ASSALAMUALAIKUM

Wednesday, December 25, 2013

MANGSA BANJIR : PERSOALAN KHALIFAH DAN UMAT BUKAN HANYA PEMIMPIN DAN RAKYAT

Bismillahirahmanirahim Selawat Dan Salam Buat Junjungan Kita Nabi Muhammad s.a.w Tanggal 11/12/13, adalah satu sejarah dalam kehidupan saya bersama suami anak-anak dan sahabat handai yang amat saya kasihi. Inilah pengalaman pertama kami menyaksikan dengan mata kepala sendiri rakyat Malaysia yang hidup dalam kesusahan dan kelaparan.Walaupun sebelum ini pernah terlibat namun kali ini suasana berlainan sekali. Suasana tempat mangsa banjir yang kami sampai tidak ubah seperti satu perkampungan peperangan sepertimana yang kita lihat di Palestin dan kawasan mangsa musibah di Afrika dan India. Mungkin ayat ini agak keterlaluan, tetapi itulah kenyataan. Terlalu banyak gambar yang kami ambil tetapi tidak sampai hati untuk memaparkannya, kerana memandangkan mereka bukanlah dikalangan yang merempat dan susah tetapi setelah musibah banjir melanda keadaan mereka serta tempat tinggal mereka berubah menjadi 360%. Sedih, sayu dan hiba. Apa yang hendak saya perkatakan kerana itulah hakikat kehidupan manusia yang tidak pernah mahu muhasabah. Pandai bercakap pasal orang lain dan pemimpin tetapi bila Allah memerlukan khalifahnya untuk menolong sesama umat semuanya angkat kaki. Saya pernah berada di dalam dua suasana ketika manusia berkumpul besama masyarakat. Pertama di dalam Pilihanraya Umum dan Kecil. Kedua di tempat mangsa menerima musibah seperti banjir dan kebakaran . Muka-muka yang kelihatan di dalam dua situasi ini sungguh berbeza. Kalau di dalam PRK/PRU kita akan melihat lebih ramai muka manusia yang hipokrit, ada juga muka yang cukup pentingkan diri sendiri, mereka ke sana semata-mata untuk mendapat habuan, samada wang atau cerita yang akan difitnah pada pemimpin dan sesama mereka. Kebanyakkan yang berada di dalam situasi pilihanraya, hadir semata untuk mencari kesalahan pemimpin dan orang lain. Mereka sanggup bersusah payah merentas perjalanan semata untuk mendapatkan habuan buat mereka. Sekiranya ianya memberikan menafaat untuk diri mereka semua ok, tetapi jika ianya mendatangkan menafaat untuk orang lain jawabnya kirim salam. Lain situasi ketika bersama dengan mereka yang ditimpa musibah. Semua sahabat yang datang terasa begitu banyak kasih sayang diantara satu sama lain. Semua datang sibuk menguruskan orang yang ditimpa musibah dengan penuh senyuman. Setiap mereka, jauh sekali memandang satu sama lain dengan peransangka tetapi hanya senyuman melihat wajah-wajah yang sedang membantu agama Allah. Setelah selesai jelas Nampak begitu banyak kepuasan diwajah mereka. Semua sibuk berkata, betapa syukurnya kita, tak mungkin kita akan tahu bersyukur kalau tidak melihat dengan mata sendiri akan musibah orang lain. Lain sungguh lain situasinya. Hanya linangan airmata sahaja yang mampu terlihat ,Subhanallah. Setelah melalui sendiri pengalaman melihat mangsa banjir serta menghulurkan bantuan, mulut mulai terdiam, mata sudah tidak boleh berkelip dan hati terlalu banyak beristighfar. Ramai yang akan marah kepada pemimpin apabila melihat situasi sedemikian. Tentu akan menyumpah seranah melihatkan satu kawasan mangsa banjir yang seharian tidak makan, tiada sebarang bantuan dan ada beberapa rumah OKU dan orang tua yang pengsan kerana kelaparan dan tidak mampu membawa diri ke kawasan penempatan banjir. Namun ketika kita sebagai umat Islam terutamanya bermuhasabah ternyata musibah sedemikian berlaku, bantuan yang harus diberikan bukanlah hanya terletak kepada pemimpin, kerana hakikat sebenarnya ia adalah persoalan antara khalifah yakni kita yang dilantik Allah dan umat Nabi Muhamad . Inilah yang dinamakan Hablumminnannas. Tidak mungkin seorang pemimpin mampu mengapai tangan bantuannya kesetiap rakyat. Maka kitalah yang di datangkan Allah tentang perkhabaran tersebut turun ke bawah serta turut membantu sesama kita apa yang terdaya. Allah tidak melihat berapa ramai yang dibantu tetapi Allah melihat bagaimana ikhlasnya kita membantu. Sebagai seorang Islam janganlah kita mempersoalkan siapa yang kita bantu, adakah ianya berparti A, B atau C. Tetapi lihatlah ia sebagai satu bantuan kemanusiaan. Maka fikirkanlah ayat ini. “Ih fazillah, yahfazka”. Kita bantu Agama Allah, pasti Allah akan membantu kita. Kita tidak mengewakan orang lain maka Allah tidak akan mengecewakan kita. Jangan kita menyangka bahawa kesenangan hidup yang Allah berikan kepada kita adalah sebagai satu kesejahteraan dan keberkatan. Sedangkan ketika Allah tidak mahu langsung mengizinkan kita membantu orang lain maka muhasabahlah kerana Allah sedang mengenepikan kita untuk memberi pahala sesama umat buat kita. Kesejahteraan dan kebahagiaan yang hakiki bukanlah sebenarnya terletak kepada perhubungan kekeluargaan semata tetapi terletak perhubungan kita sesama manusia. Silakan berbahagia sesama keluarga tetapi ingat , ketika kita meninggal dunia, ketika ribuan masyarakat yang kita bantu berdoa buat kita, maka ketika itulah baru kita akan sedar di alam barzah, bahawa kehidupan yang Allah keruniakan buat kita bukanlah hanya untuk kita dan keluarga tetapi ianya sebenar untuk kita, keluarga dan sesama insan. Namun semuanya bergantung kepada kita yang benar-benar memahami agama, bahawa setiap perbuatan dan harta yang kita miliki akan dipersoalkan akan khairatnya. Perkara yang membuat saya terharu adalah ketika meihat sahabat handai yang turut bertungkus lumus membantu. Antara mereka adalah para artis, yang senantiasa dicemuh masyarakat. Tetapi apabila mereka turun padang untuk menghulurkan bantuan Subhanallah amat mengejutkan. Mereka sanggup bersama rombongan kami walaupun tiada wartawan dan TV yang akan menuruti rombongan tersebut. Tiada sesen pun wang yang diberikan untuk mengikuti rombongan kami. Semuanya fisabilillah. Banyak pengalaman dan kesedaran diperolehi semasa membantu mangsa banjir. Kita harus sedar, bahawa ternyata untuk menilai sesuatu perkara maka mata adalah penyaksian utama, yang boleh membenarkan telinga. Tetapi dengan telinga, tanpa mata mungkin akan hanya membawa kita ke kancah fitnah, yang telah dinilai sebagai dosa membunuh oleh sesetengah ahli kitab. Apabila sesuatu musibah seperti banjir ini berlaku kita akan sering menuding jari mencari kesalahan orang lain terutamanya pemimpin. Tetapi kalau kita menyaksikan sendiri dan membayangkan bahawa kita adalah seorang pemimpin kawasan tersebut, kemungkinan kita juga tidak mampu membantu semua orang. Oleh itu sebagai insan dan khalifah marilah kita bermuhasabah bahawa kita ini sudah dijadikan Allah sebagai khalifah, maka jalankanlah tanggungjawab kita untuk berjawab dihadapan Allah, apakah kita hanya menjaga kepentingan diri dan keluarga atau turut menjaga kepentingan umat manusia sebagai khalifah Allah dan umat Nabi Muhamad. Ingat bahawa Allah mampu lakukan apa sahaja bagi memberikan peringatan kepada umatnya. Mungkin satu hari kita akan berada di dalam situasi sedemikian dan ketika itu nasi sudah menjadi bubur. Apa yang harus kita ingat sebagai hakikat insan. Bagi yang kasihkan Allah dan dikasihi Allah tiada ayat keselesaan di dunia yang penuh penipuan ini. Demi masa dalam mengejar akhirat janganlah dibuangkan terlalu banyak masa mencari makan mengisi tembolok sendiri, luangkanlah masa untuk menanam bekalan akhirat, sesungguhnya halblumminnallah sahaja tidak cukup sekiranya tidak dijaga hubungan dengan manusia yakni hablumminannas. Mungkin bagi yang tidak berpengalaman di dalam dunia kebajikan tidak mungkin akan memahami masa orang yang membuat kebajikan. Mereka kan lebih memahami masa yang diperuntukkan kepada yang cari makan. Sesungguhnya memahami dan membantu sahabat yang suka berkebajikan samalah seperti seorang insan berkawan dengan penjual minyak atar. Tetapi sebaliknya kalau kita membantu seorang sahabat tukang besi, sedikit demi sedikit akan terkena percikan api besinya dan akhirnya hanya akan membakar nur keimanannya. Wallahualam. Saya ingin menggunakan kolum saya untuk mengucapkan jutaan terima kasih buat suami dan anak-anak,ternyata inilah percutian terindah kami, serta sahabat-sahabat saya yang sanggup mengorbankan masa bersama keluarga, masa bekerja dan ada juga yang sanggup turun meninggalkan urusan perniagaan, menderma berbagai jenis makanan dan alatan termasuk pengankutan semata-mata untuk menolong agama Allah. Ternyata dalam masa 3 hari Allah permudahkan buat kita segalanya. Terima kasih ustaz kerana mengingatkan saya bahawa “ketika saat Allah membenci kita akan dibuatkan kita sibuk dengan urusan cari makan, dan memenuhi nafsu sendiri, tetapi ketika Allah menyanyangi kita disibukkan pula kita mencari kebajikan untuk membantu sesama insan, disempitka rezeki buat kita hanya sekadar mencukupi dan dijaga semua urusan cari makan, tanpa kita perlu bersusah seperti hamba dunia lain.” Ternyata benar ustaz. Sesungguhnya kalian adalah teman akhirat sebenar. Semoga Allah memberkahi dan merahmati keluarga kalian sehingga ke akhir hayat. Amin. Kepada semua rakyat Malaysia yang cukup prihatin turut membantu magsa banjir ternyata Allah merahmatimu. Terlalu amat bersyukur menjadi warga Malaysia bersama rakyatnya yang sungguh beriman dalam membantu sesama insan. Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim, lihat juga Kumpulan Hadits Arba’in An Nawawi hadits ke 36). Pada suatu hari Rasululah SAW ditanya oleh sahabat beliau : “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai oleh Allah ? Rasulullah SAW menjawab : “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia yang lain;sedangkan perbuatan yang paling dicintai Allah adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapuskan kesusahan orang lain, atau melunasi hutang orang yang tidak mampu untuk membayarnya, atau memberi makan kepada mereka yang sedang kelaparan dan jika seseorang itu berjalan untuk menolong orang yang sedang kesusahan itu lebih aku sukai daripada beri’tikaf di masjidku ini selama satu bulan ” ( Hadits riwayat Thabrani ).

No comments:

Post a Comment