ASSALAMUALAIKUM

Thursday, October 28, 2010

GLOBALISASI VS SEMPADAN DIRI

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat Dan Salam Buat Junjungan Kita Nabi Muhamad saw


Saya begitu tertarik dengan iklan yang dipaparkan oleh PETRONAS satu ketika dulu iaitu “The World Is Watching Us”. Menarik bukan? Tetapi bagi yang perihatin tentulah akan merasa takut dan gentar apabila melihat perkataan tersebut. Apa yang disampaikan oleh perkataan iklan tersebut sebenarnya adalah benar. Malahan dari zaman British lagi Negara kita sememangnya menjadi igauan pihak Inggeris untuk menaklukinya memandangkan hasil bumi kita yang kaya. Apa yang hendak kita katakan tentang globalisasi sebenarnya telah lama wujud, dari zaman Adam dan Hawa lagi dunia ini sememangnya tidak pernah ada sempadan. Malahan apabila dunia ini dijadikan oleh Allah s.w.t. tidak pernah wujud sebarang sempadan. Tidak lain dan tidak bukan manusia jugalah yang mewujudkan sempadan-sempadan ini.Oleh itu jangan takut dan gentar apabila media dunia mewar-warkan bahawa dunia sekarang sudah tidak mempunyai sempadan.

Apa yang perlu kita takutkan adalah apabila diri menjadi globalisasi ataupun dengan perkataan lain adalah diri tanpa sempadan. Kalau dalam bahasa “mat rempet” apa pun boleh janji rock!! Inilah yang amat kita takuti dewasa ini apabila masyarakat sudah tidak tahu membuat sempadan diri. Budaya dan bahasa dicampur gaulkan. Apatah lagi makanan. Halal haram dewasa ini semacam saja, semuanya kita belasah apabila tidak tahu meletakkan sempadan pada diri. Apabila dunia sudah tidak mempunyai sempadan akibat dari teknologi-teknologi yang canggih, maka berita boleh disebarkan secepat kilat. Jangan lupa pula tentang bahayanya pencemaran alam. Itulah yang paling ketara berlaku hari ini sepertimana kita dengar tentang penyakit selsema burung. Siapa yang boleh menahan burung-burung tersebut melalui sempadan kita? Jangan dicerita pula tentang pencemaran industri yang di bawa dari sebuah Negara ke sebuah Negara. Mana Negara yang boleh menahannya dari memasuki sempadan? Itulah globalisasi dunia hari ini. Kalau sejarah globalisasi manusia sibuk menamakan penemuan negaranya dan menyempadankan daerahnya, sekarang Negara tidak lagi tertumpu kepada penggarisan sempadan tetapi apa yang boleh melalui sempadan negara tanpa halangan, visa mahupun passpot. Siapa yang nak buat visa untuk burung-burung dan udara yang tercemar? Tapi dunia serba canggih. Anything can happen. Tetapi kalau nak persoalkan tentang penyakit dan pencemaran sememangnya sukar untuk diselesaikan cuma kata aruah ayah saya talipon sahaja 24434. (Kalau nak tahu no siapa hubungi saya)

Banyak perkara harus kita pertimbangkan sekarang bukanlah globalisasi dunia yang patut kita risau tetapi manusia yang sudah tidak mempunyai sempadan diri yang patut kita fikirkan bagaimana untuk menyelamatkan mereka dari dihasut atau terpengaruh dengan budaya barat khususnya yang kian menular.

Apabila menceritakan tentang budaya barat, teringat saya tentang satu pertanyaan yang pernah diajukan oleh aruah ayah saya Sulaiman Palestin katanya” melalui apakah Negara barat mudah untuk menghancurkan umat Islam?”. Saya pun menjawab”tentulah melalui media dan hiburan serta budaya”. Kata aruah ayah saya, jawapan yang diberikan oleh saya adalah salah dan saya terperanjat, kerana tidak boleh memikirkan selain dari jawapan yang telah saya berikan. Akhirnya dengan ringkasnya dia menjawab “ makanan segera (fast food)” Sekali lagi saya terperanjat. Kata beliau “kalau nak tahu apa yang paling ditakuti apabila manusia sudah makan tanpa sempadan?darah dan daging akan kehilangan iman.”Kata beliau lagi “melalui makanan segera yang diperkenallkan oleh Negara barat inilah yang akan menguntungkan perniagaaan francaise mereka diseluruh dunia. Semua makanan yang diperkenalkan seperti daging dan keju hanya sesuai untuk Negara sejuk yang memerlukan banyak tenaga bagi mengeluarkan haba, jadi kalau kita makan jadi gemuk bukan jadi haba. Sekarang siapa yang untung dan siapa yang rugi? Malahan makanan segera ini juga tidak seratus peratus dapat menjaminkan sifat halalnya, maka mudahlah orang-orang Islam hilang sifat keislamannya. Ingat tak bagaimana seseorang ahli tahfiz, apabila hendak menghafaz Al Quran banyak pantang larangnya terutama dari segi pemakanan.” Itulah kata-katanya. Orang Barat paling takut kalau seseorang hamba Islam menjadi mukminin sejati.Itu katanya lagi. Kerana orang Islam sahaja yang tahu erti “Fi Sabilillah” Iaitu berkorban apa sahaja untuk Allah dan Muhamad. Itulah yang paling mereka takuti, kerana sejarah membuktikan bahawa bertapa kuatnya pengaruh dan ilmu Islam, sehingga berabad dan berkurun lama Negara Barat senantiasa mengkaji dan mengkaji Al Quran tapi orang kita hanya Mengaji membetulkan Idham Ma’alghunnah…..

Apabila berkali-kali difikirkan betul juga kata ayah saya. Pernah sekali saya terjumpa dengan sebuah restoran makanan yang diberi nama “Mat Dollah” di Kedah. Pertama kali saya terpandang restoran tersebut saya merasa sungguh bangga kerana sekurang-kurangnya ada juga anak Melayu yang begitu prihatin untuk mengekang francaise makanan dari Negara Barat. Namun sayang seribu kali sayang francaise tersebut tidak tahan lama dan mati begitu sahaja.

Inilah yang dikatakan apabila manusia tidak tahu membuat sempadan diri. Asal orang makan kita makan. Siapa untung kita tak kira. Berkali-kali saya sering bertanya pada diri sendiri apakah kekurangannya makanan Melayu sehingga apa sahaja yang diperkenalkan oleh mereka sering mendapat halangan untuk maju seperti bangsa lain. Bagi kaum India terserlah Nasi Kandarnya, bagi kaum Cina pula hebat dengan The Chiken Rice Shop. Mana Melayu? Makanan tak kurang hebatnya tapi satu francaise makanan Melayu yang berjaya sukar untuk diketengahkan. Mana silapnya sekali lagi saya katakan anak Cina makan pengat…..

Itu baru bercakap tentang globalisasi dunia makanan, tak masuk lagi tentang budaya. Apabila bercakap tentang Budaya inilah yang membuat saya sering merasa sedih. Ini adalah kerana selama ini bidang ini telah menjadi sebati di dalam jiwa saya. Meninjau kembali anak-anak muda dewasa ini amat menyedihkan. Tiada lagi sempadan diri. Kalau bab pakaian Nauzubillah hi min zaliq….malas nak tegur semuanya ketat-ketat dan banyak pusat di bandaraya kata kawan saya. Dah banyak pula tak cukup menindik telinga tindiklah pula pusat, lidah, kening dan sebagainya. Apa lagi apabila terdapat ramai orang Melayu yang setengah masak (kacukan) langsung tak boleh nak kenal apakah bangsa, agama dan budayanya. Tulah nama globalisasi diri, macam macam ada….

Kita telah banyak mendapat contoh bagaimana sekiranya seseorang individu itu menglobalisasikan dirinya, sekarang kita harus mengkaji dan terus mengkaji bagaimana seharusnya kita memberikan pendidikan tentang bagaimana untuk meletakkan sempadan sempadan kepada diri supaya jangan ianya turut diglobalisasikan terutamanya oleh aliran pemikiran barat. Baliklah kita kepada falsafah ikan. Ia dapat meletakkan sempadan pada dirinya supaya air yang masin tidak boleh menembusi badannya. Itulah namanya sisip-sisip keimanan.

Hanya dengan mengetahui asal usul sahaja maka kita akan mampu untuk membina tembok sempadan diri. Saya pernah berkata kepada sahabat handai saya yang suka berkunjung ke Kota Mekah bahawa iman bukanlah hanya ada di sana tetapi iman ada di mana-mana. Oleh itu janganlah terlalu bermegah kalau kita telah mengerjakan haji dan umrah kerana belum tentu kita memperolehi iman di sana. Sempadan diri harus bermula pada diri kita sendiri. Mencari dan mempelajari kemudian mengenali asal-usul Agama, Bangsa dan Budaya. Bertitik tolak dari situ maka kita akan mula menolak segala bentuk ajaran Agama, Budaya dan Bangsa orang lain bercampur gaul dengan apa yang dimiliki oleh kita. Itulah sifat “pertuanan diri” yang sebenar. Berbangga dengan apa yang telah kita miliki dan kemudian mempertahankan pula apa yang kita miliki.

Dasar Pandang Ke Timur yang telah dianjurkan oleh bekas Perdana Menteri kita begitu bertepatan. Setelah dasar tersebut diperkenalkan saya telah mengambil inisiatif untuk tinggal di Jepun selama hampir sebulan bersama keluarga angkat di Kokubunchi dan Nagoya. Amat terperanjat apabila saya melihat budaya mereka yang begitu mereka banggakan. Saya amat terasa “Ketuanan diri” yang ada pada mereka. Mulai saya terfikir apakah bahasa Inggeris yang dianggap global itu sebenarnya meluaskan pengetahuan perhubungan kita atau sekadar membuka sempadan diri kita untuk menyerapi budaya Barat. Sememangnya tidak dapat dinafikan bentuk budaya Barat terdapat di sana namun budaya mereka seperti contoh teater Kabuki, masih terpelihara nilai budayanya sehinggakan mereka meletakkan harga tiket yang jauh lebih mahal dari sebarang persembahan luar yang masuk ke sana. Di Negara kita pula bagaimana? Kalau Mariah Carrie punya Konsert dengan Ning Baizura? Anak Cina makan pengat……Siapalah agaknya lebih mahal?

Salah seorang pelajar Jepun yang saya kenali amat mengangumkan saya apabila beliau menyatakan bahawa pelajar-pelajar di Universiti sini amat memahami setiap buku Inggeris yang mereka baca, Cuma mereka tidak dapat bertutur sahaja dalam bahasa Inggeris tetapi dapat menelaah buku-buku Inggeris dengan baik. Kemajuan teknologi membuktikan bahawa tidak semestinya bertutur bahasa Inggeris, membawa budaya Inggeris maka kita akan duduk sama tinggi dan sama rendah dengan Barat. Begitu juga apabila dilihat dari segi pemakanan, malahan kerajaan mereka juga mengawal barang-barang makanan impot serta memilih makanan yang sihat sahaja yang dibenarkan masuk ke Negara tersebut. Kawalan pemakanan gula juga ditetapkan oleh kerajaan mereka. Itulah cara bagaimana mereka mempraktiskan sempadan diri mereka. Maka tidak hairanlah sekiranya mereka tidak gentar kepada globalisasi dunia, kerana mereka telah lama letakkan sempadan pada diri apa yang boleh dan apa yang tidak, demi kebaikan Negara mereka.

Telah berkali-kali saya nyatakan bahawa kerajaan harus memainkan peranan dalam membentuk Budaya dan sasiah diri. Agama dan Budaya adalah seperti irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan apabila kita ingin mewujudkan sebuah masyarakat yang kental jati dirinya. Inilah sisip-sisip keimanan yang harus dimasukkan ke dalam diri setiap individu di Negara ini, supaya sikap untuk menyempadan diri disegerakan supaya mudah untuk menghadapi dunia globalisasi. Perdulikan dunia yang sememangnya tidak pernah ada sempadan. Kembalilah kita membentuk pemikiran globalisasi tetapi penerimaan yang bersempadan. Tidak salah mempunyai pemikiran yang global asalkan kita tahu yang mana harus diambil dan yang mana pula harus disempadankan.

Segala-galanya akan hanya berhasil sekiranya kita mula mengenalkan agama dan budaya di peringkat sekolah rendah lagi. Mulai dari sekolah rendah secara sedar ataupun tidak anak-anak kita sudah dikenali dengan budaya Barat, dengan Brass Bandnya dan flutenya dan pelbagai lagi alat muzik Barat yang di ajar. Tetapi tanpa kita sedar Negara kita yang begitu banyak alat muzik tradisionalnya dan tune-tune tradisional yang kaya tidak pernah dijadikan satu perkara yang wajib untuk dipelajari. Bila anak-anak sekolah rendah kita sukakan budaya rap, kita hairan. Tapi langsung tidak sedar bahawa itulah sebenarnya pendedahan awal sekolah rendah kita lagi sudah memartabatkan budaya bangsa asing, bagaimana kita hendak menanam nilai-nilai murni sebagai sisip-sisip keimanan bagi membina sempadan diri kepada mereka. Mula-mula suka lagu barat kemudian suka baju barat selebihnya suka berdengung macam orang barat. Apa lagi kalau tak arak dan dadah yang sudah menjadi sebahagian cara hidup orang barat.

Bukanlah kita hendak menyalahkan kerajaan, namun pada pandangan saya kerajaan adalah penggubal dasar. Baik dasar yang dibuat maka baik jugalah hasilnya. Pendidikan adalah menjadi hak perkongsian bersama antara kerajaan dan ibubapa. Sedar tak sedar mahu tak mahu tanggungjawab juga telah dibahagikan 50-50 antara kerajaan dan ibubapa. Apa yang diperkenalkan itulah yang terpaksa diakurkan oleh ibubapa. Apa lagi zaman sekarang sukar mencari surirumah sepenuh masa. Kalau ada yang tak bekerja pun sibuk pula dengan berpersatuan. Oleh itu pertimbangkanlah hanya bermula dengan kerajaan yang perihatin barulah rakyat mengikutinya. Malahan kerajaan juga terdiri dari mereka yang berpangkat ibu dan bapa, maka lebih ariflah untuk mereka melihat kea rah mana hendak dibentuk anak-anak mereka sejajar dengan anak-anak masyarakat mereka. Bayangkan kalau ibubapa memaksa anak bermain caklempong sedangkan brass band di sekolah diwajibkan susah bukan?Tak gitu?. Akhirnya anak kata ini tak ada markah mak….so tak pentinglah. Maka anak-anak akhirnya kenal wayang kulit dari iklan ubat batuk.

Oleh itu dalam membentuk penyempadanan diri di dalam dunia yang telah lama globalisasi adalah hak dan tanggungjawab kerajaan. Di dalam zaman pemerintahan Pak Lah, saya menampakkan usaha ini iaitu meletakkan Agama nombor wahid. Diharapkan beliau dapat menjadi “Bapa Pembangunan Insaniah” bagi membawa masyarakat Malaysia kearah penyempadanan diri. Kemungkinan dengan wujudnya Islam Hadhari masyarakat akan lebih terpimpin dalam membuat keputusan terhadap diri mereka bagi memilih apa yang boleh dan apa yang tidak di dalam kehidupan kita seharian.
Marilah kita melihat nasihat yang diberikan oleh Tuan Haji Zabidi Hj Nawawi, pengarang buku Nasihat Tokoh-Tokoh Islam Sedunia:

“ Tidak syak lagi rata-rata manusia dewasa ini sedang ketandusan jiwa, sunyi dari kekuatan dan kesegaran rohani, tidak menikmati kemanisan dan kelazatan iman (Halawatal iman).Hal ini berpunca dari sepinya hati dari makanan, minuman dan baja yang sangat diperlukan untuk ia terus hidup mekar dan segar bugar, ditambah pula lagi berbagai penyakit yang telah menyerang hati itu dari berbagai sebab dan punca…….Telah sepakat ulama menyatakan kejatuhan umat ini berpunca terutamanya kerana kita lupakan Allah, maka dengan sebab itu Allah s.w.t ‘melupakan’ kita. Lalu kita tidak mendapat bantuan, pertolongan serta kemuliaan yang sewajarnya daripadaNya…..Setiap individu ummah mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan system Allah dibumi tidak kira dari golongan dan peringkat mana mereka berada. Yang lebih bertanggungjawabnya ialah para ulama’dan umaraq’(pemerintah). Ulama’ dizaman kegemilangan Islam menasihati pemerintah bukan dinasihati pemerintah. Mereka tegak di atas keberanian meski pun nyawa dan harta bendanya terancam. Mereka beramal dengan ilmu dan benar-benar takutkan Allah dan tidak takut selainNya. Mereka menasihati ummat dengan ikhlas dan jujur, tidak berkepentingan duniawi.

Wahai saudaraku,

Masa tidak menunggu kita untuk memulakan langkah menuju kehidupan yang diredhai Allah seperti kata Allama Iqbal “Menjadi ‘abid Allah tentera Muhammad”. Dan katanya lagi “ku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup membangunkan zaman yang baharu, memperbaharui kekuatan iman, menyalakan pelita hidayat, menyebarkan ajaran khatimul anbiya….”

Itulah sebenarnya ramuan untuk kita lihat dan pelajari bagi menyempadankan diri. Tanpa mengetahui asal usul Agama, Bangsa dan Budaya maka sukar untuk kita kembali membina tembok-tembok kekuatan diri menghadapi dunia globalisasi. Janganlah dirisaukan tentang dunia tanpa sempadan kerana dari wujudnya dunia ini pun tidak bersempadan. Kekuatan sesebuah Negara terletak kepada keteguhan umat dan masyarakatnya. Sifat “Ketuanan diri” harus diserapkan ke dalam minda kita agar kita memperdaulatkan Agama, Bangsa dan Budaya kita, supaya kita tidak bermegah dengan budaya Barat khususnya yang kian menular di dalam masyarakat kita hari ini. Kalau dulu orang tua-tua berpesan “makan boleh sebarang makan….cakap jangan sebarang cakap”. Pesanan saya pula kerana makan sebaranganlah maka kita juga lupa budaya hingga bercakap pun boleh sebarangan ditambah pula dengan kelakuan yang tidak bersempadan.
Ingat dan kajilah diri sebelum kita mengkaji dunia globalisasi. Sesebuah Negara hilang tergadai adakah kerana globalisasi duniakah atau globalisasi diri?





Saya terlebih dahulu ingin memohon jutaan maaf kepada pihak Buletin Demokrasi kerana gagal menghantar penulisan saya pada keluaran lepas. Ini adalah kerana saya dan keluarga telah telibat di dalam satu kemalangan jalanraya yang agak teruk. Kereta saya boleh dikatakan “total damage”. Namun syukur ke hadrat Ilahi kerana saya dan seisi keluarga selamat kecuali anak kecil saya yang berumur 4 tahun mengalami kecederaan di bahagian mata dan hidung namun tidak serius. Inilah pengalaman ngeri yang belum pernah saya alami seumur hidup. Selama 22 tahun inilah kali pertama saya terlibat dengan kemalangan jalanraya. Kereta saya telah dilanggar sebuah lori 12 tayar yang terbabas ketika hujan. Inilah yang dikatakan malang tidak berbau. Kita pandu dengan berhemah pun tetap boleh terlibat dengan kemalangan, inilah takdir namanya. Namun saya redha dan bersyukur. Harta boleh dicari tapi nyawa tiada ganti. Syukur saya, suami dan anak-anak selamat. Itu yang penting. Alhamdulilah.

No comments:

Post a Comment