ASSALAMUALAIKUM

Thursday, July 26, 2012

APABILA RAKYAT MISKIN MINDA

Bukan mudah untuk menjadi seorang Menteri Besar. Apatah lagi ketika berhadapan dengan pelbagai budaya dan pemikiran rakyat tempatan. Setiap negeri ternyata mempunyai cara hidup dan pemikiran masing-masing bersesuaian dengan suasana sekeliling tempat mereka dibesarkan. Oleh itu adalah tidak wajar andaikata kita ingin membanding-bandingkan pembangunan antara satu negeri dengan sebuah negeri yang lain. Ada negeri yang mahukan seorang pemimpin untuk masyarakat. Manakala ada juga penduduk negeri yang mahukan pemimpin yang membawa pembangunan. Maka apa yang wajar kita sebagai pemerhati dan masyarakat sekeliling membuat penilaian bagi seseorang Menteri Besar disesebuah negeri bukanlah berdasarkan apa pembangunan yang dibawa dan betapa majunya negeri di bawah pimpinan beliau sebaliknya, kita harus turun ke akar umbi dan bertanya sendiri masyarakat tempatan tersebut pandangan mereka terhadap Menteri Besar mereka. Alhamdulillah baru-baru ini saya diberikan Allah kesempatan untk berada di Terengganu selama 4 hari dan buat pertama kali diberikan kesempatan untuk menaiki teksi. Tidak berlebihan sekiranya saya katakan negeri Terengganu merupakan negeri kedua saya setelah negeri pertama saya dibesarkan iaitu Kedah. Saya pernah berkhidmat selama 10 tahun bersama dengan PEYATIM Malaysia untuk menyiapkan sebuah koleh anak Yatim di Setiu iaitu Kolej Teknologi Bistari dan pernah juga menjadi salah seorang ahli lembaga pengarahnya. Oleh itu menaiki teksi di sana memang suatu pengalaman yang baru kerana sebelum ini sering diambil dan dihantar oleh pekerja kolej. Ketika di dalam teksi saya berkesempatan bertanya beberapa pemandu teksi di sana tentang pandangan mereka terhadap kepimpinan yakni Menteri Besar mereka yang baru iaitu Dato Seri Ahmad Said. Antara 4 orang pemandu yang saya temui menyatakan bahawa mereka amat berpuas hati dengan kepimpinan beliau kerana beliau amat mesra rakyat. Kata mereka, ternyata pemilihan MB kali ini agak unik kerana Nampak seperti DS Ahmad Said bukanlah seorang yang mengharapkan dirinya untuk menjadi MB tetapi dipilih. Maka beliau hanya bekerja untuk rakyat dan bukan untuk diri beliau sendiri, kata mereka keadaan itu amat ketara. Dalam kesempatan yang sama bertemu dengan MB Ahmad Said, beliau menyatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh beliau bersama rakyat Terengganu bukan lagi masalah miskin harta tetapi mereka agak miskin minda. Maksud beliau bukanlah rakyatnya tidak pandai dan cerdik, Cuma agak sukar untuk membawa satu hala tuju bagi mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih global kerana “comfort zone” yang telah miliki selama ini. Seperti contoh Terengganu begitu terkenal dengan keropok lekornya. Maka untuk berkembang secara lebih global, maka mereka harus mengubah cara pembungkusan dan jenamanya, atau bersedia untuk bekerjasama dengan pihak lain. Inilah kesukaran yang dihadapi apabila para peniaga kecil ini amat senang dengan keuntungan dan pendapatan mereka secara kecil-kecilan. Mereka lebih senang berniaga dihadapan rumah atau berdekatan dengan tempat tinggal mereka. Bagi mereka apa yang mereka perolehi sudah mencukupi. Oleh itu amat sukar bagi kerajaan negeri untuk menjana pendapatan dari kepakaran yang mereka miliki. Akhirnya kerajaan negeri terpaksa menghabiskan banyak perbelanjaannya secara individu dan bukan kelompok bagi menigkatkan pendapatan dan pengeluaran harian mereka. Ternyata apabila kita melihat hanya dari luar sesebuah kepimpinan negeri, kita tidak harus membuat pelbagai andaian bahawa negeri itu tidak maju kerana kepimpinannya yang tidak mahir. Sebaliknya haruslah kita menyiasat dan menilai struktur budaya masyarakat setempat tersebut. Bagaimana cara mereka hidup dan berfikir. Kepimpinan bukan sahaja sekadar bermain politik dengan masyarakat tetapi seharusnya memahami dan mengikut kehendak sejajar dengan pemikiran masyarakat setempat. Membangunkan sesebuah negeri dengan prasarana yang hebat belum tentu dapat menambat hati mereka. Mungkin ia akan memberi satu impak nilai yang hebat kepada masyarakat luar, namun belum tentu kepada masyarakat setempat. Lihat sahaja Kelantan, mungkin kerajaan Barisan Nasional yang begitu ghairah di dalam menawarkan pembanguan, terlupa untuk benar-benar mengkaji apakah masyarakat Kelantan mengharapkan pemimpin untuk masyarakat ataupun seorang pemimpin untuk pembangunan. Pada pandangan saya bukan semua negeri menghendaki seorang pemimpin yang bijak pandai dalam membawa pembangunan untuk mereka, tetapi ada juga antara negeri yang lebih mementingkan siasah dan nilai diri seorang pemimpin itu melebihi dari nilai kebijaksanaannya di dalam pembangunan. Kata pepatah orang tua “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu lain pula bunyinya”. Maka bagi menghadapi pilihanraya akan datang adalah wajar bagi Perdana Menteri menilai semula bakal-bakal calun yang sesuai untuk diletakkan dinegeri masing-masing. Ikutlah apa kehendak rakyat tempatan dan bukan semata-mata wawasan pembangunan semata. Nilai murni dan siasah seseorang bakal Menteri Besar mahupun Ketua Menteri juga harus dinilai mengikut kesesuaian negeri masing-masing. Pucuk pimpinan bukan sahaja harus membelanjakan wang mereka kepada pembangunan semata tetapi juga harus membelanjakan wang mereka untuk membentuk kembali nilai murni dan siasah seseorang bakal pemimpin bukan sahaja diperingkat pusat, yang paling penting adalah diperingkat negeri. KPI bukan sahaja harus dinilai dari segi progresifnya sesebuah negeri mencapai pembangunan tetapi juga betapa progresifnya rakyat setempat menerima pemimpin mereka mengikut acuan dan kehendak rakyat setempat. Memperolehi sesebuah kemenangan lebih mudah jika dibandingkan dengan usaha untuk mengekalkan kemenangan tersebut. Senjata material ternyata tidak berkesan disemua tempat, kerana senjata siasah dan nilai murni juga amat penting bagi menawan dan mempertahankan sesebuah negeri berkenaan. Semoga Dato Seri Najib lebih memberi ruang kepada bakal pemimpin yang mempunyai nilai murni dan siasah yang tinggi dan bukan sahaja semata-mata pemimpin yang ghairah dalam menghasilkan pembangunan untuk rakyatnya. Antara siasah dan nilai paling murni antara pemimpin ialah ketika pemimpin itu bukanlah dikalangan mereka yang sombong. Pemimpin yang beginilah amat disenangi rakyat, walaupun tidak mampu membawa pembangunan namun tetap menjadi pilihan bagi sesetengah masyarakat tempatan. Lebih-lebih lagi sekiranya masyarakat tersebut kebanyakkan sudah banyak yang mampu berdikari dan tidak banyak bergantung kepada bantuan kerajaan. Begitulah perkara tersebut juga telah disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w: “Dari Jabir ra. Bahawasanya Rasulullah saw bersabda :” Sesungguhnya diantara orang yang paling aku cintai nanti pada hari kiamat dan duduknya sangat dekat dengan aku iaitu orang yang terbaik budi pekertinya di anatara kamu sekalian. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan nanti pada hari kiamat duduknya sangat jauh dengan aku iaitu orang-orang yang banyak bercakap, suka bersembang kososng dan bermulut besar.” Para sahabat bertanya:”Wahai Rasulullah, kami telah tahu tentang orang yang banyak bercakap dan suka bersembang, kemudian apakah yang dimaksudkan dengan bermulut besar itu?” Beliau menjawab:”Iaiatu orang-orang yang sombong”. (Riwayat At Turmudzy)

No comments:

Post a Comment