ASSALAMUALAIKUM

Friday, May 25, 2012

POLITIK LORONG HAJI TAIB

Semakin tinggi ilmu manusia ternyata semakin mereka sudah tidak boleh berfikir. Sia-sia sahaja pusat pengajian Tinggi yang telah dibina dan disumbatkan dengan jutaan penuntut tetapi akhirnya jurubina itu sendiri yang mencemarkannya. Siapa lagi jurubina tersebut kalau bukan para pemimpin. Tidak kira samada pemimpin kerajaan atau pembangkang seperti sudah tidak ada kuasa untuk menghalang sebuah ucapan di atas pentas politik yang semakin hari semakin menjadi lucah. Apakah bezanya sekarang perkataan yang wujud di Lorong Haji Taib dengan yang ada di pentas-pentas politik? Apa pula bezanya dengan perlakuan mereka yang mencari habuan di pentas politik dengan mereka yang berada di Lorong haji Taib? Sampai bila budaya ini hendak diketengahkan? Sebagai seorang pemimpin kita bertanggungjawab untuk menghalang mahupun mengutuk sekeras-kerasnya budaya mengaibkan sesama sendiri. Kebanyakkan mereka yang mengaibkan satu sama lain, lebih kurang sama sahaja moralnya. Orang yang tidak bermoral akan tahu bagaimana untuk mengutuk orang yang tidak bermoral. Hanya pencuri yang kenal seorang pencuri. Itulah yang pernah dikatakan oleh bekas seorang Menteri kepada saya. Seorang yang bermaruah pertama sekali mereka akan cuba mengelakkan diri dari menjadi seorang pelacur. Apakah hanya dengan menggadaikan tubuh badan kita digelar sebagai seorang pelacur? Bagaimana pula jika, maki hamun, carut mencarut serta saling menelanjangkan orang lain dengan perkataan bukankah layak dinamakan pelacur? Sekurang-kurangnya seorang pelacur itu lebih mulia kerana mereka tidak pernah membuka aib pelanggan mereka atau merakam video teman-teman mereka untuk dipertontotnkan secara percuma dikhalayak ramai. Bagaimana dengan orang politik yang membuka aib sesamanya? Apakah perlu belajar dengan seorang pelacur? Sungguh rendah akhlak manusia lebih lagi akhlak seorang Islam apabila sanggup menelanjangkan musuh politik mereka bukan sahaja melalui media sesawang tetapi juga melalui perkataan. Ramai masyarakat diluar sana hanya gemar menonton dan mendengar segala aib yang ditelanjangkan oleh seorang ahli politik, tetapi ketika mereka pulang ke rumah kebanyakkan mereka mulai mencemuh apa yang telah diperkatakan serta dipertontonkan oleh orang poltiki tersebut kepada mereka. Di dalam dunia melinium perkataan dan perbuatan maksiat telah menjadi lumrah di kalangan semua manusia termasuk orang Islam mahupun pemimpin. Bukan kita tidak tahu beberapa pemimpin yang telah terlibat dengan penzinaan ataupun hubungan diluar tabi’i. Hanya Allah masih memberi masa, ruang dan peluang menutup aib-aib mereka yang telah mereka lakukan. Tetapi ingat janji Allah itu benar dan pasti akan berlaku perkara yang sama ke atas mereka yang melondeh dan menelanjangkan aib orang lain ke pengetahuan umum. Inilah senjata politik paling dayus yang digunakan untuk menjatuhkan karier politik seseorang. Masyarakat makin keliru tentang wajah pemimpin akan datang. Apakah kita akan dipimpin oleh bakal-bakal pemimpin yang ditangan mereka penuh dengan cerita porno? Atau pemimpin yang ditangan mereka penuh dengan Al Quran dan Hadith serta wawasan membangunkan Agama,Bangsa dan Negara? Apakah kemenangan yang bakal kita capai ini akan dihormati setelah kita menggunakan kaedah politik Lorong Haji Taib? Apa yang hendak kita ajarkan kepada anak cucu kita di masa hadapan. Tak kala generasi X dan Y ingin memimpin Negara, apakah mereka hanya perlu menyimpan sebanyak mungkin gambar porno dan aib orang ataupun mereka perlu menimba lebih banyak ilmu dan pengetahuan dunia dan akhirat ? Kalau begini mudah seseorang itu dilantik menjadi pemimpin hanya dengan mempunyai satu gedung aib dan gambar porno musuh politik mereka, maka tidak perlulah kita bersusah payah untuk melatih generasi X dan Y untuk dihantar ke Pusat Khidmat Negara (PLKN) ataupun BTN. Cukuplah kita menghantar generasi akan datang yang hendak menjadi pemimpin mahir dalam memasang kamera litar tertutup ataupun menggunakan kamera menjebak mangsa-mangsa tertentu. Lebih baik kita wujudkan sebuah Universiti “paparadzi”. Bagi yang ingin mencarut dan memaki hamun cukuplah sekadar kita menghantar generasi Y dan X bakal pemimpin ke lorong-lorong Haji Taib bagi memperelokkan bahasa carutan dan maki hamun mereka dengan seorang pelacur. Cukuplah, sudahlah, dan ingatlah bahawa Allah sedang memerhatikan kita wahai semua pemimpin. Jangan kita membela lagi kambing-kambing hitam yang bakal bertukar menjadi kambing gurun dan menanduk kita pula di kemudian hari. Negara yang sudah beralih kepada sebuah Negara Islam tidak wajar terlepas pandang dengan budaya politik Lorong haji taib ini. Tidak cukup kita paparkan di laman sesawang kita angkat pula ke media cetak dan elektronik. Kasihanilah pada warga masyarakat yang begitu gigih mendidik anak-anak mereka dengan Al Quran dan As Sunnah akhirnya dicemarkan dengan perbuatan sesetengah kambing hitam para pemimpin dengan hidangan politik dari Lorong Haji Taib. Akhirnya padi yang ditanam, tumbuh pula jutaan lalang. Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Hindarilah oleh kamu sekalian berburuk sangka karena buruk sangka adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kamu sekalian saling memata-matai yang lain, janganlah saling mencari-cari aib yang lain, janganlah kamu saling bersaing (kemegahan dunia), janganlah kamu saling mendengki dan janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling bermusuhan tetapi jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. (Shahih Muslim No.4646) Segalanya akan bermula dari diri kita sendiri. Maka pada hari ini kita janganlah hidup dalam sangkaan semata. Melihat orang yang begitu ramai menonton filem porno dan mendengar cerita politik lucah kita, maka kita merasakan itulah manusia yang member sokongan kepada apa yang aku perkatakan. Sedangkan tanpa kita ketahui orang ramai itu jugalah yang Allah hantar untuk melihat dan mendengar tetapi juga untuk berfikir akan apa yang mereka dengar dan lihat itu baik atau salah. Maka berpolitiklah jangan sampai Allah mendatangkan bala atas perbuatan kita sesama Islam. Iqraq!!

Wednesday, April 4, 2012

APABILA UMARAQ DAN ULAMAQ DISILAU KEBENDAAN YANG MANA LEBIH MERUGIKAN UMMAH?

Inilah warna-warni kehidupan sebagai seorang penulis. Allah sahajalah yang Maha Berkuasa apabila hendak memberikan sesuatu untuk difahami oleh manusia yang dipilihnya. Pelbagai jenis kelompok manusia akan dihantar kepada kita untuk menyampaikan bermacam-macam jenis pengalaman yang mereka lalui, agar dapat kita kongsikan di dalam penulisan kita. Syukur padaMu Ya Allah.
Di dalam kebiasaan dunia penulisan ini banyak sudah saya diberikan pelbagai kesempatan untuk melihat pelbagai jenis kelompok manusia, namun kebanyakkannya di kalangan pemimpin dan ahli politik. Namun kebelakangan ini lain pula kelompok manusia yang di datangkan Allah untuk saya belajar satu lagi ilmu tentang mereka. Yakni kelompok manusia yang begitu ingin mencari Allah dan mencari kebenaran di dalam agama Allah. Kehebatan yang saya lihat pada mereka adalah keikhlasan mereka di dalam pencarian tersebut. Kesanggupan mereka untuk menyatakan kebenaran serta kesanggupan mereka untuk berjuang wang dan harta demi untuk mencapai satu tujuan iaitu menyelamatkan agama Allah dan tuntutan Nabi Muhamad.
Mereka berjuang tanpa disuruh atau diarah. Mereka berkorban wang dan ringgit tanpa diminta dan mereka meluangkan masa untuk bertemu atas dasar hanya satu kepentingan untuk menyelamatkan aqidah dan menyelamatkan agama Allah. Sungguh hebat sehingga merasakan diri ini terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan perjuangan mereka. Kesanggupan mereka untuk hilang punca pendapatan sudah tidak menjadi satu kerisauan asalkan mereka dapat menegakkan agama.
Namun sayang seribu kali sayang kerana mereka hanya berada di kalangan kelompok yang tidak mempunyai kuasa bagi menegakkan keadilan. Sedangkan golongan yang telah Allah serahkan pangkat dan jawatan serta ilmu sebagai seorang Ulamaq masih dikhayalkan dan dimabukkan dengan secebis kemewahan dunia sehingga ditutupkan pandangan mereka kepada satu kebenaran yang nyata. Amat menyedihkan.
Apabila setiap hari kita dijamu di dada akhbar tentang kelemahan umaraq, ramai yang bangkit untuk mengutuk dan mencemuh umaraq tersebut. Berbeza sekali kepada para Ulamaq. Hampir tiada yang mahu bangun untuk menyatakan kebenaran serta kesalahan yang sedang mereka lakukan semata-mata terlalu menghormati jubah dan gelaran yang pernah disandang oleh mereka. Walaupun jelas sekali mereka sedang menuju kearah menyumbang kepada kerosakan aqidah ummah.
Elaun yang tidak seberapa, pemberian seperti telefon, tiket penerbangan kelas pertama, layanan yang mewah telah melalaikan mereka untuk membuat satu pekerjaaan yang telah diamanahkan kepada mereka yakni mencari dan mengkaji sebuah ilmu yang bakal mengheret jutaan ummah kearah kesesatan aqidah. Lebih menyedihkan apabila sesetengah pemimpin yang berjawatan seperti menteri dan timbalan menteri berada di samping ulamaq ini langsung tidak mempunyai masa untuk duduk dan bermuzakarah dengan mereka untuk membincangkan perihal kebaikan ummah terutama sesuatu yang bakal menjerumuskan ramai manusia kepada kepincangan aqidah.
Inilah yang terjadi apabila silauan material sudah penuh dimata dan ditangan, ianya seperti ubat khayal yang memabukkan sehingga tidak menampakkan lagi mana yang bathil dan mana yang Haq.
Kita sudah mendengar tentang kebanjiran pakar motivasi dari Negara luar. Oleh itu amat menyedihkan apabila para ulamaq langsung tidak mahu meluangkan masa mereka untuk mengkaji aqidah para ilmuan yang bergelar pakar motivasi ini. Mereka yang menumpukan apa yang bahan ilmuan yang dihidangkan di hadapan mata sedangkan ketika pakar motivasi ini pulang ke Negara asalnya bahan yang dihidangkan berlainan dengan apa yang dihidangkan di Negara ini.
Sekiranya pakar motivasi tersebut telah dinyatakan kesesatan penulisannya, sudah tentulah beliau menyedari bahawa soal aqidah biar dibumi mana sekali pun tetap sama. Hanya ada dua sumber sahaja dari Allah iaitu Al Quran dan As sunnah. Sekiranya salah di Negara kita maka harus juga salah di mana sahaja jika buku tersebut diguna pakai. Sekiranya penulis buku tersebut memahami dan mendalami Islam dan kuat aqidahnya sudah tentu beliau akan memahami bahwa sekira penulisannya tidak dibetulkan mengikut syarat yang ditetapkan oleh para agamawan dan ilmuan agama, maka iannya tetap sesat walau di Negara mana pun ia dipersembahkan dan dibaca oleh umat Islam.
Amat menghairankan apabila setiap pakar motivasi yang membawa agama Allah tidak terlebih dahulu disoal siasat atau melalui beberapa pemeriksaan ke atas aqidah mereka. Para ulamaq kita hanya mampu berpuas hati dengan bahan yang ditukar dan bukan pemahaman ilmu agama yang harus ditukar oleh minda pakar motivasi tersebut. Para ulamaq harus lebih mencurigai “siapa yang mengajar” dari “apa yang diajar”. Ini merupakan ruang besar dalam penyesatan aqidah.
Dunia telah mengetahui bahawa para mubaligh kristian yang membawa misi dakwah telah diberikan sebuah kitab Al Quran untuk mereka mengkaji dan mempelajarinya sebelum mereka ditebarkan bagi menjalani misi dakwah kristian mereka. Oleh itu para ulamaq harus lebih berhati-hati kerana mungkin sahaja seorang paderi juga mampu memberikan penerangan tentang AL Quran lebih baik dari orang Islam itu sendiri. Apakah pengajaran mereka boleh diterima? Maka berbalik semula kepada aqidah pengajar dan bukan apa yang diajar. Kerana apa yang diajar mungkin benar pada penglihatan kita namun siapa yang mengajar terbukti langsung tidak mempunyai aqidah tentangnya. Apakah kita dibenarkan belajar atau mengambil ilmu dari seorang pakar motivasi atau ilmuan yang tidak betul aqidahnya?
Ternyata dari pengalaman bermuzakarah bersama bekas pengikut ajaran motivasi ini, ternyata amat membahayakan sekiranya ulamaq serta umaraq terus bersama menyokong pakar motivasi seperti ini. Pemantauan yang kononnya dijalankan hanya sekadar memberi ruang untuk kerosakan aqidah umat Malaysia terus bertebaran. Kemegahan kepada quantity terus membutakan mata ulamaq dan umaraq sedangkan Rasulullah saw pernah berpesan bahwa “kebenaran itu tidak semestinya dibuktikan dengan ramainya pengikut.” Mungkin pada dasar kebiasan manusia akan memaafkan setiap kesilapan seorang umaraq kerana tiadanya ilmu mendalam mereka ke atas agama. Namun dapatkah kita memaafkan seorang ulamaq yang telah Allah anugerahkan ilmu serta amanah untuk menjaga agamanya membuat kesalahan serta dilalai dan dimabukkan dengan material? Subhanallah semoga mereka para ulamaq kembali kepada amanah asal mereka untuk bersungguh-sungguh mengkaji dan menyiasat “SIAPA SEBENARNYA PENYAMPAI ILMU TERSEBUT DAN BUKAN ILMU YANG DISAMPAIKAN”.

PROJEK TIPU PERDANA MENTERI

Di dalam mengejar keuntungan, pangkat dan harta, manusia mampu melakukan apa sahaja. Tidak hairan samasekali sekiranya manusia sanggup menipu siapa sahaja malahan Perdana Menteri juga tidak terlepas dari tipu daya manusia ini. Kelihatan dewasa ini ramai antara manusia sudah ketandusan idea mulai menjadi penyamun dan perompak yang tidak kelihatan sepertinya. Perompak dan penyamun idea bukanlah kelihatan sepertimana perompak yang kita lihat di dalam dada akhbar. Perpakaian selekeh dan daif. Sebaliknya perompak idea ini kelihatan begitu segak berpakaian, malahan ada juga yang mempunyai jawatan tertentu di dalam kerajaan mahupun NGO, berkereta mewah dan sebagainya. Inilah antara mereka yang tidak mempunyai rasa segan dan silu untuk merompak dan menjinjing idea orang lain bagi dipersembahkan kepada PM. Begitu bodoh mereka rasakan orang lain termasuk PM itu sendiri apabila mereka dengan megah mempersembahkan idea mereka dengan meletakkan nama mereka di atas kertas hasil jerih perih orang lain.
Sememangnya benar kata seorang sahabat saya “siapa kamu yang mempunyai idea besar untuk di bawa kepada perdana menteri? Lihat sahaja pakaianmu, tiada jawatan, tiada kemewahan, kamu rasa pegawai disekeliling PM akan pandang hanya dengan idea bernas di dalam minda kamu?”. Pedih dan menyakitkan hati apabila diperkatakan sedemikian. Namun ianya ayat yang benar yang harus ditelan. Inilah kaedah dan fitrah tentang sebuah kebenaran walaupun pahit tetap harus ditelan.
Kebelakangan ini amat sedih apabila kita melihat bagaimana projek tipu PM ini diusung ke meja PM. Buat pertama kalinya terasa letih sungguh melihat nasib seorang PM, apabila beliau terpaksa berhadapan dengan orang yang sedemikian. Lebih letih lagi apabila kita yang juga turut terlibat di dalam memberi idea akhirnya disapu di depan mata. Belum sempat pena membuat kertaskerja kering, habis disonglap untuk meraih keuntungan dari PM. Akhirnya apa yang mampu dibuat hanya menadah tangan memohon doa, agar mereka yang tidak bertanggungjawab di timpa balasan oleh Allah.
Dari hasil perjumpaan bersama teman dan taulan, rupanya bukan hanya satu, dua individu yang terkena sedemikian malahan ramai. Itulah juga antara punca rasa saya, rakyat Malaysia mulai merasa mual untuk memikir lagi, menghasilkan kertas kerja yang baik bagi membantu kerajaan. Terpaksalah kita memikirkan pula bagaimana untuk menghiaskan diri dengan pelbagai materi agar dapat menyilaukan mata pegawai-pegawai yang menjaga pintu PM untuk membukakannya buat kita. Dalam dunia yang sudah dipenuhi dengan pelbagai dakwah dan pesanan agama, masih juga ramai antara mereka yang masih tertipu dengan luaran dan bukan dalaman. Masih ramai juga antara penjaga pintu PM yang tertipu dengan pandangan luar daripada mengenali seseorang itu secara empat mata dan masih juga mereka mengharapkan pendapat dan pandangan yang kononnya sahabat mereka untuk memberi komen tentang si polan dan polan kepada mereka.
Sekiranya mereka hanya meluangkan sedikit masa, mereka mampu menilai sendiri, tidak perlu berjumpa dengan teman yang sering mereka peruntukkan masa untuk berjumpa bertanya tentang peribadi orang lain. Sayang seribu kali sayang apabila kita diizinkan Allah untuk menemui ramai antara mereka yang bijaksana dan baik akhirnya tidak diberi peluang untuk berkhidmat memberi idea yang bernas dan ikhlas kepada PM, hanya semata-mata pegawainya mengharap orang lain untuk menilai dan bukan diri mereka sendiri menilainya.
Inilah kesempatan yang paling baik untuk mereka yang digelar penyangak dan pencuri idea mengaut keuntungan peribadi; yakni dikala PM sedang mencari pelbagai jalan dan usaha untuk menang di dalam pilihanraya akan datang. Modes operandi dan ayat sama akan diguna pakai oleh penyangak ini kepada PM, iaitu inilah projek dan idea yang baik untuk memenangi PRU13. Apabila kertaskerja yang dicuri tentulah perlaksanaannya tidak akan sama sekiranya dijalankan oleh pencuri tersebut dengan pemikir idea asal kertaskerja tersebut. Akhirnya jadilah sebuah projek “TIPU PM”. Wang dan dana sudah dikeluarkan, projek juga sudah dilaksanakan, hasil menyedihkan, apa yang dapat PM lakukan lagi apabila nasi sudah menjadi bubur. Akhirnya harapan orang yang mempunyai idea dan ikhlas turut terkubur untuk memikirkan apa sahaja kebaikan yang ingin dikemukakan kepada PM. Amat menyedihkan sekiranya PM hanya bergantung harap kepada orang tertentu dan menutup pintu kepada orang yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk berkhidmat. Terkadang hati terdetik juga untuk bertanya, “apa sudah jadi dengan amalan istigharah? Sehingga diketepikan dan diganti dengan pertanyaan kepada orang melebihi dari pertanyaan kepada Allah. Bukankah lebih baik sekiranya mereka yang berkuasa menjaga pintu PM ini beramal dengan bertanya terus kepada Allah daripada bertanya kepada rakan dan taulan tentang individu yang menghampiri mereka untuk membantu mereka secara ikhlas. Akhirnya keegoan dan kebodohan mendengar tanpa menapis hanya akan merugikan Agama, Bangsa dan Negara bukan sahaja seorang Perdana Menteri. Fikir-fikirkanlah hadith ini:
Dari Abu Hurairah ra. Dari Nabi saw, beliau bersabda :
“ Barang siapa yang pernah menganiyai saudaranya, baik yang berhubung dengan kehormatan diri mahupun sesuatu yang berhubungan dengan harta benda, maka hendaklah ia minta dihalalkan (minta maaf) sekarang juga sebelum datangnya saat di mana dinar dan dirham tidak berguna di mana bila ia mempunyai amal solih maka amal itu akan di ambil sesuai dengan kadar penganiayaannya, dan bila ia tidak mempunyai kebaikan maka kejahatan orang yang dianiaya itu diambilnya dan dibebankan kepadanya.” (Riwayat Bukhari).

Saturday, February 25, 2012

TRANSFORM UMNO REFORM PEMIMPIN UMNO BN MENANG?

Inilah ayat yang sering kita dengar dikalangan masyarakat bawahan. Semua menganggap bahawa mereka langsung tidak mempunyai masalah demgan UMNO tetapi ramai yang mempunyai banyak masalah dengan pemimpin nya. Apakah benar sekiranya kita diberitahu bahawa perjuangan UMNO untuk memdapat kemenangan bagi pilihanraya ke 13 akan datang bukanlah satu perjuangan yang sukar. Apatah lagi ditambah dengan masalah dalaman dari pihak pembangkang yang begitu memenatkan.

Banyak isu dari pihak pembangkang yang harus mereka tangani sebelum berhadapan dengan PRU ke 13 nanti. Tentulah bukan mudah bagi pihak pembangkang untuk menangani pelbagai isu yang saya anggap agak kronik. Antaranya adalah konflik dalaman PAS yang sepertinya tidak berkesudahan. Bermula dengan kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden sehinggalah kepada pemecatan Dato Hassan Ali. Integirti PAS semakin tercorot sebagai pembela Islam setelah jawatan Exco bagi menjaga hal ehwal agama Islam tidak diberikan kepada PAS.  Manakala DAP yang membawa fahaman perkauman yang kuat serta masalah pentadbiran di Pulau Pinang juga telah menghilangkan integriti mereka sebagai sebuah kepimpinan yang mampu menangani masalah masyarakat majmuk di Malaysia.

Kalau dilihat pula dengan PKR pemimpin partinya DSAI semakin hari semakin membawa kepada pelbagai kontroversi yang sukar untuk dihapuskan. Setelah kes liwat terbaru timbul pula kes sokongan beliau ke atas negara Israel yang dikuasai oleh yahudi. Masayarakat Islam begitu sensetif dengan penglibatan DSAI sebagai rakan kepada Israel. Ini telah membawa banyak kerisauan dikalangan masyarkat terutamanya golongan agama yang sudah mempunyai pelbagai persepsi sekiranya DSAI menerajui kepimpinan negara.

Berbalik pula kita kepada UMNO. Ternyata dengan barah yang mula menyerang PR telah memberikan satu jalan mudah untuk UMNO terus menyerang mereka dan ianya tidak mustahil dengan mudah juga bakal melumpuhkan perjuangan PR. Namun cabaran yang paling getir juga dialami oleh BN apa lagi kalau bukan masalah dalaman. Perpaduan yang telah diperjuangkan  oleh DS Najib dikalangan masyarakat Malaysia sudah nampak kian berjaya. Namun perpaduan dalaman BN khususnya UMNO masih lagi kabur. Pemimpin UMNO bermula dari jawatan menteri sehinggalah kepada Ketua Bahagian semuanya mengharapkan satu reformasi dibuat oleh PM. Mereka sudah tidak lagi mampu bertoleransi dengan sikap sesetengah pemimpin yang perasuah, tidak amanah dan gila kuasa.

Kebanyakkan pemimpin UMNO dilihat sebagai QORUN yang hanya tahu menimbunkan  harta, namun gagal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang amanah. Apakah mungkin dan mampu PM membuat satu reformasi di dalam kepimpinannya? Itulah persoalan yang sering ditanya oleh masyarakat bawahan.

Transformasi UMNO sudah menampakkan keberkesanannya apabila PM telah berjaya menggerakkan bahagian peneranganya dengan begitu berkesan. Selain dari itu ternyata juga sokongan ke atas setiap pembahruan yang dibawa PM juga tidak mendapat bantahan dari kalangan ahli partinya. Transformasi dari AHLI UMNO kepada ORANG UMNO merupakan satu langkah yang bijak seolah- olah mewujudkan satu lagi bangsa. Oleh itu ORANG UMNO yang terwujud sebagai satu bangsa akan merasa bahawa mereka bertanggunjawab ke atas bangsa mereka, serta tidak mungkin akan mengkhianati bangsa sendiri. Itulah intipati yang saya fahami dan merasakan begitu baik untuk diimplementasikan oleh ORANG UMNO.

Bukanlah mudah bagi PM untuk reform pemimpinnya yang telah banyak antaranya menabur jasa kepada UMNO dan BN. Namun apakah persoalan ini akan difahami oleh mereka yang tidak sabar untuk menjadi pemimpin disemua peringkat. Cabaran inilah yang harus dihadapi oleh BN bagi memenangi PRU ke 13 akan datang. Wallahualam. Di atas segala keputusan yang bakal di buat oleh PM apa yang penting haruslah adil, kerana dengan keadilan bagi semua pihak sahaja akan menjadi ramuan terpenting untuk kejayaan BN. InsyaAllah.

".........berlaku adillah kerana keadilan itu lebih dekat kepada taqwa dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamunkerjakan." (5:8)

Wednesday, January 4, 2012

GENERASI Y DI AMBANG KEMUSNAHAN PEMIKIRAN?

Amat menyedihkan apabila baru-baru ini kita mendengar satu demonstrasi di kalangan Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di mana 17 orang telah di tahan kerana mengadakan Demontrasi menuntut hak Kebebasan Mahasiswa dan menentang AUKU. Kita agak terkilan kerana mereka adalah di kalangan Mahasiswa yang bakal menjadi pendidik generasi muda akan datang. Cuba kita bayangkan apa yang akan berlaku kepada generasi akan datang termasuk anak-anak kita sekiranya bakal pendidikan sedemikain rupa diberikan amanah untuk mendidik anak kita ?

Kalau benar ini merupakan satu perhimpunan yang di dalangi oleh pihak pembangkang maka saya memandang ianya satu perbuatan yang serius bukan sahaja untuk menumbangkan kerajaan tetapi juga untuk menghancurkan negara dan generasi Y. Ia merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab terhadap Agama, Bangsa dan Negara .

Permainan politik sedemikian bukan sahaja membahayakan Negara tetapi pemikiran anak-anak remaja. Sememangnya benar mereka telah di tahan dan mungkin di soal siasat tetapi siapakah yang akan bertanggungjawab memastikan bahawa mereka Mahasiswa bakal pendidik ini bebas dari pemikiran negatif terhadap masyarakat dan masa depan Negara setelah mereka dibebaskan?

Kita sudah cukup dengan pelbagai masalah remaja seperti, dadah, mat rempit, bohsia, perlakuan seks bebas dan sekarang Mahasiswa yang tidak bertanggunjawab pula. Kalau dikira dan di hitung kembali , usaha kerajaan untuk memperolehi undi dari kalangan remaja yang dikatakan hampir 70% di Malaysia ini mampukah terlaksana? Apakah setelah di timbang dan ditapis anak-anak remaja ini yang tidak terlibat dengan permasalahan di atas apakah mampu kita mendapat undian yang diharapkan?

Saya pasti setelah penilaian dibuat di atas para remaja tersebut silap haribulan hanya lebih kurang 10-20% sahaja yang benar-benar akan keluar mengundi. Kerajaan harus mengkaji dan menilai semula kesemua kaedah perbelanjaan ke atas majlis-majlis yang melibatkan usaha menambat hati para remaja ini dikurangkan mulai sekarang. Agar perbelanjaan tersebut tidak berakhir seperti mencurah air ke daun keladi.

Kerajaan harus mengkaji semula berapa peratuskah remaja yang telah dan sedang terlibat di dalam permasaalahan di atas dan membahagi-bahagikan mereka mengikut golongan. Seperti Golongan penagih, bohsia, mat rempit,Gay, Lesbian, Mahasiswa pendesak, dan golongan remaja yang berkempen agar sesama mereka jangan mendaftar undi. Setelah itu semua dibahagikan maka tentu kerajaan akan terperanjat setelah mendapati apa yang mereka kejar sebenarnya hanya golongan yang ingin sekadar mengambil kesempatan dan bukan golongan yang benar-benar ingin berjuang mendapatkan kemenangan seperti yang diimpikan kerajaan.

Generasi Y yang saya anggap semakin mangada- ngada ini seperti kadok naik junjung. Mereka merasakan sebelum ini banyak diketepikan, namun ketika kerajaan cuba memberikan fokas kepada mereka maka inilah yang terjadi. Ia satu langkah yang bijak dan busuk oleh pembangkang yang tidak mempunyai nilai Nasionalis dan patriotisme untuk menaguk di air yang keruh bagi membangkitkan kemarahan generasi Y bukan sahaja terhadap kerajaan, tetapi bangsa dan negara secara keseluruhan.

Apa yang nyata sekarang ini ialah satu tragedi yang amat memalukan generasi Y itu sendiri apabila mereka menuntut kerajaan agar memberikan kebebasan berpolitik dan bersuara kepada mereka, tetapi mereka lupa bahawa yang sedang tidak tanggungjawab sekarang ini adalah mereka itu sendiri.

Betapa dangkalnya pemikiran Mahasiswa ini sehingga begitu mudah disuntik dengan pemikiran negatif dari dalam tanpa memikirkan apakah tanggungjawab mereka yang sebenar kepada keluarga dan diri mereka sendiri. Mereka tidak punyai fokas dan matlamat di dalam pembelajaran dan mereasakan bahawa setiap tindakan yang dilakukan tidak akan menjejaskan masa hadapan serta keluarga mereka.

Dikatakan seramai 70 pelajar telah berkumpul untuk tunjuk perasaan, cuba bayangkan nasib 70 pelajar ini yang bakal diambil tindakan. Apakah kerajaan akan rugi sekiranya kehilangan 70 pelajar ini? Jawapannya tidak samasekali. Jadi sekarang siapa yang rugi kalau bukan pelajar itu sendiri. Bayangkan sekiranya inilah pemikiran mahasiswa kita yang bakal digelar pendidik. Baru di dalam negara sendiri sudah gagal memikir apa yang terbaik untuk mereka dan negara apatah lagi kalau kita campakkan mereka keluar negara. Apa agaknya pemikiran yang akan mereka serap bagi menghancurkan negara bangsa mereka sendiri?

Kerajaan seharusnya mengembalikan ideologi dan pemikiran nasionalis dan patriotisme di kalangan remaja sekiranya ingin melihat jatidiri mereka kental bagi menhadapi musuh akan datang kita yang lebih hebat iaitu dari negara luar. Kalau hanya beberapa orang sahaja dari kalangan pembangkang mampu menyuntik pemikiran negatif ini sehingga mereka bangun memberontak bayangkan sekiranya kumpulan pembangkang ini datang berbondong-bondong menyerang pemikiran mahasiswa diseluruh IPT dan IPTS.

Kalau diikutkan hati ingin sahaja kita mencari siapa yang salah di dalam kes ini? Ibubapa? Pemimpin politik?Pensyarah?Ulamaq? atau siapa? Kita hanya akan membuang masa menuding jari ke sana-sini. Dalam waktu terdekat ini adalah lebih wajar sekiranya kerajaan dan pemimpin politik mempergiatkan lagi mengadakan forum dan dialog antara pelajar diseluruh IPT dan IPTS. Ini sahaja satu penawar yang dapat memberikan ketenangan kepada generasi Y. Kerana inilah sikap mereka yang sebenar. Sekiranya mereka gagal diberikan jawapan sepertimana yang ditanya maka mereka akan terus mendesak dan membangkang. Keilmuan mereka harus senantiasa diuji dan kebijaksanaan mereka senantiasa harus dihargai. Mereka harus diterapkan dengan pemikiran bahawa ilmu itu umpama sebilah pedang dan mereka harus mengambilnya dengan penuh tanggungjawab. Setiap manusia mampu mendapatkan ilmu tetapi bukan semua yang mampu membawa ilmu yang mereka perolehi dengan penuh tanggunjawab bagi membentuk dan mencorak pemikiran positif generasi akan datang dalam membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni.

Betapa tinggi ilmu sekali pun seseorang manusia itu sekiranya ia gagal untuk mempertahankan keamanan sesebuah negara bangsa maka ilmunya umpama pedang yang dihunuskan pada kehancuran Agama, Bangsa dan Negaranya sendiri. Marilah kita menghayati Hadith tersebut sekiranya pedang itu diibaratkan ilmu yang diberikan oleh Rasulullah kepada kita:

“Dari nas ra. Bahawasanya Rasulullah saw pada perang Uhud mengambil pedang seraya bersabda:” Siapakah yang mahu menerima pedang ini?” Maka setiap orang menghulurkan tangannya sambil berkata:”saya,saya”. Beliau bersabda lagi: “Siapa yang mahu menerimanya dengan penuh tanggunjawab?” maka semua terdiam, kemudian Abu Dujanah ra. Berkata:”Saya akan menerimanya dengan penuh tanggungjawab.” Maka pedang itu diberikan kepada Abu Dujanah ra. Kemudian ia menggunakannya untuk memenggal leher orang-orang musyrik.” (Riwayat Muslim).

Friday, December 16, 2011

JUAL ORANG LAGI UNTUNG DARI MENJUAL UNTA LAH!!

Sedih dan amat menyedihkan kebelakangan ini berlumba-lumba Pertubuhan Badan Bukan Kebajikan (NGO) tampil kononnya ingin menghulurkan tangan membantu kerajaan bagi memenangi PRU13. Bukan sahaja individu. Tapi apa yang terjadi seperti kata pepatah orang tua-tua “telunjuk lurus kelingking berkait”.

Betapa gembira dan bahagianya Perdana Menteri (PM) apabila sesetengah pejuang-pejuang NGO yang tampil di hadapan beliau berikrar, bersumpah dan bersetia untuk membantu akhirnya di belakang lain pula perbincangannya. Tiket mereka hanya satu iaitu menggunakan NGO untuk merentang jambatan antara “diri dan Perdana Menteri”.

Modal ayat mereka hanya satu ;” di belakang kami hampir ada ratusan dan jutaan pengikut Dato’Seri yang sedia turun padang meraih pengundi”. Tapi hakikat sebenar semua dah lari yang tinggal hanya borang-borang lama yang di isi bertahun dulu. Maksudnya “itu borang ada itu orang sudah tak ada”.

Keahlian NGO dijadikan modal seperti kepingan-kepingan kayu bagi membuat jambatan untuk sampai ke istana PM. Lagi banyak cari kayu lagi cepat buat jembatan, lagi cepat sampai, lagi cepat laba tercapai. Sana-sini ingin menunjukkan betapa ramainya ahli mereka, lalu di adakan pelbagai majlis untuk diresmikan oleh PM. Di celah kesibukan perasmian mulalah memohon itu dan ini agar diluluskan. Apa lagi kalau bukan laba dunia.

Kalau begitulah banyakknya keahlian NGO yang akan membantu kerajaan saya rasa mudah kerja untuk mengutip rakyat mendaftar undi yang sudah tentu akan berpihak kepada kerajaan sepertimana yang di laungkan oleh Presiden setiap NGO. Kalau setakat menunjukkan borang keahlian dan menghantar bas mengutip orang yang belum tentu pun ahli NGO untuk ditunjukkan kepada PM maka lupakanlah perjuangan anda demi Agama, Bangsa dan Negara. Cukuplah melaungkan pandangan, pendapat dan bantahan di jalanan.

Ada lagi taktik sesetengah NGO ini yakni apabila sebarang tuntutan mereka sebelum pilihanraya ini tidak dipenuhi maka mereka mula mengeluarkan senarai ahli untuk menggertak kerajaan atau pemimpin parti, kononnya inilah senarai ahli yang mereka ada untuk ditarik dari menyokong kerajaan. Kalau saya jadi PM satu saja ayat yang akan saya keluar iaitu “sudah la” atau “pigi daaa”.

Sudah-sudahlah para pemimpin NGO sekelian, janganlah menggunakan taktik kotor anda untuk menghulur bantuan kepada kerajaan seperti memberi tangan kanan menadah di tangan kiri. Kalau nama pun NGO maka sudah tentu ianya adalah gabungan kabajikan dan bukan golongan yang hendak mencorakkan kerajaan. NGO mampu memjadi tulang belakang kerajaan seperti sebilah pisau memotong makanan atau membunuh orang. Maka pilihlah untuk memoong makanan untuk dibahagikan kepada rakyat sekiranya tidak mampu digapai oleh kerajaan.

Oleh sebab itu tidak hairan sekiranya ada ahli-ahli parti politik ini merasa mual dengan karenah sesetengah pemimpin NGO. Mereka tidak pernah berjuang di dalam parti, tidak pernah turun ke kampung untuk berkempen dan tidak pernah merasa perit getir perjuangan ahli parti akhirnya berani menyuarakan tuntutan peribadi mereka. Dengan menonjolnya beberapa individu di dalam NGO mereka juga tidak ketinggalan untuk melobi pemimpin atasan bagi dipilih menjadi wakil rakyat. Persoalannya adakah ahli-ahli parti politik yang telah lama berjuang dan berkecimpung di dalam parti sudah mati?

Kalau sudah memilih untuk berjuang di dalam NGO maka berjuanglah dengan ikhlas tanpa mencuba untuk mendahului mereka yang telah lama berjuang di dalam parti. Jangan menambah minyak ke dalam api kebakaran. Jangan sampai orang dalam membakar rumah sendiri dek kerana marahkan orang luar yang berkelakuan lebih sudu dari bubur.

Hentikanlah perlakuan menjual orang kepada pucuk pimpinan akhirnya akan terbuka juga pekung di dada apabila keputusannya diumumkan di dalam PRU13 nanti. Kalau menang sudah tentu kredibiliti dan laungan anda sebagai pemimpin NGO anda terselamat tetapi kalau kalah anda tak ubah seperti “tukang karut” yang menggesek rebab sekadar memberi cerita dan impian kosong kepada pemimpin negara. Ketika itu sudah pasti NGO anda akan berlukut di tepi gantang. Ahli yang benar-benar ingin berjuang atas nama NGO akan menjadi seekor kancil yang mati di tengah 2 ekor gajah yang bodoh. Oleh itu tunjukkan kualiti ahli anda yang mampu bekerja menyelamatkan kerajaan dan bukan kuantiti yang hanya seperti buih-buih dilautan yang akan hilang setelah mendapat laba. Jangan cuba membuat kerja yang akan menghancurkan umat. Marilah kita mengingati pesanan Rasulullah s.a.w:

Dari Abu Hurairah ra. Dari Nabi Muhamad s.a.w, beliau bersabda: “Tinggalkanlah oleh sekelian apa yang telah kutinggalkan. Sesungguhnya yang menyebabkan kebinasaan umat-umat yang sebelum kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka dan mereka bertindak tidak sesuai dengan apa yang disampaikan oleh Nabi-Nabi mereka. Oleh kerana itu, bila aku melarang sesuatu kepada kamu sekelian maka jauhilah, dan bila aku memerintahkan sesuatu maka kerjakanlah sekuat tenaga.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

RAKYAT BERKEHENDAK KEPADA PEMIMPIN ATAU SEBALIKNYA?

Inilah yang dikatakan dunia sudah terbalik. Kalau dahulu semua rakyat sangat berkehendak kepada pemimpin kerana mereka nampak pemimpin seumpama sebuah pohon yang rendang dan teguh. Bukan sahaja dapat memberikan perlindungan tetapi juga mampu mengeluarkan buah-buahan yang segar untuk dinikmati.

Kalau sekarang bagaimana? Kenapa rakyat kebanyakkannya sudah muak dan menyampah dengan pemimpin sehingga mereka sudah tidak peduli siapa bakal pemimpin mereka. Semuanya adalah kerana pemimpin sekarang umpama sepohon pohon yang gersang dan tidak berbuah. Sudahlah gersang, tidak berbuah malahan masih juga tidak mahu ditebang dan sanggup duduk di kawasan tersebut sampai reput di makan anai-anai. Itulah puncanya mengapa pemimpin bukanlah lagi satu keperluan kepada rakyat. Bagi mereka sesiapa sahaja yang bakal mengganti akan serupa itulah juga. Tahun demi tahun begitu jugalah kisah seorang pemimpin yang akan berulang-ulang.

Sedih melihat bagaimana Allah telah menarik hikmah seseorang pemimpin. Jauh bezanya dahulu dan sekarang. Bukanlah kerana ada pentas alternatif untuk rakyat bersuara seperti media internet dan sebagainya. Tetapi kerana perlakuan pemimpin itu jauh berubah dibandingkan dahulu. Pemimpin dahulu boleh diibaratkan seperti seorang peneroka yang bukan sahaja meneroka tetapi juga menanam dan mengutip hasilnya untuk dikongsikan bersama rakyat. Sedangkan pemimpin sekarang sama seperti penjajah. Mereka datang, teroka negara lalu dijajah untuk diri sendiri dan menjadikan rakyat tempatan sebagai hamba abdi yang hanya bekerja untuk penjajah.

Keadaan perubahan pemimpin sudah dihidu rakyat. Cuma sesetengah pemimpin sahaja merasakan bahawa mereka selamat kerana berada di dalam satu parti yang gagah. Sedih melihat apabila pemimpin bukan sahaja ditolak tetapi dimaki dan dicarut seperti seekor anjing ditepi jalan. Mengapa keadaan ini berlaku? Bukan kerana salah rakyat tetapi salah pemimpin itu sendiri yang kurang muhasabah. Kata pepatah Inggeris “You get what you give”.

Terang lagi bersuluh sekarang apabila kita melihat dari akhbar dan media betapa hinanya diri sesetengah pemimpin yang sanggup turun padang membuat perkara yang belum pernah dibuat sebelum ini semata-mata ingin mengambil hati rakyat dan amat berkehendakkan sokongan rakyat. Apa yang amat dikhuatiri keadaan ingin mengambil hati rakyat yang berlebihan ini suatu hari nanti setelah selesai pilihanraya tidak mampu lagi dibuat oleh pemimpin tersebut. Persoalannya apakah kita sekali lagi akan mengalami keadaan cuaca politik yang tidak menentu di masa depan?

Tidak salah apabila seorang pemimpin itu turun ke bawah dan bersama rakyat, melakukan perkara-perkara yang belum pernah mereka lakukan sebelum ini. Namun biarlah keadaan tersebut akan menjadi satu perkara yang istiqomah kepada setiap pemimpin dan bukannya bermusim. Kerana musim yang tidak menentu inilah akan membawa kepada tsunami yang besar.

Oleh sebab itu bagi pemimpin yang amat berkehendakkan sokongan rakyat kali ini harus memikirkan bahawa setiap aktiviti yang dijalankan akan berterusan selagi mereka memimpin. Rakyat sekarang sudah celik segala-galanya dan bukan seperti dahulu. Kalau dahulu bantuan amat diharapkan dari pemimpin. Manakala sekarang banyak rakyat sudah mampu berdiri di atas kaki mereka sendiri ada atau tanpa pemimpin. Banyak peluang sudah terbentang di depan mata, maka pemimpin yang mereka perlukan hanya sekadar pelengkap negara dan bukan lagi pelengkap kehidupan mereka. Sebab itulah ketika rakyat yang berkemampuan berdiri di atas kaki mereka ini mula melihat kemampuan akhlak melebihi dari kemampuan kehendak materi.

Dunia sudah terbentang luas menghamparkan peluang bukan sahaja di dalam negara. Di saat inilah pemimpin harus memfokaskan untuk menanam semangat patriotisme mencintai tanahair melebihi dari mencintai para pemimpin dan parti itu sendiri. Agar tidak akan berlaku sebarang kemungkinan rakyat akan meninggalkan negara atau menjual maruah negara semata-mata kerana kebencian mereka ke atas pemimpin menebal. Akhirnya kerana seekor nyamuk habis kelambu dibakar. Kerana nila setitik habis susu sebelanga.

Maka pemimpin akan datang seharusnya mempunyai kebijaksanaan dan patriotisme yang tinggi untuk diserapkan kepada rakyat dan bukan sahaja berguni-guni kata manis meraih undi. Negara sedang diperhatikan oleh orang luar dan bukan sahaja dalam. Bagi pengkhianat negara yang tidak mempunyai patriotisme yang tinggi dengan mudah akan termakan hasutan luar bagi membuka benteng negara untuk diserang secara materi dan psikologi. Kepentingan negara harus diutamakan di atas segala-galanya. Perubahan minda dan kemampuan rakyat juga harus dikaji semula agar kehendak mereka selari dengan kehendak pemimpin dan bukan disebaliknya. Oleh itu setiap pemimpin tidak boleh lagi merasakan bahawa rakyat begitu berkehendakkan apa yang berada di tangan mereka tetapi rakyat amat berkehendakkan apa yang ada diminda pemimpin tersebut bagi melahirkan idea baru bukan sekadar untuk hidup tetapi juga bekalan untuk hari kemudian. Ilmu pemimpin amat diutamakan dan bukan lagi materi sepertimana yang pemimpin rasakan. Apabila rakyat sudah bijak maka mereka mula mengharapkan seorang pemimpin yang lebih bijaksana, supaya tidak terus menerus diperbodohkan oleh janji manis pemimpin setiap kali menjelangnya pilihanraya.

Oleh itu pengenalan “wassatiyah” yakni kesederhanaa amat baik untuk diaplikasikan kepada pemimpin. Bermakna kalau berkempen besederhanalah. Kalau berjanji juga besederhana juga agar dapat dilaksanakan. Kalau beraktiviti juga besederhana agar dapat berterusan. Sekiranya ini dapat dilaksanakan InsyaAllah rakyat yang semakin bijak dapat menilai antara intan dan permata. Jangan sampai ada pemimpin yang menyuruh rakyatnya berbuat baik sedangkan mereka sendiri tidak melaksanakannya seperti kata Abu Zaid Usamah bin Zaid Haritsah ra berkata:

“Saya dengar Rasulullah saw bersabda: “Nanti pada hari kiamat ada seorang yang di datangkan kemudian dilemparkan ke dalam neraka kemudian keluarlah usus perutnya dan berputar-putar di dlama neraka sepertimana berputarnya keldai yang sedang berada di dalam penggilingnya, lantas para penghuni neraka berkumpul seraya bertanya:” Wahai fulan, kenapa kamu seperti itu?” Bukankah kamu dahulu menyuruh untuk berbuat baik dan melarang dari perbuatan mungkar?” Ia menjawab;” benar, saya dulu menyuruh untuk berbuat baik tetapi saya sendiri tidak mengerjakannya, dan saya melarang dari perbuatan mungkar tetapi saya sendiri malah melakukannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).