ASSALAMUALAIKUM

Friday, December 16, 2011

RAKYAT BERKEHENDAK KEPADA PEMIMPIN ATAU SEBALIKNYA?

Inilah yang dikatakan dunia sudah terbalik. Kalau dahulu semua rakyat sangat berkehendak kepada pemimpin kerana mereka nampak pemimpin seumpama sebuah pohon yang rendang dan teguh. Bukan sahaja dapat memberikan perlindungan tetapi juga mampu mengeluarkan buah-buahan yang segar untuk dinikmati.

Kalau sekarang bagaimana? Kenapa rakyat kebanyakkannya sudah muak dan menyampah dengan pemimpin sehingga mereka sudah tidak peduli siapa bakal pemimpin mereka. Semuanya adalah kerana pemimpin sekarang umpama sepohon pohon yang gersang dan tidak berbuah. Sudahlah gersang, tidak berbuah malahan masih juga tidak mahu ditebang dan sanggup duduk di kawasan tersebut sampai reput di makan anai-anai. Itulah puncanya mengapa pemimpin bukanlah lagi satu keperluan kepada rakyat. Bagi mereka sesiapa sahaja yang bakal mengganti akan serupa itulah juga. Tahun demi tahun begitu jugalah kisah seorang pemimpin yang akan berulang-ulang.

Sedih melihat bagaimana Allah telah menarik hikmah seseorang pemimpin. Jauh bezanya dahulu dan sekarang. Bukanlah kerana ada pentas alternatif untuk rakyat bersuara seperti media internet dan sebagainya. Tetapi kerana perlakuan pemimpin itu jauh berubah dibandingkan dahulu. Pemimpin dahulu boleh diibaratkan seperti seorang peneroka yang bukan sahaja meneroka tetapi juga menanam dan mengutip hasilnya untuk dikongsikan bersama rakyat. Sedangkan pemimpin sekarang sama seperti penjajah. Mereka datang, teroka negara lalu dijajah untuk diri sendiri dan menjadikan rakyat tempatan sebagai hamba abdi yang hanya bekerja untuk penjajah.

Keadaan perubahan pemimpin sudah dihidu rakyat. Cuma sesetengah pemimpin sahaja merasakan bahawa mereka selamat kerana berada di dalam satu parti yang gagah. Sedih melihat apabila pemimpin bukan sahaja ditolak tetapi dimaki dan dicarut seperti seekor anjing ditepi jalan. Mengapa keadaan ini berlaku? Bukan kerana salah rakyat tetapi salah pemimpin itu sendiri yang kurang muhasabah. Kata pepatah Inggeris “You get what you give”.

Terang lagi bersuluh sekarang apabila kita melihat dari akhbar dan media betapa hinanya diri sesetengah pemimpin yang sanggup turun padang membuat perkara yang belum pernah dibuat sebelum ini semata-mata ingin mengambil hati rakyat dan amat berkehendakkan sokongan rakyat. Apa yang amat dikhuatiri keadaan ingin mengambil hati rakyat yang berlebihan ini suatu hari nanti setelah selesai pilihanraya tidak mampu lagi dibuat oleh pemimpin tersebut. Persoalannya apakah kita sekali lagi akan mengalami keadaan cuaca politik yang tidak menentu di masa depan?

Tidak salah apabila seorang pemimpin itu turun ke bawah dan bersama rakyat, melakukan perkara-perkara yang belum pernah mereka lakukan sebelum ini. Namun biarlah keadaan tersebut akan menjadi satu perkara yang istiqomah kepada setiap pemimpin dan bukannya bermusim. Kerana musim yang tidak menentu inilah akan membawa kepada tsunami yang besar.

Oleh sebab itu bagi pemimpin yang amat berkehendakkan sokongan rakyat kali ini harus memikirkan bahawa setiap aktiviti yang dijalankan akan berterusan selagi mereka memimpin. Rakyat sekarang sudah celik segala-galanya dan bukan seperti dahulu. Kalau dahulu bantuan amat diharapkan dari pemimpin. Manakala sekarang banyak rakyat sudah mampu berdiri di atas kaki mereka sendiri ada atau tanpa pemimpin. Banyak peluang sudah terbentang di depan mata, maka pemimpin yang mereka perlukan hanya sekadar pelengkap negara dan bukan lagi pelengkap kehidupan mereka. Sebab itulah ketika rakyat yang berkemampuan berdiri di atas kaki mereka ini mula melihat kemampuan akhlak melebihi dari kemampuan kehendak materi.

Dunia sudah terbentang luas menghamparkan peluang bukan sahaja di dalam negara. Di saat inilah pemimpin harus memfokaskan untuk menanam semangat patriotisme mencintai tanahair melebihi dari mencintai para pemimpin dan parti itu sendiri. Agar tidak akan berlaku sebarang kemungkinan rakyat akan meninggalkan negara atau menjual maruah negara semata-mata kerana kebencian mereka ke atas pemimpin menebal. Akhirnya kerana seekor nyamuk habis kelambu dibakar. Kerana nila setitik habis susu sebelanga.

Maka pemimpin akan datang seharusnya mempunyai kebijaksanaan dan patriotisme yang tinggi untuk diserapkan kepada rakyat dan bukan sahaja berguni-guni kata manis meraih undi. Negara sedang diperhatikan oleh orang luar dan bukan sahaja dalam. Bagi pengkhianat negara yang tidak mempunyai patriotisme yang tinggi dengan mudah akan termakan hasutan luar bagi membuka benteng negara untuk diserang secara materi dan psikologi. Kepentingan negara harus diutamakan di atas segala-galanya. Perubahan minda dan kemampuan rakyat juga harus dikaji semula agar kehendak mereka selari dengan kehendak pemimpin dan bukan disebaliknya. Oleh itu setiap pemimpin tidak boleh lagi merasakan bahawa rakyat begitu berkehendakkan apa yang berada di tangan mereka tetapi rakyat amat berkehendakkan apa yang ada diminda pemimpin tersebut bagi melahirkan idea baru bukan sekadar untuk hidup tetapi juga bekalan untuk hari kemudian. Ilmu pemimpin amat diutamakan dan bukan lagi materi sepertimana yang pemimpin rasakan. Apabila rakyat sudah bijak maka mereka mula mengharapkan seorang pemimpin yang lebih bijaksana, supaya tidak terus menerus diperbodohkan oleh janji manis pemimpin setiap kali menjelangnya pilihanraya.

Oleh itu pengenalan “wassatiyah” yakni kesederhanaa amat baik untuk diaplikasikan kepada pemimpin. Bermakna kalau berkempen besederhanalah. Kalau berjanji juga besederhana juga agar dapat dilaksanakan. Kalau beraktiviti juga besederhana agar dapat berterusan. Sekiranya ini dapat dilaksanakan InsyaAllah rakyat yang semakin bijak dapat menilai antara intan dan permata. Jangan sampai ada pemimpin yang menyuruh rakyatnya berbuat baik sedangkan mereka sendiri tidak melaksanakannya seperti kata Abu Zaid Usamah bin Zaid Haritsah ra berkata:

“Saya dengar Rasulullah saw bersabda: “Nanti pada hari kiamat ada seorang yang di datangkan kemudian dilemparkan ke dalam neraka kemudian keluarlah usus perutnya dan berputar-putar di dlama neraka sepertimana berputarnya keldai yang sedang berada di dalam penggilingnya, lantas para penghuni neraka berkumpul seraya bertanya:” Wahai fulan, kenapa kamu seperti itu?” Bukankah kamu dahulu menyuruh untuk berbuat baik dan melarang dari perbuatan mungkar?” Ia menjawab;” benar, saya dulu menyuruh untuk berbuat baik tetapi saya sendiri tidak mengerjakannya, dan saya melarang dari perbuatan mungkar tetapi saya sendiri malah melakukannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment