ASSALAMUALAIKUM

Thursday, October 21, 2010

ANUGERAH DATO DULU VS ANUGERAH DATO SEKARANG

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat Dan Salam Buat Junjungan Nabi Muhamad S.A.W

Celaru dan keliru apabila kita lihat penganugerahan Datuk atau dato kebelankangan ini. Tidak kiralah antara orang politik mahupun orang seni. Bukan tak ada orang kerajaan yang terima, tetapi tidak usahlah kita melihat kelompok atau golongan dari kakitangan kerajaan yang menerima anugerah Dato atau Datuk ini, kerana jasa mereka kepada Agama, Bangsa dan Negara tidak perlu dipertikaikan. Dalam kadar gaji yang tidak seberapa dan tenaga yang dicurahkan kepada kerajaan memang ternyata berbaloi sangatlah kiranya diberikan pengaugerahan tersebut.

Akan tetapi yang agak keliru sedikit adalah penganugerahan Dato kepada kelompok yang berada di dalam politik dan juga seni.. Maklumlah ini merupakan dua kelompok masyarakat yang begitu sinonim dengan kehidupan saya seharian jadi amat wajarlah untuk saya memberikan sedikit pendapat dan pandangan hasil dari pergaulan dengan kelompok-kelompok ini. Kalau dulu kita semua sudah sedia maklum bahawa mereka yang telah menerima pingat atau gelaran ini merupakan antara mereka yang begitu banyak jasa dan pengorbanan dari segi masa dan wang ringgit untuk memajukan anak bangsa mereka. Perjuangan penerima anugerah ini dulu kalau diperiksa latar belakang mereka terdiri dari tokoh-tokoh yang begitu banyak menyumbangkan masa, wang dan tenaga demi memberikan manafaat kepada masyarakat serta mengharumkan nama negara. Mereka merupakan antara tokoh yang menghasilkan perbagai program serta usaha samada untuk membantu golongan yang mereka pimpin. Ternyata setiap usaha akhirnya wajar menerima penganugerahan tersebut.

Lain pula sekarang ini. Agak keliru apabila kita mendengar segolongan ahli politik yang masih mentah dalam kepimpinan masyarakat akhirnya dengan mudah mendapat penganugerahan. Manakala pula ada di kalangan selibriti seni yang dibayar berpuluh ribu untuk mengadakan persembahan oleh kerajaan mahupun koperat tetapi akhirnya tetap diberikan penganugerahan tersebut. Kalau macam Sharukh Khan lain lah sebab nampak kotranya. Kalau dulu kita terpaksa membayar berpuluh ribu untuk menjemput beliau, namun sekarang untunglah kerajaan negeri Melaka kerana hanya dengan anugerah percuma tersebut mereka telah berjaya mendatangkan bintang tersohor itu ke negeri mereka demgan percuma . Bagaimana dengan artis kita? Adakah setelah mendapat anugerah tersebut sanggupkah mereka memberikan persembahan secara percuma kepada kerajaan? Anak Cina makan pengat jadi sendirilah mahu ingat. Dalam soal ini saya agak terkilan kerana sekelompok anak seni yang begitu banyak mengharumkan nama negara ke seluruh dunia telah diketepikan untuk turut menerima anugerah ini iaitu kumpulan RAIHAN. Mereka pada saya lebih layak untuk menerima anugerah ini kerana hampir seluruh pelosok dunia telah mereka terokai hasil usaha mereka sendiri untuk mengharumkan nama negara tetapi tidak pernah diketengahkan untuk sebarang anugerah. Malahan saya difahamkan bahawa mereka merupakan artis pertama yang berjaya mengadakan persembahan di Albert Hall Of London dan dihadapan Ratu Elizebeth. Saya menyaksikan sendiri sepucuk surat penghargaan yang dihantar kepada mereka dari Istana London di atas kejayaan persembahan mereka di sana. Mengapa mereka ini terlepas pandang oleh kerajaan Malaysia? Adakah kerana mereka berimej Islam? Makan lah pengat dan sendirilah mahu ingat.

Inilah yang membuat banyak masyarakat agak keliru dengan kerateria penganugerahan pingat kepada sesetengah individu. Pada pandangan saya seharusnya pingat tersebut diberikan kepada mereka yang begitu berharga dikalangan masyarakat dengan kerja-kerja kebajikan dan sosial dan bukan kerana pangkat dan populariti semata. Walaupun pada sesetengah manusia penganugerahan itu tidak penting, namun inilah satu-satunya penghargaan daripada negara kepada mereka yang benar-benar layak dan benar-benar berkorban masa dan tenaga untuk masyarakat dan negara.

Kerajaan seharusnya meneliti semula supaya diadakan beberapa kerateria bagi memberikan anugerah kepada orang-orang politik mahupun kepada para seniman. Pilihlah dikalangan mereka yang benar-benar telah menaburkan jasa dan bakti sahaja kepada masyarakat dan negara, bukan diambil secara rambang hanya kerana mereka popular ataupun berjawatan. Ianya dapat disamakan dengan beberapa pemimpin yang dihigh lightkan di dalam akhbar terdiri dari mereka yang berjawatan dan berpangkat sahaja. Lepas tu masyarakat mula menrungut dan mencari di mana pemimpin sejati? Sedangkan kebanyakkan penulis yang bercampur gaul dengan pelbagai manusia telah pun menemui pemimpin sejati tetapi tidak mahu berusaha untuk mempromosikan mereka. Salah satu cara adalah dengan penganugerahan pingat inilah supaya mereka akan dipandang dan dikenang.

Agak lucu apabila orang sedang mencari-cari siapakah “role model” untuk kita jadikan contoh kepada generasi akan datang, sedangkan pihak kerajaan sendiri tidak tahu mencari manikam ini. Kalau anugerah ini diberikan bersesuaian dengan pengorbanan mereka tentulah pengorbanan mereka ini akan dijadikan sebagai idola sesetengah kelompok masyarakat terutamanya dikalangan generasi muda hari ini. Maka dengan itu akan terlahirlah masyarakat yang berfikiran bahawa bukan mudah untuk mendapat sesuatu anugerah kalau sekadar terseohor dan berpangkat, tetapi harus memberi beberapa pengorbanan dan menampakkan usaha kebajikan yang bersungguh ke atas masyarakat barulah layak untuk menerimanya. Sebab itulah takala orang luar kita berikan anugerah menjadi kecoh satu negara kerana kita melihat hanya kepada luaran sahaja tanpa melihat kepada pengorbanan. Orang yang bersifat seperti ini merupakan di kalangan mereka yang merasakan betapa mudahnya untuk mendapat gelaran ini maka mengapa ianya harus diberikan kepada orang luar, sedangkan banyak orang dalam negara yang masih belum merasanya. Kalau itulah pandangan mereka mempertikaikan anugerah tersebut hanya pada orang luar maka mereka sendirilah yang cuba untuk tidak melihat peranan sesetengah individu di dalam negara sendiri.

Agak menghairankan apabila kita tidak langsung mahu mempertikaikan mengapa si polan dan si polan dalam negara kita layak menerima anugerah ini sedangkan kita lebih selesa mempertikaikan orang luar. Inilah yang dikatakan tak mahu cermin diri sendiri. Cuba kalau masyarakat kita mula menilai orang kita sendiri atas kerateria apakah mereka layak mendapat gelaran ini, sudah tentulah kita tidak akan berhadapan dengan lebih banyak manusia yang sanggup menipu, merapu dan mengampu sahaja sebagai usaha untuk mendapat gelaran. Sudah tentulah gelaran ini akan diberikan kepada mereka yang lebih layak dan sudah tentulah kita akan menemui lebih banyak manusia yang boleh dijadikan “role model” untuk generasi akan datang. Apa yang lebih utama sudah tentu juga gelaran ini tidak hanya jatuh kepada hartawan dan jutawan sebaliknya akan jatuh kepada para dermawan yang senantiasa konsisten dalam memberi sumbangan mereka bukan sebelum mendapat gelaran sahaja tetapi juga sesudah.

Pelbagai cara kerajaan dapat mencari para dermawan masa dan tenaga bukan sahaja wang ringgit di dalam masyarakat kita untuk diberikan penganugerahan ini. Salah satunya adalah dengan berhubung terus kepejabat pendaftaran pertubuhan dari situ kita akan mudah mencari mereka-mereka yang banyak jasa dan berkorban mewujudkan satu organisasi untuk membantu masyarakat. Janganlah kita hanya melihat manusia yang hanya dermawan di dalam wang ringgit sahaja. Tetapi bagi mereka yang tidak berpunya namun masih menghulurkan masa dan tenaga untuk bermesyuarah dan berdikusi serta berusaha untuk membantu segolongan masyarakat juga harus diperhatikan. Inilah baru dikatakan adil.

Apa yang sudah tu sudahlah jangan terlalu dipertikaikan tentang jasa orang luar kepada negera kita tetapi mulalah kita bertanya kepada diri kita apakah layak selama ini penerima anugerah gelaran Dato ini layak diberikan kepada sesetengah individu? Apa yang lebih memalukan lagi apabila kita mendengar beberapa rungutan para peniaga” aku baru sahaja kena tipu dengan seorang Dato”. Atau kita melihat kes-kes dimahkamah yang tak kurang juga melibatkan nama-nama Dato’. Dalam dunia seni nikah cerai dengan Dato jangan lagi nak cerita sudah menjadi halua telinga dah tak menghairankan. Jadi apalah kita nak perbetulkan atau persoalkan kelayakan orang luar tanya balik orang kita sendiri dan betulkan dulu kelayakan orang kita sebelum kita pertikaikan kelayakan orang luar barulah kita dikatakan masyarakat Malaysia yang adil dan sihat mindanya serta baik budi dan bersih hatinya. Janganlah kita nak tutup bangkai, akhirnya berbau juga.

Apa kata kita jadikan iktibar tentang apa yang berlaku hari ini untuk kita jadikan asbab mengkaji semula latar belakang pengorbanan dan jasa kepada Agama, Bangsa dan Negara kepada yang telah, sedang dan akan menerima anugerah ini., demi untuk memajukan jiwa dan minda rakyat Malaysia dalam melahirkan kembali tokoh dan negarwan yang benar-benar berjasa. Barulah mudah kita membentuk minda dan jiwa genarasi akan datang serta menunjukkan contoh dan tauladan bahawa gelaran Dato yang bersepah sekarang bukan mudah untuk kita perolehi di masa akan datang. Barulah perkataan seperti Dato’ beli, Dato penipu dan Dato popular tidak akan wujud lagi.

Anugerah tersebut pada pandangan saya adalah satu anugerah yang mulia dan harus diberikan kepada mereka yang mulia juga terutamanya dari segi akhlak dan teladan. Setiap mereka yang membawa bintang kebesaran ini sama dengan membawa amanah menjaga nama baik Agama, Bangsa dan Negara dan bukan sekadar tersemat di dada dan di dinding tanpa sebarang makna. Jangan sampai suatu hari nanti kita tersepak kaki siapa pun ada pingat dan anugerah ini. Lama-kelamaan langsung tidak akan memberi makna kepada kita. Jangan sampai pingat kebesaran akhirnya menjadi pingat kemahsyuran semata seperti kata salah seorang tokoh Islam BISYIR :

“Tiada seorang laki-laki pun yang aku kenal yang menyukai kemahsyuran dan ia akan kehilangan agamanya dan terbuka kekurangannya.”

“Kemanisan akhirat tidak akan diperolehi oleh orang yang suka dikenal oleh manusia.”

Sebagai iktibar kepada penulisan ini, ternyata kita janganlah sampai menginginkan pengaugerahan tersebut sekiranya kita tidak mampu membawanya kebesarannya. Kebesaran seseorang manusia serta kemuliaan yang sejati sebenarnya bukanlah dari anugerah yang dibawanya tetapi adalah dari segi akhlak dan moral penerima anugerah tersebut. Tidak lagi akan diperkatakan tentang anugerah seseorang itu sekiranya moral dan akhlak mereka tercemar mahupun jasa dan bakti mereka tidak diperkatakan. Seperti kudung mendapat cincin akhirnya. Cincin yang indah namun tiada jari untuk disarungkan. Muhasabahlah!!

No comments:

Post a Comment