ASSALAMUALAIKUM

Sunday, July 18, 2010

PENULIS POLITIK VS PEMIMPIN POLITIK

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN NABI TERCINTA MUHAMAD S.A.W

Sememangnya kadang-kadang saya amat berasa bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana diberikan begitu banyak pengalaman di dalam beberapa bidang yang dapat saya menafaatkan kepada masyarakat. Di dalam dunia material hari ini ramai yang terlupa bahawa kehidupan ini bukan sahaja perlu memenuhi kehendak material semata, namun kesedaran serta keperihatinan untuk membantu masyarakat juga harus diisi di dalam hati kita. Banyak orang mengatakan bahawa apakah seseorang yang tidak diberikan rezeki harta benda, wang dan pangkat dapatkah kami turut serta memberikan kebajikan kepada masyarakat atau golongan yang memerlukan? Jawapannya ada pada anda. Lihatlah sumber rezeki lain yang telah Allah anugerahkan kepada kita seperti tenaga yang sihat dan juga ilmu, pengalaman dan ilham itu juga merupakan satu sumber rezeki yang dapat kita gunakan untuk memberi menafaat kepada orang lain.

Tenaga yang sihat dapat memberikan peluang kepada kita untuk memberi bantuan kerahan tenaga di rumah anak-anak yatim contohnya. Tenaga yang sihat juga dapat membenarkan kita untuk membuat kerja-kerja gotong-royong di mana-mana rumah kebajikan. Manakala ilmu dapat memberi kita peluang untuk mendidik golongan yang tidak mempunyainya. Pengalaman pula dapat kita curahkan sebagai nasihat kepada masyarakat agar tidak akan melakukan kesilapan yang telah kita lalui, atau pengalaman dari hasil pengembaraan dapat kita kongsikan bagi memberikan pula satu pengalaman baru kepada orang yang tidak mempunyainya. Ilham pula adalah untuk kita gunakan akal kita bagi menghasilkan segala perkara yang bermanafaat untuk kita gunakan bagi memudahkan pekerjaan kita seharian, seperti mereka cipta barangan dan sebagainya.

Apa yang telah dinyatakan di atas tidak boleh dinafikan merupakan satu anugerah Tuhan kepada kita yang perlu kita pulangkan semula kepada insan-insan yang memerlukan. Kita harus ingat bahawa apa yang kita miliki segalanya adalah kepunyaan Allah, dan kita sebagai insan tidak lain dan tidak bukan hanya sebagai pemegang amanah sahaja di muka bumi ini. Segala-galanya milik Dia dan segala-galanya harus dilaksanakan menurut kehendakNya.

Macam mana? Bunyi macam ulama’ pula bukan? Rasa macam tidak ada langsung mukadimmah saya dengan tajuk yang tertera di atas. Sebenarnya apa yang hendak saya sampaikan di sini akan menuju kepada tajuk di atas jangan risau. Namun saya terpaksa memulakan dengan memberitahu kepada pembaca budiman bahawa apa yang bakal saya ceritakan adalah sedikit sebanyak akan menyentuh pengalaman dan ilmu saya di dalam pelbagai bidang. Maka secara tidak langsung ianya akan berbunyi riak, apabila kita menceritakan tentang pengalaman dan ilmu tentang diri sendiri. Itu bukanlah niat saya. Oleh itu saya berlapik dahulu bahawa apa yang bakal saya ceritakan adalah segalanya kepunyaan Allah dan bukanlah kepunyaan saya baik pengalaman mahupun ilmu. Oleh itu janganlah menanggap bahawa ianya suatu pendedahan untuk menunjukkan kehebatan sesiapa. Tiada Dia tiadalah apa yang saya ada sekarang ini.

Saya bersyukur kerana 14 tahun yang lalu saya telah diberikan pengalaman oleh Allah untuk melibatkan diri di dalam dunia politik. Tidak termasuk ilmu yang saya perolehi dari tahun 1989 mempelajari ilmu sains politik di USM. Setelah tamat pengajian pada tahun 1997 saya telah mempraktikkan ilmu yang telah saya pelajari sedikit sebanyak dari pensyarah saya yang tidak kurang tersohornya iaitu Y.Bhg.Prof.Dr.Chandra Muzaffar, di mana saya masih ingat beliau mengajar saya Politik Dunia Ke Tiga, Dr.Latiff Mohiddin mengajar Falsafah Politik, Prof. Said Ahmad dan beberapa orang lagi yang begitu rapat memberi pengajaran formal dan tidak formal kepada saya. Manakala pensyarah peribadi saya sudah tentulah Aruah Bapa saya sendiri Hj.Sulaiman Palestin. Dalam tahun 1997 sehingga 2004 berada di dalam dunia politik Kulim Bandar Bahru di bawah pimpinan Datuk Paduka Abdul Kadir Syeikh Fadzir, banyak juga pendedahan yang diberikan oleh beliau kepada saya termasuklah perlantikan saya sebagai Ahli Jawatan Kuasa Wanita beliau serta pernah juga menang tanpa bertanding jawatan tersebut. Pengalaman saya berterusan di dalam bidang politik semasa saya mula bertanding kerusi Ketua Puteri pada tahun 2002 serta 2004, maka berkembang pula pengalaman saya berpolitik dari Universiti kepada Bahagian dan terus ke peringkat Kebangsaan apabila diberi pendedahan sebagai AJK Biro Antarabangsa Wanita Malaysia sekitar penghujung 2000 serta bertanding kerusi Kebangsaan yang telah saya nyatakan.

Sekarang diberi pula Allah Ilmu, Ilham dan pengalaman saya mulai berkembang di bidang penulisan. Namun di dalam bidang sastera dan teater di Universiti saya telah pun mendapat ilmu penulisan dari bidang lakonan dan teater yang telah saya pelajari di USM. Saya masih ingat salah seorang pensyarah saya pada ketika itu ialah Dato’Shahnon Ahmad yang mengajar penulisan kreatif kepada saya sekitar tahun 1989. Sebenarnya saya telah berjinak dengan dunia penulisan dari kecil di mana umur saya 12 tahun saya pernah dibimbing oleh Aruah Harun Hassan penerbit majalah Salina dan Subki Latiff. Mereka sering kerumah dan memberi bimbingan untuk menanam minat dalam bidang penulisan. Namun sekitar tahun 2003 penulisan saya bermula di laman web UMNO. En Syariff Dom telah membuka peluang itu kepada saya. Seterusnya Agendadaily.com dan sekarang Buletin Demokrasi, kemudian Buletin Rakyat dan Akhbar Api Mahasisiwa.

Pengalaman sepertimana yang disebut di atas adalah merupakan segelintir pengalaman yang ingin saya gunakan untuk menghasilkan satu hiportesis bagi tajuk yang telah saya terterakan iaitu penulis politik vs pemimpin politik. Di dalam pengalaman yang serba cetek itu ingin saya sampaikan kepada pembaca mengapa dua dunia yakni penulis politik dan pemimpin politik senantiasa menimbulkan kontroversi antara satu dengan lain. Kemungkinan hiportesis yang dihasilkan dari pendapat dan pengalaman yang saya berikan akan menimbul salah faham antara kedua pihak namun prinsip saya adalah seperti biasa “anak cina makan pengat……

Baru-baru ini saya berpeluang untuk bersama-sama dengan penulis-penulis politik yang agak sering dikatakan penulis yang berani dan kontroversi seperti Yahya Ismail, Pak Habib (Said Hussin Al Atas), Rosli Ismail dan Noza Kepol. Kami bersidang sambil bersantai mengeluarkan pendapat dan pandangan masing-masing. Sebenarnya bukan baru saya kenali mereka hampir sudah 5 tahun saya bersama mereka. Menjadi sahabat dan musuh sepertimana sesetengah ahli politik juga. Mereka juga adalah antara penulis yang saya kagumi yang mempunyai pendirian tersendiri. Namun apa yang masyarakat umum tidak tahu atau mungkin tidak mahu tahu adalah penulis-penulis politik ini sama sahaja perangai dan perlakuan mereka macam orang politik juga. TETAPI apa yang berbeza adalah kehidupan mereka. Kehidupan orang-orang yang bernama penulis politik ini saya anggap sebagai jutawan ilmu dan pengalaman serta mempunyai anugerah yang tidak dimiliki oleh semua orang dan tidak semua orang boleh berlagak atau menyamar menjadi penulis politik TETAPI di dalam dunia politik ramai yang boleh menyamar menjadi pemimpin politik dan sesiapa sahaja yang diberikan pangkat dan kedudukan boleh mendukung jawatan tersebut tak tahulah samada membawa jawatan tersebut dengan baik atau tidak janji Malaysia Boleh!

Apabila saya sendiri melibatkan diri di dalam penulisan politik dan masyarakat sedikit sebanyak saya sudah dapat merasakan perbezaan ini. Iaitu betapa beratnya menjadi penulis politik berbanding dengan menjadi pemimpin politik. Walaupun banyak orang kata susah jadi pemimpin politik, namun anda harus tahu di dalam dunia politik kita hanya melibatkan suara. Iaitu bersyarah sana bersyarah sini, janji sana janji sini, kalau tak tepati pun sesetengah pemimpin politik ini tidak menjadi masalah kerana tidak ada hitam dan putih. Tetapi bagi penulis politik apa yang ditulis semuanya memerlukan kebenaran dan tanggung jawab. Kalau betul dan benar ok selamat . Kalau dibuatnya fakta tidak betul maka sendiri tanggung dan mahkamah dalam juga jawab.

Sebenarnya kalau dilihat dari faktor sumbangan penulis politik kepada kepimpinan Negara, tidak boleh kita nafikan langsung bahawa mereka tidak pernah menyumbang dan mereka tidak berjasa kepada mana-mana pemimpin Negara dan masyarakat. Cuba anda fikirkan sejenak dan bayangkan berapakah ramai ahli politik dan berapa pula ramainya penulis politik ini di Malaysia? Tidak sampai 1% pun, akan tetapi beberapa penulisan mereka kadang-kadang mampu mengubah pucuk pimpinan Negara dengan hanya menggunakan mata pena. Kebenaran dan keburukan pemimpin sekiranya didedahkan dengan menggunakan ilmu fakta dan keberanian dapat menentukan kedudukan seseorang pemimpin pada kacamata masyarakat. Penulis politik bolehlah dianggap sebagai suara dan kehendak rakyat di dalam menentukan pucuk pimpinan mereka. Begitulah kedudukan seorang penulis politik sekiranya mereka menggunakan mata pena mereka dengan baik.

Namun pernahkah kita terlintas untuk mengkaji atau meninjau kehidupan sebenarnya penulis-penulis politik ini? Bagaimanakah mereka menjalani kehidupan seharian mereka di dalam keadaan yang penuh berisiko ini? Pernahkah kita bertanya bagaimana mereka melalui hidup ini untuk membela anak isteri atau anak suami? Memang benar mereka tidak ramai namun bandingkan kehidupan mereka pula dengan pemimpin politik. Adakah mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti ali-ahli politik? Jawapannya tidak. Itulah kehidupan mereka hanya berbekalkan maruah dan harga diri, memperjuangkan golongan yang tertindas. Melakukan tanggungjawab masyarakat yang tidak kurang hebatnya sepertimana yang dilakukan oleh seorang ahli politik. Namun harga kehidupan yang perlu mereka bayar adalah hidup dalam keadaan yang sederhana dan tidak kurang juga ada yang hidup merempat dan daif.

Apabila persoalan ini diajukan kepada pemimpin politik tidak kiralah antara yang atas, bawah atau tengah kebanyakkan mereka berkata “macam mana aku nak tolong kalau dia hentam aku semacam di dalam penulisannya”. Apakah sebenarnya yang tersirat di dalam kenyataan tersebut sering menjadikan diri saya tidak faham. Bagi saya pemimpin tersebut kalau marah sangat kenapa tidak menggunakan kuasa politik mereka untuk membuat kenyataan terbuka tentang kemarahan mereka di dalam dada akhbar ataupun elektronik menyatakan kepada masyarakat bahawa penulis si polan dan si polan itu telah membuat satu penulisan yang berbunyi fitnah, habis cerita line clear. Ini tidak, jumpa satu perkumpulan politik ke perkumpulan yang lain mencerca di belakang penulis atau lebih teruk lagi sekiranya penulis meminta tolong tak kiralah perniagaan atau apa pun terus lesap melarikan diri dan mengelak. Kalau tak boleh tolong kata saja tak boleh tolong kan senang jangan dok “ding…dong…ding …dong”.Cakap saja terus terang “I tak boleh tolong u sebab u hentam I dalam penulisan u”.Senang kan? Tetapi keadaan tersebut tidak pula berlaku, kerana kalau betul-betul seseorang penulis politik itu menulis dengan hentam kromo maka dah lama ke dalam. Kalau tak tumbuh maka tak melata, kalau tak sungguh tak kan penulis melatah. Anak cina makan pengat…….

Pemimpin politik harus sedar bahawa penulis politik juga mempunyai tanggung jawab seperti etika penulisan yang harus mereka akur. Oleh itu tidak mungkin seseorang penulis dapat di samakan dengan seorang penyair yang hanya mengeluarkan idea penulisan mereka berdasarkan khayalan dan bayangan. Kalau penulisan begitu maka sudah tentulah mereka akan digelar penulis sastera dan bukan politik. Malahan idea-idea penulisan mereka termasuk saya sendiri kebanyakkannya datang bukan dari ilham bayangan atau fantasi tetapi dari peratusan sembang sumbang yang dipungut dari mulut orang-orang bawahan. Bila satu-satu hal itu berlaku atau dilakukan oleh mana-mana ahli politik maka itulah bahannya. Lebih-lebih lagi yang melibatkan isu kontroversi. Jadi kalau nak selamat dari penulisan panas penulis politik maka tengoklah kiri kanan, macam juga orang melintas jalan. Tapi sekarang ni kalau nak melintas jalan kena tengok atas silap-silap ditimpa tayar LRT.

Mengapa mereka menulis dengan mengeluarkan cerita-cerita kontroversi? Jawapannya senang saja kerana tidak ada pula di kalangan ahli-ahli poltik ini yang mahu keluar menghentam pula penulis politik ni. Bila diam kira betul la tu. Macam anak dara orang masuk meminang kalau diam kira orait la.....Ruangan begitulah yang dibuka sendiri oleh pemimpin politik keluar penulisan kontroversi terus diam. Tiba-tiba marah penulis tak tentu pasal. Silap-silap kalau ada kontrak dalam tangan pun sanggup koyak janji penulis politik yang hentam dia tak dapat. Apa ni “come on….be gentlemen lah”. Kalau Tanya penulis pula”pasai apa ahli politik si polan dan si polan tu tak baik dengan hang?” Jawapan mereka “biasalah tu…banyak skeleton in the cubord”. Banyak hal la tu…..

Dari pengalaman saya berada di dalam dunia politik, pada pandangan saya senang saja nak menjadikan penulis politik ini sahabat karib sepertimana rakan-rakan seperjuangan politik kita iaitu bersikap “benar dan telus” dengan mereka habis cerita. Saya menganggap pemimpin politik kebanyakkannya tidak mahu mendampingi penulis politik. Oleh itu penulis politik pula yang sukar mendampingi ahli politik ini yang sering tak angkat talipon dan tak jawab sms maka sukar bagi penulis ini untuk mendapatkan keterangan-keterangan tentang sesuatu perkara itu dengan jelas. Maka akhirnya keluarlah buku-buku “hear say”. Kalau seseorang ahli politik tersebut tidak mempunyai apa-apa agenda yang hendak disembunyikan apa nak ditakutkan, jumpalah penulis-penulis politik ini bercakaplah dari hati ke hati dan berilah gambaran dan penerangan yang jelas, mereka akan faham. Tak payahlah mereka menginap dari satu coffee house ke satu coffee house untuk mendapatkan cerita-cerita sembang sumbang dari orang kedua atau ke tiga. Kan mudah. Jawapannya “u clean I clean…no skeleton in the cubord” hasilnya tiadalah penulisan politik yang kontroversi maka tak peninglah kepala masyarakat. Kalau pemimpin politik amanah begitu jugalah penulis politik mereka pun amanah juga kalau senantiasa diberikan penerangan yang telus oleh orang pertama.(pemimpin politiklah)

Memang banyak penulis politik tetapi apa yang telah saya lampirkan di atas hanya khusus kepada penulis-penulis politik yang pro kerajaan. Mereka ni hentam…hentam juga tetapi kalau dilihat dan diselidik tidak kurang juga yang pro kerajaan . Penulis politik beginilah kita harus jaga, agar Negara cemerlang, gemilang dan terbilang. Jangan sampai mereka ini dijadikan mesin-mesin cetak yang memberi bahan kontroversi kepada pembangkang. Akhirnya siapa yang rugi mereka dan kelurga-keluarga mereka juga yang rugi. Barulah jadi macam lagu Oh Bangau. Salah sana salah sini akhirnya kerajaan jadi katak pembangkang jadi ular. Penulis politik kira apa lagu Oh Bangau tu memang kegemaran penulis politik. ……..sendiri mau ingat!

Kepada ahli politik maupun penulis politik marilah kita sama-sama melihat pesanan salah seorang tokoh Islam KHM’ISA ANSARY kata beliau:-

“Janganlah engkau memberi kerana mengharapkan balasan yang banyak! Jalankan tugas ini tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran dari manusia ramai. Menjalankan tugas adalah berbakti dan mengabdikan, tidak mengharapkan balasan dan pujian, keuntungan benda dan material. Kekayaan manusia tidak cukup untuk “membalas” jasamu yang tidak ternilai itu. Bukankah tanpa engkau, masyarakat ini akan kering dan ketiadaan Iman, kepercayaan dan pegangan? Bukankah tanpa engkau, masyarakat ini akan lenyap ditelan kesepian, tiada suluh dan pelita? Bukankah tanpa engkau hidup ini akan kerdil, hidup kehampaan dari segala kehampaan, kerana tiada Iman dan Agama? Kamu tidak ada “penyuluh-penyuluh”baru dating kedunia seperti engkau, ala mini seluruhnya akan tenggelam dalam kegelapan, kesepian dan kehampaan. Jalankan tugas ini kerana hanya mengharapkan ke Ridhaan Tuhanmu jua.”

Oleh itu marilah kita sama-sama menghargai penulis-penulis politik yang begitu banyak perjuangan dan pengorbanannya. Mengeluarkan hasil dari poket sendiri untuk menulis dan mencetak serta mengedar kepada sekelian masyarakat semata-mata untuk membawa satu kesedaran dan menyuntikkan semangat nasionalis cinta Agama, Bangsa dan Negara tidak kurang hebatnya dengan ahli-ahli politik. Kalau kita ahli politik kadang-kadang dibayar dan diberi segala kemewahan dan pengangkutan percuma untuk mengumpulkan mereka bagi mendengar nasihat dan pesanan pemimpin, penulis politik pula tidak pernah dibayar malahan membayar dan mengharapkan keuntungan yang belum tentu semata-mata untuk menyampaikan kebenaran maka fikirkanlah wahai pemimpin politik sekelian. Kuasa ditangan anada untuk menentukan pena di tangan penulis. Biarlah penulisan-penulisan politik yang akan datang tidak akan membawa keraguan kepada masyarakat samada untuk menelan ataupun meluahkan setiap apa yang bakal dibaca tentang pemimpin politik masa akan datang.Oleh itu kajilah penulisan ini penulis politik vs pemimpin politik. Kuasa anda pada jawatan kuasa penulis pada sebatang pena, tapi ingat jawatan terpaksa ditinggalkan namun tak banyak penulis politik yang meninggalkan jawatan mereka.Tiada pemecatan. Maka merekalah pemerhati yang paling hebat yang hidup sepanjang zaman, sepanjang perubahan pemimpin politik. Ingat! Oleh itu jangan jadikan kebodohan dan kesombongan kita sebagai peluang kepada orang lain.

Hasrat saya adalah untuk melihat antara pemimpin politik dan penulis politik ini lebih telus sikap mereka. Hanya itulah caranya untuk menghasilkan satu kenyataan di dalam sebuah penulisan bagi memberikan gambaran yang baik seseorang pemimpin politik kepada masyarakat. Jangan sampai suatu ketika masyarakat akan lebih menghormati kuasa pena dari kuasa pemimpin.

No comments:

Post a Comment