ASSALAMUALAIKUM

Sunday, October 17, 2010

PENJAJAH NEGARA VS PENJAJAH MINDA

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan Salam Buat Junjungan kiat Nabi Muhamad s.a.w

Di dalam penulisan saya kali ini adalah untuk memandang istilah kemerdekaan ini dari sudut yang berbeza. Kita telah tahu bahawa apabila sahaja kita menyebut tentang kemerdekaan maka akan terbayang di kota fikiran kita bagaimana pejuang-pejuang Negara begitu hebat mempertahankan tanah air kita dengan hanya menggunakan tenaga. Kita juga mungkin akan terimbau kembali saat-saat kita dijajah dahulu. Bagaimana kita terpaksa akur baik dari segi mental dan fizikal kepada penjajah kita. Bagi saya tidaklah begitu susah apabila kita dapat melihat musuh-musuh kita secara terang-terangan, berhadapan dengan kita.

Sekarang bagaimana? Apakah kita tidak lagi dijajah? Siapa sebenarnya musuh kita dan bagaimana hendak kita merdekakan diri kita? Persoalan ini timbul apabila saya mengimbaukan kembali sebuah filem yang saya tonton di panggung suatu ketika dahulu iaitu “The Last Samurai”. Sebagai orang teater/lakonan, saya telah diajar untuk berfikiran kritis ketika menonton sesebuah drama pentas mahupun filem. Sinopsis dan intipati yang dapat saya serapkan dari filem tersebut pada pandangan saya adalah mengenai peperangan yang berlaku sesama rakyat Jepun, yang hanya dicetuskan oleh seorang ahli perniagaan yang berurusan dengan pemimpin atasan mereka. Pada pemimpin tersebut pembelian senjata adalah untuk membawa permodenan kepada Negara mereka dan berjaya mempengaruhi Raja . Walaupun apa yang diusul oleh pemimpin atasan itu sebenarnya bukanlah bertujuan untuk membawa permodenan Negara tetapi adalah kerana urusan pembelian senjata api tersebut bakal membawa keuntungan besar kepada dirinya hasil dari perundingan dengan Negara pembekal. Hasil dari sikap tamakkan kekayaan, beliau sanggup mempengaruhi Raja sehingga berlaku pertumpahan darah dengan sesama mereka, serta menentang adat tradisi yang telah didukung hampir beratus tahun oleh rakyat tempatan. Akhirnya rakyat yang tidak mengerti apa-apa tentang urusan perniagaan menjadi korban. Tujuan yang terkorban hanyalah untuk menegakkan prinsip serta adat serta perjuangan “samurai”. Apabila kesilapan telah dilakukan nyawa tidak dapat dikembalikan walau adat tetap dipertahankan.

Mengapa saya bercerita tentang sinopsis tersebut dan apakah yang kena mengenanya dengan erti penjajahan yang hendak saya bicarakan. Selama 49 tahun kita mengecapi kemerdekaan Negara. Kepimpinan kita, undang-undang kita dan kebebasan menerajui Negara kita cara kita sendiri. Apakah kita telah berpuas hati sekadar Negara sahaja yang merdeka dan bebas dari penjajah? Apa yang saya khuatiri adalah penjajahan kita bukan lagi dilihat dari Negara tetapi penjajahan kita di masa kini dan akan datang adalah penjajahan minda. Lihat dan baca semula rentetan sinopsis dari filem samurai tersebut. Mengapa pertumpahan darah berlaku sedangkan Negara luar tidak berperang dengan rakyat Negara Jepun. Negara Barat tidak datang sebagai tentera. Tetapi mereka hanya menghantar beberapa sahaja panglima tentera mereka untuk menjajah minda rakyat Jepun. Mereka juga datang ke Negara tersebut sebagai pedagang dan bukan penjajah.

Apabila anda sidang pembaca membaca atau menonton filem tersebut tidakkah anda terbayang bahawa kita sekarang berkemungkinan berhadapan dengan penjajahan yang sama. Minda rakyat kita sudah dipengaruhi dengan minda koperat yang sibuk mengumpul harta peribadi. Malahan ada juga sesetengah pemimpin kita yang berjiwa koperat. Inilah erti sebenar penjajahan minda di dalam era globalisasi sekarang. Apa yang kita takuti adalah rakyat kita tidak mahu membebaskan minda tamak haloba di dalam bidang koperat mereka demi untuk kepentingan Agama, bangsa dan Negara.

Di dalam saya mengharungi dunia politik dan perniagaan pelbagai manusia telah saya temui dan pelbagai cerita telah disampaikan kepada saya tentang bagaimana orang asing yang masuk ke Negara kita dengan menawarkan kepada kita menjadi rakan niaga dan juga menawarkan saham yang besar kepada mana-mana pemimpin yang meluluskan projek-projek tertentu kepada mereka. Apa yang merisaukan saya adalah apabila minda rakyat kita mulai dijajah oleh material dan wang ringgit sehingga kita menggadaikan maruah bangsa semata-mata untuk mengaup keuntungan peribadi. Saham-saham syarikat, projek-projek berkepentingan Negara juga turut dilelong semata-mata untuk mengaup keuntungan peribadi. Inilah minda material yang patut kita merdekakan.

Semua ahli perniagaan mahu keuntungan, malahan ada sesetengah pemimpin juga mahukan kesenangan tetapi kita harus ingat bahawa di dalam kesibukan kita untuk menaikan ekonomi Negara maka kita terlupa bahawa di dalam masa yang sama kita telah memasukkan musuh-musuh Negara di dalam kubu-kubu ekonomi kita. Negara luar lebih-lebih lagi Negara Barat tidak akan tenang melihat kebangkitan Negara Asean khususnya. Pelbagai cara akan mereka gunakan untuk kembali menjajah Negara kita. Semua rakyat Malaysia harus sedar bahawa kejatuhan sesebuah Negara adalah berpunca dari ketidak stabilan ekonomi negaranya. Sekiranya kita tidak membebaskan minda kita untuk mengumpul harta material secara membabi buta, maka Negara kita masih terancam hanya kerana minda kita tidak dimerdekakan dari tawaran-tawaran perniagaan oleh orang luar.

Peristiwa seperti di dalam filem tersebut akan menjadi kenyataan apabila anasir luar akan berusaha untuk melagakan kita sesama sendiri, hanya kerana ingin mengaut keuntungan tanpa batasan dan sempadan. Kepentingan Melayu khususnya sanggup digadai. Perniagaan yang berkepentingan Negara juga sudah mula dilelong. Bangsa asing dimegahkan, kononnya ilmu dan kepakaran mereka begitu tinggi.

Selagi kita rakyat Malaysia tidak mempelajari atau menguasai kepandaian orang asing di dalam bidang ekonomi selagi itulah kita akan bergantung kepada kepakaran mereka. Pintu kita kadang-kadang dibuka dan peluang perniagaan juga terbuka luas hanya kerana mereka mempunyai sumber keewangan. Kita harus ingat bahawa walau berjuta wang yang dibawa masuk dari Negara luar tidak akan ke mana kalau kita rakyat Malaysia tidak memberi peluang perniagaan itu kepada mereka. Ini Negara kita dan kita juga harus menetapkan syarat kita serta kepentingan rakyat kita sebelum sebarang urusniaga dibenarkan di Negara ini.

Pokok pangkalnya adalah terletak kepada pemimpin kita sebagai pemegang kunci kepada Negara kita. Sekiranya mereka sanggup berada di dalam syarikat luar yang menawarkan keuntungan peribadi kepada mereka dengan menggadaikan kepentingan syarikat Negara, maka tidak hairan akan berlakulah seperti kata pepatah orang tua-tua “menang sorak kampong tergadai”. Kita akan megah melihat pembangunan di Negara kita, tanpa kita sedari bahawa akhirnya saham-saham syarikat berkepentingan Negara dikuasai oleh orang asing, hanya kerana satu minda yang dijajah dan masih belum merdeka.

Ingat bahawa penjajahan di zaman siber ini bukanlah menggunakan tenaga seperti dahulu lagi. Tetapi apa yang lebih kita takuti adalah penjajahan anasir luar dengan menyamarkan diri sebagai pedagang menjajah minda kita untuk berfikiran seperti mereka. Kita perhati sahaja Negara yang telah membangun, bagaimana rakyat mereka dihimpit oleh gejala-gejala sosial, hanya kerana sesetengah pemimpin mereka sibuk meningkatkan ekonomi peribadi sehingga terlupa untuk meningkatkan pembangunan sasiah dan insaniah. Sikap mementingkan diri sendiri kian menjadi-jadi. Pengagihan ekonomi yang tidak adil juga menular. Timbullah beberapa kelompok yang ditindas dari segi ekonominya. Orang kaya semakin kaya dan miskin semakin melarat. Anak cina makan pengat…..

Sekiranyanya kita ingin benar-benar merdeka, maka jagalah minda. Jangan cepat terpengaruh dengan dunia material yang ditawarkan oleh orang asing. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menyelamatkan Negara kita dari para penjajah minda dari luar. Salah satu cara adalah dengan mendalami ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Negara luar. Menggunakan ilmu pengetahuan tersebut berlandaskan apa yang dibenarkan oleh agama kita. Ilmu pengetahuan dari orang asing itulah modal sebenarnya untuk kita meningkatkan ekonomi kita. Tidak hanya melihat wang dan material sahaja yang mereka boleh tawarkan tetapi ilmu pengetahuan mereka. Itu sahaja yang dapat membendung kita dari terus menerus bergantung kepada kepakaran dan kebendaan mereka. Kita boleh mengambil mereka sebagai penasihat dan bukan pemilik kepada apa sahaja kepentingan ekonomi Negara. Tidak ada istilah “sleeping partner” di dalam mana-mana syarikat yang melibatkan orang asing, sekiranya kita tidak mahu dijajah. Sekiranya rakaniaga kita yang berbangsa asing aktif kita juga harus seaktif mereka. Dalam erti kata lain”no free lunch”. “There is no shortcut in business”. Samada kita bekerja dan memahirkan diri kita atau kita boleh memperolehi segalanya dengan cara mudah namun gagal mempertahankan apa yang kita miliki dikemudian hari “easy come, easy go”.

Tidak dinafikan bahawa tidak ramai dari kalangan bangsa kita yang betul-betul mahir di dalam dunia perniagaan. Kalau setakat nak jadi “sleeping partner” makan elaun bulan-bulan ramai. Apabila terdengar sahaja kita ditawar untuk menjadi pengarah syarikat antarabangsa, orang kita mula ghairah. Apa yang penting “asyok”bulan-bulan. Sedar-sedar diri terjajah. “I give my country, you give my money” . Masa tu jadilah kita “The last Hang Tuah”.

Ingat! Berniaga, berniaga juga! Kepentingan Negara harus diingat dan dijaga. Kalau Negara tidak dapat dijajah jangan pula minda mudah dijajah. Jawapannya sama dengan….anak cina makan pengat sendiri mau ingat. Kalau baju kebangsaan Malaysia minda kebangsaan Negara lain tak guna juga. Apa nak dimegahkan kalau kita berniaga untuk kepentingan ekonomi Negara lain. Akhirnya duit orang angkut balik Negara mereka kita tinggal syarikat yang international konon, syok sendiri la jawabnya.
Setiap apa yang kita lakukan seharusnya kita mengingati orang lain. Ambillah cerita “The Last Samurai” sebagai ikhtibar untuk mengingatkan kita bahawa, apabila minda telah dijajah oleh material, jangan ingat tidak akan berlakunya peperangan. Penjajahan ekonomi dewasa ini adalah peperangan yang bakal melanda Negara dan minda kita. Jangan biarkan minda kita dijajah oleh material dari Negara luar sehingga kita terlupa untuk membela nasib sesetengah rakyat kita yang masih dibelenggu dengan kedaifan dan kemiskinan.

Saidina ‘Ali Bin Abi Thalib ( Karramallahu Wajhah )
Pesanan Saidina ‘Ali ( K W) Kepada Al Malik Ashtar ( Gabenor Mesir )

“……….Perniagaan dan perusahaan adalah sumber keuntungan kepada Negara, tetapi ingatilah bahawa ada dikalangan mereka yang tamak dan mudah mengkhianati urusan perniagaan.

Awasilah! Takutilah Allah dalam menyelesaikan masalah golongan miskin. Mereka tidak ada tempat berlindung, lemah, tidak mempunyai apa-apa kekuasaan dan senantiasa menjadi magsa kepada keadaan dan kejadian sekeliling. Dikalangan mereka ramai yang tidak pernah menyoalkan nasib hidup mereka dan rela dengan kesengsaraan yang mereka alami, namun mereka meminta sedekah mereka enggan sama sekali. Demi Allah, tunaikanlah hak-hak mereka kerana di atas bahumulah terletaknya tanggungjawab untuk melindungi mereka. Peruntukkanlah sebahagian besar dari harta kerajaan (baitulmal) untuk meninggikan taraf hidup mereka, walau di mana sahaja mereka berada sama ada disekitarmu atau jauh dihujung negeri. Mereka semua mempunyai hak yang sama. Jangan sama sekali kesibukan melupakan kamu terhadap mereka; kerana tidak ada satu pun helah yang boleh diterima di sisi Allah…..”

Negara kita dijajah dahulu juga kerana bermula dengan kelalaian pemimpin kita dan kembali merdeka juga kerana pemimpin kita. Diharap penjajahan minda ini tidak akan bermula dengan pemimpin kita, sehingga merugikan rakyat dan Negara. Kalau Negara dijajah, parang boleh diasah tetapi kalau minda dijajah akal perlu diasah, sudah tentulah memakan masa tidak secepat mengasah parang atau meletakkan peluru di dalam senapang. Oleh itu sebelum minda kita dijajah elok-eloklah kita mengasah minda mulai hari ini supaya mudah meletakkan kubu melindungi minda dari dijajah musuh luar terutamanya di atas lapangan peperangan ekonomi dunia yang sudah bermula sekarang.

( Buku VS 2007 )

No comments:

Post a Comment