ASSALAMUALAIKUM

Sunday, October 17, 2010

PENJAJAH NEGARA VS PENJAJAH MINDA

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan Salam Buat Junjungan kiat Nabi Muhamad s.a.w

Di dalam penulisan saya kali ini adalah untuk memandang istilah kemerdekaan ini dari sudut yang berbeza. Kita telah tahu bahawa apabila sahaja kita menyebut tentang kemerdekaan maka akan terbayang di kota fikiran kita bagaimana pejuang-pejuang Negara begitu hebat mempertahankan tanah air kita dengan hanya menggunakan tenaga. Kita juga mungkin akan terimbau kembali saat-saat kita dijajah dahulu. Bagaimana kita terpaksa akur baik dari segi mental dan fizikal kepada penjajah kita. Bagi saya tidaklah begitu susah apabila kita dapat melihat musuh-musuh kita secara terang-terangan, berhadapan dengan kita.

Sekarang bagaimana? Apakah kita tidak lagi dijajah? Siapa sebenarnya musuh kita dan bagaimana hendak kita merdekakan diri kita? Persoalan ini timbul apabila saya mengimbaukan kembali sebuah filem yang saya tonton di panggung suatu ketika dahulu iaitu “The Last Samurai”. Sebagai orang teater/lakonan, saya telah diajar untuk berfikiran kritis ketika menonton sesebuah drama pentas mahupun filem. Sinopsis dan intipati yang dapat saya serapkan dari filem tersebut pada pandangan saya adalah mengenai peperangan yang berlaku sesama rakyat Jepun, yang hanya dicetuskan oleh seorang ahli perniagaan yang berurusan dengan pemimpin atasan mereka. Pada pemimpin tersebut pembelian senjata adalah untuk membawa permodenan kepada Negara mereka dan berjaya mempengaruhi Raja . Walaupun apa yang diusul oleh pemimpin atasan itu sebenarnya bukanlah bertujuan untuk membawa permodenan Negara tetapi adalah kerana urusan pembelian senjata api tersebut bakal membawa keuntungan besar kepada dirinya hasil dari perundingan dengan Negara pembekal. Hasil dari sikap tamakkan kekayaan, beliau sanggup mempengaruhi Raja sehingga berlaku pertumpahan darah dengan sesama mereka, serta menentang adat tradisi yang telah didukung hampir beratus tahun oleh rakyat tempatan. Akhirnya rakyat yang tidak mengerti apa-apa tentang urusan perniagaan menjadi korban. Tujuan yang terkorban hanyalah untuk menegakkan prinsip serta adat serta perjuangan “samurai”. Apabila kesilapan telah dilakukan nyawa tidak dapat dikembalikan walau adat tetap dipertahankan.

Mengapa saya bercerita tentang sinopsis tersebut dan apakah yang kena mengenanya dengan erti penjajahan yang hendak saya bicarakan. Selama 49 tahun kita mengecapi kemerdekaan Negara. Kepimpinan kita, undang-undang kita dan kebebasan menerajui Negara kita cara kita sendiri. Apakah kita telah berpuas hati sekadar Negara sahaja yang merdeka dan bebas dari penjajah? Apa yang saya khuatiri adalah penjajahan kita bukan lagi dilihat dari Negara tetapi penjajahan kita di masa kini dan akan datang adalah penjajahan minda. Lihat dan baca semula rentetan sinopsis dari filem samurai tersebut. Mengapa pertumpahan darah berlaku sedangkan Negara luar tidak berperang dengan rakyat Negara Jepun. Negara Barat tidak datang sebagai tentera. Tetapi mereka hanya menghantar beberapa sahaja panglima tentera mereka untuk menjajah minda rakyat Jepun. Mereka juga datang ke Negara tersebut sebagai pedagang dan bukan penjajah.

Apabila anda sidang pembaca membaca atau menonton filem tersebut tidakkah anda terbayang bahawa kita sekarang berkemungkinan berhadapan dengan penjajahan yang sama. Minda rakyat kita sudah dipengaruhi dengan minda koperat yang sibuk mengumpul harta peribadi. Malahan ada juga sesetengah pemimpin kita yang berjiwa koperat. Inilah erti sebenar penjajahan minda di dalam era globalisasi sekarang. Apa yang kita takuti adalah rakyat kita tidak mahu membebaskan minda tamak haloba di dalam bidang koperat mereka demi untuk kepentingan Agama, bangsa dan Negara.

Di dalam saya mengharungi dunia politik dan perniagaan pelbagai manusia telah saya temui dan pelbagai cerita telah disampaikan kepada saya tentang bagaimana orang asing yang masuk ke Negara kita dengan menawarkan kepada kita menjadi rakan niaga dan juga menawarkan saham yang besar kepada mana-mana pemimpin yang meluluskan projek-projek tertentu kepada mereka. Apa yang merisaukan saya adalah apabila minda rakyat kita mulai dijajah oleh material dan wang ringgit sehingga kita menggadaikan maruah bangsa semata-mata untuk mengaup keuntungan peribadi. Saham-saham syarikat, projek-projek berkepentingan Negara juga turut dilelong semata-mata untuk mengaup keuntungan peribadi. Inilah minda material yang patut kita merdekakan.

Semua ahli perniagaan mahu keuntungan, malahan ada sesetengah pemimpin juga mahukan kesenangan tetapi kita harus ingat bahawa di dalam kesibukan kita untuk menaikan ekonomi Negara maka kita terlupa bahawa di dalam masa yang sama kita telah memasukkan musuh-musuh Negara di dalam kubu-kubu ekonomi kita. Negara luar lebih-lebih lagi Negara Barat tidak akan tenang melihat kebangkitan Negara Asean khususnya. Pelbagai cara akan mereka gunakan untuk kembali menjajah Negara kita. Semua rakyat Malaysia harus sedar bahawa kejatuhan sesebuah Negara adalah berpunca dari ketidak stabilan ekonomi negaranya. Sekiranya kita tidak membebaskan minda kita untuk mengumpul harta material secara membabi buta, maka Negara kita masih terancam hanya kerana minda kita tidak dimerdekakan dari tawaran-tawaran perniagaan oleh orang luar.

Peristiwa seperti di dalam filem tersebut akan menjadi kenyataan apabila anasir luar akan berusaha untuk melagakan kita sesama sendiri, hanya kerana ingin mengaut keuntungan tanpa batasan dan sempadan. Kepentingan Melayu khususnya sanggup digadai. Perniagaan yang berkepentingan Negara juga sudah mula dilelong. Bangsa asing dimegahkan, kononnya ilmu dan kepakaran mereka begitu tinggi.

Selagi kita rakyat Malaysia tidak mempelajari atau menguasai kepandaian orang asing di dalam bidang ekonomi selagi itulah kita akan bergantung kepada kepakaran mereka. Pintu kita kadang-kadang dibuka dan peluang perniagaan juga terbuka luas hanya kerana mereka mempunyai sumber keewangan. Kita harus ingat bahawa walau berjuta wang yang dibawa masuk dari Negara luar tidak akan ke mana kalau kita rakyat Malaysia tidak memberi peluang perniagaan itu kepada mereka. Ini Negara kita dan kita juga harus menetapkan syarat kita serta kepentingan rakyat kita sebelum sebarang urusniaga dibenarkan di Negara ini.

Pokok pangkalnya adalah terletak kepada pemimpin kita sebagai pemegang kunci kepada Negara kita. Sekiranya mereka sanggup berada di dalam syarikat luar yang menawarkan keuntungan peribadi kepada mereka dengan menggadaikan kepentingan syarikat Negara, maka tidak hairan akan berlakulah seperti kata pepatah orang tua-tua “menang sorak kampong tergadai”. Kita akan megah melihat pembangunan di Negara kita, tanpa kita sedari bahawa akhirnya saham-saham syarikat berkepentingan Negara dikuasai oleh orang asing, hanya kerana satu minda yang dijajah dan masih belum merdeka.

Ingat bahawa penjajahan di zaman siber ini bukanlah menggunakan tenaga seperti dahulu lagi. Tetapi apa yang lebih kita takuti adalah penjajahan anasir luar dengan menyamarkan diri sebagai pedagang menjajah minda kita untuk berfikiran seperti mereka. Kita perhati sahaja Negara yang telah membangun, bagaimana rakyat mereka dihimpit oleh gejala-gejala sosial, hanya kerana sesetengah pemimpin mereka sibuk meningkatkan ekonomi peribadi sehingga terlupa untuk meningkatkan pembangunan sasiah dan insaniah. Sikap mementingkan diri sendiri kian menjadi-jadi. Pengagihan ekonomi yang tidak adil juga menular. Timbullah beberapa kelompok yang ditindas dari segi ekonominya. Orang kaya semakin kaya dan miskin semakin melarat. Anak cina makan pengat…..

Sekiranyanya kita ingin benar-benar merdeka, maka jagalah minda. Jangan cepat terpengaruh dengan dunia material yang ditawarkan oleh orang asing. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menyelamatkan Negara kita dari para penjajah minda dari luar. Salah satu cara adalah dengan mendalami ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Negara luar. Menggunakan ilmu pengetahuan tersebut berlandaskan apa yang dibenarkan oleh agama kita. Ilmu pengetahuan dari orang asing itulah modal sebenarnya untuk kita meningkatkan ekonomi kita. Tidak hanya melihat wang dan material sahaja yang mereka boleh tawarkan tetapi ilmu pengetahuan mereka. Itu sahaja yang dapat membendung kita dari terus menerus bergantung kepada kepakaran dan kebendaan mereka. Kita boleh mengambil mereka sebagai penasihat dan bukan pemilik kepada apa sahaja kepentingan ekonomi Negara. Tidak ada istilah “sleeping partner” di dalam mana-mana syarikat yang melibatkan orang asing, sekiranya kita tidak mahu dijajah. Sekiranya rakaniaga kita yang berbangsa asing aktif kita juga harus seaktif mereka. Dalam erti kata lain”no free lunch”. “There is no shortcut in business”. Samada kita bekerja dan memahirkan diri kita atau kita boleh memperolehi segalanya dengan cara mudah namun gagal mempertahankan apa yang kita miliki dikemudian hari “easy come, easy go”.

Tidak dinafikan bahawa tidak ramai dari kalangan bangsa kita yang betul-betul mahir di dalam dunia perniagaan. Kalau setakat nak jadi “sleeping partner” makan elaun bulan-bulan ramai. Apabila terdengar sahaja kita ditawar untuk menjadi pengarah syarikat antarabangsa, orang kita mula ghairah. Apa yang penting “asyok”bulan-bulan. Sedar-sedar diri terjajah. “I give my country, you give my money” . Masa tu jadilah kita “The last Hang Tuah”.

Ingat! Berniaga, berniaga juga! Kepentingan Negara harus diingat dan dijaga. Kalau Negara tidak dapat dijajah jangan pula minda mudah dijajah. Jawapannya sama dengan….anak cina makan pengat sendiri mau ingat. Kalau baju kebangsaan Malaysia minda kebangsaan Negara lain tak guna juga. Apa nak dimegahkan kalau kita berniaga untuk kepentingan ekonomi Negara lain. Akhirnya duit orang angkut balik Negara mereka kita tinggal syarikat yang international konon, syok sendiri la jawabnya.
Setiap apa yang kita lakukan seharusnya kita mengingati orang lain. Ambillah cerita “The Last Samurai” sebagai ikhtibar untuk mengingatkan kita bahawa, apabila minda telah dijajah oleh material, jangan ingat tidak akan berlakunya peperangan. Penjajahan ekonomi dewasa ini adalah peperangan yang bakal melanda Negara dan minda kita. Jangan biarkan minda kita dijajah oleh material dari Negara luar sehingga kita terlupa untuk membela nasib sesetengah rakyat kita yang masih dibelenggu dengan kedaifan dan kemiskinan.

Saidina ‘Ali Bin Abi Thalib ( Karramallahu Wajhah )
Pesanan Saidina ‘Ali ( K W) Kepada Al Malik Ashtar ( Gabenor Mesir )

“……….Perniagaan dan perusahaan adalah sumber keuntungan kepada Negara, tetapi ingatilah bahawa ada dikalangan mereka yang tamak dan mudah mengkhianati urusan perniagaan.

Awasilah! Takutilah Allah dalam menyelesaikan masalah golongan miskin. Mereka tidak ada tempat berlindung, lemah, tidak mempunyai apa-apa kekuasaan dan senantiasa menjadi magsa kepada keadaan dan kejadian sekeliling. Dikalangan mereka ramai yang tidak pernah menyoalkan nasib hidup mereka dan rela dengan kesengsaraan yang mereka alami, namun mereka meminta sedekah mereka enggan sama sekali. Demi Allah, tunaikanlah hak-hak mereka kerana di atas bahumulah terletaknya tanggungjawab untuk melindungi mereka. Peruntukkanlah sebahagian besar dari harta kerajaan (baitulmal) untuk meninggikan taraf hidup mereka, walau di mana sahaja mereka berada sama ada disekitarmu atau jauh dihujung negeri. Mereka semua mempunyai hak yang sama. Jangan sama sekali kesibukan melupakan kamu terhadap mereka; kerana tidak ada satu pun helah yang boleh diterima di sisi Allah…..”

Negara kita dijajah dahulu juga kerana bermula dengan kelalaian pemimpin kita dan kembali merdeka juga kerana pemimpin kita. Diharap penjajahan minda ini tidak akan bermula dengan pemimpin kita, sehingga merugikan rakyat dan Negara. Kalau Negara dijajah, parang boleh diasah tetapi kalau minda dijajah akal perlu diasah, sudah tentulah memakan masa tidak secepat mengasah parang atau meletakkan peluru di dalam senapang. Oleh itu sebelum minda kita dijajah elok-eloklah kita mengasah minda mulai hari ini supaya mudah meletakkan kubu melindungi minda dari dijajah musuh luar terutamanya di atas lapangan peperangan ekonomi dunia yang sudah bermula sekarang.

( Buku VS 2007 )

Thursday, October 14, 2010

TEKANAN DALAM POLITIK VS PEMUSNAHAN DALAM POLITIK

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Dewasa ini kita seringkali mendengar tentang pelbagai berita yang menimpa beberapa pemimpin politik kita. Dari rasuah sehinggalah ke skandal seks dan sebagainya. Inilah yang di namakan tekanan di dalam politik. Apa yang berlaku kepada Timbalan Menteri Kasihatan kita baru-baru ini, haruslah dianggap sebagai iktibar kepada semua pemimpin khususnya. Pada pendapat saya secara peribadi inilah yang di katakan jangan sampai kita rakyat menilai seorang pemimpin itu sebagai seorang pemimpin yang seharusnya maksum. Setiap apa yang hendak kita nilaikan adalah permasalahan yang akan merugikan rakyat mengatasi segala permasalah personal yang hanya merugikan individu pemimpin tersebut. Kita sebagai rakyat Malaysia yang seharusnya mempunyai pandangan yang lebih intelektual dalam menangani isu-isu kepimpinan semasa.

Media amat berperanan dalam menentukan cara pemikiran rakyat. Ianya seperti mengadakan satu jamuan makan, tak mungkin tetamu yang diundang dapat memilih lauk-pauk apa yang hendak mereka makan dan mereka sukai. Setiap menu makanan yang disediakan itulah di makan. Pemimpin harus lebih pro aktif dalam membentuk etika kewartawanan setiap media agar selari dengan kehendak rakyat. Pemimpin juga harus lebih bijaksana dalam memilih keutamaan masalah yang hendak di selesaikan.

Kalau bercakap tentang moral pemimpin, maka pada pandangan saya secara peribadi, itulah sebenarnya harapan rakyat. Namun hakikatnya banyak moral pemimpin telah rosak dari rumahtangga sehinggalah ke skandal dengan artis dan sebagainya. Sebagai rakyat yang professional dan juga pemimpin yang professional, persoalannya sekarang apakah priority dan keutamaan kita dalam melihat perspektif permasaalan yang dibawa oleh pemimpin kita peringkat tertinggi. Kalau kita memilih untuk melihat hanya factor moral dan keperibadian mereka sebagai keutamaan, maka tanya pula kepada diri kita sendiri apakah kita hidup untuk kepentingan mata, telinga dan tembolok kita ataupun untuk Agama, bangsa dan Negara keseluruhannya.

Sebagai rakyat terutama media kita harus memilih dan menghidang keutamaan ini kepada rakyat untuk memikirkan perspektif isu apakah yang akan membawa keuntungan kita bersama dan perspektif isu apakah yang hanya membawa kepada keuntungan individu tertentu? Jadi Anak cina Makan Pengat….sendiri mahu ingat.

Tidak dinafikan bahawa sesuatu isu yang memberikan tekanan kepada pemimpin akan menjadikan pemimpin tersebut lebih matang dan melompat lebih jauh lagi seperti menekan bola di dalam air. Tapi apakah kita dapat menilai antara sebuah tekanan dan pemusnahan yang kita usulkan di dalam politik? Oleh itu kalau menjadi seorang pemimpin maka visi jangkamasa panjang amat diperlukan supaya rakyat dapat menyaksikan dan turut serta di dalam misi tersebut. Setelah menetapkan visi maka pengisiannya juga harus sealiran. Kita telah ditetapkan oleh pemimpin tentang sebuah visi yang baik iaitu untuk membenteraskan rasuah yang begitu banyak melibatkan kerugian kepada Agama, Bangsa dan Negara. Maka media sebagai tukang masak yang menghidangkan makanan seharusnya setelah diberikan resepi tersebut maka masakan itulah sahaja yang harus kita tonjol dan hidangkan. Kalau semua resepi itu mesti mempunyai santan, maka penulis buatlah pilihan mereka jenis lauk mana yang akan di masak asalkan semuanya mempunyai santan. Kalau tak faham maka fikirlah sedalam-dalamnya. Ada akai pakai kata orang Kedah. Malahan Quran juga menyebut beratus kali bahawa ….bagi mereka yang berfikir. Jadi kalau baca Quran tanpa mahu fikir maka jadilah burung tiong jangan jadi manusia yang berakal.

Hari demi hari kita membuang masa memikirkan isu remeh temeh tentang personality seseorang pemimpin sehingga kita telah diganggu untuk melihat perkara yang lebih penting tentang mereka untuk disumbangkan kepada Agama, bangsa dan Negara. Inilah asas pokok yang harus ada pada setiap pemimpin. Itulah tekanan yang harus wujud di dalam politik dalam mencari seorang pemimpin yang boleh memberi keuntungan kepada rakyat dan Negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pemimpin harus mempunyai moral yang tinggi tetapi mereka tetap seorang manusia yang tidak dapat lari dari satu perkara besar yang dikatakan oleh Imam Al Ghazali iaitu nafsu. Malahan Rasulullah juga telah menyatakan bahawa inilah peperangan yang paling besar akan menimpa umatku iaitu “peperangan nafsu”. Sekiranya peperangan ini melanda pemimpin dan tidak melibatkan rakyat secara keseluruhannya maka kita serahakan kepada allah kerana ada cara tertentu telah disediakan buat pemimpin tersebut untuk meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Namun kalau sekiranya nafsu pemimpin melibatkan penganiayaan kepada rakyat seperti rasuah terutamanya maka bagaimana mungkin mereka akan mendapat pengampunan dari rakyat secara keseluruhannya. Jadi fikirkanlah….makan pengat banyak-banyak.

Hairan dan sungguh menghairankan apabila ada sesetengah individu yang sanggup duduk berjam-jam lamanya untuk merakam aksi seks tetapi tak ada pula video-video yang digunakan untuk merakam aktiviti rasuah yang begitu banyak dan menular di sana-sini. Apakah sebenarnya fokas dan kehendak mereka yang berbuat sedemikian? Apakah mereka merasakan bahawa itulah sumbangan mereka kepada Negara ataupun itulah yang amat digemari sebagai bahan tontonan persendirian? Inilah yang dikatakan pemusnahan di dalam politik. Kalau lebih banyak isu ini diketengahkan maka isu penting nasional sudah tentu tidak akan tercapai iaitu membersihkan rasuah.

Kita harus ingat bahawa isu moral bukan sahaja terletak kepada perhubugan seks semata tak kiralah samada sama jenis atau pun berlainan jenis, tetapi ianya juga terletak kepada cara hidup. Kalau seorang pemimpin Islam minum arak, berdakapan dan berciuman di khalayak ramai ataupun mengadakan parti-parti yang melibatkan pondan, pengkid atau perempuan dan menari berpelukan itu juga termaktub dalam ertikata isu moral. Pertanyaaan saya apakah tidak ada pemimpin yang terlibat di dalam senarai isu moral yang saya sebutkan tadi??? Bagaimana??? Mahukah mereka turut bertanggungjawab meletakkan jawatan di atas perbuatan mereka yang terlibat di dalam isu moral tersebut?? Saya sudah ada jawapannya ialah JANGAN HARAP. Jadi syor saya kepada rakyat yang rajin diluar sana para photographer dan cameramen jangan lupa memvideokan isu-isu di atas kalau rajin sangat kerana bahannya pasti banyak.

Setiap peristiwa semestinya ada hikmahnya. Seperti kata Dr Ary Ginanjar….”Sekiranya Allah membuka semua aib kita tak mungkin kita mampu berdiri di hadapan khalayak ramai untuk memimpin mahupun menasihati mereka….. Ternyata setiap manusia mempunyai aib dan dosa mereka sendiri, namun apakah yang harus dibuat oleh kita adalah dengan memohon taubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut. Namun bagaimana pula bagi mereka yang menganiayaai rakyat? Walaupun kita mempunyai aib, tetapi tidak sama kalau kita mempunyai dosa dan kesalahan kepada rakyat. Itu lebih parah. Memakan hak rakyat, berlaku tidak adil kepada rakyat tidak bertanggungjawab kepada amanah pinjaman kuasa secebis kuasa Allah itu lebih berat dari segala dosa antara kita dan Allah. Kata IMAM AL GHAZALI :

“IMAM GHAZALI" Apa yang paling berat didunia? "
Murid 1 = " Baja "
Murid 2 = " Besi "
Murid 3 = " Gajah "
Imam Ghazali = " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah."

Setiap pemimpin harus faham bahawa kuasa yang duiberikan Allah kepada mereka semata-mata adalah amanah. Maka jawatan yang disebut sebagai wakil rakyat adalah benar-benar satu jawatan untuk mewakili rakyat dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Pemimpin seharusnya menjadi “ a friend in need is a friend indeed” kepada rakyat. Bukan mengharapkan rakyat harus berkumpul mendampingi mereka semata. Waima merekalah yang harus turun ke padang mencari dan mendampingi rakyat. Mereka harus ada di dalam setiap perkumpulan rakyat dan bukan mengharapkan rakyat berkumpul menyambut mereka. Kalau semua wakil rakyat faham, maka tak banyaklah peruntukan kerajaan terpaksa dikeluarkan utnuk memanggil rakyat berkumpul menyambut mereka. Sebab itulah wakil rakyat sebagai pemimpin harus hadir ke kenduri kahwin, korban, sunat dan sebagainya yang dianjurkan oleh rakyat dan bukan disebaliknya.

Oleh itu walau apapun isu sememangnya haruslah rakyat memberikan sedikit tekanan bagi menstabilkan dan memperkuatkan politik di dalam Negara, namun janganlah kita melayani isu-isu yang hanya akan memusnahkan individu dan tidak membawa keuntungan kepeda rakyat kerana akhirnya pemusnahan pemimpin politk yang berkaliber di dalam jawatannya akan hanya merugikan Agama, Bangsa dan Negara.

Saturday, October 9, 2010

Maher Zain Is Allah Satisfied ?"Awaken" with lyrics

HUKUMAN KELUAR PARTI VS HUKUMAN KELUAR PENJARA

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w


Kebelakangan ini banyak berita-berita yang menakutkan sedang berlaku di dalam dunia politik. Inilah yang dikatakan pancaroba kehidupan kepada sesiapa yang mempunyai cita-cita yang besar di dalam kehidupan dan terutamanya di dalam politik. Risiko di dalam dunia politik menjadi-jadi. Macam-macam nasib yang harus ditempuhi ketika seseorang itu mengaturkan langkah menuju ke cita-citanya. Bermacam kes akan dipunggah keluar semacam mengaturkan satu skrip drama.

Seseorang yang keluar parti dengan seseorang yang keluar penjara sekarang tidak banyak bezanya. Lihatlah apa yang terjadi sekarang, kedua-dua keadaan tersebut akan menerima nasib yang sama, tidak ada bezanya antara keluar parti dengan keluar penjara. Apabila seseorang yang begitu berpendidikan tinggi, mempunyai pengalaman bekerja yang melebihi orang lain keluar penjara belum tentu beliau akan diterima untuk menjawat jawatan penting di mana-mana. Bukan kualiti ilmu dan pengalaman yang akan dilihat tetapi kesan dari seseorang yang telah keluar penjara akan dipertikaikan dahulu. Inilah yang dikatakan hukuman selepas di hukum. Hukuman yang diberikan oleh masyarakat merupakan faktor penggalak kepada bekas banduan tersebut ingin terlibat lagi di dalam kes-kes yang kurang sihat. Cuba kita bayangkan kedudukan kita di tempat mereka, tambah pula kalau sudah berkeluarga. Setelah belajar dengan gigih dan kemudian mendapat ijazah bergulung-gulung dan diberikan satu jawatan yang tinggi akhirnya hanya kerana satu kesilapan mungkin seperti pecah amanh akhirnya dipenjarakan. Bila masuk mahkamah di dapati pula tidak bersalah, tetap sahaja akan hidup seperti orang yang bersalah kerana pernah masuk penjara. Kisah sedemikian tidak kurang banyaknya berlaku di negara kita. Persepsi dan pandangan orang kepada orang yang keluar penjara waima pernah atau tidak pernah melakukan kesalahan seperti satu golongan yang menakutkan dan tidak layak duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain di dalam masyarakat. Masyarakat tidak akan tahu membezakan antara qualification atau kelayakan dengan kisah silam seseorang.

Sebenarnya cerita saya bukanlah tentang dunia penjara tetapi adalah sebagai satu pembuka cerita tentang bagaimana masyarakat menghukum bekas-bekas banduan yang keluar penjara untuk di bandingkan dengan cerita sebenarnya yang ingin di sampaikan di dalam dunia politik agar mereka dapat membezakan apakah ada sebarang perbezaan ataupun persamaan terhadap sesiapa yang masuk politik dan keluar parti dengan seseorang yang masuk penjara dan keluar penjara.

Inilah hakikatnya, apabila seseorang yang telah di dapati keluar dari parti terutamanya mereka yang berprofile tinggi maka dengan serta-merta juga jawatan mereka akan di lucut dan di tamatkan. Walaupun bertahun-tahun menjalankan kerja dengan begitu berdedikasi namun hanya kerana keluar parti mereka akan menerima nasib untuk melepaskan jawatan di dalam kerja, walaupun ia tidak ada kena mengena dengan kerjayanya.

Amat sedih bagi mereka yang popular apabila mula declare untuk keluar parti maka macam-macam yang akan dibuat agar mereka melepaskan jawatan di dalam apa juga kerjaya yang mereka lakukan. Walaupun kerjaya mereka selama ini telah sedikit sebanyak memberikan sumbangan kepada negara semuanya tidak akan di ambil kira lagi. Segala sumbangan akan dimasukkan di dalam tong sampah. Kalau seseorang itu mempunyai jawatan tertentu di dalam parti dan kemudian mendapat pekerjaan di atas jawatan parti maka kita tidak hairan sekiranya perkara itu berlaku. Tetapi ini tidak ada jawatan di dalam parti dan mendapat jawatan di dalam kerjaya bukan atas faktor memegang sebarang jawatan di dalam parti akhirnya menerima nasib terpaksa dipecat dari kerja hanya kerana keluar parti, itu yang menghairankan. Inilah hukuman keluar parti tidak ada bezanya dengan hukuman keluar penjara. Kerana selepas keluar parti juga seseorang itu akan menerima risiko untuk tidak diterima bekerja dengan kerajaan lagi.

Apa yang melucukan adalah kerana kerajaan sendiri tidak tahu bahawa kebanyakkan mereka yang bekerja di dalam kerajaan mahupun syarikat-syarikat GLC adalah di kalangan mereka yang anti kerajaan. Mengapa kerajaaan tidak pernah mengadakan satu sistem yang sama dengan yang pernah dilakukan terhadap Tan Sri Sanusi? Kalau ada yang keluar parti maka kita keluarkan juga dari pekerjaan di dalam kerajaan. Adalah sesuatu yang tidak adil apabila seseorang yang hanya terkenal sahaja menghadapi nasib yang sedemikian sedangkan yang beribu lagi terlepas lari dan bersenang-senang menentang kerajaan.

Isu sekarang menjadi lebih rumit dan memeningkan kepala . Kalau begitu antara keluar parti dan keluar parti masuk pembangkang tidak ada bezanya maka akan ramai lagilah yang akan turut melakukan perkara yang sama di masa akan datang. Inilah yang dikatakan apabila seseorang keluar penjara dan masyarakat akan menolak mereka, maka akan terjadi satu kemarahan yang akan mengakibatkan bekas banduan tidak akan teragak-agak untuk melakukan jenayah lagi akalu beliau terus menerus menerima layanan yang tidak baik dari masyarakat.

Begitu juga yang akan berlaku dengan mana-mana individu yang keluar parti. Sekiranya parti mengambil keputusan untuk tidak memberikan layanan yang seawajarnya kepada mereka maka perkara yang sama akan berlaku. Mereka akan kembali menentang parti. Apa yang menghairankan adalah kenapa kita tidak tahu untuk membezakan antara profession dengan politik. Semuanya sekarang nampak seperti moden tetapi semuanya telah menjadi kekampungan mentaliti mereka. Bagi seseorang yang mempunyai kemampuan untuk melakukan kerja dengan baik serta memberikan kontribusi atau sumbangan kepada negara maka apakah yang harus kita campur adukkan.; kalau kita nak buat maka buat betul-betul kepada semua kakitangan kerajaan dan juga kepada semua yang bekerja dengan syarikat berkaitan dengan kerajaan. Bagi mereka yang ingin memohon pekerjaan maka seharusnya sertakan kad keahlian parti sekali, maka barulah dikatan adil dan saksama. Janganlah kita melakukan tidak adil kepada seorang individu sahaja sedangkan yang lain akan terlepas lari. Mana yang lebih penting antara seorang yang keluar parti dan di buang kerja dengan beribu orang yang keluar parti dan masih bekerja dengan kerajaan? Anak Cina makan pengat jadi sendirilah mahu ingat.

Bagi sesiapa yang telah bersubahat demean melakukan kerja-kerja yang tidak menafaat yakni mengaturkan supaya seseorang yang keluar parti akan menerima nasib untuk meninggalkan pekerjaan maka pasti akan ada hukuman bukan dari parti ataupun penjara tetapi dari Allah. Kerana mereka yang ini adalah tergolong di dalam golongan nifaq seperti kata Fudhail Bin Iyadh:

“Tanda nifaq:
“satu daripada tanda nifaq ialah seseorang bergembira dengan cacian terhadap sahabatnya sendiri.”

“ Saya menaruh belas kasihan kepada tiga orang , iaitu orang mulia yang menghinakan diri, orang kaya yang memiskinkan diri dan orang berilmu yang dipermainkan dunia.”

“ sampai kepadaku bahawa orang berilmu yang akan didahulukan penyiksaannya pada hari kiamat daripada penyembah berhala.”

“Masuk ke dalam dunia itu mudah tetapi keluarnya sukar.”

“ Jika engkau sanggup untuk tidak dikenal, maka lakukanlah! Dan tidak perlu engaku dikenal dan dipuji ataupun takut dicela :

“ Apabila iblis berjaya mencapai salah satu dari tiga perkara berikut dari anak Adam maka iblis tidak akan tuntut lain perkara dari anak Adam itu ;

1. terpedaya dengan dirinya sendiri
2. Merasai amal-amalnya melebihi dari kerja orang lain
3. Terlupa demean dosa-dosanya sendiri.

“ Tetaplah mensyukuri nikmat sebab jarang sekali nikmat yang telah hilang akan datang kembali. Sesungguhnya yang sangat mengetahui nikmat air ialah orang yang benar-benar haus.”

Nauzubillah!! Janganlah kita tergolong di dalam golongan yang disebutkan di atas. Janganlah kita yang mempunyai kuasa di dalam parti menggunakan kuasa tersebut sesuka hati. Meletakkan keadilan di tangan sendiri. Tidak ada gunanya kita menggunakan kedudukan dan tiket parti untuk menganiayai sesama sendiri. Ingat dunia semakin tua dan segalanya akan di bongkarkan Allah tidak lama lagi. Muhasabahlah!!

Friday, October 8, 2010

PENYAIR ZAMAN JAHILIAH VS PEMFITNAH ZAMAN CYBER

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat Dan Salam Buat Junjungan Nabi Muhamad S.A.W


Sebagai umat Islam khususnya kita semua tidak boleh melupakan sejarah yang telah termaktub dan tertulis dengan banyaknya di dalam Al Quran. Di mana lagi kita hendak mencari iktibar kalau bukan di dalam Al Quran. Kita jangan sekadar tahu membaca tetapi tidak mahu mengambil sebarang iktibar di dalamnya. Di ceritakan sedikit sebanyak kepada kita bagaimana Allah begitu melaknati para penyair zaman Jahiliah. Rasulullah s.a.w pernah menceritakan kepada kita bagaimana semua tahanan yang ditangkap semasa peperangan akan dilepaskan dari hukuman kecuali para penyair di zaman Jahiliah sahaja yang akan dihukum. Mengapa sampai keadaan ini berlaku? Tak lain dan tak bukan mereka adalah antara kumpulan yang dapat melaga dan membuat dua buah negara bukan sahaja dua orang manusia bertelagah dan berperang hanya dengan bersyair di pasar-pasar. Syair mereka dipenuhi dengan fitnah. Antara syair yang pernah dilemparkan kepada Nabi Junjungan kita adalah supaya semua masyarakat quraishy keluar dan menentang Nabi Muhamad kerana Baginda di katakan akan menakluki bangsa tersebut. Penyair merupakan kelompok yang begitu besar peranannya dalam menabur fitnah. Di dalam bahasa yang berbunga dan mengasyikkan ketika mendengarnya akan mereka sisipkan pelbagai fitnah dan tohmahan kepada mana-mana individu yang akan mereka jadikan mangsa.

Sudah menjadi satu lumrah manusia yang suka akan hiburan, maka tidak hairanlah sekiranya kita akan berpusus-pusu ke mana-mana tempat yang mempunyai hiburan, kerna hiburan sahaja yang dapat menjadi “crowd puller” kepada masyarakat. Apabila ramai yang telah berkumpul maka itulah masanya segala perkara negatif akan disisipkan. Di zaman Jahiliah bolehlah dikatakan mendengar syair adalah sebagai satu hiburan dan hanya satu cara sahaja di zaman tersebut untuk mereka mengumpulkan orang. Ianya sama sahaja seperti kita mendengar lagu. Bila selalu di dengar lama kelamaan kita akan menghafalnya dan setelah menghafalnya kita akan mula menyanyi di mana-mana dan tak mustahil akan menjadi seperti rekod buruk yang menyanyi untuk di dengari oleh orang lain juga. Merekalah pemfitnah, pemutar belit fakta semata-mata untuk mendapat upah yang tidak setimpal dengan akibat yang mereka lakukan.

Apa bezanya di zaman cyber dengan zaman jahiliah. Tujuannya sama Cuma caranya sahaja berbeza. Kalau dahulu mereka akan menyanyi di pasar-pasar, sekarang penyair zaman Jahiliah ini akan berborak di kedai kopi atau di mana sahaja tempat yang mereka boleh mengumpulkan kawan-kawan. Medium juga berbeza tapi unsur seni masih diterapkan melalui cyber, seperti “youtube”. Bila buka sahaja internet kita dapat melihat satu-satu fitnah itu di ulang dan diulang beberapa kali di dalam bentuk muzik video di “youtube’. Semua pemimpin mahupun individu akan di aibkan di sana. Jadi sekali lagi saya bertanya apa bezanya zaman Jahiliah dan sekarang? Anak Cina makan pengat jadi sendiri mahu ingat.

Tak hairan kalau saya katakan bahawa kita sekarang sebenarnya secara sifat dan akhlak tidak berkembang selari dengan bentuk fizikal yang kita lihat sekarang ini. bangunan makin tinggi mentality makin menurun seperti zaman Jahiliah. Kerana merasa diri terlalu kreatif dan cerdik, maka ciptaan-ciptaan baru tidak terhasil sebaliknya cerita lama dalam medium cyber pula menjadi semakin berkembang dan kreatif. Pelbagai bentuk kreativiti telah diusahakan di dalam dunia siber untuk mencantikkan dan mensensasikan fitnah. Manusia sudah kehilangan jatidiri, manusia sudah kehilangan maruah diri dan manusia juga telah kehilangan kekuatan diri dalam menentang kebatilan. Raulullah s.a.w pada zaman Baginda mempunyai begitu kuat jatidiri dan tauhidnya kepada Allah sehinggakan segala fitnah yang dilemparkan kepada Baginda disambut hanya dengan berdiam diri dan berdoa. Inlah satu-satunya senjata yang mulai dilupai oleh umat kita sekarang. Sepuluh orang tuduh dua puluh kita menentang. Akhirnya perkara yang asalnya menjadi fitnah mulai menunjukkan kebenarannya. Manusia telah lupa kepada “2D” yang di ajar oleh Rasulullah iaitu “ Diam dan Doa”.

Hanya inilah satu-satu cara yang terbaik dalam menentang fitnah. Ini lain pula halnya. Apabila kita di tuduh kita keluar pula buat statemen menuduh orang lain. Tak cukup dengan tuduhan kita upah pula orang menambah fitnah untuk mencantikkan jalan cerita. Semuanya seperti telah tidak mempunyai Allah dan Agama. Semua merasakan bahawa yang paling berkuasa di dunia ini hanya mata polis dan Hakim. Selagi tersorok dari mata polis dan hakim tidak ada lagi mata lain yang melihat segala perancangan mahupun konspirasi fitnah antara satu dengan lain. Manusia semakin lupakan Al Quran, yakni hikmah, iktibar dan kebenaran yang tertulis di dalamnya. Manusia hanya ingin melarikan diri dari pengetahuan pemimpin, polis dan hakim tanpa menyedari bahawa mata Allah dan malaikat berada di mana-mana untuk menghisab. Kalau nasib baik akan terhisab setelah mati tetapi kalau nasib kurang baik maka di dunia ini lagi Allah akan hisabkan dengan membongkar segala kebatilan dan menggantikannnya dengan kebenaran.

Inilah kunci akhir yang akan dilakukan oleh penjenayah fitnah bagi menutup kesalahan dan aibnya sendiri dengan membuat satu aib yang lebih besar ke atas orang yang mengaibkannya. Inilah satu tektik baru yang akan diguna pakai oleh pemimpin sekarang dan akan datang sekiranya mereka terlibat dengan jenayah maka mereka pasti akan masuk menggunakan jenayah fitnah. Kerna ia amat berkesan untuk melarikan pandangan orang ramai ke atas isu atau kebenaran yang hakiki.

Orang yang difitnah akan lebih gemar berkata-kata dari mendengar. Kerana itulah masyarakat semakin keliru untuk membezakan antara fitnah dan nyata. Telah dinyatakan bahawa senjata “2D” yang dibekalkan oleh Junjungan kita amat berkesan namun masih tidak mahu digunakan. Kalau fitnah sudah menjadi satu kes maka doa dan diam dan berbicaralah di dalam mahkamah. Tak guna untuk bercakap di sana- dan di sini selagi tidak mempunyai sebarang bukti. Janganlah menggandakan dosa fitnah sehingga menjadi satu demi satu rantaian yang akhirnya akan melibatkan mereka yang tidak berdosa. Kata YAZID BIN ABI HABIB:

“Diantara fitnah orang yang berilmu ialah berkata-kata lebih disukai dari mendengar. Pada hal mendengar itu lebih selamat daripada berkata-kata, kerana dalam berkata-kata orang cenderung untuk menghiasi, menambah dan mengurangi.”

Itulah yang dikatakan manusia berkembang tidak selari antara kemajuan fizikal dengan kemajuan mental. Semakin maju dan moden semakin akhlak menjurus kepada akhlak Jahiliah yang wujud lebih dari 1400 tahun yang lalu. Ingat dan jangan lupa mata-mata Allah. Larilah sejauh mana pun kita tetap tidak akan terlepas dari dilihat Allah. Jangan hanya belajar lari dari pandangan polis, pemimpin dan hakim. Cubalah untuk lari dari pandangan yang Maha Esa sebelum merancangkan sesuatu fitnah yang boleh merosakkan seluruh kehidupan seseorang manusia. Renungkanlah!!

Wednesday, October 6, 2010

HANTU RAYA POLITIK VS PELESIT POLITIK

Dengan nama Allah Yanga Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Selama 7 tahun belajar sehingga memperolehi Master degree mungkin ramai yang tidak tahu apakah kajian yang telah saya buat dalam menghasilkan sebuah thesis master degree. Kalau nak tahu sebahagian kajian yang terdapat di dalam thesis saya mengandungi kajian tentang jenis-jenis hantu yang terdapat di Malaysia yang turut terlibat di dalam teater ritual dan alam spiritual. Ini bermakna kira boleh dikatakan pakar juga dalam kajian hantu ni Cuma tidak pernah bergabung dengan uncle seekers lagi. Mungkin dalam kajian tersebut yang memakan masa begitu lama akhirnya dalam hipothesis saya mendapati bahawa tidak wujud sebenarnya alam hantu yang ada cuma alam jin dan syaitan sebab tu tak boleh joint uncle seekers. Wujudnya alam hantu ini hanya kerana manusia gagal untuk mengenali alam spiritual jin dan syaitan ini sehinggakan mereka mengadakan satu imaginasi di dalam minda mereka sehingga jin-jin ini pun terbentuklah menjadi hantu. Tapi syukur Alhamdulillah di dalam kajian Phd tidak lagi saya melibatkan diri di dalam alam spiritual jin dan syaitan sebaliknya masuk ke dalam ilmu spiritualiti yang dikehendaki Allah. Kalau nak dilanjutkan boleh jumpa saya personaly untuk masuk Training ESQ165.

Di atas itu cuma satu pengenalan untuk menunjukkan bahawa kelayakan saya mengupas tentang sifat hantu yang bernama pelesit dan hantu raya yang tidak kurang juga sifatnya itu boleh disamakan dengan sesetengah golongan ahli politik samada di dalam kerajaan mahupun pembangkang. Sebelum kita melanjutkan tentang perangai sesetengah ahli politik ini maka adalah lebih baik kita mengenali bagaimana rupanya sifat hantu yang bergelar hantu raya dan pelesit ini. Kita mula dengan sifat hantu raya. Dalam kajian saya kalau orang lain tak tahulah, hantu raya ini sifatnya cukup setia. Bila diberi makan oleh tuan yang membelanya pasti dia akan setia dan tunggu tuannya sampai mati. Bila mati tuannya pun dia masih setia dengan masuk ke dalam tubuh tuannya dan merupakan tuannya sampai tubuh badan tuan yang ditumpanginya itu busuk, maka barulah orang tahu dia telah mati. Kemudian hantu raya ini akan mula mencari tuan yang baru dan begitulah selanjutnya dari satu tuan ke satu tuan janji dibela dan dikasi makan.

Manakala pelesit ni pula, sifatnya hanya mengganggu dan menjahanamkan orang. Dia tidak kira pemangsa dia hanya suka hisap darah di hujung kaki siapa saja yang dia dapat. Dari satu orang ke satu orang dia akan masuk ke dalam tubuh dan membuat orang lupa diri. Kira pelesit ni macam “free lance” lah tak kira tubuh siapa dia boleh ganggu dia ganggu. Kesukaannya mengilai sana-sini. Bagi orang tension dan takut.

Kalau ditanya saya dari mana kewujudan mereka maka seperti yang telah dinyatakan di atas mereka-mereka ini semua tidak pernah wujud hanya jin dan syaitan sahaja yang memasukkan mereka ke dalam minda manusia dan membuat rupa dan bentuk mereka itu diwujudkan. Sebab tulah tak pernah kita dengar orang nampak hantu dalam kenduri ramai-ramai. Kalau sorang-sorang maka sahlah orang itu berjaya menonton watak yang diwujudkan oleh jin dan syaitan di alam nyata.

Setelah diperkenalkan sifat ke dua-dua species di atas maka saya harap sidang pembaca dapat menggambarkan apakah ada sinonimnya dengan beberapa ahli politik kita?? Anak Cina Makan pengat sendirilah mahu ingat!!!

Inilah kerja sesetengah orang politik sekarang yang membawa kepada kehancuran Agama, Bangsa dan Negara. Kalau orang politik jenis hantu raya kita lihat inilah kerja mereka cukup setia dengan pemimpin mereka seperti tuan hantu raya selagi di sogokkan dengan wang ringgit, pangkat dan jawatan mereka akan tunggu dan setia dengan tuannya. Tapi kalau tuannya itu mati di dalam gelanggang politik semuanya lari tak bertangga. Jangan harap nak setia dengan pemimpinnya. Itulah sifat seseorang ahli politik yang macam hantu raya. Kalau tak cukup makan dia akan merupa seperti tuannya cari makan. Maksudnya menggantungkan nama tuannya dibibir atau pemimpin yang disokongnya untuk menipu orang lain mendapatkan projek. Seperti contoh dialog yang biasa di guna pakaikan oleh ahli politik hantu raya ialah “saya sebenarnya bekerja untuk menteri si polan dan si polan, jadi kalau kamu mahu projek aku boleh minta demean syarat bagi sikit up front money….duit pendahuluanlah nak loby projek lah”. Jadi menteri tersebut yang terlepas pandang dan lupa bagi makan, mulalah si ahli politik hantu raya ini membuat onar mengganggu seluruh keluarga tuannya. Selagi dijamu kira orait….macamlah semua projek tuannya itu untuk diisi oleh tembolok dia sorang. Mana rakyat tak marah dan tak bengkak. Dalam istilah molek bagi hantu raya ini ialah kronilah siapa lagi. Tapi bukan semua kroni tu boleh jadi hantu raya ada yang makan tak cukup-cukup tu sajalah yang layak dipanggil ahli politik hantu raya.

Manakala ahli politik pelesit ni memang banyak. Kerjanya hanya menghasut. Tak ada pangkat tak ada jawatan hasut saja kerjanya. Gempak orang sana-sini menakutkan orang macam hari dah nak kiamat. Apa-apa kepincangan di dalam politik ahli politik macam pelesit ni lah akan merayau ke sana sini untuk menyebarkan fitnah. Bila di tanya untuk apa dia berbuat demikian, sekadar yang boleh dijawab adalah semata-mata untuk memporak perandakan parti dan nak bagi story buat penulis. Ditanya lagi orang ini mahunya apa dan apakah menafaatnya berbuat demikian. Jawapannya mudah sekali untuk menaguk di air yang keruh. Tapi orang yang begini selalunya tidak berjawatan sekadar suka mencari keuntungan ketika kekecohan berlaku di dalam politik. Bila mengilai dan ketawa tulah contoh di mata bila ada ahli politik lain termakan hasutan mereka maka mereka akan ketawa macam seekor pelesit bila dah keluar dari badan manusia.

Sebagai pemerhati politik selama ini, saya amat bermohon supaya setiap pemimpin politik untuk lebih menjadi seorang pemerhati yang baik. Setiap manusia itu dibekalkan oleh Allah dengan sifat dan sikapnya masing-masing. Oleh itu sebelun mereka-mereka ini dilantik sebagai orang kepercayaan maka kenalilah sifat mereka adakah mereka di antara sifat hantu raya ataupun pelesit. Kalau ada salah satu dari sifat sedemikian maka elakkanlah diri anda sebelum satu lagi tsunami politik melanda. Kewujudan tsunami politik yang berlaku baru-baru ini setelah dikaji, dilihat dan diteliti ternyata kesalahannya banyak berlaku kepada orang-orang kepercayaan pemimpin tertentu. Pemimpin terlalu memberikan kepercayaan kepada pembantu mereka sehinggakan dari kepercayaan mereka-mereka ini telah mewujudkan satu kekebalan dan akhirnya membina tembok-tembok sebagai sebuah dinding pemisah antara pemimpin dan rakyat. Akhirnya rakyat mula memberontak yang paling kasihan bila pemimpin yang tak tahu apa-apa dipersalahkan. Akhirnya orang-orang harapan pemimpin yang macam hantu raya dan pelesit ini menghilangkan diri macam sifat hantu tu juga, tak dapat dikesan. Semua orang mula menuding jari dengan semua pemimpin yang paling atas lagilah nampak dan langsung dipersalahkan yang macam hantu tadi lesap siapa pun tak nampak, melainkan hanya bomoh-bomoh politik sahaja yang nampak hantu-hantu politik ini.

Nasihat saya jangan terlalu memandang yang tersurat sahaja. Marilah kita sidang pembaca mahupun penulis menuntut ilmu menjadi bomoh politik supaya boleh mendapat penglihatan batin bagi mencari siapakah dalang, petualang dan hantu raya dan pelesit yang sebenar-benarnya membawa kepada tsunami politik ini. Jangan kita jadi macam bayi yang menangis mahukan susu bila ibunya nak pujuk dialihkan pandangan bayi itu untuk melihat benda lain akhirnya susu tak dapat benda lain yang bayi itu asyikkan. Buka mata masing-masing seluas-luasnya dan kemudian buka pula mulut supaya ahli politik yang seperti hantu raya dan pelesit ini dapat dikesan dan ceritakan kepada pemimpin siapa mereka. Saya hanya seperti seorang bomoh. Tak ada bomoh cari pesakit tapi pesakit yang datang cari bomoh. Kalau pemimpin atasan nak tahu jenis hantu maka kenalah datang cari bomoh bukan sebaliknya. Apa yang penting saya bukan bomoh temberang atau bomoh ibu duit.

Kalau dalam alam Melayu kita katakan mereka ini sebagai hantu tetapi di dalam dunia Islam mereka-mereka ini sebenarnya orang-orang yang dikatagorikan orang Jahiliah. Maksud jahiliah ialah jahil tentang kebesaran Ilahi sehingga berani duduk di dunia ini berbuat sesuka hati, tak sedar diri yang kita hanya menunggu hari nak mati. Dengarlah nasihat Saidina Umar Al Khattab R.A :

“Sesungguhnya Islam itu dapat diruntuhkan keping demi keping oleh mereka yang lahir di dalam Islam, jika ia tidak mengetahui apa itu jahiliah.

Yang paling aku takutkan ke atas umat ini ialah orang munafik yang berilmu.”
Ilmu dan cinta dunia
“Apabila engkau lihat seseorang yang berilmu mencintai dunia, maka curigailah dia mengenai agamanya. Kerana setiap orang yang mencintai sesuatu akan menyibukkan diri dengan apa yang dicintainya,”

“janganlah kiranya kamu menjadi ulamak yang berwatak kasar. Agar tidaklah ilmu itu tegak dengan sebuah kejahilanmu.”

“Sesungguhnya wudhu yang baik, mengusir syaitan dari dirimu. Jangan engkau mempercayai selain dari orang yang takutkan Allah. S.W.T dan bermusyuwarahlah tentang urusan mu dengan mereka yang takut kepada Allah Ta’aala.”

“Aku tidak mempedulikan sama ada keadaanku susah atau senang kerana aku tidak tahu manakah di antara ke duanya itu lebih baik bagiku”

“ Janganlah kecintaanmu dan kebencianmu berlebih-lebihan sehingga sampai merosakkan.”

“Kebajikan yang ringan ialah menunjukkan muka berseri-seri dan mengucapkan kata-kata lemah-lembut.”

Itulah nasihat dari Saidina Umar. Setiap insan yang diciptakan Allah bukan untuk lain tetapi untuk mengambil iktibar dari perwatakan mereka. Sekiranya kita merasa berat untuk mengikut sifat Nabi Muhamad S.A.W, maka ambillah sifat-sifat sahabatnya yang terdekat. Kalau itu juga sukar untuk kita lakukan maka ikutilah sifat 70 orang lagi sahabat Nabi yang terkubur di medan perang. Asalkan kita tidak mengambil sifat Hantu raya dan pelesit yang dijelmakan jin dan syaitan. Kajilah Al Quran dan sunnah bukan sekadar mengetahui ilmunya tetapi watak-watak pejuang dan sahabat juga Nabi sendiri untuk kita ikuti. Bukan hanya kalam Allah yang perlu dibaca tetapi juga setiap watak dan insan umi yang Allah ciptakan. Kemudian bersiaplah kita untuk menghadapi dunia. Rugi kalau kita hanya mahu menumpukan peperangan sesama kita sedangkan manusia yang sebangsa dan seagama kita di luar sana beribu-ribu mati diletupkan hampir setiap hari oleh musuh kita yang sebenar iaitu kaum yahudi, musuh azali. Iqraq!!!

Saturday, September 18, 2010

SUFISME POETRY

The whole world is a marketplace for Love,
For naught that is, from Love remains remote.
The Eternal Wisdom made all things in Love.
On Love they all depend, to Love all turn.
The earth, the heavens, the sun, the moon, the stars
The center of their orbit find in Love.
By Love are all bewildered, stupefied,
Intoxicated by the Wine of Love.

From each, Love demands a mystic silence.
What do all seek so earnestly? "Tis Love.
Love is the subject of their in most thoughts,
In Love no longer "Thou" and "I" exist,
For self has passed away in the Beloved.
Now will I draw aside the veil from Love,
And in the temple of mine inmost soul
Behold the Friend, Incomparable Love.
He who would know the secret of both worlds
Will find that the secret of them both is Love.

Farid ud Din Attar, in Essential Sufism, James Fadiman and Robert Frager