ASSALAMUALAIKUM

Thursday, November 18, 2010

APABILA ORANG BEKERJA DAN ORANG BIASA MEMANDANG HINA PADA AHLI POLITIK

Terpanggil saya untuk menulis tajuk ini adalah kerana sudah muak mendengar dan melihat sana-sini manusia hipokrit yang tergolong dalam dua golongan di atas mencebek muka apabila melihat orang politik. Malahan saya yang bukan di dalam pentas politik juga turut dianggap oleh teman-teman sebagai orang politik. Kalau mereka melihat saya dengan muka yang mencebek berkata" alah...tu lah perangai orang politik".

Di sini biarlah saya terangkan siapa sebenarnya manusia-manusia yang bermain politik lebih dahsyat dari orang politik itu sendiri. Ini adalah ungkapan hasil dari pengalaman yang dilalui sendiri bergaul dengan orang makan gaji tak kiralah di dalam jabatan kerajaan ataupun swasta, mahupun orang biasa.

Apa yang paling tidak disangka kebanyakkan teman-teman saya menceritakan bagaimana teruknya politik di jabatan-jabatan ini. Ada yang sanggup membodek, cium bontot, mengumpat, mengata dan memfitnah serta lebih teruk lagi menaruh pasir di dalam periuk nasi rakan sekerja sendiri. Apakah ini semua bukan perkara-perkara yang dibenci dan dituduh orang politik melakukannya?? Semuanya ini dilakukan oleh pekerja-pekerja di dalam jabatan semata-mata untuk naik pangkat, tak kurang juga ada yang sanggup berbuat demikian adalah untuk menjaga kroni vendor mereka yang terdiri dari orang meniaga yang mendapat perniagaan dari jabatan mereka. Kalau ada antara rakan sekerja mereka cuba menghalang rakan niaga mereka maka pasti akan diusahakan rakan sekerja tersebut samada ditukar ke jabatan lain atau dibuang kerja. Apakah itu bukan politik kotor?

Ada juga di antara yang berkuasa di dalam jabatan tertentu akan menghalang orang lain untuk mendapatkan perniagaan dijabatan mereka sehingga akhirnya difitnah peniaga tersebut. Apakah sekali lagi bukankah itu yang sering dikatakan orang politik lakukan??

Walaupun saya yang tidak berada di dalam pentas politik tetapi digelar juga orang politik dengan pandangan jijik dan kotor maka di sini saya ingin nyatakan bahawa kami orang politik sebenarnya adalah lebih mulia dari orang-orang jabatan atau orang biasa yang bermain politik!! Cuba lihat mereka yang bekerja ketika bermain politik menjatuhkan kawan dan lawan semuanya semata-mata untuk memuaskan tembolok mereka sendiri. Sedangkan walaupun orang politik dituduh berbagai-bagai perbuatan yang buruk sekurang-kurangnya orang politik bukan saja mengisi perut mereka tetapi juga mengisi perut orang lain lebih ramai dari orang-orang jabatan yang bekerja mahupun orang biasa. Nah!! sekarang siapa lebih mulia??

Ramai antara teman-teman saya menghina ahli politik tanpa mereka sedari bahwa mereka juga turut serta bermain politik dalam jabatan dan kelompok mereka sendiri. Mereka sanggup hipokrit, membaling batu sembunyi tangan untuk mengainiayai orang lain. Sedangkan setiap program yang dibuat oleh mereka berbentuk kebajikan kononnya semuanya dibayar, dipaksa untuk memenuhi markah kenaikan pangkat atau jabatan.

Apa yang dapat saya lihat di sini hanyalah penyakit mazmumah iaitu hasad, dengki dan irihati apabila melihat orang-orang politik menjadi kawan dan taulan kepada menteri dan PM. Sedangkan mereka hanya pekerja yang harus bekerja "9 to 5", jauh sekali untuk berkawan dan bersahabat dengan menteri ataupun PM kerana sudah tentu terpaksa akur dengan "Tuan" yang memberi gaji kepada mereka.

Perkara ini bukanlah berlaku kepada semua orang yang bekerja mahupun orang kebanyakkan, namun kebanyakkan begitulah...mereka menolak politik kerana dikatakan politik kotor. Sedangkan hampir setiap hari mereka yang bekerja ini bermain politik untuk menyelamatkan kerusi dan tembolok mereka. Malah ada yang harus munafik kepada sahabat sendiri, semata-mata untuk memastikan sahabat mereka tidak dimasukkan di dalam jabatan mereka, takut peluang mereka untuk naik pangkat terjejas.

Subhanallah!! Inilah yang dikatakan sekiranya seseorang manusia itu ingin menuding jari menghala ke orang lain ingat hanya satu jari sahaja yang ditunjuk sedangkan yang 4 lagi Allah halakan ke kita. Maka oleh itu pesanan saya jangan terlalu menghina orang politik, ingat tanpa orang-orang politik ini siapa yang akan memastikan pentadbiran negara aman dan stabil. Kalau benci, maka nasihatilah tapi jangan sampai memandang orang politik seperti sampah atau najis seolah-olah diri kita tak pernah berpolitik menjatuhkan kawan dan lawan di dalam jabatan.

Setiap manusia dititipkan ALlah rezeki masing-masing termasuk pangkat, harta dan jawatan, bekerjalah dengan ikhlas dan usahakan segalanya dengan jalan yang halal dan bukan jalan yang di murkai ALlah. Ingat bahawa dimana sahaja kita berada antara kita dan politik tidak dapat dipisahkan, cuma keadaan keliling sahaja yang memisahkan antara orang politik dan orang yang bekerja atau orang kebanyakkan yang tidak terlibat dengan politik. Jatuh bangun orang politik, ternyata bukan semua jasa mereka dibayar...kalau kekayaan mereka dicemburui maka samalah kita menolak rezeki yang Allah tetapkan kepada setiap manusia. Kalau orang politik dikatakan rasuah begitu juga orang lain juga turut berbuat yang sama.

Selagi kita bernama insan atau manusia, maka hanya ada dua perkara sahaja yang menetapkan samada kita mulia atau hina iaitu berbuatan kita bukan pekerjaan yang kita sandang. Pangkat dan jawatan tidak kira samada di pentas politik atau jabatan, tetap sahaja Allah akan muliakan sekiranya kita bertakwa dan akan Allah hinakan sekiranya kita kufur dan engkar dari jalan dan suruhan Allah. Janganlah kita menghina pekerjaan seseorang tetapi hinalah tingkah aku dan berbuatan yang berpenyakit mazmumah yang mereka bawa. Setiap manusia tidak akan terlepas dari dihisab jadi janganlah kita pula hendak menghisab seseorang sebelum sampai masa dan ketika Allah jalankan tanggungjawab tersebut. Buatlah kerja masing-masing dengan amanah tak kira di mana kita berada dan senantiasa bersangka baik dengan Allah kerana dengan bersangka baik dengan Allah maka secara tidak langsung kita akan bersangka baik dengan manusia. Baik fikiran maka baiklah perbuatan.

Semoga kita diberikan Allah peluang untuk bertaubat sebelum kita dipanggil pulang ke daerah kematian, di sana barulah kita akan tahu selama ini apakah pekerjaan kita yang membawa kemuliaan atau pun perbuatan kita, sama-samalah kita bermuhasabah sebelum mengeluarkan perkataan-perkataan hina kepada orang lain. Iqraq!!

No comments:

Post a Comment