ASSALAMUALAIKUM

Saturday, August 7, 2010

MODAL INSAN VS INSAN YANG DIPERMODALKAN

BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA NABI MUHAMAD S.A.W

Orang dahulu pernah berkata bahawa jauh berjalan, luas pandangan. Kata saya pula luas pergaulan, banyak pengalaman. Maka itulah saya tidak pernah memilih kawan baik dari segi keturunan, mahupun baik buruk akhlak dan budi pekertinya. Namun tidak semua boleh melakukan demikian, kerana sering orang tua-tua berpesan; pandai-pandai memilih teman. Pesanan orang tua saya pula sebelum berkawan jadilah seperti ikan di laut yang masin, namun bila nak digoreng tetap diletakkan garam, kerana laut yang masin tidak boleh memasinkan ikan. Itulah juga umpamanya berkawan biar dengan siapa sahaja kita berkawan baik dan buruk akhlak teman sudah pasti tidak akan mempengaruhi kita.

Mengapa saya menceritakan tentang berkawan tanpa sempadan? Ia berkait rapat dengan pengalaman saya bercerita antara teman-teman, khususnya mereka-mereka yang berada di dalam dunia seni. Sama ada sedar ataupun tidak orang politik dan peniaga sana-sini membicarakan tentang modal insan, lain pula di dalam dunia seni, sana sini membicarakan tentang insan yang dipermodalkan.

Inilah untungnya berkawan tidak kira samada di dalam dunia perniagaan, politik mahupun dunia seni masalah rupanya tetap sama. Orang seni kata dipermodalkan. Orang politik dan peniaga kata harus ada modal insan. Apa yang dapat saya katakan bahawa hakikat sebenarnya adalah sekiranya seseorang itu mempunyai modal insan seperti berbakat, berilmu pengetahuan dan berkemahiran sebenarnya akan dipermodalkan sekiranya insan itu sendiri tidak tahu menggunakan dirinya sebagai modal.


Bagi golongan pemasar perkataan seperti “ selling yourself ” begitu biasa didengar malahan dianggap sebagai satu yang intelek sekiranya seseorang itu tahu bagaimana untuk menjual diri dalam perkataan lain. Seseorang pemasar itu harus mempunyai kualiti keterampilan yang baik dan teknik berkomunikasi yang intelek bagi mendapatkan perhatian pelanggannya. Tetapi jangan pula tersalah cakap pada orang seni, silap-silap orang makan nasi kita makan kasut. Sebenarnya istilah “selling yourself” pada orang seni tidak salah. Apa yang salah adalah kerana mereka mempunyai modal diri tetapi tidak tahu memasarkan diri mereka sendiri. Maka akhirnya terjebak di dalam masalah dipermodalkan. Akhirnya “ you don’t know how to sell yourself I sell u then ”.Macamana? Siapa yang harus dipersalahkan?

Tidak hairan dewasa ini kita lihat pelbagai rancangan pertandingan nyanyian diadakan di sana-sini. Begitu meriah sana sini mencuba nasib bagi menikmati dunia glamour, tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Apa yang menyedihkan adalah yang bertanding kebanyakkan orang Melayu, yang mengundi pun orang Melayu, yang habis wang untuk prepaid pun orang Melayu. Siapa yang untung? Anak Cina makan pengat…..

Apa pula nasib mereka setelah tamat pertandingan setelah mempunyai modal untuk dijual? Oleh itu banyak-banyaklah bercampur dengan insan-insan seni ini, kerana akhirnya mereka sedar bahawa “ we just got the peanut, but others get the monkeys ”. Mereka sedar adakah yang mempermodalkan mereka ini harus dipersalahkan atau yang mempunyai modal diri dan tak tahu memasarkan diri mereka sendiri patut dipersalahkan?


Inilah yang dikatakan dunia seni sekali masuk, susah nak keluar. Kalau dulu jual burger orang tak kenal boleh lah tapi setelah terkenal nak kerja show tak ada takkan nak balik jual burger. Bagi yang pandai mempermodalkan diri perkara untuk kembali membuat kerja azali bukan satu halangan. Tetapi bagi mereka yang dah menganggap “ glamou r” harus mempunyai kerateria yang tertentu, terpaksalah menahan macho, walaupun dapur tak berasap.

Itu dunia seni, bagaimana pula dengan dunia perniagaan? Sebenarnya sama juga, lebih-lebih lagi di bidang jualan langsung. Jangan hairan kalau ada segolongan bangsa bukan Melayu melaburkan wang berjuta ringgit, serta menghantar begitu ramai ahli-ahli jualan langsungnya mengerjakan Haji dan umrah di atas kejayaan penjualan ahli-ahlinya.
Tak kurang juga yang diberikan sebuah kereta mewah digembar gembur bahawa inilah hasil jualan si polan dan si polan di arak ke sana sini sebagai role model mendapat kereta mewah bagi memantapkan “strategi pemasaran” padahal tak sebanyak itu pun menjual.Dah ada marketing agreement di belakang. Ini adalah kerana minat bangsa bukan Melayu kepada perniagaan yang berkait rapat dengan orang Melayu begitu menjadi-jadi sekarang ini. Majority penduduk Negara ini adalah orang Melayu dan majoriti juga orang Melayu ni pantang digoda nak beli saja. Inilah akibatnya seorang yang petah berkata-kata dan pandai menarik pelanggan tidak pernah sedar bahawa beliau telah pun bermodal dan tidak juga terfikir untuk mengusahakan perniagaannya sendiri. Akhirnya ambil jalan mudah, ambil kereta mewah gaji lumayan keluar seluruh Negara mempromosikan barangan bangsa sendiri melalui landasan bangsa lain. Maklumlah tak ramai bangsa bukan Melayu di Malaysia ni yang petah berbahasa Melayu, macamana nak meyakinkan pembeli Melayu.

Sedih bukan. Sebenarnya saya banyak menjumpai bangsa Melayu yang begitu kreatif menghasilkan ciptaan-ciptaan mereka tidak kiralah karya seni ataupun ubat-ubatan tradisional yang mempunyai potensi dan pelbagai produk lain. Namun sedar tidak sedar bukan kita yang mengaut keuntungan. Inilah yang dikatakan mempunyai modal akhirnya dipermodalkan. Bukan semua namun apa yang saya cakapkan di sini adalah majoriti. Kalau nak tahu sebabnya berdasarkan pengalaman saya melihatkan bahawa bidang promosi amat memainkan peranan yang utama di dalam dunia perniagaan.
Inilah kekurangan bangsa kita. Apabila menyebut tentang promosi tentulah melibatkan satu kos yang tinggi untuk diperjudikan juga memakan jangka masa agak panjang, masalah standard orang Melayu ialah modal pusingan yang kurang. Itulah yang ditakuti oleh orang Melayu. Sebabnya orang kita suka sangat perkataan “jangka pendek”. Apa yang cepat itulah yang sedap. Kalau tidak peratus orang Melayu tidaklah tinggi melibatkan diri di dalam “skim cepat kaya” ataupun “ broker ”. Manakala lain bagi yang bukan Melayu. Mereka mempunyai wawasan dan melabur semuanya untuk jangka masa panjang. Kalau tak percaya cuba kaji berapa peratuskah orang bukan bumiputera melabur untuk membuka kolej-kolej swasta? Nak tahu kenapa? Kerana bangsa bukan bumiputera ini gemar mengkaji dan mencari ilmu, makanya mereka sudah pun dapat meramalkan trend perniagaan akan datang iaitu keuntungan melahirkan modal insan.
Apa orang kita buat tunggu untuk dipermodalkan.Apakah ertinya modal insan itu kalau bukan dipenuhi dengan inteletual dan kemahiran. Di mana pula untuk mendapatkannya kalau bukan di pusat-pusat pengajian tinggi. Memandangkan kelayakkan untuk memasuki pusat pengajian tinggi kerajaan begitu demanding bagi bukan bumiputera, maka wujudlah kolej-kolej swasta yang bertaraf antarabangsa yang di dominasikan oleh bukan bumiputera.


Terkadang saya juga merasa hairan dengan orang kita. Nak kata tak pandai bercakap, iaitu salah satu modal yang diperlukan di dalam bidang pemasaran, banyak juga yang saya jumpa di kedai-kedai kopi ataupun coffee house yang begitu pandai bercakap. Dunia pun dia boleh jual. Kata orang Kedah goreng punya goreng , sedar-sedar makan free dari pagi sampai malam. Teh tarik free jangan cakaplah, mau dua tiga teko. Tapi bila letak di dalam dunia pemasaran yang sebenar lidah kelu tak terkata. Nak jual apa kalau ilmu pengetahuan sejengkal. Akhirnya jadilah insan yang dipermodalkan.

Dunia politik macamana pula? Sama juga. Banyak yang pandai bercakap. Tak kurang juga kata Profesor saya “banyak sudah jadi Profesor Kangkung”. Kalau nak tahu apa dia professor kangkung, lihatlah kangkung tu sendiri tumbuh merata-rata tak payah nak tanam pun. Kononnya nak jadi modal insan iaitu yang penuh di dada dengan intelektual dan ilmu, rupa-rupanya hanya di kertas itu saja nampak ilmu di dada habuk pun tak ada. Langsung akhirnya nak dipermodalkan pun tak boleh untuk rakyat menumpang kesenangan. Inilah penyakit yang saya sebutkan tadi “sistem nak cepat” tak payah belajar susah-susah beli saja kat luar negara.
Ada duit semua boleh jadi. Akhirnya bila tanya “viva di mana” jawabnya “viva di hotel sama tempat ambil ijazah, maklum lah Universiti luar negara twinning dengan universiti swasta di sini”.Apa punya lawak.Silap-silap perkataan “viva” tu pun tak pernah dengar. Tak apalah jangan dia kata “viva” tu nama planet sudah (viva adalah seminar penilaian akhir pelajar pengajian tinggi sarjana atau doktor falsafah) Ini cerita benar dari seorang pemimpin bertaraf exco yang pernah saya kenali dulu, pernah sembang-sembang dengan beliau yang ghairah nak menceritakan bahawa beliau pun ada Ijazah Sarjana.

Ada juga antaranya dipermodalkan untuk jangkamasa panjang seperti contoh apabila dimusim pertandingan. Orang-orang berniaga bertaraf koperatlah selalunya yang banyak duit mula menghimpit orang-orang politik yang berpotensi, menawarkan wang untuk dipertaruhkan. Bagi mereka yang mahu kuasa tak tahu meniaga ni pun terpaksa akur menerima tawaran. Maklumlah nak kempen kena pakai duit banyak. Tak fikir pula bila menang nak kena jolok projek pun banyak. Masa tu barulah tahu terhutang budi tergadailah body . Itulah kesudahannya insan yang bermodal akhirnya menjadi insan yang dipermodalkan.

Sedar tidak sedar inilah hakikat manusia tidak mahu belajar dari sejarah. Al Quran yang diselamatkan oleh Allah S.W.T sehingga akhir zaman nanti pun telah cukup membuktikan bahawa sebahagian besar intipatinya adalah mengenai sejarah. Terpulang bagi pembacanya adakah untuk mempelajari sejarahnya kah, atau sekadar nak bagi bunyi bacaannya sedap saja? Telah disebut berkali-kali di dalam Al Quran bagaimana hinanya apabila seseorang itu menjadi hamba dan diperhambakan. Dari zaman dahulu lagi modal insan sudah pun wujud, malahan banyak juga yang dipermodalkan untuk menghasilkan barang dagangan.
Hanya mereka yang bernasib baik dipelihara Allah sahaja yang dimerdekakan. Sekarang juga begitu, hanya kerana tersain satu kontrak tanpa memikir panjang sedar-sedar sudah terpaksa menjadi hamba. Inilah akibatnya sekiranya kita tidak menanam modal intelek dan ilmu kepada diri sendiri.
Malahan Allahyarham P Ramlee pun telah menyindir masyarakat di dalam cerita 3 Abdul, di mana orang menjual orang. kerana ghairah dengan “sistem jangkamasa pendek” tidak berwawasan akhirnya orang kena jual. Ingat !! dalam duduk ketawa menonton cerita P.Ramlee silap-silap terpaksa pula ketawa pada diri sendiri. Itulah samanya kedudukan kita tidak kira samada pelakun, penyanyi dari dunia seni ,perniagaan mahupun politik semuanya akan melalui pengalaman yang sama sekiranya menjadi modal insan dan tak pandai mempermodalkan diri sendiri akhirnya dipermodalkan oleh orang lain.
Ingat harta tidak boleh menjaga kita tetapi ilmu dapat menjaga harta dan diri kita. Oleh itu tiada jalan pintas dalam memenuhi diri untuk dijadikan modal dengan mengisi ilmu terutamanya, sepertimana nasihat IBNU MAS’UD R.A ;

“Tuntutlah ilmu sebelum ilmu itu diangkat. Ilmu diangkat dengan kematian perawi-perawinya. Demi Tuhan yang jiwaku di dalam kekuasaanNya! Sesungguhnya orang-orang syahid dalam perang sabil lebih suka dibangkitkan oleh Allah nanti sebagai ulama kerana mereka mengetahui kemuliaan ulama. Sesungguhnya tak seorang pun dilahirkan berilmu. Ilmu diperolehi dengan belajar”.

Kalau begitulah kata nasihat Tokoh Islam kita, maka janganlah kita cuba mempertikaikannya lagi. Ingat “Ilmu itu diperolehi dengan belajar”, bukan dengan membeli. Oleh itu penuhilah minda, penuhilah dada dengan ilmu pengetahuan yang dituntut dan dipelajari supaya kita dapat menjadi salah seorang yang digelar modal insan.
Setelah seseorang itu mempunyai modal yang dimaksudkan, maka pandai-pandailah mengisi pula dada dan minda dengan ilmu pemasaran, agar tahu memasarkan diri sendiri sebelum orang lain memasarkan diri anda. Kalau dahulu kita melihat sejarah orang menjual hamba dengan menggunakan loceng dan melaung “lelong!...lelong!...lelong hamba…! Sekarang pun sama saja Cuma loceng tersebut diganti dengan microphone….bersuaranya orang lain menjualnya pula orang lain.

Lagi canggih zaman lagi banyak penjual halimunan. Maksudnya pemasarnya tak nampak, yang nampak hanya orang yang nak dijual. Sendiri pasar, orang lain dapat wang besar. Ini hanyalah satu pesanan diharap bukanlah sekadar memahami tetapi harus berhati-hati. Kalau orang berminat dengan kita tentulah ada sebabnya. Kalau paling tak tahu memasarkan diri sekurang-kurangnya dapatkanlah kata sefahaman “win-win situation”, dengan kata lain “aku ada modal diri, kau ada modal pasaran….sama-sama gunakan dan makan sama rata, sama rasa.”
Fikir-fikirkanlah di mana anda sekarang adakah anda seorang modal insan atau insan yang dipermodalkan ?

No comments:

Post a Comment