ASSALAMUALAIKUM

Monday, September 10, 2012

BILA PENDESAK JADI TERDESAK

Hari Kemerdekaan pada tahun 2012 ini telah mencatatkan satu tragedi yang tidak mungkin dapat kita lupakan sebagai rakyat Malaysia terutamanya apabila Negara kita begitu dikenali dengan akhlak dan nilai budi yang tinggi, apabila satu insiden memijak gambar Perdana Menteri serta menukar jalur gemilang telah dilakukan oleh mereka yang sudah hilang moral dan akhlaknya. Peristiwa tersebut amat memalukan dan sungguh tidak bertanggungjawab. Mulai dari BERSIH sehinggalah kepada menukar jalur gemilang kelihatan pendesak yang terdiri dari pembangkang semakin hari semakin terdesak mengadakan pelbagai demo atau tunjukperasaan untuk menjatuhkan kerajaan. Tanpa mereka sedari satu demi satu perbuatan mereka telah membuktikan bahawa mereka sebenarnya begitu terdesak, kerana sudah hilang modal untuk menutup segala kelemahan mereka sebagai pemimpin. Kita harus menerima hakikat bahawa perbuatan yang mengalakkan anak belia kita di Malaysia semakin hilang jatidiri dan wajah kenegaraan adalah di atas tunjuk ajar dan provokasi dari pihak pembangkang sendiri terutamanya dari DAP dan PKR. Siapa dalang yang telah menjadi pemimpin contoh kepada anak-anak belia ini menjadi pendesak kalau bukan pemimpin terdesak yang bernama Ambiga, Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng. Ambiga telah menganjurkan BERSIH, Anwar pula dilambangkan sebagai penyokong tegar LGBT manakala Lim Guan Eng juga pernah memijak gambar 3 adun di Pulau Pinang. Ketiga-tiga pemimpin ini telah jelas menunjukkan betapa kelakuan yang tidak bermoral mereka telah menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia menjadi hilang akhlak, hilang moral dan hilang jatidiri mereka serta mulai mengikuti apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab ini. Inilah yang dikatakan “bila bapa kencing berdiri, anak kencing berlari”. Tidak dapat saya bayangkan sekiranya mereka diberikan mandate untuk memimpin Negara ini, apakah yang akan berlaku kepada anak-anak kita. Nauzubillah Ketika malam kemerdekaan kita semua sedia maklum bahawa berpuluh malah beratus pelancong luar Negara turut membajiri kawasan sambutan malam kemerdekaan tersebut. Apakah pandangan mereka ketika membawa pulang gambar-gambar kenangan ke Negara mereka. Apakah photo-photo seperti memijak gambar Perdana Menteri dan menukar bendera yang akan dibawa oleh mereka ke Negara mereka? Apakah ini yang sudahpun dirancang dan difikir oleh pemimpin-pemimpin terdesak ini? Bagi sesetengah pendesak yang terdesak ingin menukar bendera pada pandangan saya elok saja mereka menukar Negara. kerana belum ada dalam sejarah mana-mana Negara rakyatnya mendesak untuk kerajaan mereka menukar bendera. Perbuatan tersebut telah menunjukkan bertapa bencinya mereka terhadap Negara mereka Malaysia kerana bendera adalah lambing sesebuah Negara. Sekiranya mereka bencikan bendera bermakna mereka membenci Negara ini juga maka mustahil bagi seseorang rakyat bagi sesebuah Negara untuk merasa bahagia tinggal di Negara yang mereka benci, maka eloklah mereka memilih mana-mana Negara yang mempunyai dasar seperti komunis, demokrasi tidak berpelembagaan, sosialis atau mana sahaja Negara yang mengamalkan dasar yang dikehendaki oleh mereka. Itu lebih praktikal dari terus menerus menjadi seorang rakyat yang mendesak sehingga terdesak. Ada pepatah Inggeris berkata “ like a scorpion behind a turtles neck”. Inilah pepatah yang sesuai diberikan kepada 3 pemimpin pembangkang Ambiga, Anwar dan Lim Guan Eng “Sekiranya mereka sudah dilihat akan mati maka mereka akan pastikan semua mati bersama mereka” itulah penjelasan kepada pepatah Inggeris tersebut. Namun saya masih yakin dan percaya bahawa Malaysia adalah bumi bertuah yang akan senantiasa mendapat perlindungan dari Allah. Bukan semua rakyat Malaysia bersetuju dengan tindakan sesetengahnya yang tidak bermoral ini, terutamanya mereka yang mempunyai pegangan agama yang kuat. InsyaALlah marilah kita bermohon agar Allah melindungi kita dari ancaman dan gejala provokasi yang kian menular di kalangan rakyat Malaysia serta tanamkan dengan penuh keyakinan bahawa Allah telah pun menurunkan seorang Rasul (Muhamad s.a.w) sebagai pemimpin dan pembimbing kita yang terbaik. Oleh itu janganlah kita mengikut selainnya seperti firman ayat dibawah ini: Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama, meskipun orang-orang musyrik benci. (Qs Ash Shaf/61:9)

Thursday, July 26, 2012

PELUANG KERAJAAN MENINGKATKAN EKONOMI ORANG ISLAM DI BULAN RAMADHAN

Baru-baru ini kita terbaca tentang harga tapak bazar Ramadhan yang telah dinaikkanharga sewaannya d di Selayang. Berita ini amat menyedihkan. Lebih menyedihkan apabila wakil pertubuhan penjaja menyatakan bahawa sudah hampir dua tahun pemberian kota gerai mereka telah ditarik, yakni sebanyak 20 peruntukan gerai mereka tidak lagi diperuntukkan. Malahan kebanyakkan gerai telah diberikan kepada penjaja warga asing. Kerajaan negeri Selangor seharusnya lebih prihatin di dalam persoalan ini. Malahan juga tidak terkecuali kepada negeri-negeri lain. Apabila difikirkan semula tentang tapak bazar Ramadhan mengapa ianya harus dinaikkan sememangnya tidak wajar sekali. Saban tahun tapak tersebut beroperasi, tidak pula kita nampak sebarang pembaik pulihan tapak tersebut, malahan masih sama. Apa yang menghairankan siapakah yang telah, sedang dan akan mengaut keuntungan yang besar jika bukan kerajaan maka individu mana? Inilah peluang yang harus difikirkan oleh kerajaan untuk menaikkan taraf ekonomi Islam sekiranya mereka begitu prihatin dengan masyarakat Islam. Perniagaan yang membawa keuntungan besar setahun sekali kepada umat Islam amat wajar, dan amat selari dengan peruntukan perlembagaan yang menyatakan Negara ini merupakan sebuah Negara Islam. Kalau sekadar memikirkan tentang pembangunan masjid dan ilmiah serta agama sahaja tidak mencukupi. Malahan ekonomi juga sebenarnya mampu membawa Islam lebih jauh maju di dalam kehidupan masyarakatnya. Hari demi hari kita melihat umat Islam di dalam Negara ini mengalami kerugian untuk menaikkan taraf ekonomi mereka kerana begitu fokasnya kerajaan kepada bangsa Melayu. Orang Islam terdiri oleh pelbagai bangsa. Kita juga telah mengetahui sekiranya peruntukan seperti sijil halal hanya diberikan kepada umat Islam di dalam Negara ini, maka taraf ekonomi umat Islam pasti meningkat. Itu juga telah kita kongsikan bersama bangsa yang berbeza agama di dalam Negara ini. Bercakap pula tentang ekonomi umat Islam yang hanya diberikan peluang setahun sekali di bulan Ramadhan juga semakin hari semakin ditarik dari kita, dengan mewujudkan pelbagai birokrasi. Sekiranya kita berpendapat bahawa hanya kaum Cina yang pandai berniaga, maka terdapat ramai kaum Cina yang beragama Islam di Malaysia. Tentulah sekiranya kita membuka pandangan dengan lebih luas tanpa terlalu jumud dengan hanya bangsa Melayu maka ekonomi kita umat Islam pasti akan mengatasi segala bangsa yang beragama lain di sini. Mengatakan wujudnya akta di dalam perlembagaan persekutuan Islam sebagai agama resmi sememangnya mudah. Namun menjumudkan Negara ini hanya kepada bangsa Melayu itulah yang merugikan. Pelbagai peluang yang boleh kerajaan berikan untuk meningkatkan ekonomi umat Islam dinegara ini, namun tetap sahaja mereka memilih keutamaan bangsa melebihi agama. Kemampuan dan kepakaran bangsa lain yang beragama Islam akhirnya pupus begitu sahaja. Satu perkara yang amat memilukan lagi apabila warganegara asing yang tidak kita ketahui latar agama mereka mengambil kesempatan menumpang hasil ekonomi Negara kita di dalam bulan Ramadhan. Seperti satu kisah yang pernah berlaku di sebuah bazar Ramadhan di mana salah seorang penjual makanan warganegara Indonesia yang bukan beragama Islam turut mengambil kesempatan meraih keuntungan di kalangan orang Islam. Sudah tidak menjadi pertikaian atau kehairanan sekiranya kita pernah ke Negara jiran mendapati penjual makanan mereka yang memakai songkok tetapi tidak beragama Islam. Namun kerajaan kita terutamanya majlis agama seharusnya turun padang untuk memeriksa para peniaga yang sedemikian supaya budaya berpakaian ala Islam tetapi menganut agama lain tidak mengalir masuk ke Negara kita. Janganlah kita seperti “menang sorak kampong tergadai” ketika Allah memberikan Negara ini dengan limpah rahmatNya ke atas rezeki buat rakyat kita akhirnya dimonopoli oleh mereka yang tidak menganut Islam. Banyak ruang yang boleh dimenafaatkan di Malaysia bagi meningkat ekonomi umat Islam tetapi kerana tiada ketegasan, dan terlalu bersikap pemurah maka kita umat Islam di Negara ini semakin kehilangan peluang menjana ekonomi di Negara kita sendiri. Kita sudah sedia maklum bahawa walaupun kota 30% bumiputera telah diberikan oleh kerajaan kepada bangsa Melayu, masih gagal untuk kita penuhi, maka jangan sampai umat Islam yang dianuti pelbagai bangsa di Negara ini juga akan turut hilang satu persatu, hanya kerana kerajaan terlalu bersikap toleransi. Kita boleh bertoleransi dengan bangsa tetapi bukan atas dasar agama. Peruntukan halal adalah peruntukan dari Allah untuk umat Islam, begitu juga peluang perniagaan buat umat Islam di bulan Ramadhan juga Allah bukakan kepada umat Islam, maka mengapa harus kita bertoleransi? Terdapat pelbagai badan dan persatuan yang berlabelkan bangsa, sudah tiba waktunya kita mengadakan satu majlis tindakan ekonomi Islam seperti yang telah diwar-warkan untuk bangun dan membela apa yang telah menjadi haq kepada umat Islam. Ekonomi bangsa yang bukan beragama Islam begitu luas yang tidak boleh ditumpang atau dikongsi oleh orang Islam seperti perniagaan arak, rumah urut, kelab malam dan rumah perjudian, maka wajarlah sekiranya kita juga mengariskan satu halangan buat mereka untuk tidak berkongsi apa yang telah dijadikan satu peruntukan kepada umat Islam seperti sijil halal dan bazar Ramadhan. Kita hanya mempunyai dua ruang untuk benar-benar menjana ekonomi bagi umat Islam berbanding dengan bangsa yang beragama lain, jadi kenapa tidak kita pergunakannya secara mutlak. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya umat Islam yang berniaga di luar Negara lebih Berjaya jika dibandingkan dengan negera sendiri, kerana mereka telah mengawal pemberian sijil halal secara mutlak tanpa dikongsikan dengan bangsa beragama lain. Banyak yang berkata bahawa umat Islam kurang di dalam usaha pengeluaran, namun sekiranya para peniaga francaise beragama lain contohnya ingin mengeluarkan produk mereka dengan memakai sijil halal maka seharusnya diwajibkan supaya bangsa itu mengajar umat Islam bagaimana untuk memproses dan menjadi pengeluar barangan mereka dan bukan dengan bertindak hanya mengambil pekerja umat Islam sahaja atau rakan kongsi yang mempunyai saham yang kecil di dalam kilang pengeluaran mereka. Apa sahaja barangan yang ingin masuk ke Negara ini harus di franchaisekan secara total kepada umat Islam, maka sudah tentulah kekayaan umat Islam akan meningkat. Sekiranya apa yang berlaku hari ini tidak difikirkan oleh kerajaan maka penduduk Malaysia yang berbangsa Melayu dan bangsa yang beragama Islam akan ketinggalan terus untuk mengejar peningkatan ekonomi mereka di Negara sendiri. Iqraq! “Dai Abu Hurairah ra. Berkata, Rasulullah saw bersabda:”Dahulu Bani Israil selalu dibimbing oleh Nabi, setiap kali seorang Nabi wafat maka digantikan oleh Nabi yang lain, dan bahawasanya tidak ada Nabi sesudah aku, yang aka nada setelah aku nanti adalah para khalifah, bahkan akan sangat banyak”. Para sahabat bertanya:”Apakah yang Tuan perintahkan untuk kami?”Beliau bersabda:”Tepatilah bai’atmu yang pertama ini kemudian berikanlah kepada mereka apa yang menjadi haqnya, dan bermohonlah kepada Allah agar apa yang menjadi haqmu terpenuhi kerana sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban kepada mereka tentang bagaimana cara mereka memimpin umat.” (Riwayata Bukhari dan Muslim).

APABILA RAKYAT MISKIN MINDA

Bukan mudah untuk menjadi seorang Menteri Besar. Apatah lagi ketika berhadapan dengan pelbagai budaya dan pemikiran rakyat tempatan. Setiap negeri ternyata mempunyai cara hidup dan pemikiran masing-masing bersesuaian dengan suasana sekeliling tempat mereka dibesarkan. Oleh itu adalah tidak wajar andaikata kita ingin membanding-bandingkan pembangunan antara satu negeri dengan sebuah negeri yang lain. Ada negeri yang mahukan seorang pemimpin untuk masyarakat. Manakala ada juga penduduk negeri yang mahukan pemimpin yang membawa pembangunan. Maka apa yang wajar kita sebagai pemerhati dan masyarakat sekeliling membuat penilaian bagi seseorang Menteri Besar disesebuah negeri bukanlah berdasarkan apa pembangunan yang dibawa dan betapa majunya negeri di bawah pimpinan beliau sebaliknya, kita harus turun ke akar umbi dan bertanya sendiri masyarakat tempatan tersebut pandangan mereka terhadap Menteri Besar mereka. Alhamdulillah baru-baru ini saya diberikan Allah kesempatan untk berada di Terengganu selama 4 hari dan buat pertama kali diberikan kesempatan untuk menaiki teksi. Tidak berlebihan sekiranya saya katakan negeri Terengganu merupakan negeri kedua saya setelah negeri pertama saya dibesarkan iaitu Kedah. Saya pernah berkhidmat selama 10 tahun bersama dengan PEYATIM Malaysia untuk menyiapkan sebuah koleh anak Yatim di Setiu iaitu Kolej Teknologi Bistari dan pernah juga menjadi salah seorang ahli lembaga pengarahnya. Oleh itu menaiki teksi di sana memang suatu pengalaman yang baru kerana sebelum ini sering diambil dan dihantar oleh pekerja kolej. Ketika di dalam teksi saya berkesempatan bertanya beberapa pemandu teksi di sana tentang pandangan mereka terhadap kepimpinan yakni Menteri Besar mereka yang baru iaitu Dato Seri Ahmad Said. Antara 4 orang pemandu yang saya temui menyatakan bahawa mereka amat berpuas hati dengan kepimpinan beliau kerana beliau amat mesra rakyat. Kata mereka, ternyata pemilihan MB kali ini agak unik kerana Nampak seperti DS Ahmad Said bukanlah seorang yang mengharapkan dirinya untuk menjadi MB tetapi dipilih. Maka beliau hanya bekerja untuk rakyat dan bukan untuk diri beliau sendiri, kata mereka keadaan itu amat ketara. Dalam kesempatan yang sama bertemu dengan MB Ahmad Said, beliau menyatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh beliau bersama rakyat Terengganu bukan lagi masalah miskin harta tetapi mereka agak miskin minda. Maksud beliau bukanlah rakyatnya tidak pandai dan cerdik, Cuma agak sukar untuk membawa satu hala tuju bagi mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih global kerana “comfort zone” yang telah miliki selama ini. Seperti contoh Terengganu begitu terkenal dengan keropok lekornya. Maka untuk berkembang secara lebih global, maka mereka harus mengubah cara pembungkusan dan jenamanya, atau bersedia untuk bekerjasama dengan pihak lain. Inilah kesukaran yang dihadapi apabila para peniaga kecil ini amat senang dengan keuntungan dan pendapatan mereka secara kecil-kecilan. Mereka lebih senang berniaga dihadapan rumah atau berdekatan dengan tempat tinggal mereka. Bagi mereka apa yang mereka perolehi sudah mencukupi. Oleh itu amat sukar bagi kerajaan negeri untuk menjana pendapatan dari kepakaran yang mereka miliki. Akhirnya kerajaan negeri terpaksa menghabiskan banyak perbelanjaannya secara individu dan bukan kelompok bagi menigkatkan pendapatan dan pengeluaran harian mereka. Ternyata apabila kita melihat hanya dari luar sesebuah kepimpinan negeri, kita tidak harus membuat pelbagai andaian bahawa negeri itu tidak maju kerana kepimpinannya yang tidak mahir. Sebaliknya haruslah kita menyiasat dan menilai struktur budaya masyarakat setempat tersebut. Bagaimana cara mereka hidup dan berfikir. Kepimpinan bukan sahaja sekadar bermain politik dengan masyarakat tetapi seharusnya memahami dan mengikut kehendak sejajar dengan pemikiran masyarakat setempat. Membangunkan sesebuah negeri dengan prasarana yang hebat belum tentu dapat menambat hati mereka. Mungkin ia akan memberi satu impak nilai yang hebat kepada masyarakat luar, namun belum tentu kepada masyarakat setempat. Lihat sahaja Kelantan, mungkin kerajaan Barisan Nasional yang begitu ghairah di dalam menawarkan pembanguan, terlupa untuk benar-benar mengkaji apakah masyarakat Kelantan mengharapkan pemimpin untuk masyarakat ataupun seorang pemimpin untuk pembangunan. Pada pandangan saya bukan semua negeri menghendaki seorang pemimpin yang bijak pandai dalam membawa pembangunan untuk mereka, tetapi ada juga antara negeri yang lebih mementingkan siasah dan nilai diri seorang pemimpin itu melebihi dari nilai kebijaksanaannya di dalam pembangunan. Kata pepatah orang tua “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu lain pula bunyinya”. Maka bagi menghadapi pilihanraya akan datang adalah wajar bagi Perdana Menteri menilai semula bakal-bakal calun yang sesuai untuk diletakkan dinegeri masing-masing. Ikutlah apa kehendak rakyat tempatan dan bukan semata-mata wawasan pembangunan semata. Nilai murni dan siasah seseorang bakal Menteri Besar mahupun Ketua Menteri juga harus dinilai mengikut kesesuaian negeri masing-masing. Pucuk pimpinan bukan sahaja harus membelanjakan wang mereka kepada pembangunan semata tetapi juga harus membelanjakan wang mereka untuk membentuk kembali nilai murni dan siasah seseorang bakal pemimpin bukan sahaja diperingkat pusat, yang paling penting adalah diperingkat negeri. KPI bukan sahaja harus dinilai dari segi progresifnya sesebuah negeri mencapai pembangunan tetapi juga betapa progresifnya rakyat setempat menerima pemimpin mereka mengikut acuan dan kehendak rakyat setempat. Memperolehi sesebuah kemenangan lebih mudah jika dibandingkan dengan usaha untuk mengekalkan kemenangan tersebut. Senjata material ternyata tidak berkesan disemua tempat, kerana senjata siasah dan nilai murni juga amat penting bagi menawan dan mempertahankan sesebuah negeri berkenaan. Semoga Dato Seri Najib lebih memberi ruang kepada bakal pemimpin yang mempunyai nilai murni dan siasah yang tinggi dan bukan sahaja semata-mata pemimpin yang ghairah dalam menghasilkan pembangunan untuk rakyatnya. Antara siasah dan nilai paling murni antara pemimpin ialah ketika pemimpin itu bukanlah dikalangan mereka yang sombong. Pemimpin yang beginilah amat disenangi rakyat, walaupun tidak mampu membawa pembangunan namun tetap menjadi pilihan bagi sesetengah masyarakat tempatan. Lebih-lebih lagi sekiranya masyarakat tersebut kebanyakkan sudah banyak yang mampu berdikari dan tidak banyak bergantung kepada bantuan kerajaan. Begitulah perkara tersebut juga telah disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w: “Dari Jabir ra. Bahawasanya Rasulullah saw bersabda :” Sesungguhnya diantara orang yang paling aku cintai nanti pada hari kiamat dan duduknya sangat dekat dengan aku iaitu orang yang terbaik budi pekertinya di anatara kamu sekalian. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan nanti pada hari kiamat duduknya sangat jauh dengan aku iaitu orang-orang yang banyak bercakap, suka bersembang kososng dan bermulut besar.” Para sahabat bertanya:”Wahai Rasulullah, kami telah tahu tentang orang yang banyak bercakap dan suka bersembang, kemudian apakah yang dimaksudkan dengan bermulut besar itu?” Beliau menjawab:”Iaiatu orang-orang yang sombong”. (Riwayat At Turmudzy)

Friday, May 25, 2012

POLITIK LORONG HAJI TAIB

Semakin tinggi ilmu manusia ternyata semakin mereka sudah tidak boleh berfikir. Sia-sia sahaja pusat pengajian Tinggi yang telah dibina dan disumbatkan dengan jutaan penuntut tetapi akhirnya jurubina itu sendiri yang mencemarkannya. Siapa lagi jurubina tersebut kalau bukan para pemimpin. Tidak kira samada pemimpin kerajaan atau pembangkang seperti sudah tidak ada kuasa untuk menghalang sebuah ucapan di atas pentas politik yang semakin hari semakin menjadi lucah. Apakah bezanya sekarang perkataan yang wujud di Lorong Haji Taib dengan yang ada di pentas-pentas politik? Apa pula bezanya dengan perlakuan mereka yang mencari habuan di pentas politik dengan mereka yang berada di Lorong haji Taib? Sampai bila budaya ini hendak diketengahkan? Sebagai seorang pemimpin kita bertanggungjawab untuk menghalang mahupun mengutuk sekeras-kerasnya budaya mengaibkan sesama sendiri. Kebanyakkan mereka yang mengaibkan satu sama lain, lebih kurang sama sahaja moralnya. Orang yang tidak bermoral akan tahu bagaimana untuk mengutuk orang yang tidak bermoral. Hanya pencuri yang kenal seorang pencuri. Itulah yang pernah dikatakan oleh bekas seorang Menteri kepada saya. Seorang yang bermaruah pertama sekali mereka akan cuba mengelakkan diri dari menjadi seorang pelacur. Apakah hanya dengan menggadaikan tubuh badan kita digelar sebagai seorang pelacur? Bagaimana pula jika, maki hamun, carut mencarut serta saling menelanjangkan orang lain dengan perkataan bukankah layak dinamakan pelacur? Sekurang-kurangnya seorang pelacur itu lebih mulia kerana mereka tidak pernah membuka aib pelanggan mereka atau merakam video teman-teman mereka untuk dipertontotnkan secara percuma dikhalayak ramai. Bagaimana dengan orang politik yang membuka aib sesamanya? Apakah perlu belajar dengan seorang pelacur? Sungguh rendah akhlak manusia lebih lagi akhlak seorang Islam apabila sanggup menelanjangkan musuh politik mereka bukan sahaja melalui media sesawang tetapi juga melalui perkataan. Ramai masyarakat diluar sana hanya gemar menonton dan mendengar segala aib yang ditelanjangkan oleh seorang ahli politik, tetapi ketika mereka pulang ke rumah kebanyakkan mereka mulai mencemuh apa yang telah diperkatakan serta dipertontonkan oleh orang poltiki tersebut kepada mereka. Di dalam dunia melinium perkataan dan perbuatan maksiat telah menjadi lumrah di kalangan semua manusia termasuk orang Islam mahupun pemimpin. Bukan kita tidak tahu beberapa pemimpin yang telah terlibat dengan penzinaan ataupun hubungan diluar tabi’i. Hanya Allah masih memberi masa, ruang dan peluang menutup aib-aib mereka yang telah mereka lakukan. Tetapi ingat janji Allah itu benar dan pasti akan berlaku perkara yang sama ke atas mereka yang melondeh dan menelanjangkan aib orang lain ke pengetahuan umum. Inilah senjata politik paling dayus yang digunakan untuk menjatuhkan karier politik seseorang. Masyarakat makin keliru tentang wajah pemimpin akan datang. Apakah kita akan dipimpin oleh bakal-bakal pemimpin yang ditangan mereka penuh dengan cerita porno? Atau pemimpin yang ditangan mereka penuh dengan Al Quran dan Hadith serta wawasan membangunkan Agama,Bangsa dan Negara? Apakah kemenangan yang bakal kita capai ini akan dihormati setelah kita menggunakan kaedah politik Lorong Haji Taib? Apa yang hendak kita ajarkan kepada anak cucu kita di masa hadapan. Tak kala generasi X dan Y ingin memimpin Negara, apakah mereka hanya perlu menyimpan sebanyak mungkin gambar porno dan aib orang ataupun mereka perlu menimba lebih banyak ilmu dan pengetahuan dunia dan akhirat ? Kalau begini mudah seseorang itu dilantik menjadi pemimpin hanya dengan mempunyai satu gedung aib dan gambar porno musuh politik mereka, maka tidak perlulah kita bersusah payah untuk melatih generasi X dan Y untuk dihantar ke Pusat Khidmat Negara (PLKN) ataupun BTN. Cukuplah kita menghantar generasi akan datang yang hendak menjadi pemimpin mahir dalam memasang kamera litar tertutup ataupun menggunakan kamera menjebak mangsa-mangsa tertentu. Lebih baik kita wujudkan sebuah Universiti “paparadzi”. Bagi yang ingin mencarut dan memaki hamun cukuplah sekadar kita menghantar generasi Y dan X bakal pemimpin ke lorong-lorong Haji Taib bagi memperelokkan bahasa carutan dan maki hamun mereka dengan seorang pelacur. Cukuplah, sudahlah, dan ingatlah bahawa Allah sedang memerhatikan kita wahai semua pemimpin. Jangan kita membela lagi kambing-kambing hitam yang bakal bertukar menjadi kambing gurun dan menanduk kita pula di kemudian hari. Negara yang sudah beralih kepada sebuah Negara Islam tidak wajar terlepas pandang dengan budaya politik Lorong haji taib ini. Tidak cukup kita paparkan di laman sesawang kita angkat pula ke media cetak dan elektronik. Kasihanilah pada warga masyarakat yang begitu gigih mendidik anak-anak mereka dengan Al Quran dan As Sunnah akhirnya dicemarkan dengan perbuatan sesetengah kambing hitam para pemimpin dengan hidangan politik dari Lorong Haji Taib. Akhirnya padi yang ditanam, tumbuh pula jutaan lalang. Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Hindarilah oleh kamu sekalian berburuk sangka karena buruk sangka adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kamu sekalian saling memata-matai yang lain, janganlah saling mencari-cari aib yang lain, janganlah kamu saling bersaing (kemegahan dunia), janganlah kamu saling mendengki dan janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling bermusuhan tetapi jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. (Shahih Muslim No.4646) Segalanya akan bermula dari diri kita sendiri. Maka pada hari ini kita janganlah hidup dalam sangkaan semata. Melihat orang yang begitu ramai menonton filem porno dan mendengar cerita politik lucah kita, maka kita merasakan itulah manusia yang member sokongan kepada apa yang aku perkatakan. Sedangkan tanpa kita ketahui orang ramai itu jugalah yang Allah hantar untuk melihat dan mendengar tetapi juga untuk berfikir akan apa yang mereka dengar dan lihat itu baik atau salah. Maka berpolitiklah jangan sampai Allah mendatangkan bala atas perbuatan kita sesama Islam. Iqraq!!

Wednesday, April 4, 2012

APABILA UMARAQ DAN ULAMAQ DISILAU KEBENDAAN YANG MANA LEBIH MERUGIKAN UMMAH?

Inilah warna-warni kehidupan sebagai seorang penulis. Allah sahajalah yang Maha Berkuasa apabila hendak memberikan sesuatu untuk difahami oleh manusia yang dipilihnya. Pelbagai jenis kelompok manusia akan dihantar kepada kita untuk menyampaikan bermacam-macam jenis pengalaman yang mereka lalui, agar dapat kita kongsikan di dalam penulisan kita. Syukur padaMu Ya Allah.
Di dalam kebiasaan dunia penulisan ini banyak sudah saya diberikan pelbagai kesempatan untuk melihat pelbagai jenis kelompok manusia, namun kebanyakkannya di kalangan pemimpin dan ahli politik. Namun kebelakangan ini lain pula kelompok manusia yang di datangkan Allah untuk saya belajar satu lagi ilmu tentang mereka. Yakni kelompok manusia yang begitu ingin mencari Allah dan mencari kebenaran di dalam agama Allah. Kehebatan yang saya lihat pada mereka adalah keikhlasan mereka di dalam pencarian tersebut. Kesanggupan mereka untuk menyatakan kebenaran serta kesanggupan mereka untuk berjuang wang dan harta demi untuk mencapai satu tujuan iaitu menyelamatkan agama Allah dan tuntutan Nabi Muhamad.
Mereka berjuang tanpa disuruh atau diarah. Mereka berkorban wang dan ringgit tanpa diminta dan mereka meluangkan masa untuk bertemu atas dasar hanya satu kepentingan untuk menyelamatkan aqidah dan menyelamatkan agama Allah. Sungguh hebat sehingga merasakan diri ini terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan perjuangan mereka. Kesanggupan mereka untuk hilang punca pendapatan sudah tidak menjadi satu kerisauan asalkan mereka dapat menegakkan agama.
Namun sayang seribu kali sayang kerana mereka hanya berada di kalangan kelompok yang tidak mempunyai kuasa bagi menegakkan keadilan. Sedangkan golongan yang telah Allah serahkan pangkat dan jawatan serta ilmu sebagai seorang Ulamaq masih dikhayalkan dan dimabukkan dengan secebis kemewahan dunia sehingga ditutupkan pandangan mereka kepada satu kebenaran yang nyata. Amat menyedihkan.
Apabila setiap hari kita dijamu di dada akhbar tentang kelemahan umaraq, ramai yang bangkit untuk mengutuk dan mencemuh umaraq tersebut. Berbeza sekali kepada para Ulamaq. Hampir tiada yang mahu bangun untuk menyatakan kebenaran serta kesalahan yang sedang mereka lakukan semata-mata terlalu menghormati jubah dan gelaran yang pernah disandang oleh mereka. Walaupun jelas sekali mereka sedang menuju kearah menyumbang kepada kerosakan aqidah ummah.
Elaun yang tidak seberapa, pemberian seperti telefon, tiket penerbangan kelas pertama, layanan yang mewah telah melalaikan mereka untuk membuat satu pekerjaaan yang telah diamanahkan kepada mereka yakni mencari dan mengkaji sebuah ilmu yang bakal mengheret jutaan ummah kearah kesesatan aqidah. Lebih menyedihkan apabila sesetengah pemimpin yang berjawatan seperti menteri dan timbalan menteri berada di samping ulamaq ini langsung tidak mempunyai masa untuk duduk dan bermuzakarah dengan mereka untuk membincangkan perihal kebaikan ummah terutama sesuatu yang bakal menjerumuskan ramai manusia kepada kepincangan aqidah.
Inilah yang terjadi apabila silauan material sudah penuh dimata dan ditangan, ianya seperti ubat khayal yang memabukkan sehingga tidak menampakkan lagi mana yang bathil dan mana yang Haq.
Kita sudah mendengar tentang kebanjiran pakar motivasi dari Negara luar. Oleh itu amat menyedihkan apabila para ulamaq langsung tidak mahu meluangkan masa mereka untuk mengkaji aqidah para ilmuan yang bergelar pakar motivasi ini. Mereka yang menumpukan apa yang bahan ilmuan yang dihidangkan di hadapan mata sedangkan ketika pakar motivasi ini pulang ke Negara asalnya bahan yang dihidangkan berlainan dengan apa yang dihidangkan di Negara ini.
Sekiranya pakar motivasi tersebut telah dinyatakan kesesatan penulisannya, sudah tentulah beliau menyedari bahawa soal aqidah biar dibumi mana sekali pun tetap sama. Hanya ada dua sumber sahaja dari Allah iaitu Al Quran dan As sunnah. Sekiranya salah di Negara kita maka harus juga salah di mana sahaja jika buku tersebut diguna pakai. Sekiranya penulis buku tersebut memahami dan mendalami Islam dan kuat aqidahnya sudah tentu beliau akan memahami bahwa sekira penulisannya tidak dibetulkan mengikut syarat yang ditetapkan oleh para agamawan dan ilmuan agama, maka iannya tetap sesat walau di Negara mana pun ia dipersembahkan dan dibaca oleh umat Islam.
Amat menghairankan apabila setiap pakar motivasi yang membawa agama Allah tidak terlebih dahulu disoal siasat atau melalui beberapa pemeriksaan ke atas aqidah mereka. Para ulamaq kita hanya mampu berpuas hati dengan bahan yang ditukar dan bukan pemahaman ilmu agama yang harus ditukar oleh minda pakar motivasi tersebut. Para ulamaq harus lebih mencurigai “siapa yang mengajar” dari “apa yang diajar”. Ini merupakan ruang besar dalam penyesatan aqidah.
Dunia telah mengetahui bahawa para mubaligh kristian yang membawa misi dakwah telah diberikan sebuah kitab Al Quran untuk mereka mengkaji dan mempelajarinya sebelum mereka ditebarkan bagi menjalani misi dakwah kristian mereka. Oleh itu para ulamaq harus lebih berhati-hati kerana mungkin sahaja seorang paderi juga mampu memberikan penerangan tentang AL Quran lebih baik dari orang Islam itu sendiri. Apakah pengajaran mereka boleh diterima? Maka berbalik semula kepada aqidah pengajar dan bukan apa yang diajar. Kerana apa yang diajar mungkin benar pada penglihatan kita namun siapa yang mengajar terbukti langsung tidak mempunyai aqidah tentangnya. Apakah kita dibenarkan belajar atau mengambil ilmu dari seorang pakar motivasi atau ilmuan yang tidak betul aqidahnya?
Ternyata dari pengalaman bermuzakarah bersama bekas pengikut ajaran motivasi ini, ternyata amat membahayakan sekiranya ulamaq serta umaraq terus bersama menyokong pakar motivasi seperti ini. Pemantauan yang kononnya dijalankan hanya sekadar memberi ruang untuk kerosakan aqidah umat Malaysia terus bertebaran. Kemegahan kepada quantity terus membutakan mata ulamaq dan umaraq sedangkan Rasulullah saw pernah berpesan bahwa “kebenaran itu tidak semestinya dibuktikan dengan ramainya pengikut.” Mungkin pada dasar kebiasan manusia akan memaafkan setiap kesilapan seorang umaraq kerana tiadanya ilmu mendalam mereka ke atas agama. Namun dapatkah kita memaafkan seorang ulamaq yang telah Allah anugerahkan ilmu serta amanah untuk menjaga agamanya membuat kesalahan serta dilalai dan dimabukkan dengan material? Subhanallah semoga mereka para ulamaq kembali kepada amanah asal mereka untuk bersungguh-sungguh mengkaji dan menyiasat “SIAPA SEBENARNYA PENYAMPAI ILMU TERSEBUT DAN BUKAN ILMU YANG DISAMPAIKAN”.

PROJEK TIPU PERDANA MENTERI

Di dalam mengejar keuntungan, pangkat dan harta, manusia mampu melakukan apa sahaja. Tidak hairan samasekali sekiranya manusia sanggup menipu siapa sahaja malahan Perdana Menteri juga tidak terlepas dari tipu daya manusia ini. Kelihatan dewasa ini ramai antara manusia sudah ketandusan idea mulai menjadi penyamun dan perompak yang tidak kelihatan sepertinya. Perompak dan penyamun idea bukanlah kelihatan sepertimana perompak yang kita lihat di dalam dada akhbar. Perpakaian selekeh dan daif. Sebaliknya perompak idea ini kelihatan begitu segak berpakaian, malahan ada juga yang mempunyai jawatan tertentu di dalam kerajaan mahupun NGO, berkereta mewah dan sebagainya. Inilah antara mereka yang tidak mempunyai rasa segan dan silu untuk merompak dan menjinjing idea orang lain bagi dipersembahkan kepada PM. Begitu bodoh mereka rasakan orang lain termasuk PM itu sendiri apabila mereka dengan megah mempersembahkan idea mereka dengan meletakkan nama mereka di atas kertas hasil jerih perih orang lain.
Sememangnya benar kata seorang sahabat saya “siapa kamu yang mempunyai idea besar untuk di bawa kepada perdana menteri? Lihat sahaja pakaianmu, tiada jawatan, tiada kemewahan, kamu rasa pegawai disekeliling PM akan pandang hanya dengan idea bernas di dalam minda kamu?”. Pedih dan menyakitkan hati apabila diperkatakan sedemikian. Namun ianya ayat yang benar yang harus ditelan. Inilah kaedah dan fitrah tentang sebuah kebenaran walaupun pahit tetap harus ditelan.
Kebelakangan ini amat sedih apabila kita melihat bagaimana projek tipu PM ini diusung ke meja PM. Buat pertama kalinya terasa letih sungguh melihat nasib seorang PM, apabila beliau terpaksa berhadapan dengan orang yang sedemikian. Lebih letih lagi apabila kita yang juga turut terlibat di dalam memberi idea akhirnya disapu di depan mata. Belum sempat pena membuat kertaskerja kering, habis disonglap untuk meraih keuntungan dari PM. Akhirnya apa yang mampu dibuat hanya menadah tangan memohon doa, agar mereka yang tidak bertanggungjawab di timpa balasan oleh Allah.
Dari hasil perjumpaan bersama teman dan taulan, rupanya bukan hanya satu, dua individu yang terkena sedemikian malahan ramai. Itulah juga antara punca rasa saya, rakyat Malaysia mulai merasa mual untuk memikir lagi, menghasilkan kertas kerja yang baik bagi membantu kerajaan. Terpaksalah kita memikirkan pula bagaimana untuk menghiaskan diri dengan pelbagai materi agar dapat menyilaukan mata pegawai-pegawai yang menjaga pintu PM untuk membukakannya buat kita. Dalam dunia yang sudah dipenuhi dengan pelbagai dakwah dan pesanan agama, masih juga ramai antara mereka yang masih tertipu dengan luaran dan bukan dalaman. Masih ramai juga antara penjaga pintu PM yang tertipu dengan pandangan luar daripada mengenali seseorang itu secara empat mata dan masih juga mereka mengharapkan pendapat dan pandangan yang kononnya sahabat mereka untuk memberi komen tentang si polan dan polan kepada mereka.
Sekiranya mereka hanya meluangkan sedikit masa, mereka mampu menilai sendiri, tidak perlu berjumpa dengan teman yang sering mereka peruntukkan masa untuk berjumpa bertanya tentang peribadi orang lain. Sayang seribu kali sayang apabila kita diizinkan Allah untuk menemui ramai antara mereka yang bijaksana dan baik akhirnya tidak diberi peluang untuk berkhidmat memberi idea yang bernas dan ikhlas kepada PM, hanya semata-mata pegawainya mengharap orang lain untuk menilai dan bukan diri mereka sendiri menilainya.
Inilah kesempatan yang paling baik untuk mereka yang digelar penyangak dan pencuri idea mengaut keuntungan peribadi; yakni dikala PM sedang mencari pelbagai jalan dan usaha untuk menang di dalam pilihanraya akan datang. Modes operandi dan ayat sama akan diguna pakai oleh penyangak ini kepada PM, iaitu inilah projek dan idea yang baik untuk memenangi PRU13. Apabila kertaskerja yang dicuri tentulah perlaksanaannya tidak akan sama sekiranya dijalankan oleh pencuri tersebut dengan pemikir idea asal kertaskerja tersebut. Akhirnya jadilah sebuah projek “TIPU PM”. Wang dan dana sudah dikeluarkan, projek juga sudah dilaksanakan, hasil menyedihkan, apa yang dapat PM lakukan lagi apabila nasi sudah menjadi bubur. Akhirnya harapan orang yang mempunyai idea dan ikhlas turut terkubur untuk memikirkan apa sahaja kebaikan yang ingin dikemukakan kepada PM. Amat menyedihkan sekiranya PM hanya bergantung harap kepada orang tertentu dan menutup pintu kepada orang yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk berkhidmat. Terkadang hati terdetik juga untuk bertanya, “apa sudah jadi dengan amalan istigharah? Sehingga diketepikan dan diganti dengan pertanyaan kepada orang melebihi dari pertanyaan kepada Allah. Bukankah lebih baik sekiranya mereka yang berkuasa menjaga pintu PM ini beramal dengan bertanya terus kepada Allah daripada bertanya kepada rakan dan taulan tentang individu yang menghampiri mereka untuk membantu mereka secara ikhlas. Akhirnya keegoan dan kebodohan mendengar tanpa menapis hanya akan merugikan Agama, Bangsa dan Negara bukan sahaja seorang Perdana Menteri. Fikir-fikirkanlah hadith ini:
Dari Abu Hurairah ra. Dari Nabi saw, beliau bersabda :
“ Barang siapa yang pernah menganiyai saudaranya, baik yang berhubung dengan kehormatan diri mahupun sesuatu yang berhubungan dengan harta benda, maka hendaklah ia minta dihalalkan (minta maaf) sekarang juga sebelum datangnya saat di mana dinar dan dirham tidak berguna di mana bila ia mempunyai amal solih maka amal itu akan di ambil sesuai dengan kadar penganiayaannya, dan bila ia tidak mempunyai kebaikan maka kejahatan orang yang dianiaya itu diambilnya dan dibebankan kepadanya.” (Riwayat Bukhari).

Saturday, February 25, 2012

TRANSFORM UMNO REFORM PEMIMPIN UMNO BN MENANG?

Inilah ayat yang sering kita dengar dikalangan masyarakat bawahan. Semua menganggap bahawa mereka langsung tidak mempunyai masalah demgan UMNO tetapi ramai yang mempunyai banyak masalah dengan pemimpin nya. Apakah benar sekiranya kita diberitahu bahawa perjuangan UMNO untuk memdapat kemenangan bagi pilihanraya ke 13 akan datang bukanlah satu perjuangan yang sukar. Apatah lagi ditambah dengan masalah dalaman dari pihak pembangkang yang begitu memenatkan.

Banyak isu dari pihak pembangkang yang harus mereka tangani sebelum berhadapan dengan PRU ke 13 nanti. Tentulah bukan mudah bagi pihak pembangkang untuk menangani pelbagai isu yang saya anggap agak kronik. Antaranya adalah konflik dalaman PAS yang sepertinya tidak berkesudahan. Bermula dengan kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden sehinggalah kepada pemecatan Dato Hassan Ali. Integirti PAS semakin tercorot sebagai pembela Islam setelah jawatan Exco bagi menjaga hal ehwal agama Islam tidak diberikan kepada PAS.  Manakala DAP yang membawa fahaman perkauman yang kuat serta masalah pentadbiran di Pulau Pinang juga telah menghilangkan integriti mereka sebagai sebuah kepimpinan yang mampu menangani masalah masyarakat majmuk di Malaysia.

Kalau dilihat pula dengan PKR pemimpin partinya DSAI semakin hari semakin membawa kepada pelbagai kontroversi yang sukar untuk dihapuskan. Setelah kes liwat terbaru timbul pula kes sokongan beliau ke atas negara Israel yang dikuasai oleh yahudi. Masayarakat Islam begitu sensetif dengan penglibatan DSAI sebagai rakan kepada Israel. Ini telah membawa banyak kerisauan dikalangan masyarkat terutamanya golongan agama yang sudah mempunyai pelbagai persepsi sekiranya DSAI menerajui kepimpinan negara.

Berbalik pula kita kepada UMNO. Ternyata dengan barah yang mula menyerang PR telah memberikan satu jalan mudah untuk UMNO terus menyerang mereka dan ianya tidak mustahil dengan mudah juga bakal melumpuhkan perjuangan PR. Namun cabaran yang paling getir juga dialami oleh BN apa lagi kalau bukan masalah dalaman. Perpaduan yang telah diperjuangkan  oleh DS Najib dikalangan masyarakat Malaysia sudah nampak kian berjaya. Namun perpaduan dalaman BN khususnya UMNO masih lagi kabur. Pemimpin UMNO bermula dari jawatan menteri sehinggalah kepada Ketua Bahagian semuanya mengharapkan satu reformasi dibuat oleh PM. Mereka sudah tidak lagi mampu bertoleransi dengan sikap sesetengah pemimpin yang perasuah, tidak amanah dan gila kuasa.

Kebanyakkan pemimpin UMNO dilihat sebagai QORUN yang hanya tahu menimbunkan  harta, namun gagal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang amanah. Apakah mungkin dan mampu PM membuat satu reformasi di dalam kepimpinannya? Itulah persoalan yang sering ditanya oleh masyarakat bawahan.

Transformasi UMNO sudah menampakkan keberkesanannya apabila PM telah berjaya menggerakkan bahagian peneranganya dengan begitu berkesan. Selain dari itu ternyata juga sokongan ke atas setiap pembahruan yang dibawa PM juga tidak mendapat bantahan dari kalangan ahli partinya. Transformasi dari AHLI UMNO kepada ORANG UMNO merupakan satu langkah yang bijak seolah- olah mewujudkan satu lagi bangsa. Oleh itu ORANG UMNO yang terwujud sebagai satu bangsa akan merasa bahawa mereka bertanggunjawab ke atas bangsa mereka, serta tidak mungkin akan mengkhianati bangsa sendiri. Itulah intipati yang saya fahami dan merasakan begitu baik untuk diimplementasikan oleh ORANG UMNO.

Bukanlah mudah bagi PM untuk reform pemimpinnya yang telah banyak antaranya menabur jasa kepada UMNO dan BN. Namun apakah persoalan ini akan difahami oleh mereka yang tidak sabar untuk menjadi pemimpin disemua peringkat. Cabaran inilah yang harus dihadapi oleh BN bagi memenangi PRU ke 13 akan datang. Wallahualam. Di atas segala keputusan yang bakal di buat oleh PM apa yang penting haruslah adil, kerana dengan keadilan bagi semua pihak sahaja akan menjadi ramuan terpenting untuk kejayaan BN. InsyaAllah.

".........berlaku adillah kerana keadilan itu lebih dekat kepada taqwa dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamunkerjakan." (5:8)