ASSALAMUALAIKUM

Thursday, July 26, 2012

PELUANG KERAJAAN MENINGKATKAN EKONOMI ORANG ISLAM DI BULAN RAMADHAN

Baru-baru ini kita terbaca tentang harga tapak bazar Ramadhan yang telah dinaikkanharga sewaannya d di Selayang. Berita ini amat menyedihkan. Lebih menyedihkan apabila wakil pertubuhan penjaja menyatakan bahawa sudah hampir dua tahun pemberian kota gerai mereka telah ditarik, yakni sebanyak 20 peruntukan gerai mereka tidak lagi diperuntukkan. Malahan kebanyakkan gerai telah diberikan kepada penjaja warga asing. Kerajaan negeri Selangor seharusnya lebih prihatin di dalam persoalan ini. Malahan juga tidak terkecuali kepada negeri-negeri lain. Apabila difikirkan semula tentang tapak bazar Ramadhan mengapa ianya harus dinaikkan sememangnya tidak wajar sekali. Saban tahun tapak tersebut beroperasi, tidak pula kita nampak sebarang pembaik pulihan tapak tersebut, malahan masih sama. Apa yang menghairankan siapakah yang telah, sedang dan akan mengaut keuntungan yang besar jika bukan kerajaan maka individu mana? Inilah peluang yang harus difikirkan oleh kerajaan untuk menaikkan taraf ekonomi Islam sekiranya mereka begitu prihatin dengan masyarakat Islam. Perniagaan yang membawa keuntungan besar setahun sekali kepada umat Islam amat wajar, dan amat selari dengan peruntukan perlembagaan yang menyatakan Negara ini merupakan sebuah Negara Islam. Kalau sekadar memikirkan tentang pembangunan masjid dan ilmiah serta agama sahaja tidak mencukupi. Malahan ekonomi juga sebenarnya mampu membawa Islam lebih jauh maju di dalam kehidupan masyarakatnya. Hari demi hari kita melihat umat Islam di dalam Negara ini mengalami kerugian untuk menaikkan taraf ekonomi mereka kerana begitu fokasnya kerajaan kepada bangsa Melayu. Orang Islam terdiri oleh pelbagai bangsa. Kita juga telah mengetahui sekiranya peruntukan seperti sijil halal hanya diberikan kepada umat Islam di dalam Negara ini, maka taraf ekonomi umat Islam pasti meningkat. Itu juga telah kita kongsikan bersama bangsa yang berbeza agama di dalam Negara ini. Bercakap pula tentang ekonomi umat Islam yang hanya diberikan peluang setahun sekali di bulan Ramadhan juga semakin hari semakin ditarik dari kita, dengan mewujudkan pelbagai birokrasi. Sekiranya kita berpendapat bahawa hanya kaum Cina yang pandai berniaga, maka terdapat ramai kaum Cina yang beragama Islam di Malaysia. Tentulah sekiranya kita membuka pandangan dengan lebih luas tanpa terlalu jumud dengan hanya bangsa Melayu maka ekonomi kita umat Islam pasti akan mengatasi segala bangsa yang beragama lain di sini. Mengatakan wujudnya akta di dalam perlembagaan persekutuan Islam sebagai agama resmi sememangnya mudah. Namun menjumudkan Negara ini hanya kepada bangsa Melayu itulah yang merugikan. Pelbagai peluang yang boleh kerajaan berikan untuk meningkatkan ekonomi umat Islam dinegara ini, namun tetap sahaja mereka memilih keutamaan bangsa melebihi agama. Kemampuan dan kepakaran bangsa lain yang beragama Islam akhirnya pupus begitu sahaja. Satu perkara yang amat memilukan lagi apabila warganegara asing yang tidak kita ketahui latar agama mereka mengambil kesempatan menumpang hasil ekonomi Negara kita di dalam bulan Ramadhan. Seperti satu kisah yang pernah berlaku di sebuah bazar Ramadhan di mana salah seorang penjual makanan warganegara Indonesia yang bukan beragama Islam turut mengambil kesempatan meraih keuntungan di kalangan orang Islam. Sudah tidak menjadi pertikaian atau kehairanan sekiranya kita pernah ke Negara jiran mendapati penjual makanan mereka yang memakai songkok tetapi tidak beragama Islam. Namun kerajaan kita terutamanya majlis agama seharusnya turun padang untuk memeriksa para peniaga yang sedemikian supaya budaya berpakaian ala Islam tetapi menganut agama lain tidak mengalir masuk ke Negara kita. Janganlah kita seperti “menang sorak kampong tergadai” ketika Allah memberikan Negara ini dengan limpah rahmatNya ke atas rezeki buat rakyat kita akhirnya dimonopoli oleh mereka yang tidak menganut Islam. Banyak ruang yang boleh dimenafaatkan di Malaysia bagi meningkat ekonomi umat Islam tetapi kerana tiada ketegasan, dan terlalu bersikap pemurah maka kita umat Islam di Negara ini semakin kehilangan peluang menjana ekonomi di Negara kita sendiri. Kita sudah sedia maklum bahawa walaupun kota 30% bumiputera telah diberikan oleh kerajaan kepada bangsa Melayu, masih gagal untuk kita penuhi, maka jangan sampai umat Islam yang dianuti pelbagai bangsa di Negara ini juga akan turut hilang satu persatu, hanya kerana kerajaan terlalu bersikap toleransi. Kita boleh bertoleransi dengan bangsa tetapi bukan atas dasar agama. Peruntukan halal adalah peruntukan dari Allah untuk umat Islam, begitu juga peluang perniagaan buat umat Islam di bulan Ramadhan juga Allah bukakan kepada umat Islam, maka mengapa harus kita bertoleransi? Terdapat pelbagai badan dan persatuan yang berlabelkan bangsa, sudah tiba waktunya kita mengadakan satu majlis tindakan ekonomi Islam seperti yang telah diwar-warkan untuk bangun dan membela apa yang telah menjadi haq kepada umat Islam. Ekonomi bangsa yang bukan beragama Islam begitu luas yang tidak boleh ditumpang atau dikongsi oleh orang Islam seperti perniagaan arak, rumah urut, kelab malam dan rumah perjudian, maka wajarlah sekiranya kita juga mengariskan satu halangan buat mereka untuk tidak berkongsi apa yang telah dijadikan satu peruntukan kepada umat Islam seperti sijil halal dan bazar Ramadhan. Kita hanya mempunyai dua ruang untuk benar-benar menjana ekonomi bagi umat Islam berbanding dengan bangsa yang beragama lain, jadi kenapa tidak kita pergunakannya secara mutlak. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya umat Islam yang berniaga di luar Negara lebih Berjaya jika dibandingkan dengan negera sendiri, kerana mereka telah mengawal pemberian sijil halal secara mutlak tanpa dikongsikan dengan bangsa beragama lain. Banyak yang berkata bahawa umat Islam kurang di dalam usaha pengeluaran, namun sekiranya para peniaga francaise beragama lain contohnya ingin mengeluarkan produk mereka dengan memakai sijil halal maka seharusnya diwajibkan supaya bangsa itu mengajar umat Islam bagaimana untuk memproses dan menjadi pengeluar barangan mereka dan bukan dengan bertindak hanya mengambil pekerja umat Islam sahaja atau rakan kongsi yang mempunyai saham yang kecil di dalam kilang pengeluaran mereka. Apa sahaja barangan yang ingin masuk ke Negara ini harus di franchaisekan secara total kepada umat Islam, maka sudah tentulah kekayaan umat Islam akan meningkat. Sekiranya apa yang berlaku hari ini tidak difikirkan oleh kerajaan maka penduduk Malaysia yang berbangsa Melayu dan bangsa yang beragama Islam akan ketinggalan terus untuk mengejar peningkatan ekonomi mereka di Negara sendiri. Iqraq! “Dai Abu Hurairah ra. Berkata, Rasulullah saw bersabda:”Dahulu Bani Israil selalu dibimbing oleh Nabi, setiap kali seorang Nabi wafat maka digantikan oleh Nabi yang lain, dan bahawasanya tidak ada Nabi sesudah aku, yang aka nada setelah aku nanti adalah para khalifah, bahkan akan sangat banyak”. Para sahabat bertanya:”Apakah yang Tuan perintahkan untuk kami?”Beliau bersabda:”Tepatilah bai’atmu yang pertama ini kemudian berikanlah kepada mereka apa yang menjadi haqnya, dan bermohonlah kepada Allah agar apa yang menjadi haqmu terpenuhi kerana sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban kepada mereka tentang bagaimana cara mereka memimpin umat.” (Riwayata Bukhari dan Muslim).

APABILA RAKYAT MISKIN MINDA

Bukan mudah untuk menjadi seorang Menteri Besar. Apatah lagi ketika berhadapan dengan pelbagai budaya dan pemikiran rakyat tempatan. Setiap negeri ternyata mempunyai cara hidup dan pemikiran masing-masing bersesuaian dengan suasana sekeliling tempat mereka dibesarkan. Oleh itu adalah tidak wajar andaikata kita ingin membanding-bandingkan pembangunan antara satu negeri dengan sebuah negeri yang lain. Ada negeri yang mahukan seorang pemimpin untuk masyarakat. Manakala ada juga penduduk negeri yang mahukan pemimpin yang membawa pembangunan. Maka apa yang wajar kita sebagai pemerhati dan masyarakat sekeliling membuat penilaian bagi seseorang Menteri Besar disesebuah negeri bukanlah berdasarkan apa pembangunan yang dibawa dan betapa majunya negeri di bawah pimpinan beliau sebaliknya, kita harus turun ke akar umbi dan bertanya sendiri masyarakat tempatan tersebut pandangan mereka terhadap Menteri Besar mereka. Alhamdulillah baru-baru ini saya diberikan Allah kesempatan untk berada di Terengganu selama 4 hari dan buat pertama kali diberikan kesempatan untuk menaiki teksi. Tidak berlebihan sekiranya saya katakan negeri Terengganu merupakan negeri kedua saya setelah negeri pertama saya dibesarkan iaitu Kedah. Saya pernah berkhidmat selama 10 tahun bersama dengan PEYATIM Malaysia untuk menyiapkan sebuah koleh anak Yatim di Setiu iaitu Kolej Teknologi Bistari dan pernah juga menjadi salah seorang ahli lembaga pengarahnya. Oleh itu menaiki teksi di sana memang suatu pengalaman yang baru kerana sebelum ini sering diambil dan dihantar oleh pekerja kolej. Ketika di dalam teksi saya berkesempatan bertanya beberapa pemandu teksi di sana tentang pandangan mereka terhadap kepimpinan yakni Menteri Besar mereka yang baru iaitu Dato Seri Ahmad Said. Antara 4 orang pemandu yang saya temui menyatakan bahawa mereka amat berpuas hati dengan kepimpinan beliau kerana beliau amat mesra rakyat. Kata mereka, ternyata pemilihan MB kali ini agak unik kerana Nampak seperti DS Ahmad Said bukanlah seorang yang mengharapkan dirinya untuk menjadi MB tetapi dipilih. Maka beliau hanya bekerja untuk rakyat dan bukan untuk diri beliau sendiri, kata mereka keadaan itu amat ketara. Dalam kesempatan yang sama bertemu dengan MB Ahmad Said, beliau menyatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh beliau bersama rakyat Terengganu bukan lagi masalah miskin harta tetapi mereka agak miskin minda. Maksud beliau bukanlah rakyatnya tidak pandai dan cerdik, Cuma agak sukar untuk membawa satu hala tuju bagi mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih global kerana “comfort zone” yang telah miliki selama ini. Seperti contoh Terengganu begitu terkenal dengan keropok lekornya. Maka untuk berkembang secara lebih global, maka mereka harus mengubah cara pembungkusan dan jenamanya, atau bersedia untuk bekerjasama dengan pihak lain. Inilah kesukaran yang dihadapi apabila para peniaga kecil ini amat senang dengan keuntungan dan pendapatan mereka secara kecil-kecilan. Mereka lebih senang berniaga dihadapan rumah atau berdekatan dengan tempat tinggal mereka. Bagi mereka apa yang mereka perolehi sudah mencukupi. Oleh itu amat sukar bagi kerajaan negeri untuk menjana pendapatan dari kepakaran yang mereka miliki. Akhirnya kerajaan negeri terpaksa menghabiskan banyak perbelanjaannya secara individu dan bukan kelompok bagi menigkatkan pendapatan dan pengeluaran harian mereka. Ternyata apabila kita melihat hanya dari luar sesebuah kepimpinan negeri, kita tidak harus membuat pelbagai andaian bahawa negeri itu tidak maju kerana kepimpinannya yang tidak mahir. Sebaliknya haruslah kita menyiasat dan menilai struktur budaya masyarakat setempat tersebut. Bagaimana cara mereka hidup dan berfikir. Kepimpinan bukan sahaja sekadar bermain politik dengan masyarakat tetapi seharusnya memahami dan mengikut kehendak sejajar dengan pemikiran masyarakat setempat. Membangunkan sesebuah negeri dengan prasarana yang hebat belum tentu dapat menambat hati mereka. Mungkin ia akan memberi satu impak nilai yang hebat kepada masyarakat luar, namun belum tentu kepada masyarakat setempat. Lihat sahaja Kelantan, mungkin kerajaan Barisan Nasional yang begitu ghairah di dalam menawarkan pembanguan, terlupa untuk benar-benar mengkaji apakah masyarakat Kelantan mengharapkan pemimpin untuk masyarakat ataupun seorang pemimpin untuk pembangunan. Pada pandangan saya bukan semua negeri menghendaki seorang pemimpin yang bijak pandai dalam membawa pembangunan untuk mereka, tetapi ada juga antara negeri yang lebih mementingkan siasah dan nilai diri seorang pemimpin itu melebihi dari nilai kebijaksanaannya di dalam pembangunan. Kata pepatah orang tua “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu lain pula bunyinya”. Maka bagi menghadapi pilihanraya akan datang adalah wajar bagi Perdana Menteri menilai semula bakal-bakal calun yang sesuai untuk diletakkan dinegeri masing-masing. Ikutlah apa kehendak rakyat tempatan dan bukan semata-mata wawasan pembangunan semata. Nilai murni dan siasah seseorang bakal Menteri Besar mahupun Ketua Menteri juga harus dinilai mengikut kesesuaian negeri masing-masing. Pucuk pimpinan bukan sahaja harus membelanjakan wang mereka kepada pembangunan semata tetapi juga harus membelanjakan wang mereka untuk membentuk kembali nilai murni dan siasah seseorang bakal pemimpin bukan sahaja diperingkat pusat, yang paling penting adalah diperingkat negeri. KPI bukan sahaja harus dinilai dari segi progresifnya sesebuah negeri mencapai pembangunan tetapi juga betapa progresifnya rakyat setempat menerima pemimpin mereka mengikut acuan dan kehendak rakyat setempat. Memperolehi sesebuah kemenangan lebih mudah jika dibandingkan dengan usaha untuk mengekalkan kemenangan tersebut. Senjata material ternyata tidak berkesan disemua tempat, kerana senjata siasah dan nilai murni juga amat penting bagi menawan dan mempertahankan sesebuah negeri berkenaan. Semoga Dato Seri Najib lebih memberi ruang kepada bakal pemimpin yang mempunyai nilai murni dan siasah yang tinggi dan bukan sahaja semata-mata pemimpin yang ghairah dalam menghasilkan pembangunan untuk rakyatnya. Antara siasah dan nilai paling murni antara pemimpin ialah ketika pemimpin itu bukanlah dikalangan mereka yang sombong. Pemimpin yang beginilah amat disenangi rakyat, walaupun tidak mampu membawa pembangunan namun tetap menjadi pilihan bagi sesetengah masyarakat tempatan. Lebih-lebih lagi sekiranya masyarakat tersebut kebanyakkan sudah banyak yang mampu berdikari dan tidak banyak bergantung kepada bantuan kerajaan. Begitulah perkara tersebut juga telah disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w: “Dari Jabir ra. Bahawasanya Rasulullah saw bersabda :” Sesungguhnya diantara orang yang paling aku cintai nanti pada hari kiamat dan duduknya sangat dekat dengan aku iaitu orang yang terbaik budi pekertinya di anatara kamu sekalian. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan nanti pada hari kiamat duduknya sangat jauh dengan aku iaitu orang-orang yang banyak bercakap, suka bersembang kososng dan bermulut besar.” Para sahabat bertanya:”Wahai Rasulullah, kami telah tahu tentang orang yang banyak bercakap dan suka bersembang, kemudian apakah yang dimaksudkan dengan bermulut besar itu?” Beliau menjawab:”Iaiatu orang-orang yang sombong”. (Riwayat At Turmudzy)