ASSALAMUALAIKUM

Wednesday, October 6, 2010

HANTU RAYA POLITIK VS PELESIT POLITIK

Dengan nama Allah Yanga Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Selama 7 tahun belajar sehingga memperolehi Master degree mungkin ramai yang tidak tahu apakah kajian yang telah saya buat dalam menghasilkan sebuah thesis master degree. Kalau nak tahu sebahagian kajian yang terdapat di dalam thesis saya mengandungi kajian tentang jenis-jenis hantu yang terdapat di Malaysia yang turut terlibat di dalam teater ritual dan alam spiritual. Ini bermakna kira boleh dikatakan pakar juga dalam kajian hantu ni Cuma tidak pernah bergabung dengan uncle seekers lagi. Mungkin dalam kajian tersebut yang memakan masa begitu lama akhirnya dalam hipothesis saya mendapati bahawa tidak wujud sebenarnya alam hantu yang ada cuma alam jin dan syaitan sebab tu tak boleh joint uncle seekers. Wujudnya alam hantu ini hanya kerana manusia gagal untuk mengenali alam spiritual jin dan syaitan ini sehinggakan mereka mengadakan satu imaginasi di dalam minda mereka sehingga jin-jin ini pun terbentuklah menjadi hantu. Tapi syukur Alhamdulillah di dalam kajian Phd tidak lagi saya melibatkan diri di dalam alam spiritual jin dan syaitan sebaliknya masuk ke dalam ilmu spiritualiti yang dikehendaki Allah. Kalau nak dilanjutkan boleh jumpa saya personaly untuk masuk Training ESQ165.

Di atas itu cuma satu pengenalan untuk menunjukkan bahawa kelayakan saya mengupas tentang sifat hantu yang bernama pelesit dan hantu raya yang tidak kurang juga sifatnya itu boleh disamakan dengan sesetengah golongan ahli politik samada di dalam kerajaan mahupun pembangkang. Sebelum kita melanjutkan tentang perangai sesetengah ahli politik ini maka adalah lebih baik kita mengenali bagaimana rupanya sifat hantu yang bergelar hantu raya dan pelesit ini. Kita mula dengan sifat hantu raya. Dalam kajian saya kalau orang lain tak tahulah, hantu raya ini sifatnya cukup setia. Bila diberi makan oleh tuan yang membelanya pasti dia akan setia dan tunggu tuannya sampai mati. Bila mati tuannya pun dia masih setia dengan masuk ke dalam tubuh tuannya dan merupakan tuannya sampai tubuh badan tuan yang ditumpanginya itu busuk, maka barulah orang tahu dia telah mati. Kemudian hantu raya ini akan mula mencari tuan yang baru dan begitulah selanjutnya dari satu tuan ke satu tuan janji dibela dan dikasi makan.

Manakala pelesit ni pula, sifatnya hanya mengganggu dan menjahanamkan orang. Dia tidak kira pemangsa dia hanya suka hisap darah di hujung kaki siapa saja yang dia dapat. Dari satu orang ke satu orang dia akan masuk ke dalam tubuh dan membuat orang lupa diri. Kira pelesit ni macam “free lance” lah tak kira tubuh siapa dia boleh ganggu dia ganggu. Kesukaannya mengilai sana-sini. Bagi orang tension dan takut.

Kalau ditanya saya dari mana kewujudan mereka maka seperti yang telah dinyatakan di atas mereka-mereka ini semua tidak pernah wujud hanya jin dan syaitan sahaja yang memasukkan mereka ke dalam minda manusia dan membuat rupa dan bentuk mereka itu diwujudkan. Sebab tulah tak pernah kita dengar orang nampak hantu dalam kenduri ramai-ramai. Kalau sorang-sorang maka sahlah orang itu berjaya menonton watak yang diwujudkan oleh jin dan syaitan di alam nyata.

Setelah diperkenalkan sifat ke dua-dua species di atas maka saya harap sidang pembaca dapat menggambarkan apakah ada sinonimnya dengan beberapa ahli politik kita?? Anak Cina Makan pengat sendirilah mahu ingat!!!

Inilah kerja sesetengah orang politik sekarang yang membawa kepada kehancuran Agama, Bangsa dan Negara. Kalau orang politik jenis hantu raya kita lihat inilah kerja mereka cukup setia dengan pemimpin mereka seperti tuan hantu raya selagi di sogokkan dengan wang ringgit, pangkat dan jawatan mereka akan tunggu dan setia dengan tuannya. Tapi kalau tuannya itu mati di dalam gelanggang politik semuanya lari tak bertangga. Jangan harap nak setia dengan pemimpinnya. Itulah sifat seseorang ahli politik yang macam hantu raya. Kalau tak cukup makan dia akan merupa seperti tuannya cari makan. Maksudnya menggantungkan nama tuannya dibibir atau pemimpin yang disokongnya untuk menipu orang lain mendapatkan projek. Seperti contoh dialog yang biasa di guna pakaikan oleh ahli politik hantu raya ialah “saya sebenarnya bekerja untuk menteri si polan dan si polan, jadi kalau kamu mahu projek aku boleh minta demean syarat bagi sikit up front money….duit pendahuluanlah nak loby projek lah”. Jadi menteri tersebut yang terlepas pandang dan lupa bagi makan, mulalah si ahli politik hantu raya ini membuat onar mengganggu seluruh keluarga tuannya. Selagi dijamu kira orait….macamlah semua projek tuannya itu untuk diisi oleh tembolok dia sorang. Mana rakyat tak marah dan tak bengkak. Dalam istilah molek bagi hantu raya ini ialah kronilah siapa lagi. Tapi bukan semua kroni tu boleh jadi hantu raya ada yang makan tak cukup-cukup tu sajalah yang layak dipanggil ahli politik hantu raya.

Manakala ahli politik pelesit ni memang banyak. Kerjanya hanya menghasut. Tak ada pangkat tak ada jawatan hasut saja kerjanya. Gempak orang sana-sini menakutkan orang macam hari dah nak kiamat. Apa-apa kepincangan di dalam politik ahli politik macam pelesit ni lah akan merayau ke sana sini untuk menyebarkan fitnah. Bila di tanya untuk apa dia berbuat demikian, sekadar yang boleh dijawab adalah semata-mata untuk memporak perandakan parti dan nak bagi story buat penulis. Ditanya lagi orang ini mahunya apa dan apakah menafaatnya berbuat demikian. Jawapannya mudah sekali untuk menaguk di air yang keruh. Tapi orang yang begini selalunya tidak berjawatan sekadar suka mencari keuntungan ketika kekecohan berlaku di dalam politik. Bila mengilai dan ketawa tulah contoh di mata bila ada ahli politik lain termakan hasutan mereka maka mereka akan ketawa macam seekor pelesit bila dah keluar dari badan manusia.

Sebagai pemerhati politik selama ini, saya amat bermohon supaya setiap pemimpin politik untuk lebih menjadi seorang pemerhati yang baik. Setiap manusia itu dibekalkan oleh Allah dengan sifat dan sikapnya masing-masing. Oleh itu sebelun mereka-mereka ini dilantik sebagai orang kepercayaan maka kenalilah sifat mereka adakah mereka di antara sifat hantu raya ataupun pelesit. Kalau ada salah satu dari sifat sedemikian maka elakkanlah diri anda sebelum satu lagi tsunami politik melanda. Kewujudan tsunami politik yang berlaku baru-baru ini setelah dikaji, dilihat dan diteliti ternyata kesalahannya banyak berlaku kepada orang-orang kepercayaan pemimpin tertentu. Pemimpin terlalu memberikan kepercayaan kepada pembantu mereka sehinggakan dari kepercayaan mereka-mereka ini telah mewujudkan satu kekebalan dan akhirnya membina tembok-tembok sebagai sebuah dinding pemisah antara pemimpin dan rakyat. Akhirnya rakyat mula memberontak yang paling kasihan bila pemimpin yang tak tahu apa-apa dipersalahkan. Akhirnya orang-orang harapan pemimpin yang macam hantu raya dan pelesit ini menghilangkan diri macam sifat hantu tu juga, tak dapat dikesan. Semua orang mula menuding jari dengan semua pemimpin yang paling atas lagilah nampak dan langsung dipersalahkan yang macam hantu tadi lesap siapa pun tak nampak, melainkan hanya bomoh-bomoh politik sahaja yang nampak hantu-hantu politik ini.

Nasihat saya jangan terlalu memandang yang tersurat sahaja. Marilah kita sidang pembaca mahupun penulis menuntut ilmu menjadi bomoh politik supaya boleh mendapat penglihatan batin bagi mencari siapakah dalang, petualang dan hantu raya dan pelesit yang sebenar-benarnya membawa kepada tsunami politik ini. Jangan kita jadi macam bayi yang menangis mahukan susu bila ibunya nak pujuk dialihkan pandangan bayi itu untuk melihat benda lain akhirnya susu tak dapat benda lain yang bayi itu asyikkan. Buka mata masing-masing seluas-luasnya dan kemudian buka pula mulut supaya ahli politik yang seperti hantu raya dan pelesit ini dapat dikesan dan ceritakan kepada pemimpin siapa mereka. Saya hanya seperti seorang bomoh. Tak ada bomoh cari pesakit tapi pesakit yang datang cari bomoh. Kalau pemimpin atasan nak tahu jenis hantu maka kenalah datang cari bomoh bukan sebaliknya. Apa yang penting saya bukan bomoh temberang atau bomoh ibu duit.

Kalau dalam alam Melayu kita katakan mereka ini sebagai hantu tetapi di dalam dunia Islam mereka-mereka ini sebenarnya orang-orang yang dikatagorikan orang Jahiliah. Maksud jahiliah ialah jahil tentang kebesaran Ilahi sehingga berani duduk di dunia ini berbuat sesuka hati, tak sedar diri yang kita hanya menunggu hari nak mati. Dengarlah nasihat Saidina Umar Al Khattab R.A :

“Sesungguhnya Islam itu dapat diruntuhkan keping demi keping oleh mereka yang lahir di dalam Islam, jika ia tidak mengetahui apa itu jahiliah.

Yang paling aku takutkan ke atas umat ini ialah orang munafik yang berilmu.”
Ilmu dan cinta dunia
“Apabila engkau lihat seseorang yang berilmu mencintai dunia, maka curigailah dia mengenai agamanya. Kerana setiap orang yang mencintai sesuatu akan menyibukkan diri dengan apa yang dicintainya,”

“janganlah kiranya kamu menjadi ulamak yang berwatak kasar. Agar tidaklah ilmu itu tegak dengan sebuah kejahilanmu.”

“Sesungguhnya wudhu yang baik, mengusir syaitan dari dirimu. Jangan engkau mempercayai selain dari orang yang takutkan Allah. S.W.T dan bermusyuwarahlah tentang urusan mu dengan mereka yang takut kepada Allah Ta’aala.”

“Aku tidak mempedulikan sama ada keadaanku susah atau senang kerana aku tidak tahu manakah di antara ke duanya itu lebih baik bagiku”

“ Janganlah kecintaanmu dan kebencianmu berlebih-lebihan sehingga sampai merosakkan.”

“Kebajikan yang ringan ialah menunjukkan muka berseri-seri dan mengucapkan kata-kata lemah-lembut.”

Itulah nasihat dari Saidina Umar. Setiap insan yang diciptakan Allah bukan untuk lain tetapi untuk mengambil iktibar dari perwatakan mereka. Sekiranya kita merasa berat untuk mengikut sifat Nabi Muhamad S.A.W, maka ambillah sifat-sifat sahabatnya yang terdekat. Kalau itu juga sukar untuk kita lakukan maka ikutilah sifat 70 orang lagi sahabat Nabi yang terkubur di medan perang. Asalkan kita tidak mengambil sifat Hantu raya dan pelesit yang dijelmakan jin dan syaitan. Kajilah Al Quran dan sunnah bukan sekadar mengetahui ilmunya tetapi watak-watak pejuang dan sahabat juga Nabi sendiri untuk kita ikuti. Bukan hanya kalam Allah yang perlu dibaca tetapi juga setiap watak dan insan umi yang Allah ciptakan. Kemudian bersiaplah kita untuk menghadapi dunia. Rugi kalau kita hanya mahu menumpukan peperangan sesama kita sedangkan manusia yang sebangsa dan seagama kita di luar sana beribu-ribu mati diletupkan hampir setiap hari oleh musuh kita yang sebenar iaitu kaum yahudi, musuh azali. Iqraq!!!

No comments:

Post a Comment