ASSALAMUALAIKUM

Saturday, July 31, 2010

RASUAH VS HADIAH

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Walaupun kebelakangan ini penat betul kita mendengar permasaalahan ini, namun mahu tidak mahu tetap juga menarik perhatian saya untuk menceritakan serba sedikit pandangan saya terhadap isu yang hangat lagi menarik ni. Susah sebenarnya hendak mendefinasikan ke dua-dua perkataan di atas. Bunyinya sememangnya berlainan tapi perlakuannya macam sama saja. Kalau kita Bantu orang dan orang bagi hadiah macamana? Apa lagi kalau yang terlibat tu pegawai kerajaan. Susah kan? Nak ambil pemberi kata hadiah. Dah ambil orang yang melihat pula kata rasuah? Macamana ni?

Kita sering mengaitkan perkataan rasuah ni dengan jabatan-jabatan tertentu sahaja terutamanya pihak Polis. Tetapi kita selalu mengenepikan atau buat-buat tak pandang sesetengah jabatan lain yang juga mengamalkan rasuah. Bagaimana pun ini bukanlah satu tuduhan rambang tapi info hasil banyak bersembang. Saya hanya dapat mengemukakan beberapa contoh untuk pembaca budiman untuk sendiri membuat penilaian ke atas beberapa kes yang terlibat untuk di post mortemkan samada ianya di katagorikan sebagai rasuah atau hadiah, ok?

Satu contoh yang menarik, di sebuah jabatan polis, kebetulan seorang anggota polis telah menyelamatkan seorang pemandu lori yang terbabas di dalam kemalangan. Setelah kes itu selesai, pemandu lori didapati tidak bersalah. Kerana terlalu gembira dengan keputusan mahkamah, tauke kepada pemandu lori tersebut mencari anggota polis tersebut lalu memberi wang sebanyak RM1000.00. “Ini hadiah wa kasi lu…..tolong ambil, kalau tidak wa punya lesen kena gantung lo…”. Bagaimana pendapat anda, anggota polis yang tidak tahu menahu akan kes tersebut pun menyatakan bahawa beliau tidak membantu apa-apa, tetap tidak dipercayai oleh tauke tersebut dan tetap hendak memberi ganjaran hadiah tersebut dengan ikhlas. Lalu anggota tersebut sudah tentu akhirnya terpaksa akur dan menerima habuan hadiah yang di anggap oleh tauke tersebut. Malahan semasa mengambil wang tersebut anggota polis itu sememangnya tidak merasa apa-apa memandangkan beliau tidak pernah langsung membantu tauke itu menyalah gunakan kuasa dalam membantu kemenangan kes tauke tersebut. Lalu adalah beberapa anggota lain ternampak, lalu membuat aduan…maka anggota polis tersebut terpaksa di gantung kerja kerana dituduh memakan rasuah. Macamana? Apakah definasi sesuai yang hendak kita nyatakan di dalam kes ini rasuah atau hadiah? Anak cina makan pengatlah……jawabnya.

Apabila difikirkan kesian juga melihat peristiwa yang berlaku. Berapa sangatlah gaji seorang anggota polis jika dibandingkan dengan waktu 24 bekerja tanpa penat dan lelah. Bila ambil wang nampak sangat kata rasuah walaupun pemberian sesetengah orang berdasarkan hadiah yang kadang-kadang anggota itu pun sendiri tak tahu bila masa dia benar-benar menolong seseorang individu . Kekadang kegembiraan seseorang individu yang tersangkut dengan macam-macam kes, susah nak cakap bila terlepas dari kes ada yang terlampau bersyukur sehinggakan siapa sahaja yang tolong taip repot pun nak diberikan hadiah kerana terlalu bersyukur. Macamana nak ambil ke tidak….itulah dilema yang dihadapi oleh seseorang anggota polis. Kata orang rezeki jangan ditolak ……kalau diambil pun jadi rezeki juga….rezeki masuk lokap le…

Ada pula satu lagi kes ini pula berkaitan dengan jabatan kastam, berlaku di hadapan mata saya. Di mana sahabat saya ni sering ke Dubai, pada ketika itu saya turut serta ke sana. Apabila sampai di lapangan terbang KLIA, beliau bukan buat salah apa pun, tapi adalah seorang hamba Allah anggota Kastam ni, baik hati memungut kain-kain beliau yang terjatuh apabila diperiksa kastam, tak ada salah pun. Lalu kawan saya ni dengan murah hatinya menghadiahkan sehelai kain kepada anggota kastam wanita, kemudian terdengar suara sumbang kat sebelah “ee…jangan ambil nanti orang kata rasuah…!! Kawan saya ni pun satu dengan mulut laser dan suara yang kuat menjerit..” Hoi….suka hati aku lah harta aku..aku nak hadiah kau orang nak kata apa…kalau kakak ni kena tangkap mahkamah dunia pun aku sanggup panjat untuk bela dia…”.Tersenyap dan tercengang pula orang mendengarnya. Tetapi selagi mereka-mereka ini memakai uniform, selagi tu lah tak boleh menerima hadiah….tetap orang labelkan rasuah kan…Inilah yang dikatakan tolong free namanya. Kalau nak tahu jabatan dan dunia mana yang tak boleh dapat pertolongan free maka masuk lah dunia perniagaan dan politik.

Di dalam dunia ini perkataan “technical know who is much more important then know how” sudah lumrah didengar. Saya bercakap ini sesetengah bukan semua. Jadi bila terbaca kalau sesiapa yang nak berasa itu maknanya….kena makan pengatlah. Apa pendapat anda apabila kita hendak melobi sesuatu projek. Dengan berbekalkan sebuah syarikat yang lengkap cukup dengan keewangan dan sejajar dengan kehendak tender akhirnya 10 kali masuk tender 10 kali tak dapat. Nak salah syarikat ke nasib? Apa-apa pun di dalam dunia perniagaan ni macam-macam ada jika kita berurusan untuk mendapatkan hasil perniagaan. Bila sesuatu projek itu diberikan, ada saja yang akan sound…’tak kan tolong saja kot, harap-harap adalah hadiah….silap-silap kita pula kena makan pengat…..’.Tak kisahlah, janji dapat. Ada lah pula projek yang kita dapat, lalu ada messenger pula dihantar, untuk minta komisyen. Bila kita bagi pandai pula sound kita…anggap hadiah lah ye!” Tahu pun takut….minta dihalalkan dan paksa pula untuk kita andorsekan siap-siap takut jumpa di Padang Mahsyar katakan.

Itulah budaya perniagaan walaupun apa yang kita katakan telus ke tak telus ke hakikatnya tak ramai yang serahkan nasib pada Tuhan tetapi pada Jabatan ataupun manusia-manusia yang diberikan kuasa sementara ni. Nothing is free. Itulah kata-kata orang yang berkuasa sementara ini. Kalau kita tak layan dengan pemberian yang kononnya dikatakan hadiah ni kata pula kita ni ego orang nya. Minta tak bersungguh. Kalau nak tahu cara nak minta projek bersungguh-sungguh maka kenalah bawa mereka-mereka ini berhibur ke sana dan ke mari dulu atau dengan perkataan lain entertain la, walaupun bayang projek belum nampak lagi. Itulah yang di namakan usaha berniaga bersungguh(istilah yang nak makan rasuah lah). Akhirnya yang dapat projek hanya pandai entertain rupanya bukan pandai undertake projek tersebut. Maka berlakulah projek kantoi di sana-sini. Lepas tu kerajaan mula hairan. Apa yang menarik perhatian saya apabila salah seorang Menteri pernah menyatakan untuk menarik semula lesen kontraktor yang tidak aktif. Itulah satu-satu kenyataan yang agak lucu pada saya. Sepatutnya satu kajian dijalankan kenapa lesen tersebut tidak aktif? Jawapannya tak ada projek lah. Sepatutnya lesen-lesen yang terlalu aktif tu lah yang asyik subkan projek sana-sinilah yang patut ditarik balik. Carilah syarikat-syarikat yang ada lesen tapi tak buat kerja dan tarik balik lesen tu, silap-silap tak ada pekerja binaan pun selalu dapat projek.

Itulah yang dinamakan hairan bin ajaib. Itulah bahayanya sekiranya rasuah menular di sana-sini maka terdapatlah syarikat-syarikat santa clause yang kononnya memberi hadiah sana-sini dapat projek yang betul-betul berniaga asyik nganga. Projek besar, ganjaran besar maka jadilah wang besar..wang besar…akhirnya projek kantoi sana-sini. Hanya dengan satu alasan wang pusingan tak cukup sebab tulah tak dapat nak siapkan projek walhalnya wang pusingan tu habis dibelanjakan untuk menjadi santa clause tabur hadiah sana-sini.

Saya belajar melalui pengalaman bersama seorang ahli koperat berbangsa cina, beliau banyak mendidik saya dan berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu pandai berniaga amat mustahil tidak tahu samada wang pusingan itu mencukupi atau tidak sebelum melobi untuk satu-satu projek. Malahan beliau sudah hampir 30 tahun di dalam bidang kontraktor malahan berjaya mengharungi kegawatan ekonomi, berpendapat bahawa sekiranya wang pusingan besar maka ambillah projek yang besar sekiranya kecil maka ambillah yang kecil bersesuian dengan kemampuan akaun. Ini tidak semuanya dia sapu, pakai baju tak ukur badan. Melobi nombor satu bila dapat baru nak tinjau akaun. Akhirnya projek dapat, nak beli bata pun tak cukup wang.

Bila kita bagi contoh bangsa lain ada orang kata kita kutuk bangsa kita. Masalahnya macam saya cakap tadi bukan rambang tapi hasil bersembang. Kita bercakap melalui pengalaman. Saya rasa 16 tahun berniaga saya layak juga untuk memberikan pandangan berdasarkan pengalaman. Kalau pengalaman orang lain tak tahulah. Jangan salah faham bukan bangsa lain tak bagi rasuah atau hadiah namun apa yang nak diketengahkan adalah bahayanya apabila rasuah diamalkan. Wang mula dipentingkan dan kemahiran dilupakan. Macam bangsa lain tak apalah bila tak ada wang sekurang-kurangnya ada pengalaman dan kemahiran untuk mendapatkan projek. Kita macamana…makan pengatlah.

Pada pandangan saya tidak salah kalau memberi hadiah, sekiranya pemberi dan penerima tahu kedudukan yang sebenar kenapa, bila dan bagaimana cara ianya hendak diberikan. Oleh sebab itulah pada pendapat saya hanya diri sendiri sahaja yang tahu samada apa yang diberi atau diterima itu rasuah ataupun tidak. Pada yang benar-benar memberi rasuah saya menganggap bahawa orang yang mengamalkan rasuah adalah individu yang bukan sahaja tidak mempunyai harga diri tetapi juga seorang yang tidak mempunyai nilai dan modal pada dirinya, modal insan lah. Kalau diri tidak mempunyai kemahiran inilah akibatnya wang jadi sasaran lepas tu jadilah ahli perniagaan santa clause. Bila wang dah habis apa lagi yang tinggal untuk melobi projek kalau kemahiran pun tak ada. Tapi ingat santa clause bagi hadiah bukan rasuah. Hadiah hanya diberi sebagai imbalan untuk orang yang berbudi. Tapi lain pula istilah di dalam dunia politik, mari kita kaji pula kedudukan rasuah dan hadiah di dalam dunia politik.

Bab ni kena hati-hati kalau nak cakap sebab silap-silap ada pula orang yang suruh saya makan pengat. Walau apa pun tulis tetap tulis bagi yang tak makan pengat jangan pula makan cili ye….! Di dalam dunia politik lagi pening untuk mendefinasikan samada hadiah atau rasuah. Bagi saya sudah menjadi adab melayu kalau pergi makan kenduri orang bagi door gift atau dalam bahasa melayu buah tangan tak kiralah samada bunga telur ke cokelat ke. Kadang-kadang pula kita juga datang kenduri bawa hadiah atau bagi duit. Tetapi kalau dalam musim pemilihan buat kenduri dan bagi duit atau buah tangan silap-silap masuk dalam. Jangan kata nak bagi buah tangan silap-silap buat kenduri atau jamuan makan pun boleh diheret ke dalam (lembaga disiplin lah).

Maka oleh itu pandangan dari pengalaman yang pernah saya lalui, sememangnya menyukarkan sesiapa sahaja yang menawarkan diri untuk bertanding. Jawapannya satu kena juga pakai istilah ekonomi “tiada permintaan maka tiadalah penawaran”.Sana sini perwakilan melaung-laungkan bahawa kita harus perangi rasuah habis-habisan, tetapi dalam masa yang sama bila kita berkempen balik-balik terdengar bukan rambang tapi sembang sumbang menyatakan”tak ada duit jangan nak gatal-gatal menawarkan diri bertanding”. Maka tak faham lagilah saya.Bukan seorang tapi berpuluh-puluh yang datang bertanya “u ada duit ka?”Tapi hanya segelintir sahaja yang datang bertanyakan pengalaman dan kemampuan serta mengapa saya ingin bertanding. Paling banyak yang tanya sudah tentulah wartawan selebihnya tanya samada ada wang atau tidak. Hairan bin ajaib bila ada pemimpin makan rasuah bila dapat jawatan semua marah. Wal hal yang memilih itu pun pernah minta wang untuk pemimpin tersebut dipilih. Apa dah jadi? Jawab pula sesetengah perwakilan, masa dia melobi jawatan dia bagi kacang, sekarang dah dapat jawatan dia dapat beruk, tak kan nak tengok saja……Mulalah sana sini terbang surat layang si polan dan si polan yang makan rasuah.

Ada pula cerita yang menghantar hadiah krismas tak ada tiba-tiba santa clause hantar hadiah. Jadi jangan ingat musim natal sahaja ada hadiah tau, musim pemilihan juga hadiah melayang-layang sana sini. Oleh itu janganlah hairan bin ajaib kalau tidak ramai yang tertangkap di dalam pemilihan parti akibat rasuah kerana u know I know….banyak penawaran dan penerimaan…Bagi yang tak menawar maka out u go…Akhirnya jadilah whistle blower outside the field. Jujur-jujur tak main “u want u pay”itulah ayat yang sering saya dengar di mana-mana pada musim pemilihan. Kita bila nak dengar kempen tekak dahaga juga nak datang dengar cerita pun kena duit minyak….macam-macam permintaan undi belum tentu lagi.

Ada juga antaranya mendapat hadiah handphone. Terperanjat beruk bila kita dengar tiba-tiba talipon bimbit diberikan secara percuma di sana-sini. Prepaid jangan cakaplah melayang-layang turun. Bila ditanya, messenger pun menjawab inilah hadiah dari si polan dan sipolan mudah nak berhubung nanti. Macam mana ? Kalau hadiah tentulah bersebab bukan? Macam saya katakan tadi kismas tak ada, pertandingan sukan tak ada, budi dan jasa jauh sekali lah tiba-tiba santa clause datang bawa hadiah? Makan pengatlah kita…..Bukan rasuah tapi hadiah. Kata kawan saya kalau nak tengok wang dan hadiah datang tanpa bersebab tunggulah musim pemilihan. Apa yang pelik bila musim pilihanraya tak hujan pula hadiah dan wang selebat pemilihan?Jawab jangan tak jawab…bukan di sinilah di padang Mahsyar nantilah.

Jadi nasihat saya bagi yang mendambakan seorang pemimpin yang ideal jujur amanah dan sebagainya maka makanlah pengat….maksud saya harus difikirkan tentang penawaran dan permintaan. Kalau pemimpin yang mengamalkan rasuah yang kita mahukan maka minta-mintalah sebelum memilih. Jadi bila terpilih jangan diganggu lagi lembaga disiplin, buat penat saja. Sendiri suka sendiri bikin la….Masa makan sebelum pemilihan bukan rasuah tapi bila orang dah terpilih, dan yang dipilih pula terima hadiah, kata rasuah pula. Feninlah….feninlah ana…!

Pendapat saya secara keseluruhan tentang bagaimana untuk membezakan antara rasuah mahupun hadiah adalah terletak pada diri anda sendiri. Budak kecil pun tahu bila dan bagaimana untuk menerima hadiah. Oleh itu janganlah cuba untuk menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Kalau anak kita tak semena-mena mendapat hadiah tak kiralah samada dalam bentuk wang atau benda pun akan tanya kita balik “ibu…ni pasal apa duduk tak duduk bagi hadiah ni?” Apatah lagi kita orang dewasa dan matang tak kan lah nak belajar dari budak kecil. Tak kan lah tak boleh makan pengat…bila tiba-tiba dapat habuan. Oleh itu janganlah tunggu orang lain menilai samada kita menerima rasuah atau hadiah. Kita sendiri patut tahu apakah rasuah dan apakah hadiah. Jujurlah pada diri sendiri kerana, tidak akan ada pokok bergoyang kalau tak ada angin melainkan kera melompat atas pokok.

Siapa yang tidak mahu wang dan siapa yang tak mahu kaya, namun ingat bahayanya perkataan yang bernama wang sekiranya kita tidak tahu menilai halal dan haramnya. Janganlah meletakkan perkataan hadiah sekiranya ia terang-terangan rasuah. Hadiah boleh membawa anda kepada pahala sekiranya diberikan pada masa dan keadaan yang wajar dan hadiah juga boleh membawa kita ke pintu neraka sekiranya ia diberi dan diterima secara rasuah. Yahya Bin Mu’az Ar Razi Rh.A berkata:

Bahayanya wang
“Dirham itu ibarat kala jengking. Jikalau engkau tidak mengetahui jampinya, janganlah engkau mengambilnya!, kerana jikalau ia menyengat engkau niscaya engkau dibunuh racunnya”

Dari Abi Abdillah Annu’man Bin Basyir, r.a berkata:”Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Sesungguhnya sesuatu yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya ada perkara yang samara-samar yang kebanyakkan manusia tidak tahu. Maka barang siapa menjaga dirinya daripada barang-barang (perkara) yang samar itu maka ia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya, dan barangsiapa yang jatuh dalam perkara yang haram seperti penggembala di sekeliling tanah larangan (halaman orang), lambat laun ia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah bahawa tiap-tiap raja ada larangannya. Ingatlah bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamNya. Ingatlah bahawa di dalam jasad ada serat daging, jika ia baik, baiklah jasad keseluruhannya, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruhnya. Ingatlah, itu adalah hati”.

Cukuplah sampai di sini kita membincangkan tentang rasuah vs hadiah, kerana pada pandangan saya sukar untuk membasmikan sekiranya tidak ada permintaan. Hukum ekonomi tersebut harus dikaji selagi ada permintaan selagi itulah adalah penawaran. Kalau benar kita hendak memusuhi rasuah maka ia harus bermula dari niat setiap rakyat. Bagi sebuah Negara yang demokrasi adalah mustahil sekiranya tidak dapat membasmikan rasuah sekiranya rakyat itu sendiri diberi hak untuk memilih maka buatlah pilihan yang tepat bagaimana untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih dari rasuah. Jangan setelah pilih kerana kureeeeng, maka sana dan sini diheret ke mahkamah atau lembaga disiplin. Kalau nak basmi rasuah janganlah kerana disuap kureeeeng….tetapi kerana benar-benar didapati orang itu terlibat dengan rasuah. Jangan pula projek tak dapat akhirnya isu rasuah vs hadiah diperdebat.

Thursday, July 29, 2010

MENJADI HAMBA WANG VS MEMPERHAMBAKAN WANG

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA RASULULLAH

Pepatah Inggeris ada mengatakan bahawa “Money is not everything, but everything is Money”. Bermaksud “wang bukan segalanya tetapi segala-galanya memerlukan wang”. Melalui berkawan banyak pengalaman yang dapat dikongsikan. Manusia zaman sekarang telah banyak berubah, namun dalam perubahan yang sedemikian saya masih yakin akan kemunculan sebuah zaman selepas 1400 tahun sepertimana semangat pejuang-pejuang kita di zaman Nabi Muhamad s.a.w. Namun sekarang kalau dikaji kita sudah dapat melihat bagaimana pemikiran-pemikiran di zaman jahiliah telah muncul. Di mana kalau zaman Nabi dahulu orang Quraish baik pembesar-pembesarnya langsung tidak pandang jauh sekali mahu mendengar orang-orang dari kalangan yang tidak berpangkat dan berharta dalam memberi pandangan dan nasihat. Mereka bukan mendengar dari kebenaran yang dikata tetapi siapa yang mengatakannya.

Keadaan seperti zaman Jahiliah muncul kembali. Kalau dahulu Abu Suffian amat digeruni kerana pangkat dan hartanya di Mekah. Maka zaman sekarang banyak dan muncul lagi beberapa orang Abu suffian yang kalau dia bercakap semuanya akan menjadi benar walaupun salah. Malahan golongan yang berkeadaan seperti Nabi Muhamad pada awalnya pun ada, benar berkata-kata, bijak berpandangan tetapi tidak berwang dan berharta, jadi orang pun pandang sebelah mata. Bukanlah kita hendak membandingkan keadaan mana-mana individu dengan Junjungan Besar kita tetapi itulah hakikatnya. Sebenarnya setiap umat boleh menjadi seperti Muhamad tetapi bukan mendapat pangkatnya sebagai Nabi tetapi akhlaknya. Sebab itulah Baginda dijadikan contoh terbaik pada umat Islam.

Tetapi berapa ramai yang mahu melihat sejarah ini dari sudut pandangan sekarang. Inilah dunia wang yang wujud kembali di zaman sekarang. Kalau dahulu orang tidak sanggup masuk Islam kerana wang berlaku juga sekarang orang sanggup menggadaikan maruah Islam kerana wang. Sesetengah individu merasa begitu bangga apabila di nasihati oleh si polan yang berpangkat dan berharta. Malahan nasihat yang sama juga pernah diberikan oleh orang yang berlainan yakni tidak berpangkat dan berharta. Orang sekarang berbalik seperti zaman jahiliah yakni tidak melihat apa yang dikata sebaliknya siapa yang kata.

Inilah mengapa orang zaman sekarang gemar menjadi hamba wang. Kerana kononnya dengan wang yang banyak orang akan mendengar cakap kita. Jadilah orang itu hamba wang. Mencari dan mencari wang bagi menimbunkan kekayaan untuk orang pandang. Seharusnya wang itu kita gunakan untuk diperhambakan. Seperti menyediakan kemudahan kepada kita, sehingga kita dapat menjalankan ibadah dengan tenang. Membuat kerja atau berurus niaga secara sedang-sedang sahaja, sekadar cukup menampung hutang dan menyara makan. Kalau besar wangnya maka besarlah kebajikannya seharusnyalah.

Kita mencari wang seolah-olah esok tiada kematian. Seharusnya ketika kita memperolehi wang kewajipan kita dahulukan, dan sunnah kita cukupkan. Sebenarnya dalam mencari wang kita seharusnya menganggap bahawa rezeki boleh dicari tetapi ibadah hanya datang sekali, peluang mengerjakan ibadah tidak mungkin terjadi sekiranya kita uzur. Tetapi kalau uzur ditempat sendiri, mungkin ada juga orang yang akan datang memberi sesuap nasi ke mulut. Tetapi siapakah yang akan mengusung kita untuk beribadah.

Inilah yang dikatakan menjadi hamba wang. Menahan segala kesenangan dan ibadah sekadar untuk menimbunkan wang. Ada yang sanggup buat apa sahaja, menipu, merompak dan merasuah semata-mata untuk mendapatkan wang. Macamana dikatakan tadi seolah-olah esok tiada kematian. Anak Cina Makan Pengat Jadi Sendirilah Mahu Ingat!!

Cinta wang selalu akan dikaitkan dengan cinta dunia. Dunia umpama rumah tumpangan atau rumah sewa, bila-bila saja tuan rumah boleh halau. Manakala akhirat seperti rumah sendiri. Oleh itu tak guna kita hiasi rumah sewa kan lebih baik kita gunakan wang tersebut untuk menghiasi rumah sendiri. Kalau tak faham , dalam bahasa yang lebih mudah ialah walau banyak manapun harta dan wang yang akan ditimbunkan di dunia ini tetap akan kita tinggalkan juga. Tetapi sekiranya kita gunakan wang untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah, bukankah seperti kita menhiasi rumah sendiri. Walau banyak mana pun rumah yang kita miliki hanya satu sahaja yang akan kita diami. Walau banyak mana pun kenderaan yang kita miliki hanya satu juga yang boleh kita pandu dalam satu masa. Walau banyak mana pun wang yang kita miliki tak mungkin kita mampu makan nasi berpuluh pinggan sehari.

Tidak kita akan disoal berapa banyak harta yang telah kita timbun ketika mati. Tetapi yang akan ditanya hanya satu yakni setelah Allah memberikan rezeki melebihi kemampuanmu adakah kau telah melengkapkan rukun Islam ke lima. Kerana dalam rukun Islam hanya satu yang tak menggunakan wang iaitu shahadah, selebihnya semua melibatkan wang. Kalau puasa kena beli makanan untuk berbuka, Kalau solat kena beli pakaian, kalau zakat dah tentu dan kalau ke Haji lagilah. Itulah yang dikatakan tadi bukan tak penting wang tersebut Allah lebih mengetahui hajat hambanya. Diberikan rezeki sekira disayangiNya supaya dapat bertamu ke rumahNya dan melakukan ibadah selebihnya. Itulah harapan keutamaanNya ke atas wang yang dianugerahkan.

Belum pernah dalam sejarah hidup saya kalau orang lain tak tahulah melihat manusia yang mendahulukan ibadah Allah mati kelaparan atau hidup dalam kesengsaraan. Sebab itu kalau zaman dahulu saya lihat guru Quran saya, duduk dirumah lebih banyak dari bekerja tetapi tak pernah pula nampak susah ada saja rezeki Allah buat beliau dan keluarganya.

Sekarang barulah saya faham erti kehidupan yang pernah diceritakan oleh aruah ayah saya Sulaiman Palestin. Mengapa beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan harta dan wang buat anak-anaknya. Tak mati pula anak-anak beliau, masing-masing pandai pula cari makan. InsyaAllah belum ada lagilah yang merompak bank. Kata ayah “macam mana baba datang, begitu juga baba nak balik. Lihatlah ketika datang ketika lahir tangan kita bergenggam, kerana membawa amanah Allah, (jangan lupa tengok tangan bayi), tetapi ketika mati tangan kita lepas dan terbuka, itulah tanda Allah tidak mahu kita memegang sebarang bentuk benda dari dunia untuk kita kembali, bila badan hancur di makan tanah kain kapan pun kita tinggalkan”.

Jadi untuk apa kita bersibuk-sibuk di dunia mengerja kerja menimbunkan harta kalau sekadar untuk kita tinggalkan.Lebih baiklah kita sibukkan diri menimbunkan pahala, lebih banyak menafaatnya untuk hidup di dunia akhirat yang pasti dan kekal. Bagi yang hendak mencari wang dan harta yang melimpah ada baiknya diniatkan untuk beribadah dan bersedekah dan bukan untuk kita. Cukup sekadar sedang-sedang sahaja, supaya tak kempunan untuk ditinggalkan. Anak-anak hanya diamanahkan oleh Allah kepada kita sekadar membesarkan mereka dengan baik supaya mencintai Allah dan Rasulullah dan bukan berharta. Tak pernah Allah berpesan kepada kita memberi amanah untuk kita tinggalkan harta buat anak-anak melainkan ilmu, iman dan taqwa.

Berkata ABU WAQIT AL LAITSI R.A bahawasanya NABI MUHAMAD S.A.W telah bersabda :

ALLAH telah berfirman:

“Sesungguhnya kami (Allah) turunkan harta untuk orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Sekiranya anak Adam itu mempunyai satu lembah, nescayalah ia ingin mempunyai dua. Sekiranya ia mempunyai dua, ia hendak pula mempunyai tiga. Dan tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah sahaja. Kemudian Allah akan mengampuni siapa yang bertaubat.”

(Riwayat Ahmad dan Thabarani)

Allah Maha Mengasihani disediakan pula hukum-hukum faraid bagi hamba-hambanya yang tetap mahu meninggalkan harta buat anak-anak, namun tak kurang juga kita mendengarkan anak-anak bertelagah dan tidak berpuas hati dengan harta yang ditinggalkan. Untung batu tenggelam, untung sabut timbul. Apa yang penting biarlah mati dengan aman, tanpa ada anak-anak sibuk menguruskan harta yang ditinggalkan sebaliknya hanya sibuk menguruskan kebajikan yang diamanahkan.Muhasabahlah!!

Wednesday, July 28, 2010

KERAJAAN NAIK MINYAK VS RAKYAT NAIK MINYAK

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Begitulah apa yang sedang berlaku sekarang. Apabila kerajaan mula menaikkan harga minyak maka di sana-sini kita lihat pula demonstrasi menunjukkan rakyat juga turut naik minyak. Itulah istilah Melayu bagi marah atau naik angin. Di sana- sini kalau kita lepak atau bersembang pasti tak ada isu lain asyik isu minyak naik, harga barang naik, macam-macam lagi naik. Sampai sesak nafas dan telinga mendengarkan sana-sini bercakap tentang perkara yang sama. Sebagai penulis yang suka menjadi orang tengah mengimbangkan keadaan, maka terpaksalah saya mengeluarkan beberapa resolusi bagi kerajaan mahupun rakyat bagaimana untuk menenangkan keadaan.

Kita ini para penulis bukanlah menteri kabinet yang harus mencari jalan penyelesaian, juga bukalah seorang Perdana Menteri tetapi sekadar mengajukan beberapa resolusi secara percuma itupun kalau nak dengar, kalau tak dengar maka “tak dapek den nak nolong” kata orang minang. Bagi pihak kerajaan seharusnya lebih bersikap telus untuk membuka semua fail-fail keuntungan Petronas. Ini bukanlah apa kesian dekat makcik-makcik dekat kampung yang tak faham tentang negara yang mengeluarkan minyak tapi tak boleh turunkan harga minyak untuk negara sendiri. Kalau mereka dah faham tentulah perkara ini tidak akan dipertikaikan lagi. Manalah orang kampung nak tahu apa yang berlaku di dunia sana. Harap dekat TV atau media elektronik sajalah. Kalau nak buka internet jauh sekali. Apa yang mereka persoalkan adalah seperti yang telah dinyatakan di atas. Negara kita ada minyak tapi dunia naik negara kita pun kena naik minyak juga. Ataupun mereka akan bertanya kenapa ada minyak jual kat orang, juallah dekat rakyat sendiri tentu lebih murah. Itulah soalan-soalan paling minimal yang akan di tanya oleh rakyat jelata di Malaysia ini. Maka seharusnya pihak Kementerian Keewangan keluarkanlah pamplet ke macam menifesto kecil untuk diberikan penerangan di dalamnya tentang bagaimana harga minyak boleh naik. Kalau dalam pilihanraya boleh cetak beratus ribu menifesto dengan muka sendiri tak kanlah tak boleh letak muka negara Malaysia pula untuk memberikan penerangan kepada rakyat secara percuma.

Buku-buku kecil ini kalau diberikan penerangan secara terperinci saya rasa pasti berkesan dengan menggunakan bahasa biasa untuk menerangkan bagaimana minyak dunia dapat memberi kesan kepada negara Malaysia yang juga salah satu negara yang mengeluarkan minyak. Kerajaan seharusnya mewujudkan satu bahagian penerangan ekonomi khusus untuk memberikan penerangan secara mengeluarkan risalah-risalah kecil untuk memberikan penerangan kepada rakyat. Kalau kita lihat secara lumrah kejayaan sesebuah negara adalah terletak kepada faktor ekonominya.

Sebab itulah ada orang yang bertanya kepada saya antara Pak Lah dan Tun Mahathir, nampaknya siapa yang lebih tegas. Jawapan saya mudah sahaja, kalau nak menilai ketegasan masing-masing memanglah ada Cuma ketika Tun Mahathir memerintah rakyat kenyang dan sekarang di bawah Pak Lah kemudian Dato’Seri Najib rakyat dah mula lapar. Biasalah kalau orang lapar, mengamuklah jawabnya. Itulah pentingnya ekonomi bagi sesebuah negara. Sekarang semua orang dah cerdik pandai dan dahagakan penerangan sahaja. Sekiranya rakyat berpuas hati dengan penerangan yang diberikan oleh kerajaan tak cukup dengan bercakap keluar pula risalah dengan lebih terperinci maka sudah tentulah mereka akan faham dan kemudian diam. Sebagai pemimpin klita tak bolehlah bila di tanya mengapa minyak naik? Sebab minyak dunia juga naik, Lepas tu barulah jadi macam yang ada sekarang semuanya naik minyak naik ke kepala, ,menuding jari, demonstrasi semuanya mula menjadi-jadi. Pembangkang pula tak cukup bercakap dalam parlimen ajak pula ramai-ramai bercakap tepi jalan. Dulu letak tepi jalan depa bising, sekarang letak dalam parlimen keluar balik bercakap tepi jalan. Inilah yang dikatakan manusia jalanan. Beruk kalau dibela dalam rumah dia nak keluar juga pi ke hutan. Anak Cina makan pengat jadi sendirilah mahu ingat!!

Nasihat kepada rakyat pula “life has to go on”. Minyak dah naik pun apa nak buat lagi. Kalau harga barang naik semua naik maka penyelesaian paling baik adalah tambah sedikitlah kerja. Kalau dulu satu kerja maka sekarang kenalah fikirkan tentang part time kalau nak hidup selesa macam dulu belanja dengan kadar yang sama. Kalau tidak apa lagi kena berjimat cermatlah. Kalau dahulu makan ayam sehari seekor maka sekarang kenalah makan ayam sehari seketul. Itulah syor yang dapat diberikan. Kalau dahulu kerajaan suruh kurangkan membawa kenderaan kalau sekadar naik kereta sendiri maka sekarang kenalah belajar berkongsi kereta. Kalau dahulu naik kereta pergi kerja maka carilah alternatif lain untuk naik bas ke LRT ke. Jadi makin kurang kereta orang susah maka kita akan mudah lihat kereta orang kaya di jalan. Tak susah lagi kerja BPR. Kalau nampak pegawai kerajaan yang gaji kecil tapi minyak naik masih melaram kereta ke sana- sini maka lagi senang nak cekup. Itu kena makan pengat kalau nak faham.

Dalam zaman yang begini moden dengan pemikiran orang yang semakin intelek semakin banyak pula orang memilih untuk menjadi kutu jalanan dari duduk berbincang di meja. Ini amat menghairankan. Apabila demonstrasi semakin menjadi-jadi pelbagai persoalan mula tertanya mengapa keadaan ini semakin menjadi-jadi? Adakah kerana populariti? Apakah selama ini setiap kali ada demonstrasi jalanan apa masalah semua nampaknya tak selesai juga. Terjerit-jerit demean memekik-mekik di atas jalan apakah satu kepuasan atau sengaja hidup suka mengecohkan keadaan? Kalau benar semuanya mencari jawapan terutamanya pembangkang, maka mereka sudah hampir setengah dewan di dalam parlimen tak cukup lagi ka? Kalau rakyat yang cerdik pandai tak mahu Iqraq juga demean keadaan yang ada sekarang maka pilihanraya akan datang kita akan dipimpin oleh pemimpin jalanan yang akan memekik di atas jalan dan bukan di dalam dewan. Silap-sila parti pembangkang buka dewan parlimen di atas lebuh raya. Tak akan merasa lagi lah pemimpin akan datang nak pakai baju segak-segak berbincang dalam dewan kerana terpaksa pakai kain atau T shirt saja, maklumlah negara kita panas kalau duduk tengah jalan berpeluh pula kalau pakai coat dan tie.

Dalam keadaan semuanya naik maka kita akan lihat bertambah-tambah lah lagi manusia yang bernama pengampu, yang sanggup membuat apa sahaja untuk menambahkan ekonomi poket sendiri. Apa yang ingin saya nasihati janganlah kita sampai lupa diri bahawa kita masih ada Allah tenpat untuk memohon diberikan jalan keluar dari semua masalah. Kalau sekadar masalah ekonomi Allah yang Maha Besar menguasai seluruh ekonomi langit dan bumi, pasti Dia akan memberikan jalan keluar kepada kita. Jadi tak perlulah kita merengek-rengek kepada pemimpin atau orang kaya seperti peminta sedekah. Ingat pesan Rasulullah kalau kita mengasihi Baginda:

Nabi kita Muhamad s.a.w bersabda:

“Barang siapa bersimpuh kepada orang kaya untuk mendapatkan kekayaannya, maka hilanglah dua pertiga agamanya”.

Syaikh Abdul qadir Jailani mengatakan:

“ Dengarlah orang-orang munafik, ini merupakan peringatan bagi orang yang bersimpuh kepada orang kaya. Bagaimana mungkin orang yang telah menjalankan shalat, puasa dan Haji akan mendapatkan bagianya sedangkan ia masih belum boleh melepaskan wataknya itu? Wahai orang-orang musryrik, dengarkan. Tidakkah kamu menerima sesuatu dari Allah swt, tidakkah kamu menerima berita dari Rasul-Nya? Menyerahlah kamu, bertaubatlah dan ikhlaslah dalam bertaubat, sehingga keimanan mu menjadi bersih, keyakinan mu tumbuh, dan tauhidmu berkembang, bahkan cabang-cabangnya dapat menjulang sehingga ke Arsy. Hai manusia, jika kamu memelihara imanmu sehingga pohonnya menjulang, tentu Allah akan membuatmu kaya, terhindar dari keinginan nafsu, dan tidak merengek-rengek kepada makhluk. Dia membuatmu kaya dari usaha ‘ kaya pula dari penghasilan……”

Sebagai seorang penulis inilah sahaja kata-kata hikmah yang dapat diberikan kepada sidang pembaca di dalam keadaan yang sedang gawat ini, agar kita kembalilah kepada Allah dan pasti Allah tidak akan menghampakan kita demean memberikan jalan keluar untuk menambahkan rezeki kita. Tidak ada minyak naik atau ekonomi gawat dalam Al Quran dan sunnah yang ada hanya rezeki luas dan sempit dan itu hanya dari Allah. Jadi sebagai manusia yang ingin berpandukan al Quran dan sunnah maka haruslah kita berakal, kerana ke dua-dua risalah tersebut hanya untuk mereka-mereka yang berakal yang tentu tidak akan memilih untuk bertempik dan memekik di jalan-jalan raya hanya semata-mata kesempitan hidup. Muhasabahlah!!

Tuesday, July 27, 2010

RAKYAT MERAPEK VS AHLI MENGAMPU & MENYAPU

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Bila dekat dengan tarikh pemilihan, perkara yang paling menyeronokkan apabila kita membuka internet dan membaca pelbagai komen dari pelbagai kelompok masyarakat. Dari pemimpin sampailah rakyat. Banyak pandangan yang telah diluahkan di dalam blog-blog. Apa yang amat menyedihkan adalah kebanyakkan yang meluahkan kemarahan adalah di kalangan mereka yang tidak terlibat langsung di dalam parti politik. Inilah yang saya katagorikan sebagai suara-suara rakyat yang merapek. Mereka ini tak ubah seperti anjing-anjing yang menyalak bukit. Suara akan hilang suatu hari tetapi bukit tetap tegak berdiri. Macam busut jantan. Naik makin tinggi. Lagi tinggi busut jantan maka akan ada lagi ramai pasang lilin atas busut tersebut untuk jadikan busut tu keramat minta apa yang patut. Selalunya nombor ekor lah. Kebanyakkan pemimpin telah menjadi seperti busut jantan kebelakangan ini. manakala ahlinya pula akan menjadi seperti peminta yang mengadakan upacara ritual pada busut jantan. Bezanya Cuma tak minta nombor ekor lah tetapi minta projek. Niat tu sama Cuma cara sahaja yang berbeza. Jadi anak cina makan pengat sendirilah mahu ingat.

Banyak betul idea dan perasaan yang dicurahkan oleh rakyat. Kalau penulis lebih lagi lah. Kalau penulis ditakdirkan menggunakan air liur untuk buat dakwat dah lama kering kontang,. Namun perubahan “from bad to good” masih tidak nampak sebaliknya menjadi “ from bad to worst”. Letih saya tengok rakyat dok merapek sana-sini. Mengapa saya katakan merapek sebab antara mereka yang suka memberi komen di kaki lima, kedai kopi, pusat pengajian tinggi, kakitangan kerajaan sama sahaja, “no action talk only”.

Sedangkan ahli yang mempunyai kuasa buat tak tahu. Orang cakap depa cakap bila berhadapan dengan pemilihan orang bercakap mereka mengampu, pemimpin hulur mereka menyapu. Sampai masa dan ketika pemilihan dah kenyang menyapu kena baliklah mengampu bagi undi calon yang mengampu dan menipu, rakyat jelata. Walau bagaimana ahli parti kena tipu sekalipun tak sama dengan rakyat yang tertipu menerima pemimpin yang kaki mengampu dan menipu ni. Kerana rakyat tak dapat pun untuk menyapu lagi teruk kena tipu pula. Dah jatuh ditimpa tahi kerbau namanya.

Kesian dan amat menyedihkan. Pilihanraya terdahulu ini telah membuktikan bahawa rakyat yang selama ini merapek telah bangun untuk menunjukkan bahawa mereka sudah mulai menunjukkan kesan merapek menjadi menyampah dan akhirnya kalah. Bagaimana pula dengan era pemilihan kali ini. Apakah ada antara rakyat yang menjadi ahlli parti sekaligus menjadi perwakilan? Kalau ada nampaknya bukan sekadar lima negeri hilang silap haribulan setengah pemimpin di kabinet pula melayang. Apakah keadaan ini akan berlaku? Makan pengat banyak-banyak.

Rakyat sekarang harus tahu membezakan antara masa untuk merepek dan masa untuk diam. Biarlah saya nasihatkan di sini cukup-cukuplah menghentam para pemimpin. Kalau benar ada pemimpin yang mengampu dan menipu, maka ramai-ramailah kita masuk ke dalam parti dan jadi ahli. Sebab saya mulai merasa keliru antara ahli parti dan rakyat. Siapa yang harus dibela oleh pemimpin. Siapa yang boleh naik business class dan siapa yang naik ekonomi? Apa yang kita tahu setelah kita dilantik menjadi seorang pemimpin maka adalah wajar kita membantu semua golongan rakyat tak kiralah dari parti mana sekali pun atau sekadar ahli parti tupperware. Pokoknya semua adalah menjadi satu tanggungjawab bagi seorang pemimpin parti harus dan wajib membantu. Kalau asyik memilih geng yang sekufu sahaja maka pendek umurlah jawabnya.

Sebagai seorang rakyat yang sekadar memegang ahli parti tupperware diharap berhentilah menghentam sesama seagama, sebangsa dan senegara. Kalau nak cakap masuk gelanggang, barulah tak jadi anjing menyalak busut jantan. Busut jantan makin tinggi, anai-anai makin gemuk makan dan menimbun makanannya, akhirnya anjing mati kelaparan.

Dalam pemilihan akan datang kita akan tunggu dan lihat, apakah selama ini yang turut merapek sana-sini terdiri dari ahli parti atau rakyat marhain. Kalau benar banyak yang merapek sana-sini ahli parti maka tunggulah satu tsunami pemilihan yang besar-besaran akan berlaku. Tentu kita akan lihat semua pemimpin yang seperti tembikar bersalut emas akan pecah berkecai jadi lumpur semula. Tetapi kalau yang terpilih di kalangan mereka benar-benar “solid gold” maka ternyata satu hadiah harijadi untuk rakyat merasa terbela di masa akan datang.

Perkara pemimpin tembikar bersalut emas ni setiap kali pemilihan akan kekal sudah tidak menghairankan. Tetapi doa dan harapan saya kali ini, biarlah ahli parti menjadi cerdik sedikit, “rezeki jangan ditolak, janji maut sebagi ganti” kata pepatah saya. Kalau orang nak menghulur tak salah mengambil , seperti teman saya kata” terima hadiah tanpa balasan”. Kalau selama ini banyak pemimpin yang kita panggil sebagai “lips service” ( tanam tebu dibibir mulut ) Inilah pula masa kita nak “lips service” dengan mereka,batu mereka rasa. Banyak andaian mereka mengatakan wang adalah segalanya. Memang benar tetapi kalau wang yang diberi boleh dimakan sekali sedangkan yang bakal dipilih boleh kaut lagi berlori-lori, jadi apakah untungnya ahli kita membalas budi. Ingat!!! Jangan lupa pada sejarah. Setiap kali selepas pemilihan kita akan dengar dialog-dialog seperti ini,” dulu akulah yang kempen untuk dia menang, bila menang jangankan kata batang hidung tak nampak, talipon pun dah out of coverage”. Jangan sesekali anda lupa dialog ini, kerana ini sudah menjadi tradisi, asam garam balaci politik. Kalau tak mahu menjadi balaci dan kemudian yang dikempen cabut lari bila menang nanti, maka gunalah kuasa yang diberi buat pertama kali untuk benar-benar memilih pemimpin yang layak dan berakhlak. Ingat , makan pengat nanti sendiri mahu ingat!!

Banyak yang menyatakan di sana-sini bahawa setiap kali pemilihan parti wang turun macam hujan tetapi bila pemilihan sudah selesai wang jadi macam embun pagi, sampai tengahari kering-kontang. Banyak yang mengatakan bahawa wang sedemikian dapat berkekalan, mustahil, kerana itulah wang segera. Macam juga mee segera. Boleh makan tapi sekejap nanti lapar balik. Belum setengah tahun dah selesai wang suapan yang diberikan oleh calon kepada perwakilan tetapi bayangkan berapa lama pula mereka akan memimpin dan menyapu bila sudah berjawatan nanti. Jangan salah faham ini ditujukan kepada calon-calon pemimpin tembikar bersalut emas sahaja, Masih ramai yang solid gold tapi kena chemicle test dulu lah.

Apabila kita mendengar betapa hebatnya politik wang dalam pemilihan kali ini, mulalah hati sekali lagi tertanya-tanya, apakah ahli perwakilan kali ini terdiri dari mereka yang buta mata, buta hati? Apakah mereka-mereka ini akan terdiri dari mereka yang kosong minda dari pengalaman lalu? Itulah kata Tun Mahathir “ Melayu memang mudah lupa”. Tapi harap-harap kali ni mereka tak kan lupa kalau mereka masih sayangkan parti. Saya ingin mencadangkan agar pemimpin peringkat tertinggi parti, supaya mengambil nama setiap perwakilan dan menyemak akaun simpanan mereka,selepas pemilihan nanti. Kadang-kadang kalau kita asyik kenakan yang memberi tetapi tidak kenakan yang menerima tak adil namanya. Seperti seorang wanita membuang bayi, bila ditangkap hanya ibu yang melahirkan sedangkan nak cari bapa yang ada DNA bukannya susah tetapi tak pernah kita dengar bapanya turut ditangkap semuanya terlepas begitu sahaja. Pak Lah seharusnya mengumumkan supaya yang memberi dan menerima seharusnya kedua-dua sekali akan dikenakan tindakan disiplin parti dan seharusnya kedua-duannya dipecat baru adil namanya. Inilah dikatakan kalau orang yang nak menipu pasti tak ada yang akan menyapu.

Sebagai seorang calon bukankah lebih baik wang yang diberikan kepada perwakilan itu digunakan untuk kebajikan atau mengadakan majlis tahlil, hajat ataupun kesyukuran dan diinfakkan kepada anak yatim. Itukan lebih mulia. Apakah kita sudah tidak percayakan Allah. Sehinggakan kita lupa bahawa yang memegang hati manusia itu hanya Allah. Syaitan hanya akan memberikan gambaran dan kehidupan yang sementara sahaja kepada kita. Daripada keluar memberi rasuah mencari pengaruh secara merasuah lebih baik duduk sahaja dirumah dan cubalah untuk mempengaruhi Allah untuk mengasihi kita, kerana Dialah sahaja yang tahu apakah yang terbaik untuk kita. Biarlah apa sahaja orang nak kata, kedekut ka ataupun apa sekali pun kita sahaja yang tahu kemampuan diri kita serta harga diri kita tak perlu kita beli kalau kita mampu dan orang mahu. Kalau ada yang meminta suruh sahaja mereka minta pada bakal calon yang suka mengampu, menipu dan menyapu. Seperti kata P Ramlee “ kena dah meyamun jual penyangak”.

Bukan susah hendak mencari pemimpin yang layak, baik dan beriman. Syaratnya hanya satu, iaitu perwakilan sendiri kenalah mempunyai sifat yang sedemikian barulah terang lagi bersuluh ke atas pemimpin yang mempunyai ciri-ciri sedemikian. Sudah menjadi lumrah dunia apabila kita hendak mengenali seseorang maka kita harus kenal diri kita sendiri. Kalau kita penyangak, penipu dan penyapu maka begitu juga pemimpin dambaan yang kita mahu. Tak ramai yang mahukan pemimpin yang baik sekarang ini. Kalau tak menghulur untuk kita menyapu pasti ada saja yang tak kena dipandang kepada pemimpin tersebut. Kata AL IMAM AL GHAZALI R.A :

Mengenai kepentingan pemerintahan Islam.
“Ketahuilah bahawa syariat itu adalah asal pemerintah merupakan penjaganya. Setiap yang tiada asalnya akan runtuh, begitu juga demean setiap yang tiada penjaganya akan hilang.
“Barang siapa yang mengenal segala sesuatu tetapi tidak mengenal Allah Azza Wajalla seolah-olah ia tidak tahu apa-apa,”

“Jarang sekali keimanan itu memberikankemanafaatan apabila hatinya busuk, sedang akhlaknya rosak dan budi pekertinya cacat,”

“Hati adalah sebagai tanah sedangkankeimanansebagai benih yang ditanam disitu. Ketaatan adalah berjalan menurut arah dan arusnya hati, serta kesuciannya sebagai penggaliansungai dan aliran air yang disalurkan di situ. Adapun hati yang sudah terjerumus dalam kelazatan duniawiah dan sudah berkecimpung dalam segala kemaksiatannya, dapatlah diumpamakan sebagaitanah yang tandus yang tidak mungkin lagi dapat ditanami benih, sebab sudah tidak subur lagi untuk itu Benih yang ditanam di situ pasti tidak akan tumbuh.”

Inilah akibat yang akan berlaku seandainya kita tersalah pilih calon pemimpin kita yang akan datang. Janganlah kita sesudah tahu busuknya hati mereka janganlah kita nak cuba nasib nak menanam jawatan lagi kepada mereka kerana pemimpin yang spesis begini sudah rosak hati dan akhlaknya. Mahukah kita menyerahkan masa depan anak-anak kita kepada pemimpin yang mempunyai sebidang hati yang sudah tidak boleh disuburkan demean imam dan takwa untuk membela agama, bangsa dan negara. Iqraq!!

Monday, July 26, 2010

KUASA PEMIMPIN VS PEMIMPIN BERKUASA

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat Dan Salam Buat Junjungan Nabi Muhamad S.A.W

Ura-ura tentang pilihanraya ke 13 semakin dekat. Mungkin setahun atau satu setengah tahun lagi, Wallahualam. Banyak cerita yang berlegar di sana-sini tentang pelbagai kerenah pemimpin dari rakyat. Ada yang menyokong tetapi banyak yang melontarkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa barisan pemimpin. Kalau kita sebut tentang rakyat tentulah agak keliru, kerana kata mereka seharusnya memanafaat dari pemimpin di salurkan kepada semua rakyat. Tetapi katagori rakyat yang diletakkan adakah hanya kelompok-kelompok tertentu di dalam parti. Kalau pemimpin sedang sibuk mempersiapkan jentera pilihanraya maka tidak dapat dinafikan juga ada kelompok-kelompok rakyat yang sudah tentu berparti juga sedang sibuk mengosongkan karung wang mereka untuk di isi. Inilah namanya kelompok rakyat yang akan menaguk ketika pemimpin sedang sibuk menyiapkan prasaranan pilihanraya.

Ianya seperti telah menjadi satu budaya pilihanraya, menunggu rezeki yang tidak di sangka-sangka kata mereka. Seharusnya rakyat mengambil peluang yang akan datang ini untuk benar-benar menilai dan memilih pemimpin masa depan yang akan membangunkan Negara, bekerja untuk Alif, Ba dan Ta ( Agama, Bangsa dan Tanahair). Inilah masanya untuk kita menentukan kerajaan dan pimpinan yang bagaimanakah yang akan membawa Negara ke jalan yang diredhoi Allah. Masa ini jugalah yang seharusnya mereka nilai dan memerhati siapakah pemimpin yang berkuasa dan apakah kuasa pemimpin.

Orang tentu tidak akan memahami apakah istilah Kuasa Pemimpin dan Pemimpin Berkuasa. Kuasa pemimpin adalah tanggungjawab serta keupayaan yang diberikan oleh kerajaaan untuk memutuskan keputusan. Contoh, meluluskan projek, membuat keputusan tertentu di dalam kepimpinannya yang disahkan bahawa lingkungan itu sahaja kuasa yang telah di amanahkan kepada mereka. Berlainan pula dengan pemimpin berkuasa. Walaupun mempunyai jawatan yang kecil di dalam kepimpinan namun beliau mampu membuat keputusan walaupun di luar bidang kuasa mereka.

Kebanyakkan pemimpin berkuasa ini datangnya bersama satu package iaitu “berani”. Mereka sanggup berhadapan dengan risiko-risiko tertentu semata-mata untuk dilihat berkuasa. Kuasa adalah satu perkataan keramat yang amat di igau-igaukan oleh seseorang pemimpin. Terdapat juga pemimpin yang apabila diberikan kuasa tetapi masih takut untuk menggunakan kuasanya untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu. Tetapi tidak bagi pemimpin yang berkuasa. Mereka mampu menundukkan orang lain berdasarkan secebis kuasa yang telah diberikan kepada mereka.

Oleh itu antara kuasa pemimpin dan pemimpin berkuasa ini, mana yang lebih baik. Ini adalah pandangan peribadi saya tentulah pemimpin berkuasa. Kerana apalah ertinya kuasa seseorang pemimpin itu sekiranya beliau tidak tahu menggunakan kuasanya. Ada istilah Inggeris menyatakan : “If God give you a power and you are not powerful, then it makes you a bloodyfool”.Sesuatu kuasa itu seharusnya digunakan sehingga ianya berkesan kepada rakyat. Kita seringkali keliru apabila melihat seorang pemimpin dengan kuasanya maka kita secara tidak langsung akan menganggap bahawa pemimpin tersebut akan melaksanakan tanggungjawabnya atas kuasa yang diberi, namun tidak. Kerana apa? Kerana sebenarnya beliau tidak berkuasa untuk mendapatkan sokongan dari pimpinan-pimpinan atasan tertentu. Jadilah mereka seperti harimau sarkis. Maksudnya harimau tak bergigi. Nampak hebat tapi tak boleh buat keputusan.

Oleh itu kita janganlah keliru apabila melihat seorang pemimpin dan kuasanya. Boleh jadi mereka hanya mempunyai kuasa tetapi tidak berkuasa. Sebaliknya ada pemimpin yang tidak mempunyai sebarang kuasa tetapi mampu berkuasa. Kalau dilihat dari segi zahir tentulah rakyat dan termasuk diri saya sendiri akan memilih pemimpin yang berkuasa, tetapi jika ditinjau dari segi spiritual, pemimpin inilah yang akan menjadi seperti beraja dimata bertahta dihati. Mereka merupakan pemimpin yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memperolehi kuasa, malahan akan merampas kuasa orang lain dengan kebijaksanaan mereka semata-mata untuk dilihat sebagai pemimpin yang berkuasa.

Rakyat harus sedar sekarang dan mengkaji serta meneliti mahupun mempelajari apakah sebenarnya kuasa pemimpin, supaya kita tidak akan bersubahat menyalah gunakan kuasa semata-mata untuk mendampingi pemimpin-pemimpin yang berkuasa ini. Sekiranya rakyat cerdik mereka tentu akan bertanya mengapa pemimpin ini begitu berkuasa sedangkan mereka tidak diberikan kuasa tertentu bagi memutuskan sebarang keputusan? Jawapannya anak Cina Makan Pengat Sendriri Mahu Ingat!!

Kita harus sedar bahawa sebesar manapun kuasa seseorang pemimpin itu mereka tidak mungkin dapat melawan satu kuasa yang lebih besar iaitu kuasa yang Haq Allah s.w.t. Mereka mungkin akan merasa berkuasa dan mampu mengambil kuasa orang lain dengan membuat keputusan-keputusan tertentu, namun tetap kesudahan keputusan itu berada di dalam tangan Allah. Pemimpin yang berkuasa sering akan menyalah gunakan kuasanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Namun bukanlah semua ada juga sesetengah pemimpin yang berkuasa terdiri dari mereka yang mempunyai sokongan kuat dari pihak lain akan memanafaatkan kuasa yang diberikan Allah itu untuk kepentingan rakyat. Namun berapa ramai?

Bagi pemimpin yang berkuasa, mereka akan senantiasa menggunakan apa sahaja untuk diperlihatkan kuasa mereka, walaupun agama. Marilah kita melihat apa yang telah dikatakan oleh SITI AISYAH R.A Bahawasanya Nabi Muhamad s.a.w bersabda:

“Ada sesetengah hambaku yang akan memakai pakaian bulu kambing di depan orang ramai, akan tetapi hati mereka lebih pahit dari jadam, dan lidah mereka pula lebih manis dari madu, mereka mengelirukan orang ramai dengan agama mereka. Apakah dengan Aku mereka cuba bermegah diri, ataupun terhadap Aku mereka memberanikan diri?! Demi diriKu, Aku bersumpah akan Aku turunkan suatu bencana ke atas mereka yang akan menyebabkan orang yang bijaksana terpinga-pinga.”
(Riwayat Ibnu ‘Asakir)

Maka ingatlah tujuan hidup kita. Ingat juga siapakah sebenarnya yang lebih berkuasa melebihi dari kuasa pemimpin mahupun pemimpin berkuasa. Jadilah pemimpin kita terdahulu yang tidak pernah diberikan kuasa oleh penjajah namun mampu berkuasa membawa kemerdekaan kepada Negara, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke 53. semoga Allah memakmurkan Negara kita menuju gemilang, cemerlang dan terbilang.

Saturday, July 24, 2010

EMPAYAR UMNO VS EMPAYAR MELAKA

Dengan nama Allah Yanga Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Bosan!! Itulah perkataan yang sesuai bila mendengar komen dari segelintir pemimpin UMNO dan juga ahli-ahlinya tentang Tsunami yang menimpa Barisan Nasional . Malu!! Itu lagi satu perkataan yang sesuai apabila kita bergelar seorang Melayu di bawah sebuah kepimpinan yang dinamakan Melayu kebelakangan ini. Tsunami pilihanraya telah lama berlalu, tapi masih lagi kita terpaksa berhadapan dengan sebuah bangsa yang masih belum Iqra’ dan langsung tidak mahu bersyukur dengan peristiwa yang menimpa kita di dalam Tsunami pilihanraya baru-baru ini.

Hampir kesemua bangsa Melayu terutamanya ahli UMNO melihat tsunami tersebut dari perspektif yang tersurat sahaja dan bukan dari yang tersirat di sebalik apa yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Masing-masing secara jujur tidak mahu memikirkan tentang memperkasakan penyatuan Melayu sebaliknya menuding jari sesama sendiri dan terutama sekali kepada Pak Lah sehingga semuanya merasakan bahawa Pak Lah begitu besar salahnya membawa kepada kejatuhan beberapa negeri di tangan pembangkang. Sehinggakan seolah-olah beliau telah membawa badi kepada orang Melayu.

Tidakkah kita jelas melihat bahawa apa sebenarnya rahmat yang tersurat di sebalik apa yang telah berlaku? Lihatlah dengan mata hati dan bukan mata kepala yang penuh dengan nafsu, hasad, iri dan dengki sehingga hati masing-masing menjadi kelabu untuk melihat di mana rahmat Ilahi. Semuanya menuding jari kepada Pak Lah dan juga Khairy sehinggakan penyebab kekalahan sebaliknya yang lain terlepas lari dan makan angin dari menjawab soalan dan pertanyaan daripada pihak media.

Kalau nak tahu apakah rahmat yang diberikan Allah kepada orang UMNO adalah INTEGRITI!! Pernahkah kita sedar bahawa Presiden yang mewakili Melayu yang so called UMNO telah menang!! Siapa yang sebenarnya kalah di dalam membawa musibah ke dalam parti kalau bukan Presiden MIC dan MCA. Oleh itu pernahkah jari orang-orang di dalam BN menuding ke arah mereka? Pernahkah kita berfikir untuk mengecilkan kuasa mereka di dalam kabinet sebagai balasan kepada Integriti yang telah mereka jatuhkan di dalam parti sendiri? Rakyat bangsa apa yang menolak pemimpin di dalam parti apa sebenarnya? Kenapa kita orang Melayu masih tidak malu menuding jari ke arah pemimpin bangsa sendiri sehingga dengan lancangnya mengeluarkan perkataan peralihan kuasa dan segalanya tanpa merasa sedikitpun satu perasaan bahawa kita ini sedang melihat parti ataupun diri sendiri? Kita sebenarnya hendak menyatukan parti ataupun meletakkan diri sendiri di dalam parti dengan menyalahkan seorang pemimpin parti yang menang? Mengapa tidak langsung berbunyi di dalam parti MIC ataupun MCA untuk mengadakan peralihan kuasa besar-besaran memandangkan kegagalan pemimpin mereka menegakkan intergriti sebagai seorang pemimpin parti. Terang-terangan rakyat menolak mereka dan ternyata siapa yang menolak mereka adakah bangsa Melayu ataupun bangsa mereka sendiri.

Inilah yang dikatakan akan berulang satu lagi sejarah empayar Melaka yang begitu gagah dengan Kesultanannya dan pendekarnya. Akhirnya apa dah jadi? Siapa yang membuka pintu untuk masuknya Portugis ke dalam melaka? Siapa pula yang cuba menjatuhkan hukuman kepada Hang Tuah? Siapa yang membunuh Hang Nadim iaitu dikatakan anak kepada Dang Anum isteri Hang Jebat? Siapa kalau bukan, orang kita yang mempunyai hasad dengki sesama sendiri akhirnya membuka pintu untuk orang luar membunuh bangsa sendiri. Anak Cina makan pengat sendiri mahu ingat.

Apakah kita akan berpuas hati dengan melihatkan apa yang telah berlaku di Melaka. Akhirnya pendekarnya hilang dan sultannya juga hilang tanpa di kesan. Apakah orang UMNO mahu keadaan tersebut berulang di Malaysia secara keseluruhannya. Apabila Perdana Menteri yang dipimpin oleh orang Melayu hilang dan semua pemimpin yang berani diusir dari UMNO? Muhasabahlah!! Bila salah Khiary berbunyi sebagai pencatur politik, akhirnya VK Linggam senyap pencatur undang-undang negara lagi. Pasal apa pasal namanya VK Linggam ,kalau name Ahmad VK mungkin bunyinya sama sehebat Khairy.

Sebagai ahli UMNO seumur hidup saya merasa amat sedih apabila setiap ucapan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO bukan lagi berhujah tentang seorang pemimpin yang jujur, amanah dan tidak rasuah sebaliknya mereka hanya inginkan seorang pemimpin yang kononnya gagah, cerdik kalau makan rasuah dan beri rasuah pun tak apa janji boleh menang dalam pilihanraya akan datang. Itukah yang kita mahu? Apakah kekalahan Barisan nasional disebabkan seorang dua manusia yang tidak pernah kita dengar memakan ataupun memberi rasuah? Siapa sebenarnya yang memakan dan memberi rasuah sehingga jatuhnya integriti Barisan Nasional kepada masyarakat? Kalau pagarnya kukuh dan teguh tak mungkin pemimpin yang berada di dalam tergugat keselamatannya. Persoalannya sekarang siapakah pagar-pagar Perdana Menteri tersebut sehingga dengan begitu berani orang menuding jari, memprotes serta menghinan beliau?

Baliklah kepada sejarah UMNO suatu masa dahulu. Kekuatan UMNO ataupun bangsa Melayu suatu ketika dahulu adalah kerana kekuatan PEMUDAnya. Salah sikit pucuk pimpinan PEMUDA lah yang akan menggasak pemimpin tersebut. Begitu juga sebaliknya, bila pucuk pimpinan mereka dihentam, dimarah ataupun dihina, PEMUDA dahulu juga akan ke hadapan untuk membelanya. Apa dah jadi dengan PEMUDA harapan bangsa dan tiang negara ini. Mana negara tak jatuh kalau tiangnya lembik. Siapa sebenarnya yang lembik? Pak Lah atau PEMUDA? Makan pengat banyak-banyak dan sendirilah mahu ingat. Sejarah telah membuktikan segala-galanya di dalam kejatuhan Melaka. Jadi jangan menuding jari merata, duduk rumah baca buku sejarah banyak-banyak, maka kita baru akan sedar bahawa rupanya negara kita yang berubah cuma rupanya sahaja tetapi mentaliti masih seperti bendahara dan para menteri di dalam istana Melaka yang tidak mempunyai kerja lain tetapi hanya sibuk memikirkan untuk menjatuhkan sesama sendiri. Bila kekuatan sendiri tidak ada maka guna kekuatan asing dan bangsa asing untuk menjatuhkan bangsa sendiri dengan harapan bangsa asing itu akan mengenang budi. Sudahlah….jangan bermimpi di siang hari. Kalau anak kera anak kera juga tak mungkin nak tolong anak lembu. Makan boleh lah sepinggan tapi nak tolong belum tentu. Itulah hakikat itulah kenyataan. Jadi berpijaklah dibumi yang nyata apabila nak menolong bangsa sendiri.

Mulai dari saat ini, Pak Lah juga harus Iqra’ bila dan bagaimana hendak digunakan perkataan telus itu. Kalau bermesyuarat UMNO pun kita nak paparkan untuk seluruh dunia dikatakan telus maka itu namanya telus tak bertempat. Mana ada perbincangan suami isteri di dalam bilik disiarkan untuk seluruh dunia melihatnya. Orang lain dan bangsa lain pandai makan senyap-senyap, bergaduh pun senyap-senyap tapi bila bersama barulah nak tunjukkan pada orang ramai. UMNO juga harus bersikap demikian janganlah pentas media dijadikan tempat untuk bercakaran sesama sendiri. Di mana letaknya mesyuwarah? Sesama sendiri nak bercakap pun macam lah tak tahu nak pakai talipon kata canggih sangat. Bila nak menegur kena ada TV dan surat khabar untuk apa semua itu. Kalau nak bagi “wakeup call “pun tak kan tak tahu nak dail talipon? Apa sebenarnya pesanan sesama pemimpin itu harus dibuat secara terbuka. Pemimpin sekarang seperti sudah pantang nampak kamera. Macam seorang kanak-kanak nampak ice cream. Ingatlah di mana untungnya pada bangsa sendiri. Jangan lagi bercakap tentang diri sendiri. Jangan lagi mengikut dendam kesumat Melayu di zaman Kesultanan Melaka sehingga menuntut sumpah sampai 7 keturunan. Kita sekarang sudah berada di zaman Intelek.

Saya malu melihat perlakuan sesetengah pemimpin parti dan juga bekas pemimpin parti, menjadikan pentas media sebagai pentas teguran sesama sendiri. Kadang-kadang terfikir juga ketika bermesyuwarah apa sebenarnya yang mereka perbincangkan dan selesaikan sehingga terpaksa di bawa ke medan media. Mana ada di dalam dunia seorang pemimpin yang sempurna. Kesempurnaan seseorang pemimpin apabila mempunyai sahabat-sahabat yang tulus dan ikhlas untuk menegurnya dan bukan memujinya. Inilah yang dikatakan nasib seorang pemimpin apabila di hadapan sahabatnya menjilat, dibelakang mengumpat dan senang melihat kejatuhannya. Oleh itu ada baiknya pemimpin seperti Pak Lah mula berkawan dengan sahabat yang mulutnya seperti peluru daripada mereka yang mulutnya penuh tebu. Dengarlah Pak lah salah satu nasihat dari Hassan Al Basri R.A kepada para khalifah:

“Hai Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama, sebelum ajal sampai hari mendatang, sebelum hukum putus angin berhenti. Janganlah Paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan, jangan paduka bawa mereka ke jalan aniaya. Jangan di angkat orang-orang takbur menjadi pegawai, memerintah orang-orang lemah. Sebab mereka menjatuhkan perintah dengan sesuka hati dan semahu-mahunya sahaja. Kelak padukalah yang akan menanggung jawabkan atas dosa mereka dan yang bertali dengan itu dikumpulkan dengan dosa paduka sendiri. Janganlah paduka terpedaya dengan tipuan orang-orang yang menelan ni’mat untuk kesusahan paduka. Mereka makan segala yang eak-enak di dunia, supaya paduka menelan segala kesusahan akhirat.”

Nasihat itu jika difahami oleh Pak Lah alangkan baiknya kerana itulah yang sedang berlaku di belakang, kiri dan kanan beliau. Orang-orang yang memakan semua perkara yang baik dan membiarkan Pak Lah berhadapan sendiri dengan segala perkara yang buruk. Inilah yang dikatakan harapkan pagar akhirnya pagar memakan padi. Maka Pak Lah sudah harus mengenali sekarang apakah penyebabnya sehingga begitu banyak perkataan yang tidak baik dilemparkan kepada beliau yang tidak seharusnya berlaku di kalangan orang yang bergelar Melayu yang perpegang kepada adat dan bergantung kepada tali Allah. Muhasabahlah!!

article buku VS 2009.

Monday, July 19, 2010

TEKANAN DALAM POLITIK VS PEMUSNAHAN DALAM POLITIK

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Dewasa ini kita seringkali mendengar tentang pelbagai berita yang menimpa beberapa pemimpin politik kita. Dari rasuah sehinggalah ke skandal seks dan sebagainya. Inilah yang di namakan tekanan di dalam politik. Apa yang berlaku kepada Timbalan Menteri Kasihatan kita baru-baru ini, haruslah dianggap sebagai iktibar kepada semua pemimpin khususnya. Pada pendapat saya secara peribadi inilah yang di katakan jangan sampai kita rakyat menilai seorang pemimpin itu sebagai seorang pemimpin yang seharusnya maksum. Setiap apa yang hendak kita nilaikan adalah permasalahan yang akan merugikan rakyat mengatasi segala permasalah personal yang hanya merugikan individu pemimpin tersebut. Kita sebagai rakyat Malaysia yang seharusnya mempunyai pandangan yang lebih intelektual dalam menangani isu-isu kepimpinan semasa.

Media amat berperanan dalam menentukan cara pemikiran rakyat. Ianya seperti mengadakan satu jamuan makan, tak mungkin tetamu yang diundang dapat memilih lauk-pauk apa yang hendak mereka makan dan mereka sukai. Setiap menu makanan yang disediakan itulah di makan. Pemimpin harus lebih pro aktif dalam membentuk etika kewartawanan setiap media agar selari dengan kehendak rakyat. Pemimpin juga harus lebih bijaksana dalam memilih keutamaan masalah yang hendak di selesaikan.

Kalau bercakap tentang moral pemimpin, maka pada pandangan saya secara peribadi, itulah sebenarnya harapan rakyat. Namun hakikatnya banyak moral pemimpin telah rosak dari rumahtangga sehinggalah ke skandal dengan artis dan sebagainya. Sebagai rakyat yang professional dan juga pemimpin yang professional, persoalannya sekarang apakah priority dan keutamaan kita dalam melihat perspektif permasaalan yang dibawa oleh pemimpin kita peringkat tertinggi. Kalau kita memilih untuk melihat hanya factor moral dan keperibadian mereka sebagai keutamaan, maka tanya pula kepada diri kita sendiri apakah kita hidup untuk kepentingan mata, telinga dan tembolok kita ataupun untuk Agama, bangsa dan Negara keseluruhannya.

Sebagai rakyat terutama media kita harus memilih dan menghidang keutamaan ini kepada rakyat untuk memikirkan perspektif isu apakah yang akan membawa keuntungan kita bersama dan perspektif isu apakah yang hanya membawa kepada keuntungan individu tertentu? Jadi Anak cina Makan Pengat….sendiri mahu ingat.

Tidak dinafikan bahawa sesuatu isu yang memberikan tekanan kepada pemimpin akan menjadikan pemimpin tersebut lebih matang dan melompat lebih jauh lagi seperti menekan bola di dalam air. Tapi apakah kita dapat menilai antara sebuah tekanan dan pemusnahan yang kita usulkan di dalam politik? Oleh itu kalau menjadi seorang pemimpin maka visi jangkamasa panjang amat diperlukan supaya rakyat dapat menyaksikan dan turut serta di dalam misi tersebut. Setelah menetapkan visi maka pengisiannya juga harus sealiran. Kita telah ditetapkan oleh pemimpin tentang sebuah visi yang baik iaitu untuk membenteraskan rasuah yang begitu banyak melibatkan kerugian kepada Agama, Bangsa dan Negara. Maka media sebagai tukang masak yang menghidangkan makanan seharusnya setelah diberikan resepi tersebut maka masakan itulah sahaja yang harus kita tonjol dan hidangkan. Kalau semua resepi itu mesti mempunyai santan, maka penulis buatlah pilihan mereka jenis lauk mana yang akan di masak asalkan semuanya mempunyai santan. Kalau tak faham maka fikirlah sedalam-dalamnya. Ada akai pakai kata orang Kedah. Malahan Quran juga menyebut beratus kali bahawa ….bagi mereka yang berfikir. Jadi kalau baca Quran tanpa mahu fikir maka jadilah burung tiong jangan jadi manusia yang berakal.

Hari demi hari kita membuang masa memikirkan isu remeh temeh tentang personality seseorang pemimpin sehingga kita telah diganggu untuk melihat perkara yang lebih penting tentang mereka untuk disumbangkan kepada Agama, bangsa dan Negara. Inilah asas pokok yang harus ada pada setiap pemimpin. Itulah tekanan yang harus wujud di dalam politik dalam mencari seorang pemimpin yang boleh memberi keuntungan kepada rakyat dan Negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pemimpin harus mempunyai moral yang tinggi tetapi mereka tetap seorang manusia yang tidak dapat lari dari satu perkara besar yang dikatakan oleh Imam Al Ghazali iaitu nafsu. Malahan Rasulullah juga telah menyatakan bahawa inilah peperangan yang paling besar akan menimpa umatku iaitu “peperangan nafsu”. Sekiranya peperangan ini melanda pemimpin dan tidak melibatkan rakyat secara keseluruhannya maka kita serahakan kepada allah kerana ada cara tertentu telah disediakan buat pemimpin tersebut untuk meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Namun kalau sekiranya nafsu pemimpin melibatkan penganiayaan kepada rakyat seperti rasuah terutamanya maka bagaimana mungkin mereka akan mendapat pengampunan dari rakyat secara keseluruhannya. Jadi fikirkanlah….makan pengat banyak-banyak.

Hairan dan sungguh menghairankan apabila ada sesetengah individu yang sanggup duduk berjam-jam lamanya untuk merakam aksi seks tetapi tak ada pula video-video yang digunakan untuk merakam aktiviti rasuah yang begitu banyak dan menular di sana-sini. Apakah sebenarnya fokas dan kehendak mereka yang berbuat sedemikian? Apakah mereka merasakan bahawa itulah sumbangan mereka kepada Negara ataupun itulah yang amat digemari sebagai bahan tontonan persendirian? Inilah yang dikatakan pemusnahan di dalam politik. Kalau lebih banyak isu ini diketengahkan maka isu penting nasional sudah tentu tidak akan tercapai iaitu membersihkan rasuah.

Kita harus ingat bahawa isu moral bukan sahaja terletak kepada perhubugan seks semata tak kiralah samada sama jenis atau pun berlainan jenis, tetapi ianya juga terletak kepada cara hidup. Kalau seorang pemimpin Islam minum arak, berdakapan dan berciuman di khalayak ramai ataupun mengadakan parti-parti yang melibatkan pondan, pengkid atau perempuan dan menari berpelukan itu juga termaktub dalam ertikata isu moral. Pertanyaaan saya apakah tidak ada pemimpin yang terlibat di dalam senarai isu moral yang saya sebutkan tadi??? Bagaimana??? Mahukah mereka turut bertanggungjawab meletakkan jawatan di atas perbuatan mereka yang terlibat di dalam isu moral tersebut?? Saya sudah ada jawapannya ialah JANGAN HARAP. Jadi syor saya kepada rakyat yang rajin diluar sana para photographer dan cameramen jangan lupa memvideokan isu-isu di atas kalau rajin sangat kerana bahannya pasti banyak.

Setiap peristiwa semestinya ada hikmahnya. Seperti kata Dr Ary Ginanjar….”Sekiranya Allah membuka semua aib kita tak mungkin kita mampu berdiri di hadapan khalayak ramai untuk memimpin mahupun menasihati mereka….. Ternyata setiap manusia mempunyai aib dan dosa mereka sendiri, namun apakah yang harus dibuat oleh kita adalah dengan memohon taubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut. Namun bagaimana pula bagi mereka yang menganiayaai rakyat? Walaupun kita mempunyai aib, tetapi tidak sama kalau kita mempunyai dosa dan kesalahan kepada rakyat. Itu lebih parah. Memakan hak rakyat, berlaku tidak adil kepada rakyat tidak bertanggungjawab kepada amanah pinjaman kuasa secebis kuasa Allah itu lebih berat dari segala dosa antara kita dan Allah. Kata IMAM AL GHAZALI :

“IMAM GHAZALI" Apa yang paling berat didunia? "
Murid 1 = " Baja "
Murid 2 = " Besi "
Murid 3 = " Gajah "
Imam Ghazali = " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah."

Setiap pemimpin harus faham bahawa kuasa yang duiberikan Allah kepada mereka semata-mata adalah amanah. Maka jawatan yang disebut sebagai wakil rakyat adalah benar-benar satu jawatan untuk mewakili rakyat dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Pemimpin seharusnya menjadi “ a friend in need is a friend indeed” kepada rakyat. Bukan mengharapkan rakyat harus berkumpul mendampingi mereka semata. Waima merekalah yang harus turun ke padang mencari dan mendampingi rakyat. Mereka harus ada di dalam setiap perkumpulan rakyat dan bukan mengharapkan rakyat berkumpul menyambut mereka. Kalau semua wakil rakyat faham, maka tak banyaklah peruntukan kerajaan terpaksa dikeluarkan utnuk memanggil rakyat berkumpul menyambut mereka. Sebab itulah wakil rakyat sebagai pemimpin harus hadir ke kenduri kahwin, korban, sunat dan sebagainya yang dianjurkan oleh rakyat dan bukan disebaliknya.

Oleh itu walau apapun isu sememangnya haruslah rakyat memberikan sedikit tekanan bagi menstabilkan dan memperkuatkan politik di dalam Negara, namun janganlah kita melayani isu-isu yang hanya akan memusnahkan individu dan tidak membawa keuntungan kepeda rakyat kerana akhirnya pemusnahan pemimpin politk yang berkaliber di dalam jawatannya akan hanya merugikan Agama, Bangsa dan Negara.

Sunday, July 18, 2010

PENULIS POLITIK VS PEMIMPIN POLITIK

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN NABI TERCINTA MUHAMAD S.A.W

Sememangnya kadang-kadang saya amat berasa bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana diberikan begitu banyak pengalaman di dalam beberapa bidang yang dapat saya menafaatkan kepada masyarakat. Di dalam dunia material hari ini ramai yang terlupa bahawa kehidupan ini bukan sahaja perlu memenuhi kehendak material semata, namun kesedaran serta keperihatinan untuk membantu masyarakat juga harus diisi di dalam hati kita. Banyak orang mengatakan bahawa apakah seseorang yang tidak diberikan rezeki harta benda, wang dan pangkat dapatkah kami turut serta memberikan kebajikan kepada masyarakat atau golongan yang memerlukan? Jawapannya ada pada anda. Lihatlah sumber rezeki lain yang telah Allah anugerahkan kepada kita seperti tenaga yang sihat dan juga ilmu, pengalaman dan ilham itu juga merupakan satu sumber rezeki yang dapat kita gunakan untuk memberi menafaat kepada orang lain.

Tenaga yang sihat dapat memberikan peluang kepada kita untuk memberi bantuan kerahan tenaga di rumah anak-anak yatim contohnya. Tenaga yang sihat juga dapat membenarkan kita untuk membuat kerja-kerja gotong-royong di mana-mana rumah kebajikan. Manakala ilmu dapat memberi kita peluang untuk mendidik golongan yang tidak mempunyainya. Pengalaman pula dapat kita curahkan sebagai nasihat kepada masyarakat agar tidak akan melakukan kesilapan yang telah kita lalui, atau pengalaman dari hasil pengembaraan dapat kita kongsikan bagi memberikan pula satu pengalaman baru kepada orang yang tidak mempunyainya. Ilham pula adalah untuk kita gunakan akal kita bagi menghasilkan segala perkara yang bermanafaat untuk kita gunakan bagi memudahkan pekerjaan kita seharian, seperti mereka cipta barangan dan sebagainya.

Apa yang telah dinyatakan di atas tidak boleh dinafikan merupakan satu anugerah Tuhan kepada kita yang perlu kita pulangkan semula kepada insan-insan yang memerlukan. Kita harus ingat bahawa apa yang kita miliki segalanya adalah kepunyaan Allah, dan kita sebagai insan tidak lain dan tidak bukan hanya sebagai pemegang amanah sahaja di muka bumi ini. Segala-galanya milik Dia dan segala-galanya harus dilaksanakan menurut kehendakNya.

Macam mana? Bunyi macam ulama’ pula bukan? Rasa macam tidak ada langsung mukadimmah saya dengan tajuk yang tertera di atas. Sebenarnya apa yang hendak saya sampaikan di sini akan menuju kepada tajuk di atas jangan risau. Namun saya terpaksa memulakan dengan memberitahu kepada pembaca budiman bahawa apa yang bakal saya ceritakan adalah sedikit sebanyak akan menyentuh pengalaman dan ilmu saya di dalam pelbagai bidang. Maka secara tidak langsung ianya akan berbunyi riak, apabila kita menceritakan tentang pengalaman dan ilmu tentang diri sendiri. Itu bukanlah niat saya. Oleh itu saya berlapik dahulu bahawa apa yang bakal saya ceritakan adalah segalanya kepunyaan Allah dan bukanlah kepunyaan saya baik pengalaman mahupun ilmu. Oleh itu janganlah menanggap bahawa ianya suatu pendedahan untuk menunjukkan kehebatan sesiapa. Tiada Dia tiadalah apa yang saya ada sekarang ini.

Saya bersyukur kerana 14 tahun yang lalu saya telah diberikan pengalaman oleh Allah untuk melibatkan diri di dalam dunia politik. Tidak termasuk ilmu yang saya perolehi dari tahun 1989 mempelajari ilmu sains politik di USM. Setelah tamat pengajian pada tahun 1997 saya telah mempraktikkan ilmu yang telah saya pelajari sedikit sebanyak dari pensyarah saya yang tidak kurang tersohornya iaitu Y.Bhg.Prof.Dr.Chandra Muzaffar, di mana saya masih ingat beliau mengajar saya Politik Dunia Ke Tiga, Dr.Latiff Mohiddin mengajar Falsafah Politik, Prof. Said Ahmad dan beberapa orang lagi yang begitu rapat memberi pengajaran formal dan tidak formal kepada saya. Manakala pensyarah peribadi saya sudah tentulah Aruah Bapa saya sendiri Hj.Sulaiman Palestin. Dalam tahun 1997 sehingga 2004 berada di dalam dunia politik Kulim Bandar Bahru di bawah pimpinan Datuk Paduka Abdul Kadir Syeikh Fadzir, banyak juga pendedahan yang diberikan oleh beliau kepada saya termasuklah perlantikan saya sebagai Ahli Jawatan Kuasa Wanita beliau serta pernah juga menang tanpa bertanding jawatan tersebut. Pengalaman saya berterusan di dalam bidang politik semasa saya mula bertanding kerusi Ketua Puteri pada tahun 2002 serta 2004, maka berkembang pula pengalaman saya berpolitik dari Universiti kepada Bahagian dan terus ke peringkat Kebangsaan apabila diberi pendedahan sebagai AJK Biro Antarabangsa Wanita Malaysia sekitar penghujung 2000 serta bertanding kerusi Kebangsaan yang telah saya nyatakan.

Sekarang diberi pula Allah Ilmu, Ilham dan pengalaman saya mulai berkembang di bidang penulisan. Namun di dalam bidang sastera dan teater di Universiti saya telah pun mendapat ilmu penulisan dari bidang lakonan dan teater yang telah saya pelajari di USM. Saya masih ingat salah seorang pensyarah saya pada ketika itu ialah Dato’Shahnon Ahmad yang mengajar penulisan kreatif kepada saya sekitar tahun 1989. Sebenarnya saya telah berjinak dengan dunia penulisan dari kecil di mana umur saya 12 tahun saya pernah dibimbing oleh Aruah Harun Hassan penerbit majalah Salina dan Subki Latiff. Mereka sering kerumah dan memberi bimbingan untuk menanam minat dalam bidang penulisan. Namun sekitar tahun 2003 penulisan saya bermula di laman web UMNO. En Syariff Dom telah membuka peluang itu kepada saya. Seterusnya Agendadaily.com dan sekarang Buletin Demokrasi, kemudian Buletin Rakyat dan Akhbar Api Mahasisiwa.

Pengalaman sepertimana yang disebut di atas adalah merupakan segelintir pengalaman yang ingin saya gunakan untuk menghasilkan satu hiportesis bagi tajuk yang telah saya terterakan iaitu penulis politik vs pemimpin politik. Di dalam pengalaman yang serba cetek itu ingin saya sampaikan kepada pembaca mengapa dua dunia yakni penulis politik dan pemimpin politik senantiasa menimbulkan kontroversi antara satu dengan lain. Kemungkinan hiportesis yang dihasilkan dari pendapat dan pengalaman yang saya berikan akan menimbul salah faham antara kedua pihak namun prinsip saya adalah seperti biasa “anak cina makan pengat……

Baru-baru ini saya berpeluang untuk bersama-sama dengan penulis-penulis politik yang agak sering dikatakan penulis yang berani dan kontroversi seperti Yahya Ismail, Pak Habib (Said Hussin Al Atas), Rosli Ismail dan Noza Kepol. Kami bersidang sambil bersantai mengeluarkan pendapat dan pandangan masing-masing. Sebenarnya bukan baru saya kenali mereka hampir sudah 5 tahun saya bersama mereka. Menjadi sahabat dan musuh sepertimana sesetengah ahli politik juga. Mereka juga adalah antara penulis yang saya kagumi yang mempunyai pendirian tersendiri. Namun apa yang masyarakat umum tidak tahu atau mungkin tidak mahu tahu adalah penulis-penulis politik ini sama sahaja perangai dan perlakuan mereka macam orang politik juga. TETAPI apa yang berbeza adalah kehidupan mereka. Kehidupan orang-orang yang bernama penulis politik ini saya anggap sebagai jutawan ilmu dan pengalaman serta mempunyai anugerah yang tidak dimiliki oleh semua orang dan tidak semua orang boleh berlagak atau menyamar menjadi penulis politik TETAPI di dalam dunia politik ramai yang boleh menyamar menjadi pemimpin politik dan sesiapa sahaja yang diberikan pangkat dan kedudukan boleh mendukung jawatan tersebut tak tahulah samada membawa jawatan tersebut dengan baik atau tidak janji Malaysia Boleh!

Apabila saya sendiri melibatkan diri di dalam penulisan politik dan masyarakat sedikit sebanyak saya sudah dapat merasakan perbezaan ini. Iaitu betapa beratnya menjadi penulis politik berbanding dengan menjadi pemimpin politik. Walaupun banyak orang kata susah jadi pemimpin politik, namun anda harus tahu di dalam dunia politik kita hanya melibatkan suara. Iaitu bersyarah sana bersyarah sini, janji sana janji sini, kalau tak tepati pun sesetengah pemimpin politik ini tidak menjadi masalah kerana tidak ada hitam dan putih. Tetapi bagi penulis politik apa yang ditulis semuanya memerlukan kebenaran dan tanggung jawab. Kalau betul dan benar ok selamat . Kalau dibuatnya fakta tidak betul maka sendiri tanggung dan mahkamah dalam juga jawab.

Sebenarnya kalau dilihat dari faktor sumbangan penulis politik kepada kepimpinan Negara, tidak boleh kita nafikan langsung bahawa mereka tidak pernah menyumbang dan mereka tidak berjasa kepada mana-mana pemimpin Negara dan masyarakat. Cuba anda fikirkan sejenak dan bayangkan berapakah ramai ahli politik dan berapa pula ramainya penulis politik ini di Malaysia? Tidak sampai 1% pun, akan tetapi beberapa penulisan mereka kadang-kadang mampu mengubah pucuk pimpinan Negara dengan hanya menggunakan mata pena. Kebenaran dan keburukan pemimpin sekiranya didedahkan dengan menggunakan ilmu fakta dan keberanian dapat menentukan kedudukan seseorang pemimpin pada kacamata masyarakat. Penulis politik bolehlah dianggap sebagai suara dan kehendak rakyat di dalam menentukan pucuk pimpinan mereka. Begitulah kedudukan seorang penulis politik sekiranya mereka menggunakan mata pena mereka dengan baik.

Namun pernahkah kita terlintas untuk mengkaji atau meninjau kehidupan sebenarnya penulis-penulis politik ini? Bagaimanakah mereka menjalani kehidupan seharian mereka di dalam keadaan yang penuh berisiko ini? Pernahkah kita bertanya bagaimana mereka melalui hidup ini untuk membela anak isteri atau anak suami? Memang benar mereka tidak ramai namun bandingkan kehidupan mereka pula dengan pemimpin politik. Adakah mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti ali-ahli politik? Jawapannya tidak. Itulah kehidupan mereka hanya berbekalkan maruah dan harga diri, memperjuangkan golongan yang tertindas. Melakukan tanggungjawab masyarakat yang tidak kurang hebatnya sepertimana yang dilakukan oleh seorang ahli politik. Namun harga kehidupan yang perlu mereka bayar adalah hidup dalam keadaan yang sederhana dan tidak kurang juga ada yang hidup merempat dan daif.

Apabila persoalan ini diajukan kepada pemimpin politik tidak kiralah antara yang atas, bawah atau tengah kebanyakkan mereka berkata “macam mana aku nak tolong kalau dia hentam aku semacam di dalam penulisannya”. Apakah sebenarnya yang tersirat di dalam kenyataan tersebut sering menjadikan diri saya tidak faham. Bagi saya pemimpin tersebut kalau marah sangat kenapa tidak menggunakan kuasa politik mereka untuk membuat kenyataan terbuka tentang kemarahan mereka di dalam dada akhbar ataupun elektronik menyatakan kepada masyarakat bahawa penulis si polan dan si polan itu telah membuat satu penulisan yang berbunyi fitnah, habis cerita line clear. Ini tidak, jumpa satu perkumpulan politik ke perkumpulan yang lain mencerca di belakang penulis atau lebih teruk lagi sekiranya penulis meminta tolong tak kiralah perniagaan atau apa pun terus lesap melarikan diri dan mengelak. Kalau tak boleh tolong kata saja tak boleh tolong kan senang jangan dok “ding…dong…ding …dong”.Cakap saja terus terang “I tak boleh tolong u sebab u hentam I dalam penulisan u”.Senang kan? Tetapi keadaan tersebut tidak pula berlaku, kerana kalau betul-betul seseorang penulis politik itu menulis dengan hentam kromo maka dah lama ke dalam. Kalau tak tumbuh maka tak melata, kalau tak sungguh tak kan penulis melatah. Anak cina makan pengat…….

Pemimpin politik harus sedar bahawa penulis politik juga mempunyai tanggung jawab seperti etika penulisan yang harus mereka akur. Oleh itu tidak mungkin seseorang penulis dapat di samakan dengan seorang penyair yang hanya mengeluarkan idea penulisan mereka berdasarkan khayalan dan bayangan. Kalau penulisan begitu maka sudah tentulah mereka akan digelar penulis sastera dan bukan politik. Malahan idea-idea penulisan mereka termasuk saya sendiri kebanyakkannya datang bukan dari ilham bayangan atau fantasi tetapi dari peratusan sembang sumbang yang dipungut dari mulut orang-orang bawahan. Bila satu-satu hal itu berlaku atau dilakukan oleh mana-mana ahli politik maka itulah bahannya. Lebih-lebih lagi yang melibatkan isu kontroversi. Jadi kalau nak selamat dari penulisan panas penulis politik maka tengoklah kiri kanan, macam juga orang melintas jalan. Tapi sekarang ni kalau nak melintas jalan kena tengok atas silap-silap ditimpa tayar LRT.

Mengapa mereka menulis dengan mengeluarkan cerita-cerita kontroversi? Jawapannya senang saja kerana tidak ada pula di kalangan ahli-ahli poltik ini yang mahu keluar menghentam pula penulis politik ni. Bila diam kira betul la tu. Macam anak dara orang masuk meminang kalau diam kira orait la.....Ruangan begitulah yang dibuka sendiri oleh pemimpin politik keluar penulisan kontroversi terus diam. Tiba-tiba marah penulis tak tentu pasal. Silap-silap kalau ada kontrak dalam tangan pun sanggup koyak janji penulis politik yang hentam dia tak dapat. Apa ni “come on….be gentlemen lah”. Kalau Tanya penulis pula”pasai apa ahli politik si polan dan si polan tu tak baik dengan hang?” Jawapan mereka “biasalah tu…banyak skeleton in the cubord”. Banyak hal la tu…..

Dari pengalaman saya berada di dalam dunia politik, pada pandangan saya senang saja nak menjadikan penulis politik ini sahabat karib sepertimana rakan-rakan seperjuangan politik kita iaitu bersikap “benar dan telus” dengan mereka habis cerita. Saya menganggap pemimpin politik kebanyakkannya tidak mahu mendampingi penulis politik. Oleh itu penulis politik pula yang sukar mendampingi ahli politik ini yang sering tak angkat talipon dan tak jawab sms maka sukar bagi penulis ini untuk mendapatkan keterangan-keterangan tentang sesuatu perkara itu dengan jelas. Maka akhirnya keluarlah buku-buku “hear say”. Kalau seseorang ahli politik tersebut tidak mempunyai apa-apa agenda yang hendak disembunyikan apa nak ditakutkan, jumpalah penulis-penulis politik ini bercakaplah dari hati ke hati dan berilah gambaran dan penerangan yang jelas, mereka akan faham. Tak payahlah mereka menginap dari satu coffee house ke satu coffee house untuk mendapatkan cerita-cerita sembang sumbang dari orang kedua atau ke tiga. Kan mudah. Jawapannya “u clean I clean…no skeleton in the cubord” hasilnya tiadalah penulisan politik yang kontroversi maka tak peninglah kepala masyarakat. Kalau pemimpin politik amanah begitu jugalah penulis politik mereka pun amanah juga kalau senantiasa diberikan penerangan yang telus oleh orang pertama.(pemimpin politiklah)

Memang banyak penulis politik tetapi apa yang telah saya lampirkan di atas hanya khusus kepada penulis-penulis politik yang pro kerajaan. Mereka ni hentam…hentam juga tetapi kalau dilihat dan diselidik tidak kurang juga yang pro kerajaan . Penulis politik beginilah kita harus jaga, agar Negara cemerlang, gemilang dan terbilang. Jangan sampai mereka ini dijadikan mesin-mesin cetak yang memberi bahan kontroversi kepada pembangkang. Akhirnya siapa yang rugi mereka dan kelurga-keluarga mereka juga yang rugi. Barulah jadi macam lagu Oh Bangau. Salah sana salah sini akhirnya kerajaan jadi katak pembangkang jadi ular. Penulis politik kira apa lagu Oh Bangau tu memang kegemaran penulis politik. ……..sendiri mau ingat!

Kepada ahli politik maupun penulis politik marilah kita sama-sama melihat pesanan salah seorang tokoh Islam KHM’ISA ANSARY kata beliau:-

“Janganlah engkau memberi kerana mengharapkan balasan yang banyak! Jalankan tugas ini tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran dari manusia ramai. Menjalankan tugas adalah berbakti dan mengabdikan, tidak mengharapkan balasan dan pujian, keuntungan benda dan material. Kekayaan manusia tidak cukup untuk “membalas” jasamu yang tidak ternilai itu. Bukankah tanpa engkau, masyarakat ini akan kering dan ketiadaan Iman, kepercayaan dan pegangan? Bukankah tanpa engkau, masyarakat ini akan lenyap ditelan kesepian, tiada suluh dan pelita? Bukankah tanpa engkau hidup ini akan kerdil, hidup kehampaan dari segala kehampaan, kerana tiada Iman dan Agama? Kamu tidak ada “penyuluh-penyuluh”baru dating kedunia seperti engkau, ala mini seluruhnya akan tenggelam dalam kegelapan, kesepian dan kehampaan. Jalankan tugas ini kerana hanya mengharapkan ke Ridhaan Tuhanmu jua.”

Oleh itu marilah kita sama-sama menghargai penulis-penulis politik yang begitu banyak perjuangan dan pengorbanannya. Mengeluarkan hasil dari poket sendiri untuk menulis dan mencetak serta mengedar kepada sekelian masyarakat semata-mata untuk membawa satu kesedaran dan menyuntikkan semangat nasionalis cinta Agama, Bangsa dan Negara tidak kurang hebatnya dengan ahli-ahli politik. Kalau kita ahli politik kadang-kadang dibayar dan diberi segala kemewahan dan pengangkutan percuma untuk mengumpulkan mereka bagi mendengar nasihat dan pesanan pemimpin, penulis politik pula tidak pernah dibayar malahan membayar dan mengharapkan keuntungan yang belum tentu semata-mata untuk menyampaikan kebenaran maka fikirkanlah wahai pemimpin politik sekelian. Kuasa ditangan anada untuk menentukan pena di tangan penulis. Biarlah penulisan-penulisan politik yang akan datang tidak akan membawa keraguan kepada masyarakat samada untuk menelan ataupun meluahkan setiap apa yang bakal dibaca tentang pemimpin politik masa akan datang.Oleh itu kajilah penulisan ini penulis politik vs pemimpin politik. Kuasa anda pada jawatan kuasa penulis pada sebatang pena, tapi ingat jawatan terpaksa ditinggalkan namun tak banyak penulis politik yang meninggalkan jawatan mereka.Tiada pemecatan. Maka merekalah pemerhati yang paling hebat yang hidup sepanjang zaman, sepanjang perubahan pemimpin politik. Ingat! Oleh itu jangan jadikan kebodohan dan kesombongan kita sebagai peluang kepada orang lain.

Hasrat saya adalah untuk melihat antara pemimpin politik dan penulis politik ini lebih telus sikap mereka. Hanya itulah caranya untuk menghasilkan satu kenyataan di dalam sebuah penulisan bagi memberikan gambaran yang baik seseorang pemimpin politik kepada masyarakat. Jangan sampai suatu ketika masyarakat akan lebih menghormati kuasa pena dari kuasa pemimpin.

Friday, July 16, 2010

PENULIS BERWIBAWA VS PENULIS TERBAWA-BAWA


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA RASULULLAH

Kebelakangan ini bila sibuk dengan bloggers, ramai yang telah banyak menggunakan blog masing-masing bukan lagi sebagai satu pentas lapuran atau penulisan yang berwibawa tetapi lebih kepada agenda terbawa-bawa. Kalau dalam istilah lain kira “agenda personal”. Inilah yang dikatakan perang siber telah bermula. Sedih dan sayu bila kita yang masih boleh mewakili generasi muda membaca tulisan-tulisan yang kononnya penulis veteran dan berpengalaman tetapi menggunaklan pena dan ilham anugerah Ilahi sebagai tempat mencari makan dan membalas dendam.

Kalau zaman dahulu Zaa’ba begitu terkenal sebagai seorang penulis yang berwibawa yang banyak menghasilkan penulisan untuk berjuang kepada Agama, Bangsa dan Tanahair. Malahan penulis zaman dahulu juga telah memberi sumber inspirasi kepada saya untuk menggunakan mata pena sebagai mata pedang tidak lain adalah untuk berjihad demi kepentingan Alif, Ba dan Ta (Agama, Bangsa dan Tanahair). Sedih dan menyedihkan apabila kita dizaman ini yang tidak menggunakan mata pena tetapi menggunakan jari untuk menekan butang-butang komputer semata-mata untuk melepaskan dendam dan geram. Tak kurang juga yang menggunakan hujung-hujung jari tersebut bukan untuk menekan ayat-ayat kebenaran yang dilihat di dalam dunia politik dan pemimpin khususnya tetapi digunakan juga untuk mengilas tangan para pemimpin bagi mencari makan. Kalau tak dapat projek dari para pemimpin kehebatan pedang mula digunakan untuk mengilas tangan pemimpin tersebut. Siaplah habis mereka akan dimandikan di dalam pentas-pentas penulisan.

Kadang-kadang terfikir dibenak fikiran. Setiap hari penulis-penulis menulis tenatng perjuangan bagi memastikan pemimpin berada di atas baris orbit yang benar dan mereka juga senantiasa mengharapkan pemimpin bukan sekadar pemimpin tetapi juga ditulis agar pemimpin menjadi ikon dan contoh yang baik kepada generasi muda. Sekarang persoalannya bagaimana pula dengan penulis? Tidakkah mereka mahu menjadi ikon dan teladan kepada penulis generasi baru agar lebih berwibawa dan bukan terbawa-bawa? Anak Cina Makan Pengat jadi Sendirilah Mahu Ingat.

Penulis umpama tetamu kepada ahli politik. Bila di ajak makan kita makan tetapi bagi yang bijaksana harus memilih makanan apa yang di makan. Bukan telan semua yang dijamu akhirnya tetamu yang jamu begitu banyak dan penulis yang makan begitu lahap mula tak nampak jalan pulang. Badan berat perut kenyang maka tunggu saja tuan rumah yang menjamu. Mulalah jari menulis yang baik-baik sahaja, kemungkaran mula ditutup agar tuan rumah terus menghidangkan makanan. Oleh itu sebagai penulis janganlah makan banyak-banyak di dalam satu rumah nanti kenyang susah nak balik. Bagi yang faham-faham lah bagi yang tidak makan saja pengat agar sendiri mahu ingat.

Kalau dah yang tua-tua dan berpengalaman di dalam bidang penulisan ini dah bebal dan tak boleh menasihati dan menunjukkan teladan kepada penulis generasi baru ini, maka biarlah yang dikatakan penulis berhingus ini memberikan sedikit nasihat. Kita sebagai penulis lebih-lebih lagi sebagai seorang wartawan seharusnya tugas kita hanya melaporkan sesuatu peristiwa tersebut dengan benar dan bukan terbawa-bawa dengan emosi dan perasaan. Bukankah seseorang penulis itu seharusnya mempunyai etika kewartawanannya sendiri bukan terbawa-bawa dengan emosi peribadi. Kalau penulis mula terbawa-bawa dengan isu peribadi maka jadilah seperti memberikan talak kepada orang perempuan. Silap-silap haribulan hari-hari minta cerai. Sebab itulah Allah telah memilih hanya segelintir sahaja manusia di muka bumi untuk menulis dan bukan semua diberikan bakat di dalam penulisan. Ada sebabnya dan ada asbabnya, macam talak diberikan kepada kaum lelaki.

Kadang-kadang terfikir juga selalunya yang beremosi kaum perempuan sebab faham-fahamlah apa yang mereka terpaksa lalui setiap bulan. Ini nampaknya dah terbalik penulis lelaki pula yang menjadi seperti perempuan datang bulan beremosi tak menentu. Ingat padang ragut kita ialah dunia penulisan. Kalau nak pahala pun di situ kalau nak bala pun di situ. Kalau tidak ada spiritual komitmen susahlah. Semua orang nak kita kerjakan. Ingat hari ini kita kerjakan orang lain kali Tuhan kerjakan kita pula.

Sebagai generasi muda, nampaknya kami lebih beretika untuk tidak mengenengahkan isu peribadi berbanding dengan yang terdahulu. Contoh paling ketara apabila kebelakangan ini mereka penulis terbawa-bawa ini begitu gemar melaga-lagakan pemimpin dahulu dan sekarang. Kita yang muda ni pun faham, demi Alif, Ba dan Ta, dalam jangka masa panjang siapa yang bahagia kalau kita menggunakan penulisan kita untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin hebat kita dulu dan sekarang? Pada pendapat saya secara peribadi. Contohnya Tun Mahathir merupakan seorang bekas Perdana Menteri kita yang hebat semua dunia tahu tentang kehebatan beliau, dan kalau difikirkan tentang faktor umur dan pengalaman jangan sekali dipertikaikan. Seharusnya kita apabila berhadapan dengan beliau sekadar menjadi pendengar yang baik. Beliau boleh berkata apa sahaja kerana beliau berhak. Tetapi kita sebagai penulis mengapa harus mengutip ucapan-ucapan yang tidak menafaat untuk mencetuskan kemarahan orang laijn. Banyak lagi teks ucapan beliau yang mengatakan kebimbangan beliau terhadap parti dan Negara yang harus kita lihat, bagi menyemarakkan semangat pembaca berganding bahu membantu pemimpin kita yang sekarang.

Saya pernah di ajar oleh penulis-penulis senior tentang sudut penulisan. Dan pernah saya nyatakan seorang penulis itu boleh membaikkan dan memburukkan satu-satu keadaan bukan dengan mendengar seluruh ucapan tetapi hanya dengan satu perkataan yang buruk boleh dijadikan baik. Tetapi hairan sekarang ini penulis lebih gemar memilih satu perkataan dan mengolahnya dari keupayaan membaikkan kepada memburukkan sesuatu suasana.

Seharusnya isu Mahathir dan Pak Lah ini di tangani dengan baik oleh penulis. Apa yang menghairankan orang yang dikata duduk diam tak berkata apa-apa yang menulis pula terbawa-bawa. Tak pernah saya mendengar Pak Lah mengeluarkan sebarang komen. Penulis pula lebih kuah dari sudu. Suka melihat sesama bangsa dan agama bertelagah. Bangsa lain apa lagi tepuk tangan.Seseorang penulis seringkali dikatakan orang yang berilmu jadi dengarlah nasihat Tokoh hebat ini FUDHAIL BIN IYADH

“Satu daripada tanda nifaq ialah seseorang bergembira dengan cacian terhadap sahabatnya sendiri”.

“Saya menaruh belas kasihan kepada tiga orang, iaitu orang mulia yang menghina diri, orang kaya yang memiskinkan diri dan orang berilmu yang dipermainkan oleh dunia.”

“Sampai kepadaku bahawa orang berilmu yang fasiq didahulukan penyikasaannya pada hari kiamat daripada penyembah berhala.”

Oleh sebab itu sudah-sudahlah menggunakan pentas penulisan untuk melepaskan dendam mahupun mencari makan. Jadilah penulis yang berwibawa dan bukan penulis yang terbawa-bawa.

* Article di dalam buku politik VS...


Thursday, July 1, 2010

ULAMA' POLITIK ,ULAMAK" TV, ULAMA' REALITI TV APA LAGI SELEPAS INI??

Mungkin ramai yang akan marah apabila kita mulai menegur satu golongan yang dianggap oleh sesetengah masyarakat sebagai pewaris Nabi. Saya masih berpegang kepada asas Pewaris Nabi. Namun apa yang berlaku dewasa ini pada pandangan saya yang tidak seberapa alim ini rasanya adalah arus yang kurang sihat telah di bawa oleh pemimpin dan masyarakat.

Suatu ketika dahulu Ulama' lahir ke dunia ini untuk menjadi nahkoda bagi menunjukkan jalan yang betul dan benar. jalan yang diredhai Allah. Kita semua tahu berapa ramai masyarakat akan sanggup ke kampung, ke madrasah dan kemana sahaja untuk mencari ulama' bagi mendapatkan garis panduan dan arah tuju yang benar di dalam kehidupan.

Apa sudah jadi sekarang? Nampaknya mereka terpakasa pula mengikut apa yang di arah oleh pemimpin dan masyarakat. Apakah kerana mereka sudah ramai sehingga, mereka pula terpaksa mencari orang politik dan orang media untuk menempatkan diri mereka? Persoalannya untuk apa? Biarlah saya menyatakan secara jujur pandangan seorang penulis kerdil bahawa saya amat tidak senang dengan arus yang dibawa oleh masyarakat mahupun pemimpin dalam menempatkan ulama' ini di dalam arus politik mahupun arus media (realiti TV terutamanya).

Apa yang merisaukan saya di masa akan datang, mungkin akan terjadi. Ulama' seharusnya disimpan sebagai sebuah khutub khanah dan digerakkan seperti perpustakaan bergerak. Maksudnya di sini sekiranya ada sesiapa yang mahukan rujukan agama maka datang, dan bagi mereka yang tidak datang maka ulama' inilah seharusnya pergi menyebarkan ilmu mereka secara bebas dan tidak terikat.

Rasional saya hanya satu. Sekiranya Ulama' diletakkan sebagai orang politik, apa jadi sekiranya ada nila setitik masuk ke dalam susu yang bergaul bersama ulama' ini tadi? Tidakkah ini akan turut mencemarkan Islam? Kalau Ulama' dikatakan pewaris Nabi, maka bayangkan sekiranya beberapa ahli politik yang berada di dalam parti yang sama membuat maksiat, atau kemungkaran? Apakah tidak mungkin Ulama' yang berparti ini juga turut tercemar? Apakah kita mahu melihat pewaris Nabi kita dikutuk dan dimaki sepertimana yang telah sudah sedia ada selama ini contoh terbesar seantario Malaysia? Apakah kita boleh menjaminkan bahawa sekiranya seseorang masyarakat itu bencikan parti kita tidak akan bencikan agama kita? Apakah ini satu tindakan yang sihat? Saya masih boleh menerima sekiranya seseorang ahli politik itu di caci maki tapi bukanlah seorang Ulama'. Memang benar mereka tidak maksum namun lebih menyedihkan lagi sekiranya kemungkaran orang lain terpalit pada mereka. Akhirnya Ulama' ini akan menjadi seorang yang "suci dalam debu". Ingatlah bahawa setiap Ulama' tentu juga menjadi Imam, dan setiap Imam tentulah mempunyai makmum. Bayangkan tak kala Imam tidak lagi dipercayai, makmum sudah tentu akan cabut lari. Iqraq!!

Begitu juga dengan imam realiti TV. Kalau sebelum terkenal, sudah menjadi fitrah mana-mana ibu dan bapa di dalam dunia mahukan anak menantu dari kalangan Imam, itu pun sudah sukar bagi seorang imam mengawal dirinya yang menjadi rebutan setiap insan. Bayangkan ketika seorang Imam tersebut yang masih muda dipopularkan. Saya harap imannya adalah sekukuh gunung Everest. Kerana kalau tidak bayangkan satu sahaja kesilapan yang dibuat oleh mereka akan menggugurkan beribu iman makmum di belakang mereka.

Harapan penting pada saya "BIARLAH HILANG UNDI, BIARLAH HILANG POPULARITI ASALKAN JANGAN HILANG IMAN DI HATI".

Peringatan penting dari saya : " Kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan di duga buat Ulama' politik dan Ulama' realiti TV". Perbaharuilah nawaitu setiap hari, jangan sampai yang dikejar tak dapat yang di kendong berciciran". Bangsa dan Negara yang diperjuang akhirnya Agama terpaksa digadaikan.