HIDUP BERERTI BERJUANG.HIDUP NIKMAT TANPA BADAI DAN TAUFAN LAKSANA LAUT YANG MATI. LEBIH MULIA HIDUP DITERJANG DAN DISERANG OLEH NASIB, DARIPADA DIPERMAINKAN OLEHNYA.
ASSALAMUALAIKUM
Sunday, June 9, 2013
Melayu Yang Keliru?
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMMAD S.A.W
BANGSA MELAYU SEMAKIN KELIRU?
Sesiapapun manusia tiada mempunyai pilihan untuk menjadi bangsa yang diingininya. Semuanya ketentuan Allah. Adalah satu pembohongan sekiranya kita mengatakan bahawa tidak akan terasa sedih apabila melihat bangsanya semakin lemah dan dihina. Setiap kali kita menegur bangsa sendiri pasti akan dicop sebagai manusia yang ingin menjatuhkan bangsanya . Siapa yang sebenarnya saling menjatuhkan bangsa Melayu sendiri? Persoalan inilah yang harus ditanya oleh kita. Adakah segala masalah kita akan selesai dengan menuduh “rasist” pada bangsa lain? Adakah benar bangsa Cina semuanya “rasist”?
Senario yang sedang berlaku sekarang sebenarnya, bukanlah masalah bangsa yang bercakaran dengan bangsa lain tetapi, hakikatnya adalah kemarahan antara rakyat dan pemimpin yang lebih kepada bersifat dendam pribadi. Apa yang nyata rakyat sedang marah kepada pemimpin. Rakyat tidak kira bangsa Melayu, India dan Cina sebenarnya sedang bersatu hati untuk menentang kepimpinan yang juga terdiri dari berbilang bangsa.
Tiada rasist dikalangan rakyat tetapi ada rasist yang dinyanyikan dikalangan pemimpin. Itulah kebenaran dan itulah hakikat. Tindakan yang dibuat oleh pemimpinlah yang mengalirkan satu tindakan drastik dari rakyat. Pemimpin seolah-olah menciptakan satu keadaan yang ingin dilihat oleh rakyat. Bukan apa yang seharusnya dipertimbangkan oleh rakyat. Satu perkara dicetuskan oleh pemimpin dan rakyat terus mengambil tindakan. Sedangkan lain pula tindakan yang dilakukan oleh pemimpin. Akhirnya timbul satu persoalan apakah benar pemimpin Melayu sedang merapatkan hubungan antara bangsanya atau cuba menjarakkan perhunbungan tersebut dengan mencuba mengambil langkah menjaga hati bangsa lain.
Sepanjang 5 tahun pemerintahan Dato’Seri Najib apa yang dapat dilihat dari kacamata rakyat adalah usaha beliau untuk menawan hati bangsa lain daripada bangsa sendiri. Melayu amat keliru dengan kempen “Satu Malaysia” dan “Love PM”? Apakah bangsa Melayu yang begitu gagah dahulu sehingga bangsa lain terpaksa berbuat baik dengan kita untuk saling berniaga sudah dikelirukan dengan Slogan tersebut? Apakah kita patut menjadi Satu dalam 3 kelompok bangsa dan mencintai Perdana Menteri sebagai bukti cinta kepada Agama, bangsa dan Negara?
Semua kita akur bahawa kepimpinan tidak boleh bersifat individu. Rakyat tidak suka apabila disogokkan dengan slogan yang memaksa mereka untuk menurutinya bagi mencapai satu perpaduan. Perpaduan bangsa hanya akan wujud apabila rakyat memahami hala tuju pemimpin. Terdapat satu insiden apabila saya ditanya oleh seorang belia Cina, kenapa kita mesti cinta PM untuk membuktikan kecintaan kita kepada Negara? Apakah slogan yang sedang dilaungkan, sedangkan lain pula yang disebut oleh PM sendiri. Apabila PM berkata semuanya untuk rakyat tetapi slogan menunjukkan bahawa semuanya untuk PM. Sambung beliau lagi , apabila dikatakan satu Malaysia, dimana salahnya kalau kami menuntut semua hak orang Melayu bangsa lain juga mau maaa….. Kalau PM mahu kita sokong BN kenapa mesti sokong PM maaa…..kita sudah pandai maa….kalau sokong BN automatically sokong PM la …haiyaaa..Kelu lidah saya hingga tak terkata apa-apa.
Persoalannya sekarang dimana silapnya? Kalau benar PM mempunyai pakar penasihat yang bijak pandai, tak mungkin mereka terlepas pandang dari perkara-perkara ini. Apakah yang sedang penasihat itu lakukan? Kerja mengampu PM atau sedang memikirkan untuk menaikkan kehebatan seorang Perdana Menteri yang akan digelar “walk the talk”. Satu lagi slogan “Janji ditepati” Bukankah slogan tersebut bakal menjerat leher kerajaan sendiri. Mungkin PM mampu dan boleh menepati semua janjinya, namun bagaimana dengan Menteri, Timbalan Menteri, wakil rakyat? Apakah cukup jentera, mekanisme dan keewangan bagi mereka menepati janji? Bagaimana kalau yang berjanji PM dan harus dilaksanakan oleh mereka sedangkan semua tahu antara sesama pemimpin bercakaran sesama sendiri. Ada yang sekadar diberikan jawatan dan bukan pengisian kepada nilai jawatan tersebut. Untuk apa memegang jawatan kalau sekadar menjadi “harimau sarkas”.
Untuk apa Perdana Menteri ke sana-sini berceramah mengatakan bahawa Malaysia sebuah Negara Islam kalau tidak dapat menegakkan satu slogan berupa Islam tetapi diterima semua bangsa. Saya amat sokong dengan slogan “WASSATIYAH” (dalam penjelasan ringkas ialah kesederhanaan). Semua bangsa akan suka dengan slogan tersebut kerana mampu diterapkan kepada semua golongan masyarakat. Slogan “In Sya Allah janji akan ditepati” bukankah slogan ini lebih menunjukkan bahawa kita tidak sombong dan mendahului Allah? I love PM ditukar menjadi “I LOVE MY COUNTRY”.
Apa yang lebih mencorotkan lagi keadaan apabila Decade’s largest women conference telah dilancarkan di Malaysia. Perdana Menteri telah menyatakan di dalam ucapan beliau bahawa betapa pentingnya penglibatan wanita di dalam masyarakat. Sedangkan baru sahaja beliau mengenepikan peranan wanita di dalam politik , Satu sejarah Malaysia buat pertama kalinya tiada penglibatan wanita yang membanggakan di dalam PRU13 yang lalu. Subhanallah sekali lagi kontranya perbuatan dan percakapan PM. Saya rasa satu sejarah di dalam wanita UMNO apabila Naib Ketua Wanitanya dimalukan dengan tidak diberikan pengiktirafan ke atas jawatannya. Bagaimana mungkin seorang Presiden parti terlepas pandang menawar jawatan setimpal dengan kedudukan beliau. Ia seperti menawar kedudukan pegawai kepada seorang bekas Menteri. Ini bukanlah satu kenyataan memihat tetapi satu hakikat yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Satu kenyataan pahit yang harus ditelan oleh pemerhati politik wanita UMNO.
Mungkin penulisan ini bakal dikritik oleh mereka yang hanya mahu PM mendengar kata-kata indah diluar kebenaran yang harus ditelan oleh seorang Perdana Menteri. Sebagai penasihat yang bijak laksana mereka tidak harus memperdengar dan memperlihatkan kepada PM apa yang disukai oleh beliau tetapi mereka harus menyampaikan satu kebenaran yang pahit yang harus ditelan oleh beliau bagi mengubati penyakit yang sedang melanda rakyatnya. Barulah kehebatan seorang PM akan terserlah. Tun Dr Mahathir hebat dengan “unpopular statement”. Walaupun pedih tetapi itulah hakikat yang harus diperbaiki. Kalau semua khabar indah apa lagi yang hendak diperbaiki oleh seorang Perdana Menteri.
Dalam keadaan ini saya sebagai bangsa Melayu amat keliru. Apa yang dikatakan dan apa yang sedang berlaku dibawah langsung tidak seiring. Kita dikatakan sedang berhadapan dengan suasana perkauman tetapi hakikatnya berbilang kaum sedang memperjuangkan nasib seorang Melayu. Malahan ada juga Melayu yang bangkit memperjuangkan seorang bangsa Cina dan India. Apakah yang sebenarnya sedang berlaku pada bangsaku? Akhir kata muhasabahlah wahai pemimpin Melayu. Di mana sebenarnya silap bangsamu. Iqraq!!
“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).
Thursday, April 4, 2013
ERTI KEAMANAN SESEBUAH NEGARA
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMAD S.A.W
Adakah rakyat dalam sebuah negara yang merdeka serta aman seperti Malaysia dapat benar-benar menyelami erti keamanan dan seterusnya membenci peperangan? Persoalan ini timbul kerana Malaysia sudah lama aman, iaitu bebas merdeka.
Malahan, keamanan itu pula diperoleh tanpa melalui proses peperangan yang panjang dan menyiksakan.
Bagi mereka yang lahir ketika negara dibelenggu penjajahan, keamanan negara sangat besar ertinya. Mereka berupaya menyelami perasaan dan kesukaran yang dihadapi ketika negara tidak aman. Misalnya, ketika melawan penjajah British, atau semasa peristiwa kemasukan Jepun ke tanahair.
Lain pula halnya dengan generasi muda kini. Tentu sahaja mereka sukar membayangkan keadaan negara yang tidak aman akibat peperangan atau pertentangan melawan penjajahan. Ini kerana mereka sudah lama diselubungi kesenangan. Maka, kesusahan akibat peperangan mungkin tidak pernah mereka fikirkan. Oleh itu, bagaimanakah mereka boleh sebenar-benarnya membenci peperangan?
Apabila melihat gambar atau cerita tentang penderitaan masyarakat di Palestin, Afghanistan, Iraq mahupun di beberapa negara di benua Afrika, pasti ramai yang berasa sedih, marah, takut dan berharap perkara itu tidak berlaku di Malaysia. Namun, berapa lamakah perasaan itu dapat dikekalkan? Lazimnya, apabila kembali sibuk dengan perjalanan hidup seharian, perasaan itu hilang bagai debu ditiup angin.
Kita telah digemparkan pada 9 Februari apabila Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Mungkin orang ramai memandang peristiwa ini sebagai satu pencerobohan serta peperangan kecil yang terjadi. Namun jika dilihat dengan pandangan hakikat, ternyata Allah sedang memberikan kita satu gambaran bahawa betapa perlunya masyarakat Malaysia terutamanya bangsa Melayu yang beragama Islam kembali bersatu.
Mata batin kita mulai ditutup oleh Allah. Kita melihat sesuatu keadaan dengan nafsu. Tanpa pertimbangan, kita mulai menabur fitnah dan tohmah. Kita harus sedar bahawa keamanan yang telah kita kecapi selama 50 tahun bukanlah hanya kerana hasil kepimpinan kerajaan yang ada. Tetapi kerana Allah mengizinkan kepada kerajaan kita untuk memimpin. Tapia pa yang kita pertikaikan adalah rasuah mereka. Kita lebih takutkan kehilangan wang Negara daripada kehilangan sebuah keamanan.
Bukanlah saya ingin membenarkan rasuah. Namun kaedah untuk membenteraskan rasuah kita lihat di depan mata ada usahanya. Namun usaha untuk menimbulkan kekacauan dan menggugatkan keamanan Negara juga dilakukan oleh sesetengah pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Namun kita dengan senang hatiu cuba untuk memejamkan mata dan menafikan segala-galanya.
Kalau pemimpin rasuah dan tidak adil kita bangun memberontak dengan mengadakan demonstrasi. Malahan ada yang sanggup berkumpul beramai-ramai untuk solat hajat mendoakan kehancuran sesame Islam di atas nama satu parti yang kita telah sedia maklum bahawa parti tersebut bukan sahaja diwakili oleh orang Islam yang membuat kejahatan tetapi juga ada antara mereka yang mungkin membuat ibadah lebih dari yang mendoakan kehancuran tersebut.
Sepatutnya nilai keamanan dihargai oleh semua pihak, tanpa mengira parti dan agama. Ini adalah rumah kita di sinilah satu-satunya tempat kita hidup dan mencari makan, melainkan anda sanggup untuk berhijah. Sekiranya kita sayangkan bumi tercinta. Inilah saatnya kita bangun memberi sokongan. Menutup mulut dan menahan jari dari terlibat untuk mempertikaikan kekuatan pertahanan kita. Bayangkan mereka anggota polis dan tentera hanya segelintir berkorban untuk menjaminkan keselamatan kita. Namun langsung tidak kita hargai. Lebih menyedihkan apabila mereka terkorban dan isteri serta anak-anak mereka menjadi balu dan anak yatim.
Di manakah pendemo-pendemo jalanan? Bukankah mereka terdiri dari orang-orang berani yang menebalikkan kereta polis, memukul dan menerajang sesame sendiri. Inilah masanya anda ke Lahad Datu memukul, menerajang dan membalikkan perisai penceroboh. Bukan menjadi jaguh kampong, hanya pandai menuntut keadilan dan bukan berjuang menghadapi penceroboh.
Paling menyedihkan lagi apabila ada segelintir pemimpin yang menyanyi dan bergembira kerana akan kehilangan Sabah. Langsung tidak ada perikemanusiaan. Langsung tidak terdetik di dalam hati sekiranya Sabah akan diambil pasti akan berlaku peperangan. Maka rakyat sendiri juga akan terkorban.
Bersyukurlah, kerana kemerdekaan kita bukan dengan pertumpahan darah. Tetapi kita terpaksa bertumpah darah hanya untuk menyelamatkan satu negeri. Apakah ianya berbaloi? Bangkita dan bersatulah wahai sekelian masyarakat Malaysia. Ini sebenarnya adalah anjuran Islam dan anjuran Nabi kita Muhamad s.a.w. Kenapa ini tidak diperjuangkan oleh mereka parti yang memperjuangkan Islam. Sekiranya mana-mana pemimpin dapat menerajui Negara ini tetapi keadaan Negara menjadi kucar kacir apalah ertinya sebuah Negara, tidakkah mereka terfikir. Seharusnya semua tenaga digembelingkan untuk mencari siapakah dalang yang membuka pintu kepada penceroboh ini? Apakah mungkin sebuah cerita digembar gemburkan sekiranya tiada bukti dan kebenaran disebaliknya. Igraq
Mungkin sajak nukilan saya ini boleh memberi kesedaran kepada para belia khususnya untuk menghargai sebuah perjuangan Agama, bangsa dan Negara:
WASIAT AYAH BUAT ANAK MERDEKA
Wahai anak merdeka yang bertuah
Janganlah kamu buta sejarah
Perjuangan merdeka ayahmu tiada berdarah
Nampaknya mudah hakikatnya susah
Wahai anak merdeka
Kamu sekarang begitu juah
Silap sikit mula menerjah
Mudah sungguh berpaling tadah
Mendabik dada mencampak maruah
Wahai anak merdeka yang bertuah
Tiada kira apa bangsamu
Tika sedar sudah bersatu
Kini mulai melontar batu
Kerna minda sudah membeku
Wahai anak merdeka
Di mana akhlakmu tika bersuara
Bertindak tanpa akal dan minda
Sedangkan sijilmu panjang berjela
Wahai anak-anak merdeka kini
Tanpa sedar mindamu ditakluki
Penyerang minda tiada henti
Dengan tujuan satu yang pasti
Meletak maruah bangsamu di telapak kaki
Wahai anak merdeka
Jangan kamu rasa selesa
Dengan kemewahan di depan mata
Bangunlah
Berjuanglah
Sehingga kamu mula percaya
Betapa pentingnya menegak kembali maruah bangsa
Sedarlah kamu anak merdeka
Wasiat ayahmu harus dijaga
Sebelum kembali porak peranda
Sebelum bangsamu berkubur tak bertanda
Sebelum perjuangan alif ba ta mu
Menjadi sia-sia
TUMPUAN RASUAH MENENGGELAMKAN PERJUANGAN AQIDAH
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMAD S.A.W
Inilah dunia politik. Masyarakat , ahli dan pemimpin sudah tidak tahu lagi membezakan apakah tujuan hidup kita paling utama di dunia ini. Di dalam Al Quran terbentang tertulis firman Allah yang mengatakan:” Tidak ku jadikan darimu, jin dan manusia, semata-mata hanya untuk menyembah beribadat kepada Allah”. Maksud beribadat di sini bukanlah sembahyang dan berzikir 24 jam, tetapi segala kebaikan adalah ibadah dan membantu agama Allah lebih lagi mulia ibadahnya.
Rasuah merupakan salah satu dosa yang besar tidak dapat dinafikan. Bagaimana pula “penggunaan kalimah Allah sehingga meletakkan syirik dan murtad secara berleluasa di kalangan umat Islam?”. Seharusnya umat Islam bersatu dan melemparkan jauh-jauh fahaman politik apabila hendak membela nama Allah. Kita pernah bersama bersatu menentang Lina Joy ketika membuat permohonan untuk murtad. Kita juga pernah bersama ketika nama Nabi Muhamad s.a.w dihina. Ini adalah nama Allah Tuhan semesta alam. Apabila ianya hendak dicemari kita langsung mendiamkan diri. Tidakkah kita takut ketika mati nanti apabila bakal ditanya oleh Allah apa yang telah kita lakukan untuk mempertahankan kalimah Allah?
Bagi yang boleh berceramah maka ceramahlah. Bagi yang boleh melukis maka lukislah dan bagi yang mampu menulis maka tulislah untuk mempertahankan kalimah Allah. Kita sememangnya bukanlah seorang pakar dalam ilmu agama untuk memberi nas bagi mempertahankan kalimat Allah. Tapi kita kan punya ulamak, ustaz dan ustazah yang ramai untuk kita semak dengan mereka supaya memahami mengapa kalimah tersebut tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam untuk diterjemahkan dalam bahasa Melayu.
Alhamdulillah dengan berbagai rujukan bahan bacaan dan pertanyaan terus kepada pelbagai ustaz termasuklah ustaz di JAKIM maka saya mulai memahami mengapa penggunaan nama Allah ini hendak sangat digunakan oleh mereka yang mempunya niat jangkamasa panjang merosakkan aqidah umat Melayu yang Islam di Malaysia.
Kita semua sudah maklum di dalam perlembagaan persekutuan 160 (2) menyatakan bahawa orang Melayu wajib Islam di Malaysia. Kita juga sedia maklum terdapat sejarah di mana berlaku di Pulau Pinang perjumpaan pastor yang berbai’ah sesame mereka untuk menjadikan Malaysia pada suatu hari sebagai Negara Kristian. Kita jangan lupa bahawa perkara ini bukan baru berlaku tetapi sudah lama. Melihatkan jumlah kaum di Malaysia bangsa Melayu paling ramai sehingga melebihi bangsa lain, maka Melayulah menjadikan target utama mereka untuk di Kristiankan. Supaya mencapai lebih 50% penganut kristian dan akhirnya boleh di debat di dalam Parlimen menukar agama rasmi Malaysia.
YB Zulkifli Nordin pernah membuat penjelasan secara terbuka bagaimana gerakan kristianisasi ini sudah lama berjalan di Malaysia. Tujuan mereka adalah untuk memastikan bangsa Melayu terutamanya murtad. Mereka telah melihat bagaimana ianya telah Berjaya di Indonesia. Di sana orang-orang Islam telah disekularkan dengan hanya menggunakan kalimah Allah maka Islam dan Kristian terus di samakan antara Tuhan Yang Satu dan Jesus. Lalu mereka menghalalkan perkahwinan antara Islam dan Kristian tanpa menukar agama mereka.
Inilah dinamakan aqidah. Hanya dengan menggunakan satu perkataan yang sama dengan membawa 2 penjelasan umat Islam sudah keliru. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya anak-anak kita di bawah 10 tahun dilampirkan kepada mereka risalah “Mengenal Allah”dalam versi Kristian? Sudah tentulah ia mudah mengelirukan.
Seharusnya ini bukanlah masa kita mempolitikkan isu yang menjadi perjuangan umat Islam. Kita terlalu asyik mencari berapa ramai pemimpin rasuah sehingga kita lupa bahawa berapa ramai pulak pemimpin yang memberi ruang kepada bangsa kristian ini untuk memurtadkan orang-orang Islam.
Kalau kita menyuruh sesiapa sahaja bercakap tentang rasuah si polan dan si polan sudah tentu berkajang kertas mereka akan bercakap dan menulis. Tetapi sekiranya kita disuruh mencari pemimpin yang sedang membuka pintu memberi ruang untuk bangsa Kristian memurtadkan orang Islam, pasti kita akan jawab “tak pa kita serahkan kepada pejabat agama, ulamak dan ustaz”. Tetapi kalau polis minta tolong kita menjadi “rakan polis” bukan main lagi kita menyokong sedangkan kita bukan polis. Tapi kita sokong kerana takut hilang harta dunia. Kalau menyokong ustaz dan pendakwah untuk memberi pengetahuan tentang larangan penggunaan kalimah Allah kita diam, kerana apa iman orang lain bukan urusan kita, dan hilang iman tidak ada keuntungan dunia buat kita seperti hilang harta.
Iqraqlah wahai manusia “Ih’fazzilah, ya’h fazka” JAGA ALLAH DAN ALLAH AKAN MENJAGA KAMU. Menjaga Allah bukan sekadar mencari pemimpin rasuah tetapi juga mencari salah pemimpin yang membuka jalan merosak aqidah. Samalah dengan pemimpin yang mengkhaskan rumah Allah (masjid) hanya untuk ahli partinya. Ini juga merosakkan aqidah , bila ada anak kecil yang bertanya “kenapa kita tidak boleh masuk rumah Allah yang ini? Tak boleh nak kita bukan ahli parti si anu maka kita tidak Islam katanya.”. Subhanallah adakah ini yang hendak kita jawab pada anak2 kita yang senantiasa di didik oleh kita bahawa semua masjid adalah rumah Allah.
"Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran bahawasanya hendaklah kita berpegang teguh dengan tali Allah dan janganlah berpecah belah"
Maka sebaliknya yg berlaku sekarang amat membimbangkan dimana kroniknya perpecahan umat islam yg memungkinkan umat islam itu sendiri akan tersisih dinegara islam sendiri. Parti-parti politik mesti berlapang dada dlm merungkaikan permasalah ini dari dalam & muzakarah utk meminimumkan perselisihan & dirapatkan saf-saf ummah..Sebab itu kalau kita lihat hadis Nabi SAW, bagaimana baginda berbicara tentang saf. Kata Nabi SAW yang bermaksud:
“Hendaklah kamu rapatkan saf sesama kamu di dalam solat, ataupun Allah SWT pecah belahkan hati kamu.” (riwayat Imam al-Bukhari & Imam Muslim)
Maka, disini telah dilihat secara jelas betapa tuntutan islam dalam hal penyatuan ummah. Buang yg keruh ambil yg jernih. Perpecahan umat Islam di Malaysia khususnya amat merugikn umat islan itu sendiri yg menampakkn. Seolah-olah hak islam dipertikai sedikit demi sedikit tanpa ada pembelaan sewajarnya dek kerana kekangan politik.
Maka hatta ingatlah hadis nabi yg mengatakan umat islam di akhir zaman bak buih2 di lautan. Dimana jumlahnua byk ttp amat tidak bermakna & rendah kualitinya. Kembalilah kepada al-quran & sunnah.. Jgn kita berqiblat parti politik yg tidak dapat menjanjikn apa2 di akhirat kelak
Tuesday, January 29, 2013
APABILA DUNIA POLITIK SUDAH MENYAMAI DUNIA GOLONGAN KAFIR
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIN
SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMAD S.A.W
Inilah yang dikatakan dunia sudah menghampiri akhir zaman. Sesuatu perkataan yang agak kasar untuk kita telan tetapi itulah hakikat sebenar yang sedang berlaku. Lagi kita mahu menutup mata, lagi Allah hijabkan segalanya di hadapan mata kita untuk melihat perlakuan manusia yang telah melampaui batas.
Dunia politik dari kacamata manusia dan golongan tertentu sudah tentulah berbeza. Bagi golongan yang melihat kehidupan akhirat lebih terang dari kehidupan dunia tentulah berbeza sekali. Bagi manusia yang melihat keindahan dunia seperti kekayaan, kemewahan, kuasa dan jawatan tentulah merasa tiada apa yang berlaku di dalam dunia politik yang bertentangan dengan agama, lebih-lebih lagi kalau golongan tersebut menyokong parti mereka.
Apakah hakikat sebenar yang berlaku di dalam dunia politik, tidak ramai yang tahu. Mungkin ada yang tahu tapi hanya mampu membisu. Bagi yang ada sedikit keberanian, cuba untuk menegur, pasti akan dipulau atau lebih dahsyat lagi merancang pelbagai strategi untuk menjauhkan diri atau menggugurkan si polan tersebut dari senarai kumpulan yang boleh berkhidmat dengannya. Mereka merasa setiap tindakan mereka tidak akan diketahui oleh orang lain, namun mereka lupa bahawa Allah lebih dekat, malaikat senantiasa mengiringi. Setiap yang akan dianiaya pasti Allah akan menghantar berita percuma. Caranya? Wallahualam bisawab. Jadi sendiri mahu ingat.
Apakah yang menyebabkan tajuk di atas berbunyi begitu kasar dan mungkin akan menyentap minda pembaca. Jawapannya mudah “seeing is believing”. Apabila Allah mengangkat hijab di depan mata dan membuka setiap tirai serta menelanjangkan akhlak yang mungkar di hadapan mata kita barulah minda dapat percaya dan hati mula menerima.
Ramai di kalangan pemimpin mahupun ahli politik kebanyakan akan menggunakan kuasa dan wang ringgit untuk membeli segala-galanya. Perkara-perkara yang ingin mereka beli langsung tidak akan dikaitkan dengan Tauhid dan Aqidah Islamiah. Mereka menggunakan wang untuk membeli doa, untuk mendirikan masjid dan mendapat pahala percuma, menutup kemungkaran, menutup mulut manusia dan tidak kurang yang menggunakan wang untuk mendapatkan khidmat bukan sahaja bomoh tetapi juga orang alim (pada kacamata mereka) Nauzubillah.
Sebagai seorang Islam tidakkah kita ketahui bahawa setiap kemungkaran yang kita lakukan tidak akan dapat terselindung dari Allah. Apa yang lebih menyedihkan apabila kebaikan sesama manusia bersebab, apakah segala derma jariah mampu menutup kemungkaran kita dengan Allah? Apakah dengan mengupah ustaz berdoa boleh menyelamatkan kita? Apakah dengan membina masjid dan diri sendiri tidak selalu ke masjid dapat menutup dosa kita? Apakah kuasa Ustaz mahupun bomoh dapat menyelamatkan kita di dunia mahupun akhirat ? Nauzubillahiminzalik.
Lihatlah agama kaum kafir. Bagi mereka yang kaya akan memberi wang kepada ketua agama mereka untuk mengadakan upacara doa. Ada yang memberi wang kepada paderi untuk mengampunkan dosa mereka juga dengan mengadakan beberapa upacara. Tidak kurang juga yang membina rumah ibadah dan tidak pernah memijak rumah ibadah mereka semata-mata untuk didoa kebaikan oleh penduduk setempat. Subhanallah iqraq!!
Lebih dahsyat lagi apabila ada golongan Islam dari dunia politik ini sanggup mengupah ustaz untuk sembahyang hajat memohon dinaikkan pangkat, diberikan jawatan dan kekayaan. Kalau diceritakan bab bomoh semakin menjadi-jadi. Kalau dulu titlenya bomoh tapi sekarang untuk menghalalkan cara title dah diubah menjadi ustaz. Cara tetap sama memakai keminyan, menurun atau menilik. Bayar saja duit, kemudian beritahu saja nak apa? Nak jatuhkan orang?, Nak halang rezeki orang mahupun membunuh orang dengan santau semua boleh. Janji ada fulus. Lagi kaya lagi cepat lagi banyak upah maka lebih bagus keputusannya , itu apa yang jahil fikirkan. Mereka terlupa bahawa syaitan akan menolong siapa sahaja termasuk orang alim sekiranya mereka mahukan dunia samada buat mereka atau orang lain. Namun kita harus ingat seandainya mereka benar-benar alim mahukah mereka melakukan perbuatan sedemikian.
Urusan ibadah adalah urusan individu dengan Allah. Tidak ada satu manusiapun yang dapat menyelamatkan kita di dunia ini,sekiranya Allah ingin menjatuhkan musibah buat kita. Mohonlah sendiri, beribadahlah sendiri dan galilah ilmu Allah untuk mengelakkan kita dari melakukan kemungkaran. Bertaubatlah sesungguhnya tanpa kita sedari dengan nafsu yang besar terhadap pangkat, harta dan kuasa akhirnya kita terikut-ikut budaya orang kafir. Membelanjakan wang untuk menempah neraka. Merasakan wang adalah keutamaan untuk berbuat apa sahaja. Sesungguhnya nasihat dan peringatan ini bukan sahaja kepada golongan politik tetapi juga saya.
Diriwayatkan dari Ibnu Umar bahwa Rasulullah saw bersabda,”Barangsiapa yang meniru suatu kaum maka dia termasuk dari mereka.” (HR. Abu Daud yang dishahihkan oleh Ibnu Hibban)
Semoga golongan ahli politik yang bergelumang di dalam dunia politik akan diberikan hidayah oleh Allah untuk meninggalkan perbuatan yang dilakukan oleh golongan kafir dalam mengejar kuasa , harta dan tahta sebelum Allah s.w.t mendatangkan lebih banyak musibah kalau bukan kepada mereka mungkin kepada keluarga dan anak cucu mereka. Semoga mereka senantiasa beringat bahawa masyarakat yang dipimpin oleh mereka pun tidak terlepas dari terkena musibah atas perbuatan mereka dengan izin Allah. Nauzubillah. Bertaubatlah!!
Sunday, December 30, 2012
BIAR BERANI MENJADI BENAR BUKAN BERANI MENJADI BALACI
Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan salam buat junjungan kita nabi muhamad s.a.w
Bersyukur keharat Ilahi kerana telah memberikan saya banyak pengalaman ketika terlibat di dalam sepak terajang dalam penulisan dan dunia politik. Sedih dan amat menyedihkan kerana di dalam dunia politik mengguna dan dipergunakan oleh pemimpin sudah menjadi perkara biasa. Apabila melihat satu kebenaran semua ahli parti memilih untuk mendiamkan diri. Kebenaran selalu diletakkan pada tempat yang salah. Ramai ahli politik yang berani tidak dapat dinafikan namun ramai juga yang memilih untuk menjadi “balaci”(pesuruh) ahli politik upahan untuk menjatuhkan sesama sendiri. Mereka berani dengan lantangnya memaki hamun, malahan ada juga yang sanggup mengupah penulis bagi menulis dan mencari salah seseorang pemimpin, untuk menjatuhkannya.
Terkadang terfikir juga dibenak fikiran, mengapa mereka sanggup menghabiskan begitu banyak masa untuk mencari kesalahan pemimpin yang tidak mereka sukai. Malahan ada yang berani melafaz terang-terangan “aku akan lakukan apa saja asalkan si polan tidak menjadi Menteri Besar”. Walhal mereka berada di dalam parti yang sama, memperjuangkan satu perjuangan yang sama, tetapi kerana dendam kesumat mereka sanggup lakukkan apa saja. Subhanallah.
Dalam pengalaman bergelumang di dalam parti Allah telah membuka segala ruang dan pengalaman untuk melihat akhlak balaci-balaci yang berani ini. Keberanian mereka sungguh tidak dapat dijangkau oleh benak fikiran. Mereka sanggup memusnahkan siapa sahaja yang berada di keliling pemimpin yang tidak mereka sukai. Sehingga melibatkan diri menanam balaci mereka di sekeliling Perdana Menteri untuk membuat hanya satu kerja yakni menghasut.
Perdana Menteri harus menutup telinga buat masa ini dan membuka mata dengan seluas-luasnya untuk menilai prestasi dengan pekerjaan yang telah dilakukan. “Action speaks lauder then words”. Pada pandangan saya bukanlah menutup telinga sehingga tidak mendengar masalah rakyat tetapi tutuplah telinga dari mereka yang berani menjadi balaci menghasut untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin parti yang benar-benar membuat kerja dan menjalankan tanggungjawab mereka. Ramai antara pemimpin yang “hipokrit” dalam menjalankan tanggungjawab mereka, kerana mereka akan hanya sibuk bila PM datang melawat kawasan mereka. Sedangkan dikalangan pemimpin yang benar-benar buat kerja membantu rakyat, kebanyakkannya menjadi mangsa kepada balaci yang berani ini.
Saya pernah melihat betapa beraninya balaci ini setelah memakan hasil upah mereka sanggup membuat kekecohan di dalam mesyuarat pemimpin yang tidak mereka sukai. Bila ditanya berapa upah yang mereka dapat, hanya rm20 untuk melakukan semua kekecohan tersebut. Bayangkan upah yang sekecil itu sanggup menggadaikan maruah bangsa semata-mata untuk memenuhi hasrat pemimpin yang mengupah mereka.
Sedih apabila melihat PM, terfikir juga bagaimana beliau melayan lapuran-lapuran palsu dari kalangan pemimpin balaci ini. Perbuatan mereka begitu istiqomah dalam menghantar lapuran buruk tentang pemimpin yang tidak mereka sukai.
Setiap manusia kalau dicari kesalahan tentulah akan menjumpainya kerana kita bukanlah manusia yang maksum. Tetapi amat merugikan parti apabila mencari kesalahan seorang pemimpin yang benar-benar menjalankan tugas membantu rakyat. Sehingga siang malam hanya memikirkan bagaimana untuk membasmikan kemiskinan rakyat dan mensejahterakan rakyat di bawah kepimpinannya, sekaligus menaikkan nama Perdana Menteri dan parti.
PRU semakin dekat maka PM haruslah memberi fokas dalaman melebihi luaran parti. Mengenal pasti siapakah “sikitol” yang kita boleh anggap sebagai balaci berani yang sanggup buat apa sahaja untuk menjatuhkan pemimpin yang benar=benar bekerja utuk parti. Isu-isu pembangkang begitu banyak dan mudah untuk digunakan bagi melemahkan mereka. Namun isu-isu dalaman kelihatan masih belum selesai, jangan sampai ia bakal merugikan parti apabila kesalahan pemimpin yang benar-benar bekerja dicari, sedangkan pemimpin yang mencuri tulang ketika bekerja dianggap bagus oleh PM hanya kerana peranan balaci berani ini. Marilah kita kita membaca beberapa hadis yang menggambarka seorang pemimpin yang jahat semoga Allah menjauhkan diri kita memilih pemimpin sedemikian. Amin
“Sejahat-jahat ialah seorang pemimpin yang dibenci oleh rakyatnya, dan pemimpin yang membenci rakyatnya. (Hadis riwayat Muslim).
Pemimpin Islam yang mengkhianati rakyatnya, maka Allah swt. mengharamkan dirinya masuk syurga. (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih).
Sejahat-jahat manusia adalah penguasi yang zalim lagi bengis. (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi).
Seorang pengkhianat kelak akan dipasangkan sepanduk yang bertulis ‘inilah pengkhianat bagi Si Fulan bin Fulan’. (Hadis Riwayat Muslim).
Sejahat-jahat pengkhianat ialah pengkhianatan yang dilakukan oleh seorang pemimpin kepada rakyatnya. (Hadis riwayat Muslim).
Tiga perkara yang sangat ditakuti oleh Rasulullah saw. atas umatnya:-
1. Mereka meminta hujan dengan bintang-bintang
2. Kezaliman pemimpin dan
3. Mendustakan takdir. (Misykatul Mashabih).
Pemimpin yang celaka ialah ketika berkuasa ia bersikap zuhud terhadap hartanya sendiri, tetapi tamak terhadap harta orang lain. (Abu Bakar As Siddiq).”
Kepada yang bergelar pemimpin tu fikir-fikirkanlah di mana kedudukan anda sekarang. Pemimpin sekadar memimpin negara tapi merangkumi semua, memimpim keluarga pun digelar pemimpin dan begitulah sebaliknya.
Tuesday, November 13, 2012
BIAR MATI SEBAGAI PEJUANG JANGAN MATI SEBAGAI PETUALANG
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN MUHAMAD S.A.W
Amat menyedihkan apabila kita terus menerus mengikuti perkembangan politik semasa. Ramai antara kita sudah keliru melihat pelbagai pemimpin tidak kira di mana sahaja perjuangan pentas politik yang mereka ceburi. Kekeliruan yang nyata adalah untuk mengenal pasti “siapakah pejuang dan siapakah petualang” di dalam parti yang mereka dukung. Semua ahli politik mengakui bahawa niat mereka adalah untuk membawa sesuatu perjuangan. Tapi masih samar-samar untuk melihat di kalangan mereka apakah sebenarnya yang mereka pejuang. Apakah mereka benar-benar seorang pejuang ataupun petualang.
Saya terpanggil untuk mengutip beberapa bait ucapan Senator Ezam Mohd. Dari beberapa siri ucapan beliau di Sabah baru-baru ini. Beliau banyak membongkarkan tentang Anwar Ibrahim (DSAI), seperti sudah sedia kita maklum. Amat sukar untuk tidak mempercayai beliau memandangkan beliau antara manusia yang diberi peluang untuk berjuang bersama Anwar suatu ketika dahulu. Ada antara cerita beliau yang begitu menarik perhatian saya tentang Anwar di mana selama ini saya sudah sedia terdetik di hati namun, secara tidak langsung ianya disahkan oleh Senator Ezam di dalam ucapan beliau.
Kita pernah dikejutkan oleh sebaris ayat DSAI apabila beliau pernah membuat kenyataan ketika di temuramah oleh CNBC menyatakan sokongan beliau terbuka ke atas Israel. Semua sedia maklum bahawa Israel adalah satu Negara Yahudi yang telah menghancurkan beberapa Negara Islam serta menawan Baitul Maqdis masjid suci orang Islam. Kenyataan itu begitu memeranjatkan sehingga Dato’ Nik Aziz buat pertama kalinya memohon untuk DSAI menarik balik kenyataan tersebut tetapi enggan dilakukan oleh DSAI. Sedangkan ternyata sebelum ini DSAI begitu menghormati Dato’Nik Aziz. Bila dibuat satu analisa mengapa DSAI enggan menarik kenyataan itu maka jelas bagi kita bahawa DSAI sedang menarik perhatian Israel untuk memporak perandakan Negara ini dan matlamat beliau bukan lagi untuk memenangi pilihanraya. Kalau dilihat dari segi politik Anwar sememangnya benar kata Ezam bahawa Anwar banyak menggunakan “politik simpati” dari rakyat. Apabila isu simpati sudah tidak boleh diguna pakai lagi, maka Anwar mengubah strateginya untuk menarik perhatian Belia, yang sudah tentu tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang perjalanan politik Anwar sebelum ini. Kalau hendak dibandingkan saya menganggap bahawa Demonstrasi Reformasi jauh lebih hebat dari BERSIH 3.0, yang telah terbukti satu demo simpati DSAI secara besar besaran.
Saya mula menilai kembali perjalanan politik Anwar dan semakin hari semakin terserlah keinginan beliau untuk memerintah Negara ini kian tipis kerana beliau cukup arif tentang kehebatan susunan politik DS Najib. Oleh itu apa yang akan dilakukan oleh Anwar hanya melakukan sesuatu untuk mendapatkan simpati dari Negara luar terutamanya Israel yang begitu terkenal dengan kehebatan penggunaan media mereka bagi menghancuran sesebuah Negara terutama Negara Islam. Pada pandangan saya Anwar sepanjang perjuangan beliau selama berbelas tahun di dalam PKR, tidak ada satu pun yang ingin bertanya tentang kedudukan keewangannya. Rumusan yang dapat saya nyatakan DSAI cukup selesa dan mampu mendapat perlindungan dari luar sekiranya sebarang musibah berlaku di dalam Negara ini. Cara DSAI bergerak tidak Nampak satu pun susun atur strategi beliau untuk memenangi pilihanraya melain hanya untuk membawa satu huru hara di dalam Negara. Berbelas tahun sudah berlalu semua cabang PKR masih belum dapat beliau bereskan. Malahan banyak masa yang beliau pakai adalah untuk membuat demo. Selepas BERSIH 3.0, seksualiti Merdeka, kemudian isu PTPTN dibangkitkan.
Kalau benar inilah yang diingini oleh DSAI maka penyokong beliau harus muhasabah samada mereka sedang menolong PR untuk memerintah atau mereka sedang menolong PR untuk mengkucar- kacirkan Negara ini. Apa yang kita lihat buat masa ini kerusi yang dimiliki oleh DAP telah melebihi kerusi yang dimiliki oleh PAS dan PKR. Oleh itu ternyata DAP begitu bersungguh-sungguh mengatur strategi untuk menang, sedang PAS kelihatan seperti pak turut manakala PR pula sibuk mengatur strategi demo. Apa yang harus ditanya oleh pihak penyokong pembangkang sekarang adalah kalau pembangkang menang siapa yang akan memerintah? Kerana ketara sekali DSAI sudah mulai tidak berminat lagi untuk memerintah kerana beliau sendiri sudah sedar tiada kekuatan apa pun di dalam PR untuk bertegang urat bersama parti komponennya bagi memberi peluang kepada beliau untuk memerintah. Sudah tentu dengan pelbagai masalah dan kontroversi beliau akan dijadikan senjata oleh DAP dan PAS menolak beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Akhirnya ternyata DSAI memilih untuk mati sebagai petualang daripada mati sebagai pejuang Agama, Bangsa dan Negaranya. Namun segalanya masih di tangan Allah kerana hanya Allah sahaja Maha Pengampun dan Pemaaf bagi semua umat ciptaanNya. Wallahualam!!
“Telah berkata Ibnu Baththal dalam hadis yang menjadi hujjah untuk meninggalkan sikap keluar dari ketaatan kepada sultan (pemerintah) walaupun pemerintah tersebut seorang yang jahat, (katanya) “Para fuqaha’ telah bersepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakan (mutaghalib) dan berjihad bersama-samanya. Ini adalah kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang nyata.”.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)
PENDIDIKAN: JANGAN BAKUL SAMPAHKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Bismillahirrahmanarrahim
Selawat dan Salam Buat Nabi Muhamad s.a.w junjungan yang kita kasihi
Sedih dan amat menyedihkan apabila rakyat Malaysia semakin mengenepikan Perlembagaan Persekutuan Negara Malaysia. Semua sudah sedia maklum bahawa setiap Negara di dunia mempunyai perlembagaannya sendiri, yakni sesuatu ikatan yang dipersetujui oleh sesiapa sahaja yang ingin menetap dan mendapat kerakyatan di mana-mana Negara yang mereka pilih. Begitu juga dengan Malaysia. Kita mempunyai sebuah perlembagaan, malahan Rasulullah s.a.w juga telah membentuk sebuah perlembagaan yang dipanggil “PIAGAM MADINAH”, untuk setiap penduduk menghormati beberapa ketetapan kenegaraan sebelum mereka bersetuju untuk tinggal disesebuah Negara tersebut.
Malahan hampir setiap Negara akan menuntut mana-mana individu yang ingin memiliki kerakyatan dalam negaranya harus faham dan mengerti apakah yang terkandung di dalam perlembagaan sesebuah Negara tersebut. Perlembagaan bukanlah suatu akta yang mengatasi Al Quran dan AS Sunnah tetapi ia adalah satu garisan “muamalah” yang dituntut oleh Islam bagi menubuhkan sesebuah Negara dengan aman dan sentosa. Benar ia boleh diubah, hanya apabila setiap pemimpin dan rakyat bersetuju untuk mengubahkannya. Tetapi apabila perlembagaan telah termaktub maka seharusnya ia dimartabatkan oleh semua masyarakat Malaysia.
Apabila Menteri Pendidikan tercari-cari solusi untuk memantapkan pendidikan Negara , maka beliau harus memasukkan perlembagaan persekutuan sebagai salah satu subjek yang wajib lulus seperti sejarah supaya semua rakyat Malaysia mengetahui betapa penting perlembagaan persekutuan ini diketahui untuk membentuk jatidiri cintakan Agama, Bangsa dan Tanahair. Terutamanya perkara 60 (2) penjelasan bahawa setiap Melayu harus mempunyai 3 katagori sifatnya iaitu, bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan budaya Melayu dan yang paling penting adalah MELAYU HARUS ISLAM.
Kerana kekurangan pengetahuan ke atas perkara di ataslah maka KENYATAAN NURUL IZZAH DIPOLITIKKAN OLEH PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERUTAMA NURUL IZZAH SENDIRI. Amat menyedihkan apabila kenyataan beliau menyatakan bahawa rakyat Malaysia seolah-olah di diskriminasikan apabila tidak diberikan ruang untuk membuat pilihan agama, tanpa merujuk samada ianya kepada orang bukan Melayu atau orang Melayu. Dia menyatakan rakyat Malaysia secara kesuluruhan. Maka dengan kenyataan itu juga bapanya Anwar Ibrahim mengulas dengan mengaitkan ayat Al Quran “LAIQRRAHAFIDDIN” (Tiada paksaan dalam agama) sedangkan ayat itu diturunkan khusus kepada orang kafir, bukan kepada orang yang dilahirkan Islam. Ia telah jelas diriwayatkan oleh IBNI ABBAS R.A dalam riwayat IBNU KATHIR. Menyatakan bahawa ada orang Ansar yang mengadu kepada Nabi bahawa ingin memaksa kedua anak-anaknya yang telah memeluk Kristian untuk memeluk agama Islam, maka turun firman Allah “tidak ada paksaan dalam agama”. Tapi untuk orang Islam mengapa kita hendak membuka ruang bagi orang Melayu memilih agama atau keluar dari agama? Anda boleh merujuk penerangannya di dalam youtube “Isu Murtad : Ustaz Fathul Bari YV Nurul Izzah”. Sedangkan hukum HUDUD menetapkan “sesiapa antara orang Islam yang menukar agamanya akan dihukum pancung”. Bukankah fakta tersebut bercanggah sekali dengan perjuangan PAS, satu ketika dulu lah, sekarang perjuangan mereka sudah Negara Kebajikan.
Begitulah bahayanya sekira rakyat Malaysia langsung tidak memahami dan mendalami perlembagaan persekutuan. Hanya dengan memahaminya barulah kita layak memakai pepatah dahulu yakni “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Apakah kita sedar bahawa pepatah itu langsung tidak relevan sekarang kerana, ramai antara rakyat Malaysia lebih fasih tentang hukum “Human Rights” yang di tulis oleh Barat dari Perlembagaan sendiri. Semuanya menuntut keadilan tanpa mengetahui bahawa mereka telah pun bersetuju tidak kira dalam lisan atau tidak. Ketika menerima kad pengenalan untuk menjadi rakyat Malaysia secara tidak langsung mereka harus menerima perlembagaan persekutuan tersebut selagi tiada kerajaan menggubalkannya. Janganlah kita mempermainkan atau mempolitikkan bab perlembagaan kalau belum menjadi kerajaan. Kalau sudah menjadi kerajaan maka ubahlah kalau nak menarik perkara 60 (2) pun tariklah, bagilah hak samarata tak kira Melayu, Cina atau India. Kalau itulah yang sesetengah Melayu dambakan. Kita telah melihat betapa sukarnya bangsa Melayu di Singapura, di Takbai di mana 75 pemuda Melayu Islam dibunuh pada tahun 2004, di Filipina malahan disekeliling kita termasuk Indonesia, apakah masih buta mata kita dan pekak telinga kita apabila semua keadaan telah Allah tunjuk disekeliling kita? Subhanallah sebuah Negara yang melindungi Islam sudah wujud janganlah sampai kita ingin menjadikan ia seperti mainan atau makmal untuk dicuba-cuba. Sekali terlepas belum tentu mudah bagi kita untuk mendapatkannya semula. Iqraq!!
Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: “Tiga golongan Allah SWT tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaanya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.” (Riwayat al-Bukhari)
Menurut pandangan Ibnu Hajar al Makky al Haitamy seorang ulama yang terkenal bahawa: Yang dimaksudkan dengan dosa-dosa besar ialah mensyirikkan Allah SWT, membunuh manusia, makan harta anak yatim, menuduh seseorang berzina, menderhaka kepada kedua ibu bapa makan riba dan membatalkan kesetiaan kepada pemerintah.
Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menyatakan: Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram.
Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat secara sah berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara. Insaflah wahai saudara musliminku!!
Subscribe to:
Posts (Atom)