ASSALAMUALAIKUM

Wednesday, April 4, 2012

PROJEK TIPU PERDANA MENTERI

Di dalam mengejar keuntungan, pangkat dan harta, manusia mampu melakukan apa sahaja. Tidak hairan samasekali sekiranya manusia sanggup menipu siapa sahaja malahan Perdana Menteri juga tidak terlepas dari tipu daya manusia ini. Kelihatan dewasa ini ramai antara manusia sudah ketandusan idea mulai menjadi penyamun dan perompak yang tidak kelihatan sepertinya. Perompak dan penyamun idea bukanlah kelihatan sepertimana perompak yang kita lihat di dalam dada akhbar. Perpakaian selekeh dan daif. Sebaliknya perompak idea ini kelihatan begitu segak berpakaian, malahan ada juga yang mempunyai jawatan tertentu di dalam kerajaan mahupun NGO, berkereta mewah dan sebagainya. Inilah antara mereka yang tidak mempunyai rasa segan dan silu untuk merompak dan menjinjing idea orang lain bagi dipersembahkan kepada PM. Begitu bodoh mereka rasakan orang lain termasuk PM itu sendiri apabila mereka dengan megah mempersembahkan idea mereka dengan meletakkan nama mereka di atas kertas hasil jerih perih orang lain.
Sememangnya benar kata seorang sahabat saya “siapa kamu yang mempunyai idea besar untuk di bawa kepada perdana menteri? Lihat sahaja pakaianmu, tiada jawatan, tiada kemewahan, kamu rasa pegawai disekeliling PM akan pandang hanya dengan idea bernas di dalam minda kamu?”. Pedih dan menyakitkan hati apabila diperkatakan sedemikian. Namun ianya ayat yang benar yang harus ditelan. Inilah kaedah dan fitrah tentang sebuah kebenaran walaupun pahit tetap harus ditelan.
Kebelakangan ini amat sedih apabila kita melihat bagaimana projek tipu PM ini diusung ke meja PM. Buat pertama kalinya terasa letih sungguh melihat nasib seorang PM, apabila beliau terpaksa berhadapan dengan orang yang sedemikian. Lebih letih lagi apabila kita yang juga turut terlibat di dalam memberi idea akhirnya disapu di depan mata. Belum sempat pena membuat kertaskerja kering, habis disonglap untuk meraih keuntungan dari PM. Akhirnya apa yang mampu dibuat hanya menadah tangan memohon doa, agar mereka yang tidak bertanggungjawab di timpa balasan oleh Allah.
Dari hasil perjumpaan bersama teman dan taulan, rupanya bukan hanya satu, dua individu yang terkena sedemikian malahan ramai. Itulah juga antara punca rasa saya, rakyat Malaysia mulai merasa mual untuk memikir lagi, menghasilkan kertas kerja yang baik bagi membantu kerajaan. Terpaksalah kita memikirkan pula bagaimana untuk menghiaskan diri dengan pelbagai materi agar dapat menyilaukan mata pegawai-pegawai yang menjaga pintu PM untuk membukakannya buat kita. Dalam dunia yang sudah dipenuhi dengan pelbagai dakwah dan pesanan agama, masih juga ramai antara mereka yang masih tertipu dengan luaran dan bukan dalaman. Masih ramai juga antara penjaga pintu PM yang tertipu dengan pandangan luar daripada mengenali seseorang itu secara empat mata dan masih juga mereka mengharapkan pendapat dan pandangan yang kononnya sahabat mereka untuk memberi komen tentang si polan dan polan kepada mereka.
Sekiranya mereka hanya meluangkan sedikit masa, mereka mampu menilai sendiri, tidak perlu berjumpa dengan teman yang sering mereka peruntukkan masa untuk berjumpa bertanya tentang peribadi orang lain. Sayang seribu kali sayang apabila kita diizinkan Allah untuk menemui ramai antara mereka yang bijaksana dan baik akhirnya tidak diberi peluang untuk berkhidmat memberi idea yang bernas dan ikhlas kepada PM, hanya semata-mata pegawainya mengharap orang lain untuk menilai dan bukan diri mereka sendiri menilainya.
Inilah kesempatan yang paling baik untuk mereka yang digelar penyangak dan pencuri idea mengaut keuntungan peribadi; yakni dikala PM sedang mencari pelbagai jalan dan usaha untuk menang di dalam pilihanraya akan datang. Modes operandi dan ayat sama akan diguna pakai oleh penyangak ini kepada PM, iaitu inilah projek dan idea yang baik untuk memenangi PRU13. Apabila kertaskerja yang dicuri tentulah perlaksanaannya tidak akan sama sekiranya dijalankan oleh pencuri tersebut dengan pemikir idea asal kertaskerja tersebut. Akhirnya jadilah sebuah projek “TIPU PM”. Wang dan dana sudah dikeluarkan, projek juga sudah dilaksanakan, hasil menyedihkan, apa yang dapat PM lakukan lagi apabila nasi sudah menjadi bubur. Akhirnya harapan orang yang mempunyai idea dan ikhlas turut terkubur untuk memikirkan apa sahaja kebaikan yang ingin dikemukakan kepada PM. Amat menyedihkan sekiranya PM hanya bergantung harap kepada orang tertentu dan menutup pintu kepada orang yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk berkhidmat. Terkadang hati terdetik juga untuk bertanya, “apa sudah jadi dengan amalan istigharah? Sehingga diketepikan dan diganti dengan pertanyaan kepada orang melebihi dari pertanyaan kepada Allah. Bukankah lebih baik sekiranya mereka yang berkuasa menjaga pintu PM ini beramal dengan bertanya terus kepada Allah daripada bertanya kepada rakan dan taulan tentang individu yang menghampiri mereka untuk membantu mereka secara ikhlas. Akhirnya keegoan dan kebodohan mendengar tanpa menapis hanya akan merugikan Agama, Bangsa dan Negara bukan sahaja seorang Perdana Menteri. Fikir-fikirkanlah hadith ini:
Dari Abu Hurairah ra. Dari Nabi saw, beliau bersabda :
“ Barang siapa yang pernah menganiyai saudaranya, baik yang berhubung dengan kehormatan diri mahupun sesuatu yang berhubungan dengan harta benda, maka hendaklah ia minta dihalalkan (minta maaf) sekarang juga sebelum datangnya saat di mana dinar dan dirham tidak berguna di mana bila ia mempunyai amal solih maka amal itu akan di ambil sesuai dengan kadar penganiayaannya, dan bila ia tidak mempunyai kebaikan maka kejahatan orang yang dianiaya itu diambilnya dan dibebankan kepadanya.” (Riwayat Bukhari).

No comments:

Post a Comment