ASSALAMUALAIKUM

Tuesday, August 9, 2011

YANG BERHORMAT KAWASAN CYBER

Hari ini mungkin orang akan tertawakan saya kerana ingin mencadangkan agar melantik seorang YB bagi menjaga kawasan Cyber. Tentu orang akan berkata “kan kita dah ada Menteri Penerangan dan Suruhan Jaya Komunikasi Dan Multimedia.” Cuba fikirkan keadaan Menteri tersebut adakah beliau berada 24 jam di hadapan PC. Apakah orang yang memantau juga berada 24 jam di depan PC ataupun bolehkah pegawai tersebut bersuara dan berdebat di Parlimen ketika beliau teruk berperang di laman cyber. Maka tentulah pegawai tersebut terpaksa membuat kertas lapuran dan sebagainya untuk dibaca semata-mata oleh menterinya, walaupun pada hakikatnya belum tentu Menteri tersebut faham.. Jadi bila timbul kes menteri tersebut secepat kilat tindakan di ambil. Tapi bila tohmahan ke atas orang lain, kata orang Kedah “buat deeeekk saja”. Dalam ertikata lain buat tak nampak.

Oleh sebab itulah maka Perdana Menteri harus mengadakan seorang wakil rakyat bagi kawasan yang paling penting yang banyak menimbulkan huru-hara dewasa ini. Tugas YB Cyber adalah menjaga keamanan rakyat dan memperbetulkan segala tohmahan rakyat dan tak kurang juga memberikan info yang tepat tentang pelbagai tawaran oleh kerajaan. Dalam ertikata lain, ketika kerajaan menyuruh rakyat mengisi borang memohon dana, maka terangkan bila akan habis dana tersebut atau dana tersebut telah habis dipohon dan sebagainya. Tidaklah iklan tawaran tersebut dibiarkan terpampang bertahun-tahun di laman web. Bukankah itu menyusahkan rakyat namanya. Kalau ada Kementerian yang bukan kaki update web, maka terkenalah rakyat jelata yang terpaksa naik turun Kementerian. Bila sampai di Kementerian, selalunya inilah jawapannya “maaf cik kami tak sempat update web, sebenarnya dana tersebut dah ditutup”……apa lagi jawapan rakyat “hampess!!, sebegini jauh aku datang setebal ini working paper aku, itu je dia jawab.”

Sekiranya keadaan ini berlaku sudah tentulah YB Cyber akan bawa terus ke Parlimen dan menceritakan masalah rakyat cyber. Bukan itu saja malahan YB Cyber yang kerjanya 24 jam berada di depan PC bersama pegawai-pegawainya sudah tentulah akan menggeladah semua kawasan, dan bukan kawasan yang di “taq” sahaja. Inilah kerja mereka. Sebarang masalah yang di hadapi oleh kerajaan akan selesai terutamanya panggilan dan undangan maut dari BERSIH sudah tentulah dapat dihentikan atau dinasihatkan oleh YB Cyber ini. Sudah tentulah Ketua Polis Negara tak payah nak talipon sana sini orang-orang yang ada pengaruh untuk mewar-warkan supaya jangan ikut anjuran BERSIH sedangkan sebab kenapa tidak boleh menyertai BERSIH tidak diterangkan dengan jelas.

Bila dunia Cyber tidak ada pemimpinnya maka sudah tentulah rakyatnya akan mengadu ikut suka hati pada siapa yang dianggap begitu aktif di dalam dunia cyber maka itulah yang akan dilantik sebagai pemimpin untuk mereka merujuk. Termasuk juga uintuk menghentam sesama sendiri.


Sudah tiba masanya Perdana Menteri menilai semula untuk melantik wakilnya sebagai pemimpin dunia Cyber kerana kawasan dunia Cyber sudah menjadi seperti sebuah kawasan yang dihuni oleh manusia liar “savage”. Kenapa saya kata “savage” kerana sebahagian besar mereka sudah tidak mempunyai akhlak dan adab, ketika mereka mempermain-mainkan pemimpin. Tidak kiralah samada di antara parti kerajaan atau pembangkang. Cuba bayangkan ketika gambar PM dan isteri dipermainkan dan gambar anwar “dipondankan” inikah yang ingin kita anjurkan kepada kanak-kanak? Sedangkan kita tahu syarat kelayakan untuk kanak-kanak membuat “facebook” haruslah berdasarkan umur yang ditetapkan. Namun secara tidak sedar dunia facebook turut dimonopoli oleh kanak-kanak di bawah 12 tahun. Bayangkan kalau mereka menyaksikan gambar sedemikian terutamanya di dalam facebook. Itu tidak termasuk kata-kata nista dan cela kepada pemimpin. Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan?

Sekiranya ada YB Cyber sudah tentu kita akan melemparkan tanggungjawab ini kepada beliau. Inilah masalah rakyat Malaysia kalau tak diberi pangkat dan kedudukan serta gaji yang lumayan semuanya akan daftar ke dalam dunia cyber kononnya aktif, dan menjaga dunia cyber tersebut secara “ala-ala…gitu”. Padahal masalah kian rancak. Kata keji dan nista pada pemimpin kian menjadi-jadi tidak termasuk gambar lucah pemimpin. Saya harap suatu hari nanti cadangan yang mungkin ditertawakan hari ini akan menjadi kenyataan apabila “Cyberwar” benar-benar berlaku. Inilah peperangan dunia ke3 yang akan menjadi kenyataan “PEPERANGAN DUNIA CYBER”. Iqraq!!

Tuesday, August 2, 2011

TERNYATA MANUSIA HIDUP ATAS ANDAIAN SEMATA

BISMILLAHHIRAHMANIRRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN YANG DIKASIHI NABI MUHAMADA S.A.W

Di dalam bulan yang mulia ini, ketika kita banyak disuruh berdiam, maka hati dan fikiran mulai melihat Kebesaran Allah dan kedudukan kita sebagai hambaNya. Banyak sungguh pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan kehidupan ini. Pelbagai jenis manusia yang telah kita jabat tangan, namun benar seperti kata Usman Awang “Kita sering berjabat tangan tapi masih belum berkenalan”. Namun hari demi hari setelah kita mengimbau kembali kenalan yang kita kenali maka terngiang-ngiang juga kata mereka ditelinga. Banyak yang menyeru ke arah kemaksiatan dan tak kurang juga yang menyeru ke arah kebaikan. Ketika ditimbang tara antara kenalan yang menyeru ke arah kebaikan ternyata lebih banyak di kalangan mereka yang baik rupa-rupanya lebih melangkaui Allah.

Ujub sesungguhnya sesuatu yang amat halus. Ada ulamaq berkata ”ketika ujub hinggap dihati ianya seperti seekor lalat dibatu yang hitam, sukar untuk dikenalpasti, apakah kita ketika itu menyatakan kebenaran atau mengiakan kebenaran mendahului Allah.” Sesungguhnya benar kata Ulamaq tersebut. Ketika kita menyeru kepada kebaikan serta banyak membuat ibadah dan kebaikan, mengharapkan orang tersebut mendapat hidayah dan terbuka hatinya, kita begitu bersungguh-bersungguh. Tak kala orang yang telah menerima kabaikan yang kita sampaikan, maka mulai saat itulah penyakit ujub timbul. Lalu berkata hati kecil kita..”Alhamdulillah si polan mulai sedar setelah aku membawa dia untuk mendengar dakwah.” Terlupa kita saat itu bahawa Allah telah mendahului kita saat itu. Allah telah menetapkan hati si polan tersebut sebelum kita berjumpa dengan dia lagi, lalu diperintahkan Allah untuk si polan bertemu kita hanya kerana Allah ingin memberi setitis sahaja pahala , tapi kita sudah berbangga, seolah-olah seluruh pahala milik kita. Astagharafilullahalazimmmmm!!

Manusia sesungguhnya hidup dengan penuh andaian mengatakan keadaan orang itu dan ini hanya kerana perubahan mereka. Sibuk kita melihat perubahan manusia dari baik kepada jahat atau ada juga yang masih mempertikaikan dari jahat menjadi baik. Sehingga kita lupa bahawa AKHIR PENENTUAN MANUSIA SAMADA KEKAL BAIK ATAU JAHAT ADALAH DISAAT SAKRATU MAUTNYA!!

Apakah hanya ibadah penentu di mana dan ke mana kita akhirnya? Saya ingin bertanya antara manusia di dunia APAKAH TANDA DOSA-DOSA KITA TELAH DIAMPUN??
Ternyata orang yang lebih banyak membuat dosa hati adalah manusia yang paling rugi di dunia walaupun beliau tidak pernah membuat dosa zahir seumur hidup. Ini adalah kerana sekiranya kita telah dan pernah melakukan dosa zahir, ternyata Allah akan menghantar dan pasti menghantar manusia-manusia lain bagi menegurnya. Sedangkan manusia yang kuat beribadah dan ternampak alim zahirnya tetapi penuh dengan dosa hati yakni penyakit mazmumah hanya mereka sahaja yang tahu. Maka mereka akan mudah merasa diri mereka suci lebih-lebih lagi apabila orang yang memandang mereka memuji dan memuja akan kealiman dan kesucian mereka. Lama kelamaan mereka akan tenggelam dalam pujian tersebut lalu terus mengandaikan bahawa syurga dihujung jari mereka. Mereka segera melupakan dosa-dosa fitnah, mahupun penganiayaan di dalam diam antara mereka dengan manusia lain. Kerana mereka pasti orang lain tidak tahu tetapi lupa bahawa Allah lebih tahu. Hiduplah mereka dengan andaian tersebut. Membeli syurga hanya dengan ibadah zahir. Ketika sedar mereka secara senyap memohon ampun kepada orang yang pernah mereka fitnah, namun janji Allah pasti, yang salah dan berdosa tetap berdosa.

Wahai manusia jauhkanlah menilai manusia lain. Mohon kepada Allah agar kita dijauhkan dari menilai manusia lain seperti jauhnya Timur dan Barat. Kerana sesungguhnya kita sendiri pun belum tahu ke mana akan di hantar oleh Allah di akhirat nanti. Tidak cukup dengan ibadah zahir tetapi ibadah yang paling bererti adalah ibadah hati. Telah bersabda Rasulullah “ di dalam badan manusia terdapat seketul daging, sekiranya seketul daging itu baik maka baiklah seluruh anggota tubuhnya, maka itu adalah hati”.

Saya ibaratkan hati seperti biji benih. Sekiranya benih itu baik maka pokok yang tumbuh akan menghasilkan buah-buahan yang banyak, sehingga dapat dinikmati oleh orang lain (yakni dapat memberi kebaikan) , walaupun tanpa dibaja dan hanya disiram sekali sekala. Namun sekiranya benih tidak baik (hati) maka pokok tersebut mahupun dibaja dan disiram berpuluh kali juga tidak akan berbuah, jauh sekali dinikmati oleh orang lain hasilnya.

Maka atas segalanya marilah kita hidup dengan menjauhkan diri kita dari andaian bahawa ibadah yang kita lakukan cukup, kebaikan kita cukup, dakwah kita cukup, sesungguhnya segala itu masih kecil untuk membalas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita. Lalu mengapa kita layak meletakkan diri sebagai ahli syurga sedangkan orang lain terzahir kejahatannya sebagai ahli neraka.

Kita sering memandang mulia kepada manusia yang tersasar aqidah. Mereka yang pernah tersasar aqidah (yakni menghijabkan guru dengan Allah) serta lari tauhidnya setelah kembali ke jalan yang benar kita tetap memandang mereka mulia, sedangkan mereka pernah mensyirikkan Allah. Akan tetapi ketika kita melihat seorang pelacur yang tidak pernah mensyirikkan Allah kembali ke jalan yang benar tetap sahaja kita menghina mereka. Rasanya seorang bekas pelacur akan lebih mengerti kenistaannya ketika menghadap Allah berbanding dengan orang ibadah yang mensyirikkan Allah ketika mereka kembali kejalan Allah lebih sukar untuk mereka menista diri mereka dihadapan Allah.

Ingatlah bahawa Allah Maha Adil. Dia membahagi-bahagikan dosa dan pahala kepada setiap manusia dengan seadilnya. Maka kita tetap akan pulang kepangkuanNya dengan dosa yang pernah, telah atau senantiasa kita lakukan baik hati mahupun zahir. Maka jauhilah kita dalam mengandaikan diri kita mahupun orang lain. Berserah sahaja kepada Allah Maha Penentu untuk menentukan segalanya. Sekiranya zahir kita sudah baik ibadahnya maka sibukkan pula ibadah hati kita supaya kesibukan hati berzikir kepada Allah memuji segala nikmatNya akan melalaikan diri kita untuk mengandai kedudukan orang lain di akhirat. Ingat bahawa syurga adalah atas ihsan dari Allah. Dia sahaja yang berhak menentukan dan kita hanya menurut KehendakNya. Kemampuan kita hanya terbatas dengan ibadah dan doa, manakala keputusan tetap bukan di tangan kita. Kembalilah kita menghayati sirah sunnah-sunnah Rasulullah serta Kitab Al Quran semoga Allah memberikan IhsanNya kepada kita. Jauhilah menganiayai, mengandai, memfitnah, serta mewujudkan kelompok-kelompok yang kita andaikan kelompok kita sahaja yang hanya diterima Allah. Sesungguhnya tiada kelompok atau individu yang Allah agihkan untuk Dia memberikan berkah melainkan mereka yang jelas mengkafirkan Allah. Selagi kita seagama maka kita bersaudara. Selagi kita mengucap dua kalimah syahadah selagi itulah tali persaudaraan kita berkait. Tiada kelompok yang diberikan keistimewaan oleh Allah melainkan yang mengikut sunnah dan Al Quran. Itu hanya Ayat-ayat anjuran Allah untuk kita menuju kepadaNya. Namun masih bukan penentu untuk kita berbangga dengannya. Kerana diakhir hayat sahaja kita akan tahu ke mana kita sebenarnya.

Maka takutkanlah Allah senantiasa seiring dengan nadi kita setiap saat dan waktu, seperti esok adalah kematian kita. Semoga Allah meringankan dosa kita dan menjauhi segala andaian ke atas diri kita mahupun orang lain. Tiada terzahir di mata kita siapa ahli syurga dan neraka, melainkan Allah sahaja Maha Mengetahui. Cukuplah sekadar mendampingi orang baik dan menghormatinya, namun jangan kita pula menyatakan bahawa aku pasti itu ahli syurga, kerana itu bukan haq kita jauh sekali dari pengetahuan kita, mahupun beliau seorang ulamaq ataupun orang biasa. Tugas kita ialah belajar dari seorang guru segala pelajaran yang mengikut kitab dan sunnah, berakhlak dengannya cukup sampai di situ tetapi bukan mengandaikan beliau ahli syurga mendahului Kuasa Penentu yang hanya ada pada Allah s.w.t. Wallahualam.