ASSALAMUALAIKUM

Wednesday, April 21, 2010

KERUNTUHAN MORAL: BAGAIMANA MENYELESAIKANNYA?

Setiap hari kita berhadapan dengan kes-kes keruntuhan moral di negara ini. Masing-masing cuba untuk mencari penyelesaian. Saya begitu tersentuh dengan pandangan YABhg. Tun Siti Hasmah, apabila saya cuba untuk mengutarakan permasalahan ini kepada beliau sambil lalu. Dengan ringkas beliau menjawab "You have to do Mind Maping". Mungkin perkataan ini masih baru pada saya, lalu atas inisiatif sendiri saya cuba untuk memahami konsep "mind map" ini. Ternyata walaupun beliau sudah lanjut usia tetapi, idea beliau amat bernas dan begitu bagus untuk dilaksanakan, setelah saya mengkaji tentang "mind map" ini.

Inilah sepatutnya yang dilakukan oleh semua organisasi yang berkaitan. "Mind map" akan menjuruskan kita yang "brainstorming" di dalam satu-satu kumpulan untuk mencari asal-usul sebab sesuatu kejadian itu berlaku. Ia harus bermula dengan mengumpulkan anak-anak remaja yang terlibat, guru-guru, ibubapa serta majlis agama, termasuklah ketua-ketua agama yang berbilang kaum untuk mengenal pasti bagaimana punca sesuatu kejadian itu berlaku.

Dari perbincangan yang berterusan maka melalui cerita yang dilontarkan dari pengalaman sektor masing-masing kita akan menghasilkan sebuah peta, yang akan menjuruskan kita mengapa dan bagaimana sesuatu kejadian sosial itu boleh berlaku. Idea-idea yang dikutip dari setiap lapisan masyarakat ini akan membawa kita kepada punca. Maka hanya dengan mengenal punca penyakit sahaja, maka kita dapat merawat permasalahan ini. Inisiatif untuk mengumpulkan beberapa pemikir dari setiap golongan bermula dari kelompok yang terlibat sehinggalah kepada kelompok yang merawat, harus diambil oleh Kementerian Wanita dan Keluarga serta Kebajikan Masyarakat. Hanya dengan inisiatif ini sahaja maka kita akan menghasilkan sebuah "mind map" yang akan dapat mencungkil dari mana permasaalahan yang sebenar berlaku dan cara untuk menyelesaikannya.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan perubahan sosial secara keseluruhan, bukanlah sesuatu yang mudah dan bukan juga mengambil masa yang singkat untuk menyelesaikannya. Namun satu langkah harus dimulakan. Sekurang-kurangnya selangkah itu menghasilkan satu perjalanan kepada usaha untuk memulihkan keruntuhan moral di kalangan remaja. Diharap langakah seperti ini disegerakan dan tahniah serta ucapan jutaan terima kasih kepada YABhg. Tun Siti Hasmah yang telah menghasilkan satu ungkapan yang begitu bernas untuk dipelajari oleh generasi seperti saya, dan anda semua. Ternyata beliau seumpama mutiara yang tersembunyi di dalam cengkerang berlumut. Inilah mutiara asli yang harus kita gali, bagi meneruskan perjuangan tuntutan ilmu, menyelamatkan masyarakat akan datang.

Thursday, April 15, 2010

JAWATANKUASA AGAMA JANGAN HANYA TUKAR NAMA

Alhamdulillah akhirnya peringkat pertama perjuangan PERKASA dalam menentukan hak kedudukan agama telah dipersetujui di dalam majlis mufti. Peringkat kedua dalam perjuangan PERKASA adalah harus memastikan bahawa tidak akan wujud sebarang wakil agama Islam di dalam Jawatankuasa tersebut. Menurut Perlembagaan 153 perkara 3 termaktub bahawa agama Islam adalah agama resmi. Sekiranya wakil agama diletakkan di dalam majlis tersebut maka ianya juga jauh lari dari tuntunan perlembagaan 153.

Jangan hanya sekadar tukar nama tetapi perlaksanaan jawatankuasa juga harus ditukarkan. Sekiranya kita ingin memartabatkan agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan 153 perkara 3. Sekiranya masih wujud wakil agama di dalam jawatankuasa tersebut samalah seperti menghadirkan Yang DiPertuan Agung di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Oleh itu rakyat Malaysia harus faham dan fasih atas dasar dan platform apakah perjuangan PERKASA. Kita hanya ingin meletakkan sesuatu dasar tersebut bersesuaian dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan 153 perkara 3. Ini bukanlah tuntutan peribadi PERKASA tetapi tuntutan hak yang sedia termaktub di dalam perlembagaan. Seperti yang telah dinyatakan baru-baru ini bahawa Islam itu sendiri membawa maksud kesejahteraan dan sebarang kemusykilan haruslah dirujuk kepada jemaah mufti yang sedia ada.

Musyuwarah kaum yang bakal di adakan di bawah Ketua Perpaduan tidak perlu melantik mana-mana wakil agama Islam sebaliknya cukup sekadar melantik mana-mana wakil dari NGO yang berugama Islam dan berbangsa Melayu. Mereka juga akan faham kalau sekadar apa yang akan diperbincankan hanya perkara dasar dalam kesejahteraan setiap agama. Janganlah pemimpin begitu ghairah dalam melaksanakan apa-apa perkara pun di dalam lingkungan satu Malaysia dengan membelakangi dasar yang termaktub di dalam Perlembagaan 153. Dari seawal tahun 1957 kemerdekaan kita telah pun bernaung di bawah perlembagaan tersebut dan kesefahaman di dalam perlembagaan tersebutlah selama ini yang membuat rakyat Malaysia berbilang kaum hidup dalam keadaaan sejahtera dan harmoni sehingga timbul beberapa kerat petualang yang mahu diterima sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak mahu menerima perlembagaan Malaysia.

Kita sudah cukup melawan pihak yang tidak bertanggungjawab ini, bagi menjelaskan kembali kepada rakyat Malaysia kedudukan perlembagaan dan diharap janganlah pemimpin pula cuba mengelirukan rakyat Malaysia dengan sebuah perkara yang menjadi petunjuk kepada keharmonian antara kaum di sini. InsyaAllah PERKASA akan meneruskan perjuangan memperingati intipati isi perlembagaan semoga rakyat Malaysia berbagai kaum akan kembali menghormati susur galur Perlembagaan Persekutuan Negara Malaysia.

Tuesday, April 13, 2010

KE MANA ARAH PEMIMPIN KITA?

Perkara 3 di dalam perlembagaan 153 telah menetapkan bahawa Agama Islam adalah agama resmi di Malaysia. Cubalah kita fahamkan betul-betul ayat ini. Namun sekarang apa sudah jadi takala kerajaan sedang berusaha gigih untuk mewujudkan satu perpaduan di dalam negara akhirnya terpaksa memasukkan satu perkara yang sudah resmi di dalam perlembagaan dan digaul sekali di bawah satu bumbung yang diketuai oleh bangsa yang tidak pun menjadi penganut agama resmi di dalam perlembagaan persekutuan.

Apa yang dikatakan hak dan siapa yang dikatakan berhak di dalam tuntutan perlembagaan persekutuan 153 perkara 3 ini? Sekiranya telah termaktub bahawa telah resmi maka jawapannya sudah pasti tiada lagi kompromi dan diskusi antara kaum di dalam negara ini. Untuk apa Islam diletakkan di dalam satu sidang musyuwarah yang diketuai oleh mereka yang tidak selayaknya berstatuskan AGAMA resmi di dalam perlembagaan tersebut. Sungguh menyulitkan apabila soal agama, bangsa dan negara digauli sekali sedemikian.

Satu Malaysia pada saya adalah membawa arti kepada satu permuafakatan antara kaum dalam menetapkan hal-hal yang melibatkan keamanan dan kesejahteraan negara. Namun Islam itu sendiri membawa kesejahteraan dan keamanan. Untuk apa lagi hendah diperbincangkan dengan kaum lain. Kalau sesiapa sahaja waima bangsa mana atau agama apa yang musykil di dalam kesejahteraan agama Islam maka rujuk sahaja kepada mereka yang bertanggungjawab iaitu majlis Agama. Sekiranya ada perkara yang melibatkan keputusan agama maka rujuklah kepada Majlis Raja-Raja yang telah diberikan hak di bawah aturan perlembagaan 153 perkara 3.

Dari tahun 1957 kita merdeka dan selama itulah rakyat Malaysia hidup dengan aman, tenteram dan sejahtera di bawah payung perlembagaan 153, mengapa sekarang ramai yang mulai mempertikaikan tentang kewujudan fasal 153 di dalam perlembagaan persekutuan selama ini. Kalau Tun Mahathir pernah membaca sajak "Melayu mudah Lupa". Namun PERKASA kini kembali untuk mengingatkan sesetengah Melayu yang terlupa tentang hak-hak mereka yang selama ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Setiap bangsa Melayu harus ingat selama ini dengan bersandarkan perlembagaan tersebutlah maka kita masih menjadi Tuan di negara ini. Tetapi bukan sekadar dahulu tetapi kini dan buat selama-lamanya PERKASA akan terus mengingatkan bangsa Melayu akan buku keramat tersebut. Walau ada sesetengah Melayu yang cuba menyatakan bahawa itu perkara sudah sedia ada dan tidak perlu dipertikaikan lagi, maka jawapan kami ialah perkara perlembagaan sememangnya sudah sedia ada tetapi masalahnya bangsa melayu sendiri telah lupa sehingga membiarkan tuntutan bangsa lain memuncak menjolok mata.

Ingat bahawa sekiranya kita membiarkan perlembagaan ini dipermainkan samalah dengan kita membiarkan kepala bangsa Melayu di pijak. Janganlah mereka cuba untuk menggunakan perkataan "racist" di dalam perjuangan PERKASA. Ayat itu sengaja dimainkan supaya rakyat keliru dan mula melupai tuntutan hak dan kepunyaan orang Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan 153. Tidak ada isu "racist" di sini yang ada hanya manupulasi sesetengah kelompok bangsa yang tamak, yang bukan sekadar telah mengaut keuntungan ekonomi negara, tetapi juga mahu mengaut kuasa politik pulak dan sekarang dengan membuka pintu agama, maka mereka pula ingin meletakkan diri mereka di situ.

Apa lagi yang kita tinggal sekiranya ekonomi bangsa habis dikaut, sijil halal kepunyaan Islam juga telah kita perlawakan untuk makan bersama...sekarang apa lagi? Iqraq wahai rakyat Malaysia, apa lagi yang harus kita pelawakan kepada mereka yang lupa asal-usul, mereka yang cuba membelakangkan perlembagaan persekutuan tetapi masih belum mahu berhijrah ke negara lain. Mereka yang enggan menerima buku perlembagaan negara tetapi masih mahu dipanggil rakyat Malaysia. Fikirkanlah!!

Monday, April 5, 2010

MELAYU GLOKAL VS MELAYU GURKAH

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMAD S.A.W

Semua orang tentunya pernah mendengar perkataan GLOKAL. Ia merupakan satu pandangan baru yang diperkenalkan oleh YB Timbalan Perdana Menteri kita Dato’Seri Najib Tun Razak. Melayu Glokal yang dimaksudkan beliau adalah sekelompok Melayu yang mempunyai skill dan intelektual yang dapat bersaing hingga ke peringkat antarabangsa. Tanpa kita sedari sememangnya semakin ramai anak-anak Melayu telah pun mempunyai kewibawaan Melayu Glokal ini. Namun bilangannya masih boleh dihitung dengan jari. Bagaimana mewujudkan lebih ramai Melayu Glokal sepertimana yang diharapkan oleh pemimpin kita semuanya tertakluk kepada peluang yang dibuka oleh pemimpin itu sendiri kepada anak-anak Melayu yang sememangnya mempunyai cirri-ciri Melayu Glokal yang diharapkan.

Apabila kita menyebut tentang Melayu Glokal, harapan saya kepada pemimpin kita adalah supaya tidak hanya menghadkan kepada bidang-bidang tertentu sahaja untuk kita banggakan. Melayu Glokal adalah untuk semua rakyat Malaysia walau di dalam bidang apa sahaja yang diceburi ianya mesti diiktirafkan sebagai Melayu Glokal tidak terkecuali bidang seni. Kita juga tahu bahawa mereka juga sedang di dalam perjalanan untuk mengenegahkan intelektual mereka di dalam bidang ini, untuk bersaing dan membawa nama baik Negara ke seluruh dunia di dalam pencapaian-pencapaian tertentu mereka. Mereka juga harus diberi peluang dan diiktrafkan. Walaupun Melayu Glokal ini hanya disebut di kalangan pemimpin tetapi setiap masyarakat Malaysia yang terdiri di dalam bangsa Melayu patut menyahut seruan ini untuk membuktikan kepada Negara betapa mereka juga tidak mahu ketinggalan di dalam menjadi seorang anak Melayu Glokal yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat dunia lain.

Bagi pemimpin yang hendak menempatkan diri mereka sebagai anak Melayu glokal maka ilmu merupakan satu senjata penting. Selain dari itu sebagai pemimpin juga sekiranya mereka mengetahui kewibawaan yang baik dari kalangan mereka untuk diketengahkan sehingga peringkat antarabangsa maka laluan harus diberikan. Peluang harus dibuka dan sikap “ketam di dalam bakul” tidak harus wujud. Kita memang mempunyai beberapa pimimpin peringkat bawah dan pertengahan yang tidak perlu disebutkan namanya sememangnya mempunyai potensi untuk diketengahkan dipersada antarabangsa, namun kerana sikap ketam tadilah kebanyakkan mereka kecundang di dalam memperjuangkan hasrat murni mereka untuk menjadi Melayu Glokal, akhirnya hanya dijadikan Melayu Gurkha.

Mungkin semua tahu apakah makna “Gurkha” yang sering disebut-sebut sebagai mainan bahasa untuk menunjukkan bahawa mereka yang hanya layak berlari ke sana ke sini untuk kepentingan individu yang mempunyai kuasa dan harta. Mereka yang dikatagorikan Melayu Gurkha ini akan disuruh ke sana dan sini hanya untuk melakukan pekerjaan yang hanya memberikan keuntungan kepada sebelah pihak sahaja. Tanpa Melayu Gurkha ini sesetengah pemimpin mungkin tidak akan merasa kedudukan mereka sekarang. Habis manis sepah dibuang itulah selayaknya yang sering diterima oleh sesetengah individu yang bergelar Melayu Gurkha. Apabila pucuk dicita ulam mendatang, janji hanya tuinggal janji. Kebanyakkan Melayu Gurkha inilah yang rajin dan setia berkhidmat dan tidak kurang juga yang memerah tenaga dan intelektual untuk menempatkan seseorang individu ini menjadi pemimpin, namun perkataan yang sering diterima “you buatlah kerja untuk I dulu, bila menang nanti I pula akan ketengahkan you……..”kononnya. Setelah segala tenaga dan intelektual digunakan akhirnya dialog ini yang keluar” Ini idea I lah…..ini pun kerana I lah semua yakin pada I…bla…bla….bla”.

Sedih bila mengenangkan kebanyakkan anak Melayu yang pernah saya temui mempunyai idea dan intelektual yang bernas dan bijak, namun tak kemana. Hanya kerana mereka tidak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin maka tidak ada sesiapa yang akan membuka ruang dan peluang bagi mereka mengembangkan kemampuan mereka keperingkat antarabangsa.

Pemimpin kita seharusnya membuka satu pusat seperti “One Stop Centre” untuk anak-anak Melayu yang berkemampuan dan berkredebiliti menghantar kertas-kertas cadangan mereka untuk dilihat dan disokong oleh kerajaan serta dibawa cadangan bernas ini dan diketengahkan sekiranya ia layak berada persada antarabangsa.

Kita juga tidak hairan berlaku beberapa kehilangan kertas-kertas kerja tertentu di Kementerian tertentu. Bila mana sesuatu kertas kerja yang bernas dihantar untuk disemak oleh pemimpin tertinggi di Kementerian tiba-tiba cadangan tersebut diluluskan tetapi nama syarikat pula yang berubah. Cerita seperti ini sudah tidak hairan lagi di kalangan Melayu Gurkha. Penat-penat menjadi gurkha berlari ke sana-sini mendapatkan bahan dan kajian tiba-tiba orang lain pula yang kenyang menjadi Melayu Glokal. Membawa kertas cadangan serta melaksanakan projek tersebut hingga kepersada antarabangsa. Anak Cina makan pengatlah….sendiri mau ingat. Apakah sukar untuk menjadikan rakyat Melayu kita Glokal atau sudah ada anak Melayu yang tidak diGlokalkan walaupun mempunyai kewibawaan tersebut.

Kita memerlukan sebuah lagi pusat yang mempunyai Integriti seperti amanah untuk menjaga hak dan idea individu tertentu supaya idea mereka ini dapat disampaikan kepada pemimpin yang tertentu dengan selamat. Kita juga bukanlah hendak menyalahkan pemimpin atasan, namun kebanyakkan mereka pun tidak mengetahui bahawa idea yang dibawa ini adalah milik idea si polan dan si polan tiba-tiba bila sampai ke tangan mereka sudah jadi “lembu punya susu, sapi juga yang dapat nama”.

Sudah menjadi kebiasaan saya dan juga kegemaran saya setiap apa yang hendak diperkenalkan kita juga harus mengetahui masalah-masalah kaum Melayu Gurkha ini hadapi sebelum kita menginginkan sesuatu dari mereka. Kemampuan dan kredibiliti mereka harus dijaga haknya. Hanya orang-orang yang beramanah sahaja yang mampu menjaga idea dan intelektual orang lain supaya ia selamat sampai ke tangan yang berhak untuk diketengahkan dipersada antarabangsa..Menjadi Melayu Glokal itu merupakan impian semua rakyat Malaysia, namun kita harus juga memikirkan bagaimana caranya untuk mencungkil kewibawaan rakyat dan memastikan mereka mendapat peluang ini. Telah saya nyatakan bahawa amanah amat diperlukan dikalangan pemimpin bawahan mahupun atasan. Hanya dengan itu sahaja perkara untuk menglokalkan anak-anak bangsa kita akan menjadi kenyataan. Menjadi seorang Melayu Glokal intelektual tetap dan harus dibuktikan dengan kertas cadangan mahupun idea-idea yang digarapkan di dalam hitam putih. Sekiranya idea-idea ini dirompak ditengah jalan maka tidak ada maknanya. Akhirnya makanlah pengat…….

Banyak juga yang saya temui mempunyai kewibawaan menjadi seorang Melayu Glokal namun tetap tak ke mana. Idea dan intelektual yang dicurahkan habis disapu orang akhirnya Melayu yang sepatutnya menjadi Glokal berakhir dengan menjadi Melayu Gurkha buat sajalah kerja untuk orang lain, dia tak ke mana juga. Semua ciri-ciri untuk menjadi Melayu Glokal telah tersenarai namun tiada peluang dan ruang diberikan….akhirnya…lu …siapa? Anak pemimpin? Sahabat? Saudara? Makan la pengat…sendiri mau ingat.

Walau apa pun Melayu yang hendak kita jadikan, maka yang penting adalah memastikan mereka mempunyai iman. Jangan hanya sekadar bangga mempunyai Melayu Glokal mampu meletakkan nama dipersada antarabangsa namun akhirnya menggunakan persada tersebut untuk kepentingan peribadi, menjual dan mencaci Negara sendiri demi untuk kepentingan peribadi. Seorang Melayu Glokal harus disertakan iman seperti nasihat AS SYAHID SYED QUTB RAHIMAHULLAH’ALAH’ , beliau berkata :

“ Manusia tanpa iman ialah manusia yang kerdil dan kecil.

Manusia tanpa iman ialah manusia yang rendah dan dangkal cita-citanya.

Manusia tanpa iman ialah manusia yang sempit dan perit kehidupannya.

Manusia tanpa iman ialah manusia yang pendek dan singkat matlamatnya

Manusia dengan iman ialah manusia yang hebat dan gagah.

Manusia dengan iman ialah manusia yang tinggi dan jauh cita-citanya.

Manusia dengan iman ialah manusia yang luas dan aman kehidupannya.

Manusia dengan iman ialah manusia yang panjang dan jauh matlamatnya.”

Ingatlah para sidang pembaca yang saya hormati sekelian walau Melayu apa sekali pun yang kita jadi apa yang penting tetap iman. Kalau sekadar memegang kebanggaan menjadi Melayu Glokal namun tidak disertai dengan iman dan hati yang cinta Agama, Bangsa dan Negara, maka pencapaian tersebut hanyalah untuk kebanggaan diri semata dan akhirnya akan kembali menjadi kepentingan peribadi sahaja. Jadilah seorang Melayu Glokal yang mampu kita banggakan dengan menjaga kepentingan dan maruah Negara setelah berada di pentas antarabangsa.Jangan sampai dilelong di sana.

Bagi mereka yang tidak pernah diberi peluang maka janganlah sekadar bercita-cita untuk dijadikan Melayu gurkha sampai bila-bila. Biarlah orang memanggil kita Gurkha namun kita tetap mempunyai azam untuk merubah diri kita supaya tidak terus dipergunakan oleh orang lain. Seperti pesanan aruah ayahanda saya Sulaiman Palestin “we have to become a slave before becoming a master”. (Jadilah seorang hamba sebelum kita belajar menjadi Tuan). Biarlah kita dikatakan Melayu Gurkha hari ini, namun di dalam hati harus senantiasa menanam niat untuk menjadi seorang Melayu Glokal kebanggaan dunia dan akhirat.