ASSALAMUALAIKUM

Tuesday, March 9, 2010

AGENDA MELAYU VS AGENDA AKU

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Pelbagai agenda kita dengar dari mulai kita baru dilahirkan sehingga sekarang. Ada yang berjaya ada yang tidak biasalah, namapun manusia. Tak kiralah samada pemimpin mahupun marh’ain. Samada ianya terlaksana ataupun tidak hanya Tuhan sahajalah yang mengetahui. Namun apa yang menarik perhatian saya adalah untuk mencerita tentang satu agenda yang disebaliknya iaitu “agenda tersirat disebalik yang tersurat”. Sejak kecil lagi kita telah di dedahkan dengan pelbagai agenda yang diperkenalkan oleh pelbagai lapisan dari pelbagai pertubuhan politik. Ada yang benar-benar dapat dimaterialisasikan dan ada juga yang masih banyak persoalannya. Adakah benar agenda itu dilaksanakan kepada orang Melayu atau hanya sekadar Agenda aku.

Maksud Agenda Melayu seperti mana yang saya faham adalah membuat sesuatu dasar dan melaksanakan kepentingan dan hak Melayu. Biasanya apabila sesuatu dasar Agenda Melayu ini dibuat apabila berjaya banyaklah pujiannya, tetapi apabila gagal maka orang Melayu juga akan dipersalahkan. Seperti mengambil rotan memukul diri sendiri. Saya kurang pasti apakah setiap agenda yang dibuat untuk orang Melayu ini diperkenalkan setelah benar-benar secara dasarnya dipraktikkan ataupun tidak. Saya lebih arif kalau bercakap di dalam bidang perniagaan. Apakah pemberian subsidi dianggap sebagai satu agenda Melayu? Bagaimana pula kalau subsidi itu dijual? Apakah agenda tersebut tidak menjadi atau Melayu itu yang tidak diberikan penerangan tentang bagaimana menggunakan keistimewaan pemberian subsidi itu apabila ianya diberikan kepada orang Melayu? Bagaimana pula sekiranya sebuah syarikat yang berjaya hasil gabungan Melayu dan bangsa lain, sudah tentulah tidak bersubsidi? Adakah sebarang agenda pernah difikirkan untuk meningkatkan syarikat tersebut walaupun terdapat perkongsian bangsa di dalamnya?

Banyak betul persoalannya bukan. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai Agenda Melayu ini dibuat, diperdebat dan diketengahkan. Bukanlah dasar kerajaan untuk mencampuri mana-mana urusan syarikat persendirian. Apabila sesuatu keistimewaan itu diberikan maka seharusnya sesebuah syarikat milik persendirian ini yang dipunyai oleh orang Melayu ini mengambil peluang dan kesempatan untuk melaksanakan bukan? Sedap bunyinya kan?Hakikatnya ini adalah dari pandangan dan pengalaman yang saya lalui. Biasalah hasil dari pergaulan dengan rakan-rakan koperat serta sembang sumbang di sana sini. Di dengar dari perkataan bunyinya sememangnya sedap. Semua agenda yang dibuat semuanya tidak lain dan tidak bukan hanya untuk orang Melayu sahaja. Bagi kebanyakkan syarikat-syarikat yang dimiliki oleh seratus peratus bumiputera akan tersenyum lebar apabila mendengar pelbagai peluang yang ditaburkan di sana dan di sini . Bagi mereka yang mempunyai syarikat usaha sama dengan yang bukan bumiputera tentulah merasa sedih, sebab tidak mendapat keistimewaan sepertimana yang diperolehi oleh syarikat-syarikat bumiputera sepenuhnya.

Apakah sebenarnya yang hendak diketengahkan di dalam agenda Melayu ini kadang-kadang saya pun keliru terutamanya apabila melibatkan dunia perniagaan. Apakah tidak hebat sekiranya seorang anak Melayu yang mempunyai rakan kongsi bangsa lain telah dapat mengenengahkan syarikatnya dengan begitu cemerlang hasil usaha sama ini? Walaupun mempunyai pegangan saham yang melebihi rakan kongsinya di dalam syarikat usahasama dengan bangsa lain? Apakah Melayu tersebut dianggap tidak mempunyai kredebiliti dalam meningkatkan taraf hidup Melayu? Apakah gabungan ini dianggap sebagai hanya polimik untuk mengaburi mata luar? Sudah tentu syarikat gabungan ini sukar untuk kita nyatakan sebagai sebuah syarikat yang benar-benar diusahakan oleh orang Melayu walaupun beliau mengatasi keupayaan rakan kongsinya yang berbangsa lain. Sukar untuk orang luar percaya bahawa kecemerlangan syarikat ini adalah atas usaha anak Melayu mengatasi rakan kongsinya? Kerana terdapat bangsa lain di situ sebab itulah syarikat itu berjaya……itulah bunyi yang akan kita dengar. Susah bukan untuk menerima hakikat bahawa orang Melayu boleh membeli saham di dalam syarikat gabungan ini melebihi saham rakan kongsinya yang berbangsa lain bukan? Itulah hakikatnya.

Akan tetapi sekiranya kita melihat sebuah syarikat yang diusahakan oleh seratus peratus bumiputera, kita dengan bangganya akan menyatakan bahawa itulah anak-anak Melayu yang berjaya walaupun hakikatnya syarikat bumiputera itu ditubuhkan sekadar untuk mendapat dan menjual projek kepada bangsa lain. Kata orang tua-tua bukan semualah!! Tapi anak Cina makan pengatlah……

Sukar bukan untuk kita menerima hakikat sekiranya terdapat anak Melayu yang betul-betul gigih berusaha dan berniaga berjaya bersama rakan kongsinya yang berbangsa lain. Kenapa sukar nak terima? Jawapannya ada pada sesetengah ahli politik. Tanya jangan tak Tanya…… Mana depa nak percaya kata orang Kedah, sebabnya kebanyakkan syarikat yang kononnya milik bumiputera ini dimiliki oleh proxy-proxy mereka. Maka akan berlakulah “Agenda Aku” namanya. Maksudnya akan terdapatlah di syarikat-syarikat besar pengarah Nujum Pak Belalang. Jangan kata nak jual kereta contohlah (jangan ada yang makan cili pula) nak jual goreng pisang pun belum tentu laku. M & A silap-silap tak tau binatang apa, yang tahu orang bagi kertas sain. Bulan-bulan asyok..!!(kata mat rempit) Diletakkan pengarah Nujum Pak Belalang ini di dalam syarikat-syarikat tertentu (tentulah Public Listed Company) semata-mata untuk mendapat ganjaran untuk menjaga kepenting ahli politik tertentu. Mau fahamlah kerja Pengarah Nujum Pak Belalang ni jadi tukang cover boss. Maklumlah nak masuk politik kan kena banyak duit jadilah “I cover u …u cover I punya story” .Akhirnya kita yang berniaga bagai nak rak ni jadi betul-betul macam cerita Nujum Pak Belalang “kau tengok tu….aku ambil ni…aku ambil ni kau tengok tu….! Kata Aziz Satar dan Sudin.

Itulah ceritanya kalau kita berniaga dengan bangsa asing kata jadi kuda bangsa asing, yang terang-terang buka syarikat wayang kulit dalangnya bangsa asing tak nampak pula. Nilah yang dikatakan Agenda Melayu letak Melayu dalam syarikat besar sekadar untuk dijadikan Agenda Aku. Kata sahabat saya kalau nak politik politik lah….tapi kalau nak berniaga berniagalah sampai berjaya. Kalau kita cerita lebih sangat orang kata kita bising pasal tak dapat projek. Tak kata ada orang lain pula kata kita tak berani bercakap benar. Akhirnya jadilah macam cerita Lokman dan anaknya.

Marilah kita sama-sama melihat dan muhasabah diri sendiri apakah Agenda Melayu sebenarnya hendak kita perjuangkan. Adakah sekadar mengisi saku dan tembolok orang Melayu dengan menempatkan mereka di syarikat-syarikat wayang kulit adalah Agenda sebenarnya. Adakah kita orang Melayu telah berpuas hati sekadar menempatkan orang Melayu di dalam syarikat gergasi milik bangsa lain sudah memadai. Bagaimana pula perasaan pengarah Nujum Pak Belalang ini merasa megah berada di syarikat gergasi yang diusahakan oleh bangsa lain? Ini sahajakah pencapaian orang Melayu yang hendak kita megahkan. Hanya kerana kita mengenali pemimpin tertentu dan ditempatkan kita di syarikat gergasi? Ini Agenda Melayu sebenarnya? Tidak pernah sesiapa pun bertanya apakah pengalamannya tiba-tiba menjadi pengarah di syarikat gergasi sana-sini. Tetapi kalau nak bertanding saja ramai pula orang persoalkan kredibility kita. Bagaimana pula kredibility seseorang yang menjadi pengarah di syarikat-syarikat gergasi Negara siapa pun tak Tanya. Pada hal syarikat gergasi Negara inilah sebenarnya tulang belakang kepada kekukuhan dan kestabilan politik Negara. Apabila ekonomi stabil sudah tentu Negara juga stabil bukan? Oleh itu ahli perniagaan juga penting untuk Negara.

Bayangkan sekiranyanya syarikat gergasi Negara kita yang telah menyumbang kepada ekonomi Negara kita dipenuhi dengan pengarah-pengarah yang mempunyai Agenda Aku belaka? Cuba kita bayangkan kalau pengarah-pengarah Nujum Pak Belalang ini dihantar untuk bersaing dengan syarikat dari Negara luar? Nak tahu jadi apa? Jadi sarkaslah…..anak Cina makan pengat sendiri mahu ingat.

Kalau di dalam Negara sendiri pantang tengok syarikat berjaya sikit mulalah nak masukkan pengarah Nujum Pak Belalang. Sanggup jual maruah duduk dikerusi pengarah syarikat yang diusahakan oleh orang lain. Bila masuk mesyuarat mata buka, telinga buka tiba-tiba mulut tutup. Nak cakap apa jadi pengarah Nujum Pak Belalang . Silap-silap satu haram habuk syarikat tu buat apa pun tak tau, yang tau cukup bulan sain sana sain sini lepas tu asyok. Nak buka mulut apa lagi buka poket saja lah jawabnya. Kalau sesiapa tak pernah dengar pasal cerita pengarah Nujum Pak Belalang ni memang ketinggalan zamanlah jawabnya. Kata Tok Nujum Pak Belalang “pendek umur”. Jadi jangan tak percaya dengar cerita macam ni, memang pelik tetapi benar .

Kita bukanlah nak memperlecehkan Agenda Melayu tetapi harapan kita janganlah pula yang membuat Agenda Melayu ini turut meletakkan Agenda Aku. Bila syarikat tidak memberikan sebarang keuntungan kepada Negara mula buat-buat tak tahu akhirnya menyalahkan satu sama lain. Tak salah berniaga dengan bangsa lain jangan jual projek pada bangsa lain sudahlah nama saja syarikat bumiputera, sanggup gadai maruah sendiri jadi Pak Lawak duduk sebagai pengarah syarikat yang dia sendiri satu habuk pun tak faham. Nak berniaga macam mana? Jangankan kata nak sumbang pada Negara pada syarikat tu pun belum tentu boleh sumbangkan kepakaran. Tak tahu berniaga buat cara tak tahu berniagalah. Kalau tak ada duit nak berpolitik, maka belajarlah berniaga dulu buat duit sendiri, bila dah kaya masuklah politik kan bagus. Jangan masuk politik dulu baru nak berniaga silap-silap orang pakai rantai kita pakai rantai siap dengan tali dekat leher……disuruh duduk ku duduk di suruh menyalak ku menyalak …..makan pengat jangan tak makan.

Kalau dalam Negara sendiri pun kita dah serah leher untuk dipakaikan rantai bertali bayangkan macamana kita nak bersaing dengan Negara luar. Kalau maruah dah digadaikan di dalam Negara sendiri apa nak hairan kalau sanggup gadaikan maruah kepada syarikat Negara asing. Jadi pengarah syarikat luar Negara kononnya nak bermegah menjadi ahli lembaga syarikat luar Negara akhirnya sedar tak sedar satu jembatan emas telah dibuka untuk Negara asing mengaup kepentingan ekonomi Negara sendiri. Bagai dikata jadi pengarah nujum Pak Belalang. Tak payah buka minda buka poket saja. Bukan susah sangat. Kadang-kadang terasa pelik juga nama pengarah syarikat gergasi sesetengahnya macam kita kenal dalam masa yang sama juga tak pernah pun diketengahkan sebagai seorang ahli perniagaan yang hebat. Nampak hebat dalam politik adalah. Pelik juga!!Ni lah yang dikatakan pengarah syarikat Nujum Pak Belalang. Akhirnya Agenda Melayu jadi Agenda Aku. Syarikat besar asal ada Melayu is good enough…Apa bikin kalau bukan untuk Agenda Aku. Kalau nak tahu kebenaran maka sila-silalah rujuk syarikat-syarikat gergasi ini dan soal-soallah pula kredibiliti pengarah-pengarah syarikat ini jangan hanya pandai menyoal kredibiliti pemimpin politik sahaja. Pemimpin syarikat yang menjadi tulang belakang ekonomi Negara juga harus dipersoalkan. Jangan sampai kata pepatah orang Melayu “bagi bunga dekat beruk” mulalah jadi “kudung mendapat cincin”. Bangsa lain kaya dengan usaha sendiri kita kaya dengan usaha orang lain.

Sebagai orang Melayu yang khususnya beragama Islam maka tidak dapat tidak setiap perlaksanaan di dalam apa jua agenda seharusnya mempunyai kebaikan kepada sesama kita. Baik pada individu yang merancang agenda mahupun yang melaksanakannya. Sebagai orang Melayu Islam nasihat tokoh Sayyid Jamaluddin Al Afghani harus difahami apa yang tersirat disebalik apa yang disuratkan kepada umat Islam. Semoga ianya boleh dijadikan Agenda Melayu berasaskan Islam demi Agama, Bangsa dan Negara.

“ Agama Islam itu di dalam pokoknya tidak hanya terdiri daripada mengajak manusia itu percaya kepada yang Hak, memperhatikan keadaan jiwanya dari segala bidang, dari bidang keruhanian alam yang rendah kepada alam yang tinggi. Tetapi bagaimana kita ketahui agama Islam itu terlalu sempurna dalam meletakkan hokum-hukum pergaulan di antara manusia, berisi lengkap hak dan kewajipan dalam segala keadaan, menetapkan kekuatan-kekuatan yang akan melakukan peraturan-peraturan itu, melaksanakan hukum-hukumnya, ditentukan syarat-syarat dan keadaannya, sehingga tidak akan dapat orang yang mengendalikan umat Islam itu kecuali dari orang yang baik dan taat kepadanya. Islam tidak akan memberikan kesempatan memimpinnya menurut ahli waris, tidak menurut keturunan bangsa atau kabilah suku, begitu juga tidak dengan melihat kekuatan badan atau kekayaan harta-benda, tetapi pimpinan Islam hanya dicapai oleh orang yang taat kepada hokum-hukum syaria’tnya, hanya dicapai oleh orang-orang yang kuasa melaksanakannya, hanya dicapai dengan kerelaan umat. Maka yang dapat mengendalikan Islam itu pada hakikatnya ialah syaria’t Ketuhanannya yang suci, yang tidak membezakan antara bangsa dengan bangsa, yang dapat mempersatukan pandangan dan fikiran umat. Tidak ada tinggi dan rendah ukuran iman dan agamanya, kecuali tidak sungguh atau sungguh-sungguh hendak mempertahankan kemurnian dan kesucian syaria’t Tuhan.”

No comments:

Post a Comment