ASSALAMUALAIKUM

Monday, April 5, 2010

MELAYU GLOKAL VS MELAYU GURKAH

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMAD S.A.W

Semua orang tentunya pernah mendengar perkataan GLOKAL. Ia merupakan satu pandangan baru yang diperkenalkan oleh YB Timbalan Perdana Menteri kita Dato’Seri Najib Tun Razak. Melayu Glokal yang dimaksudkan beliau adalah sekelompok Melayu yang mempunyai skill dan intelektual yang dapat bersaing hingga ke peringkat antarabangsa. Tanpa kita sedari sememangnya semakin ramai anak-anak Melayu telah pun mempunyai kewibawaan Melayu Glokal ini. Namun bilangannya masih boleh dihitung dengan jari. Bagaimana mewujudkan lebih ramai Melayu Glokal sepertimana yang diharapkan oleh pemimpin kita semuanya tertakluk kepada peluang yang dibuka oleh pemimpin itu sendiri kepada anak-anak Melayu yang sememangnya mempunyai cirri-ciri Melayu Glokal yang diharapkan.

Apabila kita menyebut tentang Melayu Glokal, harapan saya kepada pemimpin kita adalah supaya tidak hanya menghadkan kepada bidang-bidang tertentu sahaja untuk kita banggakan. Melayu Glokal adalah untuk semua rakyat Malaysia walau di dalam bidang apa sahaja yang diceburi ianya mesti diiktirafkan sebagai Melayu Glokal tidak terkecuali bidang seni. Kita juga tahu bahawa mereka juga sedang di dalam perjalanan untuk mengenegahkan intelektual mereka di dalam bidang ini, untuk bersaing dan membawa nama baik Negara ke seluruh dunia di dalam pencapaian-pencapaian tertentu mereka. Mereka juga harus diberi peluang dan diiktrafkan. Walaupun Melayu Glokal ini hanya disebut di kalangan pemimpin tetapi setiap masyarakat Malaysia yang terdiri di dalam bangsa Melayu patut menyahut seruan ini untuk membuktikan kepada Negara betapa mereka juga tidak mahu ketinggalan di dalam menjadi seorang anak Melayu Glokal yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat dunia lain.

Bagi pemimpin yang hendak menempatkan diri mereka sebagai anak Melayu glokal maka ilmu merupakan satu senjata penting. Selain dari itu sebagai pemimpin juga sekiranya mereka mengetahui kewibawaan yang baik dari kalangan mereka untuk diketengahkan sehingga peringkat antarabangsa maka laluan harus diberikan. Peluang harus dibuka dan sikap “ketam di dalam bakul” tidak harus wujud. Kita memang mempunyai beberapa pimimpin peringkat bawah dan pertengahan yang tidak perlu disebutkan namanya sememangnya mempunyai potensi untuk diketengahkan dipersada antarabangsa, namun kerana sikap ketam tadilah kebanyakkan mereka kecundang di dalam memperjuangkan hasrat murni mereka untuk menjadi Melayu Glokal, akhirnya hanya dijadikan Melayu Gurkha.

Mungkin semua tahu apakah makna “Gurkha” yang sering disebut-sebut sebagai mainan bahasa untuk menunjukkan bahawa mereka yang hanya layak berlari ke sana ke sini untuk kepentingan individu yang mempunyai kuasa dan harta. Mereka yang dikatagorikan Melayu Gurkha ini akan disuruh ke sana dan sini hanya untuk melakukan pekerjaan yang hanya memberikan keuntungan kepada sebelah pihak sahaja. Tanpa Melayu Gurkha ini sesetengah pemimpin mungkin tidak akan merasa kedudukan mereka sekarang. Habis manis sepah dibuang itulah selayaknya yang sering diterima oleh sesetengah individu yang bergelar Melayu Gurkha. Apabila pucuk dicita ulam mendatang, janji hanya tuinggal janji. Kebanyakkan Melayu Gurkha inilah yang rajin dan setia berkhidmat dan tidak kurang juga yang memerah tenaga dan intelektual untuk menempatkan seseorang individu ini menjadi pemimpin, namun perkataan yang sering diterima “you buatlah kerja untuk I dulu, bila menang nanti I pula akan ketengahkan you……..”kononnya. Setelah segala tenaga dan intelektual digunakan akhirnya dialog ini yang keluar” Ini idea I lah…..ini pun kerana I lah semua yakin pada I…bla…bla….bla”.

Sedih bila mengenangkan kebanyakkan anak Melayu yang pernah saya temui mempunyai idea dan intelektual yang bernas dan bijak, namun tak kemana. Hanya kerana mereka tidak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin maka tidak ada sesiapa yang akan membuka ruang dan peluang bagi mereka mengembangkan kemampuan mereka keperingkat antarabangsa.

Pemimpin kita seharusnya membuka satu pusat seperti “One Stop Centre” untuk anak-anak Melayu yang berkemampuan dan berkredebiliti menghantar kertas-kertas cadangan mereka untuk dilihat dan disokong oleh kerajaan serta dibawa cadangan bernas ini dan diketengahkan sekiranya ia layak berada persada antarabangsa.

Kita juga tidak hairan berlaku beberapa kehilangan kertas-kertas kerja tertentu di Kementerian tertentu. Bila mana sesuatu kertas kerja yang bernas dihantar untuk disemak oleh pemimpin tertinggi di Kementerian tiba-tiba cadangan tersebut diluluskan tetapi nama syarikat pula yang berubah. Cerita seperti ini sudah tidak hairan lagi di kalangan Melayu Gurkha. Penat-penat menjadi gurkha berlari ke sana-sini mendapatkan bahan dan kajian tiba-tiba orang lain pula yang kenyang menjadi Melayu Glokal. Membawa kertas cadangan serta melaksanakan projek tersebut hingga kepersada antarabangsa. Anak Cina makan pengatlah….sendiri mau ingat. Apakah sukar untuk menjadikan rakyat Melayu kita Glokal atau sudah ada anak Melayu yang tidak diGlokalkan walaupun mempunyai kewibawaan tersebut.

Kita memerlukan sebuah lagi pusat yang mempunyai Integriti seperti amanah untuk menjaga hak dan idea individu tertentu supaya idea mereka ini dapat disampaikan kepada pemimpin yang tertentu dengan selamat. Kita juga bukanlah hendak menyalahkan pemimpin atasan, namun kebanyakkan mereka pun tidak mengetahui bahawa idea yang dibawa ini adalah milik idea si polan dan si polan tiba-tiba bila sampai ke tangan mereka sudah jadi “lembu punya susu, sapi juga yang dapat nama”.

Sudah menjadi kebiasaan saya dan juga kegemaran saya setiap apa yang hendak diperkenalkan kita juga harus mengetahui masalah-masalah kaum Melayu Gurkha ini hadapi sebelum kita menginginkan sesuatu dari mereka. Kemampuan dan kredibiliti mereka harus dijaga haknya. Hanya orang-orang yang beramanah sahaja yang mampu menjaga idea dan intelektual orang lain supaya ia selamat sampai ke tangan yang berhak untuk diketengahkan dipersada antarabangsa..Menjadi Melayu Glokal itu merupakan impian semua rakyat Malaysia, namun kita harus juga memikirkan bagaimana caranya untuk mencungkil kewibawaan rakyat dan memastikan mereka mendapat peluang ini. Telah saya nyatakan bahawa amanah amat diperlukan dikalangan pemimpin bawahan mahupun atasan. Hanya dengan itu sahaja perkara untuk menglokalkan anak-anak bangsa kita akan menjadi kenyataan. Menjadi seorang Melayu Glokal intelektual tetap dan harus dibuktikan dengan kertas cadangan mahupun idea-idea yang digarapkan di dalam hitam putih. Sekiranya idea-idea ini dirompak ditengah jalan maka tidak ada maknanya. Akhirnya makanlah pengat…….

Banyak juga yang saya temui mempunyai kewibawaan menjadi seorang Melayu Glokal namun tetap tak ke mana. Idea dan intelektual yang dicurahkan habis disapu orang akhirnya Melayu yang sepatutnya menjadi Glokal berakhir dengan menjadi Melayu Gurkha buat sajalah kerja untuk orang lain, dia tak ke mana juga. Semua ciri-ciri untuk menjadi Melayu Glokal telah tersenarai namun tiada peluang dan ruang diberikan….akhirnya…lu …siapa? Anak pemimpin? Sahabat? Saudara? Makan la pengat…sendiri mau ingat.

Walau apa pun Melayu yang hendak kita jadikan, maka yang penting adalah memastikan mereka mempunyai iman. Jangan hanya sekadar bangga mempunyai Melayu Glokal mampu meletakkan nama dipersada antarabangsa namun akhirnya menggunakan persada tersebut untuk kepentingan peribadi, menjual dan mencaci Negara sendiri demi untuk kepentingan peribadi. Seorang Melayu Glokal harus disertakan iman seperti nasihat AS SYAHID SYED QUTB RAHIMAHULLAH’ALAH’ , beliau berkata :

“ Manusia tanpa iman ialah manusia yang kerdil dan kecil.

Manusia tanpa iman ialah manusia yang rendah dan dangkal cita-citanya.

Manusia tanpa iman ialah manusia yang sempit dan perit kehidupannya.

Manusia tanpa iman ialah manusia yang pendek dan singkat matlamatnya

Manusia dengan iman ialah manusia yang hebat dan gagah.

Manusia dengan iman ialah manusia yang tinggi dan jauh cita-citanya.

Manusia dengan iman ialah manusia yang luas dan aman kehidupannya.

Manusia dengan iman ialah manusia yang panjang dan jauh matlamatnya.”

Ingatlah para sidang pembaca yang saya hormati sekelian walau Melayu apa sekali pun yang kita jadi apa yang penting tetap iman. Kalau sekadar memegang kebanggaan menjadi Melayu Glokal namun tidak disertai dengan iman dan hati yang cinta Agama, Bangsa dan Negara, maka pencapaian tersebut hanyalah untuk kebanggaan diri semata dan akhirnya akan kembali menjadi kepentingan peribadi sahaja. Jadilah seorang Melayu Glokal yang mampu kita banggakan dengan menjaga kepentingan dan maruah Negara setelah berada di pentas antarabangsa.Jangan sampai dilelong di sana.

Bagi mereka yang tidak pernah diberi peluang maka janganlah sekadar bercita-cita untuk dijadikan Melayu gurkha sampai bila-bila. Biarlah orang memanggil kita Gurkha namun kita tetap mempunyai azam untuk merubah diri kita supaya tidak terus dipergunakan oleh orang lain. Seperti pesanan aruah ayahanda saya Sulaiman Palestin “we have to become a slave before becoming a master”. (Jadilah seorang hamba sebelum kita belajar menjadi Tuan). Biarlah kita dikatakan Melayu Gurkha hari ini, namun di dalam hati harus senantiasa menanam niat untuk menjadi seorang Melayu Glokal kebanggaan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment