ASSALAMUALAIKUM

Wednesday, April 21, 2010

KERUNTUHAN MORAL: BAGAIMANA MENYELESAIKANNYA?

Setiap hari kita berhadapan dengan kes-kes keruntuhan moral di negara ini. Masing-masing cuba untuk mencari penyelesaian. Saya begitu tersentuh dengan pandangan YABhg. Tun Siti Hasmah, apabila saya cuba untuk mengutarakan permasalahan ini kepada beliau sambil lalu. Dengan ringkas beliau menjawab "You have to do Mind Maping". Mungkin perkataan ini masih baru pada saya, lalu atas inisiatif sendiri saya cuba untuk memahami konsep "mind map" ini. Ternyata walaupun beliau sudah lanjut usia tetapi, idea beliau amat bernas dan begitu bagus untuk dilaksanakan, setelah saya mengkaji tentang "mind map" ini.

Inilah sepatutnya yang dilakukan oleh semua organisasi yang berkaitan. "Mind map" akan menjuruskan kita yang "brainstorming" di dalam satu-satu kumpulan untuk mencari asal-usul sebab sesuatu kejadian itu berlaku. Ia harus bermula dengan mengumpulkan anak-anak remaja yang terlibat, guru-guru, ibubapa serta majlis agama, termasuklah ketua-ketua agama yang berbilang kaum untuk mengenal pasti bagaimana punca sesuatu kejadian itu berlaku.

Dari perbincangan yang berterusan maka melalui cerita yang dilontarkan dari pengalaman sektor masing-masing kita akan menghasilkan sebuah peta, yang akan menjuruskan kita mengapa dan bagaimana sesuatu kejadian sosial itu boleh berlaku. Idea-idea yang dikutip dari setiap lapisan masyarakat ini akan membawa kita kepada punca. Maka hanya dengan mengenal punca penyakit sahaja, maka kita dapat merawat permasalahan ini. Inisiatif untuk mengumpulkan beberapa pemikir dari setiap golongan bermula dari kelompok yang terlibat sehinggalah kepada kelompok yang merawat, harus diambil oleh Kementerian Wanita dan Keluarga serta Kebajikan Masyarakat. Hanya dengan inisiatif ini sahaja maka kita akan menghasilkan sebuah "mind map" yang akan dapat mencungkil dari mana permasaalahan yang sebenar berlaku dan cara untuk menyelesaikannya.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan perubahan sosial secara keseluruhan, bukanlah sesuatu yang mudah dan bukan juga mengambil masa yang singkat untuk menyelesaikannya. Namun satu langkah harus dimulakan. Sekurang-kurangnya selangkah itu menghasilkan satu perjalanan kepada usaha untuk memulihkan keruntuhan moral di kalangan remaja. Diharap langakah seperti ini disegerakan dan tahniah serta ucapan jutaan terima kasih kepada YABhg. Tun Siti Hasmah yang telah menghasilkan satu ungkapan yang begitu bernas untuk dipelajari oleh generasi seperti saya, dan anda semua. Ternyata beliau seumpama mutiara yang tersembunyi di dalam cengkerang berlumut. Inilah mutiara asli yang harus kita gali, bagi meneruskan perjuangan tuntutan ilmu, menyelamatkan masyarakat akan datang.

Thursday, April 15, 2010

JAWATANKUASA AGAMA JANGAN HANYA TUKAR NAMA

Alhamdulillah akhirnya peringkat pertama perjuangan PERKASA dalam menentukan hak kedudukan agama telah dipersetujui di dalam majlis mufti. Peringkat kedua dalam perjuangan PERKASA adalah harus memastikan bahawa tidak akan wujud sebarang wakil agama Islam di dalam Jawatankuasa tersebut. Menurut Perlembagaan 153 perkara 3 termaktub bahawa agama Islam adalah agama resmi. Sekiranya wakil agama diletakkan di dalam majlis tersebut maka ianya juga jauh lari dari tuntunan perlembagaan 153.

Jangan hanya sekadar tukar nama tetapi perlaksanaan jawatankuasa juga harus ditukarkan. Sekiranya kita ingin memartabatkan agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan 153 perkara 3. Sekiranya masih wujud wakil agama di dalam jawatankuasa tersebut samalah seperti menghadirkan Yang DiPertuan Agung di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Oleh itu rakyat Malaysia harus faham dan fasih atas dasar dan platform apakah perjuangan PERKASA. Kita hanya ingin meletakkan sesuatu dasar tersebut bersesuaian dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan 153 perkara 3. Ini bukanlah tuntutan peribadi PERKASA tetapi tuntutan hak yang sedia termaktub di dalam perlembagaan. Seperti yang telah dinyatakan baru-baru ini bahawa Islam itu sendiri membawa maksud kesejahteraan dan sebarang kemusykilan haruslah dirujuk kepada jemaah mufti yang sedia ada.

Musyuwarah kaum yang bakal di adakan di bawah Ketua Perpaduan tidak perlu melantik mana-mana wakil agama Islam sebaliknya cukup sekadar melantik mana-mana wakil dari NGO yang berugama Islam dan berbangsa Melayu. Mereka juga akan faham kalau sekadar apa yang akan diperbincankan hanya perkara dasar dalam kesejahteraan setiap agama. Janganlah pemimpin begitu ghairah dalam melaksanakan apa-apa perkara pun di dalam lingkungan satu Malaysia dengan membelakangi dasar yang termaktub di dalam Perlembagaan 153. Dari seawal tahun 1957 kemerdekaan kita telah pun bernaung di bawah perlembagaan tersebut dan kesefahaman di dalam perlembagaan tersebutlah selama ini yang membuat rakyat Malaysia berbilang kaum hidup dalam keadaaan sejahtera dan harmoni sehingga timbul beberapa kerat petualang yang mahu diterima sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak mahu menerima perlembagaan Malaysia.

Kita sudah cukup melawan pihak yang tidak bertanggungjawab ini, bagi menjelaskan kembali kepada rakyat Malaysia kedudukan perlembagaan dan diharap janganlah pemimpin pula cuba mengelirukan rakyat Malaysia dengan sebuah perkara yang menjadi petunjuk kepada keharmonian antara kaum di sini. InsyaAllah PERKASA akan meneruskan perjuangan memperingati intipati isi perlembagaan semoga rakyat Malaysia berbagai kaum akan kembali menghormati susur galur Perlembagaan Persekutuan Negara Malaysia.

Tuesday, April 13, 2010

KE MANA ARAH PEMIMPIN KITA?

Perkara 3 di dalam perlembagaan 153 telah menetapkan bahawa Agama Islam adalah agama resmi di Malaysia. Cubalah kita fahamkan betul-betul ayat ini. Namun sekarang apa sudah jadi takala kerajaan sedang berusaha gigih untuk mewujudkan satu perpaduan di dalam negara akhirnya terpaksa memasukkan satu perkara yang sudah resmi di dalam perlembagaan dan digaul sekali di bawah satu bumbung yang diketuai oleh bangsa yang tidak pun menjadi penganut agama resmi di dalam perlembagaan persekutuan.

Apa yang dikatakan hak dan siapa yang dikatakan berhak di dalam tuntutan perlembagaan persekutuan 153 perkara 3 ini? Sekiranya telah termaktub bahawa telah resmi maka jawapannya sudah pasti tiada lagi kompromi dan diskusi antara kaum di dalam negara ini. Untuk apa Islam diletakkan di dalam satu sidang musyuwarah yang diketuai oleh mereka yang tidak selayaknya berstatuskan AGAMA resmi di dalam perlembagaan tersebut. Sungguh menyulitkan apabila soal agama, bangsa dan negara digauli sekali sedemikian.

Satu Malaysia pada saya adalah membawa arti kepada satu permuafakatan antara kaum dalam menetapkan hal-hal yang melibatkan keamanan dan kesejahteraan negara. Namun Islam itu sendiri membawa kesejahteraan dan keamanan. Untuk apa lagi hendah diperbincangkan dengan kaum lain. Kalau sesiapa sahaja waima bangsa mana atau agama apa yang musykil di dalam kesejahteraan agama Islam maka rujuk sahaja kepada mereka yang bertanggungjawab iaitu majlis Agama. Sekiranya ada perkara yang melibatkan keputusan agama maka rujuklah kepada Majlis Raja-Raja yang telah diberikan hak di bawah aturan perlembagaan 153 perkara 3.

Dari tahun 1957 kita merdeka dan selama itulah rakyat Malaysia hidup dengan aman, tenteram dan sejahtera di bawah payung perlembagaan 153, mengapa sekarang ramai yang mulai mempertikaikan tentang kewujudan fasal 153 di dalam perlembagaan persekutuan selama ini. Kalau Tun Mahathir pernah membaca sajak "Melayu mudah Lupa". Namun PERKASA kini kembali untuk mengingatkan sesetengah Melayu yang terlupa tentang hak-hak mereka yang selama ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Setiap bangsa Melayu harus ingat selama ini dengan bersandarkan perlembagaan tersebutlah maka kita masih menjadi Tuan di negara ini. Tetapi bukan sekadar dahulu tetapi kini dan buat selama-lamanya PERKASA akan terus mengingatkan bangsa Melayu akan buku keramat tersebut. Walau ada sesetengah Melayu yang cuba menyatakan bahawa itu perkara sudah sedia ada dan tidak perlu dipertikaikan lagi, maka jawapan kami ialah perkara perlembagaan sememangnya sudah sedia ada tetapi masalahnya bangsa melayu sendiri telah lupa sehingga membiarkan tuntutan bangsa lain memuncak menjolok mata.

Ingat bahawa sekiranya kita membiarkan perlembagaan ini dipermainkan samalah dengan kita membiarkan kepala bangsa Melayu di pijak. Janganlah mereka cuba untuk menggunakan perkataan "racist" di dalam perjuangan PERKASA. Ayat itu sengaja dimainkan supaya rakyat keliru dan mula melupai tuntutan hak dan kepunyaan orang Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan 153. Tidak ada isu "racist" di sini yang ada hanya manupulasi sesetengah kelompok bangsa yang tamak, yang bukan sekadar telah mengaut keuntungan ekonomi negara, tetapi juga mahu mengaut kuasa politik pulak dan sekarang dengan membuka pintu agama, maka mereka pula ingin meletakkan diri mereka di situ.

Apa lagi yang kita tinggal sekiranya ekonomi bangsa habis dikaut, sijil halal kepunyaan Islam juga telah kita perlawakan untuk makan bersama...sekarang apa lagi? Iqraq wahai rakyat Malaysia, apa lagi yang harus kita pelawakan kepada mereka yang lupa asal-usul, mereka yang cuba membelakangkan perlembagaan persekutuan tetapi masih belum mahu berhijrah ke negara lain. Mereka yang enggan menerima buku perlembagaan negara tetapi masih mahu dipanggil rakyat Malaysia. Fikirkanlah!!

Monday, April 5, 2010

MELAYU GLOKAL VS MELAYU GURKAH

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMAD S.A.W

Semua orang tentunya pernah mendengar perkataan GLOKAL. Ia merupakan satu pandangan baru yang diperkenalkan oleh YB Timbalan Perdana Menteri kita Dato’Seri Najib Tun Razak. Melayu Glokal yang dimaksudkan beliau adalah sekelompok Melayu yang mempunyai skill dan intelektual yang dapat bersaing hingga ke peringkat antarabangsa. Tanpa kita sedari sememangnya semakin ramai anak-anak Melayu telah pun mempunyai kewibawaan Melayu Glokal ini. Namun bilangannya masih boleh dihitung dengan jari. Bagaimana mewujudkan lebih ramai Melayu Glokal sepertimana yang diharapkan oleh pemimpin kita semuanya tertakluk kepada peluang yang dibuka oleh pemimpin itu sendiri kepada anak-anak Melayu yang sememangnya mempunyai cirri-ciri Melayu Glokal yang diharapkan.

Apabila kita menyebut tentang Melayu Glokal, harapan saya kepada pemimpin kita adalah supaya tidak hanya menghadkan kepada bidang-bidang tertentu sahaja untuk kita banggakan. Melayu Glokal adalah untuk semua rakyat Malaysia walau di dalam bidang apa sahaja yang diceburi ianya mesti diiktirafkan sebagai Melayu Glokal tidak terkecuali bidang seni. Kita juga tahu bahawa mereka juga sedang di dalam perjalanan untuk mengenegahkan intelektual mereka di dalam bidang ini, untuk bersaing dan membawa nama baik Negara ke seluruh dunia di dalam pencapaian-pencapaian tertentu mereka. Mereka juga harus diberi peluang dan diiktrafkan. Walaupun Melayu Glokal ini hanya disebut di kalangan pemimpin tetapi setiap masyarakat Malaysia yang terdiri di dalam bangsa Melayu patut menyahut seruan ini untuk membuktikan kepada Negara betapa mereka juga tidak mahu ketinggalan di dalam menjadi seorang anak Melayu Glokal yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat dunia lain.

Bagi pemimpin yang hendak menempatkan diri mereka sebagai anak Melayu glokal maka ilmu merupakan satu senjata penting. Selain dari itu sebagai pemimpin juga sekiranya mereka mengetahui kewibawaan yang baik dari kalangan mereka untuk diketengahkan sehingga peringkat antarabangsa maka laluan harus diberikan. Peluang harus dibuka dan sikap “ketam di dalam bakul” tidak harus wujud. Kita memang mempunyai beberapa pimimpin peringkat bawah dan pertengahan yang tidak perlu disebutkan namanya sememangnya mempunyai potensi untuk diketengahkan dipersada antarabangsa, namun kerana sikap ketam tadilah kebanyakkan mereka kecundang di dalam memperjuangkan hasrat murni mereka untuk menjadi Melayu Glokal, akhirnya hanya dijadikan Melayu Gurkha.

Mungkin semua tahu apakah makna “Gurkha” yang sering disebut-sebut sebagai mainan bahasa untuk menunjukkan bahawa mereka yang hanya layak berlari ke sana ke sini untuk kepentingan individu yang mempunyai kuasa dan harta. Mereka yang dikatagorikan Melayu Gurkha ini akan disuruh ke sana dan sini hanya untuk melakukan pekerjaan yang hanya memberikan keuntungan kepada sebelah pihak sahaja. Tanpa Melayu Gurkha ini sesetengah pemimpin mungkin tidak akan merasa kedudukan mereka sekarang. Habis manis sepah dibuang itulah selayaknya yang sering diterima oleh sesetengah individu yang bergelar Melayu Gurkha. Apabila pucuk dicita ulam mendatang, janji hanya tuinggal janji. Kebanyakkan Melayu Gurkha inilah yang rajin dan setia berkhidmat dan tidak kurang juga yang memerah tenaga dan intelektual untuk menempatkan seseorang individu ini menjadi pemimpin, namun perkataan yang sering diterima “you buatlah kerja untuk I dulu, bila menang nanti I pula akan ketengahkan you……..”kononnya. Setelah segala tenaga dan intelektual digunakan akhirnya dialog ini yang keluar” Ini idea I lah…..ini pun kerana I lah semua yakin pada I…bla…bla….bla”.

Sedih bila mengenangkan kebanyakkan anak Melayu yang pernah saya temui mempunyai idea dan intelektual yang bernas dan bijak, namun tak kemana. Hanya kerana mereka tidak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin maka tidak ada sesiapa yang akan membuka ruang dan peluang bagi mereka mengembangkan kemampuan mereka keperingkat antarabangsa.

Pemimpin kita seharusnya membuka satu pusat seperti “One Stop Centre” untuk anak-anak Melayu yang berkemampuan dan berkredebiliti menghantar kertas-kertas cadangan mereka untuk dilihat dan disokong oleh kerajaan serta dibawa cadangan bernas ini dan diketengahkan sekiranya ia layak berada persada antarabangsa.

Kita juga tidak hairan berlaku beberapa kehilangan kertas-kertas kerja tertentu di Kementerian tertentu. Bila mana sesuatu kertas kerja yang bernas dihantar untuk disemak oleh pemimpin tertinggi di Kementerian tiba-tiba cadangan tersebut diluluskan tetapi nama syarikat pula yang berubah. Cerita seperti ini sudah tidak hairan lagi di kalangan Melayu Gurkha. Penat-penat menjadi gurkha berlari ke sana-sini mendapatkan bahan dan kajian tiba-tiba orang lain pula yang kenyang menjadi Melayu Glokal. Membawa kertas cadangan serta melaksanakan projek tersebut hingga kepersada antarabangsa. Anak Cina makan pengatlah….sendiri mau ingat. Apakah sukar untuk menjadikan rakyat Melayu kita Glokal atau sudah ada anak Melayu yang tidak diGlokalkan walaupun mempunyai kewibawaan tersebut.

Kita memerlukan sebuah lagi pusat yang mempunyai Integriti seperti amanah untuk menjaga hak dan idea individu tertentu supaya idea mereka ini dapat disampaikan kepada pemimpin yang tertentu dengan selamat. Kita juga bukanlah hendak menyalahkan pemimpin atasan, namun kebanyakkan mereka pun tidak mengetahui bahawa idea yang dibawa ini adalah milik idea si polan dan si polan tiba-tiba bila sampai ke tangan mereka sudah jadi “lembu punya susu, sapi juga yang dapat nama”.

Sudah menjadi kebiasaan saya dan juga kegemaran saya setiap apa yang hendak diperkenalkan kita juga harus mengetahui masalah-masalah kaum Melayu Gurkha ini hadapi sebelum kita menginginkan sesuatu dari mereka. Kemampuan dan kredibiliti mereka harus dijaga haknya. Hanya orang-orang yang beramanah sahaja yang mampu menjaga idea dan intelektual orang lain supaya ia selamat sampai ke tangan yang berhak untuk diketengahkan dipersada antarabangsa..Menjadi Melayu Glokal itu merupakan impian semua rakyat Malaysia, namun kita harus juga memikirkan bagaimana caranya untuk mencungkil kewibawaan rakyat dan memastikan mereka mendapat peluang ini. Telah saya nyatakan bahawa amanah amat diperlukan dikalangan pemimpin bawahan mahupun atasan. Hanya dengan itu sahaja perkara untuk menglokalkan anak-anak bangsa kita akan menjadi kenyataan. Menjadi seorang Melayu Glokal intelektual tetap dan harus dibuktikan dengan kertas cadangan mahupun idea-idea yang digarapkan di dalam hitam putih. Sekiranya idea-idea ini dirompak ditengah jalan maka tidak ada maknanya. Akhirnya makanlah pengat…….

Banyak juga yang saya temui mempunyai kewibawaan menjadi seorang Melayu Glokal namun tetap tak ke mana. Idea dan intelektual yang dicurahkan habis disapu orang akhirnya Melayu yang sepatutnya menjadi Glokal berakhir dengan menjadi Melayu Gurkha buat sajalah kerja untuk orang lain, dia tak ke mana juga. Semua ciri-ciri untuk menjadi Melayu Glokal telah tersenarai namun tiada peluang dan ruang diberikan….akhirnya…lu …siapa? Anak pemimpin? Sahabat? Saudara? Makan la pengat…sendiri mau ingat.

Walau apa pun Melayu yang hendak kita jadikan, maka yang penting adalah memastikan mereka mempunyai iman. Jangan hanya sekadar bangga mempunyai Melayu Glokal mampu meletakkan nama dipersada antarabangsa namun akhirnya menggunakan persada tersebut untuk kepentingan peribadi, menjual dan mencaci Negara sendiri demi untuk kepentingan peribadi. Seorang Melayu Glokal harus disertakan iman seperti nasihat AS SYAHID SYED QUTB RAHIMAHULLAH’ALAH’ , beliau berkata :

“ Manusia tanpa iman ialah manusia yang kerdil dan kecil.

Manusia tanpa iman ialah manusia yang rendah dan dangkal cita-citanya.

Manusia tanpa iman ialah manusia yang sempit dan perit kehidupannya.

Manusia tanpa iman ialah manusia yang pendek dan singkat matlamatnya

Manusia dengan iman ialah manusia yang hebat dan gagah.

Manusia dengan iman ialah manusia yang tinggi dan jauh cita-citanya.

Manusia dengan iman ialah manusia yang luas dan aman kehidupannya.

Manusia dengan iman ialah manusia yang panjang dan jauh matlamatnya.”

Ingatlah para sidang pembaca yang saya hormati sekelian walau Melayu apa sekali pun yang kita jadi apa yang penting tetap iman. Kalau sekadar memegang kebanggaan menjadi Melayu Glokal namun tidak disertai dengan iman dan hati yang cinta Agama, Bangsa dan Negara, maka pencapaian tersebut hanyalah untuk kebanggaan diri semata dan akhirnya akan kembali menjadi kepentingan peribadi sahaja. Jadilah seorang Melayu Glokal yang mampu kita banggakan dengan menjaga kepentingan dan maruah Negara setelah berada di pentas antarabangsa.Jangan sampai dilelong di sana.

Bagi mereka yang tidak pernah diberi peluang maka janganlah sekadar bercita-cita untuk dijadikan Melayu gurkha sampai bila-bila. Biarlah orang memanggil kita Gurkha namun kita tetap mempunyai azam untuk merubah diri kita supaya tidak terus dipergunakan oleh orang lain. Seperti pesanan aruah ayahanda saya Sulaiman Palestin “we have to become a slave before becoming a master”. (Jadilah seorang hamba sebelum kita belajar menjadi Tuan). Biarlah kita dikatakan Melayu Gurkha hari ini, namun di dalam hati harus senantiasa menanam niat untuk menjadi seorang Melayu Glokal kebanggaan dunia dan akhirat.

Monday, March 29, 2010

E CLASS VS IKHLAS

Bismillahirrahmanirrahim

Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Muhamad s.a.w

Inilah trend kehidupan zaman serba cyber dewasa ini. Rata-rata bila kita sebut E class semua akan mudah nampak dan kenal sangat apabila ianya begitu banyak menjalar di jalan-jalan raya di Kota metropolitan khususnya. Inilah kereta mewah yang menjadi kebanggaan dunia Melayu khususnya dewasa ini.Kalau dahulu kereta mewah ini hanya mampu dimiliki oleh golongan elit yang berbangsa Cina. Tetapi sekarang tidak hairan lagi kerana ianya juga telah mampu dimiliki oleh pelbagai bangsa termasuklah orang Melayu kita. Megah….tentulah megah apabila kita melihat bangsa kita menyandar di dalam kereta mewah bernama E class ini berdesup ke sana ke sini.

Bagaimana pula dengan perkataan Ikhlas ? Sering juga kita mendengar perkataan ini. Tapi ianya bukan seperti sebuah benda yang boleh dipamirkankan tetapi ianya merupakan satu sifat yang akan terpamir melalui perbuatan dan tingkah laku. Kalau diikutkan bunyi perkataannya, sememangnya tidak dapat dinafikan senantiasa menjadi sebutan sepertimana yang disebut tentang sebuah kereta yang berjenama E class ini. Hakikatnya adakah perkataan ikhlas ini perlu disebut? Jawapannya tentulah tidak. Kata pepatah Inggeris Action speaks laouder than words.

Amat menyedihkan lagi apabila kita berada di dalam dunia perniagaan mahupun politik. Pandangan orang sebelum menilai hati mereka akan memandang apa yang kita ada. Seperti dialog yang sering berkumandang apabila lama kita tidak bertemu rakan taulan “U naik kereta apa sekarang?”. Nampak sahaja kita tidak membawa so called E class, dengan mencebek muka “business u ok ke sekarang, nampaknya u masih macam tu juga”. Itulah penilaian rata-rata pandangan orang Melayu ke atas kita. “Kalau nak jadi rakan kongsi kurang-kurang kenalah ada E class barulah kita senang nak lobi projek, orang pandang kita mantap.” Tapi di dalam kocek dan akaun bank syarikat Tuhan sahaja yang mengetahui bercelaru dengan hutang piutang di sana sini. Buka company, buat pinjaman, belum mula perniagaaan sudah mula memikirkan prestige dan style. Beli E class dulu ini imej syarikat kononnya.

Tak kurang juga bagi sesetengah pelobi projek yang rata-ratanya meletakkan syarat yang sama kalau hendak menyuruh mereka melobi satu-satu projek. Syaratnya “u kena kasi I E class dulu sekurang-kurangnya, barulah I nampak bergaya, untuk nak mengikut Menteri-Menteri bagi melobi projek.” Akhirnya projek tak dapat bergaya saja yang lebih. Mungkin kebanyakkan orang zaman sekarang sudah lupa bahawasanya penyangak sekarang yang lebih dikategorikan sebagai white colar crime pun dah pandai bergaya. Mereka pun tak kalah juga memandu E class ke sana-ke sini untuk mencari mangsa. Bagi peniaga-peniaga yang senang terpedaya dengan “halua mata” ini, senang-senanglah memasuk perangkap mereka.

Apa yang nak saya tekankan di sini adalah tentang betapa rendahnya pemikiran sesetengah orang terhadap first impression . Mereka langsung tidak berminat untuk menilai seseorang itu samada ianya ikhlas atau tidak dalam memegang sesuatu amanah. Tidak kiralah samada sebagai seorang rakan kongsi di dalam perniagaan mahupun sebagai seorang pemimpin. Apa yang dilihat dari luaran itulah penilaian pertama mereka. Keikhlasan sudah jatuh nombor dua. Belum melihat hati dan keikhlasan seseorang sudah mula mencebek bibir, sebab tak ada E class.

Dunia sekarang memang sudah banyak berubah. Amat sukar untuk membuktikan keikhlasan dari menjadi penyangak yang ber E class. Ini adalah kerana keikhlasan juga sering beserta dengan keberanian. Bukan mudah mempunyai sekeping hati yang ikhlas, sebab ianya juga akan melahirkan perkataan-perkataan yang sukar untuk ditelan. Seseorang teman yang ikhlas contohnya akan terus menerus menegur perkara yang tidak baik yang dilakukan oleh temannya. Tetapi persoalannya apakah orang lain boleh menerima teguran? Oleh itu satu sahaja nasihat dan pendapat untuk mengkaji apakah benar-benar seseorang itu ikhlas? Bagaimana untuk melihat keikhlasan hatinya? Jawapannya adalah kajilah latar belakang kelakuannya. Adakah ia meminta sebarang balasan setelah sesebuah bantuan dihulurkan? Sekali namanya orang itu benar-benar ikhlas menolong. Kali ke dua minta tolong lagi, masih orang yang ikhlas itu masih belum meminta sebarang balasan….Kali ke tiga minta tolong lagi. Bagimana pendapat anda adakah orang yang meminta tolong itu harus sedar bahawa beliau benar-benar mempunyai sahabat yang ikhlas atau seorang sahabat yang bodoh yang boleh diambil kesempatan sewenang-wenangnya? Jawapannya “ anak cina makan pengatlah,sendiri mau ingat ”. Biar hilang seribu kawan jangan hilang seorang kawan ikhlas beb! Kalau dah tiga empat kali asyik cangkul bantuan mau pandang-pandanglah sikit untuk menghulurkan bantuan pula, walaupun tak diminta.

Itu berlaku di dunia persahabatan dan perniagaan. Bagaimana pula dengan dunia politik? Kita sering mendengar dialog ini bukan “……dengan ini saya bagi pihak rumah anak yatim ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB si polan dan si polan kerana dengan ikhlasnya menyumbang derma sebanyak RM10,000.00 kepada anak-anak yatim kami….” Ada juga ceritanya pula apabila kita sibuk mengutip derma untuk bencana tsunami baru-baru ini, saya telah diberitahu bahawa, ada seorang ahli perniagaan yang ingin menyumbang secara ikhlas sekiranya majlis penyampaian derma tersebut dihadiri oleh pemimpin kenamaan, ada stesen TV untuk ambil gambar dan pelbagai lagi syaratnya. Apakah namanya tu E class atau Ikhlas? Pelik tapi benar itulah yang berlaku di dunia dewasa ini. Lucu sungguh lucu kadang-kadang apabila melihatkan satu-satu majlis kutipan derma itu diadakan, pengacara menyebut-nyebut perkataan “….inilah sumbangan ikhlas dari si polan dan si polan…” prap sana prap sini ambil gambar.

Tak kurang juga yang menggunakan anak-anak yatim untuk bergambar ke sana dan ke sini semata-mata untuk mempamirkan kepada masyarakat betapa ikhlasnya mereka bertungkus lumus memelihara, berkorban serta macam macam ada…untuk mempamirkan keikhlasan di semua corong media cetak dan elektronik. Tetapi sekiranya kita melihat kebajikan seseorang itu telah begitu lama, kemudian menjadi terkenal dengan sumbangan dan kebajikanya, saya menganggap inilah yang dikatakan The Miracle Of Sincerity . Buatlah kebajikan dan kerja amal itu bermula dengan keikhlasan dahulu lama kelamaan orang akan tahu juga. Sebab setiap perbuatan yang baik ianya adalah seperti benih yang baik, tersorok di dalam tanah lama kelamaan akan terkeluar juga tunasnya menjadi pokok dan kemudian berbunga sudah tentu akan berbau juga.

Saya amat suka mengaitkan keikhlasan ini dengan kerja-kerja amal di dalam pertubuhan-pertubuhan. Pada pandangan saya pertubuhan atau dengan perkataan lain NGO kata kawan saya No gaji Organisation ini merupakan sebuah gelanggang untuk kita membuktikan betapa kuat ataupun tidak daya ketahanan keikhlasan kita. Tak perlulah orang tahu, nama pun kerja amal. Gelanggang ini sering kita gunakan untuk mempertahankan hak masyarakat, beramanah dengan kewangannya dan ikhlas dalam memberikan sumbangannya. Bagi saya ianya merupakan sebuah universiti yang baik bagi bakal-bakal pemimpin, untuk kita menilai keikhlasan seseorang itu memperjuangkan nasib rakan-rakan mereka di dalam pimpinan mereka di dalam sebuah gabungan yang sepatutnya tidak boleh disertakan dengan sebarang kepentingan diri. Begitu banyak pertubuhan dewasa ini yang begitu aktif mengadakan acara-acara mengumpul dana dan sebagainya. Tetapi berapa kerat dari mereka yang senang untuk hanya membuat kerja tanpa sebarang populairiti

Sedih apabila kita melihat dewasa ini masyarakat yang menggunakan pertubuhan untuk mencari popularity dan isi perut sendiri. Kononya ikhlas tapi kalau nak melantik Presiden E class juga menjadi keraterianya. Saya pernah melihat tak kurang juga beberapa pertubuhan anak-anak yatim khususnya yang telah bergiat hampir 30 tahun tidak pernah dikenali tetapi telah mengeluarkan ramai graduan dan anak-anak yatim yang berjaya dibawah pemeliharaannya. Malahan Presidennya tetap membawa kancil dan langsung tidak pernah ditonjolkan di dalam masyarakat sebagai seorang insan yang ikhlas di dalam sumbangannya. Beliau tetap bertungkus lumus menjaga ratusan anak yatim tanpa sebarang populariti bagi beliau mendapat sumbangan dan dana dari orang ramai. Malahan kebanyakkan penderma juga hanya menamakan diri mereka sebagai “hamba Allah” setiap kali menghulurkan derma kepada beliau.

Lain pula dengan sesetengah pertubuhan. Kata mereka “kalau tak glamour….susahlah nak cari duit…..orang tak kenal kita.” Sedih apabila kita melihat pertubuhan-pertubuhan kebajikan khususnya dijadikan medan politik, apabila tak kurang juga yang menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden, semata-mata kerana melihatkan pertubuhan tersebut telah mantap dan teguh keewangannya. Jasa pengasas pertubuhan diketepikan. Jawatan-jawatan penting di dalam sesebuah pertubuhan kebajikan direbut, seolah-olah bertanding untuk satu kerusi kuasa yang penting. Apabila menang jawatan, menggunakan jawatan tersebut untuk kepentingan diri sendiri, sebagai laluan mudah untuk berdamping dengan pemimpin-pemimpin bagi mengisi tembolok sendiri. Satu minta untuk pertubuhan sepuluh untuk syarikat sendiri. Akhirnya terpakailah perkataan ikhlas untuk mendapat E class.

Begitu jugalah yang terjadi di dalam dunia lobi melobi. Tak kiralah untuk melobi pangkat atau kedudukan mahupun projek. Banyak dialog yang sering kita dengar lebih-lebih kalau di musim pemilihan “u ambillah duit ni….i ikhlas tau….mmm tapi kalau nak pangkah esok ingat-ingatlah muka I.” Tu lah sebab mula-mula ikhlas last-last melepas, jangan sampai ada yang tuntut di Padang Mahsyar sudah…..akan pemberian yang kononnya ikhlas. Macam tu juga dengan projek. Sama dengan juga. Setelah mendapat projek, dengan ikhlasnya pelobi menawarkan sumbangan ikhlas beberapa persen sekiranya berjaya mendapat projek tersebut. Macamana tu ikhlas kerana Allah ke? Atau Ikhlas memberi projek untuk mendapat E class?

Marilah kita mengambil iktibal dari nasihat tokoh pemimpin Islam kita terdahulu yang boleh dikaitkan dengan kedudukan ikhlas. Bergantung kepada anda pembaca budiman untuk menilaikan nasihat SAHL BIN ABDULLAH ATTUSTURI RH.A , kata beliau:

Ilmu, Amal, Ikhlas

“Seluruh manusia akan mati, kecuali para ahli ilmuan. Para ahli ilmuan itu akan mabuk, kecuali yang beramal. Seluruh yang beramal itu tertipu, selain yang ikhlas. Orang yang ikhlas itu berada dalam ketakutan, sebelum diketahuinya kesudahan amalnya itu.”

Memang panjang kalau kita nak menceritakan bab keihklasan ni. Amat sukar untuk mendefinasikannya sekira ianya diucapka. Akan tetapi mudah untuk kita mengenal keikhlasan itu sekiranya ia ditunjukkan dengan perbuatan. Jadi ingat-ingatlah kalau benar-benar nak membuat sesuatu pekerjaan tu dengan ikhlas tak payahlah disebut. Buat saja, anda akan melihat hasilnya. Seperti pepatah saya The Miracle Of sincerity .


Monday, March 22, 2010

PEMIMPIN PATRIOTIK VS PEMIMPIN KOSMETIK

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Semua tahu apa maknanya patriotik, tentulah semangat cintakan Alif, Bad an Ta (Agama, Bangsa dan Tanahair). Manakala pemimpin kosmetik pula akan kelihatan seperti Alif, Ba

dan Ta semangatnya tetapi hanya sekadar pakaian luar sahaja. Macam pakai alat kosmetik. Bila buang alat kosmetik Nauzubillah silap-silap kening pun tak ada. Bayangkan manusia tanpa bulu kening!! Muka yang putih melepak bersalut bedak tiba-tiba bersopak sana-sini. Begitulah gambaran kepada perkara yang dibuat-buat dengan perkara yang semulajadi.

Sedih dan menyedihkan apabila kita semakin hari semakin banyak pula makhluk jadian ini iaitu pemimpin kosmetik. Rentetan dari tajuk yang terhasil di atas adalah dari pengalaman peribadi bercampur gaul dengan pelbagai pemimpin dari pelbagai parti. Jangan hairan mengapa rakyat semakin benci dan loya dengan segala ceramah dan syarahan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin. Inilah yang dikatakan oleh peribahasa Jepun yang telah diberitahu oleh Ibu Julie Sudiro rakan seperjuangan saya di dalam KARYAWAN Malaysia. Kata beliau” manusia ini sering sahaja seperti pepatah Jepun menyatakan bahawa takala tercabut satu paku di ladam kuda sahaja sudah mampu mencacatkan larian seekor kuda. Lagi banyak paku di cabut dari kuda lagi mengurangkan kelajuan kuda tersebut”. Semua orang tahu bahawa kuda senantiasa dikaitkan dengan peperangan, bayangkan sebuah parti politik seperti paku di ladam kuda, bila banyak yang tercabut, maka kalahlah kuda tersebut dalam membawa pahlawannya berperang. Itulah gambaran yang sedang berlaku di dalam dunia politik, takala banyak yang digugurkan hanya kerana perbuatan pemimpin kosmetik lama kelamaan kita akan kehilangan pemimpin yang benar-benar patriotic. Pemimpin patriotic sering akan dihambat oleh musuh mereka untuk ditaburkan fitnah dan dianiyai, kerana potensi mereka yang terserlah. Jangan hairan kalau ada yang menghambat mereka untuk melontarkan fitnah terdiri dari rakan-rakan seperjuangan sendiri. Betapa bodohnya manusia, tanpa melihat risiko yang bakal di hadapi oleh parti.

Apabila berbincang dan bersembang sumbang bersama beberapa tokoh politik mereka sering menyuarakan kepada saya bahawa kita harus memerangi pihak lawan atau pihak parti pembangkang habis-habisan. Saya hanya tersenyum kerana dalam masa yang sama masing-masing mula memakai kosmetik dengan mengumpat dan mengata sesame sendiri di atas satu pentas perjuangan. Mereka ingin menjatuhkan sesame sendiri, bagi memastikan kedudukan politik mereka tidak tergugat. Mana yang lebih anda takuti musuh di depan matakah atau musuh di dalam selimut sendiri. Inilah yang dikatakan tidur satu bantal mimpi berlainan kepada sesetengah pemimpin kosmetik. Anak Cina Makan Pengat sendiri mahu ingat!!

Sifat pemimpin kosmetik ini bila berhadapan dengan parti lawan mereka akan membuat muka muncung dan masam di hadapan khalayak ramai tetapi bila di belakang berpeluk bercium pipi berbaik dan malahan ada yang secara senyap minta tolong untuk menjatuhkan rakan sendiri di dalam pentas politik yang sama demi mempertahankan kedudukan mereka dari di gugat oleh rakan seperjuangan mereka. Oleh itu jangan hairan kalau kita lihat sesetengah pemimpin parti pembangkang yang kaya raya, kononnya mendapat hasil dari luar Negara rupa-rupanya rezeki datang dari dalam kerana banyak dibantu pemimpin kosmetik.

Banyak perkara yang dapat dinilaikan dari pemimpin yang kosmetik ini. Iman bukan diwarisi begitu juga dengan patriotisme. Ia akan lahir samada dari kesedaran sendiri mempelajari dari kehidupan dan suasana masyarakat semasa. Pemimpin itu tak semestinya miskin atau tidak berharta untuk menjadi pemimpin patriotik tetapi lihatlah pendirian dan pegangan hidupnya. Ternyata beliau akan lebih bersikap terbuka dan lantang bila bersuara atau akan diam tetapi tegas ketika membuat sebarang keputusan. Tidak mempunyai pengikut yang ramai tetapi mempunyai ramai pengikut yang setia. Yang pasti pengikutnya bukan pengikut ayam, bila tabor dedak baru datang. Beliau mempunyai pengikut yang percaya pada karismanya, iaitu karisma memperjuangakan hak dan kebenaran.

Kita harus belajar dari sejarah bagaimana Hang Tuah yang begitu hebat bertempur dengan musuhnya di sana- sini akhirnya kecundang dengan Raja hanya kerana orang dalaman atau pemimpin kosmetik yang berjuang di dalam rumah yang sama tetapi menjatuhkan rakan seperjuangan sendiri. Moral dari cerita ini adalah ternyata betapa besarpun musuh di luar atau banyaknya parti pembangkang di luar tak mustahil utnuk kita mengalahkannya tetapi sekiranya musuh itu berada sesame kita dan tidur sebantal dengan kita itu lebih merbahaya. Pemimpin kosmetik ini tak perlu ramai utnuk menumbangkan parti kerana kerja dalaman beliau akan lebih berkesan dari kerja luar parti pembangksang. Tak susah menghadapi musuh di depan mata dari menghadapi musuh sesame kita.

Baru-baru ini juga cerita 300, juga telah menunjukkan kepada kita disebalik cerita tersebut seorang pemimpin Sparta hanya membawa 300 askarnya yang patriotic ingin menghadapi musuh yang beribu jauh lebih banyak dari askarnya. Beliau pemimpin Sparta akhirnya dapat mengalahkan beribu tentera Persia dengan hanya 300 askar beliau. Di akhir cerita ternyata pemimpin Sparta tersebut akhirnya kalah kerana hanya pemimpin Persia dapat membeli orang dalam atau pengkhianat Sparta. Banyak lagi cerita kalau kita nak buat contoh bagaimana besarnya sumbangan seseorang pemimpin kosmetik untuk menjatuhkan Agama, Bangsa dan Negara.

Bagi pemimpin atasan ingin saya nasihatkan agar lebih membuat kerja dalaman dari luaran dalam menghadapi pilihanraya akan datang kerana dari sejarah dan cerita yang telah dipaparkan ternyata adalah lebih membahayakan sekiranya kita tidak menumpaskan atau melucutkan jawatan-jawatan pemimpin kosmetik ini sebelum kita menghadapi pemimpin parti pembangkang. Berhati-hati ketika memilih calon-calon pilihanraya kerana penyakit hasad dengki akan muncul takala antara mereka yang tidak terpilih akan menikam calon dari parti sendiri dengan menjadi pengkhianat kepada parti semata-mata kerana dendam kepada calon yang dipilih.

Berbeza perjuangan pemimpin kosmetik dengan pemimpin patriotik takala kita melihat semangat yang dipupuk dan nilai-nilai yang ada di kalangan mereka. Kalau pemimpin kosmetik mereka akan banyak bekerja semata-mata untuk jawatan dan hasil kekayaan yang mereka perolehi dari jawatan yang di sandang. Sedangkan pemimpin patriotik ini akan lebih bekerja atas nama Agama, Bangsa dan Negara. Saya percaya bahawa pemimpin patriotik akan lebih kekal kerana keikhlasan dalam perjuangan mereka. Kita janganlah terlalu yakin bahawa kajatuhan sesuatu parti hanya disebabkan oleh factor luaran tanpa mengambil kira tentang faktor dalaman.

Pemimpin atasan harus lebih muhasabah di masa akan datang mengapa setiap perkara yang berlaku adakah berpunca dari dalam atau luar. Kemarahan rakyat adalah seperti lilin. Kecil menjadi kawan bila besar menjadi lawan. Terkadang-kadang terfikir juga oleh saya antara ramai-ramai manusia yang membuat demonstrasi di sana-sini apakah kita perhatikan setiap seorang yang menghadirinya ada atau tidak di kalangan parti kita yang sanggup keluar berdiri di tengah kekalutan demonstrasi tersebut untuk menenagkan keadaan rakyat? Mana pejuang-pejuang kita? Apakah takala kita yang memerintah sebaliknya apabila muncul kemarahan rakyat kita menghantar golongan pekerja seperti polis dan FRU. Mana perginya pemimpin yang harus bertanggungjawab menenangkan hati rakyat. Rakyat adalah tanggungjawab pemimpin. Fikirkanlah!!Jangan sekadar bercakap di belakang tabir, itu semua boleh buat kalau berani hadapilah kenyataan dan keadaan yang sebenar. Turun padang dan lihat sendiri dan bukan sekadar melihat dan bercakap di kaca TV.

Inilah yang dikatakan fitnah. Kalau kita mengambil pendekatan untuk tidak mahu menyaksikan sesuatu masalah dengan mata kepala kita sendiri maka mudahlah fitnah mengambil tempat untuk menghancurkan sesama sendiri. Di atas segalanya apa yang penting seseorang pemimpin itu seharusnya mempunyai senjata yang paling tajam dan utama iaitu beriman. Koran dengan imam sahaja maka tidak akan wujud sikap pemimpin kosmetik. Kata Harun Yahya :

“ Kebencian dan kemarahan adalah sumber utamakejahatan dan kecenderungan untuk menghalang manusia daripada menbuat keputusan yang adil, berfikir dengan baik dan mengawal diri dengan waras, Sesetengah orang dengan mudah mengenakan setiap jenis ketidak adilan ke atas orang yang dibencikannya. Mereka boleh menuduh seseorang perbuatan yang tidak pernah dilakukkannya atau memberikankesaksian palsu terhadap mereka walaupun si penuduh itu tahu kemurnian sikap tertuduh.

Atas sikap permusuhan itu ramai yang menghadapi penindasan yang tidak tertanggung. Sesetengah orang mengalak memberikan kesaksian, memihak kepada orang yang tidak bersetuju dengannya walaupun mereka tahu yang mereka tidak beersalah dan tidak memberikan bukti bagi menyembunyikan keadaan tidak bersalah itu.

Atas sebab-sebab ini adalah sukar bagi manusia dalam masyarakat yang korup atau rosak untuk saling mempercayai. Manusia akan senantiasa dibimbangi akan terjatuh menjadi mangsa seseorang. Oleh kerana hilang nilai saling percaya mempercayai mereka akan turut kehilangan perasaan kemanusiaan seperti sikap toleransi, belas kasihan, persaudaraan dan kerjasama dan mula membenci antara satu sama lain.”

Inilah yang paling di khuatiri dan inlah punca-punca yang akan mewujudkan pemimpin kosmetik. Tak kala di lihat dari luar slaing kerjasama antara sesama parti tetapi di belakang merekalah yang bertanggungjawab menjatuhkan pemimpin-pemimpin patriotic di kalangan parti sendiri. Akhirnya jadilah seperti pepatah Jepun tadi tercabutnya satu persatu paku di ladam kuda. Muhasabahlah!!

Saturday, March 20, 2010

KHALIFAH VS PEMIMPIN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Sekali pandang perkataan di atas tentulah istilah tersebut membawa erti yang sama. Namun sejauh manakah manusia memandang dua perkataan yang membawa erti yang sama tetapi pengertian yang jauh berbeza. Secara sedar atau tidak penulisan ini akan lebih di khususkan kepada sekelompok manusia yang bergelar Islam terutamanya yang telah membawa satu pengertian yang berbeza ke atas dua perkataan yang sama, lalu diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Pelik bukan? Kalau orang Melayu maka perkataan pemimpin begitu sinonim dengan mereka. Manakala orang yang mendalami Islam serta memahami Islam dengan sedalam-dalamnya akan tentu mengerti bahawa mereka tidak mungkin akan mengutuk pemimpin sesebuah Negara terutamanya beragama Islam sekiranya mereka mengerti istilah sebenarnya perkataan tersebut dan dari mana pangkat dan jawatan sebagai khalifah itu datang. Bila sampai di bumi dan jatuh ke tangan Melayu maka jadilah pemimpin bukan perkataan sahaja berbeza tetapi juga mereka telah membawa pengertian yang berbeza di dalam kehidupan seharian mereka.

Perkataan tersebut sama dengan perkataan “mungkir janji”, tetapi istilah tersebut adalah membawa pengertian yang sama dengan “munafik”. Jadi mana yang lebih di sukai apabila kita menggelarkan seseorang itu antara “mungkir janji” dengan “munafik”. Kerana ringannya penukaran sesebuah perkataan tersebut maka ringan jugalah penerimaan seseorang ke atas perbuatan mereka. Walau apa pun istilahnya tetap sama, Cuma aplikasinya sahaja berbeza. Akhirnya mungkir jamji jadi “tidak apa”.

Rata-rata kita tidak boleh lari dari penggunaan istilah dan ayat-ayat yang akan membawa semangat sehingga diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Sehingga beberapa moto atau tema telah pun dianggap begitu penting dalam mengubahkan karekter seseorang. Seperti contoh ketika kita menyahut “Malaysia gemilang” berulangkali terasa satu semangat yang mendadak di dalam dada kita terhadap cintakan Agama, bangsa dan Tanahair. Di situlah manusia akan mencari dan mula mengaplikasikan ke dalam diri mereka beberapa ayat ataupun perkataan yang boleh memberikan satu pemahaman terhadap hala tuju perjuangan seharian.

Berbalik kepada 2 perkataan di atas mengapakah ianya di vs kan sedangkan perkataan tersebut langsung tidak berlawanan. Apa yang ingin di kupaskan di dalam penulisan ini adalah bukan perkataannya tetapi pengertiannya ke atas sesetengah sekelompok masyarakat.

Sebagai seorang Islam kita semua tentu mengetahui bahawa terdapat di dalam Al Quran tentang Firman Allah yang menyatakan kita manusia itu di jadikan Allah adalah khalifah di bumi. Maka secara pembacaan spiritual itulah yang kita pegang dan genggam ketika baru dilahirkan iaitu sebuah amanah dan perjanjian dengan Allah untuk menjadi pemimpin di bumi ini. Maka setelah kita meninggal semua jari-jari kita terlepas, menunjukkan bahawa kita tidak lagi membawa jawatan atau apa sekali pun yang telah Allah berikan kepada kita dengan penuh Rahman dan Rahim untuk mengadapNya.

Itulah jawatan khalifah yang sebenarnya yang harus kita manusia fahami. Bukan dengan menggunakan perkataan pemimpin maka kita akan hanya melihat kesalahan orang-orang atasan kita sahaja tidak kiralah di pejabat ataupun di dalam dunia politik. Sibuknya kita mencari kesalahan pemimpin sehingga kita lupa bahawa kita juga telah di lahirkan sebagai pemimpin di atas perlantikan Allah itu sendiri. Oleh sebab itu tidak hairanlah sekiranya menjadi pemimpin yang di akui manusia itu lebih dikehendaki dari menerima hakikat perlantikan dari Allah. Cuba bayangkan kita menolak perlantikan Allah dan menerima perlantikan dari manusia. Sekiranya sampai begitulah tahap pemahaman seseorang Islam khususnya, maka tak mungkin kita akan kejar pangkat dan kedudukan sebagai pemimpin masyarakat sekiranya tugas kita yang diberikan Allah sendiri pun tidak kita laksanakan.

Secara fitrah dari Allah sekiranya seseorang manusia itu begitu banyak membantu dan menolong masyarakat kerana Allah maka sudah tentu akan dipilih di kalangan kelompok masyarakat tersebut sebagai pemimpin. Jadi mengapa kita harus menunggu untuk dilantik menjadi pemimpin oleh parti contohnya untuk menyalurkan sumbangan kepada masyarakat. Apa yang melucukan apabila saya bertanya seseorang hamba Allah ini “mengapa kamu tak mahu menyumbangkan tenaga di dalam NGO contohnya”. Kata beliau “ kerana aku bukan pemimpin, kalau aku pemimpin tahulah macamana aku nak tolong orang”. Inilah yang dikata konflik pemahaman ke atas dua perkataan berbeza yang membawa erti sama tetapi pemahaman yang berbeza. Kerana kejahilan pengertian inilah maka manusia menunggukan pangkat dan jawatan serta anugerah dari manusia lain sebelum melaksanakan tugasnya sebagai khalifah atau pemimpin yang sebenar.

Maksud lain dari pemimpin itu ialah pimpin kalau istilah yang kita tahu di dalam bahasa pimpin itu ialah menolong atau membantu. Maka sekarang tentu anda faham bahawa Allah menghantar kita ke bumi sebagai khalifah bukanlah untuk merebut jawatan dan pangkat buatan manusia tetapi menjalankan tanggungjawab memimpin anak, isteri dan yang paling penting memimpin diri sendiri supaya berada di dalam “jalan yang lurus dan benar” 17 kali sehari semalam tak termasuk yang sunat kita pohonkan dari Allah. Anak Cina makan pengat jadi ingat sendiri mahu ingat. Kehidupan, udara dari Allah, jalan di bumi Allah tetapi sombong tolak pangkat dan jawatan yang sedia di beri Allah bergolak-berperang untuk jawatan buatan manusia.

Allah akan menaik dan menurunkan siapa yang Dia kehendaki jadi untuk apa kita sesama sendiri bertikaman, menganiayai satu dengan lain semata-mata merebut jawatan buatan manusia sehingga meninggalkan jawatan yang telah di anugerahkan Allah. Maka tidak hairanlah sekiranya terdapat ramai bohsia dan mat rempit, pelacuran dan black metal di kalangan orang Islam kerana telah ramai ibubapa sebagai pucuk pimpinan mengejarkan jawatan pemimpin dunia dengan membelakangkan tanggungjawab kekhalifahan sedia ada yang seharusnya mereka laksanakan.

Junjungan kita Muhamad juga pernah bersabda bahawa akan muncul khalifah di kalangan kamu, yang dipilih oleh Allah. Apakah kita tidak fahami berbezanya sekiranya ketika “mahu kita” dan “mahu Allah”.

Inilah yang dikatakan manusia semakin lama semakin bodoh. Menjaga pemimpin seperti Tuhan yang mampu menawarkan pangkat dan jawatan yang belum tentu dapat menjanjikan apa-apa. Tidak ada Al ghoni (Maha Memberi Kekayaan) kepada manusia. Tidak ada Al Aliy ( Maha Meninggikan ) kapada manusia namun masih tetap mereka cari dan ampu sesama manusia. Bertaburan wang rasuah di sana-sini untuk melobi manusia mendapatkan pangkat dan kedudukan. Bukankah sekiranya kita menjaga Allah sesen wang pun tak perlu kita belanjakan. Allah lebih mengetahui apa yang baik dan buruk untuk kita. Kalau Allah mahu kita menjadi pemimpin Negara atau masyarakat dengan sekelip mata “Kun fa ya Kun”.

Pengajaran dari apa yang diterangkan di atas adalah supaya kita melihat tanggungjawab kepimpinan kita terlebih dahulu sebelum kita menilai kepimpinan orang lain. Janganlah kita menuding jari kepada pemimpin masyarakat apabila kepimpinan kita di dalam rumahtangga dan terutama diri kita sendiri pun masih tidak berada di dalam jalan yang lurus dan benar. Hayatilah salah satu dari nasihat Rub’iy Bin Amir r.a ( panglima yang di utuskan ke Parsi) :

Diucapkan kepada Rustum (Panglima Parsi):

“Allah membangkitkan kami untuk mengajak sesiapa yang mahu daripada kamu memerdekakan diri dari penyembahan sesama manusia kepada pengabdian kepada Allah ‘Azza Wajjala, daripada ajaran-ajaran yang sesat dan kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Daripada dunia yang sempit kepada dunia yang luas (dunia dan akhirat)

Inilah manusia ketika Allah menawarkan kepadakita dua dunia kita tetap memilih satu. Semua yang hanya nampak oleh mata kepala. Inilah yang sering di Firmankan Allah “Bukan matamu yang buta, tapi hatimu di dalam dada”. Tolak jawatan anugerah Allah untuk menafaat satu dunia. Muhasabahlah!!