ASSALAMUALAIKUM

Saturday, March 13, 2010

SURVIVAL MELAYU VS MELAYU YANG SURVIVE

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Apabila Melayu berkumpul tidak kiralah samada di coffee house, kedai kopi, kedai mamak ataupun di dalam mesyuarat-mesyuarat pertubuhan, tidak dapat tidak pasti mereka akan membincangkan tentang survival Melayu. Bagaimana untuk mempertahankan hak Melayu, bagaimana untuk menambahkan keistimewaan orang Melayu dan berbagai-bagai lagi. Perkataan membantu dan menyumbang atau subsidi sudah menjadi darah daging dan kehidupan Melayu. Ada yang bangga dengan perkataan-perkataan sedemikian untuk menunjukan pertuanan Melayu gagah di bumi Malaysia dan tidak kurang juga antara bangsa Melayu yang merasa terhina dengan perkataan subsidi, bantuan dan keistimewaan Melayu ini. Bila kita mula memperkatakan atau memeberi komen tentang Melayu akan timbullah beberapa pendapat yang akan mengatakan bahawa kita anti Melayu. Apa yang cuba saya nyatakan di sini adalah sebagai anak Melayu saya ingin kita sama-sama menyuluh muka dicermin terlebih, sebelum kita menegakkan hak kita. Melayu berhak, benar tetapi beramaikah antara kita yang akan bersedia untuk menghadapi suatu keadaan apabila semuanya telah hilang dihadapan mata. Anak Cina makan pengat sendiri mahu ingat.

Pernah saya menyatakan suatu masa dahulu bahawa sesiapa yang ingin survive di dalam menghadapi zaman globalisasi yang kian mencabar dewasa ini maka kita harus segera keluar dari “comfort zone”. Jangan sampai kita biarkan kerajaan sahaja berhempas pulas untuk memikirkan pelbagai program, usaha, sumbangan, subsidi dan hak orang Melayu. Persoalannya sekarang dengan situasi politik ini mampukah mereka sendiri mempertahankan kerajaan? Apakah persiapan orang Melayu itu sendiri apabila apa yang diperkatakan oleh Tun Mahathir baru-baru ini bahawa bangsa apa pun boleh menjadi Perdana Menteri di Malaysia dan keadaan ini boleh berlaku bila-bila sahaja. Apa yang paling menakutkan lagi apabila kita melihat wang berterbangan di dalam musim pemilihan parti akan datang, apakah kita belum sedar bakal pemimpin apa yang bakal dipilih oleh ahli parti untuk memimpin masyarakat keseluruhannya? Dimana kita yang tidak menjadi ahli parti? Orang lain memilih orang lain yang akan menanggung akibatnya?

Semua orang berkempen dan berucap untuk memilih mereka bagi memastikan “survival Melayu”? Apakah benar? Apa akan jadi kalau pemimpin yang rasuah ini sahaja yang survive? Bagaimana dengan nasib orang Melayu yang tidak mampu survive tanpa bantuan dari pemimpin sedemikian. Pada pandangan saya secara peribadi seseorang pemimpin yang terpaksa berasuah ke sana-ke sini semata-mata adalah untuk memastikan mereka sahaja yang survive dan bukan Melayu secara keseluruhannya. Survival Melayu bergantung tinggi kepada maruah dan martabat orang Melayu. Bagaimana kita ingin mempertahankan hak atau maruah Melayu kalau pemimpin yang bakal dipilih sendiri tidak mampu mempertahankan maruah mereka?

Cuba kita fikirkan sejenak, apabila seseorang pemimpin itu terpaksa merasuah bagi mendapatkan pencalunan dan dipilih? Belum lagi memimpin sudah menggadaikan maruah bangsa sendiri dengan melakukan gelaja rasuah yang sepatutnya mereka membendung dan bukan mendukung gejala ini. Pada pandangan saya secara peribadi apabila dalam pilihanraya lalu masyarakat terpaksa memilih parti alternatif sebagai pemimpin ternyata perkara pertama yang rakyat tolak adalah gejala rasuah . Semua masyarakat sudah merasa muak dengan melihat pemimpin yang datang dengan menghulur ikan sana-sini dan bukan menghulur kail.

Fikirkanlah berapa banyak wang yang dimiliki oleh pemimpin pembangkang namun dengan hanya menggunakan air liur sahaja mereka sudah mampu menawan 5 negeri. Apakah masih kita tidak mahu mempelajari kesilapan kita. Bagaimana Melayu dapat survive kalau antara pemimpin melayu sendiri sudah menggadai maruah dengan berasuah sebelum sempat dipilih sebagai pemimpin lagi. Ternyata pemimpin yang terpaksa berasuah ini sudah hilang jatidiri dan kepercayaan terhadap kemampuan diri untuk membantu survival Melayu maka mereka pun terpaksa hanya memastikan mereka sahaja yang survive.

Mereka ingin mempertahankan hak orang Melayu tetapi berapa keratkah dari kalangan orang Melayu ini yang benar-benar mendapat haknya. Dalam pengalaman berniaga saya sendiri telah melalui berbagai masalah untuk mendapatkan pinjaman dan geran perniagaan yang berhak Melayu terima. Sebaliknya bila disiasat rupanya yang mendapat kononnya pertolongan untuk bumiputera ini hanya mereka-mereka kroni dari kalangan pemimpin sahaja. Ternyata apa yang mereka ciptakan, dasar yang mereka laksanakan hanya untuk kepentingan diri sendiri dan bukan Melayu secara keseluruhannya. Pelik dan ajaib sekali apabila kita melihat bangsa lain yang juga turut berniaga seperti orang Melayu tanpa mempunyai sebarang hak dan keistimewaan lebih mampu menyaingi kita berbanding dengan orang Melayu yang mempunyai hak melebihi mereka bangsa lain. Apa yang lagi menyedihkan apabila bangsa lain mula mempersoalkan tentang hak equiti 30%, kita sudah melenting tetapi apabila diberitakan oleh Tan Sri Ahmad Sarji tentang kita selama ini belum lagi pernah mencapai hak equiti 30% semuanya terdiam dan senyap. Bagi saya itulah sebenarnya perangai orang Melayu yang suka berdebat sana- sini tetapi akhirnya termalu diri sendiri apabila mengetahui pencapaian orang Melayu apabila mereka sendiri telah memperjuangkannya tetapi tidak mencapai perlaksanaannya.

Secara realitinya pemimpin Melayu memang suka sangat berdebat. Tak salah kata pepatah orang tua-tua bahawa “menang sorak kampung tergadai”. Malu sungguh memalukan melihat Melayu yang masih belum mampu survive setelah ramai pemimpin Melayu yang mendabik dada melaungkan survival Melayu. Hak sana dan hak sini akhirnya beri hak melopong lagi.

Janganlah kita terlalu beretorik untuk memperjuangkan hak orang Melayu kalau pemimpin masih mengamalkan sikap kronisme dan nepotisme. Orang Melayu yang benar-benar berhak dan mampu menjanakan ekonomi negara akhirnya terpinggir, macamana nak mencapai equiti 30% kalau keistimewaan tersebut masih belum mampu diangkat. Puncanya tak lain kerana pemimpin sendiri yang memberikan hak tersebut dikalangan Melayu yang tidak berhak dan tak hairan juga ada yang akan memberikannya hak tersebut dibelakang kepada bangsa lain.

Sebelum Melayu hendak menegakkan survival Melayu maka pemimpin harus mengkaji dan mengaji sikap orang Melayu itu sendiri mampukah mereka survive di dalam keadaan dunia yang mencabar ini. Janganlah kita buat kajian yang jauh, minta sahaja beberapa orang untuk membuat bancian berapa ramai Melayu yang terjebak dengan skim cepat kaya. Dari bancian itu kita sudah boleh menilai berapa ramai Melayu yang survive dalam skim tersebut dan berapa ramai Melayu yang terjebak dan berminat dengan skim tersebut. Tepuk dada tanya imam. Inilah masalahnya kalau Melayu hanya pandai menuntut hak tetapi tidak mempunyai daya kekuatan mempertahankan hak mereka dengan menunjukkan kemampuan bersaing dengan bangsa lain. Itulah rata-rata perangai orang Melayu memang tertarik dan suka dengan skim cepat kaya kerana mereka tergolong dalam orang yang malas berusaha orang yang tidak boleh survive dalam perniagaan. Semuanya mereka mahukan cepat. Sebab itulah untuk memastikan semuanya cepat maka jalan yang paling baik minta rasuah dan masuk skim cepat kaya. Kita lihat sahaja selepas pemilihan ini berapa ramai yang akan mengutip modal untuk masuk skim cepat kaya yang diberikan oleh pemimpin itu sendiri. Oleh itu mengapakah kita harus melaungkan tentang survival Melayu kalau pemimpin itu sendiri yang mengajar rakyatnya untuk survive hanya dengan mengambil rasuah dan memilih mereka.

Ramai antara mereka yang menerima rasuah menyatakan ada juga terdapat kalam-kalam yang mengatakan bahawa “ kalau tak pilih mereka susahlah nanti nak survive dalam business”. Tak faham-faham lagi perangai orang-orang kita? Baik yang memberi dan menerima rasuah inilah petualang-petualang negara sebenar merekalah orang-orang yang hendak survive sendiri dan bukan untuk mempertahankan survival Melayu secara keseluruhan.

Apabila kita melihat senario sedemikian saya ingin mengajak orang Melayu agar belajarlah untuk berniaga dengan sesungguhnya tanpa memperdulikan kenyataan-kenyataan tentang hak orang Melayu kerana sudah ada segelintir pemimpin Melayu yang telah menjual maruah dengan berasuah jadi jangan haraplah pemimpin seperti ini akan berjuang untuk survival Melayu tetapi hanya ingin memastikan survival diri sendiri dan kroni sahaja. Setelah mereka terlantik dengan hak yang diberikan walaupun equiti 50% Melayu tetap tidak dapat survive kalau tidak digolongkan di dalam kroni mereka. Jangan harap projek akan diberikan kepada Melayu yang mampu tetapi akan tetap jatuh ke dalam tangan Melayu yang mengampu walaupun tidak tahu apa-apa tentang projek tersebut. Akhirnya mengalir juga projek yang beridentiti Melayu kepada bangsa lain. Kita berniaga dan berusaha dengan bangsa lain, mereka pula akan menjual projek kepada bangsa lain janji cepat kaya.

Apabila kita menulis dengan menggunakan nasihat-nasihat agama, maka pasti orang akan berkata bahwa kita hendak menunjukkan bahwa kita itu adalah seorang yang baik dan soleh. Tetapi kalau kita menulis tanpa mengaitkan dengan agama meraka akan suka. Sama juga dengan apabila orang yang kaya-raya dan pangkat menasihati mereka pasti semuanya akan dengar. Maka oleh itulah masyarakat Melayu mulai menilai manusia dan kepimpinan berdasarkan kedudukan dan kekayaan tanpa menyedari bahawa itu hanya perhiasan kosmetik untuk mereka memperolehi kuasa kepimpinan. Silaplah bagi kita untuk memilih pemimpin yang sedemikian. Mereka pasti di kalangan Melayu yang hanya berjuang untuk survival sendiri. Inilah pemimpin yang mempunyai hati seperti yang digambarkan oleh Imam AL GHAZALI. R.A:

“ Jarang sekali keimanan itu memberikan kemanfaatan apabila hatinya busuk, sedang akhlaknya rosak dan budi pekertinya cacat.”

“ Hati adalah sebagai tanah sedangkan keimanan adalah sebagai benih yang ditanam disitu. Ketaatan adalah berjalan menurut arah dan arusnya hati, serta kesuciannya sebagai penggalian sungai dan aliran air yang disalurkan di duniawiah dan sudah berkecimpung dalam segala kemaksiatannya, dapatlah diumpamakan sebagai tanah yang tandus yang tidak mungkin lagi dapat ditanami benih, sebab sudah tidak subur lagi untuk itu. Benih yang ditanam disitu pasti tidak akan tumbuh.”

Oleh itu sebagai rakyat yang telah dipinjamkan kuasa oleh Allah sebagai penentu, maka kita harus iqraq dan muhasabah untuk memilih pemimpin yang mempunyai hati yang subur dan bukan dari kalangan mereka yang sudah kering kontang hatinya. Survival Melayu terletak sebenarnya ditangan mereka yang menerima rasuah disaat ini. Samada penerima mereka berniat sama dengan kepentingan mereka atau tidak tergantung kepada iman mereka. Bagi saya siapa yang memberi ataupun menerima adalah dari kalangan yang sama. Kita harus mencari siapa penerima dan berapa ramai yang menerima rasuah dan bukan yang memberi kerana yang menerima inilah yang bakal menetukan kepimpinan dan survival Melayu masa akan datang. Iqraq!!

No comments:

Post a Comment