ASSALAMUALAIKUM

Wednesday, April 21, 2010

KERUNTUHAN MORAL: BAGAIMANA MENYELESAIKANNYA?

Setiap hari kita berhadapan dengan kes-kes keruntuhan moral di negara ini. Masing-masing cuba untuk mencari penyelesaian. Saya begitu tersentuh dengan pandangan YABhg. Tun Siti Hasmah, apabila saya cuba untuk mengutarakan permasalahan ini kepada beliau sambil lalu. Dengan ringkas beliau menjawab "You have to do Mind Maping". Mungkin perkataan ini masih baru pada saya, lalu atas inisiatif sendiri saya cuba untuk memahami konsep "mind map" ini. Ternyata walaupun beliau sudah lanjut usia tetapi, idea beliau amat bernas dan begitu bagus untuk dilaksanakan, setelah saya mengkaji tentang "mind map" ini.

Inilah sepatutnya yang dilakukan oleh semua organisasi yang berkaitan. "Mind map" akan menjuruskan kita yang "brainstorming" di dalam satu-satu kumpulan untuk mencari asal-usul sebab sesuatu kejadian itu berlaku. Ia harus bermula dengan mengumpulkan anak-anak remaja yang terlibat, guru-guru, ibubapa serta majlis agama, termasuklah ketua-ketua agama yang berbilang kaum untuk mengenal pasti bagaimana punca sesuatu kejadian itu berlaku.

Dari perbincangan yang berterusan maka melalui cerita yang dilontarkan dari pengalaman sektor masing-masing kita akan menghasilkan sebuah peta, yang akan menjuruskan kita mengapa dan bagaimana sesuatu kejadian sosial itu boleh berlaku. Idea-idea yang dikutip dari setiap lapisan masyarakat ini akan membawa kita kepada punca. Maka hanya dengan mengenal punca penyakit sahaja, maka kita dapat merawat permasalahan ini. Inisiatif untuk mengumpulkan beberapa pemikir dari setiap golongan bermula dari kelompok yang terlibat sehinggalah kepada kelompok yang merawat, harus diambil oleh Kementerian Wanita dan Keluarga serta Kebajikan Masyarakat. Hanya dengan inisiatif ini sahaja maka kita akan menghasilkan sebuah "mind map" yang akan dapat mencungkil dari mana permasaalahan yang sebenar berlaku dan cara untuk menyelesaikannya.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan perubahan sosial secara keseluruhan, bukanlah sesuatu yang mudah dan bukan juga mengambil masa yang singkat untuk menyelesaikannya. Namun satu langkah harus dimulakan. Sekurang-kurangnya selangkah itu menghasilkan satu perjalanan kepada usaha untuk memulihkan keruntuhan moral di kalangan remaja. Diharap langakah seperti ini disegerakan dan tahniah serta ucapan jutaan terima kasih kepada YABhg. Tun Siti Hasmah yang telah menghasilkan satu ungkapan yang begitu bernas untuk dipelajari oleh generasi seperti saya, dan anda semua. Ternyata beliau seumpama mutiara yang tersembunyi di dalam cengkerang berlumut. Inilah mutiara asli yang harus kita gali, bagi meneruskan perjuangan tuntutan ilmu, menyelamatkan masyarakat akan datang.

No comments:

Post a Comment