ASSALAMUALAIKUM

Saturday, July 24, 2010

EMPAYAR UMNO VS EMPAYAR MELAKA

Dengan nama Allah Yanga Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Bosan!! Itulah perkataan yang sesuai bila mendengar komen dari segelintir pemimpin UMNO dan juga ahli-ahlinya tentang Tsunami yang menimpa Barisan Nasional . Malu!! Itu lagi satu perkataan yang sesuai apabila kita bergelar seorang Melayu di bawah sebuah kepimpinan yang dinamakan Melayu kebelakangan ini. Tsunami pilihanraya telah lama berlalu, tapi masih lagi kita terpaksa berhadapan dengan sebuah bangsa yang masih belum Iqra’ dan langsung tidak mahu bersyukur dengan peristiwa yang menimpa kita di dalam Tsunami pilihanraya baru-baru ini.

Hampir kesemua bangsa Melayu terutamanya ahli UMNO melihat tsunami tersebut dari perspektif yang tersurat sahaja dan bukan dari yang tersirat di sebalik apa yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Masing-masing secara jujur tidak mahu memikirkan tentang memperkasakan penyatuan Melayu sebaliknya menuding jari sesama sendiri dan terutama sekali kepada Pak Lah sehingga semuanya merasakan bahawa Pak Lah begitu besar salahnya membawa kepada kejatuhan beberapa negeri di tangan pembangkang. Sehinggakan seolah-olah beliau telah membawa badi kepada orang Melayu.

Tidakkah kita jelas melihat bahawa apa sebenarnya rahmat yang tersurat di sebalik apa yang telah berlaku? Lihatlah dengan mata hati dan bukan mata kepala yang penuh dengan nafsu, hasad, iri dan dengki sehingga hati masing-masing menjadi kelabu untuk melihat di mana rahmat Ilahi. Semuanya menuding jari kepada Pak Lah dan juga Khairy sehinggakan penyebab kekalahan sebaliknya yang lain terlepas lari dan makan angin dari menjawab soalan dan pertanyaan daripada pihak media.

Kalau nak tahu apakah rahmat yang diberikan Allah kepada orang UMNO adalah INTEGRITI!! Pernahkah kita sedar bahawa Presiden yang mewakili Melayu yang so called UMNO telah menang!! Siapa yang sebenarnya kalah di dalam membawa musibah ke dalam parti kalau bukan Presiden MIC dan MCA. Oleh itu pernahkah jari orang-orang di dalam BN menuding ke arah mereka? Pernahkah kita berfikir untuk mengecilkan kuasa mereka di dalam kabinet sebagai balasan kepada Integriti yang telah mereka jatuhkan di dalam parti sendiri? Rakyat bangsa apa yang menolak pemimpin di dalam parti apa sebenarnya? Kenapa kita orang Melayu masih tidak malu menuding jari ke arah pemimpin bangsa sendiri sehingga dengan lancangnya mengeluarkan perkataan peralihan kuasa dan segalanya tanpa merasa sedikitpun satu perasaan bahawa kita ini sedang melihat parti ataupun diri sendiri? Kita sebenarnya hendak menyatukan parti ataupun meletakkan diri sendiri di dalam parti dengan menyalahkan seorang pemimpin parti yang menang? Mengapa tidak langsung berbunyi di dalam parti MIC ataupun MCA untuk mengadakan peralihan kuasa besar-besaran memandangkan kegagalan pemimpin mereka menegakkan intergriti sebagai seorang pemimpin parti. Terang-terangan rakyat menolak mereka dan ternyata siapa yang menolak mereka adakah bangsa Melayu ataupun bangsa mereka sendiri.

Inilah yang dikatakan akan berulang satu lagi sejarah empayar Melaka yang begitu gagah dengan Kesultanannya dan pendekarnya. Akhirnya apa dah jadi? Siapa yang membuka pintu untuk masuknya Portugis ke dalam melaka? Siapa pula yang cuba menjatuhkan hukuman kepada Hang Tuah? Siapa yang membunuh Hang Nadim iaitu dikatakan anak kepada Dang Anum isteri Hang Jebat? Siapa kalau bukan, orang kita yang mempunyai hasad dengki sesama sendiri akhirnya membuka pintu untuk orang luar membunuh bangsa sendiri. Anak Cina makan pengat sendiri mahu ingat.

Apakah kita akan berpuas hati dengan melihatkan apa yang telah berlaku di Melaka. Akhirnya pendekarnya hilang dan sultannya juga hilang tanpa di kesan. Apakah orang UMNO mahu keadaan tersebut berulang di Malaysia secara keseluruhannya. Apabila Perdana Menteri yang dipimpin oleh orang Melayu hilang dan semua pemimpin yang berani diusir dari UMNO? Muhasabahlah!! Bila salah Khiary berbunyi sebagai pencatur politik, akhirnya VK Linggam senyap pencatur undang-undang negara lagi. Pasal apa pasal namanya VK Linggam ,kalau name Ahmad VK mungkin bunyinya sama sehebat Khairy.

Sebagai ahli UMNO seumur hidup saya merasa amat sedih apabila setiap ucapan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO bukan lagi berhujah tentang seorang pemimpin yang jujur, amanah dan tidak rasuah sebaliknya mereka hanya inginkan seorang pemimpin yang kononnya gagah, cerdik kalau makan rasuah dan beri rasuah pun tak apa janji boleh menang dalam pilihanraya akan datang. Itukah yang kita mahu? Apakah kekalahan Barisan nasional disebabkan seorang dua manusia yang tidak pernah kita dengar memakan ataupun memberi rasuah? Siapa sebenarnya yang memakan dan memberi rasuah sehingga jatuhnya integriti Barisan Nasional kepada masyarakat? Kalau pagarnya kukuh dan teguh tak mungkin pemimpin yang berada di dalam tergugat keselamatannya. Persoalannya sekarang siapakah pagar-pagar Perdana Menteri tersebut sehingga dengan begitu berani orang menuding jari, memprotes serta menghinan beliau?

Baliklah kepada sejarah UMNO suatu masa dahulu. Kekuatan UMNO ataupun bangsa Melayu suatu ketika dahulu adalah kerana kekuatan PEMUDAnya. Salah sikit pucuk pimpinan PEMUDA lah yang akan menggasak pemimpin tersebut. Begitu juga sebaliknya, bila pucuk pimpinan mereka dihentam, dimarah ataupun dihina, PEMUDA dahulu juga akan ke hadapan untuk membelanya. Apa dah jadi dengan PEMUDA harapan bangsa dan tiang negara ini. Mana negara tak jatuh kalau tiangnya lembik. Siapa sebenarnya yang lembik? Pak Lah atau PEMUDA? Makan pengat banyak-banyak dan sendirilah mahu ingat. Sejarah telah membuktikan segala-galanya di dalam kejatuhan Melaka. Jadi jangan menuding jari merata, duduk rumah baca buku sejarah banyak-banyak, maka kita baru akan sedar bahawa rupanya negara kita yang berubah cuma rupanya sahaja tetapi mentaliti masih seperti bendahara dan para menteri di dalam istana Melaka yang tidak mempunyai kerja lain tetapi hanya sibuk memikirkan untuk menjatuhkan sesama sendiri. Bila kekuatan sendiri tidak ada maka guna kekuatan asing dan bangsa asing untuk menjatuhkan bangsa sendiri dengan harapan bangsa asing itu akan mengenang budi. Sudahlah….jangan bermimpi di siang hari. Kalau anak kera anak kera juga tak mungkin nak tolong anak lembu. Makan boleh lah sepinggan tapi nak tolong belum tentu. Itulah hakikat itulah kenyataan. Jadi berpijaklah dibumi yang nyata apabila nak menolong bangsa sendiri.

Mulai dari saat ini, Pak Lah juga harus Iqra’ bila dan bagaimana hendak digunakan perkataan telus itu. Kalau bermesyuarat UMNO pun kita nak paparkan untuk seluruh dunia dikatakan telus maka itu namanya telus tak bertempat. Mana ada perbincangan suami isteri di dalam bilik disiarkan untuk seluruh dunia melihatnya. Orang lain dan bangsa lain pandai makan senyap-senyap, bergaduh pun senyap-senyap tapi bila bersama barulah nak tunjukkan pada orang ramai. UMNO juga harus bersikap demikian janganlah pentas media dijadikan tempat untuk bercakaran sesama sendiri. Di mana letaknya mesyuwarah? Sesama sendiri nak bercakap pun macam lah tak tahu nak pakai talipon kata canggih sangat. Bila nak menegur kena ada TV dan surat khabar untuk apa semua itu. Kalau nak bagi “wakeup call “pun tak kan tak tahu nak dail talipon? Apa sebenarnya pesanan sesama pemimpin itu harus dibuat secara terbuka. Pemimpin sekarang seperti sudah pantang nampak kamera. Macam seorang kanak-kanak nampak ice cream. Ingatlah di mana untungnya pada bangsa sendiri. Jangan lagi bercakap tentang diri sendiri. Jangan lagi mengikut dendam kesumat Melayu di zaman Kesultanan Melaka sehingga menuntut sumpah sampai 7 keturunan. Kita sekarang sudah berada di zaman Intelek.

Saya malu melihat perlakuan sesetengah pemimpin parti dan juga bekas pemimpin parti, menjadikan pentas media sebagai pentas teguran sesama sendiri. Kadang-kadang terfikir juga ketika bermesyuwarah apa sebenarnya yang mereka perbincangkan dan selesaikan sehingga terpaksa di bawa ke medan media. Mana ada di dalam dunia seorang pemimpin yang sempurna. Kesempurnaan seseorang pemimpin apabila mempunyai sahabat-sahabat yang tulus dan ikhlas untuk menegurnya dan bukan memujinya. Inilah yang dikatakan nasib seorang pemimpin apabila di hadapan sahabatnya menjilat, dibelakang mengumpat dan senang melihat kejatuhannya. Oleh itu ada baiknya pemimpin seperti Pak Lah mula berkawan dengan sahabat yang mulutnya seperti peluru daripada mereka yang mulutnya penuh tebu. Dengarlah Pak lah salah satu nasihat dari Hassan Al Basri R.A kepada para khalifah:

“Hai Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama, sebelum ajal sampai hari mendatang, sebelum hukum putus angin berhenti. Janganlah Paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan, jangan paduka bawa mereka ke jalan aniaya. Jangan di angkat orang-orang takbur menjadi pegawai, memerintah orang-orang lemah. Sebab mereka menjatuhkan perintah dengan sesuka hati dan semahu-mahunya sahaja. Kelak padukalah yang akan menanggung jawabkan atas dosa mereka dan yang bertali dengan itu dikumpulkan dengan dosa paduka sendiri. Janganlah paduka terpedaya dengan tipuan orang-orang yang menelan ni’mat untuk kesusahan paduka. Mereka makan segala yang eak-enak di dunia, supaya paduka menelan segala kesusahan akhirat.”

Nasihat itu jika difahami oleh Pak Lah alangkan baiknya kerana itulah yang sedang berlaku di belakang, kiri dan kanan beliau. Orang-orang yang memakan semua perkara yang baik dan membiarkan Pak Lah berhadapan sendiri dengan segala perkara yang buruk. Inilah yang dikatakan harapkan pagar akhirnya pagar memakan padi. Maka Pak Lah sudah harus mengenali sekarang apakah penyebabnya sehingga begitu banyak perkataan yang tidak baik dilemparkan kepada beliau yang tidak seharusnya berlaku di kalangan orang yang bergelar Melayu yang perpegang kepada adat dan bergantung kepada tali Allah. Muhasabahlah!!

article buku VS 2009.

No comments:

Post a Comment