ASSALAMUALAIKUM

Monday, August 9, 2010

POLITIK ULU VS POLITIK PARANG

BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA NABI MUHAMAD S.A.W

Kata pepatah orang tua-tua “lain ulu lain parang…lain dahulu lain pula sekarang”.
Memanglah zaman telah berubah, cara berpolitik tidak semestinya berubah apabila perjuangan dahulu membuktikan keberkesanannya. Pemikiran memang benar harus bersesuian dengan zaman, namun semangat dahulu haruslah dikekalkan. Apakah hebatnya semangat orang dahulu? Alhamdullillah diberikan pengalaman oleh Allah menjadi seorang anak bekas ahli politik tentulah turut terlibat dengan ranjau, onak dan duri yang dilalui oleh aruah ayah dahulu. Hebatnya politik orang dahulu tentulah semangat perjuangannya. Kalau sekarang seseorang yang menjadi anak ahli politik tentunya merasa bangga dan hidup dengan penuh kemewahan, namun berlainan dengan dahulu, kalau bapa seorang ahli politik anak dan keluarga dahulu yang terpaksa dikorbankan demi untuk kepentingan rakyat. Kepentingan masyarakat didahulukan dan kemudian keluarga. Mengambil kesempatan dari kuasa yang ada jauh pangang dari api.

Kalau dahulu sebut sahaja nama pemimpin meremang bulu roma, macam ada daulatnya. Namun sekarang sebut sahaja nama pemimpin ada yang mencebeh mulut, macam tak hairan. Hormat kepada pemimpin semakin lama semakin menurun. Faktor yang memainkan peranan hasil dari keadaan ini tak lain dan tak bukan adalah kerana pemimpin itu sendiri. Mereka menganggap cukup dengan ada pangkat dan jawatan kehormatan akan datang bergolek. Banyak ciri pemimpin dahulu yang harus di ambil iktibar. Hormat tak datang bergolek tetapi kehormatan datangnya adalah apabila seseorang pemimpin itu tidak sekadar menabur janji atau dengan perkataan lain ”retorik”. Kalau disuruh masyarakat hidup dengan berjimat cermat tetapi sebaliknya pula yang berlaku ke atas ahli keluarga mereka . Menyuruh masyarakat menagungkan jenam negara tetapi pemimpin sendiri serta keluarga mereka memilih jenama luar negara macamana? Anak Cina makan pengatlah jawabnya.

Itu tak termasuk lagi bab sekolah. Dan pusat pengajian tempatan. Boleh dihitung dengan jari apabila kebanyakkan anak pemimpin belajar di sekolah dan pusat pengajian tinggi tempatan selainnya dari anak sampai ke cucu semuanya ke sekolah luar negara. Kalau di dalam Malaysia pula tak mainlah sekolah kebangsaan setidak-tidaknya sekolah antarabangsa. Kalau bab bahasa. Tak tau nak cakap agungkan bahasa kebangsaan tetapi anak-anak tak kira tempat dan masa ”speaking” memanjang. Bukanlah semua tetapi segelintirlah. ”Bahasa mengenal bangsa” itulah kata P.Ramlee.

Mungkin pemimpin sekarang telah lupa bahawa di era siber ini dah banyak mata, telinga dan suara terbuka begitu juga minda. Masyarakat dah cerdik pandai. Maka janganlah ”retorik lagi. Kalau cakap lain buat lain,tak tahulah. Otak masyarakat yang cerdik pandai ini senantiasa memikir. Kalau dahulu berfikir sendiri tetapi di zaman globalisasi ini orang luar juga turut memikirkan tentang baik buruk kepimpinan kita. Lebih ramai masyarakat sekarang yang senang duduk diam tetapi memikir macam-macam. Tiba-tiba meletup sana-sini, jadi hati-hati. Tunggu masa nak tepuk sorak kalau melihat mana-mana pemimpin jatuh. Kalau dahulu pemimpin yang jatuh atau pencen senantiasa akan dihormati dan dijadikan tempat rujukan dan penasihat. Tetapi sekarang kalau pemimpin dah jatuh atau pencen bukan sahaja tak dihiraukan ada pula yang kalau boleh nak tanam hidup-hidup. Ingatlah bahawa dunia ini mempunyai putarannya sendiri. Itulah kebesaran Allah. Apa yang kita buat hari ini belum tentu kita akan terlepas kifarahnya. Makanlah pengat banyak-banyak agar sendiri mahu ingat!!!

Menjadi pemimpin bolehlah saya istilahkan sebagai seseorang yang telah dianugerahkan oleh Allah sebidang tanah. Inilah masanya bagi mereka untuk membajak dan menuai bersama rakyat dan mengambil hasilnya juga bersama rakyat bukan sewa tanah jadi macam ceti. Untung tanah dapat bunga, buah dan daun semua makan sendiri. Bukan semua di dunia ini bertuah untuk dianugerahkan tanah, jadi pandai-pandailah bercucuk tanam dan membahagikan hasil bersama. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Tapi nama yang ditinggalkan itu biarlah harum supaya tidak terpalit kepada keluarga. Tak pasal-pasal nanti jadi gajah yang masuk lumpur, habis terpalit pada keluarga.

Kalau kita menghayati Islam yang sebenar, maka kita akan mengkaji dan mengkaji zaman sahabat-sahabat Rasulullah dan Rasulullah itu sendiri. Tak pernah dengar pula di zaman Baginda ditinggalkan pelbagai harta dunia untuk keluarga melainkan Qarun dan Firaun. Sampai sekarang kita dapat melihat kemegahan harta Firaun dan kalau digali semuanya disebut harta Qarun. Janganlah jadi Qarun dan Firaun. Kalau Anbia di zaman Rasullullah kita hanya mendapat banyak peninggalan kitab-kitab dan ilmu. Masih lagi orang tidak mahu menghiraukannya. Masih lagi orang sibuk mencari dan menimbunkan harta. Sedangkan harta belum tentu dapat menjaga kita, tetapi ilmu sudah pasti dapat menjaga kita dan harta. Berilmulah, supaya kita akan terjaga dunia dan akhirat. Kebanyakkan pemimpin yang dihormati bukanlah kerana hartanya tetapi adalah kerana ilmu yang dimilikinya. Apabila harta yang ditaburkan kepada kroni dan sahabat handai habis harta lupalah nama. Namun sekiranya ilmu yang dicurahkan maka selamanya orang akan mengenang guru yang menumpahkan ilmu tersebut, selagi ianya dapat dimenafaatkan.

Pemimpin adalah pendakwah, bukan hanya sebagai pemimpin. Berdakwah bukan hanya bermaksud mengajar Islam tetapi keseluruhanya iaitu kebaikan. Kerana Islam itu sendiri membawa kepada kebaikan. Marilah kita hayati nasihat Al Syaikh Mustafa Masyur :

”Hidup yang sebenarnya ialah hidupnya hati dengan iman. Berapa ramai orang yang nampak pada zahirnya hidup akan tetapi mereka pada hakikatnya mati dan berapa ramai pula orang yang pada zahirnya mati akan tetapi mereka pada hakikatnya masih hidup. Hendaklah kita mengorbankan segala apa yang kita miliki sama ada ia berbentuk kekuatan atau qudrat, mahupun dalam bentuk ni’mat yang Allah berikan kepada kita seperti waktu, fikiran, kesihatan, harta dan jiwa bahkan segala-galanya.

Iman akan melahirkan dalm hati kita segala perasaan dan pengertian ketinggian (’izzah) keketuaan dan kepimpinan terhadap manusia yang sedang lena dilanda arus kezaliman, kekufuran dan kekusutan. Tidak dapat tidak kita mesti merasakan akan ni’mat Kubra (ni’mat besar) yang dikurniakan kepada kita oleh Allah. Ni’mat ini ialah Islam sebagai satu cara hidup yang benar dan diterima Allah.

Kami mahukan kamu (pemuda-pemuda) sebagai rijal aqidah bukan rijal kalam (percakapan) atau rijal (pertengkaran). Rijal-rijal jihad dengan harta dan nyawa dan bukan di atas lembaran-lembaran buku sahaja atau kamu setakat mengajarkan apa yang kamu pelajari sahaja dengan fasik, kufur atau syirik. Kami mahukan kamu menjadi du’at bukannya sebagai penghukum. Kami mahukan kamu sebagai orang-orang yang senantiasa beramal dengan penuh keikhlasan yang sanggup berkorban dan senantiasa tabah dan tetap hati. Ketahuilah bahawa sesungguhnya kita ini hanya akan bernilai bila mana kita bangkit beramal untuk da’wah ini dan tanpanya (da’wah itu) maka tidak akan bernilai langsunglah kita”.

Itulah kata-kata tokoh Islam kita suatu masa dahulu. Bukan hartanya yang kita mendapat menafaatkan tetapi ilmunya yang akan kita menafaatkan sehingga hari ini. Jadi sebagai pemimpin fikirkanlah!! Jaga Allah, maka Allah akan menyempurnakan kehidupan kita, menjaga harta belum tentu kesempurnaan itu milik kita.

Wassalam

9 September 2006
1:45pm – 2:15pm

No comments:

Post a Comment