ASSALAMUALAIKUM

Saturday, November 19, 2011

PEMBANGKANG MUFLIS

Setiap hari kita mendengar pelbagai tuduhan dan kehendak yang dilemparkan parti pembangkang terhadap kerajaan. Pelbagai usaha yang dilakukan untuk menuding jari bagi mencungkil kelemahan kerajaan. Mungkin ramai yang telah lupa bahawa strategi parti pembangkang sudah sampai ke penghujung jalan. Apa yang bakal dicatatkan di sini hanya satu analisis sendiri bagaimana pihak pembangkang mengadakan pelbagai strategi bagi meraih sokongan pelbagai kelompok masyarakat. Kita mungkin terlupa bahawa masyarakat Malaysia bukan sahaja terdiri dari pelbagai lapisan bangsa tetapi juga pelbagai lapisan kelompok masyarakat. Antaranya kelompok “perkaumanan” yang wujud tidak kira di dalam bangsa apa sekalipun, samada Melayu, Cina ataupun India dan Kristian. Terdapat juga kelompok Mat rempit, Kelompok NGO, agamawan, belia, golongan miskin dan juga golongan homoseksual. Maka di sini mari kita lihat satu persatu analisis bagaimana parti pembangkang menggunakan pelbagai isu bagi menyesuaikan setiap kelompok yang menjadi sasaran bagi meraihkan sokongan untuk pilihanraya ke 13 akan datang.

Pertama kes Namawee, saya katagorikan dia di bawah kelompok “racist”. Inilah caranya mereka menggunakan Namawee untuk melakukan pelbagai cara bagi menarik kemarahan kerajaan dan bangsa Melayu terhadap satu budak Cina. Mereka hanya menunggu sahaja tindakan yang akan diambil ke atas Namawee. Sekiranya sebarang tindakan di ambil percayalah sedikit sebanyak mereka akan membawa Namawee untuk berkempen dan menyatakan bagaimana dia telah diperlakukan secara tidak adil oleh Kerajaan dan keadaan ini sudah tentu akan membawa kemarahan kaum Cina sekiranya sebarang tindakan di ambil oleh kerajaan. Dengan kebijaksaan kerajaan perkara tersebut telah berjaya ditangani. Bagaimana caranya? Lahir sudah sebuah filem oleh beliau, maka isu yang pernah dikatakan oleh pembangkang bahawa budak ini hanya ingin menunjukkan bakat dan kreativitinya, sudah terbukti, walau filemnya tidak se kreatif mana pun. Maka membisulah kelompok “racist” tersebut.

Kedua, Isu “BERSIH”, ia merupakan satu taktik untuk menarik golongan dari kelompok NGO bagi mempersetujui kehendak dan permintaan yang digariskan sebagai adil dan bersih. Sedangkan kita semua tahu kronologi bagaimana isu tersebut berlaku. Sekiranya mereka ingin mengadakan sebarang tuntutan, secara professional hanya perlu menghantar memorendum kepada SPRM. Dikatakan mereka cuba untuk mendapatkan temujanji dengan SPRM, kerana kesukaran untuk berbincang dengan Pengarah SPRM, maka satu demonstrasi aman harus di adakan. Isu sebenar hanyalah ingin mendapatkan perhatian dari pihak NGO sahaja. Sedangkan kita semua tahu bahawa tawaran telah pun diberikan oleh kerajaan untuk mereka berada di dalam panel SPRM tetapi lain pula yang dituntut. Akhirnya isu tersebut terdiam, kerana sudah muflis isu.

Ke tiga, Isu “Negara Kebajikan” juga sudah terjawab selepas pengumuman belanjawan oleh Perdana Menteri yang ternyata begitu prihatin ke atas kebajikan rakyat. Sudah tentu apa yang bakal dilaksanakan oleh “buku jingga” sudah lama dan telah lama dilaksanakan oleh kerajaan. Seperti pelbagai subsidi gula, petrol, beras dan pelbagai lagi. Sedangkan apa yang hendak dilaksanakan di dalam “buku jingga” masih menjadi impian yang belum menjadi kenyataan. Lebih-lebih lagi apabila tidak dinyatakan pembangkang bagaimana cara mereka untuk menjana ekonomi selepas 100 hari membelanjakan wang . Mungkin setelah 100 hari rakyat Malaysia terpaksa mengikat perut semula bagi merealisasikan impian “buku jingga”. Isu menjana dana tidak terjawab sekali lagi muflis.

Isu yang akhir ingin dibincangkan adalah bagaimana akhirnya pembangkang ingin pula menarik perhatian “kelompok homoseksual”. Ini saya namakan ”modal terdesak” Mungkin rakyat Malaysia telah lupa bahawa kelompok ini hari demi hari berkembang di Malaysia. Dengan membuat isu sedemikian ianya sedikit sebanyak meraih sokongan bakal pengundi dari kelompok ini. Kita semua tahu bahawa mereka tidak kira “gay”, “biseksual” ataupun “lesbian”, tetap mempunyai kad pengenalan dan layak untuk mengundi. Inilah modal akhir yang digunapakai parti pembangkang bagi meraih sokongan.

Kalau hendak dibincangkan di sini isu tentang kelompok sudah tentu 200 mukasurat pun belum tentu cukup. Maka saya amat berharap kerajaan akan mula membuka mata bukan sahaja untuk meraih sokongan bangsa mahupun kaum tetapi jangan lupa juga kelompok-kelompok yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum tetapi mempunyai satu citarasa dan cita-cita yang mereka kongsi bersama. Sekiranya sensitiviti kelompok ini terguris maka seluruh kumpulan mereka juga akan memberi impak yang sama. Niat pembangkang hanya satu mencipta satu isu dan mengharapkan rakyat menyerang kerajaan seperti serigala .Iqraq!!

“In politics you must always keep running with the pack. The moment that you falter and they sense that you are injured, the rest will turn on you like wolves.” R.A.Butler.

MENGAPA GENERASI Y MENOLAK KEPIMPINAN NEGARA

Usaha kerajaan untuk terus menerus mengambil hati generasi “Y” pada pandangan saya akan menuju kegagalan sekiranya beberapa perkara penting tidak di ambil tindakan. Dari pengalaman bercampur dan bergaul dengan beberapa belia banyak rungutan mereka terhadap kerajaan. Banyak masalah dan tuduhan ditudingkan kepada para pemimpin sehingga mereka lupa bahawa kerabat kaum keluarga pemimpin juga memainkan peranan yang penting dalam mencemarkan kredibiliti pemimpin itu sendiri.

Kalau dahulu kita sering mempertikaikan akan hak keistimewaan dan kekebalan Raja-Raja sedangkan ianya sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Segala kekebalan dan hak keistimewaan tersebut walaupun disahkan secara bertulis, masih juga orang pertikaikan. Tanpa kita sedari yang sah dipertikaikan tetapi yang tidak langsung disahkan menggunakan hak tersebut dengan sewenang-wenangnya. Siapa lagi kalau bukan kerabat dan anak-anak kepada pemimpin.

Berbagai isu pernah ditimbulkan seperti keistimewaan anak-anak pemimpin mendapatkan pelbagai pinjaman dan geran kerajaan secara mudah tanpa melalui sebarang proses biasa. Kalau kita bercakap tentulah orang akan bertanya di mana buktinya. Sudah tentulah kita mempunyai bukti dan senarai nama mereka yang mendapat kemudahan ini. Tidak mungkin saya akan paparkan di sini cukuplah untuk dinilai sendiri oleh Perdana Menteri setelah senarai ini yang akan dihantar kepada beliau. Bukan saya yang akan menghantarnya tetapi sekumpulan anak muda yang begitu marah kerana turut mempunyai keinginan berniaga seperti anak pemimpin lain.

Banyak lagi perkara bukan sahaja kemudahan perbankan tetapi juga kemudahan pembelajaran dan kemudahan kolej seperti mendapat gred yang cemerlang turut dinikmati oleh anak-anak pemimpin ini. Bayangkan bagaiman perasaan anak-anak muda ini yang terpaksa bersusah payah membuat pelbagai kertas kerja bagi memulakan perniagaan akhirnya terpaksa ditolak begitu sahaja dengan alasan tiada “koleterol”, cagaran mahupun penjamin VVIP yang dapat menyokong kertas kerja mereka.

Seandainya dikeluarkan satu borang penilaian kepada mana-mana kolej dan Universiti sudah tentu akan mendapat satu jawapan yang sama. Iaitu “Technical know who is more important then technical know how”. Akhirnya anak muda ini akan menjadi tidak bersemangat lagi untuk mencapai impian mereka kerana mereka kebanyakkannya hanya terdiri dari “tecknical know how”.

Tidak hairan kebanyakkan anak-anak muda yang pintar dipergunakan kepintaran mereka apabila semua kertas kerja dan kajian perniagaan yang dibuat oleh mereka di ambil oleh sesetengah anak-anak pemimpin yang “business minded’ ini untuk dihantar sebagai kertas cadangan perniagaan mereka. Setelah berjaya dan tercapai apa yang dihajati akhirnya anak muda yang pintar ini ditinggalkan begitu sahaja, tanpa mendapat sebarang upah jauh sekali saham yang dijanjikan.

Pemimpin atasan seharusnya lebih peka terhadap permasalahan ini. Bukan pemimpin sahaja yang seharusnya ditalbiahkan tetapi juga anak-anak mereka, agar tidak menggunakan hak keistimewaan apalagi merasa kebal ke atas kuasa yang diperolehi oleh ibu atau bapa mereka sebagai pemimpin.

Jadikanlah kes kelulusan “public Fund” sebanyak 250 juta itu sebagai satu pengajaran bahawa keadaan ini sememangnya telah dulu dan kini berlaku cuma jangan dibiarkan selamanya.Kalau tidak diubah pasti rebah!!

Kerajaan harus menangani masalah ini dan memantau segala hak keistimewaan dan kekebalan ini dihentikan. Jadilah seperti contoh bagaimana Saidina Umar Alkhattab berkata kepada anaknya”mengapa unta kamu gemuk, sedangkan unta rakyat semuanya kurus?. Jawab anaknya” saya memberi makan dan minum ditempat yang disediakan oleh ayah kepada orang ramai sama seperti orang lain. Jawab Umar “unta kamu gemuk kerana rakyat terpaksa memberikan laluan untuk unta kamu makan dan minum sepuasnya dahulu, kerana kamu anak Khalifah, maka juallah unta kamu kerana tidak akan aku izin anak-anakku menyalahgunakan kuasa yang telah Allah berikan kepada ku.”

Usaha kerajaan untuk menambat hati golongan muda akan menjadi sia-sia sekiranya keadilan tidak diberikan kepada mereka. Mereka adalah dikalangan belia cerdik pandai yang tahu samada sesuatu perkara itu mengikut sistem ataupun tidak. Golongan ini bukan sahaja pemerhati seperti rakyat Malaysai yang lain tetapi juga pengkaji yang akan terus mengkaji dan mendapatkan satu jawapan secara pasti. Iqraq!!

“Policies are many, Principles are few, Policies will change, Principles never do.”
John C. Maxwell

Tuesday, October 18, 2011

ISA : KENYATAAN HARAKIRI ATAU ADA UDANG DISEBALIK MEE?

ISA : KENYATAAN HARAKIRI ATAU ADA UDANG DISEBALIK MEE?

Pelbagai reaksi rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri kita membuat satu pengumuman yang mengejutkan pada tanggal hari Malaysia 2011. Saya agak mengambil masa untuk memberikan komentar di dalam penulisan kerana ingin mencerna minda terlebih dahulu untuk memahami maksud sebenar keputusan yang telah di buat oleh PM Dato Seri Najib.

Setelah berulang kali membaca teks ucapan beliau maka pada pandangan saya ianya boleh dilihat dari perspektif positif dan negatif. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa selama ini kebanyakkan tahanan yang diletakkan di bawah pengawasan ISA boleh dikatakan 70% melibatkan “jenayah tegar” seperti perancangan pengeboman serta tidak kurang juga penyelewengan agidah dalam agama. Hanya segelintir sahaja tahanan yang melibatkan ahli politik. Namun kebanyakkan isu yang di bawa oleh pembangkang menjurus kepada hak asasi manusia yang menjurus kepada ahli politik. Tidak tahu di mana silapnya. Apakah kerana pihak POLIS sendiri enggan mewar-warkan kelompok tawanan mereka ataupun ianya sememang harus dirahsiakan. Saya pernah bertanya kepada pegawai POLIS sendiri ketika diberikan taklimat tentang ISA mengapa tidak didedahkan kelompok tawanan, namun jawapan mereka ialah takut rakyat Malaysia akan panik mendengar jumlah penjenayah yang melibatkan diri dengan pengeboman. Jawapan itu agak praktikal, namun tetap akan menimbulkan persoalan ketika kenyataan yang dibangkitkan tentang ISA hanya melibatkan orang-orang politik semata.

Inilah Malaysia kita sering disonggokkan dalam kegelapan. Banyak perkara yang telah dilakukan oleh pihak POLIS yang jauh dari pengetahuan umum. Pada khidmat saya tidak salah sekiranya sedikit penerangan ini diberikan tentang sepanjang ISA ditubuhkan apa yang telah mereka lakukan bagi menyelamatkan Malaysia dari ancaman pengganas.

Rakyat sering ditinggalkan tanpa penjelasan, inilah puncanya maka tanpa pengetahuan yang luas serta hanya disebarkan pada orang-orang tertentu maka pelbagai spekulasi negatif yang dilemparkan kepada ISA.

ISA merupakan satu akta yang telah Malaysia ungguli, walau pada ketika itu kita dicemuh oleh negara luar dengan kenyataan tidak menjaga hak asasi manusia. Namun lama-kelamaan kita melihat bagaimana New Zealand, Australia, Singapura dan US telah mula mengikut jejak langkah kita dalam menangani isu jenayah dan pengganas di negara mereka berpaksikan akta ISA walaupun berselindung dengan nama lain. Persoalannya apakah dengan memansuhkan ISA akan membuka mata dunia bahawa Oppss!! Maaf kami kerajaan Malaysia tersilap?” atau “betul kata penentang ISA, kami memang silap dengan langkah mewujudkan ISA”.





Saya amat tidak memahami mengapa ISA harus diubah namanya sedangkan apa yang akan digubal hanya dua undang-undang baru dibawah 149 Perlembagaan negara? Bukankah sememangnya pada dasar awal itulah tujuan ISA ditubuhkan adalah untuk menjaga keamanan negara. Apakah dengan menukar nama akan memberi satu kepuasan kepada pembangkang atau pejuang hak asasi manusia? Mengapa tidak dikekalkan sahaja nama ISA serta digubalkan intipati aktanya sahaja?

Ini akan menambah kekeliruan rakyat Malaysia. Saya menganggap PM hanya akan “harakiri” sekiranya pengisian yang sama walau tidak serupa yang bakal menggantikan ISA. Pemimpin harus ingat bahawa rakyat Malaysia sudah cerdik pandai mereka akan mengkaji sedalam-dalamnya intipati yang bakal diganti. Kalau sekadar ingin menukar nama, maka ini adalah satu kesilapan yang besar. Seharusnya ISA dikekalkan dengan menggubal hanya pengisian aktanya sahaja. Kerana pada akhirnya ia tetap bersangkutan dengan nama ISA (Internal Security Act).

PM harus mengkaji apakah yang tidak sesuai di bawah akta ini dan memindakannya mengikut kesesuaian zaman, tapi bukan hanya dengan menukar nama. Itulah anggapan dan harapannya. ISA merupakan integriti pemimpin yang telah melaksanakannya, namun apabila keputusan telah dibuat untuk memansuhkannya telah memeberi satu tanggapan yang amat negatif kepada rakyat terhadap pemimpin yang telah menubuh dan melaksanakannya. Kalau sesuatu perkara dimansuh maka jelas perkara tersebut tidak baik. Kalau tidak baik mengapa terpaksa menunggu 3 pemimpin untuk memansuhkannya? Apakah sekadar ingin mencipta gimik sejarah?

Apakah dengan pembubaran ISA yang begitu lama wujudnya di Malaysia atas hanya desakan beberapa pemimpin pembangkang? Bagaimana sekiranya perkara ini yang dianggap telah berhasil oleh pihak pembangkang akan mengundang pembubaran kepada Perlembagaan Persekutuan? Kalau ISA yang telah banyak berjasa menjaga keamanaan negara mudah dibubarkan maka tidak hairan kalau satu hari nanti terdapat pemanjangan desakan bagi mengubal perlembagaan persekutuan terutama tentang “hak orang Melayu” dengan alasan satu Malaysia, satu suara, satu tanah dan satu hak samarata.

Saya harap PM telah membaca sedalamnya implikasi kepada rakyat mahupun pembangkang yang kebanyakkannya lebih cerdik pandainya untuk membuka mata dan telinga tentang pengumuman pegisian baru menggantikan ISA. Sekiranya hanya sekadar bersalin tajuk maka ini namanya “harakiri”. Namun sekiranya ada “udang disebalik mee” maka berhati-hatilah kerana sekecil mana udangpun tetap akan dicari dan digali oleh pembangkang dan rakyat. Bersiaplah untuk menerima hakikat di dalam PRU13 nanti. Kata pepatah Melayu “Buat jahat jangan sekali buat baik berpada-pada”. Iqraq!!

Tuesday, August 9, 2011

YANG BERHORMAT KAWASAN CYBER

Hari ini mungkin orang akan tertawakan saya kerana ingin mencadangkan agar melantik seorang YB bagi menjaga kawasan Cyber. Tentu orang akan berkata “kan kita dah ada Menteri Penerangan dan Suruhan Jaya Komunikasi Dan Multimedia.” Cuba fikirkan keadaan Menteri tersebut adakah beliau berada 24 jam di hadapan PC. Apakah orang yang memantau juga berada 24 jam di depan PC ataupun bolehkah pegawai tersebut bersuara dan berdebat di Parlimen ketika beliau teruk berperang di laman cyber. Maka tentulah pegawai tersebut terpaksa membuat kertas lapuran dan sebagainya untuk dibaca semata-mata oleh menterinya, walaupun pada hakikatnya belum tentu Menteri tersebut faham.. Jadi bila timbul kes menteri tersebut secepat kilat tindakan di ambil. Tapi bila tohmahan ke atas orang lain, kata orang Kedah “buat deeeekk saja”. Dalam ertikata lain buat tak nampak.

Oleh sebab itulah maka Perdana Menteri harus mengadakan seorang wakil rakyat bagi kawasan yang paling penting yang banyak menimbulkan huru-hara dewasa ini. Tugas YB Cyber adalah menjaga keamanan rakyat dan memperbetulkan segala tohmahan rakyat dan tak kurang juga memberikan info yang tepat tentang pelbagai tawaran oleh kerajaan. Dalam ertikata lain, ketika kerajaan menyuruh rakyat mengisi borang memohon dana, maka terangkan bila akan habis dana tersebut atau dana tersebut telah habis dipohon dan sebagainya. Tidaklah iklan tawaran tersebut dibiarkan terpampang bertahun-tahun di laman web. Bukankah itu menyusahkan rakyat namanya. Kalau ada Kementerian yang bukan kaki update web, maka terkenalah rakyat jelata yang terpaksa naik turun Kementerian. Bila sampai di Kementerian, selalunya inilah jawapannya “maaf cik kami tak sempat update web, sebenarnya dana tersebut dah ditutup”……apa lagi jawapan rakyat “hampess!!, sebegini jauh aku datang setebal ini working paper aku, itu je dia jawab.”

Sekiranya keadaan ini berlaku sudah tentulah YB Cyber akan bawa terus ke Parlimen dan menceritakan masalah rakyat cyber. Bukan itu saja malahan YB Cyber yang kerjanya 24 jam berada di depan PC bersama pegawai-pegawainya sudah tentulah akan menggeladah semua kawasan, dan bukan kawasan yang di “taq” sahaja. Inilah kerja mereka. Sebarang masalah yang di hadapi oleh kerajaan akan selesai terutamanya panggilan dan undangan maut dari BERSIH sudah tentulah dapat dihentikan atau dinasihatkan oleh YB Cyber ini. Sudah tentulah Ketua Polis Negara tak payah nak talipon sana sini orang-orang yang ada pengaruh untuk mewar-warkan supaya jangan ikut anjuran BERSIH sedangkan sebab kenapa tidak boleh menyertai BERSIH tidak diterangkan dengan jelas.

Bila dunia Cyber tidak ada pemimpinnya maka sudah tentulah rakyatnya akan mengadu ikut suka hati pada siapa yang dianggap begitu aktif di dalam dunia cyber maka itulah yang akan dilantik sebagai pemimpin untuk mereka merujuk. Termasuk juga uintuk menghentam sesama sendiri.


Sudah tiba masanya Perdana Menteri menilai semula untuk melantik wakilnya sebagai pemimpin dunia Cyber kerana kawasan dunia Cyber sudah menjadi seperti sebuah kawasan yang dihuni oleh manusia liar “savage”. Kenapa saya kata “savage” kerana sebahagian besar mereka sudah tidak mempunyai akhlak dan adab, ketika mereka mempermain-mainkan pemimpin. Tidak kiralah samada di antara parti kerajaan atau pembangkang. Cuba bayangkan ketika gambar PM dan isteri dipermainkan dan gambar anwar “dipondankan” inikah yang ingin kita anjurkan kepada kanak-kanak? Sedangkan kita tahu syarat kelayakan untuk kanak-kanak membuat “facebook” haruslah berdasarkan umur yang ditetapkan. Namun secara tidak sedar dunia facebook turut dimonopoli oleh kanak-kanak di bawah 12 tahun. Bayangkan kalau mereka menyaksikan gambar sedemikian terutamanya di dalam facebook. Itu tidak termasuk kata-kata nista dan cela kepada pemimpin. Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan?

Sekiranya ada YB Cyber sudah tentu kita akan melemparkan tanggungjawab ini kepada beliau. Inilah masalah rakyat Malaysia kalau tak diberi pangkat dan kedudukan serta gaji yang lumayan semuanya akan daftar ke dalam dunia cyber kononnya aktif, dan menjaga dunia cyber tersebut secara “ala-ala…gitu”. Padahal masalah kian rancak. Kata keji dan nista pada pemimpin kian menjadi-jadi tidak termasuk gambar lucah pemimpin. Saya harap suatu hari nanti cadangan yang mungkin ditertawakan hari ini akan menjadi kenyataan apabila “Cyberwar” benar-benar berlaku. Inilah peperangan dunia ke3 yang akan menjadi kenyataan “PEPERANGAN DUNIA CYBER”. Iqraq!!

Tuesday, August 2, 2011

TERNYATA MANUSIA HIDUP ATAS ANDAIAN SEMATA

BISMILLAHHIRAHMANIRRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN YANG DIKASIHI NABI MUHAMADA S.A.W

Di dalam bulan yang mulia ini, ketika kita banyak disuruh berdiam, maka hati dan fikiran mulai melihat Kebesaran Allah dan kedudukan kita sebagai hambaNya. Banyak sungguh pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan kehidupan ini. Pelbagai jenis manusia yang telah kita jabat tangan, namun benar seperti kata Usman Awang “Kita sering berjabat tangan tapi masih belum berkenalan”. Namun hari demi hari setelah kita mengimbau kembali kenalan yang kita kenali maka terngiang-ngiang juga kata mereka ditelinga. Banyak yang menyeru ke arah kemaksiatan dan tak kurang juga yang menyeru ke arah kebaikan. Ketika ditimbang tara antara kenalan yang menyeru ke arah kebaikan ternyata lebih banyak di kalangan mereka yang baik rupa-rupanya lebih melangkaui Allah.

Ujub sesungguhnya sesuatu yang amat halus. Ada ulamaq berkata ”ketika ujub hinggap dihati ianya seperti seekor lalat dibatu yang hitam, sukar untuk dikenalpasti, apakah kita ketika itu menyatakan kebenaran atau mengiakan kebenaran mendahului Allah.” Sesungguhnya benar kata Ulamaq tersebut. Ketika kita menyeru kepada kebaikan serta banyak membuat ibadah dan kebaikan, mengharapkan orang tersebut mendapat hidayah dan terbuka hatinya, kita begitu bersungguh-bersungguh. Tak kala orang yang telah menerima kabaikan yang kita sampaikan, maka mulai saat itulah penyakit ujub timbul. Lalu berkata hati kecil kita..”Alhamdulillah si polan mulai sedar setelah aku membawa dia untuk mendengar dakwah.” Terlupa kita saat itu bahawa Allah telah mendahului kita saat itu. Allah telah menetapkan hati si polan tersebut sebelum kita berjumpa dengan dia lagi, lalu diperintahkan Allah untuk si polan bertemu kita hanya kerana Allah ingin memberi setitis sahaja pahala , tapi kita sudah berbangga, seolah-olah seluruh pahala milik kita. Astagharafilullahalazimmmmm!!

Manusia sesungguhnya hidup dengan penuh andaian mengatakan keadaan orang itu dan ini hanya kerana perubahan mereka. Sibuk kita melihat perubahan manusia dari baik kepada jahat atau ada juga yang masih mempertikaikan dari jahat menjadi baik. Sehingga kita lupa bahawa AKHIR PENENTUAN MANUSIA SAMADA KEKAL BAIK ATAU JAHAT ADALAH DISAAT SAKRATU MAUTNYA!!

Apakah hanya ibadah penentu di mana dan ke mana kita akhirnya? Saya ingin bertanya antara manusia di dunia APAKAH TANDA DOSA-DOSA KITA TELAH DIAMPUN??
Ternyata orang yang lebih banyak membuat dosa hati adalah manusia yang paling rugi di dunia walaupun beliau tidak pernah membuat dosa zahir seumur hidup. Ini adalah kerana sekiranya kita telah dan pernah melakukan dosa zahir, ternyata Allah akan menghantar dan pasti menghantar manusia-manusia lain bagi menegurnya. Sedangkan manusia yang kuat beribadah dan ternampak alim zahirnya tetapi penuh dengan dosa hati yakni penyakit mazmumah hanya mereka sahaja yang tahu. Maka mereka akan mudah merasa diri mereka suci lebih-lebih lagi apabila orang yang memandang mereka memuji dan memuja akan kealiman dan kesucian mereka. Lama kelamaan mereka akan tenggelam dalam pujian tersebut lalu terus mengandaikan bahawa syurga dihujung jari mereka. Mereka segera melupakan dosa-dosa fitnah, mahupun penganiayaan di dalam diam antara mereka dengan manusia lain. Kerana mereka pasti orang lain tidak tahu tetapi lupa bahawa Allah lebih tahu. Hiduplah mereka dengan andaian tersebut. Membeli syurga hanya dengan ibadah zahir. Ketika sedar mereka secara senyap memohon ampun kepada orang yang pernah mereka fitnah, namun janji Allah pasti, yang salah dan berdosa tetap berdosa.

Wahai manusia jauhkanlah menilai manusia lain. Mohon kepada Allah agar kita dijauhkan dari menilai manusia lain seperti jauhnya Timur dan Barat. Kerana sesungguhnya kita sendiri pun belum tahu ke mana akan di hantar oleh Allah di akhirat nanti. Tidak cukup dengan ibadah zahir tetapi ibadah yang paling bererti adalah ibadah hati. Telah bersabda Rasulullah “ di dalam badan manusia terdapat seketul daging, sekiranya seketul daging itu baik maka baiklah seluruh anggota tubuhnya, maka itu adalah hati”.

Saya ibaratkan hati seperti biji benih. Sekiranya benih itu baik maka pokok yang tumbuh akan menghasilkan buah-buahan yang banyak, sehingga dapat dinikmati oleh orang lain (yakni dapat memberi kebaikan) , walaupun tanpa dibaja dan hanya disiram sekali sekala. Namun sekiranya benih tidak baik (hati) maka pokok tersebut mahupun dibaja dan disiram berpuluh kali juga tidak akan berbuah, jauh sekali dinikmati oleh orang lain hasilnya.

Maka atas segalanya marilah kita hidup dengan menjauhkan diri kita dari andaian bahawa ibadah yang kita lakukan cukup, kebaikan kita cukup, dakwah kita cukup, sesungguhnya segala itu masih kecil untuk membalas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita. Lalu mengapa kita layak meletakkan diri sebagai ahli syurga sedangkan orang lain terzahir kejahatannya sebagai ahli neraka.

Kita sering memandang mulia kepada manusia yang tersasar aqidah. Mereka yang pernah tersasar aqidah (yakni menghijabkan guru dengan Allah) serta lari tauhidnya setelah kembali ke jalan yang benar kita tetap memandang mereka mulia, sedangkan mereka pernah mensyirikkan Allah. Akan tetapi ketika kita melihat seorang pelacur yang tidak pernah mensyirikkan Allah kembali ke jalan yang benar tetap sahaja kita menghina mereka. Rasanya seorang bekas pelacur akan lebih mengerti kenistaannya ketika menghadap Allah berbanding dengan orang ibadah yang mensyirikkan Allah ketika mereka kembali kejalan Allah lebih sukar untuk mereka menista diri mereka dihadapan Allah.

Ingatlah bahawa Allah Maha Adil. Dia membahagi-bahagikan dosa dan pahala kepada setiap manusia dengan seadilnya. Maka kita tetap akan pulang kepangkuanNya dengan dosa yang pernah, telah atau senantiasa kita lakukan baik hati mahupun zahir. Maka jauhilah kita dalam mengandaikan diri kita mahupun orang lain. Berserah sahaja kepada Allah Maha Penentu untuk menentukan segalanya. Sekiranya zahir kita sudah baik ibadahnya maka sibukkan pula ibadah hati kita supaya kesibukan hati berzikir kepada Allah memuji segala nikmatNya akan melalaikan diri kita untuk mengandai kedudukan orang lain di akhirat. Ingat bahawa syurga adalah atas ihsan dari Allah. Dia sahaja yang berhak menentukan dan kita hanya menurut KehendakNya. Kemampuan kita hanya terbatas dengan ibadah dan doa, manakala keputusan tetap bukan di tangan kita. Kembalilah kita menghayati sirah sunnah-sunnah Rasulullah serta Kitab Al Quran semoga Allah memberikan IhsanNya kepada kita. Jauhilah menganiayai, mengandai, memfitnah, serta mewujudkan kelompok-kelompok yang kita andaikan kelompok kita sahaja yang hanya diterima Allah. Sesungguhnya tiada kelompok atau individu yang Allah agihkan untuk Dia memberikan berkah melainkan mereka yang jelas mengkafirkan Allah. Selagi kita seagama maka kita bersaudara. Selagi kita mengucap dua kalimah syahadah selagi itulah tali persaudaraan kita berkait. Tiada kelompok yang diberikan keistimewaan oleh Allah melainkan yang mengikut sunnah dan Al Quran. Itu hanya Ayat-ayat anjuran Allah untuk kita menuju kepadaNya. Namun masih bukan penentu untuk kita berbangga dengannya. Kerana diakhir hayat sahaja kita akan tahu ke mana kita sebenarnya.

Maka takutkanlah Allah senantiasa seiring dengan nadi kita setiap saat dan waktu, seperti esok adalah kematian kita. Semoga Allah meringankan dosa kita dan menjauhi segala andaian ke atas diri kita mahupun orang lain. Tiada terzahir di mata kita siapa ahli syurga dan neraka, melainkan Allah sahaja Maha Mengetahui. Cukuplah sekadar mendampingi orang baik dan menghormatinya, namun jangan kita pula menyatakan bahawa aku pasti itu ahli syurga, kerana itu bukan haq kita jauh sekali dari pengetahuan kita, mahupun beliau seorang ulamaq ataupun orang biasa. Tugas kita ialah belajar dari seorang guru segala pelajaran yang mengikut kitab dan sunnah, berakhlak dengannya cukup sampai di situ tetapi bukan mengandaikan beliau ahli syurga mendahului Kuasa Penentu yang hanya ada pada Allah s.w.t. Wallahualam.

Sunday, July 31, 2011

FILEM BERSIH TENTANG KAPAL KARAM.

Selamat menyambut Ramadan buat semua pembaca. Semoga Ramadan kita tahun ini benar-benar dapat membersihkan jiwa dan hati bagi meneruskan perjuangan agenda negara. Bila sebut tentang isu bersih teringat kembali perjuangan BERSIH yang diadakan baru-baru ini. Kononnya yang hendak dituntut adalah keadilan di dalam pilihanraya akan datang. Apa lagi yang nak adil dah sapu 5 negeri belum adil lagi ke? Itulah suara sesetengah rakyat Malaysia. Rasanya budak sekolah rendah pun pandai menjawab isu BERSIH dan membuat spekulasi kenapa demonstrasi ini diadakan. Tak lain dan tak bukan kerana Ambiga (watak utama) telah dikambing hitamkan untuk menjadi sehelai kain yang disembur air mawar bagi menutup seekor bangkai gajah yang besar dan busuk. Siapa lagi kalau bangkai tersebut bukan Anwar Ibrahim (DSS). Kapal dah berlubang sana-sini tak sempat nak tampal, kerana banyak sangat lubang, lalu air dah masuk dan kapal menunggu masa dan hari untuk tenggelam. Itulah kapal PKR. Manakala PAS pula serba salah nak selamatkan kapal yang dah berlubang atau nak buat bodoh. Kalau buat bodoh dah tentu kapal PAS yang tersangkut talinya dengan PKR akan turut karam, maka terpaksalah terheret sama mengikut kapal yang dah bocor. Kalau beginilah sikap PAS yang masih bergayut di kapal yang bocor maka lama kelamaan dah tentu akan karam bersama.

Akan tetapi kelasi kapal yang paling bijak antara semua adalah DAP, bila nampak kapal nak bocor mula tarik tali, tunggu PAS palamkan kapal yang bocor bila semuanya dah baik mereka pun akan sangkutkan tali mereka semula ke kapal PKR. Inilah senario drama politik yang dapat saya gambarkan di dalam filem BERSIH yang bakal ditayangkan di dalam PRU ke13 nanti. Pengundi dah ramai yang memilih untuk menonton watak-watak bodoh yang mulanya menggelar diri mereka “pendesak” akhirnya telah bertukar menjadi “terdesak”, apabila memasang watak lain untuk kononnya menyerahkan surat kepada PM. Kalau betul nak serah surat tak payah nak berkostium kuning. Punya banyak warna kostium, warna tu juga nak pakai. Bila ditahan macam-macam alasan diberikan. Kononnya sekadar nak serahkan surat. Macamlah PM tak ada ofis.

Semakin hari kita akan didedahkan watak-watak bodoh di dalam filem BERSIH ini. Sudah tentulah pengarahnya PKR, pelakun yang di arah adalah PAS dan producernya tentulah DAP. Manakala rakyat Malaysia akan terus dijadikan penonton yang hanya akan menilai dan ketawa terbahak-bahak melihat watak-watak bodoh ini membaca skrip dan arahan PKR yang begitu terdesak sekali ingin menyelamatkan kapal mereka yang hampir karam.

Terang lagi bersuluh senario filem BERSIH. Moto yang sesuai untuk mereka-mereka ini ialah “Kalau Tak Menang Kita Kasi Karam Semua”. Oleh itu bagi penonton-penonton filem BERSIH yang bakal ditayangkan lagi sirinya sehingga PRU13, nasihat saya Iqraq!! Mereka-mereka ini belum pun kita pilih untuk mengambil alih kuasa sudah terang lagi bersuluh bagaimana watak mereka yang sanggup menyusahkan rakyat bagi mencapai apa yang mereka hajati. Kepentingan rakyat, perniagaan rakyat, keamanan rakyat semua sudah tidak diperdulikan. Apa yang penting hasrat mereka tercapai dan pasti itulah moto tersirat yang mereka pakai. Kalau perintah Agung dibelakangkan, nasihat PM diketepikan maka bayangkan kita sebagai rakyat yang ingin menjadikan mereka sebagai pemimpin akan datang, dapatkah nasib kita dibela, atau suara kita diperdengarkan atau kita akan menuju ke pemerintahan kuku besi “wa cakap lu ikut”. Pepatah Cina pernah berkata “Bo Cho Bo Phai”….”keadaan yang dah elok, jangan cuba diperelokkan lagi”. Kita belum melalui satu pemerintahan kejam dan zalim dari pemimpin sedia ada. Malahan pemimpin sedia ada sedang bertungkus lumus memperbetulkan keadaan, maka bagilah peluang untuk perubahan bukan membuat perubahan yang belum pasti kebaikannya. Andaikan kata kita mengharapkan satu kerajaan yang sempurna maka bersiaplah kita menunggu kedatangan Imam Mahadi dan Nabi Isa a.s. Hanya di tangan mereka sahaja akan wujud kepimpinan yang kita impikan. Maka bersyukur dan bersabarlah untuk berada di bawah kepimpinan yang sudah sedia baik kepada sebuah kepimpinan yang sempurna. InsyaAllah.

“SUCCESS IS NOT FINAL, FAILURE IS NOT FATAL : IT IS THE COURAGE TO CONTINUE THAT COUNTS.”
Winston Churchill

Thursday, July 21, 2011

KEMPEN BAHASA MELAYU UNTUK BANGSA MELAYU????

Bismillahirrahmanirrah
Selawat dan salam buat Baginda Rasulullah saw.

Baru-baru ini saya telah diundang oleh pihak Dewan Bahasa mengendalikan bengkel puisi moden dan puisi Tradisional. Saya telah diberikan tugasan untuk menjadi pembantu bengkel kepada sasterawan negara iaitu Dr Lim Swee Tin. Alhamdulillah peluang sebegini sesungguhnya amat berharga buat saya dan amat berterima kasih kepada pihak Dewan Bahasa.

Akan tetapi di sepanjang majlis yang diadakan di Parlimen Sri Gading, pelbagai perasaan yang wujud di dalam benak hati dan fikiran. Ditambah pula apabila mendengar ucapan perasmi majlis iaitu YB Dato’Mohamad Aziz ahli Parlimen Sri Gading serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa Ybhg.Dato’ Turmiezi. Pengisian ucapan Ybhg.Dato’KP Dewan Bahasa paling menyentuh minda saya takala beliau menyatakan bahwa kita merupakan satu-satunya negara yang membuat kempen untuk memartabatkan bahasa sendiri. Sedih bercampur terharu dengan kenyataan tersebut. Terasa juga seperti sebuah perkataan yang amat melucukan. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Inilah rumusan yang dapat saya perkatakan. Apakah tanggungjawab memartabatkan bahasa kita hanya diserahkan kepada pihak Dewan Bahasasedangkan pemimpin terbuai dengan bahasa-bahasa campuran Melayu Inggeris di dalam kenyataan media mereka? Apakah pihak dewan Bahasa akan berjaya sekiranya inisiatif dan tanggungjawab ini hanya diserahkan kepada mereka tanpa campur tangan dari pihak pemimpin dan pemerintah? Jawapan saya mudah sahaja. Tak mungkin berjaya?

YB Dato’ Mohamad Aziz juga telah menceritakan bagaimana pengalaman beliau ke negara Peranchis. Penduduk negaranya tidak akan melayan mana-mana pelancong yang menggunakan bahasa Inggeris sebaliknya akan melayan pelancong tersebutsekiranya mereka menggunkan bahasa ibunda negara masing-masing walaupun terpaksa ditambah dengan bahasa isyarat,betapa negara tersebut begitu menghargai bahasa ibundanya dan begitu menghormati bahasa ibunda orang lain. Bagaiman kita?

Kita merasa amat sedih apabila pemimpin GLC contohnya yang diberikan pangkat dan jawatan yang tinggi oleh parti pemerintah yang majoriti adalah Melayu tidak langsung ingin memartabatkan bahasa ibunda mereka. Cuba diperhatikan setiap kenyataan media mereka akan hanya berbahasa Inggeris bagi melambangkan betapa tingginya ilmu pengetahuan mereka dan juga martabat mereka memegang jawatan tersebut dengan bangganya bertutur dalam bahasa Inggeris. Sekiranya ini berlaku bagaimana generasi muda akan menyambut kempen tersebut? Barangkali generasi muda sudah pun berpendapat bahawa sekiranya kami terus bertutur dalam bahasa Melayu tentulah “tidak standard” atau kurang professional.

Tidak dapat dinafikan bahwa bahasa Inggeris itu penting namun dalam masa yang sama marilah kita pandang ke Timur iaitu Jepun yang tidak mahir menutur dalam bahasa Inggeris namun telah pun menguasai teknologi canggih di dunia.

Mulai saya terfikir bahawa inilah rumusannya mengapa pengaruh barat begitu mudah menerobosi minda dan cara hidup masyarakat kita. Pepatah yang mengatakan bahawa “Bahasa adalah jiwa Bangsa” sudah mulai menunjukkan kebenarannya. Ternyata sekiranya kita sering berbahasa Inggeris, maka lihatlah sendiri budaya apa yang dibawa oleh jiwa anak-anak bangsa kita sekarang. Malahan tidak hairan ada di antara mereka sudah mulai merasa malu untuk menyatakan bahawa “aku bangsa Melayu” apa lagi bercakap Melayu.

Inilah jati diri yang harus dikembalikan oleh pemimpin dan harus dimulai oleh tindakan pemipin itu sendiri. “Contoh melalui tealadan”. Jangan dipersalahkan rakyat atau generasi akan datang yang semakin hilang identiti bangsanya sekira mereka yakni pemimpin sendiri enggan untuk memartabatkan bahasa ibundanyanya sendiri. Fikirkanlah ini merupakan satu tanggungjawab besar yang tidak hanya mampu dipikul oleh sebuah jabatan seperti dewan Bahasa yang tidak mempunyai kuasa tindakan. Tetapi ini adalah sebuah isu penting untuk dibawa oleh pemimpin negara agar dari bahasa akan memulihkan jatidiri generasi akan datang bagi menanam jiwa bangsa.

Biarlah negara kita mencipta sejarah yang lebih inovatif dan bukan mencipta sejarah melakukan sebuah kempen yang bakal menjatuhkan maruah bangsa itu sendiri. Pada anggapan saya kempen ini tidak ubah seperti mengajar Melayu memakan nasi, mengajar Cina memakai chopstik dan mengajar India memakan kari. Kempen yang begitu bagus akhirnya hanya akan membuka pekung di dada sendiri. Membuka aib betapa kita harus dipaksa untuk memartabatkan bahasa kita yang seharusnya sudah sebati di dalam jiwa bagi memartabatkan bangsa kita. Di sinilah titik permulaan menanam semangat patriotik negara yakni memrtabatkan bahasa, sebelum memuliakan bangsa dan Negara.