ASSALAMUALAIKUM

Tuesday, January 29, 2013

APABILA DUNIA POLITIK SUDAH MENYAMAI DUNIA GOLONGAN KAFIR

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIN SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMAD S.A.W Inilah yang dikatakan dunia sudah menghampiri akhir zaman. Sesuatu perkataan yang agak kasar untuk kita telan tetapi itulah hakikat sebenar yang sedang berlaku. Lagi kita mahu menutup mata, lagi Allah hijabkan segalanya di hadapan mata kita untuk melihat perlakuan manusia yang telah melampaui batas. Dunia politik dari kacamata manusia dan golongan tertentu sudah tentulah berbeza. Bagi golongan yang melihat kehidupan akhirat lebih terang dari kehidupan dunia tentulah berbeza sekali. Bagi manusia yang melihat keindahan dunia seperti kekayaan, kemewahan, kuasa dan jawatan tentulah merasa tiada apa yang berlaku di dalam dunia politik yang bertentangan dengan agama, lebih-lebih lagi kalau golongan tersebut menyokong parti mereka. Apakah hakikat sebenar yang berlaku di dalam dunia politik, tidak ramai yang tahu. Mungkin ada yang tahu tapi hanya mampu membisu. Bagi yang ada sedikit keberanian, cuba untuk menegur, pasti akan dipulau atau lebih dahsyat lagi merancang pelbagai strategi untuk menjauhkan diri atau menggugurkan si polan tersebut dari senarai kumpulan yang boleh berkhidmat dengannya. Mereka merasa setiap tindakan mereka tidak akan diketahui oleh orang lain, namun mereka lupa bahawa Allah lebih dekat, malaikat senantiasa mengiringi. Setiap yang akan dianiaya pasti Allah akan menghantar berita percuma. Caranya? Wallahualam bisawab. Jadi sendiri mahu ingat. Apakah yang menyebabkan tajuk di atas berbunyi begitu kasar dan mungkin akan menyentap minda pembaca. Jawapannya mudah “seeing is believing”. Apabila Allah mengangkat hijab di depan mata dan membuka setiap tirai serta menelanjangkan akhlak yang mungkar di hadapan mata kita barulah minda dapat percaya dan hati mula menerima. Ramai di kalangan pemimpin mahupun ahli politik kebanyakan akan menggunakan kuasa dan wang ringgit untuk membeli segala-galanya. Perkara-perkara yang ingin mereka beli langsung tidak akan dikaitkan dengan Tauhid dan Aqidah Islamiah. Mereka menggunakan wang untuk membeli doa, untuk mendirikan masjid dan mendapat pahala percuma, menutup kemungkaran, menutup mulut manusia dan tidak kurang yang menggunakan wang untuk mendapatkan khidmat bukan sahaja bomoh tetapi juga orang alim (pada kacamata mereka) Nauzubillah. Sebagai seorang Islam tidakkah kita ketahui bahawa setiap kemungkaran yang kita lakukan tidak akan dapat terselindung dari Allah. Apa yang lebih menyedihkan apabila kebaikan sesama manusia bersebab, apakah segala derma jariah mampu menutup kemungkaran kita dengan Allah? Apakah dengan mengupah ustaz berdoa boleh menyelamatkan kita? Apakah dengan membina masjid dan diri sendiri tidak selalu ke masjid dapat menutup dosa kita? Apakah kuasa Ustaz mahupun bomoh dapat menyelamatkan kita di dunia mahupun akhirat ? Nauzubillahiminzalik. Lihatlah agama kaum kafir. Bagi mereka yang kaya akan memberi wang kepada ketua agama mereka untuk mengadakan upacara doa. Ada yang memberi wang kepada paderi untuk mengampunkan dosa mereka juga dengan mengadakan beberapa upacara. Tidak kurang juga yang membina rumah ibadah dan tidak pernah memijak rumah ibadah mereka semata-mata untuk didoa kebaikan oleh penduduk setempat. Subhanallah iqraq!! Lebih dahsyat lagi apabila ada golongan Islam dari dunia politik ini sanggup mengupah ustaz untuk sembahyang hajat memohon dinaikkan pangkat, diberikan jawatan dan kekayaan. Kalau diceritakan bab bomoh semakin menjadi-jadi. Kalau dulu titlenya bomoh tapi sekarang untuk menghalalkan cara title dah diubah menjadi ustaz. Cara tetap sama memakai keminyan, menurun atau menilik. Bayar saja duit, kemudian beritahu saja nak apa? Nak jatuhkan orang?, Nak halang rezeki orang mahupun membunuh orang dengan santau semua boleh. Janji ada fulus. Lagi kaya lagi cepat lagi banyak upah maka lebih bagus keputusannya , itu apa yang jahil fikirkan. Mereka terlupa bahawa syaitan akan menolong siapa sahaja termasuk orang alim sekiranya mereka mahukan dunia samada buat mereka atau orang lain. Namun kita harus ingat seandainya mereka benar-benar alim mahukah mereka melakukan perbuatan sedemikian. Urusan ibadah adalah urusan individu dengan Allah. Tidak ada satu manusiapun yang dapat menyelamatkan kita di dunia ini,sekiranya Allah ingin menjatuhkan musibah buat kita. Mohonlah sendiri, beribadahlah sendiri dan galilah ilmu Allah untuk mengelakkan kita dari melakukan kemungkaran. Bertaubatlah sesungguhnya tanpa kita sedari dengan nafsu yang besar terhadap pangkat, harta dan kuasa akhirnya kita terikut-ikut budaya orang kafir. Membelanjakan wang untuk menempah neraka. Merasakan wang adalah keutamaan untuk berbuat apa sahaja. Sesungguhnya nasihat dan peringatan ini bukan sahaja kepada golongan politik tetapi juga saya. Diriwayatkan dari Ibnu Umar bahwa Rasulullah saw bersabda,”Barangsiapa yang meniru suatu kaum maka dia termasuk dari mereka.” (HR. Abu Daud yang dishahihkan oleh Ibnu Hibban) Semoga golongan ahli politik yang bergelumang di dalam dunia politik akan diberikan hidayah oleh Allah untuk meninggalkan perbuatan yang dilakukan oleh golongan kafir dalam mengejar kuasa , harta dan tahta sebelum Allah s.w.t mendatangkan lebih banyak musibah kalau bukan kepada mereka mungkin kepada keluarga dan anak cucu mereka. Semoga mereka senantiasa beringat bahawa masyarakat yang dipimpin oleh mereka pun tidak terlepas dari terkena musibah atas perbuatan mereka dengan izin Allah. Nauzubillah. Bertaubatlah!!