harus mengambil tidakan sedemikian? Apakah ini akan membawa kepada jalan penyelesaian? Pemimpin UMNO sering dipersalahkan, seolah-olah Raja yang bertahta di mata berTuhan di hati sedangkan yang mengizinkan siapa? Saya merayu kepada semua ahli parti terutamanya UMNO, mulailah muhasabah serta bertanya pada diri kita sendiri apa sebenarnya yang kita mahukan Runtuhkan UMNO? Atau nyahkan pemimpin yang tidak kita sukai atau yang tidak memberikan menafaat kepada kita dari UMNO? Kalau ingin mengubah pemimpin sebenarnya kita harus mengubah diri kita terlebih dahulu. Kalau ingin menuntut kesetiaan kepada parti dari seorang pemimpin maka kitalah yang harus menunjukkan kesetiaan kita terlebih dahulu. Tidak mungkin ada perkataan kecewa dan putus asa di hati seorang pejuang, walaupun disepak terajang dan ditendang oleh badai UMNO, Janganlah kita terus menerus ingin menambahkan perpecahan dikalangan kita. Ianya hanya memberikan ruang untuk bangsa lain mempermainkan bukan sahaja bangsa yang paling menyedihkan ialah apabila Agama kita Islam sudah mulai dipersoal dan dipermainkan. Berusahalah kita menyatakan kebenaran walaupun pahit dan susulilah dengan keberanian untuk kehadapan bersama bekerja demi parti, tanpa membawa hajat dan kehendak peribadi. In sha Allah maruah parti akan terus dapat diselamatkan supaya jasa pejuang terdahulu kembali terpahat dihati anak belia terutamanya anak kita untuk meneruskan legasi perjuangan Agama, Bangsa dan Tanahair kita. Supaya tidak menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan dunia Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah: Maksudnya : ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya.