ASSALAMUALAIKUM

Sunday, November 10, 2013

RASUAH POLITIK : BETUL KE BOHONG?

Bismillahirrahmanirrahim Selawat dan Salam Buat Junjungan Kita Nabi Muhammad s.a.w Pemilihan baru ini pejam celik pejam celik sudah hampir sebulan berlalu, namun pelbagai isu tentang perjalanan pemilihan baru-baru ini masih hangat diperkatakan di media sosial sana sini. Banyak yang diperkatakan dari isu Wanita, MT, Pemuda dan Puteri serta barisan kepimpinannya tidak terlupa juga barisan disiplin UMNO. Tetapi di dalam banyak isu yang menarik perhatian saya adalah isu kononnya rasuah masih berleluasa di dalam setiap pemilihan. Walaupun pelbagai cara dan pembaharuan yang dilakukan oleh Dato Seri Najib untuk mengurangkan gejala rasuah yang pernah dikatakan satu masa dulu begitu kuat dikalangan calun pemilihan ketika menggunakan kaedah lama, yang hanya melibatkan dua ribu lebih perwakilan, namun dengan kaedah baru yang melibatkan hampir seratus empat puluh enam ribu, rupanya masih wujud malahan lebih teruk dan banyak lagi. Persoalannya adakah betul ke bohong? Ketika isu rasuah sibuk diperkatakan, saya mulai terfikir, di mana mula timbul pertanyaan ini? Adakah dikalangan ahli atau di kalangan pemimpin? Setelah melalui sendiri pengalaman pemilihan, saya sedar bahawa ia telah menjadi satu buah mulut dikalangan ahli. Kata mereka tentulah dikalangan pemimpin ini tidak akan memperkatakannya kerana siapa yang nak mengaku kalau berak ditengah jalan. Bermaksud seolah-olah hanya pemimpin sahaja yang harus dipertanggungjawab dan dipersalahkan apabila ia melibatkan rasuah. Bagaimana dengan ahli yang menerimanya? Apakah ikhlas mereka membenci rasuah? Adakah mereka ikhlas ingin berubah dan membasmikan rasuah dikalangan pemimpin? Atau perubahan itu harus dimulakan oleh mereka dahulu? Ketika kita mendalami ilmu Agama, di mana letaknya kedudukan seorang penerima dan di mana pula terletaknya kedudukan dosa yang memberi? Saya mulai bertanya para Ulamaq dan ternyata merka berpendapat dosa seorang penerima merupakan dosa yang paling besar dan lebih mendatangkan mudharat kepada ummah berbanding dengan pemberi. Walaupun ke dua-duanya sama berdosa besar tetapi yang menerimalah akan lebih melibatkan kerosakan pada diri mereka kerana wang rasuah tersebut akan dimakan dan menjadi darah daging mereka. Bertambah pula kalau ia melibatkan anak, isteri dan suami atau keluarga. Cuba bayangkan bagaimana penerimaan rasuah itu boleh menghancurkan rohani keimanan seseorang. Bukanlah tujuan saya untuk mengkaji seberat mana rasuah ini tetapi dari hasil penilaian saya ternyata sekiranya siapa pun tidak mahu mengambil pasti tidak akan siapapun menerima. Kaedahnya sama dengan makanan haram seperti babi. Semua orang kafir sudah tahu dan maklum mana-mana insan yang beragama Islam secara waras dan beriman akan menolak pemberian bangsa lain sekiranya ia melibatkan benda makan yang tidak halal itu seperti babi atau arak. Maka lama-kelamaan bangsa kafir ini akan menjauhkan diri dari menawarkan perkara seumpama itu berlaku iaitu menawarkan makanan haram kepada seorang Islam yang waras dan beriman. Itulah penilaian serta penelitian yang saya lakukan ke atas rasuah. Malahan Tun Mahathir juga pernah berkata sekiranya ada orang melayu/Islam yang memakan rasuah sama juga dengan makan babi. Walaupun kesat bahasa itu namun ia merupakan satu kebenaran yang harus ditelan oleh setiap melayu/Islam di Malaysia. Persoalannya sekarang bagaimana untuk memberi kesedaran terhadap kejijikan rasuah ini? Saya pasti Perdana Menteri sedang dan harus memikirkan sedalam dalamnya. Banyak orang menganggap ianya sudah menjadi satu budaya di kalangan ahli untuk menerima apa yang pemimpin berikan, lebih lebih lagi sekiranya barangan percuma itu berbentuk wang ringgit tanpa memikirkan niat dan tujuan asal perbuatan tersebut ditawarkan. Saya berani katakan bahawa TIADA POLITIK WANG YANG TERLIBAT DIKALANGAN PEMIMPIN KETIKA PEMILIHAN BARU-BARU INI!!.Kenapa saya berani katakan sedemikian kerana sampai saat ini tidak ada seorang ahli pun dikalangan 146,000.00 yang berani tampil membawa bukti bahawa politik wang wujud semasa pemilihan. Tidak masuk akal langsung dikalangan ahli seramai itu tidak berani menyatakan kebnenaran dan menegakkan agama Allah serta larangan Allah. Apakah benar ahli mahukan perubahan dan mahu memeperkasakan Agama di dalam UMNO? Amat menyedihkan hati sekiranya ada dikalangan ahli yang mengambil rasuah tetapi lebih takutkan manusia dari Allah. Ada juga yang berkata dikalangan ahli kami ambil dari pemimpin si polan ini tetapi tetap memangkah orang lain. Bagi saya kalau yang memangkah saya dan masih mengambil rasuah dari orang lain itu tetap dosa besar. Itu tetap perbuatan haram. Mula-mula melakukan dosa dengan mengambil rasuah kemudian cuba pula menghalalkan cara, Nauzubillah himinzaliq!! Peimpin atasan terutamanya Dato Seri Najib harus membuat kajian ke atas larangan memakan babi dan meminum arak. Bagaimana kesedaran ini begitu kuat di dalam hati umat Islam sehingga ada yang sanggup memuntahkan kembali jika mengetahui ianya makanan haram. Tetapi pelik bagaimana sukar pula untuk menanam kesedaran ini kepada umat Islam sehingga mereka sanggup memulangkan balik wang rasuah sepertimana mereka memuntahkan arak dan babi. Mungkin para ulamaq dan pemimpin dapat mencari resolusinya. Apa yang saya takuti adalah budaya menghalalkan cara kian berkembang. Mereka akan mengubah hukum Allah daripada haram kepada wajib seperti kata sesetengah pihak “orang bagi kena ambil tapi belum tentu wajib pangkah”. Saya mendambakan satu hari nanti apabila ahli UMNO yang semakin celik agama akan tampil mendahulukan Allah dari ketakutan kepada pemimpin. Lama kelamaan ketakutan kepada pemimpin itu mulai membawa syirik kepada diri. Umpama ibubapa yang menakut-nakutkan anak pada hantu. Begitulah keadaan ahli selama ini. Bila mereka ditakut-takutkan dengan ayat “kalau kau lapur pada SPRM jangan harap sangkut, semua UMNO boleh tutup. Itu adalah ayat lazim ahli, kenyataannya mereka masih disitu mengambil rasuah dan memeluk tubuh lalu menulis dan bercakap dikalangan ahli bahawa pemimpin UMNO semua rasuah. Satu kenyataan akhirnya menjadi khayalan semata seperti si luncai bermimpi di atas pokok, hanya tunggu jatuh sahaja. Rasuah harus bermula dari bawah sekiranya hendak dibasmikan. Kesedaran tentang rasuah harus ditarbiahkan kepada penerima dahulu sepertimana mereka enggan memakan babi dan meminum arak. Kalau kesedaran ini berlaku maka sudah tentu tiada seorang umatpun akan menawar dan memberi. Maka marilah kita ikraq bersama dan mulai bermuhasabah. Pintu taubat senantiasa terbuka. Sebelum kita menuntut sebarang perubahan hanya menggunakan kalam sahaja, maka inilah masanya kita bersatu mulai berserta dengan perbuatan. Jangan sampai tanpa kita sedari perkataan pemimpin rasuah lama kelamaan akan menjadi satu doa buat kita sehinggakan Allah benar-benar akan menghandirkan seorang pemimpin perasuah buat kita dan akan menjadi keseninambungan bagi anak cucu kita. Nauzubillah!! “dan janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan cara dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Surah al-Baqarah, ayat 188) “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201. Beirut: Muasasah al-Risalah).