ASSALAMUALAIKUM

Wednesday, December 8, 2010

ANWAR IBRAHIM UMNO VS ANWAR IBRAHIM PKR

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Sebelum membuat keputusan untuk menulis buat kali pertama dalam sejarah penulisan saya, beribu malahan jutaan persoalan bermain di minda. Apakah penulisan yang jujur ini akan kemudiannya di salah ertikan oleh mana-mana pihak? Tetapi bila difikirkan semula ruangan ini adalah ruangan Ikut suka Aku, maka inilah pendapat yang paling jujur ingin diluahkan. Namun seandainya timbul pelbagai spekulasi, maka jawapan saya mudah sahaja, Ikut Suka Aku. Hidup manusia seharusnya dilahirkan merdeka minda dan jiwa dan begitu juga dalam kehidupan seharian. Pendapat dan pandangan penulis adalah sesuatu yang harus diluahkan, dan terserah kepada siapa yang nak baca dan sesiapa yang nak buat spekulasi. Itulah prinsip seorang penulis harus bertanggung jawab ke atas setiap barisan ayat yang dicoretkan.

Sebenarnya saya sudah merasa mual dan loya tekak ketika membuka akhbar dan internet tak ada cerita lain sehingga paling memualkan sekali apabila ada satu statement dari US yang mengatakan bahawa “ Anwar is all about Malaysia”. Apa yang ingin mereka maksudkan bahawa apa sahaja keputusan yang bakal dibuat kepada Dato Seri Anwar Iibrahim (DSAI) akan mencerminkan integriti Malaysia secara keseluruhan. Siapa DSAI ni? Sehingga begitu kuat dapat menaik dan menjatuhkan maruah sebuah negara? Jawapan dan tindakan sebenarnya ada pada kita terutamanya orang media.

Ini adalah pendapat dan pandangan saya secara peribadi. Kalau sekadar kes liwat ingin saya bertanya kepada pihak polis. Apakah selama ini kita tidak pernah dengar tentang berpuluh orang yang melaporkan kes liwat? Apakah ini pertama kali kes seumpama ini di war-warkan? Siapa Saifol? Apakah seorang yang tertuduh diliwat harus melaporkannya kepada Timbalan Menteri dahulu dan bukan ke balai polis dahulu? Apakah Saifol ini keturunan Raja Atau anak VVIP sehingga apabila diliwat harus mencari TPM? Apakah Saifol ini diliwat oleh orang kerjaan? Kalau diliwat oleh seorang dari parti pembangkang mengapa harus takut? Tak mungkin Polis begitu bodoh tidak akan melayani beliau tak perlu berjumpa dengan TPM kerna banyak lagi nasib yang sama menimpa orang yang tak seglamour Saifol tapi tak ada pula yang pergi berjumpa dengan TPM. Anak Cina Makan pengat jadi sendirilah mahu ingat.

Rakyat Malaysia saya pasti sudah jelak dengan berita yang begini terutamanya melibatkan DSAI. Perkara sebegini seharusnya janganlah disensasikan. Kalau rumah DSAI kena rompak satu hari apakah satu Malaysia harus turun menyiasat? Apa yang dikatakan oleh pihak USA tentang Malaysia is all About Anwar sebenarnya bukan atas perbuatan mereka tetapi atas perbuatan kita sendiri. Saya amat menyalahkan pihak media dan juga mereka-mereka tidak kiralah di dalam atau di luar kerajaan yang membuka mulut dan melayan pihak media. Seharusnya mereka ini diam dan kata “no Komen” sebab ini bukan persoalan negara ini adalah persoalan individu dengan individu yang langsung tak ada kaitan dengan kerajaan, jadi buat apa nak sibuk-sibuk jaga tepi kain masalah peribadi orang lain. Kalau DSAI nak buat kenyataan itu hak dia tapi kalau pihak media yang di undang tak mahu datang juga itu adalah hak peribadi mereka juga. Sorang tepuk gendang yang sorang lagi pun menari. Kalau menari di atas pentas yang sama tak apa lah juga . Semua bercakap ini adalah konspirasi kerajaan untuk mencemarkan imej DSAI, pada padangan saya kalau betullah konspirasi kerajaan maka hanya budak buta tuli saja yang akan percaya. Tapi bagaimana pula kalau saya katakan ini adalah konspirasi DSAI sendiri untuk menambahkan simpati dan populariti kepada beliau? Bagaimana? Kalau Saifol kenal TPM, Si Saifol ini lebih akrab lagi dengan DSAI sebab pernah berkhidmat selama 3 bulan dengan beliau? Apakah ada orang pernah terfikir perkara ini? Begitu yakin sekali DSAI sampai sanggup bertanding dan menyuruh isterinya melepaskan jawatan penting? Macam sebuah drama tersusun pula. Maklum lah saya orang teater bila ada plot mesti ada sub plotnya. Hanya penulis skrip sahaja yang yakin apakah akhirnya jalan cerita yang ditulis kita hanya penonton tentulah kita tak tahu kesudahan cerita sehinggalah tamat tayangannya. Persoalannya sekarang siapa penulis skrip yang sebenar????? Ingat jangan tak ingat jadi sendirilah mahu ingat!!!

Hanya satu sahaja bukti semua pemimpin ini samada di dalam UMNO atau PKR yang dapat membuktikan kepada rakyat cinta mereka kepada Agama, bangsa dan Tanahair iaitu dengan mengUMNOkan semula DSAI. Hanya dengan cara ini sahaja kedua-dua pihak harus menunjukkan “gentlemen” mereka masing-masing. DSAI minta masuk UMNO dan pihak UMNO pula memberi ruang untuk DSAI. Kalau betul-betul nak bertanding maka kita bertanding atas satu pentas dan bukan bertumbuk dan berlawan di luar rumah. Sampai jiran tetangga masuk campur.

Banyak jawapan yang boleh dijawab andai kata DSAI bertanya kenapa beliau mesti masuk UMNO dan bukan sebaliknya. Jawapannya mudah sebab UMNO tidak salah dan tetap unggul selama 65 tahun teguh. Siapa yang salah ? Jawapannya lagi mudah bukan Presidennya tetapi segelitir pemimpin UMNO yang mencacatkan pertubuhan ini. Mengapa kita tidak boleh menyalahkan Presiden parti kerana beliau tidak bodoh tetapi telah di perbodohkan oleh segelintir pemimpin UMNO yang suka mengampu, menipu dan merapu Presiden parti. Di dalam sejarah Malaysia 5 Presiden UMNO yang dilantik semuanya “Mr Clean”. Tetapi yang beza hanyalah penasihat-penasihat mereka sahaja. Saya percaya walau sebaik mana pun seseorang Presiden UMNO atau sebijak mana sekali pun mereka tidak akan mampu melaksanakan tugas mereka secara bersendirian. Pasti mereka akan mempunyai orang-orang kepercayaan yang jujur dan amanah melaksanakan inspirasi mereka. Kita harus ingat orang yang baik sebenarnya bukan sahaja digemari oleh malaikat tetapi juga syaitan akan berlumba-lumba untuk mendekati mereka. Jadi tak salah lah kalau terdapat beberapa peranan syaitan di keliling Pak Lah tak cukup di luar sampai di dalam rumah pun Pak lah kena hadapi.

Cukuplah selama ini kita cuba memperkasakan UMNO dengan memikirkan kepentingan rakyat tertentu. Sudah sampai masanya kita harus memikirkan bagaimana untuk menjaga hati rakyat secara keseluruhannya. Kalau DSAI begitu berani dan lantang bersuara maka cubalah masuk UMNO kembali dan kita lihat bagaimana jaguhnya beliau akan bersuara dan bertanding di atas pentas yang sama. Manakala ahli dan pemimpin Melayu terutamanyan di kalangan pemuda yang begitu gagah perkasa menjulang keris ke sana ke mari maka sambutlah DSAI dalam UMNO dan berjuanglah secara terbuka dan dari situ kita akan lihat siapa yang sebenarnya gagah dan siapa sebenarnya hanya “gah” kata orang Kedah.

Negara yang sudah hampir 62 tahun merdeka tak mungkin boleh diperintah oleh PKR. Apakah kita nak berpresidenkan bangsa lain di bumi dan tanah Melayu ini? Jadi janganlah nak berangan yang DSAI akan bertongkat langit. Ajal dan maut di tangan Allah. Katakan hari ini PKR menang dan memerintah Malaysia DSAI di lantik menjadi Perdana Menteri tup tup mati tak sampai setahun memerintah siapa agaknya akan menggantikan tempat beliau dah tentulah Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang atau Karpal Sing. Percayalah, baru menang di peringkat negeri pun dah kelam kabut dibuatnya. Nasib ada Raja Melayu di Perak dan Selangor kalau tidak alamat MB semua tak merasalah dari kalangan Melayu. Jadi fikirkanlah masak-masak. Siapa DSAI? Apa lah nak di takutkan kepada seorang manusia bernama DSAI.

Rakyat Malaysia akan mendapat bukti yang nyata akan kesetiaan DSAI kepada bangsanya sekiranya beliau memperlawakan diri untuk memasuki UMNO semula. Tetapi selagi beliau berada di atas pentas PKR jangan haraplah bangsa Melayu akan terbela. Kalau parti macam bubur chacha India, Cina dan Melayu duduk dalam satu magkuk macam ubi keledek, agar-agar dan kacang dalam bubur chacha maka semua kita akan makan, tak ada lagi perkataan pilih bulu, tak kan ada lagi agenda Melayu yang akan disebut adalah agenda sekutu, sebab semua bangsa ada dalam mesyuarat bersekutu. Akhirnya apa kamu makan saya pun mahu makan.

Dengan tegas saya menyatakan UMNO tetap pusat dan pentas perjuangan yang dulu, kini dan selamanya relevan. Yang tidak relevan hanya beberapa pemimpinnya sahaja yang banyak menipu, mengampu dan merapu pada Presiden parti. Itu yang harus ditukar dan bukan parti yang ditukar. Tun Mahathir sendiri kata yang lemah adalah pentadbir Pak Lah jadi mengapa Pak Lah harus berundur?Suatu waktu dahulu la. Kita undurkan sahaja mereka-mereka yang tidak melaksanakan dan merealisasikan tugas yang diamanahkan Pak Lah, dahuluTO FULFIL PROMISES IS THE HIGHEST FORM OF INTEGRITY
. Biarlah beribu orang mengatakan Pak lah lemah atau kurang bijak tetap boleh dikuatkan dan dibijakkan tetapi bagaimana pula dengan pemimpin yang tidak amanah dan bersih? Amanah dan bersih akhlak bukanlah sesuatu yang boleh di ajar dan ianya datang dari peribadi yang lahir secara fitrah dan dikuatkan dengan kekuatan amalan agama dan pegangan kepada Al Quran dan sunnah. Ilmu sedemikian tidak boleh di ajar seperti pelajaran di dalam buku tetapi ianya dianugerahkan atas Ihsan dari Allah. Ramai yang solat dan menyebut nama Allah tetapi tidak terlahir secara peribadi, ada sahaja tohmahan dan fitnah yang akan menimpa diri seseorang itu. Apakah ini semua perbuatan Allah atau diri sendiri? Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat.

Janganlah kita hanya mempersoalkan tentang seorang individu yang belum tentu akan memanafaatkan kita. Sekarang pun Allah telah menurunkan bala dengan menimbulkan beberapa peristiwa agama kita Islam makin di hina hanya karena kita sibuk menjaga dan memperkatakan tentang seorang manusia kita mula mengaibkan sesama seagama akhirnya agama kita di hina dan di caci hanya kerana kita gagal menunjukkan akhlak sebenar dari sebuah agama bernama al Islam. Hayatilah kata-kata salah seorang tokoh pemimpin Islam terdahulu iaitu ABDUL A’LA MAUDOODIY RH.A :
“Tiga perkara yang membawa kesesatan :
1. Perhambaan kepada nafsu
2. Mengikut nenek moyang demean membabi buta.
3. ketaatan kepada pihak yang selain dari Allah

Balasan kepada tidak berlaku adil kepada kitab Allah

“Adalah tidak mungkin sesebuah negara yang mempunyai wahyu Allah akan duduk atau berada di dalam penderitaan akan ditindas oleh pihak-pihak lain, akan disepak ke kiri dan ke kanan atau akan diikat lehernya serta dicucuk hidungnya dan di bawa ke arah mana sahaja oleh pihak-pihak lain. Sesebuah negara akan mengalami akibat ini apabila ia berlaku tidak adil (zalim) terhadap wahyu Allah”

Punca kehinaan umat Islam

“Keupayaan orang-orang kafir untuk menguasai kita dan kehinaan kita ditangan mereka pada setiap keadaan adalah merupakan bentuk siksa dari Allah kepada kita kerana kita tidak tahu menghargai ni.mat Islam yang Allah berikan kepada kita.

Bentuk kesyukuran terhadap nikmat allah yang terbesar (Islam)

“Bentuk kesyukuran yang terbaik ialah demean menjadi pengikut-pengikut Nabi Muhamad s.a.w yang taat,”
Mereka yang mempunyai imam di hati tidak akan membiarkan kemungkaran berleluasa juga ia tidak teragak-agak untuk berjuang di jalan Allah s.a.w
Matlamat akhir dari usaha-usaha kita sedunia ialah untuk melakukan revolusi kepimpinan di mana pengaruh mereka yang rosak dan pembuat maksiat dihapuskan supaya teraju kepimpinan adalah berada di tangan orang-orang yang benar dan takut kepada allah.”

Jadi ingat dan masukkanlah kata tokoh tersebut ke dalam hati dan minda kita. Tidak guna kita takut sesama manusia tidak ada faedahnya. Apa yang kita harus takut adalah pada manusia yang takutkan Allah dan bukan manusia yang tidak takut pada manusia. Kerana orang yang takutkan Allah tidak akan keluar mencabar sesama seagama dan sebangsa untuk merosakkan minda dan jiwa masyarakat. Orang yang takutkan Allah akan mengajak kita untuk menanti mahkamah akhirat dan bukan mengheret semua masyarakat ke mahkamah dunia. Ingat negara ini bertanggungjawab untuk menjaga 26 juta rakyat Malaysia dan membela berjuta kes rakyat yang susah dan hina dina dan bukan hanya menumpukan kepada seorang manusia yang telah Allah anugerahkan segalanya suatu ketika dahulu yang pernah merasa, tahta, harta dan kuasa. Tinjau-tinjau lah mereka yang lain juga yang pernah dan sedang berkorban untuk negara tetapi tidak pernah mereasa apa yang pernah DSAI rasakan dahulu. Cukuplah berita-berita tentang beliau, rakyat sedang dahagakan berita kesusahan, penderitaan dan untuk nasib rakyat Malaysia dalam menyelesaikan masalah perut yang kelaparan, anak yang terbuang dan terbiar. Berita inilah yang harus disampaikan untuk kita berbakti beramai-ramai tetapi bukan berkumpul dan berdemostrasi membela satu manusia. Muhasabahlah wahai rakyat Malaysia wahai pemimpin Negara!!!!


(article 2008)

No comments:

Post a Comment