ASSALAMUALAIKUM

Monday, August 2, 2010

HAK PEMIMPIN MELAYU VS HAK BANGSA MELAYU

BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA NABI MUHAMAD S.A.W

Terlalu banyak kita habiskan masa bercakap tentang tuntutan hak Melayu. Perbincangan dan percakapan ini berlanjutan sehingga membuatkan ramai bangsa lain merasa kurang senang dan terpinggir di dalam permasaalahan negara. Saya merasa sungguh hairan mengapa perkara sedemikian harus diperdebatkan dan disensasikan. Perkara tersebut telah berlanjutan dari seawal ingatan saya bangsa Melayu terus menerus memperjuangkan mempertahankan hak bangasa Melayu. Syabas dan amat berterima kasih saya ucapkan kepada semua pemimpin Melayu yang begitu gagah dan ghairah mempertahankan hak tersebut. Persoalannya apakah itu sahaja yang hendak kita selesaikan. Kata peribahasa Cina ” Bo Cho Bo Phai”. Maksudnya perkara yang baik jangan lagi hendak kita perbaiki. Hak Melayu dari dulu, kini dan selamanya InsyaAllah pasti akan terjaga selagi kita para pemimpin Melayu berada dipuncak sana.

Persoalannya sekarang siapa pun tidak mempunyai perasaan dan hasrat ingin tahu bagaimana hak orang Melayu ini diagihkan. Pada pandangan saya equiti 30% yang belum tercapai itulah penyakit bangsa Melayu yang harus diubati segera. Kerajaan telah mengeluarkan pelbagai dana yang berbentuk pinjaman dan gran bagi peniaga Melayu mendapatkan bantuan dan pertolongan dalam meneruskan usaha mereka menerokai dunia perniagaan. Akan tetapi apa yang paling menyedihkan apabila setelah sekian lama bergelumang di dalam dunia perniagaan dan mendapat tahu bahawa kes penyalah gunaan pemberian ini masih berleluasa. Dan yang paling menyedihkan apabila pegawai kerajaan yang membantu mengeluarkan pemberian gran terutamanya menyatakan bahawa dalam 100 orang pemohon hanya sekitar 10% peratus sahaja yang berjaya di dalam perniagaan mereka setelah gran ini dikeluarkan kepada mereka. Inilah penyakit yang sebenar yang harus didebat dan disensasikan di dalam parlimen. Anak Cina makan pengat sendiri mahu ingat.

Pemimpin telah cukup bekerja dan dikerjakan tetapi rakyat dan bangsa kita yang kurang bersyukur ini harus juga dikerjakan supaya mereka ini difahami dan diajar bagaimana untuk menggunakan peluang yang telah diberikan. Apa yang menjadi persoalan sekarang kenapa peluang yang diberikan ini tidak disemak dengan teliti siapa yang mendapat agihan bantuan ini? Inilah masanya kita dedahkan bukan sahaja pengeluaran tender tetapi juga penerima geran dan pinjaman yang telah dikeluarkan kepada merek-mereka yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan dan rakyat lain juga harus tahu kemana dan kepada siapa gran dan pinjaman ini diberikan. Setiap syarikat yang mendapat bantuan gran harus disenaraikan di dalam akhbar termasuk nama syarikat dan pengarahnya. Sekiranya ini dilakukan saya percaya antara penerima geran dan pinjaman tersebut hanya 10% sahaja yang benar-benar mengusahakan sendiri perniagaan mereka sedangkan selainnya hanyalah patung-patung yang di tanam oleh sesetengah pemimpin untuk mendapatkan keewangan secara percuma bagi meneruskan perjuangan politik mereka.

Gran dan bantuan serta pinjaman perniagaan telah dijadikan alat bagi sesetengah pemimpin untuk mendapatkan sokongan dan melincirkan perjalanan politik mereka sahaja. Oleh sebab itulah makanya kita harus bertanya kembali untuk apakah kita mempertahankan hak Melayu andainya Melayu yang berhak tidak berpeluang untuk menikmati hak tersebut.

Kesan dari perjuangan bangsa Melayu harus berasas dan harus diperlihatkan. Lama kelamaan kita bangsa Melayu akan menjadi seperti anak kecil yang meronta-ronta meminta coklat tetapi setelah diberi kita buang di sana-sini. Masyarakat bangsa Melayu dan pemimpin khususnya harus menggali dan mencari kesalahan kita sendiri, supaya tidak menimbulkan kemarahan masyarakat lain yang bergelumang dalam dunia perniagaan secara benar. Sudah tentulah menjadi satu kemarahan kepada bangsa lain apabila kita menuntut hak tetapi tidak tahu mempergunakan hak tersebut dengan cara yang sewajarnya.

Pada pandangan orang yang tahu berniaga akan merasa amat kecewa apabila kita mendapat tahu si polan dan si polan telah mendapat gran dan pinjaman tetapi hanya tahu bercakap tentang perniagaan dan belum tentu dapat jual goreng pisang pun. Kita yang mempunyai pelbagai kertas kerja serta mampu mengendalikan perniagaan akhirnya hasrat kita berkubur begitu sahaja. Tidak hairanlah kalau kerajaan dan pemimpin mengeluarkan banyak peluang tetapi langsung tidak mewar-warkan peluang tersebut dengan cara terbuka kerana ada udang disebalik batu. Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat.

Kita tidak boleh menafikan bahawa negara kita adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk dan bukan kita sahaja yang berhak tetapi juga bangsa lain mempunyai hak-hak mereka yang tertentu. Kalau mereka melihat hak orang Melayu digunakan dengan cara yang bermenafaat dan betul saya pasti mereka tidak akan mempersoalkan. Mereka Bangsa lain akan menghormati kita yang menggunakan hak kita sepadan dengan kemampuan kita. Ini tidak kita gunakan hak kita untuk menjadi usahawan mee segera. Kalau bangsa lain mempunyai modal RM5,000.00 dan berniaga selama berbelas tahun untuk merasai labanya, apabila melihat orang Melayu dengan modal yang diberi berbentuk kemudahan pinjaman sudah mampu membeli kereta mewah, mata siapa yang tak sakit. Mungkin kata pepatah orang tua-tua ”senang dapat senang pula dihabiskan”. kalau habis boleh minta lain pakai nama orang lain janji Melayu. Ini hak kita kononnya.

Ramai Melayu yang berhak menerima bantuan dan geran perniagaan bukan sahaja yang bukan Melayu soalnya berapa kerat yang dapat dan berapa kerat juga yang berhasil. Mulai dari hari ini kerajaan dan pemimpin harus peka dengan penerima pinjaman mudah dan gran juga beberapa tender yang dikatakan hak orang Melayu, mereka harus memantau dan berikan kepada mereka yang benar-benar berhak. Antara contoh mereka yang berhak adalah antara yang mahu menolong diri sendiri barulah kita menolong mereka. Untuk memberi bantuan memang mudah tetapi untuk memantau tu yang payah, namun disitulahlah terletaknya virus sebenar mengapa equiti 30% hak Melayu tidak tercapai. Setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Apa yang penting penyakit harus dicari dahulu barulah diubati jangan sampai orang demam makan ubat cancer lain pula jadinya.

Kalau Allah sendiri pun tidak akan membantu orang yang tidak mahu membantu dirinya sendiri maka jangan pula kita melebihi Kekuasaan Allah dengan membantu orang yang malas dan penipu. Buruk padahnya. Janganlah kita terus memperjuangkan hak sedangkan Allah telahpun mengagihkan hak kita, namun masih belum kita habiskan dan kita mula mempertahankannya dan menuntut lagi. Jadilah Bangsa Melayu yang malu keranan malu itu separuh dari iman. Ingatlah dan amanatilah nasihat SYAIKH MUHYIDDIN ABDUL QADIR AL JILANI :

Pada 10 syawal 545 H:
”Wahai kaumku,bangunlah apa yang telah kamu robohkan, cucilah apa yang telah kamu najisi. Perbaikilah apa yang telah kamu rosakkan, jernihkanlah apa yang telah kamu keruhkan. Kembalikanlah apa yang telah kamu ambil dankembalilah pada Tuhanmu Allah Azza wajjala dari pergimu tanpa izin.”

”Wahai kaumku, bermalulah kamu kepada Allah Azza wajalla dengan benar-benar malu. janganlah kamu lalaikan masamu itu hilang sia-sia. Kamu telah sibuk dengan menghimpunkan sesuatu yang sia-sia. Kamu telah sibuk dengan menghimpunkan sesuatu yang tidak kamu makan, kamu angan-angan pada sesuatu yang tidak kamu capai, kamu membangun sesuatu yang tidak kamu tempat,”

”Tetaplah kamu dalam bersetuju dengan Allah Azza wajalla dalam keadaan susah dan bahaya, fakir dan kaya, sempit dan mamur, sakit dan sihat, buruk dan baik, memberi dan mencegah. Saya tidak melihat obat untukmu melainkan berserah diri kepada Allah Azza wajalla.”

Itu bukanlah sebarang pesanan buat saudaraku yang sebangsa Melayu dan seagama Islam. Ia adalah sebuah pesanan kepada segala perkara yang telah kita lakukan kepada bangsa kita sendiri. Jangan selama ini kita menganggap bahawa bangsa lain yang sedang menghancur dan mengacau bilaukan kehidupan dan hak kita tetapi hakikatnya kita sendirilah yang melakukannya. Kaji, perhati dan muhasabahlah!!

No comments:

Post a Comment