ASSALAMUALAIKUM

Monday, May 5, 2014

MEMBENTUK BELIA : DARI DALAM KELUAR ATAU LUAR KE DALAM?

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMMAD S.A.W Sesuatu yang indah ketika kita diberikan peluang untuk bersama mendidik belia dalam memahami arah tuju mereka dan cuba untuk menukar pemikiran mereka agar menjauhi persepsi. Dari pengalaman mengendalikan latihan belia, hasil dari pengalaman bersama mereka, ternyata belia bangkit memberontak semata-mata atas sebuah persepsi yang digambarkan oleh pemimpin ke atas mereka. Tidak kira samada ianya pemimpin pembangkang atau kerajaan. Belia hari ini, bukanlah seperti belia yang terdahulu. Kalau zaman dahulu mereka belum didedahkan dengan dunia sesawang yang hampir 70% di isi dengan pelbagai maklumat yang telah di propagandakan. Rata-rata jurang yang memisahkan belia dengan kebenaran informasi telah menjadi seluas lautan. Belia hari ini tidak didedahkan dengan kepentingan asas terlebih dahulu, lalu mereka yang ibarat kain putih ini telah disumbatkan dengan pelbagai kepentingan lain di dalam kehidupan. Khusus bagi belia Melayu/Islam, amat memeranjatkan apabila ada diantara mereka yang amat jauh sekali mengenali pemimpin ulung mereka, yakni Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Tanpa mengetahui siapa pemimpin ulung tersebut mereka sudah dijamukan oleh pelbagai falsafah dari pemimpin barat yang dihalakan kepada mereka sebagai IKON. Tidak hairanlah kalau IKON belia hari ini terdiri dari pemimpin barat yang mempunyai ideology sekularisme. Jarang sekali kita mendengar ceramah dikalangan ahli politik memperkenalkan ideology dan falsafah yang diketengahkan oleh Nabi dan Rasul kita serta sahabatnya. Sedangkan mereka merupakan antara pemimpin unggul dunia. Sehingga salah seorang penulis Barat yang bukan dikalangan umat Islam telah menyatakan di dalam tulisan beliau antara 100 pemimpin yang paling berpengaruh di dunia adalah Nabi kita Muhammad s.a.w. Junjungan kita sering dikaitkan dengan agama semata dan bukan ideology dan falsafah yang disampaikan melalui sunnah baginda. Sebagi contoh ; Belia harini ini lebih mengenali Steven Covey dengan 7 Habitnya daripada Rasulullah dengan 4 sifatnya, yakni Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah. Pelbagai pakar motivasi dari luar dibawa masuk bagi melatih anak belia. Mereka didedahkan dengan pelbagai ahli falsafah barat yang dianggap hebat untuk menjadikan seseorang anak belia Berjaya di dunia. Apakah itu sahaja kejayaan yang ingin kita capai? Bagi belia Melayu/Islam sudah tentulah mereka harus didedahkan dengan kejayaan dunia dan akhirat. Pernah kedengaran rungutan dari pegawai tinggi kerajaan, betapa berjuta wang telah dibelanjakan untuk melatih anak belia agar tidak terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat. Termasuk juga menghilangkan persepsi mereka di dalam pelbagai berita propaganda yang mengajak mereka menentang kerajaan, malahan terlibat dengan pelbagai demonstrasi haram. Namun kata mereka hasilnya hampir tidak Nampak. Pemimpin kita merasa hebat sekiranya dapat mengeluarkan kata mutiara dari ahli falsafah barat. Lalu mereka mulai mencanang kata-kata tersebut ke sana kemari di dalam setiap ceramah kepada belia. Tidak dinafikan bahawa ramai antara belia kita telah mempunyai pendidikan agama yang hebat. Tetapi jangan lupa bahawa ramai juga belia kita yang tidak langsung mengenali agama Islam. Ada antara mereka tidak tahu membaca Surah asas ibadah pun yakni Al Fatihah. Jauh sekali untuk mengenali Junjungan Nabi dan sahabatnya. Inilah yang dikatakan, tumpuan latihan kepada belia kebanyakkannya bermula dari luar dan bukan dalam. Banyak latihan fizikal dan sedikit sekali latihan rohani ditumpukan. Setiap kali kita mendatangkan ustaz mahupun ustazah, para belia mulai berpersepsi bahawa mereka dijebakkan untuk menjadi seperti ustaz dan ustazah tersebut. Belia seolah-olah melihat agama sebagai satu tempat untuk dihukum semata. Seolah mereka tidak mempunyai tempat dikalangan orang baik dan soleh setelah mereka terjebak denga pelbagai gejala sosial. Apabila dilakukan kaji selidik ke atas belia tersebut, kebanyakkan dari mereka menyatakan perkara yang sama. Mereka senantiasa dibentangkan dengan pelbagai hukuman sekiranya mereka telah bebruat kejahatan. Seolah tiada ruang taubat bagi mereka. Sebagai pelatih yang merasakan diri terlalu banyak dosa, secara tidak langsung akan terpisah dengan pelatih lain yang mempunyai asas pendidikan agama. Bagi kebanyakkan belia, mereka merasa Islam adalah satu dunia yang menyekat 100% segala keseronokan. Bermakna tiada perkataan enjoy di dalam Islam, kerana semua penceramah dating hanya untuk menghukum dan tidak langsung memberi ruang buat mereka berfikir dan menyatakan perkara yang benar pada pandangan mereka. Kebanyakkan para belia didedahkan dengan kebaikan kerajaan semata sehingga mereka merasakan bahawa setiap pemimpin kerajaan harus dipandang maksum dan tidak boleh ditegur. Inilah akibatnya sekiranya pembimbing tidak tahu berwassatiyah di dalam menyampaikan ilmu dan informasi kerajaan kepada belia. Kita harus sedar bahawa setiap media samada TV dan radio 100% memihak dan berkata perkara yang baik tentang kerajaan. Kalau ditambah pula dengan pembimbing setiap seminar berkata perkara yang sama, maka belia akan menjadi bosan. Salah kita apabila kita juga berpersepsi terhadap para belia. Ketika kita menyatakan kesalahan kerajaan, kita menyangka bahawa belia tersebut akan membenci kerajaan. Hakikatnya kelemahan sesebuah kerajaan itu secara fitrah adalah perkara biasa. Apabila kita pertimbangkan semula dengan kebaikan kerajaan berbanding dengan kelemahan yang kecil, maka belia mudah menerimanya. Mereka akan kembali kepada fikiran fitrah yakni sebagai manusia pemimpin atau rakyat semua terdedah kepada dosa dan kesalahan. Makanya setiap latihan harus kembali kepada fitrah. Menyampaikan apa yang sebenar dan bukan melebih-lebihkan apa yang tidak ada. Itulah yang dimaksudkan dengan pendidikan dalam lebih penting dari bermulanya pendidikan luaran. Kembali kepada fitrah. Menyampaikan yang buruk dan baik tentang kerajaan dan mulai mengajak mereka pertimbangkan bersama. Sudah tentulah kita sebagai pembimbing harus menanam dahulu cerita bagaimana Nabi dan Rasul ketika mereka menjadi Khalifah. Sekiranya mereka juga terdedah kepada kesilapan dan kesalahan bukanlah bermakna kesalahan mereka itu diakukan dengan sengaja oleh mereka seperti kita, tetapi semata-mata dijadikan Allah untuk kita mengambil iktibar dari para Anbia kita. Keegoan seseorang belia haruslah di pertimbangkan. Mereka hanya akan tunduk dengan penjelasan yang sebenar secara wassatiyah (kesederhanaa) dan rasional. Samada suka atau tidak itulah fitrah yang dijadikan Allah pada setiap manusia. Kita imbau kembali tentang diri kita sendiri. Bagaimana pemikiran dan hati serta semangat kita ketia muda belia. Bukankah kita juga tidak suka dipaksa menerima sahaja apa yang diucapkan? Kita juga inginkan satu penjelasan dari setiap kejadian secara rasional dan tidak berlebihan. Apa yang salah harus diakui dan apa yang baik dibentangkan untuk mereka berfikir dan bukan untuk mereka berubah ketika itu juga. Dari maklum balas yang diterima dari melatih hampir 14ribu belia, hampir 80% tidak didedahkan dengan pemimpin unggul kita yang sebenar untuk mereka kiblatkan yakni Rasulullah s.a.w. sedangkan kita memaksa mereka untuk menyukai dan menerima setiap pemimpin di dalam kerajaan seperti seorang Nabi yang maksum. Langsung tidak kita kritik, dihadapan belia, sedangkan kita tidak mengetahui bahawa belia tersebut terlebih dahulu disogokkan dengan propaganda tentang pelbagai isu pemimpin kerajaan kita. Belia amat suka berbincang. Mereka amat suka sekiranya kita tidak menafikan yang benar itu benar dan salah itu salah. Janganlah kita merasakan bahawa kita sedang mengkhianati pemimpin kita apabila mengakui kesakahan mereka. Tetapi pengakuan tersebut sebenarnya adalah semata-mata untuk mengurangkan kebencian belia ke atas pemimpin kita sebenarnya. Sebagai rumusan kepada semua belia, bagaimana harus mendidik mereka , maka bermulalah setiap pemimpin mengajak mereka berkiblatkan pemimpin unggul kita dahulu yaki Nabi Muhammad s.a.w. sebelum kita mengajak mereka bersama pemimpin kerajaan. Janganlah kita gambarkan kepada mereka bahawa pemimpin kita adalah maksum sebaliknya berilah gambaran yang sebenar dan nyatakan bahawa bersamalah kita berdoa agar setiap kesilapan pemimpin akan senantiasa terbuka dimata Allah untuk pemimpin kita berubah kearah kebaikan. Lihatlah betapa mulianya sifat Rasulullah setelah mencapai kemenangan dan kembali ke Mekah. Semua pemimpin jahiliah yang menentangnya dahulu diberikan keampunan tanpa dendam. Kenalkan sifat seorang pemimpin Islam terlebih dahulu sebelum mengenalkan pemimpin bangsa terutamanya Melayu yang penuh dengan kisah hasad dan dendam antara satu sama lain. Itu yang harus dicontohi belia. In sha Allah sekiranya pemimpin kita akan dapat menampilkan keperibadian mengikut Al Quran dan Sunnah maka lebih memudahkan kita untuk mendidik belia kearah kebaikan. In sha Allah. Beratus juta telah dihabiskan kerajaan untuk membentuk belia dari luar dengan segala macam kemahiran dunia. Namun ingat apa sahaj yang berkaitan dunia semuanya bersifat sementara. Mulailah kita melatih Belia berzikir, untuk menguatkan rohani. Seperti kita melatihkan mereka mengangkat berat untuk kekuatan jasmani. In sha Allah sekiranya kita banyak mendedahkan mereka kepadan amalan rohani, maka segala latihan jasmani dan minda akan lebih merubahkan persepsi dan pemikiran minda belia. Saya senantiasa mengingatkan belia, agar jangan menjadi seekor lembu ditengah padang ragut, hanya tahu makan. Padang ragut belia adalah Facebook. Maka jadilah seorang petani yang mengutip hasil dan memakan hanya buahan terbaik di ladang, bermakna setiap kali mengadap laman sesawang berfikir dahulu dan teliti hasil sebelum memasukkan ke minda. In sha Allah dengan perumpamaan sedemikian ternyata belia lebih mudah memahami. Inilah pendidikan Holistik sebenar. Seharusnya kita mencari para ilmuan dan pembimbing yang banyak menekankan ilmu kerohanian tentulah Islam, sebelum Allah mengangkat semua pembimbing soleh di dunia ini. Senantiasa membimbing dari dalam sebelum bimbingan luaran ditekankan. Muhasabahlah!! Hadis riwayat Abdullah bin Amru bin Ash ra., ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu dengan cara mencabutnya begitu saja dari manusia, akan tetapi Allah akan mengambil ilmu dengan cara mencabut (nyawa) para ulama, sehingga ketika Allah tidak meninggalkan seorang ulama pun, manusia akan mengangkat pemimpin-pemimpin yang bodoh yang apabila ditanya mereka akan memberikan fatwa tanpa didasarkan ilmu lalu mereka pun sesat serta menyesatkan. (Shahih Muslim No.4828)

No comments:

Post a Comment