ASSALAMUALAIKUM

Friday, October 8, 2010

PENYAIR ZAMAN JAHILIAH VS PEMFITNAH ZAMAN CYBER

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat Dan Salam Buat Junjungan Nabi Muhamad S.A.W


Sebagai umat Islam khususnya kita semua tidak boleh melupakan sejarah yang telah termaktub dan tertulis dengan banyaknya di dalam Al Quran. Di mana lagi kita hendak mencari iktibar kalau bukan di dalam Al Quran. Kita jangan sekadar tahu membaca tetapi tidak mahu mengambil sebarang iktibar di dalamnya. Di ceritakan sedikit sebanyak kepada kita bagaimana Allah begitu melaknati para penyair zaman Jahiliah. Rasulullah s.a.w pernah menceritakan kepada kita bagaimana semua tahanan yang ditangkap semasa peperangan akan dilepaskan dari hukuman kecuali para penyair di zaman Jahiliah sahaja yang akan dihukum. Mengapa sampai keadaan ini berlaku? Tak lain dan tak bukan mereka adalah antara kumpulan yang dapat melaga dan membuat dua buah negara bukan sahaja dua orang manusia bertelagah dan berperang hanya dengan bersyair di pasar-pasar. Syair mereka dipenuhi dengan fitnah. Antara syair yang pernah dilemparkan kepada Nabi Junjungan kita adalah supaya semua masyarakat quraishy keluar dan menentang Nabi Muhamad kerana Baginda di katakan akan menakluki bangsa tersebut. Penyair merupakan kelompok yang begitu besar peranannya dalam menabur fitnah. Di dalam bahasa yang berbunga dan mengasyikkan ketika mendengarnya akan mereka sisipkan pelbagai fitnah dan tohmahan kepada mana-mana individu yang akan mereka jadikan mangsa.

Sudah menjadi satu lumrah manusia yang suka akan hiburan, maka tidak hairanlah sekiranya kita akan berpusus-pusu ke mana-mana tempat yang mempunyai hiburan, kerna hiburan sahaja yang dapat menjadi “crowd puller” kepada masyarakat. Apabila ramai yang telah berkumpul maka itulah masanya segala perkara negatif akan disisipkan. Di zaman Jahiliah bolehlah dikatakan mendengar syair adalah sebagai satu hiburan dan hanya satu cara sahaja di zaman tersebut untuk mereka mengumpulkan orang. Ianya sama sahaja seperti kita mendengar lagu. Bila selalu di dengar lama kelamaan kita akan menghafalnya dan setelah menghafalnya kita akan mula menyanyi di mana-mana dan tak mustahil akan menjadi seperti rekod buruk yang menyanyi untuk di dengari oleh orang lain juga. Merekalah pemfitnah, pemutar belit fakta semata-mata untuk mendapat upah yang tidak setimpal dengan akibat yang mereka lakukan.

Apa bezanya di zaman cyber dengan zaman jahiliah. Tujuannya sama Cuma caranya sahaja berbeza. Kalau dahulu mereka akan menyanyi di pasar-pasar, sekarang penyair zaman Jahiliah ini akan berborak di kedai kopi atau di mana sahaja tempat yang mereka boleh mengumpulkan kawan-kawan. Medium juga berbeza tapi unsur seni masih diterapkan melalui cyber, seperti “youtube”. Bila buka sahaja internet kita dapat melihat satu-satu fitnah itu di ulang dan diulang beberapa kali di dalam bentuk muzik video di “youtube’. Semua pemimpin mahupun individu akan di aibkan di sana. Jadi sekali lagi saya bertanya apa bezanya zaman Jahiliah dan sekarang? Anak Cina makan pengat jadi sendiri mahu ingat.

Tak hairan kalau saya katakan bahawa kita sekarang sebenarnya secara sifat dan akhlak tidak berkembang selari dengan bentuk fizikal yang kita lihat sekarang ini. bangunan makin tinggi mentality makin menurun seperti zaman Jahiliah. Kerana merasa diri terlalu kreatif dan cerdik, maka ciptaan-ciptaan baru tidak terhasil sebaliknya cerita lama dalam medium cyber pula menjadi semakin berkembang dan kreatif. Pelbagai bentuk kreativiti telah diusahakan di dalam dunia siber untuk mencantikkan dan mensensasikan fitnah. Manusia sudah kehilangan jatidiri, manusia sudah kehilangan maruah diri dan manusia juga telah kehilangan kekuatan diri dalam menentang kebatilan. Raulullah s.a.w pada zaman Baginda mempunyai begitu kuat jatidiri dan tauhidnya kepada Allah sehinggakan segala fitnah yang dilemparkan kepada Baginda disambut hanya dengan berdiam diri dan berdoa. Inlah satu-satunya senjata yang mulai dilupai oleh umat kita sekarang. Sepuluh orang tuduh dua puluh kita menentang. Akhirnya perkara yang asalnya menjadi fitnah mulai menunjukkan kebenarannya. Manusia telah lupa kepada “2D” yang di ajar oleh Rasulullah iaitu “ Diam dan Doa”.

Hanya inilah satu-satu cara yang terbaik dalam menentang fitnah. Ini lain pula halnya. Apabila kita di tuduh kita keluar pula buat statemen menuduh orang lain. Tak cukup dengan tuduhan kita upah pula orang menambah fitnah untuk mencantikkan jalan cerita. Semuanya seperti telah tidak mempunyai Allah dan Agama. Semua merasakan bahawa yang paling berkuasa di dunia ini hanya mata polis dan Hakim. Selagi tersorok dari mata polis dan hakim tidak ada lagi mata lain yang melihat segala perancangan mahupun konspirasi fitnah antara satu dengan lain. Manusia semakin lupakan Al Quran, yakni hikmah, iktibar dan kebenaran yang tertulis di dalamnya. Manusia hanya ingin melarikan diri dari pengetahuan pemimpin, polis dan hakim tanpa menyedari bahawa mata Allah dan malaikat berada di mana-mana untuk menghisab. Kalau nasib baik akan terhisab setelah mati tetapi kalau nasib kurang baik maka di dunia ini lagi Allah akan hisabkan dengan membongkar segala kebatilan dan menggantikannnya dengan kebenaran.

Inilah kunci akhir yang akan dilakukan oleh penjenayah fitnah bagi menutup kesalahan dan aibnya sendiri dengan membuat satu aib yang lebih besar ke atas orang yang mengaibkannya. Inilah satu tektik baru yang akan diguna pakai oleh pemimpin sekarang dan akan datang sekiranya mereka terlibat dengan jenayah maka mereka pasti akan masuk menggunakan jenayah fitnah. Kerna ia amat berkesan untuk melarikan pandangan orang ramai ke atas isu atau kebenaran yang hakiki.

Orang yang difitnah akan lebih gemar berkata-kata dari mendengar. Kerana itulah masyarakat semakin keliru untuk membezakan antara fitnah dan nyata. Telah dinyatakan bahawa senjata “2D” yang dibekalkan oleh Junjungan kita amat berkesan namun masih tidak mahu digunakan. Kalau fitnah sudah menjadi satu kes maka doa dan diam dan berbicaralah di dalam mahkamah. Tak guna untuk bercakap di sana- dan di sini selagi tidak mempunyai sebarang bukti. Janganlah menggandakan dosa fitnah sehingga menjadi satu demi satu rantaian yang akhirnya akan melibatkan mereka yang tidak berdosa. Kata YAZID BIN ABI HABIB:

“Diantara fitnah orang yang berilmu ialah berkata-kata lebih disukai dari mendengar. Pada hal mendengar itu lebih selamat daripada berkata-kata, kerana dalam berkata-kata orang cenderung untuk menghiasi, menambah dan mengurangi.”

Itulah yang dikatakan manusia berkembang tidak selari antara kemajuan fizikal dengan kemajuan mental. Semakin maju dan moden semakin akhlak menjurus kepada akhlak Jahiliah yang wujud lebih dari 1400 tahun yang lalu. Ingat dan jangan lupa mata-mata Allah. Larilah sejauh mana pun kita tetap tidak akan terlepas dari dilihat Allah. Jangan hanya belajar lari dari pandangan polis, pemimpin dan hakim. Cubalah untuk lari dari pandangan yang Maha Esa sebelum merancangkan sesuatu fitnah yang boleh merosakkan seluruh kehidupan seseorang manusia. Renungkanlah!!

No comments:

Post a Comment