ASSALAMUALAIKUM

Thursday, July 21, 2011

KEMPEN BAHASA MELAYU UNTUK BANGSA MELAYU????

Bismillahirrahmanirrah
Selawat dan salam buat Baginda Rasulullah saw.

Baru-baru ini saya telah diundang oleh pihak Dewan Bahasa mengendalikan bengkel puisi moden dan puisi Tradisional. Saya telah diberikan tugasan untuk menjadi pembantu bengkel kepada sasterawan negara iaitu Dr Lim Swee Tin. Alhamdulillah peluang sebegini sesungguhnya amat berharga buat saya dan amat berterima kasih kepada pihak Dewan Bahasa.

Akan tetapi di sepanjang majlis yang diadakan di Parlimen Sri Gading, pelbagai perasaan yang wujud di dalam benak hati dan fikiran. Ditambah pula apabila mendengar ucapan perasmi majlis iaitu YB Dato’Mohamad Aziz ahli Parlimen Sri Gading serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa Ybhg.Dato’ Turmiezi. Pengisian ucapan Ybhg.Dato’KP Dewan Bahasa paling menyentuh minda saya takala beliau menyatakan bahwa kita merupakan satu-satunya negara yang membuat kempen untuk memartabatkan bahasa sendiri. Sedih bercampur terharu dengan kenyataan tersebut. Terasa juga seperti sebuah perkataan yang amat melucukan. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Inilah rumusan yang dapat saya perkatakan. Apakah tanggungjawab memartabatkan bahasa kita hanya diserahkan kepada pihak Dewan Bahasasedangkan pemimpin terbuai dengan bahasa-bahasa campuran Melayu Inggeris di dalam kenyataan media mereka? Apakah pihak dewan Bahasa akan berjaya sekiranya inisiatif dan tanggungjawab ini hanya diserahkan kepada mereka tanpa campur tangan dari pihak pemimpin dan pemerintah? Jawapan saya mudah sahaja. Tak mungkin berjaya?

YB Dato’ Mohamad Aziz juga telah menceritakan bagaimana pengalaman beliau ke negara Peranchis. Penduduk negaranya tidak akan melayan mana-mana pelancong yang menggunakan bahasa Inggeris sebaliknya akan melayan pelancong tersebutsekiranya mereka menggunkan bahasa ibunda negara masing-masing walaupun terpaksa ditambah dengan bahasa isyarat,betapa negara tersebut begitu menghargai bahasa ibundanya dan begitu menghormati bahasa ibunda orang lain. Bagaiman kita?

Kita merasa amat sedih apabila pemimpin GLC contohnya yang diberikan pangkat dan jawatan yang tinggi oleh parti pemerintah yang majoriti adalah Melayu tidak langsung ingin memartabatkan bahasa ibunda mereka. Cuba diperhatikan setiap kenyataan media mereka akan hanya berbahasa Inggeris bagi melambangkan betapa tingginya ilmu pengetahuan mereka dan juga martabat mereka memegang jawatan tersebut dengan bangganya bertutur dalam bahasa Inggeris. Sekiranya ini berlaku bagaimana generasi muda akan menyambut kempen tersebut? Barangkali generasi muda sudah pun berpendapat bahawa sekiranya kami terus bertutur dalam bahasa Melayu tentulah “tidak standard” atau kurang professional.

Tidak dapat dinafikan bahwa bahasa Inggeris itu penting namun dalam masa yang sama marilah kita pandang ke Timur iaitu Jepun yang tidak mahir menutur dalam bahasa Inggeris namun telah pun menguasai teknologi canggih di dunia.

Mulai saya terfikir bahawa inilah rumusannya mengapa pengaruh barat begitu mudah menerobosi minda dan cara hidup masyarakat kita. Pepatah yang mengatakan bahawa “Bahasa adalah jiwa Bangsa” sudah mulai menunjukkan kebenarannya. Ternyata sekiranya kita sering berbahasa Inggeris, maka lihatlah sendiri budaya apa yang dibawa oleh jiwa anak-anak bangsa kita sekarang. Malahan tidak hairan ada di antara mereka sudah mulai merasa malu untuk menyatakan bahawa “aku bangsa Melayu” apa lagi bercakap Melayu.

Inilah jati diri yang harus dikembalikan oleh pemimpin dan harus dimulai oleh tindakan pemipin itu sendiri. “Contoh melalui tealadan”. Jangan dipersalahkan rakyat atau generasi akan datang yang semakin hilang identiti bangsanya sekira mereka yakni pemimpin sendiri enggan untuk memartabatkan bahasa ibundanyanya sendiri. Fikirkanlah ini merupakan satu tanggungjawab besar yang tidak hanya mampu dipikul oleh sebuah jabatan seperti dewan Bahasa yang tidak mempunyai kuasa tindakan. Tetapi ini adalah sebuah isu penting untuk dibawa oleh pemimpin negara agar dari bahasa akan memulihkan jatidiri generasi akan datang bagi menanam jiwa bangsa.

Biarlah negara kita mencipta sejarah yang lebih inovatif dan bukan mencipta sejarah melakukan sebuah kempen yang bakal menjatuhkan maruah bangsa itu sendiri. Pada anggapan saya kempen ini tidak ubah seperti mengajar Melayu memakan nasi, mengajar Cina memakai chopstik dan mengajar India memakan kari. Kempen yang begitu bagus akhirnya hanya akan membuka pekung di dada sendiri. Membuka aib betapa kita harus dipaksa untuk memartabatkan bahasa kita yang seharusnya sudah sebati di dalam jiwa bagi memartabatkan bangsa kita. Di sinilah titik permulaan menanam semangat patriotik negara yakni memrtabatkan bahasa, sebelum memuliakan bangsa dan Negara.

No comments:

Post a Comment