ASSALAMUALAIKUM

Wednesday, April 4, 2012

APABILA UMARAQ DAN ULAMAQ DISILAU KEBENDAAN YANG MANA LEBIH MERUGIKAN UMMAH?

Inilah warna-warni kehidupan sebagai seorang penulis. Allah sahajalah yang Maha Berkuasa apabila hendak memberikan sesuatu untuk difahami oleh manusia yang dipilihnya. Pelbagai jenis kelompok manusia akan dihantar kepada kita untuk menyampaikan bermacam-macam jenis pengalaman yang mereka lalui, agar dapat kita kongsikan di dalam penulisan kita. Syukur padaMu Ya Allah.
Di dalam kebiasaan dunia penulisan ini banyak sudah saya diberikan pelbagai kesempatan untuk melihat pelbagai jenis kelompok manusia, namun kebanyakkannya di kalangan pemimpin dan ahli politik. Namun kebelakangan ini lain pula kelompok manusia yang di datangkan Allah untuk saya belajar satu lagi ilmu tentang mereka. Yakni kelompok manusia yang begitu ingin mencari Allah dan mencari kebenaran di dalam agama Allah. Kehebatan yang saya lihat pada mereka adalah keikhlasan mereka di dalam pencarian tersebut. Kesanggupan mereka untuk menyatakan kebenaran serta kesanggupan mereka untuk berjuang wang dan harta demi untuk mencapai satu tujuan iaitu menyelamatkan agama Allah dan tuntutan Nabi Muhamad.
Mereka berjuang tanpa disuruh atau diarah. Mereka berkorban wang dan ringgit tanpa diminta dan mereka meluangkan masa untuk bertemu atas dasar hanya satu kepentingan untuk menyelamatkan aqidah dan menyelamatkan agama Allah. Sungguh hebat sehingga merasakan diri ini terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan perjuangan mereka. Kesanggupan mereka untuk hilang punca pendapatan sudah tidak menjadi satu kerisauan asalkan mereka dapat menegakkan agama.
Namun sayang seribu kali sayang kerana mereka hanya berada di kalangan kelompok yang tidak mempunyai kuasa bagi menegakkan keadilan. Sedangkan golongan yang telah Allah serahkan pangkat dan jawatan serta ilmu sebagai seorang Ulamaq masih dikhayalkan dan dimabukkan dengan secebis kemewahan dunia sehingga ditutupkan pandangan mereka kepada satu kebenaran yang nyata. Amat menyedihkan.
Apabila setiap hari kita dijamu di dada akhbar tentang kelemahan umaraq, ramai yang bangkit untuk mengutuk dan mencemuh umaraq tersebut. Berbeza sekali kepada para Ulamaq. Hampir tiada yang mahu bangun untuk menyatakan kebenaran serta kesalahan yang sedang mereka lakukan semata-mata terlalu menghormati jubah dan gelaran yang pernah disandang oleh mereka. Walaupun jelas sekali mereka sedang menuju kearah menyumbang kepada kerosakan aqidah ummah.
Elaun yang tidak seberapa, pemberian seperti telefon, tiket penerbangan kelas pertama, layanan yang mewah telah melalaikan mereka untuk membuat satu pekerjaaan yang telah diamanahkan kepada mereka yakni mencari dan mengkaji sebuah ilmu yang bakal mengheret jutaan ummah kearah kesesatan aqidah. Lebih menyedihkan apabila sesetengah pemimpin yang berjawatan seperti menteri dan timbalan menteri berada di samping ulamaq ini langsung tidak mempunyai masa untuk duduk dan bermuzakarah dengan mereka untuk membincangkan perihal kebaikan ummah terutama sesuatu yang bakal menjerumuskan ramai manusia kepada kepincangan aqidah.
Inilah yang terjadi apabila silauan material sudah penuh dimata dan ditangan, ianya seperti ubat khayal yang memabukkan sehingga tidak menampakkan lagi mana yang bathil dan mana yang Haq.
Kita sudah mendengar tentang kebanjiran pakar motivasi dari Negara luar. Oleh itu amat menyedihkan apabila para ulamaq langsung tidak mahu meluangkan masa mereka untuk mengkaji aqidah para ilmuan yang bergelar pakar motivasi ini. Mereka yang menumpukan apa yang bahan ilmuan yang dihidangkan di hadapan mata sedangkan ketika pakar motivasi ini pulang ke Negara asalnya bahan yang dihidangkan berlainan dengan apa yang dihidangkan di Negara ini.
Sekiranya pakar motivasi tersebut telah dinyatakan kesesatan penulisannya, sudah tentulah beliau menyedari bahawa soal aqidah biar dibumi mana sekali pun tetap sama. Hanya ada dua sumber sahaja dari Allah iaitu Al Quran dan As sunnah. Sekiranya salah di Negara kita maka harus juga salah di mana sahaja jika buku tersebut diguna pakai. Sekiranya penulis buku tersebut memahami dan mendalami Islam dan kuat aqidahnya sudah tentu beliau akan memahami bahwa sekira penulisannya tidak dibetulkan mengikut syarat yang ditetapkan oleh para agamawan dan ilmuan agama, maka iannya tetap sesat walau di Negara mana pun ia dipersembahkan dan dibaca oleh umat Islam.
Amat menghairankan apabila setiap pakar motivasi yang membawa agama Allah tidak terlebih dahulu disoal siasat atau melalui beberapa pemeriksaan ke atas aqidah mereka. Para ulamaq kita hanya mampu berpuas hati dengan bahan yang ditukar dan bukan pemahaman ilmu agama yang harus ditukar oleh minda pakar motivasi tersebut. Para ulamaq harus lebih mencurigai “siapa yang mengajar” dari “apa yang diajar”. Ini merupakan ruang besar dalam penyesatan aqidah.
Dunia telah mengetahui bahawa para mubaligh kristian yang membawa misi dakwah telah diberikan sebuah kitab Al Quran untuk mereka mengkaji dan mempelajarinya sebelum mereka ditebarkan bagi menjalani misi dakwah kristian mereka. Oleh itu para ulamaq harus lebih berhati-hati kerana mungkin sahaja seorang paderi juga mampu memberikan penerangan tentang AL Quran lebih baik dari orang Islam itu sendiri. Apakah pengajaran mereka boleh diterima? Maka berbalik semula kepada aqidah pengajar dan bukan apa yang diajar. Kerana apa yang diajar mungkin benar pada penglihatan kita namun siapa yang mengajar terbukti langsung tidak mempunyai aqidah tentangnya. Apakah kita dibenarkan belajar atau mengambil ilmu dari seorang pakar motivasi atau ilmuan yang tidak betul aqidahnya?
Ternyata dari pengalaman bermuzakarah bersama bekas pengikut ajaran motivasi ini, ternyata amat membahayakan sekiranya ulamaq serta umaraq terus bersama menyokong pakar motivasi seperti ini. Pemantauan yang kononnya dijalankan hanya sekadar memberi ruang untuk kerosakan aqidah umat Malaysia terus bertebaran. Kemegahan kepada quantity terus membutakan mata ulamaq dan umaraq sedangkan Rasulullah saw pernah berpesan bahwa “kebenaran itu tidak semestinya dibuktikan dengan ramainya pengikut.” Mungkin pada dasar kebiasan manusia akan memaafkan setiap kesilapan seorang umaraq kerana tiadanya ilmu mendalam mereka ke atas agama. Namun dapatkah kita memaafkan seorang ulamaq yang telah Allah anugerahkan ilmu serta amanah untuk menjaga agamanya membuat kesalahan serta dilalai dan dimabukkan dengan material? Subhanallah semoga mereka para ulamaq kembali kepada amanah asal mereka untuk bersungguh-sungguh mengkaji dan menyiasat “SIAPA SEBENARNYA PENYAMPAI ILMU TERSEBUT DAN BUKAN ILMU YANG DISAMPAIKAN”.

No comments:

Post a Comment