ASSALAMUALAIKUM

Friday, December 16, 2011

JUAL ORANG LAGI UNTUNG DARI MENJUAL UNTA LAH!!

Sedih dan amat menyedihkan kebelakangan ini berlumba-lumba Pertubuhan Badan Bukan Kebajikan (NGO) tampil kononnya ingin menghulurkan tangan membantu kerajaan bagi memenangi PRU13. Bukan sahaja individu. Tapi apa yang terjadi seperti kata pepatah orang tua-tua “telunjuk lurus kelingking berkait”.

Betapa gembira dan bahagianya Perdana Menteri (PM) apabila sesetengah pejuang-pejuang NGO yang tampil di hadapan beliau berikrar, bersumpah dan bersetia untuk membantu akhirnya di belakang lain pula perbincangannya. Tiket mereka hanya satu iaitu menggunakan NGO untuk merentang jambatan antara “diri dan Perdana Menteri”.

Modal ayat mereka hanya satu ;” di belakang kami hampir ada ratusan dan jutaan pengikut Dato’Seri yang sedia turun padang meraih pengundi”. Tapi hakikat sebenar semua dah lari yang tinggal hanya borang-borang lama yang di isi bertahun dulu. Maksudnya “itu borang ada itu orang sudah tak ada”.

Keahlian NGO dijadikan modal seperti kepingan-kepingan kayu bagi membuat jambatan untuk sampai ke istana PM. Lagi banyak cari kayu lagi cepat buat jembatan, lagi cepat sampai, lagi cepat laba tercapai. Sana-sini ingin menunjukkan betapa ramainya ahli mereka, lalu di adakan pelbagai majlis untuk diresmikan oleh PM. Di celah kesibukan perasmian mulalah memohon itu dan ini agar diluluskan. Apa lagi kalau bukan laba dunia.

Kalau begitulah banyakknya keahlian NGO yang akan membantu kerajaan saya rasa mudah kerja untuk mengutip rakyat mendaftar undi yang sudah tentu akan berpihak kepada kerajaan sepertimana yang di laungkan oleh Presiden setiap NGO. Kalau setakat menunjukkan borang keahlian dan menghantar bas mengutip orang yang belum tentu pun ahli NGO untuk ditunjukkan kepada PM maka lupakanlah perjuangan anda demi Agama, Bangsa dan Negara. Cukuplah melaungkan pandangan, pendapat dan bantahan di jalanan.

Ada lagi taktik sesetengah NGO ini yakni apabila sebarang tuntutan mereka sebelum pilihanraya ini tidak dipenuhi maka mereka mula mengeluarkan senarai ahli untuk menggertak kerajaan atau pemimpin parti, kononnya inilah senarai ahli yang mereka ada untuk ditarik dari menyokong kerajaan. Kalau saya jadi PM satu saja ayat yang akan saya keluar iaitu “sudah la” atau “pigi daaa”.

Sudah-sudahlah para pemimpin NGO sekelian, janganlah menggunakan taktik kotor anda untuk menghulur bantuan kepada kerajaan seperti memberi tangan kanan menadah di tangan kiri. Kalau nama pun NGO maka sudah tentu ianya adalah gabungan kabajikan dan bukan golongan yang hendak mencorakkan kerajaan. NGO mampu memjadi tulang belakang kerajaan seperti sebilah pisau memotong makanan atau membunuh orang. Maka pilihlah untuk memoong makanan untuk dibahagikan kepada rakyat sekiranya tidak mampu digapai oleh kerajaan.

Oleh sebab itu tidak hairan sekiranya ada ahli-ahli parti politik ini merasa mual dengan karenah sesetengah pemimpin NGO. Mereka tidak pernah berjuang di dalam parti, tidak pernah turun ke kampung untuk berkempen dan tidak pernah merasa perit getir perjuangan ahli parti akhirnya berani menyuarakan tuntutan peribadi mereka. Dengan menonjolnya beberapa individu di dalam NGO mereka juga tidak ketinggalan untuk melobi pemimpin atasan bagi dipilih menjadi wakil rakyat. Persoalannya adakah ahli-ahli parti politik yang telah lama berjuang dan berkecimpung di dalam parti sudah mati?

Kalau sudah memilih untuk berjuang di dalam NGO maka berjuanglah dengan ikhlas tanpa mencuba untuk mendahului mereka yang telah lama berjuang di dalam parti. Jangan menambah minyak ke dalam api kebakaran. Jangan sampai orang dalam membakar rumah sendiri dek kerana marahkan orang luar yang berkelakuan lebih sudu dari bubur.

Hentikanlah perlakuan menjual orang kepada pucuk pimpinan akhirnya akan terbuka juga pekung di dada apabila keputusannya diumumkan di dalam PRU13 nanti. Kalau menang sudah tentu kredibiliti dan laungan anda sebagai pemimpin NGO anda terselamat tetapi kalau kalah anda tak ubah seperti “tukang karut” yang menggesek rebab sekadar memberi cerita dan impian kosong kepada pemimpin negara. Ketika itu sudah pasti NGO anda akan berlukut di tepi gantang. Ahli yang benar-benar ingin berjuang atas nama NGO akan menjadi seekor kancil yang mati di tengah 2 ekor gajah yang bodoh. Oleh itu tunjukkan kualiti ahli anda yang mampu bekerja menyelamatkan kerajaan dan bukan kuantiti yang hanya seperti buih-buih dilautan yang akan hilang setelah mendapat laba. Jangan cuba membuat kerja yang akan menghancurkan umat. Marilah kita mengingati pesanan Rasulullah s.a.w:

Dari Abu Hurairah ra. Dari Nabi Muhamad s.a.w, beliau bersabda: “Tinggalkanlah oleh sekelian apa yang telah kutinggalkan. Sesungguhnya yang menyebabkan kebinasaan umat-umat yang sebelum kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka dan mereka bertindak tidak sesuai dengan apa yang disampaikan oleh Nabi-Nabi mereka. Oleh kerana itu, bila aku melarang sesuatu kepada kamu sekelian maka jauhilah, dan bila aku memerintahkan sesuatu maka kerjakanlah sekuat tenaga.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment