ASSALAMUALAIKUM

Saturday, April 30, 2011

SETIALAH HANYA KEPADA KEBENARAN KERANA IA ADALAH HAQ ALLAH

Manusia semakin keliru dan celaru apabila salah meletakkan perkataan "kesetiaan" di dalam perjuangan. Tidak kira samada di dalam kelompok orang politik mahupun kelompok agama. Saya amat merasa sedih, apabila melihat rakan dan taulan dari ke dua-dua kelompok ini begitu assobiyah dalam menegakkan ketua kelompok masing-masing. Bagi orang politik, pemimpin yang menjadi idolanya, biarpun diselubungi dengan pelbagai kemungkaran tetap sahaja terkabur dan terus membela hanya kerana satu perkataan iaitu "setia kepada pemimpin". Manakala bagi yang membela kelompok agamanya pulak sama berpaksikan "setia kepada guru" tetap akan mempertahankan apa sahaja yang dilakukan guru mereka sebagai 100% benar. Tiada cacat cela akan dinyatakan. Tiada perkataan "mereka hanya manusia biasa" akan diungkapkan. Malahan semuanya baik. Yang tercela akan didiamkan dan yang baik akan digembar gemburkan seolah-olah mereka ini "maksum". Menegur pemimpin mahupun kesilapan guru jauh sekali. Malahan mereka cuba pula mengajak orang lain turut membela membuta tuli, dengan menyatakan hanya kebaikan dan menyembunyikan kekhilafan pemimpin ataupun guru mereka ketika ditanya. Manakala kita sering dituntut untuk setia kepada Guru umpama sahabat2 Rasulullah. Persoalannya apakah Guru mahupun pemimpin kita sempurna seperti Rasulullah? Iqraq!!

Sesungguhnya apa yang dilupai oleh mereka yang setia pemimpin dan guru adalah "Allah Maha Mengetahui" janganlah kita cuba untuk melindungi dari mata orang awam mahupun hati kita sendiri kerana Allah tetap Tahu segala kebenaran. Tak kala Allah menunjukkan sesuatu masalah bertubi-tubi yang dilakukan oleh pemimpin mahupun guru tetap sahaja mereka menunggu atas dasar setia dan bukan kebenaran, dengan memberi alasan ini adalah DUGAAN dan bukan PETUNJUK KEBENARAN. Setiap kali ketika kita mengikuti pemimpin kedua-dua kelompok ini pasti di dalam hati dan suasana bersih serta istigharah Allah akan memberi jawapan kepada kita hanya lambat atau cepat sahaja. Namun kerana "ketaksuban" kita akan menafikan kelemahan pemimpin kedua kelompok ini dengan dinding "keegoan" tanpa kita sedari.Bagi dunia politik akhirnya kita dituduh tidak setia dan bagi kelopok agama pula kita akan dituduh masih belum diperlihatkan hidayah dan kebenaran. Subhanallah. Akhirnya kita dijauhi dan diracuni fikiran orang lain untuk menjauhi kita. Selamat bertemu dipadang Mahsyar.

Percayalah wahai semua umat manusia kesetiaan yang harus kita sandarkan hanyalah kepada kebenaran yakni Haq Allah dan bukan manusia. setiap manusia waima dari mana latar belakangnya sekalipun tidak mungkin akan maksum, semaksum Rasulullah. Janganlah sampai isu terlalu setia kepada ke dua pemimpin ini sehingga kita menutup minda kita menjadi jumud dan menjauhi setiap mereka yang mengkritik pemimpin mahupun guru kita. Seharusnya dalam pertentangan sesama manusia dalam menolak siapa yang kita percaya harus lebih terbuka kerana antara membela pemimpin mahupun guru, UKHWAH paling wahid, paling diharapkan Rasulullah dan paling dicintai ALlah.Begitu juga dengan Akhlak. Kerana Allah berfirman:"Tidak Ku jadikan Rasulullah kalau bukan untuk manusia mempelajari dari akhlaknya yang sempurna".

Janganlah kita menegak apa yang kita setia dan percaya kecuali Islam dan Allah.Islam dan Allah ada di mana-mana dan bukan bertenggenk hanya di satu kelompok sahaja. Cabang ilmu mahupun politik semuanya milik Allah, mengapa yang dicipta sahaja kita bela bermati-matian sedangkan Yang Maha Mencipta kita ketepikan. Terkadang manusia merasakan bahawa itulah Islam dan inilah kepimpinan yang Adil, sedangkan mereka lupa bahawa semuanya itu hanya bahan ciptaan sedangkan Yang Maha Penciptalah harus kita tegakkan dan kita pertahankan bukan di dalam satu kelompok tetapi di dalam pelbagai kelompok manusia.

Bagaimana harus kita tegakkan? Amal Makruf Nahi Mungkar. Mendekati yang Haq dan menjauhi yang bathil. Setiap manusia ada Haq dan Bathil mereka. Yang benar2 Haq hanya ALlah swt. Janganlah kita menjauhi adab sehingga merenggangkan ukhwah serta menjauhi bermesyuwarah sesama kita hanya kerana masing-masing ingin menegakkan siapa yang mereka percaya dan siapa yang mereka setia.Kestiaan individu dijadikan ukuran pahala dan balsan syurga. Subhanallah, Jangan sampai kita lupa bahawa itu hanya Ketentuan Allah, milikNya, HaqNya dan bukan milik guru mahupun pemimpin walau sesetia manapun kita pada mereka. Tetap sahaja Allah Yang Maha Menentu dan Menghisab. Mana ada manusia di dunia ini yang akan terlepas dari hisab Allah melainkan Rasulullah.

Janganlah kita terus menerus berdebat sesama manusia waima bergelar Guru mahupun pemimpin seolah mereka adalah Sang Haq tanpa Kebathilan. Tegurlah, jauhkan diri kalau perlu, yang penting kita tidak bertegang urat leher serta berdebat bermati-matian menyatakan bahawa hanya kita yang benar. Bagi ahli-ahli politik, setiap pemimpin mempunyai kebathilannya juga, maka marilah kita menasihati mereka, sekiranya dengan cara terbuka menampakkan kebathilan mereka maka tegurlah, sekira dinafikan maka jauhkan diri itu lebih baik. Bagi mereka di dalam kelompok agama, ingatlah bahawa HIDAYAH milik ALLah dan ALlah boleh menghadirkan hidayah di mana sahaja mahupun di dalam kelompok jahiliah sekira Allah berkehendak dan bukan hanya dihadirkan di dalam kelompok Agamawan sahaja.Mungkin kita hanya menyatakan hidayah hanya ada di situ kerana kita menemukannya di situ. Jangan sampai kita lupa keadilan Allah dan sejarah hidayah Rasulullah yang hadir di tengah kelompok jahiliah. Apakah itu bukan bukti Maha Esa Allah?

Masing-masing kita Allah berikan jalan dan tugasan, lakukanlah tugasan kita tanpa membina benteng-benteng kelompok kesetiaan sesama manusia. Tetapi pecahkan kelompok tersebut dan kembalilah kepada yang banyak kerana Kesetiaan yang sebenar hanya pada Allah dan Rasulullah. Di mana ada segelintir ilmu Allah walaupun cara penyampaiannya tidak hebat ia tetap kepunyaan Allah, hadirlah. Di mana ada kerajaan yang ada sedikit keadilan maka turutilah dengan Aqal dan bukan atas nama "ketaksuban kesetiaan".

Saya sering menyatakan bahwa sememangnya AL Quran bukan untuk semua, tetapi untuk mereka yang beraqal. Kajlah berapa banyak ayat tentang Aqal yang disebut berulang-ulang kali di dalam Al quran. Apa guna menjaja Al Quran sekiranya kita melebih yang dicipta dari Yang Maha Mencipta. Setia pada yang dicipta terlalu banyak kecacatannya. Hanya Yang Maha Mencipta sahaja sempurna. Jangan kita membanding-bandingkan pemimpin mahupun guru kita dengan pemimpin dan guru orang lain kerana semua mereka sesungguhnya adalah bahan ciptaan dan bukan Maha Pencipta.

Akhir kata tanyalah pada diri kita apakah benar-benar kita telah melepaskan hati kita dari semua yang dicipta ALlah di dunia ini? Atau masih bergantung dan enggan melepaskannya kerana masih merasa apa yang kita genggami itu masih yang terbaik dan sempurna? Dunia diciptakan Allah seluas ini bagi manusia akan hanya menjadi sia-sia sekiranya kita tidak menerokai makhluk lain ciptaanNya. Sekiranya kita menjelajahi semua kelompok manusia, kita mampu mengutip sebahagian kebaikannya dan menolak sebahagian keburukannya serta mempelajari ilmu Allah yang Maha luas ini. Apakah kita benar2 menuju Allah, sehinggakan kita begitu takut melepaskan pemberiannya yang baik untuk mencari yang lebih baik? Anak,isteri,suami,keluarga, rumah, harta, perniagaan, politik, pemimpin mahupun guru serta sanak saudara semuanya bahan ciptaan bernama dunia. Sudah tentu pasti tidak kekal. Maka mengapa kita harus berada di dalam suasana yang tidak kekal sehingga menjadikan ianya satu kesetiaan yang menutup segala kebathilan? Belalah mereka yang benar dan nasihati yang salah semua amanah yang dipinjamkan Allah. Sabda RAsulullah" akan ku potong tangan Fatimah, sekiranya dia mencuri". Iqraq, ternyata Rasulullah juga enggan membela anaknya sekira dia bersalah, apa lagi kita yang berguru dan berpemimpin.

Hasbunallah huwaniqmal wakil nikmal maula huwaniqmal nasiir...Hanya padaMu aku bersandar, bukan pada pemimpinku mahupun guruku Ya Allah. Lahaulawal quwataillahbillah hilaliyilazim. Hanya padaMu aku bertawaqal. Setiap kelompok manusia yang Engkau singgahkan kepadaku amat aku bersyukur Ya Allah kerana tidak Kau pahatkan hatiku kepada pemimpin mereka. Engkau bebaskan aku Ya Allah, sepertimana Haq kejadianmu, tanpa Engkau kongkongkan rezekiku serta urusanku ditangan manusia melainkan di TanganMu semata. Ya Rabb, keterasingan ini rupa-rupakanya sebuah kematian yang indah di kala kehidupan. Janganlah Engkau serahkan urusan hidup dan matiku di tangan manusia dan janganlah Engkau serahkan kesetiaanku kepada mereka melainkan Engkau letakkanlah kesetiaanku hanya pada kebenaran dan HaqMU. Jangan Engkau hijabkan aku denganMu kepada Haq yang tidak sempurna seperti pemimpin dan guruku, kerana mereka juga mempunyai kebathilan sepertiku. Hanya berikanlah ilmuMu melalui mereka dan lepaskanlah hijabku denganMU dengan melepaskan aku dari pandangan kesempurnaan mereka. Kerana Yang Maha Sempurna hanyalah Engaku Ya ALlah. Rasulmu melakukan hijrah, menghantarkan sahabatnya untuk berhijrah, maka cintakanlah aku kepada hijrah untukku renangi lautan ilmumu, dan menyampaikan apa yang telah Engkau berikan kepadaku buat kelompok-kelompok yang banyak.Janganlah Engkau membiarkan aku membela manusia melainkan kebenaranMu. Ya Allah Engkau pernah berfirman: Tidak Engkau jadikan menusia itu berkelompok dan berbangsa melainkan untuk saling mempelajari antara satu dengan lain serta menghormati dan menjalinkan ukhwah antara satu dengan yang lainnya, maka teruslah menghantarkan aku menjumpai kepelbagaian dalam ciptaanMu, dan bukan mati dengan hanya mengenali satu kelompok yang ku sangka sempurna sehingga melupai bahawa mereka2 hanyalah ciptaanMu. Amin.

Peganganku hanya kebenaran Al Quran dan Sunnah kerana ada kelemahan dalam dirilah maka ku jadikan diriku umpama burung yang singgah ditempat sumber makan. Di mana ada sumber AL Quran dan Sunnah di situlah ada makananku. Apa yang penting aku memiliki kebebasan yang sebenar, kebebasan dalam melihat dan mengambil segala kesempurnaan hanya dari Allah. Kerana kesempurnaan ada di mana2. Begitu juga ilmu kebathilan yang boleh ku perolehi dalam mendidik kebathilan dalam diriku yang serba tidak sempurna. Akulah makhluk yang dicipta, memiliki Haq dan bathil bersamaku. Sesungguhnya syurga dan neraka milik Allah dan Hanya Dia Maha menentu dan bukanlah pemimpin mahupun guru. Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China sabda Rasulullah....InsyaAllah itulah matlamatku dan tiada pemimpin mahupun guru mampu mengikatku dalam pencarian ilmu atas keizinanMu Ya Allah. Sesungguhnya tiada yang kekal di dunia ini melainkan Allah. Rasulullah juga terpaksa meninggalkan kita semata-mata Allah ingin kita mengikat hati kita hanya pada Yang Maha Ghaib bagi mengantikan yang nyata berupa sifat sementara. Iqraq wahai sahabatku. Wallahualam.

Friday, April 1, 2011

Tuesday, March 15, 2011

ISLAM DAN KEBANGSAAN (NASIONALISME): Wujudkah Pertalian Antara Keduanya? Oleh : Mohd.Ayob Abd Razid.

PENDAHULUAN

Dalam kebanyakkan perbahasan, diskusi dan wacana pemikiran, mengenai Islam dan semangat kebangsaan (Nasionalisme), hampir kebanyakkannya berkesimpulan bahawa Islam dan Nasionalisme adalah dua pemikir yang tiada pertalian antara keduanya. Nasionalisme bagi mereka adalah produk pemikiran manusia yang tidak dapat bersama sebagai ideologi dan keyakinan.

Namun dalam huraian risalah kecil ini, kita akan mengemukakan pandangan beberpa tokoh dan sarjana Islam tersohor yang dapat mengenengahkan hujak yang cukup mantap tentang adanya pertalian antara Nasionalisme dan Islam.

APAKAH MAKNA NASIONALISME?

Nasionalisme berasal dari istilah “nation” yang bererti bangsa. Kamus Dewan (DBP) dan Kamus Besar Bahasa Indonesia memberikan erti yang hampir sama seperti berikut:

1. Kesatuan orang yang bersamaan asal keturunan, adat, bahasa dan sejarahnya serta berpemerintahan sendiri;
2. Golongan manusia, binatang atau tumbuh-tumbuhan yang mempunyai asal-usul yang sama dan sifat khas yang sama atau bersamaan; dan
3. Kumpulan manusia yang biasanya terikat kerana kesatuan bahasa dan kebudayaan dalam erti umum, dan yang biasanya menempati wilayah tertentu di muka bumi.

Dari beberapa makna itu dapat ditakrifkan bahawa bangsa adalah kesatuan yang timbul dari kesamaan keturunan, budaya, pemerintah dan tempat. Beberapa suku atau ras pula boleh bersma membentuk sebuah bangsa dengan syarat ada kehendak untuk bersatu yang diwujudkan dalam pembentukan bernegara (pemerintahan) yang dipersetujui dan ditaati bersama.

Dalam konteks negara moden, Nasionalise selalunya dilihat dan dianggap sebagai pemikiran yang mampu menemukan ikatan dasar yang mengikat atau menyatukan sebuah negara bangsa.

Justeru, Nasionalisme dapat dimaksudkan dengan fahaman atau ajaran untuk mencintai bangsa dan negara, mencakupi kesedaran keanggotaan (kewarganegaraan) yang bersedia dan sanggup mempertahankan tanah air, disamping sanggup mempertahankan identiti, kemakmuran dan kekutan bangsa.

L.Stoddard menyebut, Nasionalisme adalah rasa kebersamaan sebagai satu bangsa dengan suatu keadaan jiwa dan suatu kepercayaan yang dapat membentuk suatu rasa atau semangat kebangsaan bersama.

Huszer dan Stevenson pula menyebut, Nasionalisme adalah yang menentukan bangsa mempunyai rasa cinta cinta secara alami kepada tanahairn

BILAKAH BERMULANYA SEJARAH NASIONALISME

Sejarah dnia merakamkan bahawa Nasionalisme dalam pengertian negara-bangsa (nation-state) bermula dari benua Eropah di sekitar abad pertengahan. Kesedaran itu dicetuskan oleh Gerakan Reformasi Prosteton yang dipelopori oleh Martin Luther di Jerman.

Luther dikatakan tokoh pembaharuan yang menentang Gereja Katoloik Rom, yang berjaya memukau dan merangsang semangat Kebangsaan Jerman melalui kerja penterjemahannya terhadap Perjanjian Baru di dalam bahasa Jerman: (Dault,Adhyaksa, Islam dan Nasionalisme:Reposisi Wacana Universal dalam Konteks Nasional;Jakarta,Pustaka Al-Kaustar,2005).

Pada awal kemunculannya, Nasionalisme di eropah mengambil kira persoalan tentang hak-hak asasi manusia.

Dalam perkembangannya, Nasionalisme Barat akhirnya meletakkan kekuasaan kolektif dalam negara lebih utama daripada kemerdekaan individu. Ini bermakna, Nasionalisme mula menjadikan negara sebagai pusat segalanya.

Misalannya, Hegel berpendirian bahawa kepentingan negara mesti didahulukan dalam hubungan negara-masyarakat kerana ia merupakan kepentingan objektif, sebaliknya kepentingan individu adalah kepentingan subjektif.

Falsafah yang mengenengahkannya ialah negara adalah ideal (geist) dan kerananya individu menjadi sesuatu yang objektif melalui keanggotaannya dalam negara.(Simandjuntak,Pandangan Negara Integralistik:Sumber,Unsur dan Riwayatnya Dalam Persiapan UUD 1945;Jakarta,Pustaka Utama Grafiti,2003).

APAKAH IMPLIKASI FAHAMAN KEBANGSAAN VERSI BARAT?

Bertolak dari pengertian Nasionalisme yang memusatkan kepada negara atas semangat atas semangat ras dan etnik, maka Nasionalisme barat telah mendorong masyarakat Eropah melakukan ekspansi (perluasan) ke wilayah lain melalui aktiviti penjajahan atau imperialisme.

Absolutisme (kemutlakan) negara yang diasaskan atas pusat etnosentrisme akhirnya mendorong kepada rasisme yang terkadang menjadikan sebuah pemerintahan menjadi fasis.

Dalam sejarahnya, fasisme mempunyai hubungan erat dengan rasisme yang meninggikan kedudukan sebahagian ras (suku) atas sebahagian yang lain.

ADAKAH ISLAM MEMPUNYAI AKAR UMBI SEMANGAT NASIONALISME?

Dalam Islam, berdasarkan pandangan beberapa sarjana islam, maksud yang ada kaitan dengan semangat kebangsaan atau Nasionalisme itu ialah istilah watan (tanah air), Dar Al Islam dan Diyar al Islam. Perkara ini akan dihurai lanjut di bawah pandangan tokoh dan sarjana Islam.

Bezanya ialah, falsafah Nasionalisme barat melihat kepada batasan etnik, sebaliknya Islam melihat dalam kerangka utana kecintaan kepada wilayah-wilayah intima’(afiliasi), iaitu dalam batasan makro yang melampaui batasan kenegerian, ras dan etnik yang diikat dengan kalimah tauhid.


PANDANGAN TOKOH DAN SARJANA ISLAM TERHADAP NASIONALISME

1. HASAN AL BANNA, Pengasas jemaah Ikhwanul Muslimin berpandangan, bahawa apabila yang dimaksudkan dengan nasionalisme itu sebagai kerinduan atau keperihatinan terhadap tanah air, keharusan berjuang membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah dan ikatan kekeluargaan antara masyarakat, maka Nasionalisme semakin dapat diterima, Malah dalam situasi tertentu, ia dianggap sebagai kewajipan yang harus dipikul (Dault,Adhyaksa:Islam dan Nasionalisme, Reposisi Wacana Universal Dalam Konteks Nasional;Jakarta,Pustaka al Kautsar,2005).

2. IBNU KHALDUN, sarjana sosiologi, sejarah, tokoh agama dan politik terkenal mengemukakan teori sosial yang dikenali sebagai ‘assobiyah’ berpendapat bahawa ‘assobiyyah’ sebagai faktor utama kepada kewujudan sesebuah negara dan kerajaan.

Asabiyyah, asabiyyun, ta’sub dan akar asaba yang bermaksud mengikat, menambat atau memintal sesuatu. Assabiyyah diertikan sebagai semangat kekeluargaan, kesedaran berkelompok atau setiakawan dan perpaduan (solidarity).

Menurutnya lagi, keutuhan sesebuah negeri atau kerajaan adalah amat bergantung kepada kekuatan asabiyyah. Baginya, doktrin keagamaan semata-mata tidak mampu mempertahankan kekuasaan tanpa perasaan asabiyyah.

Beliau turut menegaskan perlunya peraturan dan undang-undang ditegakkan dibawah pemerintah yang kuat asabiyyah.(Muhd.Yusuf Ibrahim, Mahayudin Haji Yahya, Sejarawan dan Persejarahan:Ketokohan dan Karfya, DBP, 1988)

3. DR. MUHAMAMD IMARAH, Menyatakan, Nasionalisme adalah sentimen dan ikatan fitrah melalui kehendak untuk memperkukuhkan kesetiaan manusia pada watan. Beliau menyebut Al Quran mengungkap istilah watan dengan diyar, iaitu bentuk jamak dari kata dar. Ia membawa maksud negeri atau tempat tinggal.

Beliau merujuk ayat 6, Surah Al-Mutahanah yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tiada memerangi kamu kerana agama dan tidak pula megusir kamu dari negarimu”.

Berdasarkan ayat Al Quran dan Hadis2 tersebut difahami bahawa watan adalah fitrah rasa cinta pada negeri tempat kelahiran dan tempat tinggal.

Hujah beliau lagi, menegakkan Islam sebagai agama hanya sebagai realiti, tempat tinggal dan geografi. Dengan adanya elemen terbabit, maka dapat dibuktikan adanya peradaban Islam.

Dalam konteks ini keharusan intima’(afiliasi) kepada tanah air diperluaskan kepada dimensi wilayah intima’-gabungan dan hubungan beberapa negara Islam-(Dr-Muhamamad Imarah, Perang Terminologi, Islam verses Barat;Robbani Press, Jakarta,1998).

4. SOEKARNO, berpandangan, Islam menjadi pemikiran memperkukuh dan menebalkan haluan Nasionalisme ke arah yang lebih jauh, iaitu untuk mewujudkan persaudaraan umat manusia.

Bagi Soekarno, konsep Nasionalisme tidak bertentangan dan boleh disesuaikan dengan tasawur islam. Bahkan, beliau menolak bentuk Nasionalisme sempit yang mengarah kepada chauvanisme.

Soekarno turut mencetuskan pemikiran tentang persatuan tiga ideologi besar iaitu Nasionalisme, Islam dan Marxis. Baginya Islam tidak bertentangan dengan Marxisme.

Beliau berhujah bahawa Marxisme hanyalah satu kaedah atau metod untuk memecahkan persoalan-persoalan ekonomi, sejarah dan sosial (yati, Badri, Soekarno;Islam dan Nasionalisme;Bandung,2001).


BENTUK NASIONALISME YANG DITOLAK ISLAM

Islam menolak dan menentang Nasionalisme yang bersifat etnosentrik (berpusat kepada kaum) yang ekstrim (melampau) sehingga tidak memberikan keadilan dan berlaku zalim kepada etnik yang berdaulat.

Kandungan Piagam Madinah jelas membuktikan bahawa Nabi s.a.w memberikan keadilan dan perlindungan kepada orang bukan Islam selagi mereka memberikan ketaatan dan kesetiaan serta tidak membuat kedurjanaan dalam negara.

Islam juga menolak asabiyyah yang bersifat keterlaluan, terikat dengan jemaah serta ta’asub terhadap pemimpin tertentu. Islam turut menolak asabiyyah yang membantu kaumnya atas kezaliman terhadap kaum lain.

PERNAHKAH ISU NASIONALISME MENJADI PERBAHASAN DI NEGARA KITA?

Di negara kita, perbincangan tentang Nasionalisme sudah dimulai saat negara di ambang kemerdekaan lagi.

Antara tokoh-tokoh aktif membahaskannya termasuklah Dr.Burhanuddin Al-Helmi, dato’Onn Jaafar, Ahmad Boestaman dan Ishak Hj.Muhammad. Tokoh-tokoh tersebut adalah pejuang-pejuang politik Nasionalisme melayu yang cukup terkenal bukan sahaja di Tanah Melayu, malah di seluruh Nusantara.

Perbahasan tentang tajuk ini menajam apabila ia melibatkan perjuangan dua parti Melayu terbesar iaiatu PAS dan UMNO. Ia bermula apabila haji Hadi Awang mula mengambil alih tampok kepemimpinan PAS.

Tuduhan bahawa UMNO membawa perjuangan yang bercanggah dengan Islam kerana menjadikan Nasionalisme sebagai landasan perjuangan telah menghangatkan polemik tentang Nasionalisme (asabiyyah). Pandangan Nik Aziz selaku mursyidul Am PAS yang konsisten dengan dakwaannya bahawa perjuangan UMNO adalah perjuangan kebangsaan (asabiyyah)turut menyemarakkan lagi perbahasan mengenainyasehingga kini.

Perlu diingat, sebelum kepimpinan PAS dityerajui oleh apa yang dipanggil ‘kepimpinan ulamak’, PAS semasa era kepemimpinan Allayarham Datuk Asri Muda dan pemimpin sebelumnya jelas mendukung perjuangan Kebangsaan Melayu yang berteraskan Islam.

Misalnya, semangat Nasionalisme Dr.Burhanuddin Al Helmi dapat dikesan dalam ucapannya ketika mesyuarat agung PAS yang ke 12, 1964. Katanya:

“kalau Tanah Melayu ini misalnya, mengikut hak asasi dan hak asalnya dipunyai oleh bangsa Melayu, maka tentu salah hendaknya ada bangsa lain bernafsu jahat untuk merebut dan menjadikan negeri ini hak bangsanya pula. Tiap-tiap bangsa di dunia ini berhak mempertahankan hak bangsanya sendiri. Soal mempertahankan hak sesuatu bangsa itu bukanlah soal perkauman, itu adalah soal bangsa.”

RUMUSAN DAN KESIMPULAN

Daripada pandangan beberapa tokoh dan sarjana yang kita ketengahkan itu, maka dapat disimpulkan secara jelas bahawa Nasionalisme bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

Ia adalah sebahagian fitrah manusia untuk hidup secara bermasyarakat di bawah satu kesatuan yang diikat dengan perasaan dan kesedaran bermasyarakat.

Inilah pandangan yang diberikan Al- Jahizh (780-869 M) yang menangggap Nasionalisme adalah perasaan yang diikat dengan ikatan cinta antara manusia dan negerinya sebagai fitrah yang ditetapkan Allah pada diri insan.

Namun, Nasionalisme Islam itu seperti yang dirumuskan Hasan Al Banna adalah tidak terbatas wilayah dan geografi sebagai titik akhir tetapi harus meluas dalam batar makro Dar al-Islam.

Beliau banyak menghubungkan Nasionalisme dengan Islam dengan satu ungkapan yang ringkas, “sesungguhnya Nasionalisme tidak keluar dari statusnya sebagai juzuk dari ajaran Islam”.

Wednesday, February 16, 2011

JAWAPAN%20KEPADA%20NIK%20AZIZ

JAWAPAN%20KEPADA%20NIK%20AZIZ

JAWAPAN TUN KEPADA NIK AZIZ

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan salam buat Junjungan kita Nabi Muhamad saw

* Mohon dibaca article Tun bertajuk di atas sebelum membaca article saya *


Ternyata warna sebenar Tun telah menjelma. Begitu lama saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai rakan dan taulan termasuk musuh memperkecil-kecilkan kami yang mempunyai semangat nasionalis. Kami dikatakan mementingkan bangsa mengatasi agama. Namun setelah membaca coretan Tun, segalanya jelas, bahawa kebenaran Tun tentang perjuangan Islam bukanlah hanya di negara sendiri. Namun bagi mereka yang memperjuangkan Islam di tanah airnya akan tergolong sebagai satu ayat gelaran Tun iaitu Islam Nasionalis.

Saya tidak perduli apa pandangan orang lain terhadap Tun Mahathir tetapi yang pasti di dalam article yang telah beliau keluarkan ini sudah jelas membuktikan bahawa beliau “walk the talk”. Baru hari ini saya sedar ketika Tun melaung-laungkan perjuangan untuk Pelastin tidak ada seorang pun yang kononya kumpulan-kumpulan Islam yang menyahut seruan beliau. Apakah kerana beliau bukan Ulamaq, maka setiap perjuangan beliau untuk menyelamatkan Pelastin dianggap tidak penting.

Hari ini setelah membaca tulisan Tun saya mulai terimbau inikah yang dikatakan Islam? Apabila saudara seIslam sibuk melaungkan selamatkan Pelastin dan mereka hanya pandang dan berpeluk tubuh dan enggan untuk bersatu kerana fahaman politik? Apakah Islam bagi kacamata kumpulan-kumpulan yang menamakan diri mereka para pejuang Islam. Tidak pernah saya melihat umat Islam di malaysia bersatu untuk memperjuangkan Islam secara global. Berbagai kenyataan yang dibuat di dalam akhbar dan pelbagai demonstrasi juga dilakukan untuk memperjuangkan Islam namun, sambutan kumpulan-kumpulan yang kononnya memperjuangkan Islam masih kurang penglibatannya. Apakah perjuangan untuk Islam tidak termasuk memberi sokongan moral?

Kami di Perkasa sendiri telah dan pernah beberapa kali melaungkan perjuangan Islam, namun penyertaan yang bersama kami masih hambar….masing-masing hanya gagah di dala Internet melempiaskan kesalahan, mengorek bangkai seagama dan sebangsa sendiri.

Pernah saya nyatakan pada sahabat saya…sekarang nampaknya lebih ramai yang ingin menjadi Tuhan dari pemimpin. Menjadi Tuhan lebih berkuasa untuk menjatuhkan hukuman ke atas sesiapa sahaja yang mereka inginkan.

Sekiranya kita Iqraq, bacalah dengan setiap tindak tanduk Tun selama ini. Setelah beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri , perkara pertama yang beliau dirikan adalah NGO untuk memperjuangkan rakyat Pelastin….Di situlah masjidil Aqsa masjid Nabi yang seharusnya kita bersama beliau dibarisan hadapan untuk turut serta di dalam perjuangan Yayasan Kepimpinan Perdana (PGPO) Perdana Global Peace Organization.

Ketika PGPO membuat pelbagai seminar di seluruh dunia dan juga di dalam negara, di mana kumpulan-kumpulan yang ingin memperjuangkan Islam? Apakah dengan tiada ilmu di dada Islam hanya diperjuangkan di Malaysia. Apakah hanya ketika ada musibah global sahaja pejuang pejuang Islam ini menghulurkan tangan. Sedangkan Tun di PGPO begitu Istiqomah menjalankan pelbagai aktiviti dalam menentukan perjuangan Islam secara global berterusan.

Allah juga pernah berfirman bahawa setiap hambanya yang memperjuangkan ilmu juga termasuk di dalam golongan yang syahid.

Wahai umat Islam saudaraku sekelian bukalah mata, cerahkan minda dan bersihkanlah hati dari dibelenggu dengan apa yang dilihat dari luaran seperti parti, bendera, kumpulan atau apa sahaja. Sekiranya benar-benar ingin memperjuangkan Islam maka tidak kira oleh siapa, di mana dan kumpulan apa…maka keluarlah beramai-ramai untuk memberikan sokongan dan perjuangan moral dalam kesatuan Islam. Janganlah bercanggah dan berpersepsi sesama sendiri apabila melihat rakan dan taulan memperjuangkan bangsa di tanah air ini. Sudah jelas Tun menerangkan apa yang telah berlaku di Turki.

Perjuangan bangsa hanya berlaku di sini di Malaysia dan Islam diseluruh dunia…jelas dan sejelasnya…maka janganlah dipertikaikan lagi perjuangan apa yang harus dan tidak harus di dukung oleh rakan dan saudara seagama anda. Apa yang penting kita tanyalah pada diri kita sendiri BERAPA RATUS ATAU RIBU ATAU JUTA RINGGIT YANG TELAH AKU KORBANKAN UNTUK ISLAM. BERAPA JAUH PERJALANANKU DI DUNIA INI UNTUK MEMBANTU UMAT ISLAM ATAU SEKADAR BERADA DI HADAPAN KOMPUTER SAHAJA ATAU MENJADI PEMASAR KAEDAH BERBAYAR UNTUK ILMU ISLAM?

Marilah kita bertanya pada diri kita sendiri dan memperbanyakkan muhasabah. Tidak ada satu perkara pun yang telah Tun jelaskan kepada umum apa yang telah beliau lakukan untuk dunia Islam. Namun bagi mereka yang diberikan kesempatan oleh Allah mendekati beliau akan tahu perjalanan beliau yang sebenar.

Kita sering mengharapkan seseorang yang hendak menyatakan apa sahaja tentang kebenaran Islam harus mempunyai sifat dan ukuran tertentu sehingga kita mempotretkan setiap guru atau ulamaq kita sebagai seorang yang maksum. Sedangkan kita semua tahu bahawa hanya Rasulullah sahaja manusia akhir yang maksum. Sebab itulah Islam mudah dibenci apabila kita mulai taksub dengan seseorang guru dan ketika terlihat guru kita membuat silap maka kita akan menyalahkan Islam secara keseluruhan. Ingat kita akan di HISAB…..janganlah kita mempertikaikan kemana seseorang itu akan pergi ketika tidak berhijab mahupun solat. Tugasan kita hanya berdakwah, menyuruh kepada kebaikan dan tuntutan Islam dan bukan menghukum. Rasulllah hanya berdakwah menyampaikan, namun tidak pernah menghukum selain dari hanya sekadar menyampaikan. Apakah kita yang setiap hari melafazkan cinta Allah dan Rasul enggan mengikut cara Rasulullah…sampaikan, sampaikan dan sampaikan kemudian serah semuanya kepada Allah sebagai Penghukum.

BERSATULAH UMAT ISLAM SEKELIAN TAK KALA LAUNGAN PERJUANGAN MENEGAKKAN ISLAM BERGEMA. BUTAKAN MATA KEPALA DAN BUKALAH MATA HATI UNTUK TURUT SERTA SUPAYA KITA TIDAK DITIPU OLEH SIAPA DAN FAHAMAN POLITIK APA YANG DIBAWA OLEH SESEORANG YANG MEMPERJUANGKAN ISLAM. BERSATULAH…BERSATULAH…BERSATULAH DEMI ALLAH DAN RASULULLAH. ALLAHUAKHBAR!!

Tuesday, February 1, 2011

BANGSA MELAYU DAN MASA DEPANNYA
(ANJURAN MUBARAK TUN DR MAHATHIR MOHAMAD SEBAGAI PENCERAMAH UTAMA)

Tanggal 1hb Febuari, jam 3 petang satu forum seperti tajuk di atas di anjurkan oleh MUBARAK telah di adakan dan saya turut hadir untuk mendengar ucapan Tun Dr Mahathir yang seperti biasa di nanti2kan oleh ramai tetamu yang turut hadir. Terdiri dari politikus vateran dan juga beberpa gabungan pertubuhan lain.

Saya pernah menyatakan suatu ketika dahulu di dalam buku politik yang saya hasilkan bahawa, apabila kita menjadi seorang penulis, kita mampu mendengar beribu-ribu ayat yang dicurahkan kepada kita namun, hanya satu ayat sahaja yang akan menarik minat seorang penulis itu. Sebab itulah di kalangan penulis mampu mendengar satu ceramah yang sama tetapi menghuraikannya mengikut perspektif hujahan yang berbeza.

Apa yang menarik dalam salah satu ayat Tun pada saya, adalah apabila menyatakan bahawa beliau tidak begitu menghormati cerita-cerita pahlawan dongeng dahulu kala. Seperti Hang Tuah katanya. Cerita Hang Tuah yang menjelajah seluruh dunia termasuk Jepun dan Turki, senantiasa menang dan tidak pernah kalah , ternyata ianya satu kenyataan dongeng. Malahan sikap Hang Tuah yang suka hanya “yes men” kepada Raja membuatkan ianya juga kelihatan seperti satu dongengan.

Saya bersetuju dengan Tun apabila Tun menyatakan bahawa cerita-cerita dalam sejarah Melayu serta Kepahlawanan Melayu seperti Mat Kilau, Tok Janggut dan beberapa orang tertentu hanya menunjukkan kepahlawanan dan kekuatan mereka sahaja namun gagal diceritakan taktik dan strategi pertempuran mereka.

Di sini ingin saya huraikan pandangan pribadi saya terhadap 2 kenyataan di atas , secara keseluruhan sememangnya saya sendiri agak terkial-kial untuk mencari sejarah kegemilangan bangsa Melayu dari faktor sejarahnya. Tidak ada satu hasil atau karya pun yang berjaya mengenenangahkan sebuah buku strategi yang baik seperti buku Tsun Zhu “The Art of War”. Sekurang-kurangnya negara China mempunyai sebuah legacy dan strategi yang boleh diperturunkan kepada generasi seterusnya, bagaimana untuk menghadapi musuh. Sedangkan di dalam hikayat Melayu atau sejarah Melayu kita hanya menjumpai kepahlawanan mereka, kegagahan mereka dan keberanian mereka. Kita ternyata seperti di ajar untuk mengagumi mereka sebagai tokoh, tetapi tidak pula di ajar bagaimana untuk menjadi mereka? Maka kita hanya menggunakan ayat berani, semangat, dan kekuatan dan kemudian kita terus bertempur tanpa diketahui di mana harus berani, bila harus menunduk, bila harus menyerang musuh dan bagaimana? Akhirnya generasi kemudian akan mengambil semangat, keberanian dan kepahlawanan dan serbu musuh tanpa strategi. Hiportesisnya sampai sekarang kita tak mampu lagi melahirkan tokoh seperti Mat kilau, Tok Janggut dan sebagainya.

Ketika Tun bercakap mungkin beliau sendiri tidak sedar bahawa kepimpinan hari ini hanya melahirkan banyak pengikut dari pemimpin. Kenapa? Jawapanya mudah kerana segala strategi untuk menjadi seorang pemimpin disimpan jauh sekali diceritakan atau dikongsi bersama generasi sekarang. Tun menyatakan : Dilema Melayu 2. Tetapi tidak dinyatakan apakah beliau akan menghasilkan buku itu atau sekadar menggambarkan bangsa Melayu ketika ini yang menghadapi Dilema untuk memilih parti yang mana di sana dan di sini kedua-duanya tiada perbezaan. Tetapi saya ingin menyatakan kepada Tun secara peribadi InsyaAllah kalau diizinkan agar menghasilkan sebuah buku bertajuk “ LEADERSHIP : DO & DON’T”. Mungkin dengan buku ini Tun akan berkongsi kepada kita tentang apa yang harus dan tidak harus dilakukan oleh seseorang yang berkeinginan untuk menjadi seorang pemimpin.

Saya harap pemimpin yang ada sekarang ini janganlah menjadi seperti seorang guru silat yang hanya ajar 7 buah silat, pasti simpan satu buah silat untuknya, di mana kata mereka takut anak murid lawan guru, maka sudah tentulah guru ada satu buah lagi nak dipakai.” Kalau begitulah akhlak pemimpin apa yang boleh saya nyatakan pemimpin itu merupakan seorang pemimpin yang penakut dan tidak berkeyakinan. Oleh sebab itulah puncanya ahli-ahli di dalam sesetengah parti akan pastikan ajk yang dilantik di bawahnya lebih bodoh dari segi akademi mahupun pengalaman darinya , dan hasilnya orang yang bijak pandai mencari parti alternatif. Pada pandangan saya kepandaian dan kecerdikan seseorang individu sudah tidak boleh dianggap sebagai satu rintangan kepada mereka lagi tetapi sebagai satu peluang untuk koloberasi sebuah kepimpinan yang mantap.

Akhir kata, dalam keadaan situasi politik yang pada pandangan saya agak “unpredictable” pemimpin seharusnya lebih bersikap terbuka dalam menghadapi orang-orang yang berani, cerdik dan pandai untuk bergabung dan memantapkan parti. Cukup-cukuplah kita melihat atau menjadikan pemimpin ini sebagai idola tetapi pelajari apa rahsia sehingga mereka berjaya menjadi seorang pemimpin yang berjaya dan hebat dalam kepimpinan mereka. Bukan pakai, bercakap atau bergaya seperti pemimpin ini yang harus kita ikuti tetapi nilai-nilai diri dan ilmu yang mereka bawa harus dipelajari dan diikuti, itulah baru di namakan pemimpin yang hebat melahirkan pemimpin hebat yang lain dan bukan membawa kehebatan hanya untuk diri sendiri, dan kemudian menyesal apabila melihat kelahiran pemimpin yang sumbang, perasuah dan pecah amanah. Soalnya sekarang salah siapa, sehingga pemimpin yang hebat ini tidak mampu melahirkan pemimpin yang hebat juga seperti mereka? Iqraq!!


“I START WITH THE PREMISE THAT THE FUNCTION OF LEADERSHIP, IS TO PRODUCE MORE LEADERS, NOT MORE FOLLOWERS.”
Ralph Nader