ASSALAMUALAIKUM

Sunday, March 14, 2010

RAKYAT YANG BUAT BODOH VS RAKYAT YANG DIPERBODOHKAN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Bila dekat pilihanraya banyak perkara akan timbul. Macam-macam cerita akan menular itu sudah menjadi perkara biasa. Namun apa yang seharusnya dirisaukan oleh para pemimpin adalah kalangan rakyat yang dikatagorikan seperti “rakyat yang buat bodoh”. Setelah sekian lama ada sesetengah pemimpin yang gemar memperbodohkan rakyat dengan janji-janji manis pilihanraya. Mereka akan ditaburkan dengan pelbagai rancangan yang akan dilaksanakan di sana-sini. Bagi rakyat-rakyat yang telah diperbodohkan saya pasti keadaan ini tidak akan berkekalan. Tahun demi tahun berlalu setiap janji yang telah diungkapkan seharusnya dilaksanakan. Rakyat sekarang bukanlah seperti dahulu lagi. Semakin ramai bijak pandai sehinggakan apabila kita melihat keputusan UPSR pun kita sudah boleh menilai betapa ramainya cerdik pandai di Negara kita hari ini. Kalau seseorang mahasiswa yang telah di dedahkan dengan teknik kajian thesis, maka secara tidak langsung mereka akan berfikiran kritikal dan senang mengkaji sesuatu perkara walaupun diluar bidang pengajian mereka.

Para pengkaji ini khususnya, akan mempunyai keinginan untuk mengetahui, dan menyelidiki setiap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh sebab itu tidak hairanlah dan wajar saya katakan dari hasil soal jawab beberapa orang yang di pusat-pusat pengajian tinggi khususnya bila di tanya tentang mengundi, mereka dengan selambanya menjawab buat bodoh sajalah.

Saya ingin mencabar supaya pihak kerajaan membuat bancian ke atas semua tenaga pengajar khususnya di semua pusat-pusat pengajian tinggi berapa ramaikah di antara mereka yang telah mendaftar sebagai pengundi. Inilah golongan bijak pandai yang boleh saya anggapkan sekarang tergolong sebagai rakyat yang buat bodoh.

Tidak sukar untuk kita memperbodohkan rakyat tetapi bukan mudah untuk mengetahui mereka-mereka yang pada dasarnya bekerja dengan kerajaan memakan hasil dari kerajaan tetapi bila tiba mengundi mereka akan buat bodoh. Anak Cina makan pengat jadi sendirilah mau ingat!!

Mungkin juga antara mereka telah mendaftar sebagai pengundi namun tidak ramai yang akan keluar mengundi kerana mereka merasakan bahawa lebih baik duduk buat bodoh dari diperbodohkan. Inilah kebanyakkan dan bukanlah semuanya para cerdik pandailah. Kalau dilihat dari kewujudan blog yang meningkat hari demi hari, kita seharusnya merasa risau bagaimana keadaan ini boleh berlaku. Mustahil blog-blog ini dibuat oleh makcik-makcik dan pakcik-pakcik di kampong. Banyangkan sebanyak mana blog yang dinaikkan sebanyak itu juga peratusan yang kebanyakkannya anti kerajaan wujud. Itu kalau hanya diambil kira di dalam blog belum lagi penulis-penulis surat layang. Saya pasti yang menjadi dalang adalah di kalangan mereka yang cerdik pandai. Tak kiralah penuntut, bekas penuntut, pengajar atau bekas pengajar.

Negara kita bernasib baik kerana hampir ke semua dan hanya bilangan kecil sahaja yang buta huruf. Selebihnya semuanya pandai membaca dan bertambah pula sekarang apabila melihatkan peratusan pelajar yang mula menunjukkan kenaikan di dalam pencapaian keputusan peperiksaan. Kalau dahulu orang berlumba-lumba untuk memasuki asrama penuh yang tidak penuh. Namun sekarang ada juga antara mereka yang mempunyai keputusan cemerlang juga belum tentu dapat memasuki asrama penuh atau pusat pengajian tinggi. Kita bahagia dan gembira melihat pencapian rakyat Malaysia yang begitu meningkat dan mengagumkan. Namun pernah tak kita terfikir bahawa hari demi hari rakyat-rakyat sedemikian bukanlah satu golongan yang mudah lagi diperbodohkan. Mereka lebih melihat kepada kejadian sesuatu perkara dan bukan janjinya sesuatu perkara itu untuk berlaku. “Action speaks louder than words”. Memandangkan kita hanya satu-satu Negara yang mempunyai Internal security Act (ISA), maka ianya akan hanya memperbanyakkan rakyat-rakyat yang buat bodoh di kalangan kita, namun secara dalaman mereka akan mengatur pelbagai strategi untuk menjatuhkan kerajaan.

Kadang-kadang terasa hairan melihat di mana banyakkan wang yang diperolehi oleh pihak pembangkang. Dari mana datangnya wang yang begitu banyak sehinggakan boleh dan mampu mengaturkan pelbagai acara sini sana. Bila sesuatu demonstrasi di adakan penuh. Ada di antara muka-muka mereka yang saya kenali kelihatan seperti orang yang bodoh tetapi akhirnya mereka adalah orang yang buat-buat bodoh selama ini. Bila sampai waktu dan harinya kecerdikan mereka mula terserlah. Apakah keadaan ini akan berlaku ketika pilihanraya nanti? Apabila yang selama ini kita anggap telah diperbodohkan oleh wang ringgit tiba-tiba tergolong dari mereka yang hanya berbuat bodoh menantikan untuk merejam kita semasa pilihanraya.

Pesanan buat para cerdik pandai kalau benar-benar cerdik dan pandai maka janganlah berbuat bodoh dengan mengenepikan kepentingan mengundi semata-mata merasakan diri itu lebih pandai untuk menentukan siapa pemimpin. Mana ada orang gagah yang duduk dalam rumah tapi menang perlawanan. Jadi keluarlah dari kepompong buat bodoh selama ini untuk memilih pemimpin yang dirasakan bijak di kalangan yang bijaksana. Bukanlah mencari pemimpin yang hanya bijak memperbodohkan rakyat. Pemimpin yang petah dan sekadar pandai bercakap harus di simpan sahaja dari senarai wakil rakyat kerana inilah di kalangan pemimpin yang hanya pandai memperbodohkan rakyat. Carilah di kalangan mereka yang terbukti dapat dan telah melaksanakan sesuatu kepada rakyat, kerana rakyat semakin bijak dan pandai. Rakyat semakin kritikal dan bukan sekadar mendengar tetapi telah menggunakan hampir ke semua pancainderanya untuk mengkaji dan menyaksi apakah klangkah yang telah dijanjikan itu telah pun dilaksanakan.

Tidak hairanlah sekarang banyak role model yang harus diwujudkan. Pakar motivasi lebih diminati dan sanggup rakyat bayar beribu ringgit hanya untuk mendengar kata dan nasihat mereka. Mana ada di zaman dahulu pakar-pakar motivasi seperti ini. Kalau zaman dahulu yang diminta nasihat tak lain hanyalah dari para pemimpin. Para pemimpin zaman dahulu tak ubah seperti khutub khanah seperti sebuah library untuk rakyat merujuk. Berlainan sungguh dengan zaman sekarang, sesetengah rakyat hanya memandang pemimpin sebagai “ibu duit” sahaja tempat untuk memperolehi kekayaan dan kesenangan. Maka dari itulah bila terlucutnya jawatan seseorang pemimpin tak ubah macam “kupang tembaga” kata orang Kedah iaitu singkatan kepada “dah tak berguna”. Kalau pemimpin dahulu akan terus di cari walaupun sudah tidak berjawatan kerana orang dahulu dan pemimpin muda dahulu senantiasa dahagakan ilmu untuk menjadi seorang pemimpin hebat tetapi pemimpin muda sekarang hanya ambil bahagian tertentu sahaja di dalam buku untuk membuat modal memperbodohkan rakyat. Hakikat sebenarnya ilmu secara peribadi tak ramai di kalangan mereka yang lalui atau mereka perolehi dari pemimpin lama. Bila seseorang pemimpin sudah tidak berjawatan mereka pun lari tak bertangga. Nak bercakap dan berpolitik hanya main selak buku sahaja dan megah menyebut penulis-penulis barat berkata itu dan ini dan kita harus menuntut di Harvard contohnya untuk menjadi bijaksana dan pemimpin hebat. Hakikatnya nak menuai padi pun tak pandai apa lagi turun menoreh getah, macamana nak menjiwai rakyat menjadi wakil rakyat yang hebat. Macamana nak tahu kesusahan rakyat kalau hampir 90% jadual kehidupan dihabiskan samada di luar Negara ataupun di bangunan koperat.

Sememang jarang sekali kita lihat sekarang pemimpin-pemimpin yang duduk lepak di kampung-kampung dan kedai kopi kalau bukan musim pilihanraya. Rakyat sudah jelak dengan perangai sedemikian, rakyat sudah bosan diperbodohkan. Kita harus ingat bahawa di kampong-kampung juga telah ramai para graduan yang bercucuk tanam dan membela lembu dan kambing. Jadi mereka inilah yang akan menjadi para pemikir untuk orang kampong, oleh itu para bakal pemimpin budiman jangan lah lupa. Zaman memperbodohkan rakyat sudah berlalu. Apa yang harus kita bendung jangan sampai rakyat membuat bodoh malas memikirkan tentang siapa bakal pemimpin, dan malas keluar rumah untuk mengundi. Golongan rakyat seperti ini yang harus kita risaukan.

Walau bagaimanapun dinasihati kepada rakyat namun terletaklah kepada mereka sendiri samada mahu diperbodohkan atau buat-buat bodoh namun bagi mereka yang enggan tertipu lagi maka kita dengarlah sedikit nasihat LUQMANUL HAKIM r.a:

“ Hai anakku!! Orang yang tertipu adalah orang yang berpegang kepada tiga perkara:

  1. Orang-orang yang membenarkan kepada sesuatu yang tidak dilihat.
  2. Orang yang suka kepada orang yang tidak mempercayai dirinya.
  3. Orang yang tamak terhadap apa yang tidak diperolehi dirinya sendiri”.

Jadi bagi mana-mana rakyat yang tidak mahu diperbodohkan maka ianya seperti juga ditipu oleh pemimpin maka dengar-dengarlah nasihat tersebut. Bagi yang nak berbuat bodoh, maka sebenarnya anda memang bodoh kalau tidak keluar mengundi, kerana dari situlah akan dinilai kecerdikan anda menggunakan hak memilih pemimpin yang anda rasa bakal tidak memperbodohkan rakyat.

No comments:

Post a Comment