ASSALAMUALAIKUM

Monday, August 2, 2010

KUASA RAKYAT VS KUASA PARTI

(DIZAMAN PEMERINTAHAN PAK LAH DULU)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Terang lagi bersuluh apabila keputusan pilihanraya baru-baru ini menunjukkan betapa berkuasanya rakyat dalam menentukan kedudukan sesebuah parti. Tergugatnya keputusan Barisan Nasional baru-baru ini telah menunjukkan betapa rakyat sudah mulai bijak menggunakan kuasa mereka dalam menentukan kepimpinan sesebuah negara. Apa yang telah berlaku haruslah menjadi iktibar kepada parti bahawa bukanlah selama ini pembangunan yang mereka ingini tetapi nilai kepimpinanlah yang menjadi kepentingan di dalam sesebuah pemerintahan.

Ketika zaman pemerintahan Tun Mahathir rasanya rakyat sudah cukup menikmati segala kemewahan dan pembangunan di dalam negara. Lalu Pak Lah mengambil alih dengan membawa satu wawasan yang saya rasakan amat bertepatan dengan kehendak rakyat selepas pemerintahan Tun Mahathir iaitu pembangunan modal insan. Telah menjadi satu lumrah dalam mana-mana negara di dunia apabila sesebuah negara yang sedang pesat membangun, mudah melupakan persoalan masalah sosial. Banyak negara maju telah menunjukkan contoh kepada kita ketika negara tersebut mengejar arus permodenan dan pembangunan apa yang menjadi cagaran adalah masalah gejala sosial yang juga akan turut meningkat bersama pembangunan negara. Nilai dan budaya kehidupan sudah mulai diketepikan. Rasuah dan jenayah mula mengambil tempatnya di dalam masyarakat. Kalau ditanya di mana silapnya parti inilah jawapannya.

Apa yang telah dibawa oleh Pak Lah adalah sesuatu yang wajar di dukung oleh parti. Ketika Pak lah memperkenalkan HADHARI di mana pendukungnya? Ketika Pak Lah menyebut tentang modal insan, siapa yang telah mengimplementasikannya? Ketika Pak Lah hendak membenteras rasuah, siapa yang sebenarnya sedang merompak rakyat? Anak Cina makan pengat jadi sendirilah mahu ingat.

Kalau mengikut sejarah UMNO kekuatan parti dahulu banyak bergantung kepada pemuda. Sehinggakan perkataan pemuda itu begitu sinonim sebagai “pemuda tiang negara”. Apa jadi kalau sebatang tiang tumbang atau tidak kukuh dalam sebuah rumah, tentulah roboh. Persoalannya sekarang apa sudah jadi dengan pemuda kita hari ini? Kalau nak tahu inilah pula jawapannya , mereka sedang berada di angkasa terbang sehingga enggan untuk memijak bumi. Pemuda sekarang telah membawa satu budaya elit sehinggakan sukar untuk sesiapa sahaja mendampingi mereka. Mengikut bancian negara kita dipenuhi hampir 75% golongan yang terdiri dari mereka yang di bawah 40 tahun. Kalau kejatuhan lima negeri ini tak salah kalau saya meletakkan kesilapan ini di tangan pemuda

Antara Pak Lah dan pemuda mereka lebih dilihat sebagai golongan yang hanya ingin menjaga Pak Lah dari menjalankan kerja yang Pak Lah inginkan. Mereka begitu sibuk untuk menaikkan taraf hidup masing-masing sehingga mereka gagal untuk menjalankan kerja mereka untuk Agama, Bangsa dan Negara. Kalau ditanya rata-rata mengatakan bahawa pemuda UMNO telah hilang integriti mereka. Mereka bukanlah lagi sepertimana golongan pemuda zaman dahulu yang senantiasa bertebaran di tanah mendampingi rakyat, membela rakyat, sanggup turun padang kalau terdapat demonstrasi di mana-mana dan bukan dengan menghantar bomba dan fru untuk menyelesaikan masalah ini. Suara rakyat senantiasa di dengar. Setiap masalah diselesaikan dengan tangan dan bukan dengan wang atau sekadar menggunakan talipon bimbit untuk mengetahui masalah rakyat.

Maka hari ini barulah parti sedar bahawa kuasa rakyat yang telah diberikan oleh Allah telah mulai membuak di sana-sini. Kesalahan Pak Lah hanya satu iaitu terlalu memberi sepenuh kepercayaan kepada pemuda. Pak Lah harus sedar bahawa pemuda sememanglah mempunyai idea yang baru tetapi tak mungkin semuanya bernas. Ini adalah dunia politik dan bukan sebuah pusat pengajian tinggi yang mana ukuran kecerdikan di dalam pusat pengajian tinggi hanya bertumpu kepada penilaian keputusan peperiksaan untuk meniktirafkan kecerdikan mereka. Di dalam menilai kecerdikan seseorang pemimpin pemuda khususnya di dalam parti dan dunia politik adalah bagaimana mereka mampu mengambil hati rakyat, membela kesusahan mereka dan mempunyai pengikut yang setia bukan kerana material tetapi kerana nilai dan akhlak yang mereka bawa. Itulah penilaian rakyat terhadap seorang pemimpin dewasa ini. Ini tidak boleh dinafikan.

Hanya segelintir sahaja mereka yang menyukai cara kepimpinan pemuda sekarang iaitu dikalangan mereka yang mendapat menafaat dari mendamping kepimpinan pemuda atasan. Inilah keputusannya setelah mendapat apa yang mereka ingini kerja untuk mendampingi serta mendengar kesusahan rakyat tidak langsung diendahkan. Pak Lah seharusnya memeriksa buku-buku yang ditandatangani oleh setiap pelawat di dalam pejabat-pejabat pemuda dan juga kementerian yang diwakili pemuda untuk memastikan apa yang sedang dinyatakan ini benar atau salah. Dari buku pelawat itulah Pak Lah akan tahu selama ini siapa yang sering mereka jumpa? Apakah pelawat mereka itu terdiri dari orang kampung atau golongan koperat dan elit sahaja?

Rakyat sekarang bukan lagi seperti kanak-kanak kecil yang boleh disoggok dengan gula-gula. Rakyat sekarang sudah ramai yang cerdik pandai malahan lagi ramai bilangan cerdik pandai ini di kalangan pemimpin terutamanya pemuda. Mereka sudah pandai menilai siapa pemimpin mereka. Ketika pemimpin mereka yang terdiri di kalangan pemuda ini bercakap tentang kesusahan, rakyat sudah pandai menilai apakah mereka telah atau pernah merasainya. Apabila mereka bercakap tentang rasuah, apakah gaji pemimpin pemuda ini, seimbang dengan jawatan mereka? Persoalan ini sudah lama berlegar diminda rakyat. Sebagai keputusannya lima negeri pembangkang tawan.

Kalau ditanya rata-rata rakyat di bawah semuanya amat kecewa dengan pemuda hari ini. Kata mereka pemuda yang seharusnya menjadi tiang lebih pandai mencium keris dari turun membela rakyat. Kuasa rakyat makin menjadi-jadi oleh itu janganlah nak retorik lagi. Kepimpinan pemuda harus segera dikuatkan kembali untuk menjadi pembela Agama, Bangsa dan tanahair. Kalau benar bancian 75% bilangan penduduk Malaysia layak mengundi di bawah 40 tahun maka apa lagi yang hendak kita kuatkan kalau bukan barisan pemuda. Jangan pula menghantar puteri ke padang kerana mereka lebih layak menumpukan perhatian kepada anak-anak kecil mengasah bakat menjadi ibu mithali. Membesarkan anak-anak kecil tak kira di mana sahaja, itulah seharusnya kerja puteri sebagai pembimbing generasi penerus.

Mulai sekarang kuasa parti seharusnya dibahagi-bahagikan tugas mengikut keupayaan dan kempuan setiap sayap parti. Bagi pemimpin parti di dalam majlis tertinggi tugas mereka dulu, kini dan selamanya amat bersesuaian sebagai pembuat dasar. Wanita pula dari dulu, kini dan selamanya tidak dapat dinafikan merupakan sayap yang proffesional sebagai perayu undi, ketua 10 dan juga golongan yang senantiasa diharapkan untuk mencukupkan korum mesyuarat di dalam parti. Pemuda harus kembali keperjuangan asal yakni mengimplemenkan setiap dasar yang telah ditetapkan oleh parti. Kalau dasar Majlis Tertinggi ingin memerangi rasuah maka mereka dahulu harus memberi contoh dan tauladan kepada rakyat. Barulah rakyat percayakan integriti mereka. Manakala puteri seharusnya telah dinyatakan berpuluh kali mereka harusnya tumpu sahaja perang cyberwar iaitu internet. Semua pekerjaan ini boleh dilakukan dirumah atau dipejabat sahaja tak perlulah nak turun padang sama naik dengan pemuda dan wanita. Puteri ada yang masih gadis ada pula yang cantik jelita jadi lebih terdedah kepada godaan dan bahaya. Kalau nak tahu sayap puterilah yang paling penting untuk Agama, Bangsa dan Negara iaitu pencorak kain putih. Generasi selanjutnya di tangan bimbingan dan didikan mereka. Kalau putih bimbingan mereka maka putih pulalah anak-anak generasi akan datang. Mereka kalau ingin sangat nak turun padang maka berilah tumpuan sebagai hanya pemibimbing kepada kanak-kanak. Banyak kanak-kanak yang boleh mereka bimbing terutamanya anak yatim, yang telah bertambah setiap hari sehingga sekarang mencecah 300,000.00 orang. Kalau satu rumah puteri satu anak yatim dan satu komputer aman negara banyak pahala. Jadi pemimpin selamat dunia akhirat.

Itulah kuasa parti. Kalau setiap tugasan diagihkan sedemikian rupa tentulah rakyat tidak akan dapat menggunakan kuasa mereka untuk membenci pemimpin atau menjatuhkan parti. Kalau parti sendiri mempunyai tanggungjawab dan integriti apa lagi kesalahan nyata yang ingin mereka cari. Setiap manusia ataupun rakyat boleh sahaja mencari kesalahan namun kalau kesalahan itu tidak nyata tak mungkin kesalahan tersebut bertukar menjadi bencana. Dalam bulan baik menyambut maulidul rasul seharusnya setiap pemimpin membawa Nabi Muhamad sebagai ikon mereka. Nabi Muhamad yang ummi juga tidak terlepas dari orang mencari kesalahan Baginda namun mengapa Baginda terselamat kerana kesalahan Baginda tidak nyata. Abu sai’id alkhudri bercerita tentang akhlak Rasulullah:

“ Bahawa Rasulullah s.a.w sendiri memberi makan untanya, membersihkan dan menguruskan rumahtangganya, membersihkan kasut, menampal pakaian, memerah susu, makan bersama-sama para pembantu rumah (khadam), membawa sesuatu yang dibeli dipasar untuk kepentingan keluarganya, bersalaman dngean orang miskin dan kaya, senantiasa memulai dan mendahulukan salam, tidak pernah menolak apa sahaja yang dihidangkan kepadanya walaupun hanya sebiji kurma kering, ringan tangan untuk membantu orang lain, bersikap lemah-lembut, bergaul demean sopan santun senantiasa bermuka manis, kasih sayang terhadap sesama muslim, tidak pernah mengemukakan keluhannya ketika lapar dan tidak bersifat tamak haloba.”

Kalau pemuda sebagai tiang negara ini dapat mengambil secebis sahaja dari akhlak Rasulullah ini seperti yang diceritakan di atas tentulah kemarahan rakyat tidak akan sampai menyalah gunakan kuasa mereka. Pemuda seharusnya mengambil iktibar dan keluarlah dari kepompong elit untuk kembali mendampingi rakyat bukan di lobby-lobby hotel dengan menghisap curut ratusan ringgit lagi tetapi di warung kopi dengan rokok daun dan kopi panas dan bukan cuppocino. Kalau mahu cerita dari rakyat duduklah beberapa hari, bulan dan tahun di situ pasti dengar keluh kesah mereka tentang parti. Tak mungkin keluhan rakyat sampai ke hotel lima bintang. Muhasabahlah wahai Pemuda Tiang Negara kalau ingin menyelamatkan Agama, Bangsa dan Negara!!!

No comments:

Post a Comment