HIDUP BERERTI BERJUANG.HIDUP NIKMAT TANPA BADAI DAN TAUFAN LAKSANA LAUT YANG MATI. LEBIH MULIA HIDUP DITERJANG DAN DISERANG OLEH NASIB, DARIPADA DIPERMAINKAN OLEHNYA.
ASSALAMUALAIKUM
Tuesday, April 8, 2014
AGAMAWAN : ANTARA MEMBELA PARTI DAN AGAMA
Bismillahirahmanirahim
Selawat dan Salam Buat Junjungan Kita Nabi Muhammad s.a.w
Rakyat semakin keliru, apatah lagi dari kalangan belia, apabila melihat kelompok Melayu/Islam terutamanya yang melibatkan diri di dalam politik Negara. Lebih mengelirukan ketika melihat demonstrasi di jalanan pabila terdapat isu yang melibatkan penghinaan Islam, hanya rakyat biasa dan bukan dikalangan ustaz yang bangkit membawa sepanduk ke hulu ke hilir. Kalau dikaji boleh dikatakan rata-rata lebih ramai dikalangan ahli politik dari seorang agamawan. Semua parti politik yang terdiri dari Melayu/Islam sepertinya sudah satu trend, mencari dan memperbanyakkan golongan agamawan di dalam parti. Terkadang menjadi satu kehairanan kenapa golongan ilmuan Islam ini dicari? Sedangkan yang sedia ada tidak Nampak pun yang bangun bersama rakyat memprotes penghinaan Islam.
Terbaru ialah kes YB Teresa Kuok, yang terang lagi bersuluh cuba mencemarkan kehormatan Islam apabila beliau diundang untuk ke masjid yang sedang mengadakan satu acara. Ketika beliau ke sana kebetulan orang Islam sedang bersolat, beliau tetap saja berkeras untuk naik ke atas kawasan mukmin sedang bersolat tanpa memakai tutup kepala. Banyak soalan yang diajukan tentang kenapa beliau tidak dibenarkan naik ke kawasan orang sedang bersolat. Kelihatannya beliau tidak langsung ditarbiahkan oleh rakan seperjuangannya terutama PAS dan PKR yang terdapat ramai orang Melayu/Islam terutamanya para ulamaq di sana. Jadi sekali lagi ingin saya bertanya “apakah fungsi agamawan di dalam sesebuah parti?”. Adakah mereka dimasukkan semata-mata untuk menegakkan parti atau agama Islam?
Sebenarnya tidak salah bagi sesebuah parti itu memperbanyakkan golongan agamawan di dalamnya. Tetapi apa yang harus difikirkan untuk mereka adalah, tugas mereka di dalam parti. Kalau sekadar
untuk menutup keaiban dan kesalahan pemimpin maka lebih baik jangan. Sebab kita akan hanya meletakkan mereka sebagai seorang insan pewaris Nabi yakni Ulamaq sebagai “syubahah”. Sekiranya kita perbanyakkan agamawan di dalam parti pula semata-mata untuk memperlihatkan kebaikan ahli parti, maka ingatlah bahawa seorang agamawan yang soleh tidak mampu menjangkitkan kesolehannya di dalam parti.
Bagi sesebuah parti politik di dalam era yang penuh dengan fitnah ingin saya cadangkan agar janganlah meletakkan seseorang agamawan itu di dalam keadaan serba salah. Seorang Ulamaq mahupun ustaz yang seharusnya membawa risalah Allah dan bukan risalah parti. Apabila seseorang ustaz mahupun Ulamaq membawa risalah parti maka mereka akan lebih banyak mengundang kebencian dan kekeliruan rakyat dari membawa kebaikan kepada agama. Kita semua sedar bahawa ulamaq mahupun ustaz adalah lambang Islam, kalau tercemar perlakuan mereka kerana membela parti secara assobiyah maka tercemar jugalah Islam itu sendiri. Akhirnya kita bukan sahaja tidak membawa perpaduan di dalam parti tetapi juga kita menjadikan Islam berkelompok, sehingga terkeluar perkataan “Ulamaq PAS” dan Ulamaq UMNO”. Ia akan lebih keliru ketika Ulamaq ini diperkenalkan kepada belia dan kanak-kanak.
Samalah seperti yang berlaku di Terengganu dan Kelantan. Kanak-kanak mulai diperkenalkan kepada Masjid PAS dan Masjid UMNO. Melalui pengalaman sendiri, saya pernah diberitahu oleh seorang kanak-kanak di Terengganu semasa berada di sana, kata beliau “makcik jangan masuk masjid tu, sebab UMNO punya, mereka tak betul, kalau nak masukmasjid cari yang warna hijau sebab tu, PAS punya dan pengajiannya semua benar”. Subhanallah. Terperanjat saya mendengar ayat tersebut dari kanak-kanak 12 tahun.
Oleh itu tepuk dada Tanya iman, apakah sebenarnya fungsi seorang Ulamaq mahupun ustaz berada di dalam sesebuah parti? Adakah untuk mendapatkan undi atau untuk menyatakan kebenaran dan merapatkan saf antara Melayu/Islam sepertimana yang dikehendaki Allah. Mengapa mereka para Ulamaq yang berada di dalam parti ini tidak pernah mengadakan majlis seperti forum dan dialog setiap minggu atau bulan di masjid seluruh Malaysia bagi menyatakan kedudukan mereka sebenarnya di dalam parti. Mereka harus menjauhkan diri seperti langit dan bumi dari mencaci maki antara sesama Islam. Kalau beginilah keadaan antara ustaz dan ulamaq di dalam parti, maka lebih ramailah generasi akan datang akan menolak agama serta memudahkan agama lain mengambil kesempatan.
Budaya Aethis (tidak percayakan agama) semakin banyak menular di kalangan remaja tidak kira yang pernah Islam atau dari kalangan remaja bangsa lain. Antara puncanya adalah mereka mulai bosan melihat akhlak para agamawan lebih-lebih lagi yang memegang potfolio di dalam parti. Kebanyakkan para ulamaq ini akan banyak memperkatakan tentang akhlak Nabi Muhammad s.a.w tetapi mereka sendiri tidak melambangkan 10% pun dari akhlak Nabi. Apabila mereka mulai mencaci maki sesama Islam, hidup dengan penuh kemewahan serta banyak memboros. Akhirnya remaja ini memilih untuk tidak beragama. Inilah bahayanya kalau Ulamaq diperbanyakkan di dalam sesebuah parti akhirnya risalah Allah dicampur baurkan dengan risalah politik, yang penuh dengan agenda dunia. Nauzubillah.
Maka tidak hairanlah sekiranya bangsa lain begitu bangga melanggar apa sahaja sensetiviti agama kita. Tidak lain kerana kita sesama Islam berlainan parti pun tidak mahu duduk
k semeja bersatu bagi menentang kerakusan bangsa lain menghina agama kita, kerana mereka tahu sesiapa sahaja Ulamaq dari parti yang berlainan akan bangun dan mengeluarkan dalil yang berbeza bagi membela parti masing-masing dan bukan Islam itu sendiri. Oleh itu tidak hairanlah baginda Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata, bahawa para ulamaq di akhir zaman ketika meninggal , merekalah yang paling ramai menjadi kayu bakar api neraka. Satu ayat yang amat menakutkan.
Ketika bertemu ramai para belia semasa latihan, soalan yang amat menakutkan saya ketika ditanya “ Puan, di dalam bab agama ustaz manakah yang harus kami ikuti dan pelajari,? Ustaz UMNO atau PAS atau ustaz yang tidak berparti? Pening untuk saya menjawab, Apa yang dapat saya katakana ikutlah ustaz yang memegang Al Quran dan sunnah serta tidak berparti, kerana itu lebih meyakinkan saya. Pesan arwah bapa saya, ada ustaz yang alim belum tentu soleh da nada juga yang soleh tetapi belum tentu alim, maka ikutilah yang soleh walaupun kurang alim, kerana hanya yang mengikuti sunnah Nabi dan memegang Al Quran tanpa kitab yang banyak seperti orang alim sahaja mampu membimbing iman kita. Wallahualam.
Daripada Anas ra berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api".
Yang dimaksudkan di sini ialah zaman yang sangat mencabar sehingga sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran agamanya ia terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat. Kalau ia tidak bersungguh-sungguh, nescaya agamanya terlepas dari genggamannya. INI LAH NASIB PARA GURU DAN PENGAMAL ILMU TARIKAT, HAKIKAT DAN MAKRIFAT. Sering di tohmah oleh ulama SUK sebagai sesat dan menyesatkan, apakah dengan hanya Phd. Syariah sudah cukup atau sekadar gelaran al Hafiz sudah cukup??????? Ini lah ulama fasik seperti dalam hadis, ilmu tidak syumul , duduk dalam keadaan berdosa kerana menolak untuk belajar Tasauf dan Usuluddin. Hati di penuhi sifat Mazmumah dan Jiwa tidak pernah mengenal Tuhan, yang di kenal hanya DUNIA kerana PHd yang di raih untuk mengejar dunia , bukan untuk mengenal TUHAN.
Ini adalah disebabkan suasana di sekelilingnya tidak membantu untuk ia menunaikan kewajiban agamanya. Bahkan apa yang ada di sekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan akidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. Ini juga bermaksud, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.
KITA SUDAH KEHILANGAN MH130, JANGAN SAMPAI HILANG ALLAH.
Bismillahirahmanirahim
Selawat dan Salam buat Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w
Satu persatu, ujian yang telah Allah turunkan kepada Pemimpin dan rakyat Malaysia. Bagi mereka yang mempunyai aqidah yang kukuh, sudah tentu dapat melihat dan mendengar apa yang sedang Allah bicarakan kepada kita. Muhasabah merupakan pakaian pertama yang akan dipakai bagi mereka yang memahami.
Terdapat banyak pengajaran yang telah Allah lemparkan sejak kita kehilangan pesawat MH370. Yakni siapakah kita sebagai pemimpin rakyat, yang senantiasa merasa berkuasa, hebat dan menidakkan kehebatan orang lain. Akhirnya seolah Allah memberi satu penampar kepada pemimpin kita diseluruh dunia, lihatlah siapa lebih hebat. Kecanggihan alat buatan manusia tidak dapat mengatasi kekuasaanNya.
Namun dalam banyak pengajaran yang ingin saya fokaskan adalah kepada pimpinan agama kita. Saya merasakan seolah Menteri Agama kita telah ditelanjangkan oleh Allah buat tatapan seluruh dunia, menggambarkan selama ini rakyat Malaysia telah diarah melakukan perbuatan mensyirikkan Allah.
Selama ini kita sering mendengar desas desus bagaimana pengamalan syirik ini dikaitkan dengan pimpinan politik. Perbuatan ini seperti irama dan lagu. Sesetengah Ahli politik menggunakan khidmat bomoh di sana-sini, dikatakan untuk mendapatkan pelbagai ilmu bagi mengekalkan kuasa mereka. Apa yang paling laris adalah ilmu penunduk pada setiap cincin yang mereka pakai. Ada juga ilmu gerun, supaya orang takut dengan mereka, dan tidak kurang juga ilmu penyeri serta ilmu untuk menjatuhkan rakan taulan di dalam arena yang sama.
Akhirnya dengan berlakuknya tragedy MH370, semuanya menjadi jelas setelah ramai yang berteka-teki sesama sendiri antara ahli politik dan perbuatan kurafat ini. Bukanlah semua tetapi ia telah menunjukkan bahawa agenda pembomohan ini memang tidak asing dikalangan pemain politik.
Ketika seorang bomoh telah hadir ke KLIA dengan perbuatan yang begitu khurafat dimata Islam, seluruh dunia mulai memomok-momokkan perbuatan beliau sehingga berlaku pertelagahan antara beliau dan salah seorang pemimpin politik yang bukan bertaraf ilmuan agama pun bangun menentangnya, dimana Menteri Agama?. Persoalannya sekarang ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri agama kita sebelum itu, seperti mengalu-alukan kedatangan mana-mana usaha sampai tidak kira samada ianya perbuatan syirik atau tidak asalkan dapat memberi petunjuk untuk mendapatkan semula kapalterbang MH370. Subhanallah.
Mengapa beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sedangkan seluruh umat Islam di Malaysia mengetahui perbuatan syirik tetap syirik dan tidak boleh dihalalkan waima niatnya untuk kebaikan.
Saya terus membayangkan ketika bertemu dengan seorang teman Arab dari Mekah. Beliau pernah bertanya bercerita kepada saya ketika bertemu Ummu Jah (di Mekah). Selama ini beliau tidak pernah mendengar dan melihat mana-mana penduduk Mekah yang “menurun” kerana tahu itu perbuatan syirik .Namun, Ketika bertemu Ummu Jah beliau diberitahu bahawa As Syaari berada di dalam tubuh ummu Jah, beliau begitu terperanjat kerana Ummu Jah menghulurkan tangan tanpa lapik untuk bersalaman dengannya. Subhanallah. Beliau langsung bertanya kepada saya, apakah Negara Malaysia yang begitu tinggi amalannya mengamal perkara sedemikian? Nasib baik kemudian Ummu Jah telah diambil tindakan. Maka ia menunjukkan bahawa pemimpin Malaysia menolak semua perkara syirik.
Namun sekarang apa yang telah berlaku? Iqraq!! Sekali lagi Allah telah memalukan Negara, dengan dipimpin oleh Menteri Agama yang saya anggap begitu dangkal dalam memberi kenyataan, dan tidak bersungguh dalam memerangi perbuatan syirik dan sesat.
Tidak hairanlah sekarang mengapa ajaran sesat seperti, syiah, pembomohan berleluasa di Malaysia, kerana kita amat perlukan seorang Menteri Agama yang tegas seperti Umar Al Khattab. Kita perlukan seorang Menteri Agama yang seharusnya dilantik dari kalangan Agamawan yang jauh dari berpolitik sesama orang awam. Seorang Menteri Agama yang Wassatiyah dalam kehidupan dan adil serta berani dalam menjaga urusan agama. Berani menentang, berani bersuara dan berani mengambil tindakan tanpa kompromi politik ketika soal agama Islam diperkotak katikkan.
Kita harus sedar jangan sampai kita menyalahkan Ketua Negara sedangkan orang yang sebenar-benarnya bertanggungjawab adalah Menteri Agama itu sendiri. Ketika Allah murkakan kita cuba kita kembali muhasabah, apa yang sedang berlaku di Malaysia? Jangan sampai kita menuding jari ke pimpinan yang salah. Bukan sekadar MH370, sebagai hasil kemurkaan Allah tetapi kita kaji apa yang berlaku sebelum ini. Nama Allah telah dipermainkan. Tuntutan Comago yang melampau, Islam telah mengalih untuk memeluk kristian, mengadakan hiburan yang bertentangan dengan budaya Islam dan pelbagai lagi. Pihak pembangkang diberikan ruang untuk menghina Islam, namun hanya dibela oleh rakyat yang terdiri dari NGO. Mana amaran dan ketegasan seorang Menteri Agama??
Benar kita di dalam musibah tetapi jangan lupa bahawa kesyirikan rakyat Malaysia juga sudah ditelanjangkan, siapa yang bertanggung jawab kalau bukan Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga soal agama. Saya merasa malu dan agak terkilan apabila dihujani dengan panggilan talipon dari Negara Arab dan sahabat seperguruan dari beberapa Negara mempersoalkan saya tentang apa yang tersebar. Sehingga ada yang menghantar kenyataan Menteri Agama Malaysia kepada saya, di mana beliau mengalu-alukan usaha syirik tersebut. Saya tidak hairan dan tidak gentar kalau dikatakan cuba menjatuhkan beliau tetapi ini merupakan satu hakikat yang harus beliau muhasabah. Ingatlah teguran dari setiap manusia datangnya daripada Allah. Sekiranya sesuatu kebenaran itu hendak dibongkarkan Allah tidak semestinya ia datang dari Agamawan yang tinggi ilmu agamanya. Kebenaran juga boleh keluar dari manusia yang tidak tinggi ilmu agamanya dan dari sesiapa sahaja. Allah sedang memerhatikan kita, bertambah pula sekiranya kita berjawatan. Ia sesungguhnya bukanlah satu tiket untuk laluan mudah ke syurga. Iqraq!! JANGAN KELIRUKAN ISLAM/MELAYU MALAYSIA!!
“Binasalah orang-orang yang berlebih-lebihan (ghuluw). Nabi mengulangi perkataan ini sebanyak tiga kali.
Termasuk dalam perbuatan berlebih-lebihan di dalam memuliakan orang-orang shalih ialah mentaati apa jua yang diajarkan oleh mereka berhubung dengan ajaran agama tanpa merujuk kebenarannya di sisi al-Qur’an dan al-Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.
Sekali lagi Allah Subhanahu wa Ta’ala menegur sikap seumpama ini sebagaimana firman-Nya ketika mencela golongan Ahl al-Kitab yang keterlaluan di dalam mentaati ajaran para ulamak dan rahib mereka sehingga membelakang ajaran Allah dan Rasul-Nya:[7]
Maksudnya: Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah.”
KENYATAAN BERBELIT TERESA KOK
Bismillahirahmairahim
Selawat dan Salam buat Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w
Rakyat Malaysia mulai dikelirukan oleh MP Seputih Teresa Kok apabila terhasilnya video “ONEderfull Malaysia CNY 2014”.Ternyata video ini amat mengundang kemarahan rakyat Malaysia. Ia dianggap sebuah satira yang membawa beberapa penghinaan kepada isteri Perdana Menteri dan beberapa menteri kabinet. Tetapi semuanya telah dinafikan oleh Teresa Kok.
Walaupun tajuk ini sudah dianggap basi, tetapi ia masih segar di minda sesetengah minda rakyat yang menganggap Teresa sebagai seorang pemimpin yang memberikan satu contoh teladan yang tidak baik terutamanya kepada golongan “Y”. Di tambah pula dengan kenyataan beliau yang amat mengelirukan di dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 9hb Febuari 2014 beliau mendakwa bahawa “tidak mengenali pelakun”. Manakala di dalam Utusanonline pula pada 11hb Febuari 2014 beliau menyatakan bahawa “beliau menghasilkan skrip video tersebut”.
Ke tiga pelakun juga telah mengesahkan bahawa Teresa yang mengarah lakunan satira tersebut. Sebagai bekas mahasiswa teater, tentulah saya juga mempunyai pengalaman mengarah dan belum pernah saya mendengar seorang pengarah tidak mengenali pelakunnya. Persoalannya sekarang adalah untuk apa satira tersebut diadakan? Kenapa begitu biadap, mengadakan skrip dan watak yang berupa sindiran? Walaupun beribu kertas lapuran Teresa tidak mengakui watak di dalam satira tersebut merupakan watak yang dikaitkan dengan beberapa nama VIP, namun Teresa harus faham bahawa rakyat Malaysia bukanlah dikalangan manusia bodoh yang tidak dapat menilai sesebuah watak dan kaitan dengan tragedi yang ditulis di dalam skrip beliau.
Hari demi hari kita akan mulai terfikir mengapa kebelakangan ini timbul beberapa orang rakyat Malaysia yang ingin hidup tanpa toleransi di Malaysia. Peristiwa Teresa Kok hanya salah satu dari beberapa insiden yang berlaku sebelum ini. Seperti Namewee menghina lagu negaraku, pasangan Cina yang mempersendakan berbuka puasa dengan Bak Kut The, anak Cina memijak gambar Perdana Menteri, Guru Besar SRJK © arak cikgu Melayu/Islam membuka tudung, Guru Cina memamkaikan loceng pada leher pelajar Melayu dan menyuruh memakan rumput, Kaum Cina juga menghalang berkumandangnya azan di masjid, anak Cina yang belajar diluar Negara terbalikkan bendera Jalur Gemilang selepas PRU13 dan apa lagi selepas ini?
Bukanlah niat kita untuk mewujudkan perkauman, tetapi kita harus bertanya mengapa peristiwa itu berlaku dengan begitu konsisten kebelakangan ini. Lepas satu, satu bangsa, agama dan pemimpin kita dihina. Setelah menyelidik mengaji dan mengkaji, tidak lain dan tidak bukan ianya berlaku akibat dari bangsa Melayu Islam sendiri yang telah membuka ruang dan peluang bagi bangsa dan agama kita dihina.
Ketika melihat perlakuan ahli dan pemimpin parti yang ada di Malaysia tidak kira parti kerajaan mahupun pembangkang, terutama yang Melayu Islam. Mereka tidak pernah mempunyai sebarang perasaan persaudaraan agama ketika masing-masing ingin mengakkan parti. Berlainan pula dengan bangsa lain terutamanya Cina. Waima mereka di dalam parti lawan namun jarang sekali kita mendengar mereka bermakian sesama sendiri dan saling tidak membela satu sama lain. Mereka nampaknya longgar di luar tetapi amat kukuh di dalam. Keadaan MCA yang dikataka hilang populariti di kalangan kaum Cina amat memberi satu persepsi yang sukar dipercayai. Bagi saya mudah sahaja sekiranya kita tidak bekerja kuat dan turun padang sudah tentulah lama kelamaan populariti kita hilang, maka lihatlah perlakuan MCA yang banyak menjadi persoalan kepada kita. Adakah mereka benar-benar hilang populariti dikalangan kaum Cina? atau mereka tidak lagi bersungguh-sungguh bekerja keras membantu Barisan Nasional? Inilah yang dikatakan “longgar di luar tetapi kukuh di dalam”antara mereka sesama bangsa.
Amat menyedihkan apabila asas agama Islam dipegang kuat oleh bangsa lain. Yakni ukhwah dan saling bantu membantu sesama saudara seIslam tidak wujud di kalangan kita bangsa Melayu yang harus dan wajib Islam , itulah kenyataannya di dalam perlembagaan. Sesama bangsa dan agama akan menjadi halal mengkafirkan, memusuhi dan mencaci maki hanya kerana berlainan parti. Semua cara dihalalkan. Orang tua pernah berkata sekiranya kita mahu diri kita dihormati, maka belajarlah menghormati orang lain sebelum orang lain mampu menghormati kita.
Pandangan saya perkara penghinaan bangsa lain terhadap bangsa dan agama kita akan berlarutan sekiranya kita tidak memperbetulkan diri kita dahulu.kita harus menghormati sesama bangsa dan agama dahulu sebelum menuntut orang lain menghormati bangsa dan agama kita. Jangan sampai parti menjadi racun perosak kepada agama dan bangsa. Sedangkan parti hanya tempelan duniawi yang tidak menjaminkan syurga, namun ruang besar untuk menjaminkan neraka. Iqraq.
Selepas ini apa yang dilakukan oleh Teresa Kok akan menjadi idola dan ikutan anak remaja yang kreatif. Maka akan terlahirlah beberapa watak Teresa Kok dimasa akan datang untuk menghasilkan satira bagi melepaskan dendam, hasad dan dengki melalui satu medium baru yang mampu merosakkan minda generasi akan datang dalam menilai kepimpinan dan Negara mereka. Muhasabahlah.
Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Bagindabersabda: Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.
Kasih sayang dan persaudaraan adalah antara tuntutan iman. lman seseorang mukmin tidak akan sempurna sekiranya dia ada menyimpan perasaan benci terhadap mana-mana saudaranya yang seagama. Kedudukan kasih sayang dan persaudaraan dalam lslam amat tinggi dan penting. la adalah kekuatan kedua bagi umat lslam yang dapat mengatasi kekuatan senjata. Semua orang lslam adalah bersaudara, tanpa mengira rupa paras, warna kulit, bangsa dan sebarang
perbezaan darjat.
PEMIMPIN, PAKAR MOTIVASI DAN GURU: KERANA NILA SETITIK HABIS SUSU SEBELANGA
Bismillahirahmanirahim
Selawat dan Salam buat Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w
Sukar untuk menerima berita pencabulan dan khalwat yang melibatkan golongan ternama. Apa lagi mereka adalah dikalangan orang Melayu/Islam. Terkadang hati tertanya apakah berita bangsa lain, dalam kes pencabulan tidak pernah berlaku? Tangkap khalwat sudah tentulah tidak ada di dalam kamus bangsa dan agama lain tapi bagaimana tentang pencabulan??
Hari demi hari kita didedahkan dengan berita keaiban orang Islam. Seolah-olah kita Melayu/Islam hanya layak memakai gelaran bangsa dan agama sahaja sedangkan addin Islam milik agama lain. Subhanallah, apa sudah jadi dengan dunia hari ini. Harap kan pagar, pagar pula makan padi. Dulu kita digemparkan oleh tangkapan khalwat oleh seorang pemimpin PAS, dan baru ini lagi menggemparkan apabila seorang pakar motivasi terkenal Pensyarah UITM Arau, Perlis mencabul pelajarnya. Seolah-olah dunia hari ini tidak memihak kepada keselamatan maruah perempuan lagi.
Saya pasti kejadian seperti ini banyak berlaku, namun tidak ramai yang mempunyai keberanian untuk tampil membuat lapuran. Ia adalah kerana budaya dan adat resam masyarakat Melayu/Islam itu sendiri, yang terlalu mengambil berat soal maruah. Satu yang memalukan masyarakat apabila peristiwa sedemikian berlaku di kalangan mereka. Maka akhirnya ramai yang hanya mampu mendiamkan diri dan menangis sesama sendiri.
Sebagai seorang ibu, sudah tentulah perkara sedemikian amat merisaukan. Di mana hendak kita meletakkan kepercayaan, ketika mempunyai anak gadis terutamanya. Kalau diletakkan di sekolah hati merasa gusar. Melibatkan anak-anak dengan pemimpin masyarakat juga hati menjadi risau. Sekarang pula, bagi ibubapa yang hendak menghantar anak kepada pakar motivasi lagi was-was. Benih persepsi mula menular. Perkara yang tiada mula diada-adakan. Lama kelamaan ia menjadi doa, maka bertambahlah rugi kepada sesiapa sahaja yang menceburkan diri di dalam profession tersebut seperti pemimpin, guru dan pakar motivasi.
Di mana silapnya? Adakah individu atau agamawan yang kian berkembang di dunia hari ini. Terfikir juga dibenak fikiran adakah ini tugasan dajal yang ingin menghancurkan agama? Tidak mungkin agama silap atau agamawan tidak melakukan kerja mereka. Namun kenapa apa sahaja yang melibatkan individu Melayu/Islam sahaja disensasikan berita mereka? Apakah tidak pernah peristiwa sedemikian berlaku dikalangan bangsa dan gama lain?
Pernah beberapa kali disyorkan, dimana peranan media yang seharusnya memberi kesedaran kepada umat Islam. Bukankah agama resmi Negara adalah Islam. Oleh itu apa salahnya sekira media memainkan peranan mereka untuk mewujudkan iklan khusus kepada orang Islam. Bukan sekadar program agama sahaja. Seperti contoh “ Jangan berzina, Islam merlarang zina” atau “Islam melarang arak”, “Islam melarang pencabulan”. Sepertimana iklan dadah dan rasuah. Keluarkan iklan ini setiap detik dan saat. Mungkin lama-kelamaan ia akan memberi kesan kepada golongan muda terutamanya, yang masih belum faham hukum hakam agama yang asas ini.
Sukar untuk kita menarik golongan belia ini terutamanya Melayu/Islam untuk mendengar program agama. Tetapi dengan iklan yang sedemikian maka mudah untuk kita menarik mereka untuk mulai bertanya. Mungkin anda tidak berpengalaman seperti saya, yang telah menjumpai ratusan belia melalui program training, yang datang bertanya kepada saya apa itu syahadah. Amat mengejutkan. Kita mungkin merasa mustahil, tetapi inilah hakikat yang harus kita terima. Bahawa ramai ibubapa diluar sana telah mengabaikan pendidikan agama dikalangan anak-anak mereka.
Semasa saya menjadi Fasilitator PLKN, saya telah berhadapan dengan ramai pelajar yang datang menangis menceritakan kepada saya bahawa mereka tidak pernah kenal erti solat da nada yang tidak pernah mengangkat syahadah walau sekalipun. Mereka hanya tahu bahawa mereka beragama Islam itu sahaja. Subhanallah. Mereka menangis kerana kenal erti solat ketika di dalam program PLKN. Tapi mereka risau bagaimana mereka dapat teruskan ibadah mereka di dalam sebuah keluarga yang langsung tidak pernah mengamalkannya. Amat memilukan hati apabila mendengar kenyataan sedemikian.
Pada pandangan saya Kementerian Pendidikan Malaysia harus mengambil inisiatif bagi menyelamatkan Islam dan bukan sahaja diserahkan kepada Agamawan. Kementerian Pendidikan seharusnya mengadakan temuduga wajib bagi setiap ibubapa sebelum mereka melepaskan anak-anak mereka ke sekolah. Jangan lagi terlalu ghairah memotivasi dan mendidik para pelajar dan belia. Tidak mungkin masalah belia dan gejala sosial dapat diselesaikan sekiranya kita tidak menyelesaikan masalah aqidah kedua ibubapa mereka. Kerana dari situlah bermulanya sarang gejala social yang sebenar. Tidak guna kita mendidik mereka dengan baik akhirnya dilepaskan kembali di dalam suasana yang tidak baik.
Bermula dari temuduga tersebut dijadikan wajib kepada setiap ibubapa, agar kerajaan dapat mengesan aqidah ibubapa serta dapat mengesyorkan mereka kepada bahagian agama untuk ditarbiahkan. Saya pasti sekiranya Kementerian Pendidikan mewajibkan temuduga tersebut, maka pasti akan membantu JAKIM didalam menjalankan tugasan Tarbiah mereka. Ia akan lebih memudahkan para guru mendidik para pelajar setelah mengetahui latarbelakang aqidah ibubapa dengan lebih mendalam.
Apa yang berlaku dewasa ini, telah menunjukkan kepada kita betapa ramai dikalangan pemimpin yang memandang ringan akan persoalan dakwah Islam. Mereka menyerahkan seratus peratus kepada agamawan seolah-olah mereka tidak langsung terlibat dalam menyebarkan syiar Islam. Sedangkan Allah dan Rasul telah berulang kali menyatakan bahawa setiap mukmin bertanggungjawab menyebarkan syiar Islam dan menjaga agama Islam. Maka apa yang terjadi hari ini telah jelas menunjukkan bahawa setiap pemimpin Islam di Malaysia masih gagal menjaga Agama. Tidak hairanlah sekiranya Agama Islam di sini semakin di hina dan dipandang rendah. Apa sahaja keaiban tentang orang Melayu/Islam diaibkan dengan mensensasikan beritanya sehingga Islam dipandang sebagai sebuah agama yang tidak bermoral. Bagaimana kita hendak menarik bangsa dan agama lain untuk memeluk agama Islam. Sedangkan yang berada di dalam agama Islam sendiri tidak kita tarbiahkan.
Saya amat bermohon agar kerajaan terutama Kementerian Pendidikan berganding bahu dengan JAKIM bagi menjaga anak-anak Melayu/Islam agar tidak sesat dan menyesatkan dikemudian hari. Ingatlah missionary Kristian bekerja siang dan malam untuk merosakkan anak Islam tidak termasuk agenda Yahudi yang memperkenalkan pelbagai hiburan dan program untuk menyesatkan golongan Islam. Semoga apa yang berlaku dikalangan yang telah mencemarkan diri mereka tidak turut mencemarkan Agama Islam sebagai sebuat Agama yang lengkap dan mulia. Nauzubillah.
Dari Abdullah bin 'Amr ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sampaikanlah (apa yang kamu dapat) dari ku walau satu ayat sekalipun; dan ceritakanlah (apa yang sampai kepada kamu) darihal Bani Israel dan (dalam pada itu) tidak ada salahnya (kalau kamu tidak ceritakan). Dan (ingatlah!) sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya dalam neraka.
(Bukhari dan Tirmizi)
Soal menyampaikan ilmu agama:
Ilmu agama tidak harus sama sekali disembunyikan, bahkan tiap-tiap seorang yang mengetahuinya wajib menyampaikannya kepada orang yang belum mengetahuinya walau pun ilmu itu hanya satu ayat dan Al-Qur'an atau satu hadis atau satu hukum. Dengan itu akan tersebarlah ilmu pengetahuan dan hukum-hukum Islam kepada seluruh umat manusia sebagaimana yang ditugaskan kepada Rasulullah s.a.w. dan umatnya.
Wednesday, December 25, 2013
MANGSA BANJIR : PERSOALAN KHALIFAH DAN UMAT BUKAN HANYA PEMIMPIN DAN RAKYAT
Bismillahirahmanirahim
Selawat Dan Salam Buat Junjungan Kita Nabi Muhammad s.a.w
Tanggal 11/12/13, adalah satu sejarah dalam kehidupan saya bersama suami anak-anak dan sahabat handai yang amat saya kasihi. Inilah pengalaman pertama kami menyaksikan dengan mata kepala sendiri rakyat Malaysia yang hidup dalam kesusahan dan kelaparan.Walaupun sebelum ini pernah terlibat namun kali ini suasana berlainan sekali. Suasana tempat mangsa banjir yang kami sampai tidak ubah seperti satu perkampungan peperangan sepertimana yang kita lihat di Palestin dan kawasan mangsa musibah di Afrika dan India. Mungkin ayat ini agak keterlaluan, tetapi itulah kenyataan. Terlalu banyak gambar yang kami ambil tetapi tidak sampai hati untuk memaparkannya, kerana memandangkan mereka bukanlah dikalangan yang merempat dan susah tetapi setelah musibah banjir melanda keadaan mereka serta tempat tinggal mereka berubah menjadi 360%. Sedih, sayu dan hiba.
Apa yang hendak saya perkatakan kerana itulah hakikat kehidupan manusia yang tidak pernah mahu muhasabah. Pandai bercakap pasal orang lain dan pemimpin tetapi bila Allah memerlukan khalifahnya untuk menolong sesama umat semuanya angkat kaki. Saya pernah berada di dalam dua suasana ketika manusia berkumpul besama masyarakat. Pertama di dalam Pilihanraya Umum dan Kecil. Kedua di tempat mangsa menerima musibah seperti banjir dan kebakaran . Muka-muka yang kelihatan di dalam dua situasi ini sungguh berbeza. Kalau di dalam PRK/PRU kita akan melihat lebih ramai muka manusia yang hipokrit, ada juga muka yang cukup pentingkan diri sendiri, mereka ke sana semata-mata untuk mendapat habuan, samada wang atau cerita yang akan difitnah pada pemimpin dan sesama mereka. Kebanyakkan yang berada di dalam situasi pilihanraya, hadir semata untuk mencari kesalahan pemimpin dan orang lain. Mereka sanggup bersusah payah merentas perjalanan semata untuk mendapatkan habuan buat mereka. Sekiranya ianya memberikan menafaat untuk diri mereka semua ok, tetapi jika ianya mendatangkan menafaat untuk orang lain jawabnya kirim salam. Lain situasi ketika bersama dengan mereka yang ditimpa musibah. Semua sahabat yang datang terasa begitu banyak kasih sayang diantara satu sama lain. Semua datang sibuk menguruskan orang yang ditimpa musibah dengan penuh senyuman. Setiap mereka, jauh sekali memandang satu sama lain dengan peransangka tetapi hanya senyuman melihat wajah-wajah yang sedang membantu agama Allah. Setelah selesai jelas Nampak begitu banyak kepuasan diwajah mereka. Semua sibuk berkata, betapa syukurnya kita, tak mungkin kita akan tahu bersyukur kalau tidak melihat dengan mata sendiri akan musibah orang lain. Lain sungguh lain situasinya. Hanya linangan airmata sahaja yang mampu terlihat ,Subhanallah.
Setelah melalui sendiri pengalaman melihat mangsa banjir serta menghulurkan bantuan, mulut mulai terdiam, mata sudah tidak boleh berkelip dan hati terlalu banyak beristighfar. Ramai yang akan marah kepada pemimpin apabila melihat situasi sedemikian. Tentu akan menyumpah seranah melihatkan satu kawasan mangsa banjir yang seharian tidak makan, tiada sebarang bantuan dan ada beberapa rumah OKU dan orang tua yang pengsan kerana kelaparan dan tidak mampu membawa diri ke kawasan penempatan banjir. Namun ketika kita sebagai umat Islam terutamanya bermuhasabah ternyata musibah sedemikian berlaku, bantuan yang harus diberikan bukanlah hanya terletak kepada pemimpin, kerana hakikat sebenarnya ia adalah persoalan antara khalifah yakni kita yang dilantik Allah dan umat Nabi Muhamad . Inilah yang dinamakan Hablumminnannas.
Tidak mungkin seorang pemimpin mampu mengapai tangan bantuannya kesetiap rakyat. Maka kitalah yang di datangkan Allah tentang perkhabaran tersebut turun ke bawah serta turut membantu sesama kita apa yang terdaya. Allah tidak melihat berapa ramai yang dibantu tetapi Allah melihat bagaimana ikhlasnya kita membantu. Sebagai seorang Islam janganlah kita mempersoalkan siapa yang kita bantu, adakah ianya berparti A, B atau C. Tetapi lihatlah ia sebagai satu bantuan kemanusiaan. Maka fikirkanlah ayat ini. “Ih fazillah, yahfazka”. Kita bantu Agama Allah, pasti Allah akan membantu kita. Kita tidak mengewakan orang lain maka Allah tidak akan mengecewakan kita. Jangan kita menyangka bahawa kesenangan hidup yang Allah berikan kepada kita adalah sebagai satu kesejahteraan dan keberkatan. Sedangkan ketika Allah tidak mahu langsung mengizinkan kita membantu orang lain maka muhasabahlah kerana Allah sedang mengenepikan kita untuk memberi pahala sesama umat buat kita. Kesejahteraan dan kebahagiaan yang hakiki bukanlah sebenarnya terletak kepada perhubungan kekeluargaan semata tetapi terletak perhubungan kita sesama manusia. Silakan berbahagia sesama keluarga tetapi ingat , ketika kita meninggal dunia, ketika ribuan masyarakat yang kita bantu berdoa buat kita, maka ketika itulah baru kita akan sedar di alam barzah, bahawa kehidupan yang Allah keruniakan buat kita bukanlah hanya untuk kita dan keluarga tetapi ianya sebenar untuk kita, keluarga dan sesama insan. Namun semuanya bergantung kepada kita yang benar-benar memahami agama, bahawa setiap perbuatan dan harta yang kita miliki akan dipersoalkan akan khairatnya.
Perkara yang membuat saya terharu adalah ketika meihat sahabat handai yang turut bertungkus lumus membantu. Antara mereka adalah para artis, yang senantiasa dicemuh masyarakat. Tetapi apabila mereka turun padang untuk menghulurkan bantuan Subhanallah amat mengejutkan. Mereka sanggup bersama rombongan kami walaupun tiada wartawan dan TV yang akan menuruti rombongan tersebut. Tiada sesen pun wang yang diberikan untuk mengikuti rombongan kami. Semuanya fisabilillah. Banyak pengalaman dan kesedaran diperolehi semasa membantu mangsa banjir. Kita harus sedar, bahawa ternyata untuk menilai sesuatu perkara maka mata adalah penyaksian utama, yang boleh membenarkan telinga. Tetapi dengan telinga, tanpa mata mungkin akan hanya membawa kita ke kancah fitnah, yang telah dinilai sebagai dosa membunuh oleh sesetengah ahli kitab.
Apabila sesuatu musibah seperti banjir ini berlaku kita akan sering menuding jari mencari kesalahan orang lain terutamanya pemimpin. Tetapi kalau kita menyaksikan sendiri dan membayangkan bahawa kita adalah seorang pemimpin kawasan tersebut, kemungkinan kita juga tidak mampu membantu semua orang. Oleh itu sebagai insan dan khalifah marilah kita bermuhasabah bahawa kita ini sudah dijadikan Allah sebagai khalifah, maka jalankanlah tanggungjawab kita untuk berjawab dihadapan Allah, apakah kita hanya menjaga kepentingan diri dan keluarga atau turut menjaga kepentingan umat manusia sebagai khalifah Allah dan umat Nabi Muhamad. Ingat bahawa Allah mampu lakukan apa sahaja bagi memberikan peringatan kepada umatnya. Mungkin satu hari kita akan berada di dalam situasi sedemikian dan ketika itu nasi sudah menjadi bubur. Apa yang harus kita ingat sebagai hakikat insan. Bagi yang kasihkan Allah dan dikasihi Allah tiada ayat keselesaan di dunia yang penuh penipuan ini. Demi masa dalam mengejar akhirat janganlah dibuangkan terlalu banyak masa mencari makan mengisi tembolok sendiri, luangkanlah masa untuk menanam bekalan akhirat, sesungguhnya halblumminnallah sahaja tidak cukup sekiranya tidak dijaga hubungan dengan manusia yakni hablumminannas. Mungkin bagi yang tidak berpengalaman di dalam dunia kebajikan tidak mungkin akan memahami masa orang yang membuat kebajikan. Mereka kan lebih memahami masa yang diperuntukkan kepada yang cari makan. Sesungguhnya memahami dan membantu sahabat yang suka berkebajikan samalah seperti seorang insan berkawan dengan penjual minyak atar. Tetapi sebaliknya kalau kita membantu seorang sahabat tukang besi, sedikit demi sedikit akan terkena percikan api besinya dan akhirnya hanya akan membakar nur keimanannya. Wallahualam.
Saya ingin menggunakan kolum saya untuk mengucapkan jutaan terima kasih buat suami dan anak-anak,ternyata inilah percutian terindah kami, serta sahabat-sahabat saya yang sanggup mengorbankan masa bersama keluarga, masa bekerja dan ada juga yang sanggup turun meninggalkan urusan perniagaan, menderma berbagai jenis makanan dan alatan termasuk pengankutan semata-mata untuk menolong agama Allah. Ternyata dalam masa 3 hari Allah permudahkan buat kita segalanya. Terima kasih ustaz kerana mengingatkan saya bahawa “ketika saat Allah membenci kita akan dibuatkan kita sibuk dengan urusan cari makan, dan memenuhi nafsu sendiri, tetapi ketika Allah menyanyangi kita disibukkan pula kita mencari kebajikan untuk membantu sesama insan, disempitka rezeki buat kita hanya sekadar mencukupi dan dijaga semua urusan cari makan, tanpa kita perlu bersusah seperti hamba dunia lain.” Ternyata benar ustaz. Sesungguhnya kalian adalah teman akhirat sebenar. Semoga Allah memberkahi dan merahmati keluarga kalian sehingga ke akhir hayat. Amin.
Kepada semua rakyat Malaysia yang cukup prihatin turut membantu magsa banjir ternyata Allah merahmatimu. Terlalu amat bersyukur menjadi warga Malaysia bersama rakyatnya yang sungguh beriman dalam membantu sesama insan.
Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim, lihat juga Kumpulan Hadits Arba’in An Nawawi hadits ke 36).
Pada suatu hari Rasululah SAW ditanya oleh sahabat beliau : “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai oleh Allah ? Rasulullah SAW menjawab : “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia yang lain;sedangkan perbuatan yang paling dicintai Allah adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapuskan kesusahan orang lain, atau melunasi hutang orang yang tidak mampu untuk membayarnya, atau memberi makan kepada mereka yang sedang kelaparan dan jika seseorang itu berjalan untuk menolong orang yang sedang kesusahan itu lebih aku sukai daripada beri’tikaf di masjidku ini selama satu bulan ” ( Hadits riwayat Thabrani ).
Sunday, December 1, 2013
KELUAR PARTI, LOMPAT, BUKA PARTI BARU ATAU TERUS SETIA PADA PARTI ?
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIN
SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMAD S.A.W
Inilah soalan yang sering diajukan kepada ahli parti tidak kira waima parti mana sekali pun sebaik sahaja selepas Pemilihan atau Pilihanraya Umum kepada mana-mana ahli yang tidak terpilih sebagai calun atau kalah dalam pemilihan. Saya menggelarkannya soalan lazim parti.
Semua ahli parti mempunyai pandangan dan pendapatnya masing-masing apabila soalan ini ditanya. Ada juga yang tidak pernah ditanya oleh sesiapa tetapi masih bermain-main diminda dan kepala setelah melalui perjalanan Pemilihan atau bekerja semasa Pilihanraya umum.
Tetapi dewasa ini soalan keluar, lompat atau setia pada parti sudah kurang diperkatakan. Selalunya ia berlaku dikalangan ahli parti yang Melayu/Islam. Apa yang menjadi buah mulut dikalangan ahli parti sekarang adalah cubaan untuk membuka sebuah parti baru. Alasannya kerana parti yang ada sekarang sudah tidak relevan. Parti yang banyak diperkatakan sudah tentulah UMNO.
Saya merasa amat bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana masih diberikan kekuatan untuk tetap memegang prinsip setia kepada parti. Walaupun parti bagi saya adalah umpama sehelai pakaian yang boleh dilucut bila masa sahaja dengan izin Allah. Kesetiaan kepada parti tidaklah menghalalkan kita untuk melanggar segala hukum hakam Agama. Ia bukanlah seperti kesetiaan kita kepada Agama dan ketetapan hati kita kepada Aqidah. Walaupun sekarang secara tidak langsung kesetiaan kepada parti umpama membawa kepada satu perlakuan Assobiyah (yakni sanggup melakukan apa sahaja untuk parti, umpama menutup kemungkaran sesama ahli parti, menghalalkan berbagai cara untuk survival parti malahan kalau terpaksa menggadaikan maruah diri dan agama semata-mata ingin dikatakan setia pada parti. Nauzubillah).
Kesetiaan kepada parti sudah kurang berbanding dengan kesetiaan kepada pemimpin. Kebanyakkan ahli sudah mengubah kiblat mereka dari sayangkan parti kepada sayangkan pemimpin. Itulah punca mengapa perlakuan lompat, tukar dan buka parti baru ini berlaku.
Sudah hampir 56 tahun UMNO ditubuhkan dan bertujuan untuk membela nasib Melayu/Islam. Ramai yang bertanya apakah masih perjuangannya relevan atau masih berada digarisan niat yang sama semasa ianya mula ditubuhkan? Tepuk dada Tanya iman.
Tujuan saya memilih tajuk ini adalah untuk berdiskusi sesama pembaca dimana asalnya perkara keluar , lompat, atau buka parti baru ini berlaku? Apakah puncanya dan mengapa ?Dari peninjauan dan pengalaman bergelumang dengan ahli parti yang terlibat dengan perlakuan lompat, keluar dan buka parti baru, saya dapati hampIr 90% berlaku kerana merasa tidak puas hati dengan tindak tanduk dan perlakuan pemimpin parti. Maaf kalau saya katakan tindakan tindakan memilih untuk keluar, lompat dan buka parti baru adalah satu pilihan yang salah dan silap sekiranya kita ingin meneruskan legasi asal perjuangan pemimpin terdahulu yang telah bersusah payah mendirikan umno untuk memperjuangankan Agama, Bangsa dan negaranya SEHINGGA NIKMATNYA KITA KECAPI SEHINGGA HARI INI.
Perlakuan tersebut sebenarnya bukanlah menunjukkan bahawa mereka setia dan sayangkan perjuangan asal UMNO. Tetapi apabila keputusan sedemikian dibuat tidak kiralah keluar, lompat atau buka parti baru hanyalah semata-mata tidak mendapat apa yang diri mereka dan nafsu mereka hajati. Ini ternyata jelas bahawa ahli parti tersebut selama ini hanya sayangkan pemimpinnya dan bukan parti yang hendak diperjuangkan. Mereka hanya ingin menumpang laba dari kesenangan yang dikecapi oleh pemimpin yang dibela dan disayanginya. Apabila hajat pribadi ini tidak tercapai, pangkat, jawatan dan wang berjuta yang dijanjikan oleh pemimpin mereka terdahulu tidak dikabul akhirnya jadilah ahli keluar. Lompat dan buka parti baru ini. Tidak perlu banyak alasan menuding jari menyalahkan pemimpin sekiranya maruah diri sendiri dilacurkan kepada pemimpin yang mereka berhajat.
Pandangan saya mudah yang merosakkan parti bukanlah orang lain tetapi pemimpin dan ahlinya. Pemimpin dan ahli adalah cerminan diri mereka. Kalau pemimpin tidak bermaruah maka begitu juga ahli dan begitulah sebaliknya. Hubungan ahli dan pemimpin adalah seperti cermin. Pemimpin yang dipilih itulah gambaran mereka yang sebenar. Sama juga dengan PRU. Andaikata tidak dicalunkan sepertimana yang dijanjikan maka 3 perkara tersebut mula akan diambil. Akhirnya siapa yang rugi.
Ramai yang berkata parti sudah rosak maka kita patut buat parti baru. Percayalah cakap saya waima diganti dengan parti apa sekali pun perkara yang sama tetap akan berlaku. Kerana dari sejarah telah membuktikan bahawa antara parti PAS dan PKR hampir kesemua mereka adalah dari serpihan UMNO belaka. Apa jadi? Perlakuan tidak bermoral, rasuah dan kepincangan agama tetap saja ada di mana-mana parti yang ditubuhkan dan kerugian tetap kepada orang Melayu/Islam. Iqraq!!
Bagaimana untuk menyelesaikan masalah pemimpin parti dan ahli parti agar UMNO kembali gemilangan dengan maruah dan perjuangan asalnya? Jawapan saya mudah terus setia kepada parti, terus menegur sesama sendiri, terus menyucikan segala kemungkaran sesama sendiri dan terus membuka pintu kepada mana-mana individu yang dirasakan berilmu dan bermaruah masuk ke dalam parti dan yang paling penting terus benar dan berani ketika menegur pemimpin parti dan ahli. Bukan dengan cara terbuka tetapi dengan cara bermuzakarah sesama sendiri. Kalau tidak menerima, maka bagi saya mudah akhirnya serahkan mereka yang mungkar di dalam parti ini kepada Allah untuk diuruskannya. Kalau UMNO runtuh, maka kita bangunkan semula dengan nama yang sama kerana UMNO masih relevan dan perjuangan asalnya amat suci dan mulia sebelum ianya dicemarkan dengan pelbagai isu dan masalah. Jadi siapa yang salah parti? Ahli? Atau Pemimpin? Kenapa nama UMNO itu harus kita kuburkan.
Budaya salah, dipersalahkan, memepersalahkan orang lain dan diboikot ketika cuba menegur parti harus disisihkan, budaya pujian dan ampu sana ampu sini harus dikikiskan terus sesama ahli, maka barulah martabat dan maruah UMNO dahulu mudah dikembalikan kegemilangannya.
Apa yang menyedihkan ialah lain pula tindakan kita. Bila marah dan segala hajat di dalam parti tak tercapai mulalah kita keluar, lompat dan buka parti baru. Kalau benar kita ikhlas dan tidak berhajat selain dari membela Agama dan dan bangsa kita maka kenapa harus mengambil tidakan sedemikian? Apakah ini akan membawa kepada jalan penyelesaian? Pemimpin UMNO sering dipersalahkan, seolah-olah Raja yang bertahta di mata berTuhan di hati sedangkan yang mengizinkan siapa?
Saya merayu kepada semua ahli parti terutamanya UMNO, mulailah muhasabah serta bertanya pada diri kita sendiri apa sebenarnya yang kita mahukan Runtuhkan UMNO? Atau nyahkan pemimpin yang tidak kita sukai atau yang tidak memberikan menafaat kepada kita dari UMNO? Kalau ingin mengubah pemimpin sebenarnya kita harus mengubah diri kita terlebih dahulu. Kalau ingin menuntut kesetiaan kepada parti dari seorang pemimpin maka kitalah yang harus menunjukkan kesetiaan kita terlebih dahulu. Tidak mungkin ada perkataan kecewa dan putus asa di hati seorang pejuang, walaupun disepak terajang dan ditendang oleh badai UMNO, Janganlah kita terus menerus ingin menambahkan perpecahan dikalangan kita. Ianya hanya memberikan ruang untuk bangsa lain mempermainkan bukan sahaja bangsa yang paling menyedihkan ialah apabila Agama kita Islam sudah mulai dipersoal dan dipermainkan.
Berusahalah kita menyatakan kebenaran walaupun pahit dan susulilah dengan keberanian untuk kehadapan bersama bekerja demi parti, tanpa membawa hajat dan kehendak peribadi. In sha Allah maruah parti akan terus dapat diselamatkan supaya jasa pejuang terdahulu kembali terpahat dihati anak belia terutamanya anak kita untuk meneruskan legasi perjuangan Agama, Bangsa dan Tanahair kita.
Supaya tidak menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan dunia
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:
Maksudnya : ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya.
Sunday, November 10, 2013
RASUAH POLITIK : BETUL KE BOHONG?
Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan Salam Buat Junjungan Kita Nabi Muhammad s.a.w
Pemilihan baru ini pejam celik pejam celik sudah hampir sebulan berlalu, namun pelbagai isu tentang perjalanan pemilihan baru-baru ini masih hangat diperkatakan di media sosial sana sini. Banyak yang diperkatakan dari isu Wanita, MT, Pemuda dan Puteri serta barisan kepimpinannya tidak terlupa juga barisan disiplin UMNO. Tetapi di dalam banyak isu yang menarik perhatian saya adalah isu kononnya rasuah masih berleluasa di dalam setiap pemilihan. Walaupun pelbagai cara dan pembaharuan yang dilakukan oleh Dato Seri Najib untuk mengurangkan gejala rasuah yang pernah dikatakan satu masa dulu begitu kuat dikalangan calun pemilihan ketika menggunakan kaedah lama, yang hanya melibatkan dua ribu lebih perwakilan, namun dengan kaedah baru yang melibatkan hampir seratus empat puluh enam ribu, rupanya masih wujud malahan lebih teruk dan banyak lagi. Persoalannya adakah betul ke bohong?
Ketika isu rasuah sibuk diperkatakan, saya mulai terfikir, di mana mula timbul pertanyaan ini? Adakah dikalangan ahli atau di kalangan pemimpin? Setelah melalui sendiri pengalaman pemilihan, saya sedar bahawa ia telah menjadi satu buah mulut dikalangan ahli. Kata mereka tentulah dikalangan pemimpin ini tidak akan memperkatakannya kerana siapa yang nak mengaku kalau berak ditengah jalan. Bermaksud seolah-olah hanya pemimpin sahaja yang harus dipertanggungjawab dan dipersalahkan apabila ia melibatkan rasuah.
Bagaimana dengan ahli yang menerimanya? Apakah ikhlas mereka membenci rasuah? Adakah mereka ikhlas ingin berubah dan membasmikan rasuah dikalangan pemimpin? Atau perubahan itu harus dimulakan oleh mereka dahulu?
Ketika kita mendalami ilmu Agama, di mana letaknya kedudukan seorang penerima dan di mana pula terletaknya kedudukan dosa yang memberi? Saya mulai bertanya para Ulamaq dan ternyata merka berpendapat dosa seorang penerima merupakan dosa yang paling besar dan lebih mendatangkan mudharat kepada ummah berbanding dengan pemberi. Walaupun ke dua-duanya sama berdosa besar tetapi yang menerimalah akan lebih melibatkan kerosakan pada diri mereka kerana wang rasuah tersebut akan dimakan dan menjadi darah daging mereka. Bertambah pula kalau ia melibatkan anak, isteri dan suami atau keluarga. Cuba bayangkan bagaimana penerimaan rasuah itu boleh menghancurkan rohani keimanan seseorang.
Bukanlah tujuan saya untuk mengkaji seberat mana rasuah ini tetapi dari hasil penilaian saya ternyata sekiranya siapa pun tidak mahu mengambil pasti tidak akan siapapun menerima. Kaedahnya sama dengan makanan haram seperti babi. Semua orang kafir sudah tahu dan maklum mana-mana insan yang beragama Islam secara waras dan beriman akan menolak pemberian bangsa lain sekiranya ia melibatkan benda makan yang tidak halal itu seperti babi atau arak. Maka lama-kelamaan bangsa kafir ini akan menjauhkan diri dari menawarkan perkara seumpama itu berlaku iaitu menawarkan makanan haram kepada seorang Islam yang waras dan beriman.
Itulah penilaian serta penelitian yang saya lakukan ke atas rasuah. Malahan Tun Mahathir juga pernah berkata sekiranya ada orang melayu/Islam yang memakan rasuah sama juga dengan makan babi. Walaupun kesat bahasa itu namun ia merupakan satu kebenaran yang harus ditelan oleh setiap melayu/Islam di Malaysia.
Persoalannya sekarang bagaimana untuk memberi kesedaran terhadap kejijikan rasuah ini? Saya pasti Perdana Menteri sedang dan harus memikirkan sedalam dalamnya. Banyak orang menganggap ianya sudah menjadi satu budaya di kalangan ahli untuk menerima apa yang pemimpin berikan, lebih lebih lagi sekiranya barangan percuma itu berbentuk wang ringgit tanpa memikirkan niat dan tujuan asal perbuatan tersebut ditawarkan.
Saya berani katakan bahawa TIADA POLITIK WANG YANG TERLIBAT DIKALANGAN PEMIMPIN KETIKA PEMILIHAN BARU-BARU INI!!.Kenapa saya berani katakan sedemikian kerana sampai saat ini tidak ada seorang ahli pun dikalangan 146,000.00 yang berani tampil membawa bukti bahawa politik wang wujud semasa pemilihan. Tidak masuk akal langsung dikalangan ahli seramai itu tidak berani menyatakan kebnenaran dan menegakkan agama Allah serta larangan Allah. Apakah benar ahli mahukan perubahan dan mahu memeperkasakan Agama di dalam UMNO?
Amat menyedihkan hati sekiranya ada dikalangan ahli yang mengambil rasuah tetapi lebih takutkan manusia dari Allah. Ada juga yang berkata dikalangan ahli kami ambil dari pemimpin si polan ini tetapi tetap memangkah orang lain. Bagi saya kalau yang memangkah saya dan masih mengambil rasuah dari orang lain itu tetap dosa besar. Itu tetap perbuatan haram. Mula-mula melakukan dosa dengan mengambil rasuah kemudian cuba pula menghalalkan cara, Nauzubillah himinzaliq!!
Peimpin atasan terutamanya Dato Seri Najib harus membuat kajian ke atas larangan memakan babi dan meminum arak. Bagaimana kesedaran ini begitu kuat di dalam hati umat Islam sehingga ada yang sanggup memuntahkan kembali jika mengetahui ianya makanan haram. Tetapi pelik bagaimana sukar pula untuk menanam kesedaran ini kepada umat Islam sehingga mereka sanggup memulangkan balik wang rasuah sepertimana mereka memuntahkan arak dan babi. Mungkin para ulamaq dan pemimpin dapat mencari resolusinya. Apa yang saya takuti adalah budaya menghalalkan cara kian berkembang. Mereka akan mengubah hukum Allah daripada haram kepada wajib seperti kata sesetengah pihak “orang bagi kena ambil tapi belum tentu wajib pangkah”.
Saya mendambakan satu hari nanti apabila ahli UMNO yang semakin celik agama akan tampil mendahulukan Allah dari ketakutan kepada pemimpin. Lama kelamaan ketakutan kepada pemimpin itu mulai membawa syirik kepada diri. Umpama ibubapa yang menakut-nakutkan anak pada hantu. Begitulah keadaan ahli selama ini. Bila mereka ditakut-takutkan dengan ayat “kalau kau lapur pada SPRM jangan harap sangkut, semua UMNO boleh tutup. Itu adalah ayat lazim ahli, kenyataannya mereka masih disitu mengambil rasuah dan memeluk tubuh lalu menulis dan bercakap dikalangan ahli bahawa pemimpin UMNO semua rasuah. Satu kenyataan akhirnya menjadi khayalan semata seperti si luncai bermimpi di atas pokok, hanya tunggu jatuh sahaja.
Rasuah harus bermula dari bawah sekiranya hendak dibasmikan. Kesedaran tentang rasuah harus ditarbiahkan kepada penerima dahulu sepertimana mereka enggan memakan babi dan meminum arak. Kalau kesedaran ini berlaku maka sudah tentu tiada seorang umatpun akan menawar dan memberi. Maka marilah kita ikraq bersama dan mulai bermuhasabah. Pintu taubat senantiasa terbuka.
Sebelum kita menuntut sebarang perubahan hanya menggunakan kalam sahaja, maka inilah masanya kita bersatu mulai berserta dengan perbuatan. Jangan sampai tanpa kita sedari perkataan pemimpin rasuah lama kelamaan akan menjadi satu doa buat kita sehinggakan Allah benar-benar akan menghandirkan seorang pemimpin perasuah buat kita dan akan menjadi keseninambungan bagi anak cucu kita. Nauzubillah!!
“dan janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan cara dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Surah al-Baqarah, ayat 188)
“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).
“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201. Beirut: Muasasah al-Risalah).
Subscribe to:
Posts (Atom)