ASSALAMUALAIKUM

Saturday, November 19, 2011

PEMBANGKANG MUFLIS

Setiap hari kita mendengar pelbagai tuduhan dan kehendak yang dilemparkan parti pembangkang terhadap kerajaan. Pelbagai usaha yang dilakukan untuk menuding jari bagi mencungkil kelemahan kerajaan. Mungkin ramai yang telah lupa bahawa strategi parti pembangkang sudah sampai ke penghujung jalan. Apa yang bakal dicatatkan di sini hanya satu analisis sendiri bagaimana pihak pembangkang mengadakan pelbagai strategi bagi meraih sokongan pelbagai kelompok masyarakat. Kita mungkin terlupa bahawa masyarakat Malaysia bukan sahaja terdiri dari pelbagai lapisan bangsa tetapi juga pelbagai lapisan kelompok masyarakat. Antaranya kelompok “perkaumanan” yang wujud tidak kira di dalam bangsa apa sekalipun, samada Melayu, Cina ataupun India dan Kristian. Terdapat juga kelompok Mat rempit, Kelompok NGO, agamawan, belia, golongan miskin dan juga golongan homoseksual. Maka di sini mari kita lihat satu persatu analisis bagaimana parti pembangkang menggunakan pelbagai isu bagi menyesuaikan setiap kelompok yang menjadi sasaran bagi meraihkan sokongan untuk pilihanraya ke 13 akan datang.

Pertama kes Namawee, saya katagorikan dia di bawah kelompok “racist”. Inilah caranya mereka menggunakan Namawee untuk melakukan pelbagai cara bagi menarik kemarahan kerajaan dan bangsa Melayu terhadap satu budak Cina. Mereka hanya menunggu sahaja tindakan yang akan diambil ke atas Namawee. Sekiranya sebarang tindakan di ambil percayalah sedikit sebanyak mereka akan membawa Namawee untuk berkempen dan menyatakan bagaimana dia telah diperlakukan secara tidak adil oleh Kerajaan dan keadaan ini sudah tentu akan membawa kemarahan kaum Cina sekiranya sebarang tindakan di ambil oleh kerajaan. Dengan kebijaksaan kerajaan perkara tersebut telah berjaya ditangani. Bagaimana caranya? Lahir sudah sebuah filem oleh beliau, maka isu yang pernah dikatakan oleh pembangkang bahawa budak ini hanya ingin menunjukkan bakat dan kreativitinya, sudah terbukti, walau filemnya tidak se kreatif mana pun. Maka membisulah kelompok “racist” tersebut.

Kedua, Isu “BERSIH”, ia merupakan satu taktik untuk menarik golongan dari kelompok NGO bagi mempersetujui kehendak dan permintaan yang digariskan sebagai adil dan bersih. Sedangkan kita semua tahu kronologi bagaimana isu tersebut berlaku. Sekiranya mereka ingin mengadakan sebarang tuntutan, secara professional hanya perlu menghantar memorendum kepada SPRM. Dikatakan mereka cuba untuk mendapatkan temujanji dengan SPRM, kerana kesukaran untuk berbincang dengan Pengarah SPRM, maka satu demonstrasi aman harus di adakan. Isu sebenar hanyalah ingin mendapatkan perhatian dari pihak NGO sahaja. Sedangkan kita semua tahu bahawa tawaran telah pun diberikan oleh kerajaan untuk mereka berada di dalam panel SPRM tetapi lain pula yang dituntut. Akhirnya isu tersebut terdiam, kerana sudah muflis isu.

Ke tiga, Isu “Negara Kebajikan” juga sudah terjawab selepas pengumuman belanjawan oleh Perdana Menteri yang ternyata begitu prihatin ke atas kebajikan rakyat. Sudah tentu apa yang bakal dilaksanakan oleh “buku jingga” sudah lama dan telah lama dilaksanakan oleh kerajaan. Seperti pelbagai subsidi gula, petrol, beras dan pelbagai lagi. Sedangkan apa yang hendak dilaksanakan di dalam “buku jingga” masih menjadi impian yang belum menjadi kenyataan. Lebih-lebih lagi apabila tidak dinyatakan pembangkang bagaimana cara mereka untuk menjana ekonomi selepas 100 hari membelanjakan wang . Mungkin setelah 100 hari rakyat Malaysia terpaksa mengikat perut semula bagi merealisasikan impian “buku jingga”. Isu menjana dana tidak terjawab sekali lagi muflis.

Isu yang akhir ingin dibincangkan adalah bagaimana akhirnya pembangkang ingin pula menarik perhatian “kelompok homoseksual”. Ini saya namakan ”modal terdesak” Mungkin rakyat Malaysia telah lupa bahawa kelompok ini hari demi hari berkembang di Malaysia. Dengan membuat isu sedemikian ianya sedikit sebanyak meraih sokongan bakal pengundi dari kelompok ini. Kita semua tahu bahawa mereka tidak kira “gay”, “biseksual” ataupun “lesbian”, tetap mempunyai kad pengenalan dan layak untuk mengundi. Inilah modal akhir yang digunapakai parti pembangkang bagi meraih sokongan.

Kalau hendak dibincangkan di sini isu tentang kelompok sudah tentu 200 mukasurat pun belum tentu cukup. Maka saya amat berharap kerajaan akan mula membuka mata bukan sahaja untuk meraih sokongan bangsa mahupun kaum tetapi jangan lupa juga kelompok-kelompok yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum tetapi mempunyai satu citarasa dan cita-cita yang mereka kongsi bersama. Sekiranya sensitiviti kelompok ini terguris maka seluruh kumpulan mereka juga akan memberi impak yang sama. Niat pembangkang hanya satu mencipta satu isu dan mengharapkan rakyat menyerang kerajaan seperti serigala .Iqraq!!

“In politics you must always keep running with the pack. The moment that you falter and they sense that you are injured, the rest will turn on you like wolves.” R.A.Butler.

MENGAPA GENERASI Y MENOLAK KEPIMPINAN NEGARA

Usaha kerajaan untuk terus menerus mengambil hati generasi “Y” pada pandangan saya akan menuju kegagalan sekiranya beberapa perkara penting tidak di ambil tindakan. Dari pengalaman bercampur dan bergaul dengan beberapa belia banyak rungutan mereka terhadap kerajaan. Banyak masalah dan tuduhan ditudingkan kepada para pemimpin sehingga mereka lupa bahawa kerabat kaum keluarga pemimpin juga memainkan peranan yang penting dalam mencemarkan kredibiliti pemimpin itu sendiri.

Kalau dahulu kita sering mempertikaikan akan hak keistimewaan dan kekebalan Raja-Raja sedangkan ianya sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Segala kekebalan dan hak keistimewaan tersebut walaupun disahkan secara bertulis, masih juga orang pertikaikan. Tanpa kita sedari yang sah dipertikaikan tetapi yang tidak langsung disahkan menggunakan hak tersebut dengan sewenang-wenangnya. Siapa lagi kalau bukan kerabat dan anak-anak kepada pemimpin.

Berbagai isu pernah ditimbulkan seperti keistimewaan anak-anak pemimpin mendapatkan pelbagai pinjaman dan geran kerajaan secara mudah tanpa melalui sebarang proses biasa. Kalau kita bercakap tentulah orang akan bertanya di mana buktinya. Sudah tentulah kita mempunyai bukti dan senarai nama mereka yang mendapat kemudahan ini. Tidak mungkin saya akan paparkan di sini cukuplah untuk dinilai sendiri oleh Perdana Menteri setelah senarai ini yang akan dihantar kepada beliau. Bukan saya yang akan menghantarnya tetapi sekumpulan anak muda yang begitu marah kerana turut mempunyai keinginan berniaga seperti anak pemimpin lain.

Banyak lagi perkara bukan sahaja kemudahan perbankan tetapi juga kemudahan pembelajaran dan kemudahan kolej seperti mendapat gred yang cemerlang turut dinikmati oleh anak-anak pemimpin ini. Bayangkan bagaiman perasaan anak-anak muda ini yang terpaksa bersusah payah membuat pelbagai kertas kerja bagi memulakan perniagaan akhirnya terpaksa ditolak begitu sahaja dengan alasan tiada “koleterol”, cagaran mahupun penjamin VVIP yang dapat menyokong kertas kerja mereka.

Seandainya dikeluarkan satu borang penilaian kepada mana-mana kolej dan Universiti sudah tentu akan mendapat satu jawapan yang sama. Iaitu “Technical know who is more important then technical know how”. Akhirnya anak muda ini akan menjadi tidak bersemangat lagi untuk mencapai impian mereka kerana mereka kebanyakkannya hanya terdiri dari “tecknical know how”.

Tidak hairan kebanyakkan anak-anak muda yang pintar dipergunakan kepintaran mereka apabila semua kertas kerja dan kajian perniagaan yang dibuat oleh mereka di ambil oleh sesetengah anak-anak pemimpin yang “business minded’ ini untuk dihantar sebagai kertas cadangan perniagaan mereka. Setelah berjaya dan tercapai apa yang dihajati akhirnya anak muda yang pintar ini ditinggalkan begitu sahaja, tanpa mendapat sebarang upah jauh sekali saham yang dijanjikan.

Pemimpin atasan seharusnya lebih peka terhadap permasalahan ini. Bukan pemimpin sahaja yang seharusnya ditalbiahkan tetapi juga anak-anak mereka, agar tidak menggunakan hak keistimewaan apalagi merasa kebal ke atas kuasa yang diperolehi oleh ibu atau bapa mereka sebagai pemimpin.

Jadikanlah kes kelulusan “public Fund” sebanyak 250 juta itu sebagai satu pengajaran bahawa keadaan ini sememangnya telah dulu dan kini berlaku cuma jangan dibiarkan selamanya.Kalau tidak diubah pasti rebah!!

Kerajaan harus menangani masalah ini dan memantau segala hak keistimewaan dan kekebalan ini dihentikan. Jadilah seperti contoh bagaimana Saidina Umar Alkhattab berkata kepada anaknya”mengapa unta kamu gemuk, sedangkan unta rakyat semuanya kurus?. Jawab anaknya” saya memberi makan dan minum ditempat yang disediakan oleh ayah kepada orang ramai sama seperti orang lain. Jawab Umar “unta kamu gemuk kerana rakyat terpaksa memberikan laluan untuk unta kamu makan dan minum sepuasnya dahulu, kerana kamu anak Khalifah, maka juallah unta kamu kerana tidak akan aku izin anak-anakku menyalahgunakan kuasa yang telah Allah berikan kepada ku.”

Usaha kerajaan untuk menambat hati golongan muda akan menjadi sia-sia sekiranya keadilan tidak diberikan kepada mereka. Mereka adalah dikalangan belia cerdik pandai yang tahu samada sesuatu perkara itu mengikut sistem ataupun tidak. Golongan ini bukan sahaja pemerhati seperti rakyat Malaysai yang lain tetapi juga pengkaji yang akan terus mengkaji dan mendapatkan satu jawapan secara pasti. Iqraq!!

“Policies are many, Principles are few, Policies will change, Principles never do.”
John C. Maxwell