ASSALAMUALAIKUM

Thursday, July 29, 2010

MENJADI HAMBA WANG VS MEMPERHAMBAKAN WANG

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA RASULULLAH

Pepatah Inggeris ada mengatakan bahawa “Money is not everything, but everything is Money”. Bermaksud “wang bukan segalanya tetapi segala-galanya memerlukan wang”. Melalui berkawan banyak pengalaman yang dapat dikongsikan. Manusia zaman sekarang telah banyak berubah, namun dalam perubahan yang sedemikian saya masih yakin akan kemunculan sebuah zaman selepas 1400 tahun sepertimana semangat pejuang-pejuang kita di zaman Nabi Muhamad s.a.w. Namun sekarang kalau dikaji kita sudah dapat melihat bagaimana pemikiran-pemikiran di zaman jahiliah telah muncul. Di mana kalau zaman Nabi dahulu orang Quraish baik pembesar-pembesarnya langsung tidak pandang jauh sekali mahu mendengar orang-orang dari kalangan yang tidak berpangkat dan berharta dalam memberi pandangan dan nasihat. Mereka bukan mendengar dari kebenaran yang dikata tetapi siapa yang mengatakannya.

Keadaan seperti zaman Jahiliah muncul kembali. Kalau dahulu Abu Suffian amat digeruni kerana pangkat dan hartanya di Mekah. Maka zaman sekarang banyak dan muncul lagi beberapa orang Abu suffian yang kalau dia bercakap semuanya akan menjadi benar walaupun salah. Malahan golongan yang berkeadaan seperti Nabi Muhamad pada awalnya pun ada, benar berkata-kata, bijak berpandangan tetapi tidak berwang dan berharta, jadi orang pun pandang sebelah mata. Bukanlah kita hendak membandingkan keadaan mana-mana individu dengan Junjungan Besar kita tetapi itulah hakikatnya. Sebenarnya setiap umat boleh menjadi seperti Muhamad tetapi bukan mendapat pangkatnya sebagai Nabi tetapi akhlaknya. Sebab itulah Baginda dijadikan contoh terbaik pada umat Islam.

Tetapi berapa ramai yang mahu melihat sejarah ini dari sudut pandangan sekarang. Inilah dunia wang yang wujud kembali di zaman sekarang. Kalau dahulu orang tidak sanggup masuk Islam kerana wang berlaku juga sekarang orang sanggup menggadaikan maruah Islam kerana wang. Sesetengah individu merasa begitu bangga apabila di nasihati oleh si polan yang berpangkat dan berharta. Malahan nasihat yang sama juga pernah diberikan oleh orang yang berlainan yakni tidak berpangkat dan berharta. Orang sekarang berbalik seperti zaman jahiliah yakni tidak melihat apa yang dikata sebaliknya siapa yang kata.

Inilah mengapa orang zaman sekarang gemar menjadi hamba wang. Kerana kononnya dengan wang yang banyak orang akan mendengar cakap kita. Jadilah orang itu hamba wang. Mencari dan mencari wang bagi menimbunkan kekayaan untuk orang pandang. Seharusnya wang itu kita gunakan untuk diperhambakan. Seperti menyediakan kemudahan kepada kita, sehingga kita dapat menjalankan ibadah dengan tenang. Membuat kerja atau berurus niaga secara sedang-sedang sahaja, sekadar cukup menampung hutang dan menyara makan. Kalau besar wangnya maka besarlah kebajikannya seharusnyalah.

Kita mencari wang seolah-olah esok tiada kematian. Seharusnya ketika kita memperolehi wang kewajipan kita dahulukan, dan sunnah kita cukupkan. Sebenarnya dalam mencari wang kita seharusnya menganggap bahawa rezeki boleh dicari tetapi ibadah hanya datang sekali, peluang mengerjakan ibadah tidak mungkin terjadi sekiranya kita uzur. Tetapi kalau uzur ditempat sendiri, mungkin ada juga orang yang akan datang memberi sesuap nasi ke mulut. Tetapi siapakah yang akan mengusung kita untuk beribadah.

Inilah yang dikatakan menjadi hamba wang. Menahan segala kesenangan dan ibadah sekadar untuk menimbunkan wang. Ada yang sanggup buat apa sahaja, menipu, merompak dan merasuah semata-mata untuk mendapatkan wang. Macamana dikatakan tadi seolah-olah esok tiada kematian. Anak Cina Makan Pengat Jadi Sendirilah Mahu Ingat!!

Cinta wang selalu akan dikaitkan dengan cinta dunia. Dunia umpama rumah tumpangan atau rumah sewa, bila-bila saja tuan rumah boleh halau. Manakala akhirat seperti rumah sendiri. Oleh itu tak guna kita hiasi rumah sewa kan lebih baik kita gunakan wang tersebut untuk menghiasi rumah sendiri. Kalau tak faham , dalam bahasa yang lebih mudah ialah walau banyak manapun harta dan wang yang akan ditimbunkan di dunia ini tetap akan kita tinggalkan juga. Tetapi sekiranya kita gunakan wang untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah, bukankah seperti kita menhiasi rumah sendiri. Walau banyak mana pun rumah yang kita miliki hanya satu sahaja yang akan kita diami. Walau banyak mana pun kenderaan yang kita miliki hanya satu juga yang boleh kita pandu dalam satu masa. Walau banyak mana pun wang yang kita miliki tak mungkin kita mampu makan nasi berpuluh pinggan sehari.

Tidak kita akan disoal berapa banyak harta yang telah kita timbun ketika mati. Tetapi yang akan ditanya hanya satu yakni setelah Allah memberikan rezeki melebihi kemampuanmu adakah kau telah melengkapkan rukun Islam ke lima. Kerana dalam rukun Islam hanya satu yang tak menggunakan wang iaitu shahadah, selebihnya semua melibatkan wang. Kalau puasa kena beli makanan untuk berbuka, Kalau solat kena beli pakaian, kalau zakat dah tentu dan kalau ke Haji lagilah. Itulah yang dikatakan tadi bukan tak penting wang tersebut Allah lebih mengetahui hajat hambanya. Diberikan rezeki sekira disayangiNya supaya dapat bertamu ke rumahNya dan melakukan ibadah selebihnya. Itulah harapan keutamaanNya ke atas wang yang dianugerahkan.

Belum pernah dalam sejarah hidup saya kalau orang lain tak tahulah melihat manusia yang mendahulukan ibadah Allah mati kelaparan atau hidup dalam kesengsaraan. Sebab itu kalau zaman dahulu saya lihat guru Quran saya, duduk dirumah lebih banyak dari bekerja tetapi tak pernah pula nampak susah ada saja rezeki Allah buat beliau dan keluarganya.

Sekarang barulah saya faham erti kehidupan yang pernah diceritakan oleh aruah ayah saya Sulaiman Palestin. Mengapa beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan harta dan wang buat anak-anaknya. Tak mati pula anak-anak beliau, masing-masing pandai pula cari makan. InsyaAllah belum ada lagilah yang merompak bank. Kata ayah “macam mana baba datang, begitu juga baba nak balik. Lihatlah ketika datang ketika lahir tangan kita bergenggam, kerana membawa amanah Allah, (jangan lupa tengok tangan bayi), tetapi ketika mati tangan kita lepas dan terbuka, itulah tanda Allah tidak mahu kita memegang sebarang bentuk benda dari dunia untuk kita kembali, bila badan hancur di makan tanah kain kapan pun kita tinggalkan”.

Jadi untuk apa kita bersibuk-sibuk di dunia mengerja kerja menimbunkan harta kalau sekadar untuk kita tinggalkan.Lebih baiklah kita sibukkan diri menimbunkan pahala, lebih banyak menafaatnya untuk hidup di dunia akhirat yang pasti dan kekal. Bagi yang hendak mencari wang dan harta yang melimpah ada baiknya diniatkan untuk beribadah dan bersedekah dan bukan untuk kita. Cukup sekadar sedang-sedang sahaja, supaya tak kempunan untuk ditinggalkan. Anak-anak hanya diamanahkan oleh Allah kepada kita sekadar membesarkan mereka dengan baik supaya mencintai Allah dan Rasulullah dan bukan berharta. Tak pernah Allah berpesan kepada kita memberi amanah untuk kita tinggalkan harta buat anak-anak melainkan ilmu, iman dan taqwa.

Berkata ABU WAQIT AL LAITSI R.A bahawasanya NABI MUHAMAD S.A.W telah bersabda :

ALLAH telah berfirman:

“Sesungguhnya kami (Allah) turunkan harta untuk orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Sekiranya anak Adam itu mempunyai satu lembah, nescayalah ia ingin mempunyai dua. Sekiranya ia mempunyai dua, ia hendak pula mempunyai tiga. Dan tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah sahaja. Kemudian Allah akan mengampuni siapa yang bertaubat.”

(Riwayat Ahmad dan Thabarani)

Allah Maha Mengasihani disediakan pula hukum-hukum faraid bagi hamba-hambanya yang tetap mahu meninggalkan harta buat anak-anak, namun tak kurang juga kita mendengarkan anak-anak bertelagah dan tidak berpuas hati dengan harta yang ditinggalkan. Untung batu tenggelam, untung sabut timbul. Apa yang penting biarlah mati dengan aman, tanpa ada anak-anak sibuk menguruskan harta yang ditinggalkan sebaliknya hanya sibuk menguruskan kebajikan yang diamanahkan.Muhasabahlah!!

No comments:

Post a Comment