ASSALAMUALAIKUM

Sunday, November 14, 2010

PUKUL-PUKUL SAYANG VS PUKUL-PUKUL TERBENAM

BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA NABI MUHAMAD S.A.W

Wahai pembaca yang budiman, diharap anda tidak akan terperanjat dengan perubahan baru mukaddimah yang saya letakkan di dalam penulisan saya kali ini. Ini merupakan salah satu mogok yang saya akan tunjukkan kepada sesiapa sahaja yang cuba untuk menghina Pemimpin Umat kita Nabi Muhamad S.A.W. Supaya dengan pembukaan sedemikian InsyaAllah akan kekal di dalam setiap penulisan saya ini akan senantiasa memberi peringatan kepada saudara sidang pembaca dan juga diri saya sendiri, untuk senantiasa mengingati Allah yang Maha Pengasih dan KekasihNya Baginda Rasulullah. Apa yang nyata mukaddimah tersebut bukanlah satu wajah Islamic, yang ingin saya paparkan melainkan sebenarnya ia adalah satu tanggungjawab dan satu amanah yang diberikan oleh Allah kepada kita semasa dilahirkan. Saya mungkin terlupa tentang amanah ini iaitu untuk memuliakan Allah dan Rasullullah setelah dianugerahkan kepada saya kemampuan untuk menulis, sehingga diperingatkan oleh sahabat saya baru-baru ini. Sudah menjadi kewajipan kita memulakan sebarang kerja mahupun kalam dengan memuliakan Allah dan Kekasihnya. Saya mohon maaf kepada semua umat Islam dan terima kasih kepada sahabat yang telah Allah wakilkan untuk menegur kelalaian saya. Semoga Allah merahmati beliau.

Permulaan baru saya ini adalah bertepatan dengan tajuk yang akan saya bincangkan pada hari ini untuk memberi sedikit panduan dan pengetahuan kepada sidang pembaca agar menilai seseorang penulis itu apakah maksud sesebuah penulisan itu apabila beberapa teguran diberikan. Apakah ianya bertujuan menegur atau membenam. Itulah yang dinamakan pukul-pukul sayang sekiranya teguran dan kritikan dinyatakan bukanlah satu kesalahan walaupun kepada pemimpin mahupun bangsa kita. Tetapi sekiranya segala aib dikeluarkan dan segala caci maki mula dikalamkan maka sama-samalah kita makan pengat…..dan sendiri mahu ingat bahawa tak lain dan tak bukan semata-mata penulis itu mahu membenamkan individu tersebut. Bermaksud samada menenggelamkan karier politik pemimpin, menjahanamkan perniagaan seseorang atau menjatuhkan maruah untuk kepentingan diri sendiri.

Pada pandangan saya tidak ada satu menafaat pun yang kita akan dapat sekiranya kita menggunakan bakat penulisan kita semata-mata untuk menjatuh, menjahanam dan mengaibkan seseorang itu melainkan seseorang itu melakukan perbuatan zalim kepada Agama, Bangsa dan Negara atau untuk menganiayai umat lain. Pemegang pena penulis adalah seperti pemegang sebilah pisau. Pelbagai kebaikan dan menafaat yang boleh kita guna untuk kebaikan kita dan orang lain. Tak ada pisau susahlah nak buat kenduri korban. Bila guna pisau, sembelih dengan pisau yang tajam pahala untuk orang menikmati daging korban tersebut secara halal satu pahala. Tetapi kalau kita nak menganiayai orang maka rodokkan sahaja pisau ke perut lembu, janji mati, maka dosa pun dapat dan penyakit pun dapat. Saya terbaca di dalam majalah MILENIA baru-baru ini di mana kajian menunjukkan binatang yang mati secara perlahan dengan tidak menggunakan kaedah sembelih Islam merupakan punca penyakit seperti lembu gila yang akan tersebar kepada manusia. Bukanlah di sini nak saya panjangkan tentang lembu, tetapi penulis pun kadang-kadang macam lembu juga bila tak digunakan pena dengan baik macamlah juga lembu tak disembelih dengan baik. Akhirnya wabak lembu gila akan berjangkit kepada orang lain. Bagi yang faham makanlah pengat banyak-banyak.

Semua orang nak menulis, semua orang kata tahu menulis tetapi bila betul-betul melibatkan diri di dalam penulisan barulah anda akan tahu betapa penatnya bila kita memaksa diri menulis dengan dateline dekat, ilham Allah tak beri, orang yang pernah membaca penulisan kita tertanya-tanya apa pasal tak tukar-tukar tajuk ni dan lebih memenatkan lagi apabila buat penulisan pun dijadikan kebajikan macam NGO (No Gaji Organization). Apa yang lebih meletihkan dari segala keletihan adalah apabila orang jangankan nak baca nak pandang pun tak mahu, menolong menggajikan jauh sekali. Inilah nasib penulis pukul-pukul sayang. Bila ditegur orang merajuk kata kita meluat dan benci, langsung tak mau layan, kata kita suka kritik. Tapi yang pukul-pukul terbenam disogok dengan pelbagai kemewahan semata-mata tahu penulis tersebut memang pandai membenam orang, takut kena benam. Maklumlah kebanyakkan penulis yang pukul sayang ni tak pandai mengugut, tak pandai nak guna pisau merodok perut orang dan tak pandai nak bawa wabak lembu gila, sebab itulah tak diperdulikan.

Sebab itulah sidang pembaca harus sedar bahawa kalau dinamakan penulis kemampuannya tetap sama. Penulis tersebut tetap dianugerahkan Allah sebilah pisau dan sedikit sebanyak penulis bebas ini tidak boleh dinafikan bermula dengan semangat cintakan Agama, Bangsa dan Negara. Sebab itulah mereka sanggup membongkang mata, memerahkan kepala tanpa dibayar untuk tetap menulis dan memberikan kesedaran kepada manusia. Namun penulis tetap manusia bila teguran demi teguran tak diterima. Pendapat demi pendapat tak dihiraukan lama-lama jadilah penulis bebas kepada gelaran penulis nyamuk. Jangan lupa nyamuk pembawa aedes (penyakit demam tak kebah, silap haribulan boleh meninggal)

Maka itulah jangan sampai penulis pukul-pukul sayang ini beralih arah menjadi penulis pukul2 terbenam. Sebelum membawa wabak baik dicari ubatnya.(Prevention is better than cure). Jangan disangaka air tenang tak ada buaya. Kalau sudah nasib pemegang pisau sudah kelaparan habis nanti diamok satu kampong.

Saya amat berharap agar pemimpin, penyanyi, pelakon, tokoh koperat tak kiralah siapa sahaja yang sukakan dunia glamour atau yang berada di dalam dunia tersebut secara sengaja ataupun tidak pandai-pandailah mengambil hati golongan-golongan yang dianggap nyamuk ini. Memberi ganjaran sahaja tidak mencukupi tetapi apa yang penting adalah mengajak mereka bermesyuwarah selalu, agar setiap penulisan lebih tepat dan memberi menafaat kepada orang ramai. Jangan dibiarkan penulis nyamuk ini berjalan di dalam kegelapan. Penulis pentas perdana lain lah, tak payah cari bahan secara otomatik dibuat kenyataan akhbar dan difaxkan terus ke meja mereka. Buat tajuk terus tulis punya senangnya. Kita penulis nyamuk pula jangan katakan fax dijemput ke sidang akhbar pun belum tentu. Teraba-rabalah penulis ini mencari bahan di kaki lima.Akibatnya sendiri mahu ingat, berita sepatutnya nyata mula mengikut rasa.

Apabila berpeluang duduk bersama-sama penulis nyamuk ini, banyak input yang diberikan kepada saya mengapa mereka dari menjadi penulis pukul2 sayang kepada pukul2 terbenam antara lainnya adalah kerana tidak langsung diberi peluang untuk bermesyuwarah. Perkara ini banyak berlaku di kalangan penulis politik nyamuk. Saya telah cuba untuk membuat jambatan antara beberapa pemimpin dengan penulis nyamuk dengan mengajak mereka bermesyuwarah demi kebaikan masing-masing nyata sekali kebanyakkan pemimpin kita H2TA (hangat-hangat tahi ayam).Buat satu perjumpaan sekali dan kali-kali lain dah tak ada. Apakah begitu ketatkah masa seorang pemimpin sehingga tidak dapat meletakkan satu hari dalam satu bulan di dalam diari mereka untuk satu mesyuwarah untuk menjaga kepentingan Agama, Bangsa dan Negara? Bila penulis nyamuk mengamuk mulalah kelam-kabut tercari-cari siapa penulis nyamuk yang hendak membenamkan si polan dan si polan. Bila hati penulis pukul2 terbenam ini dah jadi kematu (keras macam batu) ajak diheret pula ke mahkamah. Masa tu dari aedes dah jadi taun, beribu ringgit dikeluarkan nak cari penawar dalam mahkamah.

Ingat!! kalau bagaimana cikai dan hampeh (bahasa anak muda bagi perkataan teruk) seseorang penulis nyamuk itu tetap ada pembacanya. Kalau tidak bungkuslah semua syarikat berita nyamuk dan tak laris atau buku yang dijual tak akan pulang modalnya kalau tak ada pembacanya.Tak ada permintaan masakan ada penawarannya. Apa yang pasti semangat penulis nyamuk yang saya temui kebanyakkan mereka begitu kental semangat juangnya, walaupun tidak memberi pulangan yang hebat kepada mereka. Malahan api sanggup diredahi dan lautan sanggup direnangi semata-mata untuk hidup dan mereruskan perjuangan minda mereka. Bukan askar sahaja motonya “agi idup agi ngelaban” penulis nyamuk pun bersahut moto yang sama.

Pesanan saya kepada pemimpin, kalau nyamuk sudah terngiang-ngiang ditelinga, jangan lupa cepat-cepat cari ubat. Sifat nyamuk kena faham lagi dihalau lagi mendatang. Kalau nyamuk gigit tak kena wabak dia akan cari geng nyamuk pembawa aedes pula untuk menyengat. Bila disengat masalah tu. Nyamuk tetap akan berkawan sesama nyamuk tak mungkin dia berkawan dengan gajah dan hanya nyamuk sahaja yang kenal mana satu nyamuk yang boleh membunuh untuk dipanggil, tarzan pun belum tentu boleh panggil nyamuk aedes. Ubatnya senangnya sahaja bagi penulis politik nyamuk untuk berdamai dengan pemimpin hanya bermesyuwarah sekerap mungkin untuk mendapatkan fakta yang sahih. Jangan ingat penulis nyamuk sahaja yang berhutang dengan Allah kalau menyebarkan berita palsu pemimpin juga turut berhutang kerana menyembunyikan kebenaran dan melihat orang lain membuat kesilapan. Itu namanya tidak menggalakkan saudara seIslam mencari kebenaran malahan bangga kononnya dapat pahala fitnah. Belum tentu dapat pahala kalau membiarkan orang lain sesat. Apa lagi dosa fitnah itu dibiarkan ditanggung sesama Islam. Bermesyuwarahlah!!! Bagi yang berilmu bersedekahlah dengan ilmunya!!!Marilah kita sama-sama mendengar nasihat Saidina ‘Ali Bin Abi Thalib (Karramallahu Wajhah) tentang mesyuwarah dan ilmu ;

Kepentingan mesyuwarah
“Tiada kekayaan melebihi ‘aqal, tiada kemiskinan melebihi jahil, tiada pusaka melebihi adab, tiada pembantu melebihi mesyuwarah”.

“Siapa yang bersikap diktator akan binasa siapa yang bermesyuwarah dengan orang lain akan mendapat faedah dari fikiran mereka.”

Ilmu; Saidina Ali Karramalluhu wajhah menerangkan kepada Kumail bin Ziad.
“Hai Kumail”. Ilmu adalah lebih baik daripada harta benda, ilmu akan menjaga dirimu sedangkan harta benda akan selalu engkau menjaganya. Ilmu adalah pemutus hukum sedangkan harta benda adalah yang dijatuhi hukum. Harta benda akan berkurangan sebab dibelanjakan, sedangkan ilmu akan bertambah sebab didermakan.”

Setiap pemimpin harus tahu tentang hukum dan pentingnya bermesyuwarah dan setiap penulis sudah tentu berilmu dan harus tahu juga tanggungjawabnya pada Agama, Bangsa dan Negara. Hanya dengan satu hari sahaja perpaduan boleh dihancurkan dan berpuluh tahun pula untuk kita membentuk sesebuah perpaduan itu. Ingatlah selagi kita bernama rakyat Malaysia baik dan buruk tetap ditanggung bersama. Jangan kerana setitik nila habis susu sebelanga. Janganlah kerana penulis pukul2 terbenam membuat angkara penulis pukul2 sayang pula yang teraniaya. Akhir kata antara penulis dan pemimpin hanya jauhari mengenal manikam.

Alhamdulillah
Sesungguhnya yang buruk itu datangnya dari saya dan yang baik itu sesungguhnya dari Allah S.W.T.

28 Mac 2006 (28 Safar 1427) : 05.15am - 7.25am

No comments:

Post a Comment