ASSALAMUALAIKUM

Tuesday, August 2, 2011

TERNYATA MANUSIA HIDUP ATAS ANDAIAN SEMATA

BISMILLAHHIRAHMANIRRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN YANG DIKASIHI NABI MUHAMADA S.A.W

Di dalam bulan yang mulia ini, ketika kita banyak disuruh berdiam, maka hati dan fikiran mulai melihat Kebesaran Allah dan kedudukan kita sebagai hambaNya. Banyak sungguh pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan kehidupan ini. Pelbagai jenis manusia yang telah kita jabat tangan, namun benar seperti kata Usman Awang “Kita sering berjabat tangan tapi masih belum berkenalan”. Namun hari demi hari setelah kita mengimbau kembali kenalan yang kita kenali maka terngiang-ngiang juga kata mereka ditelinga. Banyak yang menyeru ke arah kemaksiatan dan tak kurang juga yang menyeru ke arah kebaikan. Ketika ditimbang tara antara kenalan yang menyeru ke arah kebaikan ternyata lebih banyak di kalangan mereka yang baik rupa-rupanya lebih melangkaui Allah.

Ujub sesungguhnya sesuatu yang amat halus. Ada ulamaq berkata ”ketika ujub hinggap dihati ianya seperti seekor lalat dibatu yang hitam, sukar untuk dikenalpasti, apakah kita ketika itu menyatakan kebenaran atau mengiakan kebenaran mendahului Allah.” Sesungguhnya benar kata Ulamaq tersebut. Ketika kita menyeru kepada kebaikan serta banyak membuat ibadah dan kebaikan, mengharapkan orang tersebut mendapat hidayah dan terbuka hatinya, kita begitu bersungguh-bersungguh. Tak kala orang yang telah menerima kabaikan yang kita sampaikan, maka mulai saat itulah penyakit ujub timbul. Lalu berkata hati kecil kita..”Alhamdulillah si polan mulai sedar setelah aku membawa dia untuk mendengar dakwah.” Terlupa kita saat itu bahawa Allah telah mendahului kita saat itu. Allah telah menetapkan hati si polan tersebut sebelum kita berjumpa dengan dia lagi, lalu diperintahkan Allah untuk si polan bertemu kita hanya kerana Allah ingin memberi setitis sahaja pahala , tapi kita sudah berbangga, seolah-olah seluruh pahala milik kita. Astagharafilullahalazimmmmm!!

Manusia sesungguhnya hidup dengan penuh andaian mengatakan keadaan orang itu dan ini hanya kerana perubahan mereka. Sibuk kita melihat perubahan manusia dari baik kepada jahat atau ada juga yang masih mempertikaikan dari jahat menjadi baik. Sehingga kita lupa bahawa AKHIR PENENTUAN MANUSIA SAMADA KEKAL BAIK ATAU JAHAT ADALAH DISAAT SAKRATU MAUTNYA!!

Apakah hanya ibadah penentu di mana dan ke mana kita akhirnya? Saya ingin bertanya antara manusia di dunia APAKAH TANDA DOSA-DOSA KITA TELAH DIAMPUN??
Ternyata orang yang lebih banyak membuat dosa hati adalah manusia yang paling rugi di dunia walaupun beliau tidak pernah membuat dosa zahir seumur hidup. Ini adalah kerana sekiranya kita telah dan pernah melakukan dosa zahir, ternyata Allah akan menghantar dan pasti menghantar manusia-manusia lain bagi menegurnya. Sedangkan manusia yang kuat beribadah dan ternampak alim zahirnya tetapi penuh dengan dosa hati yakni penyakit mazmumah hanya mereka sahaja yang tahu. Maka mereka akan mudah merasa diri mereka suci lebih-lebih lagi apabila orang yang memandang mereka memuji dan memuja akan kealiman dan kesucian mereka. Lama kelamaan mereka akan tenggelam dalam pujian tersebut lalu terus mengandaikan bahawa syurga dihujung jari mereka. Mereka segera melupakan dosa-dosa fitnah, mahupun penganiayaan di dalam diam antara mereka dengan manusia lain. Kerana mereka pasti orang lain tidak tahu tetapi lupa bahawa Allah lebih tahu. Hiduplah mereka dengan andaian tersebut. Membeli syurga hanya dengan ibadah zahir. Ketika sedar mereka secara senyap memohon ampun kepada orang yang pernah mereka fitnah, namun janji Allah pasti, yang salah dan berdosa tetap berdosa.

Wahai manusia jauhkanlah menilai manusia lain. Mohon kepada Allah agar kita dijauhkan dari menilai manusia lain seperti jauhnya Timur dan Barat. Kerana sesungguhnya kita sendiri pun belum tahu ke mana akan di hantar oleh Allah di akhirat nanti. Tidak cukup dengan ibadah zahir tetapi ibadah yang paling bererti adalah ibadah hati. Telah bersabda Rasulullah “ di dalam badan manusia terdapat seketul daging, sekiranya seketul daging itu baik maka baiklah seluruh anggota tubuhnya, maka itu adalah hati”.

Saya ibaratkan hati seperti biji benih. Sekiranya benih itu baik maka pokok yang tumbuh akan menghasilkan buah-buahan yang banyak, sehingga dapat dinikmati oleh orang lain (yakni dapat memberi kebaikan) , walaupun tanpa dibaja dan hanya disiram sekali sekala. Namun sekiranya benih tidak baik (hati) maka pokok tersebut mahupun dibaja dan disiram berpuluh kali juga tidak akan berbuah, jauh sekali dinikmati oleh orang lain hasilnya.

Maka atas segalanya marilah kita hidup dengan menjauhkan diri kita dari andaian bahawa ibadah yang kita lakukan cukup, kebaikan kita cukup, dakwah kita cukup, sesungguhnya segala itu masih kecil untuk membalas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita. Lalu mengapa kita layak meletakkan diri sebagai ahli syurga sedangkan orang lain terzahir kejahatannya sebagai ahli neraka.

Kita sering memandang mulia kepada manusia yang tersasar aqidah. Mereka yang pernah tersasar aqidah (yakni menghijabkan guru dengan Allah) serta lari tauhidnya setelah kembali ke jalan yang benar kita tetap memandang mereka mulia, sedangkan mereka pernah mensyirikkan Allah. Akan tetapi ketika kita melihat seorang pelacur yang tidak pernah mensyirikkan Allah kembali ke jalan yang benar tetap sahaja kita menghina mereka. Rasanya seorang bekas pelacur akan lebih mengerti kenistaannya ketika menghadap Allah berbanding dengan orang ibadah yang mensyirikkan Allah ketika mereka kembali kejalan Allah lebih sukar untuk mereka menista diri mereka dihadapan Allah.

Ingatlah bahawa Allah Maha Adil. Dia membahagi-bahagikan dosa dan pahala kepada setiap manusia dengan seadilnya. Maka kita tetap akan pulang kepangkuanNya dengan dosa yang pernah, telah atau senantiasa kita lakukan baik hati mahupun zahir. Maka jauhilah kita dalam mengandaikan diri kita mahupun orang lain. Berserah sahaja kepada Allah Maha Penentu untuk menentukan segalanya. Sekiranya zahir kita sudah baik ibadahnya maka sibukkan pula ibadah hati kita supaya kesibukan hati berzikir kepada Allah memuji segala nikmatNya akan melalaikan diri kita untuk mengandai kedudukan orang lain di akhirat. Ingat bahawa syurga adalah atas ihsan dari Allah. Dia sahaja yang berhak menentukan dan kita hanya menurut KehendakNya. Kemampuan kita hanya terbatas dengan ibadah dan doa, manakala keputusan tetap bukan di tangan kita. Kembalilah kita menghayati sirah sunnah-sunnah Rasulullah serta Kitab Al Quran semoga Allah memberikan IhsanNya kepada kita. Jauhilah menganiayai, mengandai, memfitnah, serta mewujudkan kelompok-kelompok yang kita andaikan kelompok kita sahaja yang hanya diterima Allah. Sesungguhnya tiada kelompok atau individu yang Allah agihkan untuk Dia memberikan berkah melainkan mereka yang jelas mengkafirkan Allah. Selagi kita seagama maka kita bersaudara. Selagi kita mengucap dua kalimah syahadah selagi itulah tali persaudaraan kita berkait. Tiada kelompok yang diberikan keistimewaan oleh Allah melainkan yang mengikut sunnah dan Al Quran. Itu hanya Ayat-ayat anjuran Allah untuk kita menuju kepadaNya. Namun masih bukan penentu untuk kita berbangga dengannya. Kerana diakhir hayat sahaja kita akan tahu ke mana kita sebenarnya.

Maka takutkanlah Allah senantiasa seiring dengan nadi kita setiap saat dan waktu, seperti esok adalah kematian kita. Semoga Allah meringankan dosa kita dan menjauhi segala andaian ke atas diri kita mahupun orang lain. Tiada terzahir di mata kita siapa ahli syurga dan neraka, melainkan Allah sahaja Maha Mengetahui. Cukuplah sekadar mendampingi orang baik dan menghormatinya, namun jangan kita pula menyatakan bahawa aku pasti itu ahli syurga, kerana itu bukan haq kita jauh sekali dari pengetahuan kita, mahupun beliau seorang ulamaq ataupun orang biasa. Tugas kita ialah belajar dari seorang guru segala pelajaran yang mengikut kitab dan sunnah, berakhlak dengannya cukup sampai di situ tetapi bukan mengandaikan beliau ahli syurga mendahului Kuasa Penentu yang hanya ada pada Allah s.w.t. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment