ASSALAMUALAIKUM

Saturday, August 21, 2010

PEMIMPIN BERJIHAD VS PEMIMPIN BERMUHAJADAH

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Selamat Menyambut bulan Ramadhan, bulan yang mulia. Pelbagi katagori manusia menyambut bulan yang mulia ini dalam menghayati erti puasa. Tetapi tidak ramai yang mengerti di dalam katagori manakah kita terlingkung dalam menghayati ertikata puasa. Ada yang sekadar menahan lapar dan dahaga, ada pula yang menghayati puasa ini sepenuhnya dengan melawan segala nafsu yang ada, seperti nafsu mata, mulut dan telinga dan juga nafsu minda yang senantiasa berligar dengan pemikiran yang negatif. Inilah antara bulan latihan untuk kita sebenarnya bukan sekadar menahan nafsu makan dan minum tetapi juga seluruh nafsu, mata, telinga, mulut dan minda. Tidak layak rasanya nasihat ini diberilan oleh seorang penulis seperti saya, namun ini adalah peringatan sekadar telah diperingatkan untuk saya dan semua sidang pembaca.

Apabila kita mendengar seseorang pemimpin itu dikaitkan dengan jihad, itu sudah menjadi biasa. Kerana dalam pengalaman berkawan dan bergaul dengan pelbagai manusia yang terdiri dari pelbagai golongan pemimpin termasuklah politik dan agama, kebanyakkan mereka akan menasihati kita agar berjihad. Kalau pemimpin politik kita akan disuruh untuk berjihad menentang pembangkang walaupun kadang-kadang agak keliru. Setahu saya semasa belajar agama perkataan jihad hanya di ajar kepada kita untuk orang yang menyekutukan Allah dan bukan kepada mereka yang menyekutukan parti atau pemimpin. Tetapi istilah jihad ini telah banyak disalah ertikan yang kasihan adalah generasi baru yang mungkin tidak faham apakah pengertian jihad yang sebenarnya di zaman ini. Tambahan pula ada beberapa orang yang mengaku guru dan berdakwah mengajak kita untuk berjihad. Kebanyakkan dari mereka akan menyuruh kita meninggalkan anak dan isteri atau kesibukan dunia untuk mengejar kekayaan dunia, tetapi adalah untuk meluangkan sepenuh masa kita dengan kelompok ini untuk mengembangkan syiar Islam dan itu di katakan berjihad. Kita harus melupakan untuk menaikkan martabat ekonomi dan keluarga sendiri tetapi harus membahagikan masa sepenuhnya untuk bersama mereka untuk mengembangkan syiar Islam. Itu akan dikatakan jihad dan janji syurga menanti kita itu seperti gula-gula yang diberikan untuk menguatkan semangat kita supaya berjihad kata sesetengah pemimpin agama itu.

Hairan dan sungguh keliru apabila kita melayari kehidupan kebelakangan ini. Ada yang membuang harta dan masa untuk berjihad ke jalan Allah. Ada pula yang membuang kawan dan saudara untuk mengambil seluruh harta dunia. Golongan yang membawa dunia dan akhirat secara seimbang sudah hampir pupus.

Saya hanya berpegang kepada Quran dan Sunnah, dan hanya menanam satu sahaja pesanan dari Rasulullah yang juga berupa peringatan. Walaupun banyak pesanan akhir yang Rasulullah tinggalkan, tetapi pesanan ini nampaknya sudah mula menular di dalam masyarakat kita. Sabda Baginda “ selepas ini tiada lagi peperangan yang aku khuatiri melainkan satu sahaja peperangan yang bakal membawa umatku kekalahan, iaitu peperangan dengan diri sendiri (perang nafsu)”.

Banyak antara kita telah lupa bahawa pemimpin Islam dahulu berjihad tidak boleh disamakan dengan cara pemimpin sekarang berjihad. Kita tidak lagi berhadapan dengan penentang Allah atau Islam secara terbuka, bunuh membunuh bersebabkan agama di Malaysia. Tak mungkin kita akan mengikut cara dahulu dengan memerangi orang kafir hanya kerana mereka enggan menyebutkan syahadat. Tetapi pemimpin sekarang tetap melakukan jihad mereka seperti membangunkan negara, dan menyediakan segala keperluan kepada fakir miskin dan anak yatim itu juga dinamakan jihad. Menegakkan keamanan di dalam negara itu juga jihad. Tetapi berapa ramai yang pernah mendengar atau melihat pemimpin kita bermujahadah. Iaitu berperang melawan nafsu.

Setiap hari amat menyedihkan apabila kita mendengar beberapa orang pemimpin kita sibuk mengumpulkan tahta, harta dan wanita. Kalau mula dianugerahkan pangkat dan jawatan mulalah kita akan dengar si polan telah melobi untuk dinaikkan pangkat atau ingin memegang jawatan yang lebih tinggi, atau telah mula merasuah sana-sini untuk memancing undi, kemudian kita dengar pula, mereka mula berkereta mewah, berumah mewah dan menaiki pesawat peribadi yang serba mewah. Yang paling ketara adalah mula berbini dua, tiga dan empat.

Inilah perbezaan antara pemimpin yang berjihad banyak sekali tetapi berapa ramai pemimpin kita yang mahu bermujahadah. Berperang dengan nafsu sendiri? Apabila saya melihat Musshidul Am PAS iaitu Nik Aziz, saya mula berfikir, kalau begitulah keadaan hidup beliau yang begitu sederhana dan senantiasa bermujahadah diikuti oleh pemimpin-pemimpin lain sudah tentulah tak akan ada satu pun manusia terutamanya pemimpin politik yang akan berlomba-lomba sehingga sanggup merasuah sana sini untuk memegang jawatan yang dipegang oleh beliau.

Mengapa generasi sekarang begitu mula mual dengan politik. Dari pengamatan dan sembang sana sini antara mereka yang ingin berkecimpung di dalam dunia politik mudah mengumpulkan segala kemewahan dunia. Contoh banyak di sana-sini, baru beberapa tahun memegang jawatan parti dah mula menunjukkan kemewahan macamlah orang lupa awak dulu macam mana. Banyak alasan yang diberikan , tiba-tiba sahaja keluarga jadi kaya dan sanggup sponsor saudaranya memakai semua jenama mewah. Kekayaan melalui jawatan politik telah mengatasi seorang usahawan. Kalau dahulu kita hanya tahu orang kaya melalui perniagaan tetapi sekarang demand dari politik untuk menjadi kaya sudah luar biasa. Kuasa boleh membeli segala. Kalau dahulu wang boleh membeli dunia tetapi sekarang kuasa boleh menjual dunia.

Jadi jangan hairanlah bahawa orang yang mual dan muak dengan politik dan kepimpinan politik hari ini bukanlah kerana pemimpinnya tidak berjihad tetapi kerana pemimpinnya sudah tidak lagi bermujahadah. Kita tidak pernah di ajar oleh mana-mana pemimpin dengan sifat sederhana . Kita sudah tidak ada pemimpin contoh yang boleh mengeluarkan kata-kata hikmah yang cakap serupa bikin. Kita sudah ketandusan “role model” dalam kepimpinan. Itulah punca itulah akar umbinya mengapa rakyat mula mencari alternatif.

Allah itu Maha Kuasa kalau lima negeri boleh ditumbangkan, apalah ada dengan menumbangkan pemimpin yang semakin hari semakin bernafsu mengejar, tahta, harta dan wanita. Anak Cina makan pengat, jadi sendirlah mahu ingat.

Kita boleh bercakap dan berkempen di sana-sini tetapi akhirnya hati manusia siapa yang pegang kalau bukan Yang Khaliq. Allah juga yang akan memegang dan melepaskan hati manusia kepada sesiapa sahaja yang Dia suka. Teruslah pemimpin berjihad tanpa bermujahadah dan lihatlah apa lagi yang akan Allah ambil dari tangan mereka. Sekarang ada wang pun sudah tidah bermakna, orang ambil tetapi hati bagi orang lain. Ada tahta iaitu kuasa pula orang sudah tidak menghormati dan kedudukan juga boleh menjatuhkan maruah dan bukan mendapatkanya. Ada wanita pula bukan lagi sebagai tempat yamg memberi kedamaian tetapi tempat mencetuskan skandal. Jadi di mana letaknya Tahta (kuasa), harta dan wanita di dalam percaturan politik sekarang? Makan pengat nanti sendiri mahu ingat!!Apa yang dikejar dan dikumpulkan oleh pemimpin hari ini ternyata tidak membawa makna sebaliknya musibah semata. Itu pun masih buta hati tak sedar diri.

Banyak pelan pemulihan telah diusahakan kepada rakyat. Itulah yang paling silap. Motivasi, kursus, tazkirah dan macam-macam lagi telah disogokkan kepada rakyat, akhirnya yang sedar, baik dan insaf rakyat. Pemimpin macam tu juga. Inilah masa dan inlah ketika untuk semua pemimpin melupakan pelan pemulihan untuk rakyat dan ahli parti tetapi sebaliknya mula memikirkan bagaimana untuk menarik para pemimpin untuk dipulihkan. Bila kita ajak ke kursus yang boleh mencerahkan minda 3 hari pun sibuk tapi tup..tup dengar holiday melancong berhari-hari boleh pula.

Inilah masanya pucuk pimpinan negara menyedari bahawa sekadar melihat ijazah yang bergulung bukanlah satu tiket untuk di ambil menjadi pemimpin. Tetapi mulalah menilai cara hidup mereka. Untuk apa pucuk pimpinan dibekalkan dengan special branch, speacial force, inteligence dan berbagai lagi perisik sana-sini kalau tidak boleh digunakan untuk mengintip cara kehidupan para pemimpin. Pucuk pimpinan akan terus dihukum oleh Allah sebenarnya yang memegang hati rakyat untuk menolak pemimpin-pemimpin yang tidak mahu bermujahadah.

Kadang-kadang kasihan juga kita melihat sesetengah pemimpin yang ingin bertanding bercakap dengan kita begitu yakin akan mengecapi kemenangan tetapi kita yang di bawah ini dah mula tergelak terbahak-bahak kerana pemimpin tersebut telah dihamun dan dicarut oleh yang dikatakan penyokong mereka sendiri. “Orang kasi kita makan, mahu undi belum tentu lagi”…itulah antara kata-kata yang senantiasa bermain dibibir pengundi. Lupa….semua sudah lupa ….Allah pun orang pandai bohong sekarang….sebelum dapat jawaran sembahyang tungging terbalik dah dapat lupa….lupa… dan lupa. Tetapi jangan bimbang kerana masanya akan tiba bila mana Allah pula akan melupakan mereka. Tunggu dan lihat. InsyaAllah, inilah doa-doa para mujahid, ulama’ di kalangan kita sekarang dan termasuk antara mereka-mereka yang dianiayai.



Marilah kita hayati apa yag pernah dikatakan oleh salah seorang tokoh Islam yang Agung
aiatu SYAIKH MUHYIDDIN ABDUL KADIR AL JILANI , kata beliau pada pagi Ahad 10 Syawal 545 Hijah :

“Wahai kaumku, pergunakanlah pimtu hidup selama pintu itu masih terbuka, sebentar lagi pintu itu tertutup atau capailah perbuatan-perbuatan baik selama kamu mampu atasnya. Pakailah pintu taubat dan masuklah kamu di dalamnya selama pintu itu terbuka untuk mu. Pergunakanlah pintu doa kerana pintu itu terbuka untukmu. Pergunakanlah pintu mendampingi saudaramu yang soleh kerana pintu itu terbuka untukmu.

Wahai kaumku bangunkanlah apa yang telah kamu robohkan, cucilah apa yang telah kamu najisi. Perbaikilah apa yang telah kamu rosakkan, jernihlah apa yang telah kamu keruhkan. Kembalikanlah apa yang telah kamu ambil dan kembalilah kepada Tuhanmu Azza Wajalla dari lari dan pergimu tanpa izin.

Wahai kaumku bermalulah kamu kepada Allah Azza Wajalla dengan benar-benar malu. Janganlah kamu lalaikan masamu itu hilang sia-sia. Kamu telah sibuk himpunkan sesuatu yang tidak kamu makan, kamu angan-angankan sesuatu yang tidak kamu capai, kamu membangunkan sesuatu yang tidak kamu tempati.

Tetaplah kamu dan bersetuju dengan Allah ‘Azza wajalla dalam keadaan susah dan bahaya, fakir dan kaya, sempit dan makmur, sakit dan sihat, buruk dan baik, memberi dan mencegah. Saya tidak melihat obat untukmu melainkan berserah diri kepada Allah Azza wajalla.”

Tak perlu lagi diulas apa yang diperkatakan oleh tokoh di atas, saya pasti ia terang dan jelas kemahuan Allah yang diingatkan kepada kita. Namun pemimpin harus disedari dahulu hakikat ini . Pemimpin adalah seperti ibubapa yang harus menjadi lurus dan bukan seperti ketam mengajar anak berjalan lurus. Pemimpin kita sudah banyak berjihad sekarang adalah masanya mereka bermujahadah,.sebelum kalah di medan peperangan sendiri seperti Sabda junjungan kita Muhamad s.a.w. Berhentilah berperang dengan pembangkang sejenak dan mulalah berperang dengan diri sendiri untuk kalahkan nafsu yakni kuasa, harta dan wanita, itulah mujahadah. Jadilah pemimpin yang ingin bermujahadah, kerana inilah bulan yang telah dipersiapkan Allah untuk kita jalani latihan iaitu bulan mulia Ramadhan. Mujahadahlah!!

No comments:

Post a Comment